Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 17 Jun 2013

Hayati, manfaat kemuliaan Syaaban

Posted by epondok di Jun 17, 2013

Masa menelah, memperbaiki diri menjadi insan cemerlang sebelum tiba bulan puasa

SYAABAN yang sudah melewati pertengahan bulan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan menyediakan peluang seluasnya untuk melakukan kebajikan dengan memperbanyakkan amal ibadat kepada Tuhan serta kebajikan sesama insan.

Setiap umat Islam tidak sewajarnya meninggalkan Syaaban tanpa menghayati dan menghargai kelebihannya, sebaliknya patut menjadikan Syaaban sebagai bulan percubaan membaiki diri menjadi insan cemerlang sebelum tibanya Ramadan.

Sebahagian ahli hikmah pernah berkata: Sesungguhnya Rejab adalah kesempatan untuk minta ampun daripada segala dosa, Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam cela dan Ramadan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Selain menggandakan puasa sunat seperti mana diamalkan Rasulullah SAW, umat

Islam digalakkan banyak berdoa terutama pada malam Nisfu Syaaban antara malam yang paling mustajab memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT.

Malam itu juga malam pengampunan, seperti disebut dalam hadis diriwayatkan Imam Ibnu Majah yang mafhumnya: Daripada Yahya ibni Abi Khasir, daripada Irwah, daripada Aisyah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT menurunkan rahmat-Nya (memakbulkan doa) pada malam Nisfu Syaaban ke langit bawah (langit dunia), maka Allah SWT mengampunkan hamba-Nya lebih banyak bilangannya daripada bulu kambing Kabilah Bani Kalib.

Syaaban tahun ini, umat Islam diuji dengan pelbagai penyakit jiwa yang berjangkit dan merebak disebabkan tipu daya dunia serta isinya. Di kala insan lain berusaha dan berdoa siang dan malam untuk memperoleh zuriat, ada yang dianugerahkan Allah dengan cahaya mata tidak diingini.

Bayi itu dibuang bagai sampah sarap yang busuk dan jijik, sehingga menjadi habuan binatang liar yang kelaparan. Lebih daripada itu, ada yang mengambil kesempatan menjadikan bayi tidak berdosa sebagai barangan jualan sehingga mengetepikan asal usul agama dan keturunan yang sudah tentu memporak-perandakan nasabnya kelak.

Sebagai persediaan menghadapi Ramadan yang menguji kesabaran dan keimanan, sewajarnya Syaaban sebulan ini dijadikan sebagai percubaan membaiki diri supaya menjadi insan cemerlang, yang lebih baik dari tahun sebelumnya.

Jika pada Ramadan umat Islam wajib berpuasa sebulan lamanya, maka Syaaban diperbanyakkan amalan puasa sunat, lebih daripada kebiasaan. Kesempatan ini juga patut diambil untuk melatih anak berpuasa sebelum mereka wajib melakukannya pada Ramadan nanti.

Begitu juga amalan sunat lain seperti bersedekah dan solat sunat. Syaaban penuh rahmat jangan dibiarkan pergi tanpa memanfaatkan isinya semaksimum mungkin. Tambahan pula, di ambang Ramadan, umat Islam mula membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Amalan bersedekah sedikit sebanyak meringankan beban golongan susah dan amat mengharapkan bantuan mereka yang berkemampuan, sekurang-kurangnya apabila datangnya Ramadan, mereka sudah mampu mengukir senyum dan menunaikan ibadat wajib dengan hati yang tenang.

Qiamullail dan solat sunat di malam hari juga adalah rutin umat Islam pada Ramadan, janggal jika ditinggalkan. Namun begitu, ia sukar dilaksanakan kerana umat Islam di negara kita tidak begitu teruja memeriahkan masjid pada waktu malam dengan amalan solat sunat.

Kadangkala, amalan ini hanya banyak dilakukan di penghujung Ramadan setelah umat Islam mula merasai momentum bulan yang mulia itu, sedangkan Syawal sudah pun hampir bertandang. Maka Ramadan berlalu lagi tanpa sempat beribadah sepuas-puasnya.

Justeru, menjadikan Syaaban yang masih berbaki sebagai percubaan untuk menghadapi Ramadan adalah sebaik-baik tradisi yang perlu dicetuskan setiap umat Islam. Waktu inilah, kita perlu lupakan segala sengketa dan sejarah silam yang tidak memberi kebaikan kepada sesama manusia.

Saat ini bersatu padu di bawah panji agama, memperbanyakkan amalan sunat dan sentiasa berdoa serta merapatkan diri dengan Yang Maha Pencipta supaya kita tidak terpinggir dari golongan yang sentiasa mendapat perhatian dan kasih sayang-Nya.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »