Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mei 2013

Keajaiban Air Zam-zam

Posted by epondok di Mei 31, 2013

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

TIDAK ramai orang mengetahui bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter air pada musim haji dan tidak pernah kering walaupun sekali.

Pernah seorang ilmuwan diperintahkan oleh Raja Faisal untuk menyelidik telaga zam-zam bagi menjawab tuduhan liar daripada seorang doktor dari Mesir mengenai air zam-zam.

Berapa juta liter air zam-zam yang diambil setiap kali musim haji? Mari kita kira secara ringkas. Jika jemaah haji yang datang dari seluruh dunia pada setiap musim haji berjumlah lebih kurang dua juta orang.

Semua jemaah diberi lima liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya, jika dua juta orang membawa pulang masing-masing lima liter air zam-zam ke negaranya, ini sudah menjadi 10 juta liter.

Di samping itu sepanjang berada di Mekah, katakan kebanyakan jemaah haji tinggal selama 25 hari di sana dan setiap orang menghabiskan satu liter sehari. Maka jumlahnya sudah mencapai 50 juta liter.

Pada 1971, seorang doktor dari Mesir mengatakan kepada media di Eropah bahawa air zam-zam tidak sihat untuk diminum.

Pendapatnya berdasarkan bahawa kota Mekah itu adalah di bawah garis permukaan laut, air zam-zam itu berasal dari air sisa buangan penduduk kota Mekah yang meresap, kemudian terbawa bersama-sama air hujan dan keluar dari telaga air zam-zam.

Berita itu telah sampai ke pengetahuan Raja Faisal yang kemudian memerintahkan Menteri Pertanian dan Sumber Air untuk menyelidiki masalah ini dan menghantar contoh air zam-zam ke makmal-makmal di Eropah untuk dilakukan uji kaji.

Tariq Hussain seorang ahli kimia yang bekerja di Institut Peresapan Air Laut untuk air minuman di Jeddah ditugaskan melakukan penyelidikan.

Pada awal memulakan tugasnya, Tariq belum ada gambaran bagaimana telaga zam-zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya.

Ketika sampai dalam telaga zam-zam, Tariq amat terkejut apabila melihat bahawa ukuran “kolam” telaga itu hanya 18×14 kaki sahaja (kira-kira 5×4 meter).

Tidak terbayang bagaimana telaga sekecil itu boleh mengeluarkan jutaan gelen air setiap kali musim haji dan ini berlaku sejak ribuan tahun yang silam semenjak zaman Nabi Ibrahim AS.

Penyelidikan beliau menunjukkan bahawa mata air zam-zam boleh mengeluarkan air sebanyak 11 hingga 18 liter air perdetik dengan demikian setiap minit sejumlah 660 liter air akan dihasilkan, itulah yang menakjubkan.

Tariq mula mengukur kedalaman air telaga zam-zam dan meminta pembantunya masuk ke dalam air, ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya lima kaki lapan inci.

Kemudian dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya.

Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tidak menemui apa-apa pun.

Dia berfikir mungkin air telaga itu diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar. Jika begitu keadaannya maka dia boleh melihat turun naiknya permukaan air secara tiba-tiba.

Tetapi dugaannya meleset, Tariq tidak menemui gerakan air yang mencurigakan dan alat yang dapat mendatangkan air dalam jumlah yang besar.

Seterusnya dia meminta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga, lalu menyuruh berdiri dan diam di tempatnya sambil mengamati sekelilingnya.

Perhatikan dengan cermat dan laporkan apa yang terjadi walau sekecil mana pun. Setelah melakukan proses tersebut dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak: “Alhamdulillah, saya temuinya! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku dan air itu keluar dari dasar telaga.”

Lalu pembantu Tariq diminta berputar mengelilingi telaga ketika tiba masa penghisapan air oleh paip air untuk keluar. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum dipam.

Aliran air yang keluar sama besarnya di setiap titik di semua kawasan, ini menyebabkan permukaan telaga itu stabil tidak ada goncangan yang besar.

Sementara itu, hasil penyelidikan contoh air zam-zam di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan air zam-zam mengandungi zat fluorida yang berkesan membunuh kuman seperti sudah mengandungi ubat.

Perbezaan air zam-zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah kuantiti kalsium dan garam magnesium. Kandungan kedua mineral itu lebih banyak pada air zam-zam, mungkin sebab itulah air zam-zam dapat menyegarkan jemaah yang keletihan.

Keistimewaan lain, komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil dan sama dari sejak terbentuknya telaga itu. “Rasanya” selalu terjaga, diakui oleh semua jemaah haji dan umrah yang selalu datang setiap tahun.

Nabi SAW menjelaskan: “Sesungguhnya air zam-zam ini air yang sangat diberkati, ia adalah makanan yang mengandungi gizi.”

Nabi SAW menambahkan: “Air zam-zam bermanfaat untuk apa sahaja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh daripada penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman daripada Allah untuk Ismail.” (riwayat Darulqutni, Ahmad, Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas)

Rasulullah SAW pernah mengambil air zam-zam dalam sebuah kendi dan bekas daripada kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah dan air zam-zam itu digunakan Rasulullah untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya.

Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di makmal Eropah, terbukti bahawa air zam-zam memang lain daripada yang lain. Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Mekah iaitu;

1. Kadar kalsium dan garam magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan penyembuhan.

2. Air zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.

3.  Yang menakjubkan lagi, tidak ada sedikitpun lumut di telaga zam-zam. Air zam-zam sentiasa bebas dari pencemaran kuman.

4.  Ajaibnya lagi, pada masa semua telaga air di sekitar Mekah dalam keadaan kering, telaga zam-zam tetap berair. Air zam-zam memang tidak pernah kering sepanjang zaman.Beberapa ulama fikah mencadangkan agar jemaah haji dan umrah membawa air zam-zam ketika pulang ke negaranya kerana air zam-zam dapat menjadi sebagai ubat untuk penyembuhan.

Ini terbukti jemaah dari negara umat Islam mahupun negara lain yang pernah merasakan keajaiban air zam-zam.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Melahirkan insan berkualiti

Posted by epondok di Mei 30, 2013

MELALUI usaha memperkasakan peranan guru akan melahirkan modal insan berkualiti. Itulah antara keutamaan yang dilakukan oleh kerajaan dengan memberikan insentif kepada bidang pendidikan di negara ini.

Oleh itu, untuk melahirkan modal insan, peranan kerajaan dan juga para guru adalah tunggak utama ke arah kejayaannya. Pendidikan pada dasarnya adalah suatu unsur sosial dan proses yang diciptakan oleh masyarakat untuk memudahkan kehidupan sosial dalam masyarakat.

Lantaran itu, pendidikan berlaku di mana sahaja dan selama mana manusia bertindak balas terhadap kehidupan dan pengajaran merupakan sebahagian daripada pendidikan.

Jelaslah, kerajaan tidak mengambil mudah dan memandang ringan usaha memperkasa peranan guru dengan memberikan latihan, kursus, ceramah dan juga motivasi supaya dapat memberikan kesan kepada pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. Ini semua bertujuan untuk melahirkan modal insan berkualiti dan cemerlang.

Oleh itu, melalui falsafah pendidikan al-Quran iaitu sebagai guru memberi petunjuk dan motivasi ke arah pemantapan akidah, membentuk akhlak mulia dan pembersihan rohani dan jasmani untuk mencapai martabat insan soleh dan bertakwa kepada Allah SWT.

Seterusnya, berusaha membimbing dan membentuk nilai-nilai keperibadian yang luhur serta dapat mengangkat martabat dan peradaban ummah yang dirahmati Allah SWT.

Beberapa usaha dilakukan untuk melahirkan modal insan cemerlang. Kejayaan dan kecemerlangan murid dan pelajar banyak bergantung pada kehebatan P&P guru di dalam kelas.

Jika guru dapat menyampaikan isi pengajaran dengan baik dan berkesan murid dan pelajar mudah memahaminya dan dapat menjawab soalan dalam peperiksaan dengan cemerlang. Pendidikan juga mestilah menjurus kepada keutamaan berakhlak, jaminan sosial yang baik dan mendidik ke arah menjaga alam persekitaran.

Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai kemahiran, ke arah kecemerlangan generasi akan datang dalam memperkasa ilmu dan kemahiran untuk tujuan bidang pekerjaan.

Kehidupan manusia akan terancang apabila mereka memiliki sumber yang khusus membimbing ke arah kejayaan hidup di muka bumi ini.

Asas pendidikan dalam kehidupan manusia melalui pendidikan sosial, pendidikan akhlak, pendidikan alam sekitar, pendidikan kejiwaan, pendidikan mental, pendidikan jasmani, pendidikan ilmu, sains dan sebagainya.

Dalam menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu umat Islam boleh mengambil contoh Nabi SAW dan juga Imam Syafi’e. Menurut beliau, menuntut ilmu adalah lebih utama daripada ibadah sunah. Beliau mempunyai banyak guru antaranya Malik bin Anas, Sufyan Uyainah, Ibrahim bin Sa’ad dan banyak lagi. Imam Syafi’e yang pintar dan banyak anak muridnya menjadi ulama.

Telah sepakat para ulama bahawa Imam Syafi’e adalah seorang alim besar di Timur dan Barat. Imam agama Islam di dunia. Allah SWT himpunkan padanya apa yang tidak ada pada imam-imam sebelum dan sesudahnya.

Negara sentiasa berusaha menyediakan tenaga kerja berwibawa yang berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi.

Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni, dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul. Merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa depan.

Seterusnya, sebagai guru aspek-aspek pendidikan menurut al-Quran mestilah dititikberatkan dalam pendidikan iaitu meliputi pendidikan tauhid, ibadah, keimanan, akal, akhlak, jasmani, keterampilan dan kemasyarakatan.

Sikap guru juga mestilah memiliki sikap adil, lemah-lembut, kasih sayang, persamaan, musyawarah, persaudaraan, berdisiplin, boleh dijadikan contoh, memudahkan pengajaran dan mengarak ke masa depan yang maju dan cemerlang.

Realitinya, pihak kerajaan sebagai badan perancang utama telah menyediakan bajet dan peruntukan untuk membangunkan modal insan iaitu pelajar di sekolah.

Manakala, para guru adalah pihak yang akan melaksanakan tujuan ke arah membangunkan modal insan yang berkualiti iaitu berilmu dan berkemahiran tinggi untuk sebuah negara maju yang membangun.

Oleh itu, pendidikan itu ialah satu proses pengajaran, pembelajaran dan bimbingan masyarakat dalam aspek kehidupan manusia.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Reda ujian Allah lambang keimanan

Posted by epondok di Mei 29, 2013

Oleh Mazyyah Osman

Segala perintah Allah SWT baik yang wajib mahupun sunat hendaklah dilaksanakan dengan hati yang reda. Demikian juga larangan Allah SWT hendaklah dijauhi dengan lapang dada. Hati yang reda terpancar daripada kemurnian iman dan tidak reda adalah gejala nifaq.

Reda dengan qada pula membawa maksud menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah SWT, sama ada nikmat mahupun musibah. Meredai qada Allah merealisasikan pengertian iman seseorang hamba.
Seorang mukmin apabila memperoleh perkara yang menggembirakannya, dia bersyukur. Sebaliknya apabila ditimpa musibah, dia bersabar.

Sabda Rasulullah SAW: “Allah tidak menentukan sesuatu ketetapan kepada hamba-Nya melainkan ada kebaikan untuk hamba-Nya itu. Jika dia mendapat perkara yang menggembirakan ia bersyukur, maka itu adalah baik baginya. Jika ia mendapat sesuatu menyusahkan dirinya maka bersabar, maka itu adalah baik baginya, tiada kesemua hal ini melainkan terhadap orang beriman.” (Riwayat Ahmad, Muslim, al-Daarimi dan Ibnu Hibban)

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu ia meminta nabi mewasiatkan kepadanya dengan wasiat lengkap dan ringkas, lalu nabi pun bersabda: “Jangan kamu membuat sesuatu tuduhan kepada Allah SWT berkaitan dengan qada-Nya.”

Diberitakan, Rasulullah SAW apabila memperoleh kegembiraan Baginda berkata: “Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan. Apabila didatangi perkara yang tidak menyenangkan, Baginda mengucapkan: Segala puji bagi Allah atas segala perkara.”

Bersyukur bila peroleh kesenangan
Sikap reda dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah SWT ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar dua pengertian.

Pertama, bertitik tolak daripada pengertian sesungguhnya Allah SWT memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana Dialah sebaik-baik Pencipta dan Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua, bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah SWT adalah yang terbaik dibandingkan pilihan serta kehendak peribadi.

Baginda SAW bersabda: “Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu, janganlah engkau berkata: Jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan: Allah telah mentakdirkan dan apa yang ia suka, ia perbuat. Kerana sesungguhnya perkataan: andaikata itu memberi peluang kepada syaitan.” (Riwayat Muslim)

Sabar dan reda mempunyai konsep berbeza. Sabar bermaksud menahan diri daripada marah dan berkeluh kesah. Tetapi, hati seseorang yang sabar masih merasakan sakit dan ia mengharapkan kesakitan itu akan hilang.

Reda pula bermaksud berlapang dada dengan sesuatu ketetapan Allah. Ia tidak mengharapkan hilangnya kesakitan jika ia merasai sakit akan tetapi sikap reda yang ada pada dirinya meringankan serta menghilangkan kesakitan yang dirasai.

Ini kerana Allah SWT memimpin hati orang mukmin untuk menerima apa yang berlaku dengan tenang dan sabar seterusnya melupakan kesakitan yang dirasai.

Firman Allah SWT: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Taghabun, ayat 11)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Persoalan hangat tentang Yakjuj dan Makjuj

Posted by epondok di Mei 28, 2013

Yakjuj dan Makjuj sering melakukan kerosakan di muka bumi. – Gambar hiasan

1Adakah Yakjuj dan Makjuj daripada manusia?

Jawapan: Ya. Kedua-duanya daripada umat manusia. Iaitu dua kabilah. Dikatakan daripada Yaputh bin Nuh. Ini dikuatkan lagi daripada hadis Bukhari.

2 Apakah sifat Yakjuj dan Makjuj?

Jawapan:Antara sifat mereka ialah

– Kekuatannya yang amat luar biasa.

– Mata mereka sepit.

– Banyak bulu pada badan mereka.

– Jumlah mereka tersangat ramai.

Manakala Ibnu Hajar menyebut tiga sifat iaitu:

– Jasad mereka seperti pohon yang besar.

– Jasad mereka empat hasta lebar x empat hasta tinggi.

– Sebahagian mereka boleh duduk di atas telinga-telinga mereka seleret ke tanah.

Pun begitu, sifat ini tidak disandarkan pada riwayat yang sahih, tetapi didhaifkan sifat tersebut oleh sebahagian ulama.

3 Bilangan Yakjuj dan Makjuj?

Jawapan: Bilangan mereka teramat ramai. Ini berdasarkan hadis di mana bilangan mereka tanpa diketahui jumlahnya. Dalam hadis al-Hakim melalui kitabnya al-Istadrakh menyebut: Manusia dibahagikan kepada 10 juzuk dan 9/10 daripadanya Yakjuj dan Makjuj sedangkan sejuzuk yang lain adalah semua makhluk atau manusia.

4Apakah agama Yakjuj dan Makjuj?

Jawapan: Mereka adalah yang kufur dengan Allah. Kalaulah tidak, nescaya tidak dihukum ke atas mereka serentak. Ini berdasarkan mafhum hadis.

5Tempat tinggal Yakjuj dan Makjuj?

Jawapan: Berdasarkan riwayat hadis, mereka dikurung dan disekat antara dua gunung yang besar di Turki. Apabila mereka keluar, mereka terus menuju ke Laut Mati dan meminum semua air tersebut. Kemudian mereka menuju ke Baitul Maqdis, Palestin.

6Bilakah mereka keluar?

Jawapan: Mengikut riwayat yang sahih mereka keluar pada zaman Nabi Allah Isa bin Maryam selepas turunnya Nabi Isa dan dia membunuh Dajjal dan ketika itulah keluarnya Yakjuj dan Makjuj menyebabkan Nabi Isa telah membawa bersamanya orang yang beriman ke gunung yang berhampiran iaitu gunung Thur. Ini bertujuan untuk berlindung kerana ramainya jumlah Yakjuj dan Makjuj seperti ombak laut yang tidak diketahui hujung dan pangkalnya.

7Tempat tinggalnya sekarang?

Jawapan: Sekarang ini dengan kemudahan teknologi bahkan melalui udara dan satelit yang mungkin dapat mengesan tempat tinggal Yakjuj dan Makjuj. Dalam hal ini, kudrat Allah SWT yang boleh melakukan apa saja. Berdasarkan nas hadis menunjukkan mereka berada di dalam tanah dan percubaan untuk keluar berlaku dari semasa ke semasa. Samalah seperti kita beriman adanya jin dan di manakah mereka.

8Bagaimana cara Yakjuj dan Makjuj dibinasakan?

Jawapan: Mengikut riwayat Nawwas bin Sam’an bahawa Yakjuj dan Makjuj telah dibala dengan leher mereka dimakan ulat dan mereka mati serentak, selepas itu Nabi Isa dan pengikutnya turun ke bumi. Mereka tiada tempat kerana dipenuhi jasad Yakjuj dan Makjuj dan bau jasad mereka yang tidak baik. Kemudian Allah SWT utuskan burung seperti leher-leher unta memakan dan membawa mereka mengikut kehendak Allah SWT. Selepas itu Allah SWT menurunkan hujan membasuh bumi hingga menjadi suci.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Sifat Yakjuj dan Makjuj

Posted by epondok di Mei 27, 2013

isu Yakjuj dan Makjuj adalah topik yang sentiasa menjadi perbualan dan perbincangan para ulama dan juga orang ramai. – Gambar hiasan

DALAM siri ini penulis sengaja membincangkan berkenaan sifat Yakjuj dan Makjuj secara khusus yang telah disebut daripada siri ini dan selepasnya.

Yakjuj berbangsa Tartar, manakala Makjuj berbangsa Monggol. Mereka berasal daripada satu keturunan bapa yang bernama Turk dan tinggal di bahagian Utara Asia. Negara mereka adalah memanjang bermula dari Tibet, China hingga ke Laut Beku Utara dan di barat hinggalah ke negeri Turkistan.

Pakar sejarah Arab dan Perancis menyatakan Yakjuj dan Makjuj ini sering menyerang negara jiran yang berhampiran. Mereka sering melakukan kerosakan di muka bumi dan menghancurkan bangsa lain. Di kalangan mereka ada bangsa yang ganas berasal dari bukit tinggi dari Asia Tengah dan berhijrah ke Eropah pada masa dahulu seperti bangsa Smith, Sumeria dan Hun. Mereka telah menyerang negeri China dan Asia Barat yang merupakan tempat menetapnya para nabi.

Selepas zaman pemerintahan nabi, mereka masih tetap berada di sempadan negara mereka dan tidak keluar dari negara mereka, sehinggalah muncul di kalangan mereka. “Si malapetaka yang bertulang,” Tamujin yang mendakwa (menggelar) dirinya dengan nama Gengis Khan (bangsa Moggol) yang bererti Raja Alam.

Pada awal abad ke-7 Hijrah, Tamujin keluar dari bukit yang tinggi, jauh di Asia Tengah. Perkara pertama yang dilakukannya ialah menundukkan China Utara, kemudian pergi ke negeri-negeri Islam, dengan menawan Sultan Qatb al-Din ibn Armilan, iaitu salah seorang Raja Saljuk, Raja Khawarizm. Kekejian yang dilakukan oleh Gengis Khan di negeri tersebut merupakan kekejian yang belum pernah berlaku dalam sejarah.

Ketika Gengis Khan mati, pemerintahannya digantikan oleh puteranya Aqtay. Manakala putera saudaranya iaitu Batu telah menyerang Rusia pada 732 Hijrah dan memusnahkan Polnia serta menghancurkan negeri Majr. Setelah Aqtay meninggal, pemerintahannya digantikan oleh Jaluk. Beliau telah memerangi Rom dan memaksa rajanya membayar ufti.

Setelah Jaluk meninggal, pemerintahannya digantikan oleh anak saudaranya, Manju yang telah menindas kedua-dua saudaranya, Kaylay dan berjaya menguasai negeri China manakala Hulaku meneruskan penguasaannya ke atas kerajaan-kerajaan Islam dan menawan pusat pemerintahan Khalifah Abbasiyah. Ketika itu pemerintahan Abbasiyah diterajui oleh Musta’sim Billah.

Pemerintahan Baghdad mulai lemah pada pertengahan abad ke-7 Hijrah. Dalam masa tujuh hari Baghdad berjaya dikuasai. Sungai-sungai di Baghdad dipenuhi dengan darah rakyatnya yang mati, manakala buku-buku ilmiah telah dicampak ke dalam sungai Dajlah sehingga menjadi seperti jambatan untuk mereka lalui menurut khayalan mereka. Akhirnya pemerintahan Khalifah Abbasiyah di Baghdad berakhir.

Setelah Dinasti Gengis Khan berjaya menguasai seluruh Asia dan Eropah Timur, mereka membahagi daerah-daerah taklukan mereka dan mendirikan empat kerajaan. Keluarga Kaylay menguasai China dan Monggol. Jafaqay, saudara Aqtay, mengetuai Turkistan. Dinasti Batarkhan menguasai negeri-negeri yang berada di tepi sungai Fajla sehinggakan Rusia terpaksa menyerahkan cukai kepadanya dalam tempoh yang panjang. Hulaku merampas negeri Parsi dan Baghdad hingga ke negeri Syam. Semua ini diringkaskan oleh penulis daripada ensiklopedia, Ibnu Khaldun, Ibnu Maskawayh dan risalah Ikhwan al-Safa.

Tanda kiamat

Sebenarnya isu Yakjuj dan Makjuj adalah isu yang sentiasa menjadi perbualan dan perbincangan para ulama dan juga orang ramai. Ia merupakan salah satu daripada tanda-tanda kiamat yang besar. Oleh itu, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Zainab bin Jahsyim R.Anha bahawa Rasulullah SAW keluar dari rumahnya dalam keadaan amat serius seraya bersabda: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah SWT. Celakalah orang Arab daripada kejahatan yang hampir tiba. Hari ini telah terbuka sebahagian tembok Yakjuj dan Makjuj seperti ini. Lantas Nabi mengisyaratkan bulatan dengan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan jari ibu. Zainab binti Jahsyim berkata: Aku bertanya, hai Rasulullah SAW, adakah kami akan binasa sedangkan di sisi kami ada orang-orang yang soleh. Jawab Baginda SAW: Ya, jika sekiranya banyak kejahatan.

Semoga Allah SWT selamatkan kita daripada sebarang fitnah dan menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang mendapat keredaan daripada-Nya. Amin.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tips ubati hati mati

Posted by epondok di Mei 26, 2013

SUATU hari, Imam Fath Al-Musili berkata kepada murid-muridnya, “Bukankah seorang pesakit jika tidak diberi makan, minum dan ubat selama tiga hari ia akan mati?”

Murid-muridnya menjawab: “Ya.”

Guru yang bijak ini melanjutkan: “Begitu juga hati kita. Jika tidak diberikan ilmu dan hikmah selama tiga hari, ia akan mati.”

Hati manusia

Setiap amalan bersumber daripada hati. Hati yang baik akan melahirkan perbuatan yang baik. Dan hati yang rosak hanya akan melahirkan perbuatan yang buruk. Meskipun ia melakukan kebaikan, namun tersimpan niat buruk di sebaliknya. Oleh itu, hati sangat menentukan kualiti amalan seseorang.

Rasulullah SAW bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, daging itu adalah hati. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hati manusia sangat ajaib. Ia selalu berubah-ubah. Ia juga sangat mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Apa-apa yang dilihat ataupun didengar dapat merubah suasana hati. Oleh yang demikian, seorang mukmin wajib selalu menjaga pancainderanya daripada maksiat agar terjaga kejernihan hati.

Sebagaimana tubuh badan, hati boleh sihat ataupun sakit. Tanda hati yang sihat adalah ia giat melakukan ibadat dan amalan kebajikan. Setiap amalan ibadah dan zikir terasa nikmat untuk dikecapi. Sama seperti seseorang yang tengah sihat tubuhnya, ia akan nikmat menyantap makanan dan minuman.

Adapun tanda hati tengah sakit adalah ia tidak dapat merasakan manisnya ibadat. Ia tidak tahan berlama-lama dalam aktiviti ibadah. Sebaliknya, ia sangat seronok melakukan maksiat. Seperti orang yang tengah sakit kulit, perkara yang paling nikmat adalah menggaruk gatalnya hingga melukai diri sendiri.

Imam Tabiin di Basrah yang bernama Hasan Al-Basri pernah mengajarkan teknik semak kesihatan hati. Beliau berkata: “Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah. Namun jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup.”

Ubat hati

Hati orang kebanyakan seperti kita tidak berapa sihat. Kita sedari ataupun tidak, pelbagai penyakit tersimpan di dalam hati kita seperti hasad dengki, dendam, tamak, kedekut, meragukan janji Allah dan lain-lain. Tingkatan sakit itu berbeza-beza. Ada yang masih ringan, ada juga yang sudah parah.

Oleh itu, kita perlu segera mengubati hati kita. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang memperkenalkan tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang mesti ia lakukan di dunia sebagai hamba Allah. Semua itu boleh didapatkan apabila kita bercampur dengan orang-orang yang “berhati sihat.”

Berkata Ibrahim Al-Khawas, “Ubat hati lima perkara: Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, mengosongkan perut, solat malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan orang-orang saleh.”

Jika kita tidak segera mengubati hati yang sakit, ia akan terus sakit. Suatu hari nanti, ia bahkan boleh mati. Orang yang mati hati lebih berbahaya daripada mati jasad. Sebab orang yang mati jasad boleh segera dikuburkan.

Namun orang yang mati hati akan menjadi sampah masyarakat. Ia sangat mengganggu kehidupan masyarakat, namun tidak boleh dibuang ataupun ditanam

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

9 Sifat Lelaki Dayus

Posted by epondok di Mei 25, 2013

SOALAN: Ramai  lelaki kurang faham erti dayus dengan jelas. Apakah makna perkataan dan perbuatan yang menjuruskan perlakuan tersebut?

Jawapan: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang ALLAH tidak akan lihat (bermakna tiada bantuan daripada dikenakan azab) mereka pada hari kiamat: Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki dayus.” (Riwayat Ahmad dan Al-Nasaie)

Dayus disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadis yang lain iaitu daripada Ammar bin Yasir berkata, dia mendengar daripada Rasulullah SAW berkata: “Tiga golongan yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?” Berkata Nabi: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).” (Riwayat Al-Tabrani)

Daripada hadis di atas, maksud lelaki dayus adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dengan siapa isteri dan anaknya bersama dan bertemu. Malah, ada yang membiarkan sahaja isteri dan anak perempuannya dipegang lelaki lain.

Soalan yang sama daripada sahabat mengenai siapakah dayus? Lalu jawab Nabi SAW, maksudnya: “Apakah dayus itu wahai Rasulullah?” Jawab Nabi: “Iaitu seseorang (lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, membuka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri dan keluarganya).” (Riwayat Al-Tabrani dan Al-Baihaqi).

Tafsiran golongan ulama berkenaan istilah dayus adalah “Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”
“Cemburu lawannya dayus.” Berkata pula Al-Nuhas, “Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya daripada ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram.”

“Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) apabila dia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya dia tidak mengubahnya.”

“Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barang siapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga jauh daripada kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.” (Faidhul Qadir, Al-Munawi, 3/430)

Dayus adalah dosa besar

Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar, maksudnya: “ALLAH telah melaknat lelaki dayus (laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu daripada isterinya dan diharamkan bergaul dengannya).”

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang dipakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki. Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrif golongan ulama mengenai erti dayus dan istilah yang hampir dengannya, maksudnya: “Al-Qawwad (istilah yang disamakan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah ’orang tengah’ kepada zina.”

“Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan dia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat.”

Cemburu dituntut Islam

Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu. Sebenarnya, kita perlu fahami bahawa ia adalah tuntutan Islam dan menunjukkan suami yang bertanggungjawab.

Bergembiralah si suami yang memperoleh isteri solehah. Ini kerana, tanpa sebarang campur tangan dan nasihat daripada sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada tanda kebahagiaan anak Adam adalah memperoleh wanita solehah (isteri dan anak).” (Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168)

Jika seorang bapa mengetahui perbuatan ‘ringan-ringan’ anak perempuan atau lelaki mereka dan membiarkannya, maka dia adalah dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah ‘ringan-ringan’ atau terlanjur sebelum kahwin dan tanpa taubat yang sebenar-benarnya, sudah pastilah rumah tangga mereka akan goyah.

Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan perbuatan ‘ringan-ringan’ dengan orang lain. Hanya dengan bertaubat nasuha dapat menghalang aktiviti mungkar itu daripada melepasi alam rumah tangga mereka.

Jika hal ini dibiarkan, ia akan merebak pula kepada anak mereka, seterusnya kepada zuriat mereka. Awas! Dalam hal ini, semua suami dan bapa perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka daripada dianggap sebagai dayus. Jagalah zuriat anda. Suami juga patut sekali sekala menyemak telefon bimbit dan beg isteri untuk memastikan tiada yang diragui.

Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka, demi menjaga maruah dan kehormatan isteri serta anaknya.

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW, maksudnya: “Berkata Ubadah bin Somit RA: Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteri ku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedang ku, maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa’ad tadi, lalu Nabi memberi jawapan: “Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa’ad?

Demi ALLAH, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah ALLAH lebih cemburu daripada ku, kerana kecemburuan ALLAH itulah maka diharamkan setiap perkara keji  yang ternyata dan tersembunyi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Lihat betapa ALLAH SWT dan rasul-NYA menginginkan golongan suami dan ayah mempunyai sifat pelindung kepada ahli keluarga daripada melakukan sebarang perkara keji dan mungkar.
Lelaki menjadi dayus apabila:

1. Membiarkan kecantikan aurat dan bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain selama mereka bekerja atau di luar rumah.

2. Membiarkan isterinya pulang lewat, serta tidak diketahui bersama siapa, serta apa yang dibuatnya ketika dia bekerja.

3. Membiarkan aurat isteri dan anak perempuan dewasanya terdedah (terselak kain) ketika menaiki apa jua kenderaan.

4. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramnya.

5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahramnya di rumah. Kononnya, ibu bapa mereka sporting dan memahami.

6. Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang menjolok mata di luar rumah.

7. Membiarkan anak perempuan menyertai akademi hiburan yang boleh mempamerkan kecantikan mereka kepada jutaan manusia bukan mahram.

8. Membiarkan isteri atau anaknya menjadi pelakon dan membiarkan mereka berpelukan dengan lelaki lain. Kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon, nafsu seorang lelaki itu akan hilang? Tidak sekali-sekali!

9.  Membiarkan isteri bekerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

RAsulullah SAW bersabda “Sesiapa yang mati dibunuh kerana mempertahan kan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid.” (Riwayat Ahmad)

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Ziarah orang sakit kukuhkan persaudaraan

Posted by epondok di Mei 24, 2013

Asyraf

Pilih waktu sesuai untuk melawat, doakan kembali sembuh

Islam mementingkan ikatan persaudaraan yang dibina atas dasar perasaan cinta dan patuh kepada Allah SWT. Ikatan persaudaraan Islam tidak boleh dibina atas kepentingan dunia yang bersifat peribadi.
Nabi SAW telah menyatakan bahawa ikatan persaudaraan sesama Islam adalah satu bukti keimanan seseorang kepada Allah SWT. Malah, jika tiada rasa cinta kepada saudaranya, maka cacatlah iman seseorang itu.

Sabda Nabi SAW: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya (seagama) seperti mana dia mencintai dirinya sendiri.” (Hadis Muttafaqun ‘Alaih)

Antara cara untuk mengeratkan hubungan sesama Muslim ialah dengan menziarahi saudara dan sahabat apabila mereka sakit.

Nabi SAW bersabda: “Hak seseorang Muslim ke atas Muslim yang lain ialah lima iaitu menjawab salamnya, menziarahinya ketika sakit, mengiringi jenazahnya, memenuhi undangannya dan mendoakan kesejahteraan bagi orang yang bersin.” (Direkodkan oleh Imam Muslim)

Hikmah kita dituntut menziarahi saudara yang sakit ialah untuk mengeratkan ikatan persaudaraan. Apabila ada saudara yang sakit dan kita menziarahinya, maka terbina rasa kasih sayang serta keakraban sesama umat Islam.
Menziarahi saudara yang diuji dengan kesakitan adalah tuntutan agama. Malah, ganjaran syurga akan diberikan bagi mereka yang menziarahi saudara sesama Muslim atas ikatan persaudaraan kerana Allah SWT.

Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudara seagama kerana Allah SWT, maka malaikat akan berkata kepadanya: Beruntunglah kamu dan beruntunglah urusanmu dan (ketahuilah) bahawa kamu telah menempah syurga sebagai tempat tinggalmu.” (Direkodkan oleh Imam at-Tirmizi dan Imam Ibn Majah)

Bagi sesiapa yang tidak mengambil berat saudaranya, mereka termasuk golongan yang tidak lengkap imannya di sisi Allah SWT.

Keberkatan malaikat

Kelebihan menziarahi orang sakit ialah mendapat doa keselamatan dan keberkatan daripada malaikat setiap kali seseorang itu menziarahi saudaranya.

Daripada Ali bin Abi Talib beliau mendengar Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seseorang Muslim itu apabila beliau menziarahi sahabatnya pada waktu awal pagi kecuali 70,000 malaikat akan mendoakan kebaikan kepadanya sehinggalah petang dan jika beliau menziarahi saudaranya pada waktu petang maka 70,000 malaikat akan mendoakan kebaikan kepadanya sehinggalah keesokan pagi.” (Direkodkan oleh Imam at-Tirmizi dengan sanad yang hasan)

Apabila kita menziarahi orang sakit, perlu ambil perhatian beberapa perkara seperti memilih waktu yang sesuai. Orang yang sakit memerlukan waktu rehat yang cukup. Jika menziarahi pesakit di hospital, perlulah kita mengikut masa ditetapkan supaya tidak mengganggu rawatannya.

Tidak perlulah kita berada terlalu lama di rumah pesakit mahupun di hospital. Berikan ruang untuk rakan-taulan yang lain sama menziarahi pesakit dan berikan masa secukupnya untuk pesakit rehat.

Nabi SAW berpesan kepada Abu Dzar al-Ghifari: “Ziarahlah sekali sekala nescaya akan bertambah kasih sayang.” (Diriwayatkan oleh Imam al-Thabrani).

Jangan banyak bertanya

Namun, kita ditegah daripada memanjangkan soalan atau banyak bertanya kepada orang yang ditimpa kesakitan.

Sufian al-Tsauri berkata: “Kebodohan orang yang ziarah itu lebih memberi kesakitan kepada pesakit disebabkan kejahilannya mengenai kesesuaian waktu untuk menziarahi pesakit dan juga apabila dia berada terlalu lama ketika menziarahinya.”

Hendaklah yang menziarah memberi semangat kepada pesakit supaya lebih bersabar dan tabah.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami menguji kamu dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa dan kekurangan hasil tanaman, maka berilah berita gembira kepada orang yang sabar. Apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata: Kami adalah kepunyaan Allah dan kami akan pulang kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 156-157)

Antara sunnah utama Nabi SAW apabila menziarahi pesakit ialah mendoakan supaya pesakit itu kembali sembuh.

Anas bin Malik meriwayatkan, apabila Nabi SAW berjumpa orang sakit baginda akan berdoa : “Wahai tuhan sekalian manusia hilangkanlah kesengsaraan, sembuhkanlah sesungguhnya Engkaulah penyembuh dan tiada penyembuh selain Engkau, berikanlah penyembuhan yang tidak datang kembali padanya kesakitan.” (Direkodkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab Musnadnya)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Solat jemaah dijanjikan nikmat

Posted by epondok di Mei 23, 2013

Daripada Abu Hurairah, katanya, Nabi SAW bersabda: “Pahala sembahyang jemaah bagi seseorang lebih daripada sembahyang bersendirian, sama ada di tempat kerjanya (di pasar) atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat.

Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersembahyang semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersembahyang selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat sembahyangnya dengan doa: Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pahala 25 kali ganda

Orang lelaki dikehendaki mendirikan solat jemaah di masjid atau surau. Solat jemaah diberi ganjaran pahala 25 kali ganda atau lebih daripada solat bersendirian. Malaikat berdoa untuk orang yang beriman seperti firman Allah dalam surah Ghafir, ayat 7.

Daripada Jundub bin Abdullah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bersolat Subuh (pada waktunya secara berjemaah) maka dia berada dalam jaminan (keamanan dan perjanjian Allah dengan itu janganlah sampai Allah menuntut sesuatu kepada kamu daripada jaminan (perjanjian). (Jangan sampai kamu meninggalkan solat Subuh) kerana sesungguhnya sesiapa yang dituntut oleh Allah daripada suatu jaminannya (perjanjiannya) tentu akan tercapai (berlaku), kemudian Allah menyembahkan mukanya ke dalam api neraka”.

Dalam jaminan Allah
Orang yang menunaikan solat lima waktu khususnya solat Subuh, maka dia tetap berada dalam jaminan (tanggungjawab) Allah sepanjang hari. Meninggalkan solat Subuh, terbatallah jaminan diberikan Allah kepada hamba berkenaan.

Setiap orang yang menganiayai atau menghalang seseorang daripada beribadah, nescaya dia akan diazab oleh Allah SWT.

Dikhususkan solat Subuh dengan kelebihan ini kerana solat Subuh lebih berat daripada solat lain kerana waktu Subuh adalah waktu nyenyak tidur, pada musim sejuk pula sukar untuk berwuduk dan bagi orang bekerja, Subuh adalah masa membuat persiapan keluar bekerja.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Tips Didik Anak Berakhlak Mulia dan Mudah Belajar

Posted by epondok di Mei 22, 2013

Bersama Haji Lokman Abdul Hamid

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM Haji Lokman. Boleh berikan ayat-ayat Al-Quran untuk menggalakkan anak rajin belajar dan tidak degil?

* Syed Othman,

Kuala Terengganu

Jawapan:

Terima kasih di atas soalan yang amat popular di kalangan ibubapa yang berkunjung ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Anak adalah amanah Allah. Ibubapa bertanggungjawab mendidik agar mereka sedar mereka khalifah Allah di muka bumi.

Ilmu pengetahuan tinggi tanpa akhlak baik, seolah melahirkan anak cacat. Kini ibu bapa, guru dan masyarakat terlalu fokus kepada keputusan peperiksaan cemerlang dan mengabaikan didikan akhlak dan sahsiah diri.

Ibubapa sanggup berbelanja besar menghantar anak ke tuisyen terutama yang bakal menghadapi peperiksaan utama.

Malangnya mata pelajaran Al Quran, fardu ain, akhlak dan sahsiah diri kurang diberi perhatian. Kini, terbukti anak cemerlang dalam peperiksaan datang daripada sekolah yang menekankan pendidikan Al Quran dan Agama Islam.

Contoh yang boleh dijadikan iktibar seperti kisah kejayaan Adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan yang mendapat 20A dalam peperiksaan SPM beberapa tahun lalu. Beliau hanya anak nelayan dalam keluarga miskin, tetapi mampu cemerlang.

Kita harus sedar dan faham, didikan anak sebagai Muslim sejati memerlukan perhatian dari aspek jasmani dan rohani. Makanan jasmani dapat disediakan. Bagaimana dengan makanan rohani seperti solat, bacaan Al Quran dan makanan bersih lagi halal? Adakah kita mengambil berat persoalan penting ini?

Anak-anak yang menjadikan rutin membaca Al Quran setiap hari dan sentiasa mendirikan solat, lazimnya hati mereka lembut dan mudah mendengar kata.

Ini sesuai dengan maksud firman Allah; “Dan kami turunkan sebahagian dari Al-Quran (ayat-ayat) sebagai penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Isra – 18)”

Perkara yang kita sering lupa selaku ibu bapa ialah matlamat mencari ilmu. Kita sering mengingatkan anak-anak rajin belajar supaya bila dewasa, ada ijazah bagi mencari pekerjaan. Tujuan belajar untuk habuan keduniaan, bukannya satu ibadah.

Kita fikir kalau gagal peperiksaan, gelap masa depan. Sedangkan, tujuan menuntut ilmu ialah mematuhi perintah Allah. Rasulullah saw pernah berpesan lebih kurang bermaksud, jika hendak senang di dunia atau akhirat perlu menuntut ilmu.

Kisah Lukman Al Hakim dalam Al-Quran sangat jelas dijadikan panduan dan pengajaran dalam pendidikan. Al-Quran menghidangkan petua dan wasiat bagaimana Lukman mendidik anaknya dalam Surah Lukman dalam ayat 13 hingga 19.

Kita perlu mengenali Lukman supaya kita boleh mencontohinya. Bagaimana Lukman Al-Hakim mencapai makam mulia?

Menurut Imam Ibnu Jarir daripada Amru Ibnu Qais, seorang lelaki pernah menyoal Lukman mengenai perkara itu.

Lukman menjawab: “Semua adalah kehendak Ilahi. Bagaimanapun, aku sentiasa menunaikan amanah yang dibebankan ke atas diriku. Aku juga sentiasa bercakap benar dan aku menjauhi setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah bagiku.”

Ramai ibu bapa tidak mengetahui bahawa ‘wasiat’ Lukman kepada anaknya adalah teknik khusus mendidik anak. Jika teknik ini diamati lalu dipraktikkan dalam kehidupan seharian, nescaya lahir anak Muslim beriman dan bertakwa kepada Allah. Masalah malas, tidak fokus kepada pelajaran atau melawan ibu bapa mampu diatasi.

Cuba kita renungkan intisari ayat 13 hingga 19 surah Lukman;

13. “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

Pertama, kita perlu tanamkan sifat tidak syirik kepada Allah kerana ia perbuatan zalim, maksudnya meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Contohnya, tujuan belajar bukan untuk dapat kerja tetapi patuh perintah Allah.

Orang yang semakin tinggi ilmunya, sepatutnya makin takut kepada Allah. Bukan semakin ingkar dan derhaka kepada Allah.

14. “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Kedua, anak-anak perlu dididik supaya taat dan hormat kedua ibubapa, rasa terhutang budi kepada ibu bapa, menyedarkan mereka bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Reda Allah bergantung kepada reda ibu bapa.

15. “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”

Patuh kepada ibu bapa kepada perkara tidak bercanggah dengan perintah Allah.

16. “(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi.”

Anak-anak perlu sentiasa diingatkan, apa sahaja yang mereka fikirkan, lakukan semuanya diketahui Allah dan akan dibalas oleh Allah di akhirat kelak.

17. “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”

Solat wajib didirikan, tidak kira dalam apa keadaan. Mengapa perlu solat? Kerana Allah berjanji solat mampu mencegah daripada melakukan perkara tidak baik.

Contohnya sikap malas belajar, adalah perkara keji dan mungkar. Solat sukar dilaksanakan pada awalnya, tetapi jika dilatih, ia menjadi mudah. Itulah sebabnya Rasulullah saw berpesan. “Suruhlah anak-anak mendirikan solat sewaktu berumur tujuh tahun dan rotanlah sewaktu berumur 10 tahun, jika meninggalkan solat.”

Sikap sabar perlu ditekankan dari awal. Anak-anak perlu dilatih agar tidak semua keinginan mereka mesti dipenuhi.

18. “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

Anak perlu dididik mempunyai hati kasih belas dan sentiasa ingin membantu. Sikap pemurah, tidak kedekut, suka berkongsi ilmu dan mengajar rakan yang lemah dalam mata pelajaran perlu ditanam kerana Allah suka orang yang pandai mengajar mereka.

19. “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.

Ibubapa perlu memberi contoh komunikasi berkesan. Cara berinteraksi dengan anak perlu sopan, tertib dan tidak menengking.

Saidina Ali berpesan, jika percakapan datang dari hati yang ikhlas ia akan sampai ke dalam hati, tetapi jika percakapan datang dari lidah maka ia akan masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tiada kesan positif.

Penutup

Sebelum menyuruh anak-anak rajin solat dan baca Al Quran, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik.

Mungkin kita terlalu sibuk, tetapi dengan kemudahan teknologi maklumat, terlalu banyak kemudahan yang Allah sediakan untuk kita menggunakannya.

Berikut adalah ayat Al Quran yang boleh dijadikan amalan harian agar hati anak lapang dan mudah belajar;

Surah Yassin ayat 72 hingga 83

Surah Ar Rahman ayat 21 hingga 60

Anak harus dibimbing untuk amalkan ayat tersebut setiap hari dan masa terluang.

Paling penting, iringi bacaan dengan doa kepada Allah supaya dikurniakan hati dan minda lebih fokus kepada pelajaran.

InsyaAllah, Allah sentiasa mendengar dan memerhati setiap usaha dan doa hambaNya yang tekun berusaha. Jangan berdoa tanpa usaha.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »