Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 11 Julai 2013

Puasa untuk Allah

Posted by epondok di Julai 11, 2013

Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR

Puasa merupakan ibadah yang tidak asing bagi seluruh umat Islam. Terdapat pelbagai bentuk ibadah puasa, namun puasa yang difardukan dalam bulan Ramadan istimewa di hati umat Islam.

Allah SWT telah memfardukan kepada hamba-Nya agar berpuasa dalam bulan Ramadan sebagaimana firman-Nya: Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (Ramadan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Pada surah yang sama, ayat ke 185 pula Allah berfirman: Sesiapa antara kamu menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu.

Bulan Ramadan juga merupakan bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT kerana di dalam bulan inilah al-Quran diturunkan sehinggakan ia dikenali sebagai bulan al-Quran.

Dalam bulan Ramadan, malaikat Jibril akan membacakan al-Quran dan menyemak bacaan Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam kitab sahihnya.

Kelebihan bulan Ramadan yang tidak ada pada bulan yang lain ialah dibelenggunya syaitan, dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Rasulullah SAW bersabda: Apabila datang bulan Ramadan pintu-pintu syurga dibuka sedangkan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Sementara dalam riwayat lain terdapat tambahan lafaz: “Maka Allah membebaskan orang-orang dari neraka dan ia berlangsung setiap malam (dalam Ramadan).” (riwayat Ibnu Majah, Al-Tirmizi dan Ibnu Khuzaimah)

Malam Lailatulqadar turut berada dalam bulan Ramadan. Allah SWT telah memilih malam ini untuk diturunkan al-Quran serta malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar dan adakah engkau mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. (al-Qadr: 1-3)

Disebabkan itu Rasulullah menekankan umatnya untuk mencari malam Lailatulqadar dengan memperbanyakkan amalan pada sepuluh malam atau tujuh terutama pada malam yang ganjil terakhir sebagaimana yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Di malam tersebut umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan ibadah terutama solat di malam hari.

Puasa bertindak sebagai benteng seorang Muslim terhadap ujian nafsu dan syahwat. Disebabkan itu mereka yang tidak mampu untuk berkahwin digalakkan memperbanyakkan puasa. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian anak muda, barang siapa di antara kalian mampu, hendaklah dia menikah kerana sesungguhnya itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barang siapa tidak mampu hendaklah dia berpuasa kerana puasa mampu menjadi benteng baginya.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Puasa memberikan ganjaran yang besar di sisi Allah. Mulut orang yang berpuasa pula di sisi Allah SWT lebih harum daripada minyak misk (kasturi). Rasulullah SAW bersabda: Sungguh bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada harumnya minyak misk (kasturi), (Allah SWT berfirman) kerana dia meninggalkan makanannya, minuman dan nafsu syahwatnya kerana Aku. Puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya dan setiap satu kebaikan dibalas dengan 10 kebaikan yang serupa. (Muttafaq ‘alaihi).

Kelebihan orang yang berpuasa yang tidak diterima oleh orang lain ialah ganjaran syurga yang akan dimasuki melalui sebuah pintu yang digelar Al-Rayyan. Pintu syurga ini hanya akan dilalui oleh orang yang berpuasa dan akan ditutup selepas mereka melaluinya.

Rasulullah SAW bersabda: Di dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Ar-Rayyan, yang pada hari Kiamat nanti tidak akan ada orang yang masuk ke syurga melalui pintu itu kecuali para soimun (orang-orang yang berpuasa). Tidak akan ada seorangpun yang masuk melalui pintu tersebut selain mereka. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana para soimun? Maka para soimun berdiri menghadap. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melalui pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada seorangpun yang masuk melalui pintu tersebut. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Posted in Amalan Pilihan | 2 Comments »

Amalan Pilihan Sepanjang Ramadhan

Posted by epondok di Julai 11, 2013

1. Memperbanyakkan amal ibadat dalam bulan Ramadhan dan juga memperbanyakkan bertahlil dengan menyebut ﻻَ إِلـٰهَ إِﻻَّ الله ُ.
2. Memperbanyakkan beristighfar kepada Allah dalam bulan ini dan juga bertaubat atas segala dosa yang dilakukan.

اَسْتغْفِرُ الله َ العَظِيْمَ الذي لاَ اِلَـٰهَ اِلاَّ  هُوَ الحَيُّ القَـيُّومُ وَاَ تُوْبُ اِلَيْهِ

اَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِى وَلِوَالِدَيَّ  وَلِجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الاَحْياَءِ مِنْهُمْ وَاْلاَمْوَاتِ

Penghulu Istighfar

اَللّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي، لاَ إَلهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِى، فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إَلاَّ أَنْتَ

“Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, tiada tuhan melainkan Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, aku tetap pada ikatanMu dan janjiMu selagi aku mampu. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui dengan nikmatMu kepadaku, dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampuni aku. Tiada yang mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau
3. Banyakkan doa memohon agar Allah memasukkan kita ke syurgaNya dan juga doa agar dijauhkan daripada azab nerakaNya yang pedih.

اللَّهُمَّ إَنَّا نَسْْألُكَ رِضَاكَ وَالْجَنَّةَ وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ وَ النَّارِ

Aku memohon keredhaanMu dan Syurga­Mu dan aku berlindung denganMu daripada kemurkaanMu dan nerakaMu


4. Menjamu orang berbuka puasa sempena kedatangan bulan Ramadhan yang digandakan pahala kebajikan yang dilakukan.

5. Menghidupkan malam-malam dibulan Ramadhan dengan amalan-amalan sunat seperti sunat Terawih dan qiamullail kerana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Sesiapa yang menghidupkan (malam-malam) bulan Ramadhan (dengan berbuat amal soleh) sepenuh keimanan dan mengharapkan pahala maka akan diampuni baginya dosa yang telah lalu.
Menghidupkan malam-malam dibulan Ramadhan ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya :
a. Mengikut pendapat as-Syaukani : ialah dengan sembahyang atau semata-mata sembahyang yang memberi maksud menghidupkan malam dengan beramal malam (qiamullail).
b. Mengikut pendapat imam Nawawi pula : menghidupkan malam-malam Ramadhan berhasil dengan solat sunat Terawih kerana qiam Ramadhan tidak berlaku melainkan dengan solat sunat Terawih.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pintu Syurga Ar-Rayyan hanya untuk yang berpuasa

Posted by epondok di Julai 11, 2013

Oleh MOHD. RIDUAN KHAIRI

ALLAH tidak mensyariatkan puasa dengan tujuan yang sia-sia. Hasil kajian sains moden menunjukkan puasa memberi banyak faedah kepada kesihatan. Salah seorang daripada sarjana moden yang membuat kajian tentang puasa ialah, Allan Cott. Beliau telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan berbagai negara, lalu memuatkannya dalam sebuah buku Why Fast iaitu pelbagai hikmah puasa.

Puasa adalah amalan sejagat. Bukan umat Nabi Muhammad SAW sahaja disyariatkan berpuasa. Bahkan umat-umat Nabi terdahulu juga berpuasa tetapi dengan tata cara yang berbeza.

Begitu juga dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan, adakalanya mereka menahan diri daripada makan dan minum apabila berhadapan dengan situasi-situasi tertentu.

Pun begitu ia tidak bermakna darjat dan status puasa orang Islam setaraf dengan puasa-puasa yang lain. Puasa yang benar menurut perintah Allah dan aturan Nabi memiliki banyak keutamaan dan kelebihan:

DALAM sebuah hadis Nabi menjelaskan lima kelebihan bulan Ramadan yang tidak diberikan kepada umat terdahulu.

“Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka iaitubau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi syurganya setiap hari, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam (Hadis Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi daripada sahabat Abu Hurairah).

SEBAGAI dorongan dan motivasi orang-orang yang menjaga puasanya Nabi berkata: “Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Rayyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya. (Hadis Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada sahabat Sahal bin Sa’d).”

ALLAH juga menjanjikan pahala yang sangat banyak bahkan tanpa batas kepada orang-orang yang ikhlas dan menjaga kualiti puasa mereka. Sahabat Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda bahawa Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus…”

Dalam hadis Qudsi yang lain pula Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. (Hadis Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai daripada sahabat Abi Hurairah dan Abi Sa’id).

Hadis ini juga memberi isyarat bahawa puasa juga berfungsi sebagai terapi jiwa. Allah menjanjikan rasa gembira sebanyak dua kali kepada orang-orang yang berpuasa. Kali pertama ialah ketika berbuka puasa dan kali kedua ialah ketika bertemu dengan Allah.

ANTARA keutamaan puasa yang besar dan bermakna ialah, ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Ini seperti yang disampaikan oleh sahabat Abu Hurairah r.a dari Nabi yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Dalam teks yang lain pula Nabi menyebut yang bermaksud: Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi. (riwayat Imam Muslim).

PUASA adalah perisai buat membenteng diri daripada melakukan dosa dan menjauhi api neraka. Nabi pernah berkata: “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”. (Hadis Imam Ahmad dan an-Nasai daripada sahabat Usman bin Abi al-As)

Mendokong makna yang hampir senada dalam hadis yang lain Nabi menyebutkan, “Sesiapa yang berpuasa sehari di jalah Allah, nescaya Allah akan jauhkan neraka Jahannam sejauh perjalanan 100 tahun.” (Hadis Imam Nasa’i ).

Pernah suatu ketika seorang pemuda yang mahu menikah datang bertemu dengan Nabi. Oleh kerana kekurangan upaya nafkah untuk menikah, maka Nabi menyuruh lelaki ini berpuasa buat mengekang nafsunya.

Posted in Amalan Pilihan | 2 Comments »