Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Julai 2013

Rahsia tarikh Lailatul Qadar

Posted by epondok di Julai 31, 2013

LAILATULQADAR merupakan salah satu dari malam-malam Ramadan, di mana keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan 1000 bulan. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1 dan 2 yang bermaksud: Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada malam Lailatulqadar. Tahukah kamu apakah malam al-qadar itu? Malam Lailatulqadar adalah lebih baik dari 1000 bulan.

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam tersebut dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami daripada ayat tersebut ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi 1000 bulan.

Kebesaran Lailatulqadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam tersebut telah diturunkan al-Quran dan keduanya, pada malam tersebut akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebutkan sebagai Lailatulqadar kerana pada malam tersebut akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan dan Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya Lailatulqadar seringkali berlaku perselisihan pendapat di kalangan para ulama. Tetapi pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam-malam ganjil sesudah hari yang ke-20 Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah daripada Ibnu Umar yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin mencari Lailatulqadar hendaklah pada malam ke-27.”

Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim adalah bermaksud: Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam-malam ganjil dari 10 malam akhir bulan Ramadan.

Jelas daripada kedua-dua hadis di atas bahawa Lailatulqadar itu hanya berlaku pada satu malam sahaja dari bulan Ramadan, dan ia adalah sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipatgandakan amal ibadat pada malam-malam akhir Ramadan al-Mubarak ini.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh Lailatulqadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam tersebut.

Allah SWT sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti:

# Allah SWT menyembunyikan Lailatulqadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang bulan Ramadan.

# Allah SWT menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada hari Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari tersebut.

# Allah SWT menyembunyikan sembahyang wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu.

# Allah menyembunyikan isim adzam di antara nama-nama-Nya agar kita menyebut kesemua nama-nama-Nya (Asmaul Husna)

# Allah SWT menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita berhenti melakukan apa jua bentuk maksiat.

# Allah SWT menyembunyikan siapa yang menjadi wali di antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin.

# Allah SWT menyembunyikan kedatangan Hari Kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.

# Allah SWT menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya.

Walau bagaimanapun berkaitan dengan Lailatulqadar, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa terdapat beberapa tanda apabila berlakunya malam tersebut, di antaranya ialah:

# Orang yang berkesempatan melihat malam al-Qadar akan dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan di langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.

# Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan melihat suasana alam yang terang-benderang walau pun berada dalam kegelapan.

# Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan dapat mendengar salam para malaikat dan tutur kata mereka.

# Orang yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa di antara tanda malam al-Qadar telah berlaku ialah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk yang putih bersih bagai bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas, di mana tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahayanya.

Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al-Qadar akan tetap mendapat ganjaran daripada Allah SWT, biarpun tanda-tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain sepanjang Ramadan, insya-Allah akan menemui malam yang lebih baik daripada 1000 bulan itu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Luntur amanah galak tipu, rasuah

Posted by epondok di Julai 31, 2013

Huzaifah Ibnu Yaman berkata: “Rasulullah SAW menceritakan kepada kami dua hadis, aku telah melihat salah satunya dan aku menunggu yang satu lagi. Nabi menceritakan kepada kami bahawasanya amanah itu turun ke dalam pangkal (akar) jiwa (hati) manusia, kemudian mereka pun mengetahui sebahagian al-Quran, sesudah itu mereka mengetahui sebahagian sunnah.

Dan Nabi menceritakan kepada kami mengenai pencabutan amanah. Sabdanya yang bermaksud: “Seorang lelaki tidur lalu dalam keadaan tidur, dicabut amanah dalam hatinya, maka tinggal bekas amanah seperti kesan sesuatu warna yang menyalahi warna asal, warna yang agak hitam. Kemudian ia tidur lagi lalu dicabut lagi amanah, maka tinggallah bekasnya iaitu kembung-kembung di tangan lantaran banyak bekerja dengan menggunakan kapak seperti bara api yang engkau guling-gulingkan di atas kakimu lalu kembunglah kaki itu dan engkau pun melihatnya sudah bengkak dan penuh dengan air, padahal tidak ada apa-apa di dalamnya.
Kerana manusia berjual beli tetapi hampir-hampir tidak ada seorang pun yang amanah lalu seseorang pun berkata: “Sesungguhnya dalam golongan bani fulan ada seorang yang boleh dipercayai. Dan dikatakan kepada orang itu: Alangkah tinggi akalnya, alangkah bijak bestarinya dan alangkah hebat ketabahannya. Padahal tidak ada di dalam hatinya sedikit pun keimanan walaupun seberat biji sawi. Dan sesungguhnya telah datang kepadaku suatu masa (telah berlalu suatu masa). Aku yang pada masa itu tidak peduli siapakah di antara kamu aku berjual beli dengannya. Demi Allah sungguh jika ia Muslim, nescaya keislamannya akan menolaknya kepadaku dan jika ia Nasrani, nescaya pengurus urusannya akan kembalikan kepadanya. Sedangkan pada hari ini aku tidak lagi berjual beli melainkan dengan si anu dan si anu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Disebabkan keimanan manusia yang semakin rapuh dan luntur, mudah digoda dan tergoda oleh habuan dunia pada masa kini, amanah seakan-akan hilang.

Amanah hilang daripada hati manusia sedikit demi sedikit. Pada awalnya ia hanya meninggalkan titik hitam dan semakin lama titik hitam itu menjadi semakin jelas hingga menggelapkan hati sekali gus menghilangkan sirnanya.

Malah dikatakan amanah itu adalah nilai keimanan. Dulu, jika dalam melakukan urusan jual beli seseorang yang Muslim bersifat amanah kerana agamanya menuntut ia bersifat demikian. Seorang Nasrani pula bersifat amanah kerana pengurusnya menyuruh ia bersifat demikian.

Namun pada masa kini, amanah seakan-akan hilang. Tidak ada sesiapapun yang layak diberi kepercayaan penuh sama ada Muslim mahupun kafir. Semua ini disebabkan keimanan manusia yang semakin rapuh dan luntur, mudah digoda dan tergoda oleh habuan dunia.

Hilang amanah hingga sanggup menerima rasuah, menipu dan menyelewengkan harta. Justeru, sebagai manusia yang beriman hendaklah kita sentiasa memohon kepada Allah SWT supaya dikekalkan dengan sifat amanah dan mempunyai keimanan yang teguh dan mantap.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

10 malam terakhir Ramadan kemuncak ibadah

Posted by epondok di Julai 30, 2013

Muhammad Asyraf

10 malam terakhir Ramadan kemuncak ibadah
Perbanyak beriktikaf dalam masjid mencari lailatulqadar

Ramadan adalah antara rahmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-Nya yang beriman. Malah, Allah menyediakan malam-malam kemuncak yang disebut al-‘Asyar al-Awahir iaitu 10 malam terakhir Ramadan.

Malam ini untuk manusia tunduk memperhambakan diri kepada Allah SWT dengan melakukan qiyam Ramadan. Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang mendirikan (solat malam) pada Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka telah diampunkan baginya dosa-dosa yang lampau.” (Hadis Muttafaqun ‘Alaih)
Teladan terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya ialah dengan menjadikan 10 malam terakhir Ramadan sebagai kemuncak ibadah berbanding malam lain. Nabi SAW akan menghidupkan malam itu dengan ibadah iktikaf, solat dan berzikir kepada Allah SWT.

Saidatina ‘Aisyah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila tibanya 10 Ramadan terakhir Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya, bersungguh-sungguh dan mengetatkan ikatan kainnya.” (Riwayat Muslim)

Ketatkan ikatan kain

Maksud mengetatkan ikatan kain pada pandangan ulama ialah meninggalkan tempat tidur dengan tidak bersama isteri-isteri Baginda. Manakala pandangan yang lain menyatakan, Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadah dan beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan.

Hadis ini juga jelas menceritakan kelebihan 10 malam terakhir Ramadan. Nabi SAW bukan saja menghidupkan malamnya secara berseorangan, tetapi Baginda mengajak ahli keluarga untuk tidak terlepas mengecapi kemanisan ibadah pada malam itu.
Sesungguhnya 10 malam terakhir Ramadan adalah malam mulia, manakala sepuluh hari terawal Zulhijjah adalah sepuluh waktu siang termulia bagi umat Islam.

10 malam terakhir Ramadan dianggap mulia kerana dua sebab, Nabi SAW akan sentiasa mengharapkan kebaikan pada setiap penghujung sesuatu perkara mahupun urusan.
Nabi SAW bersabda: “Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada pengakhirannya, sebaik-baik amalanku pada penghujungnya dan sebaik-baik hari apabila aku bertemu dengan-Mu.” (Riwayat al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid)

Pengajaran daripada hadis ini ialah sesuatu amalan yang kita lakukan perlulah diakhiri dengan kesempurnaan. Begitulah juga ibadah dilakukan pada malam Ramadan terutama apabila telah memasuki 10 malam terakhir.

Adalah sedikit mendukacitakan apabila seorang hamba memulakan ibadah hanya pada malam awal dan pertengahan Ramadan, tetapi meninggalkan amal ibadah kemuncak pada malam 10 terakhir.

Kemuncak ibadah waktu malam

Perlulah diketahui bahawa inilah kemuncak ibadah pada waktu malam dalam sepanjang tahun yang Allah telah sediakan kepada kita untuk merasai kelazatan beribadah kepada-Nya.

Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatulqadar. Adakah kamu mengetahui apakah malam lailatulqadar? Malam lailatulqadar itu lebih baik berbanding seribu bulan. Turunnya malaikat dan juga Jibril padanya dengan izin Tuhan mereka dengan membawa segala urusan. Sejahteralah padanya (malam lailatulqadar) sehingga terbitnya fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan pengharapan maka diampunkan segala dosanya yang lampau.” (Riwayat Bukhari)

Ulama termasuk salaf al-soleh berbeza pendapat dalam meletakkan malam tertentu bagi lailatulqadar. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy menjelaskan dalam karyanya Fath al-Bari bahawa terdapat 39 pandangan dalam memperkatakan penetapan malam lailatulqadar.

Sebahagian kecil ulama berpendapat malam lailatulqadar boleh berlaku pada mana-mana malam dalam bulan Ramadan. Namun jumhur ulama Mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali berpendapat, malam lailatulqadar berlaku pada salah satu malam dalam sepuluh malam terakhir Ramadan.

Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Carilah ia (malam lailatulqadar) pada sepuluh terakhir Ramadan.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya malam lailatulqadar itu terdapat pada mana-mana malam pada sepuluh terakhir yang tidak jelas waktunya bagi kita. Walaupun begitu ia berada hanya pada satu malam tertentu saja yang telah ditetapkan sehinggalah ke hari Kiamat. Namun malam-malam ganjil adalah yang paling diutamakan dan yang paling hampir dalam malam-malam ganjil itu pada pandangan Imam al-Syafi’i ialah pada malam ke-21.” (Dinukilkan dalam kitab al-Majmu’)

Sebahagian besar ulama berpendapat malam lailatulqadar berlaku pada malam ke-27. Pandangan ini dinyatakan oleh Ibn Abbas dan sebahagian besar sahabat bersandarkan hadis diriwayatkan oleh Mu’awiyah bin Abi Sufya, Nabi SAW bersabda mengenai malam lailatulqadar: “Ianya pada malam ke-27 (Ramadan).” (Riwayat Abu Daud)

Namun terdapat hadis lain juga menerangkan malam lailatulqadar berlaku pada malam ganjil iaitu malam 23, 25 dan 29.

Kesimpulannya malam lailatulqadar tidaklah diketahui bilakah waktunya namun kita disuruh oleh Nabi SAW untuk mencarinya dengan melakukan ibadah pada 10 malam yang terakhir Ramadan. Hal ini bertepatan sunnah Nabi SAW yang memperbanyakkan amal ibadat pada sepuluh malam terakhir

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Nikmat hidup sentiasa ingatkan Allah

Posted by epondok di Julai 30, 2013

Oleh DR. AZAHAR YAAKUB

PADA juzuk dan surah ke-12, merupakan lokasi tertera surah Yusof di dalam al-Quran. Pengkaji al-Quran bersetuju bahawa surah ini memiliki keunikannya yang tersendiri berbanding dengan surah-surah lain di dalam al-Quran. Antara keunikannya ialah cerita pakej kehidupan Nabi Yusof yang terperinci, mencakupi pelbagai dimensi dan lapangan kehidupan termasuk aspek sosial, politik, ekonomi, pendidikan, kekeluargaan dan kemanusiaan.

Pada ayat 23 dan 24 surah Yusof, Allah SWT menceritakan perihal Nabi Yusof yang digoda oleh Zulaikha. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata: Marilah ke sini. Yusuf berkata: Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku Telah memperlakukan Aku dengan baik. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan beruntung. (Yusof: 23)

Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu Andai kata dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar kami memalingkan dari padanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba kami yang terpilih. (Yusof: 24)

1Allah menganugerahkan kepada Nabi Yusof paras rupa yang sangat cantik. Ketika Rasulullah SAW bertemu Nabi Yusof dalam perjalanan Israk dan Mikraj, baginda menggambarkan kecantikan paras rupa Nabi Yusof sebagaimana berikut: “Tiba-tiba aku mendapati bahawa beliau (Nabi Yusuf) dikurniakan separuh kecantikan berbanding dengan seluruh manusia yang lain.” (riwayat Muslim)

Justeru tidak pelik sekiranya isteri raja Mesir yang bernama Zulaikha tergila-gilakan Nabi Yusof sehingga sanggup menawarkan diri agar berzina dengannya.

Lebih menjengkelkan apabila Zulaikha tergamak menceroboh bilik Nabi Yusof dan secara agresif menutup semua tingkap dan pintu bilik bertujuan mengajak Nabi Yusof melakukan perbuatan terkutuk itu.

2Mengimbas respons Nabi Yusof terhadap pujukan Zulaikha, sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT pada ayat 24 bahawa Nabi Yusof pada peringkat awal juga tergoda dengan pujukan dan godaan Zulaikha.

Di sini tanpa dinafikan kelihatan beberapa pentafsir al-Quran cuba mentakwil daripada menerima ayat tersebut secara zahir, demi menjaga kesucian Nabi Yusof yang dilihat secara zahirnya seakan-akan turut tergoda dengan pujukan Zulaikha.

Persoalannya, apakah respons awal Nabi Yusof terhadap Zulaikha itu dilihat mencalar imej dan reputasi Nabi Yusof?

Profesor Dr. Ahmad Naufal, seorang profesor dalam bidang al-Quran dari Universiti of Jordan, bahkan tesis doktor falsafah (Phd.) beliau secara khusus mengkaji surah Yusof, menjelaskan bahawa ayat ke-24 surah ini bukan untuk mencalar imej Nabi Yusof, sebaliknya mengangkat martabat dan reputasi Nabi Yusof ke peringkat yang lebih tinggi.

Tidakkah kita pernah mendengar satu hadis yang masyhur tentang tujuh kumpulan VIP akhirat kelak yang mendapat penghormatan dan kemuliaan daripada Allah, dapat bernaung di bawah naungan Arsh-Nya di saat orang lain berpanasan.

Di antara salah satu daripada tujuh kumpulan VIP itu ialah;

“Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan agar berzina dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!” (riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Itulah hakikat yang berlaku pada Nabi Yusof yang digoda oleh Zulaikha, seorang isteri raja yang berpengaruh, muda, kaya dan terkenal cantiknya dan di kalangan bangsawan telah secara terang-terangan menggoda Nabi Yusof agar berzina dengannya.

Walau bagaimanapun berakhir dengan Nabi Yusof menolaknya semata-mata takutkan kepada murka dan azab Allah SWT.

3Ya benar! Nabi Yusof sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Quran pada permulaannya terpengaruh dengan pujukan Zulaikha, akan tetapi sejurus itu terus berpaling hingga melarikan diri meninggalkan Zulaikha bersendirian.

Persoalannya kenapa? Jawapannya tiada lain dan tiada bukannya melainkan Nabi Yusof pantas membuat recall, nikmat hidup bertuhan, dengan mengingati Allah SWT.

Baginda Nabi Yusof pantas mengimport ke dalam lubuk hatinya kekentalan jiwa agama, perasaan pemantauan Allah terhadap dirinya, Raqib dan Atiq yang tidak pernah lalai daripada mencatat setiap perilaku baik dan buruk seseorang hamba, serta mengimbas balasan syurga dan neraka, bahkan Nabi Yusof terus memupuk semangat ehsan.

“Hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu nampak Allah atau yakinlah bahawa Allah sentiasa melihat kamu, Allah mendengar kata-kata kamu!, Allah memerhati setiap gerak geri kamu!, Allah Maha Mengetahui setiap yang terpapar dalam sekeping hati kamu!”

Sesungguhnya sensitiviti ini rupa-rupanya telah menjadi motivasi paling besar pada diri Nabi Yusof untuk baginda menolak ajakan dan pujukan liar godaan Zulaikha

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Majlis Ilmu bersama 2 Ulama’ Yaman 31 Julai di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Julai 29, 2013

Tarikh    :               31 Julai 2013M / 22 Ramadhan 1434H (Rabu)

Masa     :               8.30 – 11.30 pagi

Tempat                :               Masjid Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu

Kitab      :               Ijazah Surah Fatihah, Hadis 40 Imam Nawawi, Matan Abi Syuja’ dan Sohih Muslim

(Sila bawa kitab sendiri)

Tetamu jemputan :

  1. Dr Ahmad Hassan Saleh Mohd al-Faqeh
  2. Syeikh Yassir Abduh Soleh Ali Abdul Rabb

Terbuka kepada semua muslimin dan muslimat

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Al-Quran penyuluh hidup

Posted by epondok di Julai 29, 2013

Oleh DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

MEMBACA al-Quran menenangkan fikiran. Ketenangan yang menjelma dalam jiwa pembaca al-Quran dapat menyelesai masalah yang dihadapi.

Ramai yang menghadapi tekanan hidup mampu mengimbangi hidup dengan membaca al-Quran seterusnya dapat melangsungkan kehidupan dengan sempurna.

Ketenangan yang timbul hasil daripada pembacaan al-Quran adalah menunjukkan ia adalah Kalam Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan kami turunkan al-Quran yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepada orang yang beriman. (al-Isra: 82)

Allah juga berfirman dengan maksud: Orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah (al-Quran al-Karim), ketahuilah dengan zikir kepada Allah tenang tenteramlah hati mereka. (al-Ra’ad: 28)

Nama Allah

Kajian ulama terhadap al-Quran menemukan banyak rahsia dan perkara yang pelik lagi menakjubkan. Antaranya nama Allah yang berulang dalam al-Quran adalah sebanyak 2,699 kali. Purata bilangan ini ialah setiap halaman tidak kurang daripada empat atau lima kali nama Allah tertulis.

Ada bijak pandai merumuskan bahawa nama Allah SWT diulang dengan begitu banyak namun manusia tetap membaca dan tidak merasa jemu mengkaji al-Quran.

Berbeza pula jika ada penulis novel yang menulis namanya dengan jumlah sebegitu di setiap halaman novel, nescaya ramai yang mencemuh dengan mengatakan penulis suka membangga diri dan angkuh. Bahkan novel itu tidak mampu dibaca dan akan dibuang.

Bilangan angka

Kajian juga dilakukan kepada bilangan angka yang disebut di dalam al-Quran. Ada bilangan angka satu, dua, tiga, tujuh, lapan, 19 dan sebagainya. Namun angka yang paling banyak berulang ialah satu. Umpamanya firman Allah SWT di akhir surah al-Kahf bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa aku adalah manusia seperti kamu, diwahyukan kepada ku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Satu.

Kesimpulannya, bilangan nama Allah SWT yang sebanyak 2,699 kali dihubungkan dengan kekerapan bilangan satu sebanyak 30 kali menatijahkan bahawa Allah SWT adalah esa dan bersifat wahdaniyyah.

Menariknya lagi, al-Quran diturunkan dengan ayat yang tidak teratur mengikut urutan surah yang tertulis pada hari ini. Semua maklum bahawa ayat pertama diturunkan ialah lima ayat permulaan surah al-‘Alaq. Diikuti beberapa ayat permulaan surah al-Muddathir. Terakhirnya pula ialah ayat 281 surah al-Baqarah.

Nuzul al-Quran mengikut peristiwa dan kejadian yang berlaku. Namun begitu setiap ayat yang diturunkan, Jibril AS akan memaklumkan kepada Nabi Muhammad SAW di manakah harus diletak ayat tersebut? Di surah manakah ia perlu diletakan? Dan Rasulullah SAW akan tahu setiap surah berakhir apabila Jibril AS membaca Basmalah.

Orang bertakwa

Permulaan surah al-Baqarah perlu renungan yang mendalam, lihat dengan mata hati betapa Allah SWT memulakan ayat dengan huruf yang tidak ada manusia memahaminya iaitu alif, lam, mim. Tetapi selepas itu Allah menyatakan bahawa kitab ini adalah panduan kepada orang-orang yang bertakwa.

Hubungan surah demi surah sebanyak 114 surah adalah amat teliti dan sempurna diibaratkan seperti untaian tasbih. Segala keperluan manusia dipaparkan dengan bahasa yang kemas dan menakjubkan.

Peristiwa masa lalu dengan pengajarannya, keperluan manusia kepada panduan hidup masa kini dan jalan kebahagiaan manusia masa hadapan dihurai dengan jelas. Justeru, berbahagialah mereka yang menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Di akhir al-Quran, Allah SWT menamatkan Kalam Suci-Nya dengan surah al-Nas yang bermaksud manusia. Intisari surah al-Nas ialah perlindungan kepada Allah SWT daripada segala bahaya zahir dan bahaya batin.

Bahaya batin ialah gangguan dan perasaan ragu-ragu daripada angkara makhluk yang tidak kelihatan kepada kita, syaitan dan jin. Juga tipu daya daripada makhluk yang berupa manusia.

Lantaran itu, dampingilah al-Quran dengan membaca, memahami dan mengamalkannya. Semoga kita menjadi manusia yang mendapat syafaat al-Quran di Hari Kemudian.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tidak salah memakai pakaian berwarna

Posted by epondok di Julai 29, 2013

Umat Islam digalakkan memakai pakaian warna putih. Namun, kita juga dibenarkan memakai pakaian berwarna lain seperti merah, hijau, kuning dan hitam. Kita juga dibenarkan memakai pakaian yang diperbuat daripada kapas, bulu dan lain-lain, kecuali lelaki dilarang memakai sutera.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai anak Adam. Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu pakaian bagi menutup aurat kamu dan pakaian indah sebagai perhiasan. Pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raf, ayat 26)
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan untuk kamu tempat bernaung daripada benda yang Dia ciptakan. Dia menjadikan untuk kamu tempat tinggal di gunung-ganang. Dia juga menjadikan untuk kamu pakaian yang memelihara kamu daripada panas, juga pakaian (baju besi) yang memelihara kamu semasa peperangan. Demikianlah, Allah menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepada-Nya.” (Surah an-Nahl, ayat 81)

Abdullah bin Abbas berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Saudara sekalian pakailah pakaian berwarna putih kerana warna putih adalah warna terbaik. Saudara sekalian juga gunakan pakaian warna putih untuk dipakaikan kepada orang meninggal.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Fitrah manusia

Walaupun digalakkan memakai pakaian warna putih, namun tidak salah mengenakan pakaian berwarna lain kerana fitrah manusia menyukai warna terang dan ada memilih warna lembut sesuai dengan kecenderungan minat masing-masing.

Al-Barra’ bin ‘Azib berkata, “Nabi Muhammad adalah seorang yang sederhana tingginya. Baginda kelihatan segak dan tampan apabila memakai pakaian berwarna merah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Abu Rimsah atau nama sebenarnya Amru bin Huraith berkata: “Saya melihat Nabi Muhammad memakai dua baju yang berwarna hijau.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Intai peluang raih keampunan

Posted by epondok di Julai 28, 2013

Zamanuddin Jusoh

Kita sudah berada pada fasa kedua Ramadan yang dijanjikan keampunan daripada Allah SWT. Jika fasa pertama kita dilihat oleh Allah SWT dengan pandangan rahmat-Nya, maka keampunan adalah jalan untuk mendapat syurga pada fasa terakhir nanti.

Justeru, ini umpama bonus yang diumumkan kerajaan apabila menjelang hari raya. Sudah pasti kegembiraan akan terpancar di wajah semua warga kerja kerana ia tepat pada masa dan ketika.
Begitulah Ramadan yang dijanjikan dengan pelbagai keistimewaan di mana penghujungnya adalah keselamatan daripada api neraka. Bagi orang berpuasa, mereka akan sentiasa mengintai peluang ini kerana yakin akan mendapat keampunan pada ketika ditentukan Allah SWT.

Allah SWT tidak akan mensia-siakan segala usaha yang dilakukan sepanjang Ramadan. Apatah lagi kepada mereka yang sentiasa mengharapkan keampunan sepanjang bulan mulia.

Berkata Hassan al-Basri: “Perbanyakkan istighfarmu di mana-mana. Di rumahmu, di hadapan hidanganmu ketika berbuka puasa, di sepanjang perjalananmu, di pasar, serta dalam majlismu dan di mana saja kamu berada. Sesungguhnya kamu tidak tahu bilakah datangnya saat keampunan itu.”

Sentiasa mohon keampunan

Menunjukkan saranan untuk kita sentiasa memohon keampunan Allah SWT mestilah berpanjangan serta yakin dengan janji Allah SWT kerana maklum balas inilah yang sangat disukai-Nya.
Di samping memohon keampunan dan bertaubat, kita juga hendaklah mengingati al-Quran, kitab suci yang diturunkan pada Ramadan. Al-Quran akan menjadi fungsi utama dalam memberi syafaat kepada manusia ketika di alam barzakh dan hari kiamat nanti.

Peristiwa nuzul al-Quran, turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW, seterusnya berperingkat menjadi lengkap seperti kitab al-Quran yang ada hari ini.

Peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan tahun ke-41 selepas keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Penghayatan al-Quran

Allah SWT tidak hanya menurunkan al-Quran semata-mata untuk diambil keberkatan oleh si mati atau sebagai perhiasan di dinding rumah, malah sebagai penghayatan untuk mereka yang masih hidup serta melaksanakan isi kandungan terdapat dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami turunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran dan sebagai keputusan yang wajib dilaksanakan dalam kalangan manusia.” (Surah An-Nisa’, 105)

Fungsi al-Quran sebenar akan dapat dilihat daripada maksud perkataan al-Quran itu sendiri di mana ia mestilah melalui bacaan dan pelaksanaan dalam kehidupan manusia. Bukan saja mereka yang hidup mendapat keberkatan daripadanya, malah mereka yang sudah meninggal juga akan dapat manfaat daripada al-Quran.

Namun, pelaksanaan dalam kehidupan adalah lebih sukar berbanding keberkatan yang diperoleh si mati. Kebanyakan daripada pelaksanaan sistem al-Quran adalah bertentangan daripada sistem yang dicipta manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah sistem ciptaan manusia itu lebih baik daripada apa yang diciptakan Allah? Jawapannya hanya ada kepada mereka yang yakin dengan agamanya.” (Surah al-Maidah, ayat 50)

Bersempena bulan diturunkan al-Quran, manusia dituntut mendekati serta mempelajari isi kandungan yang terdapat dalam al-Quran. Di sana ada panduan yang sebenar untuk kebaikan manusia seluruhnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada bulan Ramadan, al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia serta panduan untuk mencari kebenaran dan kebatilan.” (Surah Baqarah, ayat 185)

Lebih khusus lagi, al-Quran diturunkan ialah pada malam Lailatulqadar seperti firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (lailatulqadar). Tahukah kamu apakah itu malam kemuliaan (Lailatulqadar) itu? Malam kemuliaan itu (Lailatulqadar) lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahtera (malam itu) sampai terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Kita dapat melihat orang beriman melipatgandakan usaha mendekati al-Quran. Inilah antara sifat dan keadaan salafus soleh (orang terdahulu) ketika berada di bulan Ramadan, mereka sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran bermula dari membaca, mempelajari dan menghayatinya.

Menangis tatkala membaca atau mendengar bacaan al-Quran adalah satu kaedah untuk menghayati ayat-ayat Allah SWT dan melahirkan rasa takut kepada Allah SWT. Ancaman Allah SWT dengan seksaan neraka kepada mereka yang ingkar dan zalim akan menimbulkan rasa gerun, insaf dan takut terhadap azab Allah SWT.

Mendendangkan al-Quran akan mendidik hati dan jiwa, bahkan jiwa mereka bergetar dan hati tersentuh mendengar untaian kalamullah dibacakan. Namun kelebihan memahami al-Quran hanyalah buat mereka yang mempelajarinya saja.

Namun bagi mereka yang tiada pengetahuan berkaitan al-Quran hendaklah bertanya serta mempelajarinya. Oleh itu, pergunakanlah masa lapang Ramadan ini untuk meningkatkan bacaan al-Quran, banyakkan berzikir, beristighfar dan berselawat kepada Nabi SAW.

Marilah bersama menghayati sejarah nuzul al-Quran dengan azam menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup, membacanya, memahami maknanya dan menghayati maksud yang terkandung di dalamnya semata-mata mencari keredaan Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Ikhlas puncak kelazatan Ramadan

Posted by epondok di Julai 27, 2013

Zamanuddin Jusoh

Muslim yang beriman sudah pasti akan merasai kelazatan dan kenikmatan Ramadan. Hati mereka sentiasa cenderung untuk melakukan kebajikan berdasarkan ganjaran dijanjikan bersempena Ramadan yang mulia.
Mereka juga mampu untuk menjalankan kegiatan harian seperti biasa, malah dapat meningkatkan produktiviti pada Ramadan. Namun, melihat di alam nyata, kekuatan yang disemaikan oleh Ramadan tidak dapat diterjemahkan pada wajah dan suasana kehidupan umat Islam.

Mereka menjadikan puasa sebagai alasan untuk mengurangkan aktiviti kehidupan, malah ada yang terus membekukan aktiviti mereka kerana baginya kekuatan hanya ada pada jasad yang zahir semata-mata. Keikhlasan yang wujud dalam puasa Ramadan akan dapat melahirkan benih ketakwaan sebenar kerana golongan Muslimin mendapat tarbiah secara langsung daripada Allah SWT melalui puasa Ramadan.

Oleh itu kita dapati banyak peristiwa penting dalam Islam ditentukan Allah SWT pada Ramadan dan golongan Muslimin mencapai kejayaan cemerlang. Ini menunjukkan kekuatan yang dihasilkan oleh tarbiah Ramadan tidak dapat disangkal sesiapa.

Allah SWT membuktikan kekuatan tersebut melalui peristiwa bersejarah yang hebat antaranya Perang Badar al-Kubra (17 Ramadan tahun kedua hijrah) yang menampilkan kejayaan cemerlang baginda Nabi SAW ketika berdepan kekuatan Musyrikin yang lebih dari segi fizikal dan material.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya Allah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu dalam keadaan lemah dari segenap segi. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan 3,000 tentera dari malaikat yang diturunkan?” (Surah Al-Imran, ayat 123)
Baginda terus berdoa sehingga selendang beliau jatuh daripada bahunya. Lantas datang Abu Bakar Al-Siddiq mengambil selendang itu, lalu meletakkannya kembali pada bahu Baginda. Kemudian beliau berdiri di belakang Rasulullah SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, kamu bersungguh-sungguh dalam mengucapkan doamu itu kepada Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT akan makbulkan permintaanmu dan akan penuhi janji-Nya kepadamu.”

Kemudian, turun firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang secara berduyun-duyun.” (Surah al-Anfal, ayat 9)

Peranan doa dalam kehidupan

Kisah ini menggambarkan dengan jelas peranan doa dalam kehidupan muslim. Setiap muslim dituntut berdoa hanya kepada Allah SWT. Ia juga menunjukkan betapa manusia adalah makhluk lemah dan serba daif.

Oleh itu, manusia berhajatkan kepada pertolongan Allah SWT sebagai Pencipta alam semesta yang Maha Berkuasa. Baginda SAW bersabda: “Doa adalah senjata mukmin dan tiang agama serta sinaran cahaya yang menerangi langit dan bumi.” (Riwayat Abu Ya’la)

Peristiwa ini menggambarkan kekuatan mental umat Islam terserlah di mana keputusan yang diambil berkaitan tawanan perang adalah bertepatan dengan kehendak umat seluruhnya. Tawanan tidak dikenakan bayaran wang ringgit sebaliknya ditugaskan mengajar anak golongan Muslimin sehingga dapat menulis serta membaca.

Ketinggian ilmu

Di sinilah letaknya ketinggian dan kehormatan ilmu pengetahuan berbanding harta kekayaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Harta dan anak hanyalah perhiasan hidup di dunia, manakala yang lebih baik di sisi Allah SWT adalah pahala ganjaran dan sebaik-baik cita-cita.” (Surah al-Kahfi, ayat 46)

Peperangan Khandak atau Ahzab (Ramadan tahun kelima hijrah) juga mencabar kekuatan fizikal umat Islam di mana Baginda SAW menerima pendapat Salman al-Farisi untuk menggali parit. Ada berpendapat, peperangan Khandak akhirnya terjadi pada Syawal dan berakhir pada Zulkaedah.

Di sini juga berlaku mukjizat ketika Jabir bin Abdullah mengundang Baginda SAW untuk makan di rumahnya di mana makanan yang sedikit dapat menampung 1,000 tentera Islam.

Pembukaan Kota Makkah berlaku pada 10 Ramadan tahun 8 Hijrah dan baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukaddid. Makkah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir Ramadan.

Peristiwa penting ini menyaksikan ramai sahabat khasnya golongan Muhajirin menitiskan air mata gembira kerana kejayaan menawan kembali kota yang dulunya menjadi tempat mereka dihina dan diseksa dalam perjuangan menegakkan agama Allah SWT.

Ia adalah kejayaan terbesar kepada umat Islam apabila berjaya menguasai Makkah dan Madinah sekali gus menjadikan kedua-duanya sebagai pusat penting bagi Daulah Islamiah di bawah kepimpinan Rasulullah SAW.
Kejayaan umat Islam waktu itu bukan saja dapat menakluki Makkah, bahkan hasil penaklukan kota Makkah itu menyebabkan penduduknya yang dulu kafir memasuki agama Allah SWT.

Ini terkandung di dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan padaNya, Sesungguhnya, Dia Maha Penerima Taubat.” (Surah an-Nasr, ayat 1-3)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Mengurangkan kesibukan dunia

Posted by epondok di Julai 27, 2013

Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR

umat Islam digalakkan untuk menghidupkan malam Ramadan dengan pelbagai ibadah sunat.
– Gambar hiasan

BULAN Ramadan merupakan waktu terbaik untuk kita mendidik diri ke arah kebaikan. Di bulan Ramadan kita bukan sahaja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, bahkan turut diseru untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat.

Ini bertujuan membentuk hati dan rohani agar akrab kepada Allah SWT di samping mengejar ganjaran yang telah disediakan di bulan Ramadan.

Antara perkara yang digalakkan sepanjang Ramadan ialah:

1Bersahur – termasuk salah satu perkara yang dituntut di dalam bulan Ramadan. Bangun pada waktu sahur dan bersahur itu merupakan perbuatan yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa penganut agama lain.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perbezaan puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahli kitab (yahudi dan nasrani) ialah makan sahur. (riwayat Muslim dan Abu Daud)

Sahur bukan sahaja memberikan tenaga untuk kita berpuasa di siang hari sebaliknya ia mengandungi keberkatan baik dari sudut waktu sahur dan juga perbuatan sahur itu sendiri.

Sabda Rasulullah SAW: Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

2Banyakkan bersedekah – Sedekah merupakan perkara yang amat dituntut kepada umat Islam. Ia merupakan ibadah yang besar ganjarannya di akhirat kelak sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (al-Hadid: 18)

Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam bersedekah. Beliau seorang yang begitu dermawan lebih-lebih lagi apabila tiba bulan Ramadan. Baginda memperbanyakkan sedekahnya melebihi bulan lain selain Ramadan.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan ketika beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus. (riwayat al-Bukhari)

3Membaca al-Quran – Bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran. Pada bulan inilah al-Quran diturunkan kepada Rasulullah sSAW dan pada bulan Ramadan juga malaikat Jibril akan menemui Rasulullah untuk mengajarkan al-Quran.

Baginda akan membaca dan belajar al-Quran secara langsung dengan Malaikat Jibril pada bulan Ramadan. Ibnu Abbas berkata: Jibril menemuinya setiap malam (di bulan Ramadan) untuk mengajarkan al-Quran. (riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, kita diseru memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan terutama pada malam hari kerana waktu itu merupakan waktu terbaik untuk beribadat di samping kurang kesibukan dunia ketika itu.

4Memberi makan untuk berbuka – Selain daripada bersedekah, amalan memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk mereka berbuka puasa amat digalakkan. Amalan ini membolehkan pelakunya meraih ganjaran yang sama sebagaimana orang yang diberikan makanan itu.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka, dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.” (riwayat Al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

5Solat di malam Ramadan – Solat merupakan medan yang menghubungkan seorang hamba kepada Allah SWT. Digalakkan kepada umat Islam untuk menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat terutama solat malam seperti solat sunat terawih, solat taubat, qiamullail dan sebagainya.

Daripada Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW sangat menganjurkan untuk solat malam Ramadan tanpa mewajibkan dan bersabda: Barang siapa yang melakukan solat malam Ramadan kerana keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Muslim dan Al-Tirmizi)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »