Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for April 2013

Kekal sihat dengan beribadat

Posted by epondok di April 30, 2013

Berpuasa itu amat digalakkan bukan sahaja manfaat pahalanya tetapi pada masa sama, ia memberi kerehatan kepada perut. – Gambar hiasan

TIDAK salah sesekali berbelanja dan mengeluarkan sejumlah wang untuk mengekalkan kesihatan selain meluangkan masa bagi melakukan aktiviti senaman.

Malah ia dituntut dan dititikberatkan menurut Islam kerana memelihara tubuh agar sentiasa dalam keadaan baik merupakan anugerah Allah SWT kepada hambanya.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu. (riwayat Bukhari)

Namun, tidak ramai menyedari, tidak perlu keterlaluan dalam berbelanja dan memperuntukan masa yang lama untuk kekal sihat. Tetapi dengan hanya melakukan ibadat berupaya mengekalkan kesihatan malah lebih lagi daripada yang diingini.

Ini kerana, di samping memperoleh ganjaran di akhirat, di sebalik setiap amalan ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada umat Islam mempunyai kelebihan tersendiri.

Bukan sahaja digambarkan melalui al-Quran dan hadis, malah ia turut diakui menurut kajian sains moden yang membuktikan fadilat melaksanakan ibadah.

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad berkata, tidak akan habis dan mampu dikaji untuk menghuraikan segala kelebihan amalan yang Allah SWT perintahkan.

Beliau yang banyak membuat pemerhatian melalui penyelidikan dan rujukan pakar mengenai kelebihan melaksanakan ibadah mengakui segala perintah Allah SWT adalah tidak sia-sia dan mempunyai pelbagai manfaat yang tidak kita ketahui.

Kelebihan wuduk

Dr. Irfan berkata, mengambil air sembahyang mampu mengelakkan tubuh daripada pelbagai penyakit yang mudah merebak ke dalam anggota tubuh.

Setiap basuhan seperti berkumur, membasuh tangan dan mencuci hidung mampu mencegah pelbagai wabak.

“Tangan yang tidak bersih boleh menjadi punca merebaknya wabak terutamanya penyakit bawaan bakteria yang merebak secara laluan fekal-oral. Penyakit-penyakit seperti gastroenteritis, hepatitis A, tifiod, kolera dan banyak lagi merupakan contoh penyakit yang boleh dicegah atau dikurangkan jika aspek kebersihan tangan diambil berat.

“Manakala, kepentingan menjaga kebersihan mulut merupakan suatu perkara yang tidak perlu diperdebatkan lagi. Sebab itulah muncul pelbagai jenis ubat kumur serta bentuk berus dan ubat gigi. Walaupun tidak disyariatkan dalam amalan berwuduk, tetapi digalakkan sebagaimana di dalam hadis.

“Begitu juga amalan memasukkan air ke dalam hidung. Kajian dalam bidang rinologi (perubatan hidung) menunjukkan bahawa amalan memasukkan air ke hidung (nasal wash) adalah berkesan untuk mengurangkan tanda-tanda penyakit alahan, sinusitis.

“Selain itu, amalan membersihkan hidung turut didapati dapat mengurangkan selesema dan membersihkan kaviti sinus, mengurangkan hidung tersumbat, melembapkan rongga hidung, mengurangkan batuk dan ‘post nasal drip’, membersihkan laluan hidung, mengembalikan fungsi silia dalam hidung, memperbaiki saliran sekresi, memperbaiki fungsi suara dan pernafasan, meningkatkan deria bau dan rasa serta mengurangkan alahan hidung sewaktu mengandung,” kata Dr. Irfan.

Kelebihan solat

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Fatimah Ibrahim dalam kajian yang dilakukan mendapati setiap pergerakan yang dilakukan dalam solat merupakan satu kaedah senaman yang bermanfaat kepada kesihatan manusia.

Antara hasil kajian tersebut adalah kesan pergerakan solat terhadap komposisi badan yang didapati mampu merawat denyutan jantung, terapi mati pucuk dan diet seimbang untuk menguruskan tubuh manusia.

Kajian kesan pergerakan solat terhadap komposisi badan yang dilakukan kepada 120 peserta mendapati keputusan yang berbeza. Ia diukur mengikut lima kaedah tabiat lazim solat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Kaedah tersebut adalah kekerapan bersolat, tahap memahami bacaan dalam solat, solat berjemaah, posisi ketika rukuk dan ketika sujud serta duduk tahiyat.

Kelima-lima kaedah tersebut katanya jika dilakukan dengan sempurna mampu memberi kesan positif kepada tubuh seperti menenangkan fikiran, menyihatkan badan, menambah tenaga dan mengurangkan kolestrol dalam tubuh.

Kelebihan puasa

Dalam pada itu, Dr. Irfan berkata, kajian menunjukkan proses metabolisme melibatkan karbohidrat menurun ketika berpuasa dan aktiviti pembakaran lemak meningkat (El Ati J, Beji C, Danguir J).

“Kajian yang berbeza menunjukkan penurunan berat badan sebanyak 1.7 kg, 1.8 kg, 2.0 kg dan 3.8 kg berlaku ke atas mereka yang berpuasa Ramadan sebulan penuh.

“Dengan berpuasa juga dapat mengurangkan kesan negatif ke atas pesakit yang mengalami kecederaan sederhana di bahagian otak. Malah fungsi buah pinggang menjadi stabil serta merendahkan risiko penyakit jantung.

“Beberapa hari selepas ibadah puasa, paras hormon endorphins, meningkat di dalam darah menjadikan seseorang lebih fokus dan tenang, menurunkan berat badan, mengawal penyakit kencing manis serta darah tingi,” jelasnya.

Kelebihan berkhatan

Dr. Irfan menjelaskan, manakala kulit yang dibuang pada kemaluan manusia merupakan perangkap kepada kekotoran dan najis terutama sisa-sisa pembuangan air kecil.

Jika tidak dibersihkan dengan begitu berhati-hati dan sempurna, maka kekotoran tersebut akan terperangkap di kemaluan.

Beliau berkata, kesannya, tubuh sentiasa membawa najis dan ini boleh mengakibatkan Jangkitan kuman.

“Bakteria amat suka kepada suasana sebegini kerana ia menjadi medium yang amat sesuai untuk pertumbuhan koloni bakteria.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 2007) dan Pusat Kawalan & Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC, 2008) telah menyatakan bahawa amalan berkhatan mampu membantu mencegah risiko jangkitan HIV.

“Phimosis adalah keadaan di mana kulit di hujung kemaluan lelaki tidak dapat ditarik atau tertarik ke belakang sewaktu ereksi. Keadaan ini memberikan kesakitan kepada mangsa yang mengalaminya selain potensi gangguan kepada perjalanan air kencing, fungsi seksual dan sebagainya.

“Ada juga kajian yang menunjukkan phimosis ialah faktor risiko untuk mendapat kanser (Willcourt, 2000). Walaupun terdapat beberapa kaedah lain untuk merawatnya, namun berkhatan ialah salah satu cara yang paling awal dilaksanakan, dan ia berkesan,” ujar Dr. Irfan

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ingat mati menguatkan jiwa

Posted by epondok di April 29, 2013

SESETENGAH orang menyangka ingat mati akan melemahkan semangat. Mereka membayangkan jika seseorang mengingati mati, ia tidak lagi ghairah untuk bekerja, menuntut ilmu dan membangun negeri.

Sangkaan anggapan seumpama itu tentu sahaja salah. Mengingat mati adalah satu galakan daripada Rasulullah SAW kepada umat Islam. Matlamatnya bukan untuk melemahkan semangat, malah makin menguatkan keinginan untuk hidup.

Terbukti, generasi umat Islam yang paling aktif bekerja dan menggunakan masa dengan berkesan adalah para sahabat dan salaf soleh.

Mereka berjaya menakluk dunia, membangun tamadun dan mengembangkan dakwah Islam dalam masa yang sangat singkat. Semua itu kerana berpegang kepada pesanan Nabi SAW agar selalu mengingat kematian.

Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah mengingat penghancur semua kelazatan, iaitu maut.” (riwayat al-Tirmizi)

Kesan ingat mati

Mengingat kematian akan melahirkan sifat-sifat terpuji. Antaranya adalah sebagai berikut:

1. Ingat mati membuat kita lebih menghargai hidup. Kita akan merasa bersyukur setiap kali bangun di pagi hari kerana masih berpeluang untuk menambahkan akaun pahala kita. Kita juga bersyukur masih diberikan kesempatan untuk meminta ampun atas dosa-dosa dan kesalahan kita.

Besarnya nikmat kehidupan hanya benar-benar terasa apabila malaikat maut datang menjemput. Pada saat itu, kita akan berharap untuk kembali ke dunia supaya melakukan amalan yang selama ini tidak pernah kita lakukan. Namun permintaan itu tidak akan dilayan apalagi dituruti.

Abu Hazim Salah bin Dinar berkata: “Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang ini akan menjadi sangat mahal dan tidak mampu dibeli.”

Daripada Abu Hurairah: Suatu hari Rasulullah SAW sedang berlalu di atas sebuah kubur (mayat) yang baru dipendam. Baginda lalu bersabda: “Dua rakaat singkat yang kalian anggap ringan, lebih ia sukai oleh ahli kubur ini daripada dunia dan seisinya.” (Ibnu Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd)

2. Ingat mati mendorong kita untuk merancang kehidupan dengan lebih baik. Kita menjadi lebih pandai untuk mempraktikkan asas keutamaan dalam hidup dan lebih pandai menundukkan hawa nafsu. Cara hidup yang kita jalani menjadi lebih efektif kerana berasaskan, Begin with end in mind.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pandai adalah dia yang selalu mengawal nafsunya dan bekerja untuk kehidupan setelah mati.” (al-Tirmizi)

3. Ingat mati akan membuat hati kita hidup. Kita semakin bijak dalam menimbang dan mentafsirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di muka bumi ini secara positif. Minda kita terbuka kepada perkara-perkara yang lebih penting dalam hidup, lalu berusaha untuk meraihnya.

Ramai orang yang tertipu oleh syaitan dan dunia. Mereka beranggapan wang dan jawatan lebih penting daripada segalanya, bahkan daripada iman dan Islamnya. Apabila maut menghampiri nanti, kedua-duanya tidak akan berguna sama sekali.

Sebaliknya, amal ibadah dan kerja-kerja kemanusiaan yang selama ini diremehkan suatu hari nanti akan menjadi sesuatu yang sangat berharga.

Rasulullah SAW bersabda: Tiga perkara yang akan mengiringi jenazah ke kubur; hartanya, keluarganya dan amalnya. Harta dan keluarganya akan meninggalkannya dan yang tinggal hanyalah amalannya. (riwayat al-Bukhari)

Sungguh beruntung orang yang selalu ingat kematian dan beramal agar mendapat kehidupan yang lebih baik di akhirat nanti. Wallahu a’lam

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Islam bentuk umat bersatu padu

Posted by epondok di April 28, 2013

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Perbezaan agama bukan halangan untuk hidup harmoni

Islam diutuskan untuk membentuk umat manusia yang bersatu padu, bertoleransi, saling berganding bahu meneruskan kehidupan ke arah kesejahteraan dan keamanan sejagat. Misi utama Rasulullah SAW selepas berhijrah ke Madinah ialah mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin.
Tujuannya ialah untuk memupuk ikatan persaudaraan yang kukuh lagi unik berdasarkan ketakwaan kepada Allah. Hasilnya, lahirlah sebuah generasi rabbani di bawah pimpinan Rasulullah SAW, mengorak langkah gemilang mencipta kejayaan demi kejayaan dalam segala lapangan hidup.

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil” Surah al-Mumtahinah (ayat 8)

Islam ialah al-Din yang bersifat sejagat melewati sempadan kaum, bangsa, bahasa dan negara. Sifat kesejagatan ini dapat dilihat menerusi layanan sama rata oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya yang berasal daripada pelbagai bangsa, keturunan dan warna kulit.

Masyarakat madani

Perbezaan yang wujud itu tidak menjadi penghalang bagi Rasulullah untuk melahirkan sebuah masyarakat madani yang kuat dan mampu memikul amanah Islam ke seluruh pelusuk bumi Allah ini.

Kemudian Baginda merangka Piagam Madinah dengan matlamat mencipta keharmonian politik dan kesejahteraan hidup bermasyarakat majmuk. Masyarakat Madinah contoh terbaik kerukunan hidup bernegara mahupun beragama.
Piagam Madinah bertindak sebagai medium konkrit yang menyatukan sebuah masyarakat majmuk yang harmoni sepanjang sejarah.

Dalam konteks ini, Islam telah memainkan peranan penting dalam membangun peradaban terbilang seperti dibuktikan oleh generasi Rasulullah SAW dan sahabat selepasnya. Iman menjadi aset penting untuk menumbuhkan kesedaran beragama dan berakhlak dalam realiti kehidupan semasa.

Keyakinan kepada Allah yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui mencetuskan keinsafan batin dalam jiwa seseorang Muslim. Iman yang sebenar kepada Allah menciptakan kedamaian dan ketenteraman jiwa.

Muslim akan lebih mendalam penghayatannya terhadap Islam, luhur keperibadian yang kemudiannya berupaya membangun sebuah masyarakat harmoni.

Muslim yang mantap imannya dan terpuji akhlaknya pantang berbuat sesuatu yang mengeruhkan keharmonian masyarakatnya kerana dia menginsafi bahawa segala gerak geri serta perbuatan dipantau oleh Tuhan Yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.

Amalan jenayah, rasuah, sikap prejudis, penindasan dan sebagainya yang berleluasa berpunca daripada ketiadaan iman yang mapan.

Allah SWT berfirman: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan.” (Surah al-A’raf, ayat 96)

Iman tonggak peradaban

Tegaknya sebuah peradaban kerana tonggak iman, amal dan akhlaknya bertapak kukuh dalam kehidupannya. Sebaliknya hancurnya sebuah peradaban kerana masyarakatnya menghadapi krisis iman, amal dan akhlak yang meruncing.

Islam amat menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah. Maka Islam menganjurkan umatnya bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini.

Rasulullah adalah teladan terbaik sehingga berjaya mencipta sebuah masyarakat majmuk terdiri daripada Islam, Yahudi, Nasrani dan Musyrikin untuk hidup bersatu padu serta bermuafakat di bawah naungan pemerintahan Rasulullah SAW.

Perbezaan akidah tidak menyebabkan permusuhan dan pertelagahan antara kaum, sebaliknya mereka saling bekerja sama dan berganding bahu dalam membangunkan negara Madinah ketika itu, terutamanya membangunkan sektor ekonomi, sosial, pertahanan serta keamanan negara.

Ini kerana agama yang berbeza bukanlah penghalang yang besar ke arah mewujudkan satu hubungan kemanusiaan bersifat harmoni dan erat antara sesama komuniti.

Ini selaras dengan firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahinah, ayat 8)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Kawal nafsu makan, jaga mulut

Posted by epondok di April 27, 2013

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
Islam galak bersederhana dalam perbuatan elak gejala buruk

Islam menitikberatkan gaya kehidupan yang bersederhana dalam segenap lapangan. Namun, demikian disebabkan keghairahan kita mengejar duniawi amalan bersederhana semakin hambar sebaliknya tingkah laku melampau dan berlebihan mulai mendominasi diri.
Dua perkara penting perlu diamalkan secara berhemah dan bersederhana bagi memperoleh gaya hidup sihat adalah mengamalkan kesederhanaan dalam aspek makan minum dan menjaga kata-kata.

Allah berfirman; “Makanlah antara rezeki yang telah Kami berikan kepadamu dan janganlah melampaui batas padanya yang menyebabkan kemurkaan-Ku menimpamu. Dan barang siapa ditimpa oleh kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah dia.” (Surah Thaha, ayat 81)

Apabila sebut saja soal makan minum ini sesetengah kalangan kita menganggap ia urusan peribadi dan tidak perlu sangat dibimbangkan.

Penuhi kehendak nafsu

Semasa kita tengah berselera, apa saja hidangan pasti dimuatkan ke mulut tanpa mengira sama ada ia satu keperluan atau semata-mata memenuhi kehendak nafsu.
Allah menjelaskan bahawa makan dan minum adalah satu keperluan asas manusia, namun ada panduan yang disampaikan oleh Allah supaya kita tidak berlebihan apatah lagi jika berlaku pemborosan dalam hal makan minum ini.
Inilah peringatan Allah yang seharus kita sentiasa ingatkan tatkala berhadapan dengan hidangan di meja makan yang antara lain pesan Allah, ‘ Makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan ‘ ( Maksud Surah Al-Araf ayat 30 )

Kemudian sekali lagi Allah menasihatkan dengan peringatan Nya, “Makanlah antara rezeki yang telah Kami berikan kepadamu dan janganlah melampaui batas padanya yang menyebabkan kemurkaan-Ku menimpamu. Dan barang siapa ditimpa oleh kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah dia.” (Surah Thaha, ayat 81)

Sebenarnya dua peringatan Allah itu sudah acap kali kita abaikan dan nampaknya impak buruk akibat kelalaian itu semakin ketara apabila pelbagai penyakit seperti obesiti melampau, diabetes, darah tinggi dan sebagainya sudah menjalar ke segenap lapisan masyarakat.

Amal budaya makan betul

Rasulullah SAW sudah banyak kali menasihatkan supaya berwaspada dan sentiasa mengamalkan budaya makan yang betul demi kesihatan tubuh badan.

Antara pesanan Baginda: “Tidak ada sesuatu yang dipenuhkan oleh anak-anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat menegakkan tubuhnya. Walaupun mahu dipenuhkan, satu pertiga bagi makanannya, satu pertiga bagi minumannya dan satu pertiga lagi bagi pernafasannya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Rasulullah mendidik kita supaya mengamalkan gaya kesederhanaan dalam makan untuk memberikan tahap kesihatan tubuh badan berkualiti tinggi. Sahabat Rasulullah, Saidina Umar al-Khattab prihatin dalam aspek makan minum.

Nasihat Umar: “Jauhilah sikap rakus dalam makan kerana perbuatan itu merosakkan tubuh, mengundang penyakit dan membuatkan kita malas mengerjakan solat. Kamu perlu bersikap sederhana kerana ini adalah lebih baik bagi tubuh kamu. Jauhkan diri daripada sikap berlebihan kerana Allah tidak menyukai orang yang alim tetapi gendut.”

Pesanan Umar ini kaya dengan hikmah ilmu sains kesihatan dan beliau juga mensabitkan akibat berlebihan makan akan melonggarkan semangat untuk beribadah kepada Allah. Justeru, ambil dan hayatilah pesanan itu demi kesejahteraan dan kesihatan diri kita.

Perkara kedua yang perlu dihindari daripada berlebihan ialah dalam aspek turut kata. Ada sesetengah kita suka sangat memperkatakan sesuatu hal dan suka dianggap sebagai seorang fasih dalam berbicara.

Jika apa yang diperkatakan itu menjurus ke arah manfaat memanglah sangat baik dan berpahala. Tetapi yang biasa berlaku adalah sebaliknya.

Banyak cakap, banyak salah

Abu Hurairah berpesan: “Tidak ada kebaikan di dalam berbicara yang berlebihan.” Kenyataan itu disokong oleh Umar al-Khattab yang berpesan: “Orang yang banyak cakap, maka banyaklah pula salahnya.”

Dalam asyik bercakap, mungkin tanpa disedari atau sememang menjadi tabiat, kita sering memperkatakan sesuatu yang tidak tepat faktanya. Ada juga yang sering memperkatakan hal orang lain dengan menceritakan keaiban seolah-olah tema itu menjadi suatu topik wajib.

Imam al-Ghazali ada menegaskan, bahaya kata-kata atau lisan menjadi racun pertama hati yang akan menyebabkan manusia semakin jauh daripada cahaya hidayah Allah.

Akibat tidak bijak mengelolakan lidah, manusia akan berkata apa saja tanpa memikirkan kesannya kepada orang lain. Oleh itu, jangan menurut kehendak lidah yang selalu mengajak kita berbicara sesedap rasa dan sesuka hati tanpa memikirkan impak buruk bakal menanti di akhirat kelak.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ibu bapa tidak boleh lepas tanggungjawab mendidik anak

Posted by epondok di April 26, 2013

Oleh Dr Rozieta Shaary

Boleh dikatakan semua tahu pentingnya ciri-ciri keibubapaan yang baik. Namun, dalam dunia semakin maju dan bergerak pantas, ramai lupa tujuan sebenar hidup di dunia ini. Begitu juga ibu bapa yang keliru dengan tanggungjawab disebabkan kehidupan tidak seimbang antara kerjaya dan rumah tangga.

Walaupun sedar pentingnya diberi tumpuan sewajarnya tetapi keibubapaan terpaksa diletakkan di belakang. Natijahnya, ramai anak yang dilahirkan hebat, perlahan-lahan menjadi anak yang bermasalah dalam masyarakat.
Akibatnya, dunia menjadi semakin tenat dengan penyakit sosial berleluasa. Bolehkah kita berdiam diri dan membiarkan keadaan ini menular atau bolehkah kita mencari jalan penyelesaian?

Insiden pukul ketua kelas

Apa yang berlaku baru-baru ini di sekolah menengah di Pulau Pinang, ketua kelas dipukul oleh rakan rakan sekelas, sepatutnya membuka mata dan hati kita. Perkara ini berlaku bukan untuk kita bercakap dan menuding jari, tetapi sebagai cara Allah mentarbiah kita supaya peka dengan mesej yang tersirat dalam peristiwa itu.

Apakah peranan yang hendak kita mainkan? Menyalahkan ibu bapa anak-anak yang memukul rakannya itu atau kita mahu membantu semua sedar bahawa keibubapaan sangat penting dan perlu dipandang serius.

Sebagai ibu bapa kita tidak hanya menjaga anak tetapi menjadi ‘seperti aur dengan tebing’ iaitu membantu ibu bapa yang lain mendidik anak. Kita hidup dalam komuniti, seperti domino apabila jatuh sekeping, maka akan terus menjatuhkan yang lain.
Sebagai warga komuniti, negara dan dunia, kita perlu berusaha membina generasi berwibawa serta pengasih. Tempat untuk bermula ialah mengambil perhatian penuh dan berusaha memperbaiki skil keibubapaan kita.

Allah telah mengingatkan dalam firman-Nya: “Wahai orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Seperti batu dilontar ke dalam tasik yang tenang, akan menghasil gelombang mengembang ke gigi tasik. Begitulah usaha yang bermula dari rumah akan mengembang ke seluruh komuniti, negara dan dunia.

Menghasilkan generasi yang berwibawa, pengasih dan berakhlak mulia memerlukan kita kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW sebagai petunjuk untuk menjaga keluarga serta membersihkan hati.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya berbahagialah sesiapa yang membersihkan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya.” (Surah Asy-Syams, ayat 9-10)

Keperluan membersihkan jiwa adalah untuk berkhidmat dan beramal soleh kerana semua itu tidak dapat dicapai tanpa niat yang ikhlas. Niat tidak boleh menjadi ikhlas apabila jiwa tidak bersih. Jiwa pula tidak boleh bersih jika hati tidak penuh dengan kasih sayang kepada pencipta dan ciptaan-Nya.

Kasih sayang bentuk anak

Melalui kasih sayang kita membina dunia yang indah untuk anak-anak dan membina anak-anak yang cemerlang untuk dunia.

Daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al-Khottab, katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan.”

Imam Al-Ghazali telah mengatakan, jika ada sesuatu niat bermula dengan pemikiran dan dikuatkan dengan kusyuk (ghairah) di dalam hati, maka satu molekul akan wujud di alam fizikal. Niat yang kuat akan menjadi realiti di sekeliling kita.

Begitulah Allah memberi manusia kebolehan untuk mencipta sesuatu. Di situlah mengapa dituntut untuk kita membersihkan jiwa. Supaya apa yang kita cipta adalah sesuatu yang menjadi amal soleh yang membawa kebaikan kepada manusia dan segala ciptaan Allah.

Semoga jiwa bersih dimiliki ibu bapa akan melahirkan anak yang cemerlang seterusnya mewujudkan masyarakat harmoni yang akan memastikan kemakmuran serta kestabilan negara dari aspek pembangunan, pentadbiran dan sosial.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Disiplin diri penentu tahap iman

Posted by epondok di April 25, 2013

Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Pengetahuan dan kefahaman mempunyai kaitan rapat dengan disiplin kerja. Cuba bayangkan jika situasi seperti dalam kata-kata ini sering berlaku, ‘aku tak tahu macam mana nak buat’, ‘bos suruh, aku buat sahaja’, ‘betul ke tidak akupun tak tahu, janji siap.’

Ia menunjukkan amalan bekerja tanpa kefahaman atau pengetahuan. Situasi begini jika berlarutan, tidak akan membantu pembinaan dan pengukuhan disiplin yang menjadi penentu budaya kerja cemerlang.
Disiplin tidak akan terbina melalui proses kerja secara cuba-cuba. Justeru, pekerja berpengetahuan dan berkefahaman tinggi mengenai bidang tugasnya adalah aset dan modal insan kepada kejayaan organisasi.

Kerja yang lancar pula menghasilkan output dengan cepat. Kitaran proses ini sangat menarik kerana ia berkait rapat dengan pembentukan empat disiplin kerja. Pertama, disiplin memastikan pekerja mempunyai kefahaman dan pengetahuan asas berkaitan tugasan sebelum melaksanakannya.

Kedua, disiplin dalam memastikan kerja yang dilakukan berhasil. Ketiga, disiplin dalam memastikan ia dihasilkan dengan kadar segera. Keberhasilan kerja secara cepat membentuk keseronokan dan kepuasan pekerja yang membentuk kitaran disiplin keempat, iaitu melakukan kerja secara berterusan.

Disiplin hasil kerja cemerlang
Begitulah kitaran disiplin yang menentukan kerja menjadi cemerlang atau sebaliknya berpunca daripada satu faktor utama, iaitu kefahaman dan pengetahuan. Allah SWT menyatakan bahawa perbezaan antara orang berilmu dengan orang tidak berilmu.

Firman Allah SWT: “Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah al-Zumar, ayat 9)

Kefahaman dan pengetahuan yang membentuk disiplin kerja ini perlu meliputi beberapa perkara asas iaitu matlamat ingin dicapai daripada sesuatu tugasan, peraturan atau syarat yang perlu dipatuhi, proses dan prosedur kerja.

Semua ini adalah maklumat yang memberi kefahaman dan pengetahuan asas kerja sebelum ia dapat dilaksana dan disempurnakan dengan betul serta jayanya. Seseorang pekerja tidak akan dapat membentuk disiplin diri secara berterusan sekiranya maklumat asas berkaitan tugasan tidak difahami.

Hal ini perlu dielakkan demi memastikan tidak berlaku silap faham, silap pertimbangan, silap keputusan dan silap tindakan di kalangan pekerja.

Justeru, kaedah mendapatkan penjelasan dan pengetahuan melalui amalan bertanya, berbincang, berbahas, mendapatkan maklum balas, pandangan, mengikuti latihan, bengkel, motivasi, ceramah dan bimbingan selain pembelajaran berterusan melalui pembacaan perlu digalakkan dalam organisasi.

Elak kebinasaan

Rasulullah SAW memberi peringatan untuk mengelakkan kebinasaan: “Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan itu) dan janganlah engkau menjadi daripada golongan kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Riwayat al-Bazzar)

Usaha ini dapat meningkatkan penguasaan bidang dan kemahiran kerja dalam Islam yang bertujuan memimpin akal, akhlak dan memandu tindakan.

Daripada Ibnu Mas’ud, Nabi SAW bersabda: “Jangan ada perasaan iri hati melainkan kepada dua keadaan: (Pertama) keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda serta menjadikannya menguasai dirinya menghabiskan hartanya itu pada perkara kebajikan yang sebenar-benarnya; dan (kedua) keadaan orang yang dikurniakan Allah ilmu pengetahuan, lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya.” (Riwayat Imam al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi)

Justeru, dengan menekankan kepada kefahaman dan pengetahuan dalam kalangan pekerja, kita akan secara tidak langsung menggerakkan kitaran proses kerja berdisiplin yang semuanya menjadikan pekerja lebih berkesan serta penghasilan kerja lebih baik.

Firman Allah SWT: “Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan orang yang berilmu beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Justeru, marilah kita membina disiplin diri melalui kerja berteraskan kefahaman dan pengetahuan dan menjadikannya proses sepanjang hayat.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Remaja perlu bijak hindari stres

Posted by epondok di April 24, 2013

MASALAH perhubungan dengan rakan sebaya dan keluarga sering timbul dalam kalangan remaja di sekolah menengah yang boleh menyebabkan tekanan atau stres. Antara situasi yang boleh menyebabkan tekanan adalah berkaitan dengan masalah hubungan dengan rakan sebaya dan keluarga.

Masalah ini walaupun nampak kecil, namun ia boleh menjejaskan perkembangan sosial anak-anak remaja yang sedang membesar. Kajian psikologi dan pembangunan manusia menjelaskan bahawa anak remaja memerlukan dorongan, bimbingan dan juga perhatian dalam permasalahan sosial mereka.

Kajian menunjukkan lebih 27 peratus atau sekitar 1,765 daripada 6,540 pelajar enam sekolah menengah di seluruh negara yang terbabit dalam projek perintis kelolaan Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental dikesan mengalami tanda-tanda masalah kesihatan mental yang teruk.

Kajian menunjukkan sebanyak 4.8 peratus atau 313 pelajar didapati mengalami masalah tekanan yang teruk (17.1 peratus atau 1,118 pelajar) dan tanda kemurungan yang teruk (5.2 peratus atau 340 pelajar).

Jika di kaji terdapat beberapa masalah hubungan dengan rakan sebaya dan keluarga. Antara sebabnya, kehilangan sahabat baik kerana berpindah rumah atau sekolah dan disebabkan kematian. Tidak dapat menerima kehadiran orang baru dalam keluarga seperti ipar, kelahiran adik atau pasangan baru membabitkan ibu atau bapa.

Ibu atau bapa yang pilih kasih. Berasa terasing dan rendah diri dengan kekurangan diri berbanding dengan rakan sebaya atau adik-beradik. Perbezaan umur antara adik-beradik yang terlalu jauh. Sukar menyesuaikan diri dengan rakan sebaya ketika berpindah ke sekolah baru.

Remaja daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan etnik minoriti selalunya menghadapi masalah di sekolah jika dibandingkan dengan rakan mereka daripada golongan sosioekonomi yang sederhana.

Lantaran itu, beberapa pandangan telah diambil kira iaitu pihak sekolah tidak mengambil inisiatif untuk membaiki keadaan remaja daripada keluarga golongan ini.

Mengikut pandangan tokoh psikologi, yang mengatakan remaja yang miskin selalunya berdepan dengan masalah sama ada di rumah atau di sekolah. Di rumah mereka mungkin mempunyai ibu bapa yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dan mereka tidak mampu membantu dari segi pencapaian akademik anak-anak.

Selain itu, mereka juga tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membeli kemudahan pembelajaran seperti membeli buku rujukan, menghantar anak ke kelas tuisyen dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, semua masalah ini akan mematangkan kehidupan seseorang remaja dalam menuju ke alam dewasa. Ibu bapa sewajarnya berperanan memberikan nasihat dan bimbingan kepada anak-anak dan tidak membiarkan mereka hanyut serta menyelesaikan masalah ini sendirian. Masalah ini jika tidak ditangani akan menjejaskan masa depan pelajar dan juga masalah dalam hubungan sosial mereka pada masa depan.

Seterusnya jika tidak ditangani, masalah ini akan menyebabkan anak-anak terjebak dengan kegiatan merokok, mengasingkan diri, dan juga terbabit dengan penagihan dadah. Perhubungan kendiri yang baik akan dapat memperbaiki diri, mempertingkatkan keyakinan dan berfikiran positif. Sayidina Ali bin Abi Talib mewasiatkan: “Teman manusia yang sebenar ialah akal dan musuhnya yang celaka adalah jahil.”

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Sedekah penambah rezeki jika ikhlas

Posted by epondok di April 23, 2013

Nurul Shahida Idayu Harun
Islam amat menggalakkan umatnya menabung dan amalan baik ini seharusnya dipupuk sejak dari kecil supaya apabila dewasa, seseorang itu menjadi individu yang berjimat-cermat. Ini bertepatan dengan peribahasa sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Namun, amalan menabung semakin tenggelam dan dilupakan dalam arus kemodenan. Pada zaman dulu, nenek moyang kita menabung dalam tabung yang diperbuat daripada buluh atau tempurung kelapa.
Berbeza hari ini, tabung boleh didapati di pasar raya dalam pelbagai bentuk dan saiz. Malah, menabung bukan dengan menyimpan wang dalam tabung semata-mata bahkan boleh menabung di bank serta dalam bentuk amanah saham.

Elak pembaziran

Hidup ini ada pasangan surutnya dan sebagai manusia ada kala kita terleka. Oleh itu, apabila berduit, ada yang berbelanja tanpa memikirkan apakah benda yang dibeli itu satu keperluan atau tidak. Maka, berlakulah pembaziran.

Wang simpanan bukan saja persediaan berdepan kesulitan, tetapi wang yang terkumpul itu boleh dimanfaatkan untuk banyak perkara. Jika ada lebihan, boleh didermakan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Selain dapat membantu saudara yang kesusahan, amal kebajikan itu juga menyucikan harta. Sedekah tidak akan mengurangkan harta sebaliknya Allah akan menambah rezeki jika kita ikhlas memberi.
Nikmat bersedekah

Daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah harta menjadi berkurang kerana sedekah, dan tidaklah seseorang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kehormatan kepada dirinya; dan seseorang tiada bersikap merendah diri kerana Allah , melainkan ia akan diangkat darjatnya oleh Allah.” (Riwayat Muslim dan Tirmidzi)

Galakan menabung telah wujud ketika zaman Nabi Yusuf. Al-Quran menyebut dalam surah Yusuf, ayat 43-49 yang memberi banyak pengajaran berguna kepada kita. Ayat itu mengingatkan ada kala ujian tidak dapat diduga, maka hendaklah sentiasa bersiap sedia.

Justeru, sebagai persediaan kita hendaklah menabung supaya apabila tiba saat genting sekurang-kurangnya kita mempunyai sumber untuk membantu meringankan kesudahan dihadapi itu.

Rasulullah SAW bersabda: “Rasulullah pernah membeli kurma daripada Bani Nadhir dan menyimpannya untuk bekalan setahun buat keluarga.” (Riwayat Bukhari)

Sabda Baginda lagi: “Simpanlah sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu kerana itu jauh lebih baik bagimu.” (Riwayat Bukhari)

Amalan menabung sangat menguntungkan individu yang mengamalkannya dan memberi banyak faedah. Antaranya, wang yang ada membolehkan kita memberi barangan yang diperlukan atau yang diingini.

Berjimat bukan kedekut

Kedua, kita dapat menguruskan kewangan tanpa perlu meminta bantuan orang lain. Menabung juga melatih kita berjimat cermat dan tidak suka pembaziran. Bagaimanapun, jangan pula amalan berjimat menjadikan kita kedekut.

Marilah menabung demi kesejahteraan masa depan dan sebagai bekalan yang akan membolehkan kita hidup selesa. Galakkan anak menabung supaya mereka juga mengerti kepentingan bersiap sedia apabila berdepan kesusahan

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Biar tersalah beri maaf

Posted by epondok di April 22, 2013

ISLAM mendidik manusia untuk mempunyai sifat saling di antara satu sama lain. Perkataan Islam yang berasal daripada perkataan asalnya salima yang bermaksud selamat, harmoni dan sejahtera. Ini bermakna, orang Islam perlu memperjuangkan keamanan dan keselamatan bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk orang lain.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud daripada muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), lebih baik daripada yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah).” (riwayat Ibnu Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)

Hadis di atas memberikan gambaran kepada kita betapa Islam amat menitikberatkan kemaafan dalam semua tindakan termasuklah dalam memberikan hukuman. Namun, ini tidak bermaksud Islam mengabaikan hukuman kepada pesalah sehingga membebaskannya secara membabi-buta. Sekiranya cukup saksi dan bukti, maka pesalah tersebut perlu dijatuhkan hukuman.

Akan tetapi, seseorang itu tidak boleh untuk dikatakan sebagai bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah. Dalam Islam, bebanan pembuktian terletak ke atas pihak yang mendakwa, bukannya yang didakwa. Selagi mana tidak wujud bukti yang kukuh untuk menentukannya bersalah, maka selagi itulah dia tidak wajar untuk menerima sebarang hukuman. Inilah keadilan dalam Islam yang menjaga hak dengan penuh keadilan dan kesaksamaan.

Demikian juga sekiranya kita perhatikan dalam hukum-hakam yang membabitkan hutang. Sekiranya peminjam tidak mampu membayar hutang pada masa yang ditetapkan, maka dia tidak boleh dikenakan sebarang denda kerana kelewatan pembayarannya. Bahkan, sekiranya pemiutang memaafkannya dan menghalalkan hutangnya, maka itulah yang lebih baik kepada kedua-dua belah pihak.

Ini berdasarkan firman Allah SWT: Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (al-Baqarah: 280)

Antara pengajaran yang kita boleh diambil daripada contoh kemaafan dalam hukum-hakam ini ialah supaya kita sentiasa mengutamakan kemaafan dalam semua perkara. Apabila ada orang telah insaf setelah melakukan kesalahan terhadap kita, maka maafkanlah kesalahan tersebut walaupun berat.

Janganlah dengan sebab kesalahan yang dilakukan itu, kita terus menghukumnya tanpa memberi peluang kepadanya untuk bertaubat dan tidak mengulangi kesalahannya di kemudian hari. Janganlah kita bermasam muka dan tidak bertegur sapa hanya disebabkan kesalahan kecil yang mungkin tidak disengajakan.

Allah SWT bersifat ghafur iaitu Maha Pengampun. Dia akan memaafkan kesalahan dan kesilapan orang yang benar-benar bertaubat walau sebesar manapun dosa yang telah dilakukannya. Dengan maksud yang lain, Allah SWT sentiasa mengampuni dosa hamba-hamba-Nya yang melakukan kesalahan dan maksiat kepada-Nya.

Rasulullah SAW pernah bersabda, Allah SWT berfirman: “Wahai Anak Adam! Selagi mana engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai Anak Adam! Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepada-Ku, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai Anak Adam! Sekiranya engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemui-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula.” (riwayat Al-Tirmidzi)

Allah SWT juga cinta kepada orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang memberikan kemaafan (ke atas kesalahan orang), padahal ia mampu bertindak balas (di atas perbuatan tersebut), maka Allah SWT akan memaafkannya, di hari yang susah.” (riwayat Thabroni)

Sebab itulah, sekiranya kita perhatikan hukum-hakam dalam Islam sebenarnya bukan untuk menghukum, sebaliknya ia diturunkan oleh Allah SWT sebagai didikan dan pencegahan supaya sesuatu jenayah atau maksiat itu dapat dielakkan dari awal akibat daripada rasa kegerunan manusia terhadap hukuman tersebut.

Oleh itu, janganlah kita terlalu cepat dalam menjatuhkan sesuatu hukuman. Pastikan terdapat bukti yang kukuh terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman. Ia terpakai bukan sahaja dalam mahkamah kehidupan kita, sama ada dalam pekerjaan, rumah tangga dan hidup bermasyarakat. Ingat, lebih baik tersalah memberikan kemaafan, daripada tersalah memberikan hukuman.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hakikat mempelajari ilmu

Posted by epondok di April 21, 2013

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

MENDIDIK anak-anak adalah tugas penting dan utama kepada setiap ibu bapa. Justeru, peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak sangat penting sejak anak-anak itu masih kecil dan dilakukan berterusan sehingga meningkat remaja dan dewasa.

Tanggungjawab ibu bapa adalah mendidik ilmu agama yang meliputi akidah, ibadah dan akhlak. Selain itu, ibu bapa juga berperanan mendidik ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan kehidupan di dunia. Keseimbangan pendidikan ini akan menjadikan seseorang itu seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Pendidikan akidah sejak di rumah lagi adalah teras penting untuk menanamkan keyakinan anak-anak terhadap keesaan Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merealisasikan segala tujuan hidup manusia di dunia ini.

Oleh itu, dalam mempelajari akidah, ibu bapa perlu mengaplikasikan kaedah pengajaran yang berkesan di rumah supaya anak-anak lebih menghayati tujuan mempelajarinya. Saranan dan usaha ini penting disebabkan pendidikan akidah adalah teras penting yang perlu diajar di rumah dan di sekolah sebelum seseorang itu mempelajari subjek lain.

Manakala pendidikan ibadah melibatkan fardu ain dan fardu kifayah. Pendidikan ini bertujuan untuk menjelmakan dan mempraktikkan segala amalan agama dalam bentuk praktikal dan menggerakkan segala anggota dan pancaindera manusia ke arah mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Pendidikan juga berperanan untuk mendidik anak-anak tentang bagaimana menyembah, mentaati, memohon pertolongan dan keampunan daripada Allah SWT. Pendidikan ibadah juga merupakan suatu tuntutan penting bagi manusia merealisasikan peranannya sebagai khalifah Allah, yang diberikan tanggungjawab dalam menyempurnakan segala tuntutan agama.

Ibadah perlu difahami dalam konsep yang lebih luas, meliputi ibadah khusus (fardu ain) seperti solat, zakat, puasa dan haji di samping tuntutan ibadah umum (fardu kifayah) seperti kebajikan, pekerjaan, amalan sunat dan sebagainya.(rujuk al-Baqarah: 2:21)

Bagi pendidikan akhlak, ibu bapa berperanan mendidik anak-anak supaya dididik dengan akhlak yang mulia. Menanam akhlak yang baik dan mulia memerlukan masa yang panjang dan berterusan melalui amalan yang dilakukan, nasihat dan tunjuk ajar. Pendidikan akhlak Islam bertujuan supaya akhlak yang baik dan sempurna dapat ditanamkan dalam pemikiran, hati, jiwa anak-anak sejak kecil lagi bagi menjauhkan mereka daripada akhlak yang terkeji.

Melalui pendidikan di rumah dengan akhlak yang terpuji lagi sempurna merupakan kunci kebaikan bagi setiap manusia khususnya umat Islam dan makhluk Allah secara keseluruhannya. Manakala akhlak yang terkeji merupakan jalan ke arah kejahatan dan kerosakan.

Lantaran itu, anak-anak juga seharusnya dididik supaya menjaga kebersihan, tidak meninggalkan solat, selalu membaca al-Quran, bersedekah, sabar dalam menjalani kehidupan bagi membentuk jiwa yang sempurna.

Daripada Abu Malik al-Harith bin ‘Asim al-Asy’ari RA katanya Rasulullah SAW bersabda: Bersuci itu sebahagian daripada iman, alhamdulillah memenuhi timbangan, subhanallah dan alhamdulillah memenuhi ruang antara langit dan bumi, solat itu cahaya, sedekah itu bukti, sabar itu sinarnya, al-Quran itu hujah untuk engkau atau terhadap engkau, semua orang mempertaruhkan dirinya (antara dua pertaruhan) sama ada untuk memerdekakan atau membinasakannya. (riwayat Muslim)

Setiap Muslim digalakkan berakhlak mulia terhadap Allah iaitu dengan melaksanakan amalan fardu dengan sempurna, memperbanyakkan amalan sunat dan berkorban demi untuk Islam.

Menurut tokoh pendidik Islam, Khurshid Ahmad, jatuh bangunnya suatu umat bergantung pada jatuh bangunnya pendidikan, kerana jalan utama bagi persiapan masa hadapan adalah pendidikan.

Maka, melalui pendidikan akidah, ibadah dapat membangun umat. Begitu juga, berakhlak mulia terhadap manusia dapat membantu orang lain dalam kesusahan, selalu mengucapkan salam, sentiasa senyum apabila bertemu. Amalan-amalan ini seharusnya dilakukan dalam kehidupan bermasyarakat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »