Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 13 Julai 2013

Lewat berbuka, makan banyak ingkari sunnah

Posted by epondok di Julai 13, 2013

Asri Md Saman @ Osman
Saban tahun kedatangan Ramadan dinanti-nantikan umat Islam. Mereka tidak sabar untuk bertemu Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan.

Justeru pelbagai persediaan akan dibuat. Namun sebanyak mana sekalipun persediaan dibuat, paling afdal adalah persediaan ilmu dan mencontohi cara Rasulullah SAW melaksanakan puasa Ramadan.
Niat puasa fardu waktu malam

Antaranya adalah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW berniat puasa pada waktu malam sebelum menjelang fajar dan Baginda SAW menyuruh umatnya berbuat demikian. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang tidak berniat sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (khusus pada puasa Ramadan).” (Riwayat Tirmizi, Abu Daud, dan an-Nasai, disahihkan oleh Syeikh al-Bani)

Hukum ini hanya tertentu bagi puasa fardu atau puasa wajib seperti puasa nazar saja. Bagaimanapun, bagi puasa sunat tidak diwajibkan berniat pada waktu malam.

Justeru, ulama bersepakat memutuskan bahawa niat puasa sunat diharuskan berniat sebelum tergelincir matahari selagi belum makan sesuatu dan dia belum melakukan perkara yang membatalkan puasa.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang kamu mendengar seruan azan sedang di tangannya memegang makanan maka janganlah dia meletakkannya sehingga dia memenuhi keperluannya.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Hakim dan Baihaqi)

Dalam hal bersahur, Baginda SAW tidaklah menyusahkan umat Islam. Baginda SAW tidak memerintahkan pemberitahuan imsak dengan paluan beduk.

Baginda SAW menyegerakan berbuka dan melewatkan bersahur dan menyuruh umatnya berbuat demikian.

Tidak melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan yang diajar Rasulullah SAW.

Masyarakat kita sering melihat perkara ini sebagai remeh. Apa yang terjadi dalam masyarakat kita, ketika masuknya waktu solat Maghrib (waktu untuk berbuka puasa), mereka masih lagi berada di bazar Ramadan untuk membeli juadah.

Berbuka dengan kurma

Seterusnya amalan Baginda SAW ketika memulakan berbuka adalah dengan beberapa biji kurma basah. Amalan ini untuk memudahkan bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang.

Rasulullah SAW makan dengan beberapa biji kurma dalam bilangan ganjil, kemudian bersolat. Apabila Rasulullah SAW terasa lapar, Baginda SAW makan selepas solat.

Namun, mutakhir ini sebilangan umat Islam yang mengabaikan sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa, tetapi makan sepuas-puasnya seolah-olah mengqadakan atau menggantikan makan waktu siang sehingga lewat menunaikan solat Maghrib, apatah lagi menunaikannya di surau atau masjid.

Amat malang lagi sekiranya terus mengambil pendekatan berehat dengan menonton sehingga tidak menunaikan solat Terawih pada malam Ramadan. Tabiat buruk ini perlu dielakkan kerana selain melepaskan peluang beramal dalam Ramadan yang penuh berkat, ia bisa mengundang penyakit secara mendadak selepas Ramadan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »