Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 12 Julai 2013

Ciri-ciri Keistimewaan Ramadhan

Posted by epondok di Julai 12, 2013

RAMADAN adalah bulan mulia yang mempunyai kelebihan tersendiri antaranya:

  • Ramadan penghulu semua bulan.
    Diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Kabir, “Penghulu bulan ialah Ramadan dan penghulu hari ialah Jumaat.”
  • Dibuka pintu syurga. Diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah: “Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu.”
  • Diampunkan dosa sehingga Ramadan akan datang.Hadis riwayat Muslim yang diriwayatkan Abu Hurairah: “Solat fardu lima waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadan kepada Ramadan, akan diampunkan di antara keduanya sekiranya seseorang itu melakukan dosa besar.”
  • Ganjaran daripada Allah.
    Diriwayatkan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah berkata: Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa dan Aku yang akan membalasnya. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan berjumpa dengan Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding haruman kasturi.”
  • Diampunkan dosa terdahulu.
    Hadis ini diriwayatkan sebilangan ahli hadis termasuk Bukhari dan Muslim iaitu: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dalam keadaan beriman dan ikhlas (kepada Allah), diampunkan dosanya (yang terdahulu).”
  • Diturunkan al-Quran.
    Nabi Muhammad SAW berkata: “Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada awal malam Ramadan dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadan dan diturunkan Injil pada 13 Ramadan dan diturunkan Zabur pada 18 Ramadan dan diturunkan al-Quran pada 14 Ramadan.” (al-Mu’jam al-Kabir)
  • Malam Lailatulqadar.
    Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu dan sesiapa yang qiamullail pada malam Lailatulqadar dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)
  • Dibebaskan daripada api neraka.
    “Sesungguhnya bagi Allah hamba yang bebas (daripada api neraka) setiap berbuka, dan demikian itu pada setiap malam.” (Hadis riwayat Ahmad)

Posted in Amalan Pilihan | 2 Comments »

Kelebihan ibadat korban dan hukum berkaitan

Posted by epondok di Julai 12, 2013

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Terdapat hadis di mana Rasulullah s.a.w. bersabda;

مَاعَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلاً أَحَبَّ إِلَى الله عَزَّ وَجَلَّ مِنْ إِهْرَاقَةِ دَمٍ. وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَأَشْعَارِهَا. وإِنَّ الدم لَيَقَعُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ، قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ. فَطِيبُوا بِهَا نَفْساً
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi.[1] Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini adalah hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7949.)

Hukum korban ialah sunat muakkad (iaitu sunat yang amat-amat digalakkan oleh agama) bagi orang yang memenuhi syarat-syarat berikut;[2]
1. Muslim
2. Baligh dan berakal
3. Bebas/merdeka
4. Ada kemampuan; iaitu memiliki lebihan belanja setelah ditolak nafkah dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang hari raya dan hari-hari tasyriq.

Ibadah ini terbuka kepada semua orang Islam yang memiliki kelapangan atau kemampuan sama ada orang badar atau orang kampung/pedalaman, orang dalam musafir atau berada dalam negeri dan termasuklah kepada jamaah haji di Mina.[3] Terdapat riwayat dalam Soheh Imam Bukhari dan Muslim yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. melakukan korban di Mina bagi isteri baginda dengan menyembelih lembu. (Riwayat dari Saidatina Aisyah r.a.)[4]

Dimakruhkan meninggalkan ibadah korban ini bagi orang yang memenuhi syarat-syarat di atas. Berkata Imam as-Syafi’ie; “Aku tidak memberi rukhsah untuk meninggalkannya bagi sesiapa yang mampu melakukannya” (yakni Imam Syafi’ie memandang makruh meninggalkannya bagi orang yang mampu).[5]

Wallahu A’lam.
Nota kaki:
[1] Maksudnya menurut Imam al-Minawi; “binatang korban itu berada di tempat penerimaan yang tinggi iaitu ia diterima oleh Allah sejak mula diniatkan untuk dikorbankan sebelum ia disaksikan oleh orang-orang yang hadir ketika ia disembelih”. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 7949)
[2] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 816. Kifayatul-Akhyar, hlm. 528. al-Fiqhul-Manhaji, jil. 1, hlm. 233.
[3] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 276.
[4] Lihat; Soheh al-Bukhari, kitab al-Adhahi.
[5] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 817

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ramadan bukan pesta makan

Posted by epondok di Julai 12, 2013

Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR

Kenikmatan Ramadan ditentukan oleh sejauh mana kita merasakan lapar dan dahaga. – Gambar hiasan

BULAN Ramadan yang dinanti akhirnya tiba. Pada bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan diikat. Ini ialah sebuah kiasan untuk menggambarkan kemeriahan bulan suci ini dengan ibadah. Sekali gus melambangkan lemahnya kuasa nafsu dan syaitan dalam diri seorang Muslim yang berpuasa.

Sesiapa yang menyedari kebesaran Ramadan idak akan membiarkannya berlalu sia-sia. Sebaliknya, mereka akan mendapat motivasi untuk memanfaatkan setiap saat yang berlalu dalam Ramadan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Imam Abu Al-Qasim Al-Qusyairi bercerita: “Setiap kali tiba bulan Ramadan, Abu Bakar Al-Syibli meningkatkan amalan ibadahnya. Ia berkata: Ini ialah bulan yang diagungkan Allah. Maka aku mesti menjadi orang yang paling pertama mengagungkannya.”

Demikian dalam kitab Al-Risalah Al-Qusyairiah. Abu Bakar al-Syibli ialah seorang ulama besar abad keempat hijrah.

Hikmah lapar

Ibadah yang paling utama pada bulan Ramadan ialah berpuasa. Kita diharamkan untuk makan dan minum kecuali bagi yang uzur. Itu kerana perut yang kosong dan rasa lapar ialah asas terpenting untuk proses pembersihan jiwa.

Kenikmatan ibadah sangat ditentukan oleh sejauh mana kita merasakan lapar dan dahaga.

Apabila tubuh terasa lemah, fikiran menjadi jernih dan ibadah terasa nikmat.

Kita akan merasakan indahnya terawih, membaca al-Quran, bangun tahajud di sepertiga malam, istighfar di waktu sahur dan pelbagai ibadah lainnya.

Maka itu, kita dituntut supaya pandai mengekang nafsu di waktu siang dengan memperbanyak aktiviti ibadah dan mengurangkan tidur.

Selain itu, kita juga mesti mahir mengikat nafsu di waktu malam terutama saat berbuka dengan mengawal pemakanan dalam had bersederhana.

Berkata Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulum al-Din: “Di antara adab puasa ialah tidak memperbanyak tidur di waktu siang agar terasa lapar, haus dan kelemahan tubuh. Dengan begitu, hati akan menjadi terang. Disukai juga agar dikekalkan sebahagian daripada kelemahan tersebut pada waktu malam agar terasa ringan bangun tahajud dan membaca wirid.”

Bulan makan

Sayangnya, sebahagian umat Islam masih menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan makan. Pelbagai juadah yang jarang dijumpai pada bulan-bulan yang lain dapat ditemui pada bulan ini.

Sejurus setelah azan Maghrib berkumandang, nafsu yang sejak pagi dikekang menjadi sangat liar. Bahkan lebih liar daripada bulan-bulan sebelumnya.

Selepas tarawih, pesta makan dilanjutkan hingga sukar bernafas kerana perut penuh dengan makanan dan minuman.

Puasa seperti ini sudah pasti bukan menjernihkan hati, malah menggelapkannya.

Saya pasti bukan seperti ini puasa yang dikehendaki oleh syarak. Sebab objektif puasa adalah untuk menciptakan insan bertakwa yang pandai mengekang nafsunya bukan hanya di waktu siang, namun juga di waktu malam.

Saatnya kita mengubah Ramadan kita menjadi lebih bermakna. Salah satu caranya adalah dengan meletakkan niat memperbaiki diri pada awal bulan Ramadan ini.

Bayangkan Ramadan ini ialah Ramadan kita yang terakhir. Setelah sebelas bulan memperturutkan nafsu, apa susahnya mempersembahkan satu bulan sahaja untuk Allah?

Semoga Allah selalu menunjukkan jalan yang menuju keredaan-Nya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »