Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mac 2013

Besarkan anak dengan kasih sayang

Posted by epondok di Mac 31, 2013

SALAH satu hak anak ialah dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Ini bermakna ibu bapa yang membesarkan anak-anak dengan kebencian, pergaduhan, merasa tertekan dan takut akan mengakibatkan anak-anak mengalami gangguan emosi. Gangguan emosi seperti ini mengambil masa untuk menunjukkan kesan dan yang paling biasa ialah anak-anak mengalami kemurungan, ponteng sekolah dan sakit. Sakit yang paling biasa dialami ialah muntah-muntah, sakit kepala dan demam.

Anak adalah amanah Allah SWT kepada ibu bapa. Kita perlu ingat bahawa Rasulullah SAW sangat menyayangi kanak-kanak. Baginda sering dilihat bermain dengan cucu-cucunya, Hassan dan Hussien. Dalam satu hadis disebutkan Nabi SAW sujud lama ketika sedang solat kerana cucu Baginda sedang duduk di atas tengok. Baginda juga pernah berkata kepada seorang sahabat “Sesiapa yang tidak menyayangi kanak-kanak, tidak akan disayangi.”

Islam percaya melentur buluh biarlah daripada rebung, namun Islam melarang memukul kanak-kanak. Zaman saya kecil dahulu, merotan anak adalah suatu perkara biasa bagi ibu bapa. Ia adalah satu cara mendisiplin anak. Tetapi ibu bapa dahulu tidak merotan untuk menyakitkan atau menyiksa. Mereka merotan dengan ranting pokok bunga yang kecil dan biasanya dirotan di kaki. Kebiasaannya kerana bermain sehingga lupa sudah masuk waktu Maghrib, tidak bersolat atau terlalu asyik bermain sehingga lupa sudah lewat petang.

Lumrahnya, yang mengejar dan merotan adalah ibu. Walaupun ibu bapa merotan atau menghukum anak kerana tidak mendengar kata atau nakal, tidak pernah pula kita mendengar anak didera dengan teruk hingga patah, cedera atau mati. Malah ibu bapa memastikan anak makan malam sebelum tidur walau siangnya dirotan.

Kehidupan berkeluarga seperti itu mengeratkan hubungan kekeluargaan. Anak-anak dan ibu bapa berbual semasa mereka sambil menjamu hidangan. Banyak yang dilahirkan pada waktu maka termasuk rasa sedih, rasa gembira dan sebagainya.

Ibu bapa dahulunya tidak pandai melahirkan rasa kasih sayang kepada anak-anak. Malah ada bapa malu mencium anak lelakinya di khalayak kerana tidak biasa berbuat demikian. Hubungan antara ayah dan anak sangat formal kerana formaliti itu menimbulkan rasa hormat anak kepada ayahnya. Ayah pula mempamerkan rasa kasihnya kepada anak dengan membawa makanan pulang ke rumah, menjamu anak dengan juadah yang dibeli dengan titik peluhnya.

Walaupun hubungan yang terjalin itu nampak renggang, namun ayah tetap mengetahui apa yang berlaku kepada anaknya melalui isteri. Zaman dahulu, oleh kerana kebanyakan ibu tidak bekerja, jadi mereka insan paling penting dalam kehidupan seorang anak. Ibu adalah segala-galanya: ibu, guru, kawan, kakak, jurucakap, juruwang dan sebagainya.

Pulang dari sekolah, ibu sudah menunggu di pintu. Makan tengahari telah terhidang dan kepada ibulah tempat menceritakan segala kejadian sepanjang hari. Ibulah penyelamat, penenang dan pengubat segala masalah.

Oleh kerana anak ada tempat untuk bercerita, masalah emosi anak banyak diselesaikan lebih awal melalui terapi naluri ibu.

Hari ini, kebanyakan ibu bekerja dan dalam kesibukan menjalankan tugas, ibu perlu memberi ruang masa kepada anak-anak untuk bercerita dan mendapat simpati. Dengan itu anak tidak perlu mendapat pandangan atau nasihat rakan-rakan sebayanya dalam menyelesai masalah di samping rasa mereka disayangi.

Zaman berubah, kini ramai anak-anak menghabiskan masa di pusat jagaan. Menambahkan lagi keterbatasan masa ibu bapa bersama dengan anak-anak. Ibu bekerja menghadapi masalah kekangan masa untuk melayan anak-anak. Sepanjang hari bertugas, bila pulang, mereka sibuk dengan urusan di rumah (bagi yang tiada pembantu). Badan menjadi bertambah letih dan apabila anak bercerita, ibu tidak dapat memberi perhatian. Akhirnya anak rasa tidak dihargai atau disayangi.

Saya sering menemubual kanak-kanak dalam tahanan dan antara sebab mereka melakukan kesalahan jenayah ialah kerana merasa jemu tinggal di rumah atau rasa terbiar. Akhirnya anak melepak dan terjebak dengan gejala sosial, kesan daripada merasa diri tidak dipedulikan. Memburukkanlagi keadaan, bukan sahaja ibu bapa mereka sibuk bekerja tetapi apabila di rumah mereka sering bertengkar. Anak merasa tertekan dan ini adalah salah satu penderaan emosi.

Ada juga ibu bapa yang menyalahkan anak mereka setiap kali mereka bertengkar. Perkataan seperti “Ini kamulah ni”, “Kalau tidak kerana kamu, kita tidak sesusah ini” “Anak sial”, “Anak tak guna”. Semua kata-kata ini keluar daripada mulut ibu bapa dan ini termasuk dalam penderaan emosi. Ramai kanak-kanak hari ini mengalami tekanan, kemurungan dan ada ciri-ciri ingin membunuh diri.

Jika dibiarkan anak-anak ini boleh membahayakan dirinya dan orang sekelilingnya. Bahkan, bagi anak-anak yang tidak diberikan didikan agama mereka membesar dalam keadaan tidak menyintai Allah SWT sebagai penciptanya. Malah menyalahkan Allah SWT pula. Apabila pegangan agama tidak kuat ditambah dengan tekanan yang dialami, jadi mereka akan mencari kedamaian dan ketenangan dengan mengambil dadah, minum arak dan berseronok-seronok. Bagi mereka bahan-bahan ini dapat menghilangkan kedukaan dan kesengsaraan yang dilalui.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Zikir bantu tenangkan perasaan

Posted by epondok di Mac 30, 2013

Oleh Badariah Abdullah

Perasaan risau, kusut hati, sedih dan resah boleh menimpa sesiapa saja. Walaupun selalunya perasaan negatif ini timbul selepas berlaku perkara tidak diingini dalam kehidupan tetapi ada masanya ia datang secara tiba-tiba.

Tanda-tanda seseorang itu sedang mengalami kerisauan dan kesedihan ialah rasa letih atau tidak bermaya, pening kepala, jantung sentiasa berdebar-debar, tidak nyenyak tidur, sudah tidur, resah gelisah dan cepat naik darah.
Kurang daya tumpuan, tidak lalu makan atau makan secara berlebihan, tidak boleh membuat keputusan, selalu dalam keadaan muram, suka mendiamkan diri serta menjadi anti sosial.

Banyak zikir tenang hati

Perasaan risau, kusut hati, sedih dan resah ini sungguh bahaya kerana ia akan membuatkan kita membenci diri serta kehidupan. Justeru, mereka yang dilanda perasaan ini boleh menenangkan hati dengan banyakkan berzikir.

Berzikirlah dengan nama Allah SWT, ‘Ya Allah’ seberapa banyak yang mungkin di mana saja kita berada. Jika dibaca dengan penuh iman dan khusyuk, nescaya Allah SWT akan menghilangkan segala perasaan negatif yang ada serta melapangkan dada kita.

Begitu juga asmaul husna yang lain seperti Ar-Rahman bererti mempunyai rahmat yang luas dan melimpah. Barang siapa berzikir ‘Ya Rahman’, Allah SWT akan menghilangkan perasaan kusut di hatinya dan memudahkan urusan dunia.
Al-Quddus bererti Allah SWT itu suci dan bersih daripada segala kesilapan, kecacatan, kegagalan , dan kekurangan. Barang Siapa membaca ‘Ya Quddus’ sekurang-kurangnya 100 kali setiap hari akan menghilangkan kepadanya perasaan risau dan kusut fikiran.

Hilangkan rasa sedih

Al-Ghaffur bererti yang Maha Pengampun dan Pemaaf. Berzikir ‘Al-Ghaffur’ sebanyak mana yang boleh dengan penuh iman, nescaya Allah SWT akan menghilangkan perasaan kusut, resah dan sedih di hati hamba-Nya.

Barang siapa berzikir ‘Ya Baaqiy’ sebanyak 1000 kali semasa dalam kesedihan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, Insya Allah, Yang Maha Pencipta akan membantunya semasa kesusahan dan menghilangkan perasaan sedih serta duka di hatinya.

As-Sabuur ertinya yang Maha Sabar. Berzikir ‘Ya Sabuur’ sebanyak mana yang boleh, di mana saja kita berada, perasaan sedih atau risau akan hilang secepat mungkin dengan izin Allah

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Adab baik akhlak cantik

Posted by epondok di Mac 29, 2013

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

DALAM mengejar kemajuan, adab sangat dipentingkan kerana orang yang beradab adalah orang yang sentiasa mementingkan budi bahasa dan tatasusila sebagai orang yang beradab. Kita sering mendidik kanak-kanak dan remaja supaya beradab tetapi orang tua tidak pula beradab dalam berkata-kata dan perlakuan yang ditunjukkan.

Islam amat menekankan pendidikan adab kepada anak-anak dan juga dalam kalangan keluarga. Islam menetapkan beberapa adab seperti adab berhias diri, adab menjaga orang sakit, adab amar makruf nahi mungkar, adab di tempat rekreasi, adab menjaga kemudahan awam, adab menziarahi jenazah dan adab dalam pergaulan seharian.

Sebagai ibu bapa pendidikan adab terhadap anak-anak sengat penting. Ibu bapa mestilah menunjukkan adab dan teladan yang baik. Begitulah seperti kata peribahasa, seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan ibu atau bapa ketam tak pernah berjalan betul. Ada ibu bapa melarang anaknya merokok, sedangkan mereka sendiri adalah perokok tegar. Bagaimanakah nasihat dan teladan hendak diterapkan kepada anak-anak? Jawapannya terletak kepada kebijaksanaan ibu bapa tersebut.

Memetik kata-kata cerdik pandai, adab yang baik adalah seni untuk membuatkan orang berasa selesa berhubung dengan kita. Sesiapa yang menyebabkan paling sedikit orang berasa tidak selesa, dialah baka yang terbaik dalam kumpulan itu.

Ingatlah kehebatan adab terutama adab yang baik yang ditunjukkan oleh seseorang kepada orang lain. Orang yang beradab sentiasa menjaga percakapan, bicara dan perlakuannya di mana sahaja dia berada sama ada keseorangan atau di khalayak ramai.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) adab daripada Allah. Kalau Allah meluaskan adab baginya, maka akan luas adabnya dan menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya adab) maka sempitlah adabnya.” (riwayat Al Hakim).

Begitulah juga kita seharusnya menjaga adab dengan pemimpin, ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua. Begitu juga kita wajar mempamerkan adab yang baik kepada kanak-kanak dan orang yang lebih muda sebagai teladan dan ikutan kepada mereka.

Sebagai renungan, Wahab Munabin pernah mengingatkan, adab dan akhlak yang buruk seperti tembikar yang sudah pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah. Begitu jugalah manusia yang tidak beradab dan berakhlak diumpamakan seperti tembikar yang pecah.

Ini membuktikan adab dan akhlak sangat penting dalam kehidupan, jika adab dan akhlak kita rosak dan tercemar sukar sekali untuk memperbaikinya. Orang akan ingat selama-lamanya akan perbuatan yang kita lakukan yang merosakkan adab dan akhlak. Nabi SAW bersabda: Yang muda mendahului memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang berjumlah sedikit kepada yang banyak. (riwayat Bukhari)

Kesempurnaan budi dan adab sangat dipentingkan dalam kehidupan. Kata-kata yang lemah lembut dan beradab adalah inti peradaban kepada bangsa. Adab dan sopan juga adalah kecantikan budi pekerti yang terpuji yang sangat disanjung sejak dahulu hingga sekarang. Menurut Al Bukhari, Nabi SAW lebih malu daripada seorang gadis dalam pingitannya.

Mempraktikkan adab yang baik dalam kehidupan sangat digalakkan. Pendidikan adab ini mestilah dilakukan sejak kecil lagi bagi memperkukuh akidah, ibadah dan akhlak seseorang. Pendidikan ini juga dapat meneguhkan pendirian atau istiqamah terhadap perintah Allah dengan penuh keyakinan. Nabi SAW, bersabda: “Sesungguhnya Allah indah dan senang kepada keindahan. Apabila seorang keluar untuk menemui kawan-kawannya hendaklah merapikan dirinya.” (Riwayat Baihaqi)

Kebaikan adab juga akan menunjukkan ketinggian akhlak seseorang. Apabila seseorang itu beradab baik, sudah pasti akhlaknya juga turut baik. Pendidikan adab juga akan meliputi pendidikan ibadah, keimanan, akal dan akhlak. Justeru, adab bercakap juga sangat penting dalam kehidupan. Bercakap merupakan suatu budaya manusia yang melambangkan hati, sikap dan fikiran. Oleh itu, peliharalah lidah dan ikutilah adab yang baik semasa bercakap.

Lantaran itu, Nabi SAW, bersabda: Sesiapa mempercayai Allah dan hari kemudian (akhirat) maka semestinya dia bercakap perkataan yang baik ataupun hendaklah dia diam sahaja. (riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, sebagai ibu bapa didiklah anak-anak dengan bercakap menggunakan perkataan yang baik-baik sahaja.

Natijah, pendidikan adab dan akhlak mestilah dilakukan secara berterusan. Menjaga aurat, perlakuan dan percakapan adalah adab yang paling baik. Jika adab sentiasa dijaga tidak akan ada perbuatan yang membabitkan gejala sosial yang merosakkan dan menghancurkan masa depan

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Jin Saka keturunan

Posted by epondok di Mac 28, 2013

bersama Haji Lokman Abdul Hamid

SALAM Tuan Haji Lokman. Nama saya Zulkarnian Zamzuri dari Balek Pulau, Pulau Pinang berusia 30 tahun empat beradik dan saya anak yang kedua.Di sini saya hendak bertanya adakah saya terkena gangguan sihir atau gangguan saka. Sejak ayah saya meninggal dunia 3 tahun lepas, kesihatan saya selalu terganggu.

Kadang-kadang saya tidak boleh tidur malam, mimpi menakutkan, sakit di sendi terutama di bahagian pinggang dan tengkuk dan fikiran saya kebingungan.

Susah untuk saya hendak fokus dan membuat sesuatu kerja. Prestasi kerja saya merosot dan kadang-kadang saya merasa diri saya kosong dan tidak bersemangat.

Saya sudah pergi berjumpa beberapa doktor pakar dan semua mengatakan saya sihat dan tidak ada apa-apa penyakit fizikal dan ada daripada mereka berpendapat saya menghadapi penyakit kemurungan.

Saya pernah berjumpa dengan seorang Ustaz di kampung saya dan dia memberitahu saya ada gangguan saka dari keturunan saya. Saya minta penjelasan dari Tuan Haji.

Jawapan

Gangguan makhluk halus, penyakit yang boleh dikira sebagai dominan dalam masyarakat Melayu kita, sejak dari dulu, hingga ke era moden seperti hari ini.

Setiap hari perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah pasti bertemu dengan pesakit yang mengalami masalah gangguan makhluk halus.

Antara gangguan yang sangat popular dan selalu dikenal pasti adalah gangguan saka.

Pesakit tersebut kadang-kala tidak terfikir bahawa sakit yang dialami oleh mereka bertahun-tahun lamanya dan tidak sembuh walaupun sudah mendapat rawatan moden disebabkan oleh gangguan saka.

Banyak kali pesakit datang ke klinik kami untuk berubat sakit sendi atau urat saraf, tetapi apabila dikenal pasti penyakit yang dialami sebenarnya adalah gangguan saka.

Untuk pengetahuan pembaca, gangguan saka adalah merupakan jin-jin yang diwarisi daripada seorang manusia kepada manusia lain sama ada secara disedari atau tidak disedari dan biasanya melibatkan keturunan iaitu mempunyai pertalian darah yang sama.

Dalam pengalaman saya mengeluarkan saka dari badan pesakit, kebanyakan daripada saka adalah dari keturunan sebelah keluarga bapa pesakit dan jarang sekali kami berjumpa saka yang berasal dari sebelah keluarga ibu.

Kenapa ini berlaku adalah kerana pertalian darah dari bapa kepada anak-anak lebih kuat dari pertalian darah dari ibu kepada anak-anak.

Manakala gangguan sihir pula, adalah gangguan jin dan iblis yang dihantar kepada sesaorang daripada seseorang yang mempunyai niat jahat melalui pengamal sihir.

Selalunya pengamal-pengamal sihir ini menggunakan jin dan iblis untuk menganiayai seorang yang disasarkan oleh pelanggan mereka.

Apa pun jenis jenama sihir yang ada sekarang di zaman moden seperti santau, susuk, ilmu kebal, ilmu pemisah dan pengasih, semuanya berlaku melalui campur tangan jin dan iblis ini yang berdamping dengan pengamal-pengamal sihir tersebut.

Bukan semua anak-anak dalam keluarga itu boleh mewarisi saka keturunan dari keluarga.

Jin-jin saka ini boleh memilih (pick and choose) anak-anak tuan mereka, untuk didampingi oleh mereka.

Sukar untuk saya memberi penjelasan apakah kriteria atau ciri-ciri yang ada pada anak-anak yang boleh membuat tubuh badan mereka ini senang didampingi oleh makhluk-makhluk halus ini.

Tidak ada satu formula yang boleh kita guna pakai untuk meramal siapa antara ahli keluarga itu didampingi oleh jin-jin saka ini.

Tidak semestinya anak yang sulung dalam keluarga itu atau hanya anak-anak lelaki sahaja yang selalu didampingi oleh jin-jin saka ini.

Sehingga hari ini, kita masih belum memahami dengan jelas, bagaimana kaedah dan kriteria pemilihan ahli keluarga itu didampingi oleh jin-jin saka ini.

Mungkin faktor-faktor seperti lemah semangat, kekuatan iman, kepercayaan kepada benda-benda khurafat seperti menyimpan senjata-senjata lama yang diwarisi dari keturunan mereka dan sebagainya.

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu suka memelihara dan berdamping dengan jin-jin kerana mempercayai makhluk yang didampingi tersebut boleh menjadi pembantu mereka dalam kerja-kerja seharian.

Sebagai contoh, terdapat kisah orang-orang tua dahulu yang berpesan kepada anak isteri mereka bahawa akan ada makhluk halus yang menjaga rumah mereka sepanjang tempoh si suami atau ayah tersebut keluar ke laut atau hutan untuk mencari rezeki.

Kadang-kala, mereka ini menuntut apa-apa ilmu yang disangka sebagai ilmu dunia ghaib tanpa mengetahui bahawa untuk menguasai ilmu tersebut, mereka akan didampingi oleh jin-jin yang dianugerahkan oleh tok guru mereka tanpa mereka sedari.

Ilmu-ilmu tersebut seringkali melibatkan ilmu-ilmu seperti ilmu pendinding, amalan kebatinan, ilmu kecantikan seperti susuk, ilmu pelaris untuk memajukan perniagaan, ilmu untuk menundukkan kuasa seseorang, ilmu sihir pemisah atau sihir pengasih dan sebagainya.

APA ITU JIN?

Pada zaman moden sekarang ramai di kalangan umat Islam yang hampir tidak dapat mempercayai wujudnya golongan jin-jin atau makhluk halus ini.

Namun, golongan jin merupakan makhluk halus yang harus diyakini akan kewujudan mereka walaupun mata kasar manusia tidak dapat melihat jin-jin tersebut.

Allah swt telah menyebut mengenai kewujudan jin-jin berulang kali di dalam Al-Quran dan salah satu daripada surah dalam AL-Quran sendiri dinamakan sebagai surah Al-Jinn.

Contoh dalil akan kewujudan jin adalah seperti di dalam firman Allah swt di dalam surah az-Zariyat ayat ke 56: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Sebab utama kenapa golongan jin tidak dapat dilihat oleh manusia kerana jin merupakan makhluk halus yang berasal daripada unsur-unsur kejadian yang berlainan dan berbeza daripada manusia, iaitu api.

Dalilnya, firman Allah Ta’ala di dalam surah Ar-Rahman, ayat 15 menyatakan:

“Dan Dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang.”

Selain itu di dalam surah Al-Hijr, ayat 27 Allah swt turut berfirman bahawa;

“Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.”

Ramai pesakit yang dirasuki atau diganggu oleh jin mengadu tubuh badan mereka selalu rasa panas.

Perkara ini dapat dijelaskan seperti yang disebut dalam ayat-ayat Al-Quran seperti diatas iaitu kejadian jin itu adalah daripada api.

Banyak rencana yang ditulis oleh pemikir-pemikir Barat berkenaan “energy” yang dikeluarkan oleh benda-benda halus ini. “Energy” yang selalu dimaksudkan ini ialah bahang api dari unsur-unsur jin-jin tersebut .

Jin tidak mempunyai jasad seperti manusia sebab itu mereka dipanggil makhluk halus. Tidak mempunyai jasad bermakna mereka tidak ada darah, daging, tulang dan kulit seperti manusia.

Oleh kerana mereka tidak ada jasad, mereka lebih fleksibel dari manusia, iaitu boleh mengecilkan bentuk asal mereka sehingga boleh memasuki tubuh manusia melalui saluran-saluran darah dan boleh hidup dalam badan manusia bertahun-tahun lamanya

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Jangan sempitkan konsep syurga

Posted by epondok di Mac 26, 2013

DESTINASI terakhir kaum mukminin adalah syurga. Negeri yang indah ini dijelaskan dalam al-Quran sebagai tempat yang sangat luas. Keluasannya seperti luasnya langit dan bumi. Setiap orang yang masuk ke dalamnya akan merasai kenikmatan yang tidak pernah terbayangkan.

Syurga juga memiliki beberapa pintu. Setiap daripada pintu itu sangat lebar dan luas. Rasulullah SAW pernah menceritakan bahawa 70,000 orang akan melalui pintu syurga bersama-sama sambil bergandingan tangan.

Hadis ini menunjukkan betapa luasnya pintu-pintu syurga.

Allah SWT menjemput seluruh manusia untuk memasuki syurga yang sangat luas ini. Ia terbuka untuk setiap orang yang beriman dan beramal saleh. Allah berfirman: Allah menyeru (manusia) ke syurga Darussalam dan menunjuki orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus. (Yunus: 25)

Demikianlah gambaran syurga dalam al-Quran dan hadis. Syurga yang teramat luas ini sentiasa menanti manusia yang berminat memasukinya.

Meskipun syurga sangat luas, sayangnya sesetengah masyarakat kita bersikap seolah-olah syurga itu sangat sempit.

Syurga seolah hanya cukup untuk beberapa individu dan golongan tertentu sahaja. Mereka menutup pintu syurga di muka setiap orang yang berbeza fahaman dengannya. Tuduhan kafir dan sesat sangat mudah ucapkan tanpa merujuk pihak yang berautoriti.

Sikap ini tentu sahaja tidak tepat. Ia lahir akibat kejahilan tentang syariah Islamiah sehingga mereka menyempitkan sesuatu yang luas. Juga hawa nafsu yang membutakan mata hati daripada melihat kebenaran dalam kepelbagaian.

Pelakunya mirip dengan seorang badwi yang solat bersama Nabi SAW lalu berdoa: “Ya Allah, rahmatilah diriku dan Muhammad. Janganlah engkau merahmati selain kami berdua.”

Sikap sebegini tidak disukai Allah dan rasul-Nya. Justeru, selepas solat Rasulullah menegur orang badwi ini. Baginda bersabda: Engkau telah menyempitkan perkara yang luas. (al-Bukhari)

Untuk semua

Mengulas hadis di atas, Ibnu Battal al-Maliki berkata: “Nabi SAW menegur orang badwi ini kerana ia bakhil dengan rahmat Allah, padahal Allah memuji orang yang melakukan perkara sebaliknya, iaitu mendoakan kepada seluruh kaum Muslimin yang masih hidup ataupun yang telah mati.”

Dalam al-Quran, Allah memuji kaum mukminin yang berkata: Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan semua orang mukmin yang telah mendahului kami, dan jangan jadikan hati kami berasa benci kepada mereka. (al-Hasyr: 10)

Al-Quran turut menceritakan bahawa antara sifat para malaikat adalah selalu berdoa untuk semua kaum Muslimin. (rujuk al-Ghafir: 7)

Ibnu Battal melanjutkan: “Seorang mukmin seharusnya meniru akhlak para malaikat dan orang-orang saleh. Mereka tidak boleh mengkhaskan kebaikan hanya bagi diri sendiri sahaja, akan tetapi selalu mengharapkan kebaikan bagi seluruh manusia.”

Jalan ke syurga

Ibnu Rajab Al-Hanbali berkata: “Amalan paling utama adalah menjaga hati, bersikap dermawan dan tulus ikhlas kepada semua Muslim. Dengan sifat-sifat inilah seseorang boleh tiba ke syurga, bukan dengan memperbanyak amalan puasa atau solat (sunat).”

Prinsip ini sangat penting untuk disebarkan ke seluruh lapisan masyarakat, terutama dalam situasi perpecahan umat Islam di mana setiap kumpulan menyerang kumpulan lain seolah-olah tengah berjihad menentang kaum kafir.

Sikap seperti ini bukan mendekatkan kita ke syurga, malah menjauhkannya. Hanya hati yang damai dan sukakan kedamaian yang akan membuka jalan menuju syurga abadi.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Persoalan alam ghaib urusan Allah

Posted by epondok di Mac 25, 2013

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

SETIAP makhluk yang dijadikan Allah tidak sesekali akan terlepas daripada kematian waima dia seseorang nabi, rasul atau orang mukmin. Setiap daripadanya tetap merasai saat hembusan nafas terakhir seperti mana disebut dalam ayat 185 surah ali-Imran.

Kehadiran kematian amat menggerunkan dan menakutkan jika mendapat khabar berita bahawa salah seorang rakan paling hampir dengan kita dipanggil menyahut seruan Ilahi meskipun baru sahaja bertemu dengan individu berkenaan.

Hidup kita di muka bumi ini cukup singkat dengan nyawa dicabut tanpa mengira umur pada bila-bila masa oleh malaikat Izrail.

Sebaik disahkan kematian, bagi memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, jenazah itu dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan seperti mana dituntut dalam syariat Islam.

Bagaimanapun di sebalik kegerunan tersebut, wujud persoalan dalam kalangan umat Islam berhubung saat menjelangnya kematian. Terdapat kalangan mereka bertanyakan bagaimana keadaan manusia sebelum menjelangnya kematian. Bahkan timbul kekeliruan destinasi roh selepas nyawa berpisah dari badan.

Maka wujud pelbagai pandangan, antaranya menyatakan roh berlegar-legar di kediamannya selama 44 hari selepas si mati meninggal dunia.

Malah ada mengatakan roh pulang pada bulan Ramadan. Selain itu, berlakunya amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara tersebut dibimbangi menyebabkan akidah umat Islam terpesong kerana kepercayaan samiyat (alam ghaib) sepatutnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, bukannya mengikut pemikiran manusia.

Bagaimanapun persoalan roh tidak wajar diperbahaskan terlalu panjang kerana sebagai umat Islam kita perlu menitikberatkan persiapan bekalan amalan sebelum menuju alam abadi bahkan perkara alam samiyat merupakan urusan Allah.

Hujah demikian berpandukan ayat 85 surah al-Israk yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan roh itu adalah urusan tuhanku dan tiadalah diberi kepada kamu ilmu pengetahuan kecuali sedikit.

Pun begitu, bagi menjernihkan persoalan alam kematian agar umat Islam tidak terkeliru, para ulama telah mengarang tulisan berdasarkan nas sahih agar ilmu persiapan menuju destinasi kekal abadi berlandaskan akidah Islam.

Saat nazak

Perkara yang berkaitan dengan samiyat (alam ghaib) tergolong dalam satu cabang rukun iman iaitu percaya kepada hari kiamat.

Maksudnya, persoalan alam akhirat hendaklah berpandukan nas sahih dan tidak boleh sesekali mengikut kefahaman manusia sendiri.

Hal itu termasuklah saat-saat menjelangnya kematian atau juga dikenali sebagai nazak.

Menurut Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademi, Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir, keperitan dan kesakitan sakaratulmaut hanya diketahui oleh orang yang mengalaminya.

Jelas Mohammad Nidzam, kenyataan tersebut berdasarkan ayat 83 sehingga 85 surah al-Waqiah yang bermaksud: Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang daripada kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkong. Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya. Dan kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.

Mohammad Nidzam berkata, menerusi ayat tersebut, selain para ulama menafsirkan taubat manusia diterima selagi mana roh tidak sampai di bahagian halkum dan sanak-saudara berada di sekelilingnya hanya dapat menyaksikan kepayahan sakaratulmaut itu tetapi mereka tidak merasai kesakitan berkenaan.

Ketika menjelaskan dakwaan berlaku tanda-tanda menjelangnya kematian seperti dahi berdenyut, mata berkelip-kelip atau keluar peluh berwarna emas hasil pemerhatian sanak-saudara yang melihat seseorang sedang nazak, beliau berkata, itu merupakan perkara majhul (tidak diketahui hakikatnya). (rujuk Luqman: 34)

“Berdasarkan ayat berkenaan, jelas menunjukkan Allah sahaja mengetahui bila tarikh kematian. Kita tidak boleh meneka waktu kematian akan kunjung tiba kerana perkara berkenaan adalah urusan Allah, hatta Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah pun tidak mengetahui bila baginda akan wafat.

“Jangan cuba berteka-teki alamat kematian. Paling utama kita mesti melakukan persiapan daripada segi bekalan pahala pada bila-bila sahaja,” kata Mohammad Nidzam.

Mengenai dakwaan bahawa orang sedang nazak mengetahui destinasi seterusnya sama ada diletakkan ke dalam syurga atau dicampakkan ke neraka, Mohammad Nidzam menjelaskan dengan menyebutkan sepotong hadis Rasulullah SAW yang berbunyi: “Sesiapa yang menyebut kalimah Lailallahillah sebelum akhir hayat akan masuk syurga.”

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa amalan soleh bakal membantu selain memberi syafaat di alam seterusnya.

Ujar Mohammad Nidzam, seseorang sedang nazak menyedari dan yakin ganjaran seperti mana dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah kepada orang beriman. (rujuk al-Nahlu: 31-32)

Lain pula nasib menimpa orang yang ingkar, nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan dahsyat dengan dijelaskan oleh Allah dalam ayat 28 surah al-Nahlu yang bermaksud: Iaitu mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya). Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan. (Malaikat menjawab): Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan.

“Terdapat pula dakwaan yang mengatakan ibu bapa datang menjemput orang sedang nazak. Hal ini dijelaskan oleh Imam Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah dengan beliau menyatakan bahawa yang datang itu bukanlah ibu bapa tetapi syaitan menyamar sebagai manusia. Syaitan datang untuk menggoda keimanan manusia.

“Bagi menggelakkan perkara itu terjadi, kita digalakkan mentalkin orang sedang nazak dengan kalimah Lailallahillah agar ditetapkan keimanan dengan Allah,” jelas beliau.

Mohammad Nidzam antara lain turut menyarankan adalah lebih baik mengajarkan kalimah di atas kepada mereka yang sedang nazak itu daripada sanak-saudara, ahli keluarga, ibu bapa, anak, isteri meraung kerana tindakan berkenaan merupakan amalan jahiliah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hargai pengorbanan ibu bapa

Posted by epondok di Mac 24, 2013

Oleh Ahmad Shukri Yusoff
Tuhan makbul doa anak soleh, sayangi orang tua

Firman Allah SWT, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-Israa’, ayat 23)
Betapa besarnya tanggungjawab berbuat baik kepada ibu bapa sehinggakan Allah ada menyebut di beberapa tempat dalam Al-Quran dengan menggabungkan perintah untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan berbakti kepada ibu bapa.

Firman Allah SWT, “Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.” (Surah Al-Ana’am, ayat 151

Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Nisa, ayat 36)

Firman Allah SWT, “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Firman Allah SWT, “Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.” (Surah Al-Ana’am, ayat 151)

Pernah satu ketika Abdullah Ibnu Masu’d bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT? Rasulullah SAW menjawab: Solat di dalam waktunya. Kemudian apa? Rasulullah menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab: Berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Muhammad Abdul Aziz Al Khuli ketika membuat huraian hadis di atas menyebut bahawa seolah-olah Rasulullah SAW menyusun urutan itu berdasarkan firman Allah SWT, “Hendaklah kamu bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Tanda syukur kepada Allah SWT dengan menunaikan solat dan tanda berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa adalah berbuat baik kepada mereka dengan cara mentaati, memastikan keperluan mereka dipenuhi, memberi nafkah, melayan dengan baik, sentiasa merendah diri serta mendoakan kesejahteraan mereka.

Berbakti kepada ibu bapa adalah akhlak yang ada pada semua nabi dan rasul. Ia menggambarkan tidak mungkin orang yang derhaka kepada ibu bapa layak mengajak orang lain membuat kebaikan apatah lagi memimpin manusia.

Firman Allah SWT menceritakan akhlak Nabi Isa: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana saja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Surah Maryam, ayat 30-32)

Antara nikmat yang Allah berikan kepada kita adalah dikurniakan ibu bapa. Justeru, berbakti kepada mereka tidak terhenti apabila mereka meninggal dunia, tetapi ia berterusan selepas ketiadaan mereka.

Malik Bin Rabiah menceritakan, ketika kami bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang menghadap seorang lelaki dari Bani Salamah, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah saya masih berpeluang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa saya, adakah saya wajar berbakti kepada mereka selepas kematian mereka? Rasulullah SAW menjawab: Ya, dengan cara mendoakan kedua-duanya, memohon keampunan kepada mereka, menunaikan janji mereka, memuliakan kawan mereka dan membina silaturahim yang tidak boleh dihubung melainkan dengan keduanya.” (Riwayat Abu Daud)

Antara kelebihan disediakan untuk orang yang berbakti kepada ibu bapa ialah doanya mustajab, doa ibu bapanya juga mustajab dan melihat wajah ibu bapanya akan dikira sebagai ibadah. Berbakti kepada ibu bapa dapat menghapuskan dosa dan kesalahan serta keredaan Allah SWT juga berada pada keredaan ibu bapa.

Orang yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapa pula akan mendapat laknat daripada Allah SWT, disegerakan hukuman di dunia ini, dipadamkan cahaya keimanan daripada wajahnya, ditolak amalan kebaikan dan penyebab dihumban ke dalam neraka Allah SWT.

Pada hari ini, kita menyaksikan penderhakaan terhadap kedua-dua ibu bapa menjadi fenomena biasa dalam masyarakat daripada herdikan, cacian, pemulauan dan sampai ke peringkat membunuh. Sudah pasti orang yang memahami isyarat daripada al-Quran mengenai kewajipan berbakti kepada kedua ibu bapa tidak akan melakukan perkara seumpama itu.

Setiap kita harus bermuhasabah sejauh manakah kebaktian dan kebaikan yang sudah dilakukan kepada ibu bapa. Peluang terbuka luas untuk kita tingkatkan kasih sayang dan perhatian kepada ibu bapa, memohon maaf atas segala kelemahan sebagai anak yang alpa terhadap tanggungjawab kita.

Info: Anak hormati ibu bapa
@ Doa anak mustajab;
@ Doa ibu bapa juga mustajab;
@ Melihat wajah ibu bapa dikira ibadah;
@ Berbakti kepada ibu bapa dapat menghapuskan dosa dan
@ Kesalahan serta keredaan Allah SWT juga berada pada keredaan ibu bapa.

Anak derhaka
@ Dilaknat Allah SWT;
@ Disegerakan hukuman di dunia;
@ Dipadamkan cahaya keimanan daripada wajahnya
@ Ditolak amalan kebaikan dan penyebab dihumban ke dalam neraka

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Peroleh amal soleh dalam pekerjaan

Posted by epondok di Mac 23, 2013

Oleh Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
Ikhlas bekerja diterima di sisi Allah dan manusia yang berurusan

Niat dan cita-cita untuk menjadi insan salih dan beramal salih melalui apa juga kerjaya diceburi boleh mencetuskan semangat motivasi serta terapi hati dalam mengejar matlamat kesejahteraan dunia dan akhirat.
Setiap kali kita bekerja, pahatkan dalam hati bahawa kerja hari ini adalah untuk pelaburan hari akhirat kelak. Namun, ia tidak akan menjadi pelaburan akhirat jika tidak diniatkan serta diusahakan dengan memenuhi standard sebagai amal soleh.

“Adapun orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka.” ali-Imran, ayat 57

Amal salih adalah amal yang dilaksanakan mengikut piawaian akhlak seperti ikhlas, teliti, jujur, amanah, tekun, cekap serta mengikut piawaian syarak, diusahakan daripada sumber yang halal dan membawa manfaat.

Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik harta ialah harta yang baik kepunyaan orang yang baik”. (Riwayat Imam Ahmad)

Kurang kerenah birokrasi

Usaha untuk mengurangkan kerenah birokrasi juga satu amal salih kerana selain bertujuan memudah dan mempercepatkan proses urusan, ia juga dapat mengelakkan pelanggan menggunakan jalan pintas atau mengamalkan suapan, rasuah dan penipuan untuk mencapai hasrat dengan mudah.
Begitu juga langkah mempercepatkan masa menunggu giliran, menyediakan kaunter pertanyaan dan perkhidmatan mencukupi, menyediakan perkhidmatan khas kepada golongan kurang upaya, warga emas dan ibu hamil serta menggantikan pegawai bercuti panjang.

Mengurangkan prosedur kerja yang panjang dan rumit, menyediakan tempat berurusan selesa, bersih dan selamat, memudahkan pengisian borang, penyaluran maklumat permohonan secara dalam talian, memberikan maklumat urusan dengan jelas, tepat dan mencukupi juga antara amal soleh.

Bekerja dengan matlamat menjadi insan salih dan beramal salih memberi manfaat yang dahsyat kepada pekerja. Ia meliputi antaranya tujuh implikasi iaitu pertama, disempurnakan dan diberi ganjaran pahala.

Firman Allah SWT: “Adapun orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka.”(Surah ali-Imran, ayat 57)

Elak kerja sia-sia

Kedua, mengelakkan kerja menjadi sia-sia ibarat debu yang berterbangan dan tidak menjadi pelaburan akhirat. Abu Hurairah, katanya, “Aku dengar Rasulullah SAW bersabda mengenai beberapa orang yang mengerjakan amalan tetapi sia-sia pada hari akhirat. Antaranya meliputi sumber yang haram dan tidak jujur.”

Firman Allah SWT: “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beramal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Ketiga, menjadi terapi hati apabila merasa letih, penat dan putus asa terhadap kerja. Firman Allah SWT: “Sesiapa yang beriman dan beramal salih maka tiada ketakutan bagi mereka dan tiada pula mereka merasa sedih.”

Kelegaan daripada sifat takut dan sedih ini lahir daripada keyakinan hati terhadap balasan setiap amal soleh akan dilihat serta dihitung oleh Allah SWT.

Firman-Nya: “Dan bahawa sesungguhnya tiada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada Hari Kiamat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.” (Surah al-Najm, ayat 39-41)

Keempat, mendapat kehidupan yang baik. Implikasi ini sesuai dengan tuntutan untuk mengamalkan budaya kerja cemerlang bagi mendapatkan hasil dan output berkualiti.
Firman Allah SWT: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih sama ada lelaki mahupun perempuan dan dia beriman, maka Kami akan memberikan kehidupan yang baik baginya dan Kami akan berikan kepada mereka ganjaran yang lebih baik daripada amalan mereka.” (Surah al-Nahl, ayat 97)

Kelima, dikasihi majikan dan rakan. Dengan memenuhi piawaian akhlak dan syarak, pastinya kerja itu bukan saja diterima di sisi Allah SWT tetapi juga manusia yang berurusan di sekeliling kita.

Keenam, menjadi contoh dan sumber inspirasi dalam membentuk budaya amal salih kepada yang lain. Sabda Rasulullah, “Seorang Mukmin itu adalah cerminan bagi Mukmin yang lain.” (Riwayat al-Bukhari)

Buka pintu rahmat

Ketujuh, membuka pintu rahmat Allah SWT. Sabda Rasulullah: “Allah SWT merahmati orang yang bertolak ansur ketika menjual, bertolak ansur ketika membeli, bertolak ansur ketika mengadili dan bertolak ansur ketika meminta pengadilan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Semua implikasi ini akan menjadikan kita pekerja yang dedikasi, berdaya tahan lagi ceria melaksanakan tugas.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Muslim beriman reda ketentuan

Posted by epondok di Mac 22, 2013

Oleh Zamanuddin Jusoh
Kufur jika tolak qada dan qadar

Ada kala kita berasa cukup selesa dan menganggap kematian tidak layak untuk kita kerana tenggelam dalam nikmat yang mengkhayalkan. Apabila datang sesuatu kejutan yang ditimpakan, barulah ia menyentap kelalaian menyebabkan kita kembali ke jalan sebenar.
Namun, tidak kurang yang tergelincir daripada ajaran Allah SWT. Kita mesti memahami tidak semestinya apa dianggap baik adalah baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya. Firman Allah SWT: “Mungkin kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Mungkin kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui” Surah al-Baqarah, ayat 216

Ayat ini menyarankan kita untuk menyerahkan urusan kepada Allah SWT yang mengetahui akibat segala perkara serta reda dengan apa yang ditakdirkan untuknya dan sentiasa mengharapkan daripada Allah SWT akibat serta kemuncak yang baik.

Seorang hamba yang beriman akan berfikiran positif menilai setiap saat dalam kehidupannya dengan panduan al-Quran, iman, kebijaksanaan dan panduan mata hati sehingga meyakini bahawa Allah SWT adalah penolong yang sebenarnya, mencipta sesuatu dengan kebaikan.

Kehidupan adalah Sunnatullah
Tidak ragu-ragu meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT serta meredai segala ketentuannya. Tiada kezaliman dan penindasan di sisi Allah SWT terhadap sekalian hambaNya. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali akan menzalimi hambanya.” (Surah Yunus, ayat 44)

Kehilangan sesuatu dalam kehidupan adalah sunnatullah. Ia membawa andaian sama ada kita diuji ataupun pembebasan daripada dosa dan kesalahan telah dilakukan. Kehilangan terkadang menyebabkan kita hilang pertimbangan dan menjadi manusia kufur menolak ketentuan Allah SWT.

Lebih dahsyat lagi apabila mereka bertanya kenapa kita dimatikan setelah sekian lama menikmati kehidupan bahagia. Ada yang menjadikan mata pena sebagai coretan dengan menganggap kepercayaan kepada qada dan qadar atau ketentuan Ilahi adalah suatu falsafah orang bodoh.

Mereka menganggap kehidupan dunia hanyalah sekali. Seolah-olah kehidupan ini kekal untuk dinikmati selama-lamanya. Maka gunakanlah kehidupan ini dengan sepenuhnya.
Mereka lupa kita telah dihadapkan dengan dua kehidupan dan dua kematian sebagai pengajaran dan pembalasan atas apa telah diusahakan.

Firman Allah SWT: “Bagaimana mereka boleh menjadi kufur sedangkan kamu asalnya mati lalu dihidupkan dan dimatikan semula dan akhirnya kamu hidup semula untuk diadili.” (Surah al-Baqarah, ayat 28)

Surah ini menunjukkan ada kehidupan yang kekal abadi di mana semua amalan tidak akan disia-siakan.

Pilih kematian terbaik

Firman Allah SWT: “Dan Kami akan menyediakan timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tidak seorangpun dirugikan walau sedikit, sekalipun hanya seberat biji sawi, pasti Kami mendatangkannya (pahala). Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.” (Surah al-Anbiya, ayat 47)

Ahli falsafah terkenal berkata: “Jika tiada kematian di kalangan orang sebelum kita, nescaya tiadalah selesai kewujudan sesuatu ciptaan, dan jika seandainya kekal sesuatu ciptaan nescaya mereka yang terdahulu masih di sini. Jika manusia semuanya kekal di sini, nescaya tiada bumi yang dapat menampung keturunan manusia.” (Ahmad Maskawiah)

Bagi mereka yang beriman, mereka harus memilih cara kematian terbaik di sisi Allah SWT di samping usaha dan berdoa kerana semuanya telah tertulis di sisi Allah SWT.

Baginda SAW mengajar kita supaya sentiasa berdoa setiap saat dan masa supaya Allah SWT kurniakan husnul khatimah (kematian yang baik) dan menjauhkan daripada su’ul khatimah (kematian yang buruk).

Berdoalah supaya kita sentiasa reda dengan sesuatu yang telah disusun untuk alam maya ini. Firman Allah SWT: “Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada (ketentuan) Allah jika Dia mengkehendaki bencana atasmu atau mengkehendaki rahmat untuk dirimu? Mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 17)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Solat hajat mohon dilindungi musibah

Posted by epondok di Mac 21, 2013

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
Tatkala negara diancam musuh dan kestabilan negara diganggu-gugat, peranan pasukan keselamatan seperti polis dan perajurit amat penting. Pada bahu merekalah kita sandarkan harapan supaya kedamaian serta ketenteraman kembali seperti sedia kala.

Semasa negara digugat oleh pihak musuh yang tidak senang dengan suasana dalam negara, peranan rakyat awam juga harus digerakkan secara aktif. Meskipun tidak menggalas senjata ke medan tempur, kita masih mampu memberikan sumbangan mengikut kadar yang terdaya.
Antaranya ialah dengan mengadakan solat hajat. Memohon kepada Allah supaya keselamatan rakyat dan anggota keselamatan negara dilindungi daripada bala bencana yang tidak diingini, satu kaedah yang sangat dianjurkan oleh agama.

Petunjuk selesai masalah

Ketika kita sedang berdepan sebarang keinginan atau masalah dalam kehidupan, Baginda SAW ada memberikan petunjuk untuk melaksanakan solat hajat.

Ibnu A’uf ada menceritakan, Rasulullah SAW pernah memberitahunya, “Barang siapa yang mempunyai keperluan kepada Allah atau kepada salah seorang manusia dari anak cucu Adam, maka berwuduklah dengan sebaik-baiknya wuduk. Kemudian solatlah dua rakaat (solat hajat), lalu memuji kepada Allah dengan mengucapkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Setelah itu, mengucapkan, “Laa ilaaha illaahul haliimul kariimu.” (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Solat hajat adalah alternatif untuk memohon secara terus kepada Allah apa-apa yang dihajati sama ada yang berkaitan dengan urusan duniawi mahupun akhirat.
Seorang lagi sahabat Baginda SAW, Abu Darda melaporkan, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berwuduk dan menyempurnakannya, lalu solat dua rakaat secara sempurna, maka Allah akan memberinya apa yang dia minta, sama ada cepat atau lambat.” (Riwayat Imam Ahmad)

Kisah orang buta

Kisah ini satu iktibar menunjukkan Baginda SAW sangat menggalakkan kita mengamalkan solat hajat semasa menghadapi sebarang isu dalam kehidupan. Kisah ini direkodkan oleh Imam at-Tirmidzi.

“Pada zaman dulu, ada seorang buta yang datang mengadu kepada Nabi Muhammad SAW lalu berkata: Sesungguhnya aku mendapat musibah pada mataku. Maka, berdoalah kepada Allah untuk kesembuhanku.

Kemudian Rasulullah SAW berpesan kepada orang itu: “Pergilah, lalu berwuduklah, kemudian lakukan solat dua rakaat. Setelah itu berdoalah: Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dan aku menghadap kepada-Mu atas (perintah) nabiku, Muhammad sebagai nabi rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya aku meminta syafaat kepada Tuhanku dengan dirimu agar Dia mengembalikan penglihatanku.”

Dalam waktu yang singkat, lelaki itu dapat melihat seperti sedia kala, seperti tidak pernah mengalami kebutaan. Kemudian Baginda SAW berpesan kepada kita semua dengan penuh ikhlas di hatinya: “Jika kamu memiliki keperluan atau hajat, maka lakukanlah seperti itu.”

Sesungguhnya solat hajat adalah hadiah berharga yang Allah kurniakan semasa kita sangat memerlukan pertolongan-Nya seperti isu semasa yang mengocakkan sedikit kestabilan dan keamanan dalam negara.

Amalan solat hajat adalah suatu manifestasi rasa cinta kepada keamanan negara dan rasa kasih terhadap seluruh pasukan keselamatan negara kita.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »