Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 8 Julai 2013

Akademi Pondok 1434H mulai 4 Ramadhan ini

Posted by epondok di Julai 8, 2013

Sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak 1434H maka pihak Pondok Pasir Tumboh akan mengadakan suatu program ilmu tahunan bagi menghayati bulan yang penuh keberkatan itu. Program ini bertujuan memberi peluang kepada seluruh umat Islam samada dalam negeri atau luar Kelantan untuk mendalami ilmu agama sepanjang bulan Ramadhan. Ini merupakan program untuk tahun ke-5 setelah program yang sama pada tahun-tahun sebelum ini  berjaya diadakan dengan sambutan menggalakkan daripada peserta dalam dan luar Kelantan. Sebarang maklumat lanjut
berkenaan program ini bolehlah menghubungi Ustaz Ahmad Shairazi di talian
09-7657786 / 019-9388902

Pendaftaran dibuka sepanjang masa

Pengajian secara berulang alik

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Terbuka kepada seluruh muslimin dan muslimat tanpa had umur
  • Pendaftaran RM 5 sahaja (tanpa kitab) dengan berulang-alik setiap hari
  • Harga Kitab Edisi jawi RM 3.00 ( 1 buah )
  • Bagi peserta muslimin yang ingin menetap di pondok yuran daftar RM20.00 dan bil elektrik RM10.00. Perbelanjaan makan minum tanggungan sendiri
  • Bagi muslimat yang ingin kawasan pondok sila hubungi Ustazah Fadhilah (0145429086)

Tarikh & Masa Mula Daftar Diri

Mulai 4 Ramadhan 1434H bersamaan 13 Julai 2013M (Sabtu)
jam 8.30 pagi

JADUAL AKADEMI PONDOK 1434H

TARIKH Masa Kitab

Mulai

9.00– 11.00 am Kitab : Kifayah al-Ghulam

13 Julai 2013M

4 Ramadhan 1434H

hingga 3 Ogos 2013M bersamaan 25 Ramadhan 1434H 3.00 – 4.00 pm Kitab : Kifayah al-Ghulam
(sambungan)

Setiap Jumaat cuti

# Kitab Kifayah al-Ghulam melibatkan ilmu Tauhid dan Feqah

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah,
Pondok Pasir
Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Hubungi :

Tel :09-7657786 H/P :019-9388902

(Ust. Ahmad Shairazi )

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Tebus dosa lalu dengan bertaubat

Posted by epondok di Julai 8, 2013

Asri Md Saman

Ramadan galak ummah beristighfar mohon keampunan

Kini kita di fasa terakhir Syaaban dan akan melangkah ke Ramadan. Justeru marilah kita memperbanyakkan bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memanjang usia dan diberi peluang bertemu semula Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan.
Namun, sebelum melangkah memasuki Ramadan, umat Islam digalakkan memperbanyakkan istighfar memohon keampunan di atas segala dosa yang lalu. Mudah-mudahan kita menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh ketenangan dan diberi peluang Allah SWT melipatgandakan usaha memperbanyakkan amal ibadah.

Dan bertaubatlah kamu kepada Allah wahai sekalian orang Mukminin, semoga kamu mendapat kemenangan”. Surah an-Nur ayat 31

Sebagai insan yang lemah, kita sering melakukan kesalahan dan kesilapan dalam kehidupan seharian. Selepas Ramadan yang lalu, kita tidak boleh menafikan bahawa kita ada melakukan pelbagai dosa dan kesilapan. Kita pernah melakukan dosa terhadap isteri, suami, anak-anak, sahabat dan sebagainya.

Maka, bertaubat adalah cara yang digariskan bagi menebus semula kesalahan dan dosa dilakukan, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW. Dari Saidina Anas ra yang bermaksud: “Semua anak Adam berdosa, maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah bertaubat.” (Riwayat Ahmad)

Hukum taubat wajib
Menurut Ibnu Abbas ra, taubat adalah menyesal dengan hati, beristighfar dengan lidah, meninggalkan perbuatan maksiat dengan anggota tubuh dan berazam dengan kukuh dalam hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Secara ijmak, ulama sepakat bahawa hukum bertaubat adalah wajib kerana dosa dan perbuatan maksiat itu dapat membinasakan iman dan menjauhkan diri daripada Allah SWT. Sesungguhnya kewajipan taubat diulang Allah SWT dalam kitab suci al-Quran, antaranya dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu kepada Allah wahai sekalian orang Mukminin, semoga kamu mendapat kemenangan”.

Berdasarkan ayat itu, maka kita perlulah menyedari kesalahan yang dilakukan sepanjang kita hidup ini. Kita hendaklah bertaubat dan meminta keampunan daripada Allah SWT agar kehidupan kita menjadi tenang dan aman.

Malah, Allah turut memberi amaran mereka yang tidak bertaubat adalah termasuk ke dalam golongan yang menzalimi diri sendiri seperti firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: “Siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itu adalah orang-orang yang aniaya.”

Dalam Surah al-Baqarah ayat 222, umat Islam amat digalakkan bertaubat kerana ia adalah simbol kepada pembersihan diri daripada dosa. Ayat al-Quran itu bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaubat dan suka kepada orang yang membersihkan diri.”

Menyentuh soal taubat, Luqman al-Hakim pernah berwasiat kepada anaknya: “Wahai anakku, janganlah engkau tangguhkan bertaubat, sesungguhnya mati itu akan datang dengan tiba-tiba.”

Jangan tangguh taubat

Sebagai umat Islam yang wajib menumpahkan taat setia kepada ajaran yang diperintahkan, perbuatan taubat perlu disegerakan selagi diberi peluang menikmati saki baki kehidupan di alam fana ini.

Elakkan daripada tabiat suka menangguhkan taubat kerana Baginda Nabi Muhammad SAW tidak menyukai orang yang menangguhkan taubat sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Binasalah orang yang mengatakan esok saya akan bertaubat.”

Sesungguhnya taubat yang paling baik adalah taubat nasuha sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan Taubat Nasuha (sebenar-benar penyesalan dan berazam tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat itu), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di dalam beberapa sungai.”

Justeru sebesar mana sekalipun dosa dan kesalahan yang pernah kita lakukan, sekiranya kita segera memohon keampunan Allah SWT, nescaya Allah akan mengampunkan kita kecuali dosa syirik. Betapa hebatnya sifat al-Ghaffur (Maha Pengampun) Allah di mana mereka yang bertaubat apabila melakukan kesalahan kedudukannya sama seperti tiada dosa lagi.

Jika dalam hati kecil kita masih belum tergerak untuk bertaubat, cubalah renungi kisah taubat Nabi Adam as selepas Baginda dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi. Baginda bertaubat dengan penuh kesungguhan dan ada riwayat yang mengatakan bahawa Baginda bertaubat selama 40 tahun dengan membaca doa yang bermaksud: “Ya Tuhanku, kami melakukan kezaliman terhadap diri kami dan jika Engkau tidak mengampunkan kami nescaya kami tergolong dalam orang-orang yang rugi.”

Begitu juga dengan Nabi Yunus as semasa Baginda berada di dalam perut ikan nun, Baginda senantiasa bertasbih dan bertaubat seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat 87 bermaksud: “Ya Allah, tiada Tuhan lain melainkan Engkau, maha suci Engkau sesungguhnya aku termasuk dalam orang yang zalim.”

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »