Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Februari 2013

Solat tak sempurna tanpa tamakninah

Posted by epondok di Februari 28, 2013

Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid
Rasulullah SAW bersabda: “Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya? Baginda menjawab: Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (Riwayat Imam Ahmad)

Hadis ini ada kaitannya dengan tamakninah (berhenti seketika) yang diabai dan dilupakan kebanyakan Mukmin ketika mengerjakan solat. Tamakninah termasuk salah satu daripada rukun solat yang mesti dilakukan namun masih ramai yang cuai.
Ucapan Rasulullah iaitu tidak menyempurnakan rukuk dan sujud merujuk kepada rukuk dan sujud dalam solat yang tidak disertakan dengan tamakninah, menyebabkan rukuk dan sujudnya tidak sempurna.

Dalam mazhab Syafie dan Hanbali, tamakninah adalah rukun solat yang mana tanpanya, solat seseorang jadi tidak sah.

Orang yang solat dalam keadaan cepat atau laju tanpa menyempurnakan tamakninah termasuk dalam kategori orang yang mencuri dalam solatnya, bahkan Nabi Muhammad SAW menyatakan itulah sejahat-jahat pencuri.

Ada beberapa tempat dalam solat yang mesti disertakan tamakninah iaitu ketika rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud. Jika pengabaian terhadap tamakninah ini dilakukan berterusan tanpa diambil peduli, maka rugi dan sia-sialah solat.

Rasulullah SAW melarang solat yang dilakukan seperti burung yang mematuk makanan, iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat.
Suatu masa Rasulullah SAW memasuki masjid, lalu masuk seorang lelaki ke masjid untuk melakukan solat. Selesai solat, ia mendatangi Rasulullah seraya mengucapkan salam. Setelah menjawab salam, Baginda berkata: “Kembalilah ke tempatmu dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum solat. Lelaki itu lalu solat semula seperti tadi, tetapi Rasulullah SAW tetap menyatakan yang sama iaitu menyuruh lelaki itu solat semula kerana menurut Rasulullah SAW, lelaki itu belum mengerjakan solat (secara sepatutnya). Hal ini berulang sampai tiga kali.

Lalu lelaki itu berkata: Demi zat yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak boleh mengerjakan yang lebih baik daripada ini, maka ajarlah aku. Baginda pun mengajarnya: Apabila engkau berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagimu, kemudian rukuklah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan engkau rukuk, kemudian bangkitlah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan engkau iktidal, kemudian sujudlah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan sujud, kemudian bangkitlah sehingga engkau tamakninah dalam keadaan duduk. Engkau buatlah yang demikian itu dalam semua solat engkau.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tamakninah dapat dianggap sebagai adab dalam solat. Bermakna dengan bertamakninah, seorang Mukmin itu beradab ketika solatnya kerana ketika solat, ia sedang berhadapan dengan Allah SWT yang Maha Esa.

Membuang tamakninah bukti bahawa pelaku solat itu tidak sungguh-sungguh dalam melakukan adab dan penghormatan terhadap Allah.

Daripada Huzaifah, beliau pernah melihat orang yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud ketika solat dan terlalu cepat. Setelah selesai, Huzaifah menegurnya: “Sudah berapa lama anda solat seperti ini? Ia menjawab: 40 tahun. Huzaifah mengatakan: Engkau tidak dihitung solat selama 40 tahun (kerana solatnya batal). Selanjutnya kata Huzaifah: Jika kamu mati dalam model solatmu masih seperti ini, maka engkau mati bukan di atas fitrah (ajaran) Muhammad SAW.” (Riwayat Bukhari, Ahmad dan Nasa’i)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Istiqamah untuk kejayaan hidup

Posted by epondok di Februari 27, 2013

Oleh AMINUDIN MANSOR

DALAM kehidupan umat Islam, sifat Istiqamah membawa maksud tetap atau berpendirian teguh atas kebenaran.

Secara umumnya, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah atau berpaling tadah walau apa jua keadaan.

Umat Islam digalakkan berpegang teguh pada akidah yang benar, iaitu Akidah Ahli al-Sunnah wal-Jamaah, melaksanakan tuntutan syariat Islam berpandukan al-Quran dan hadis, mempunyai prinsip dan keyakinan yang kuat, tidak mudah terpengaruh dengan godaan hawa nafsu dan syaitan dan tidak tunduk pada tekanan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan mempertahankan kebenaran.

Sifat mulia ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu tetaplah kamu (beribadah) kepada-Nya dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Dan celakalah bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya)” (Surah Fussilat: 41:6).

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Katakanlah aku beriman dengan Allah SWT kemudian teguhkan pendirian kamu.” (Riwayat Muslim).

Istiqamah merangkumi amalan hati, amalan lisan serta perbuatan iaitu anggota tubuh badan yang merupakan kekuatan sepanjang hayat dalam melaksanakan tuntutan Islam.

Sebagai contoh, istiqamah dalam iman, dalam solat dan ibadah-ibadah lain serta menegakkan kebenaran dan keadilan dengan menentang kebatilan dan kezaliman.

Sebagai ibu bapa, kena didik anak-anak dengan sifat istiqamah yang dapat mendidik hati supaya sentiasa tetap teguh kepada Allah SWT.

Pendidikan sejak kecil hingga remaja dan terus kepada dewasa akan memperteguh hati dan jiwa supaya sentiasa beristiqamah kepada Allah SWT.

Bagi memperkukuh istiqamah dalam hati seseorang Muslim mestilah mempertahankan kesucian iman, menjaga kesucian hati daripada sifat-sifat syirik, riak, takbur dan sombong.

Sifat-sifat ini adalah penghalang kepada istiqamah. Seterusnya menyuburkan hati dengan sifat ikhlas, jujur dan sentiasa reda kepada-Nya.

Keluhuran hati Rasulullah SAW dapat dijadikan contoh melalui sifat-sifat pemurah, adil, benar, sabar, pemaaf, kasih sayang, zuhud dan tawaduk.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya.” (Riwayat Abu Daud).

Istiqamah lisan menjaga tutur kata supaya sentiasa bercakap benar, jujur, tepat dan tidak berpura-pura. Sentiasa mengelakkan perkataan yang boleh menyakiti hati orang lain seperti memfitnah dan bercakap kotor (seperti mencarut) dan sebagainya.

Rasulullah SAW bersabda: ” Tinggalkan apa yang meragui anda kepada apa yang tidak meragui anda.” (Riwayat Al-Bukhari).

Keraguan termasuk kerja hati. Hati orang yang beriman dapat menimbang antara yang mulia dan yang hina dan antara yang jelas dan yang meragukan. Islam mengajak umatnya supaya sentiasa bersifat istiqamah. Allah SWT menerima sesuatu amalan yang diyakini dan menolak yang meragui.

Seterusnya, Istiqamah perbuatan dan amalan meliputi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik yang diredai Allah SWT. Ini meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan kebenaran dalam perbuatan seharian.

Nabi SAW bersabda: “Barang siapa memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terang-terangan).” (Riwayat Al Hakim).

Dalam hubungan ini, Ulama Ahmad Athaillah mengatakan: ” Ada kalanya Allah memberi kepadamu kekayaan (kesenangan) dunia, tetapi tidak memberi kepadamu taufik dan hidayah-nya. Ada kalanya Allah menolak (tidak memberi) kamu kesenangan dunia dan kemewahan-nya, tetapi memberi kepadamu taufik dan hidayah-Nya.”

Berkaitan dengan istiqamah, Abi, Amrah Sufyan bin Abdullah r.a., berkata: “Aku bertanya maksudnya ‘hai Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam perkataan yang tidak perlu aku bertanya seorang pun selainmu.”

Sabda baginda: “Katakanlah iaitu aku beriman dengan Allah kemudian istiqamah.” (Riwayat Muslim).

Daripada hadis ini jelas antara bentuk istiqamah ialah melaksanakan segala yang wajib dengan mengikut sunah Rasulullah.

Menambah ibadat yang sunat, menjauhi yang haram, melakukan tugas yang diamanahkan dengan berterusan dan konsisten.

Kita juga digesa supaya segala kebaikan atau amalan termasuk pekerjaan dan perkhidmatan yang dilakukan hendaklah dalam istiqamah dengan menghindarkan segala sifat mazmumah seperti malas, putus asa, semangat yang seketika dan mudah luntur kerana boleh menafikan maksud dan matlamat istiqamah.

Oleh itu, setiap umat Islam hendaklah berazam memperkuatkan sifat istiqamah dalam hati, menerusi lisan dan juga perbuatan.

Semoga dengan mendidik hati, lisan dan perbuatan dengan sifat istiqamah akan mencapai kejayaan di dunia dan juga akhirat dengan penuh keberkatan dan kejayaan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Bijak mengawal sifat Marah

Posted by epondok di Februari 26, 2013

Rasulullah tidak kompromi jika hukum Tuhan dipersendakan

Meskipun Rasulullah SAW sering dihina, dicaci dan disakiti oleh kaumnya sendiri, namun Baginda SAW tetap bertahan tanpa bersungut atau menunjukkan emosi marah. Jika marah kepada seseorang, kemarahan Baginda SAW itu bukan marah melulu tanpa sebab musabab.

Baginda SAW hanya marah apabila sesuatu hukum Allah dipersendakan. Ini yang mencetuskan rasa tidak senang dalam hati Baginda SAW.
Isteri Baginda, Aisyah ada menyatakan: “Rasulullah SAW tidak pernah marah jika disakiti. Namun, jika hukum Allah dilanggar, maka Baginda akan marah kerana Allah.” (Riwayat Muslim)

Kita mengetahui betapa kental kesabaran Baginda ketika menjalankan usaha dakwah. Baginda dilayan dan diperlakukan dengan pelbagai tindakan keji di luar sifat kemanusiaan dan ketamadunan manusia. Pun begitu, Baginda SAW tetap cekal.

Aisyah ada membawa satu kisah perbualannya dengan Baginda SAW. Dikatakan Aisyah ada bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah engkau pernah mengalami hari yang lebih dahsyat daripada waktu Perang Uhud? Lalu Baginda menjawab: Sungguh aku pernah menerima perlakuan daripada kaummu yang lebih menyakitkan daripada itu, dan yang paling menyakitkan adalah pada saat Hari Aqabah.”

Seterusnya Baginda SAW menyambung jawapannya: “Ketika itu aku minta tolong pada Ibnu Abdi Halil bin Abdi Kulal, tetapi dia tidak memenuhi apa yang aku inginkan. Maka akupun pergi dengan perasaan sangat sedih. Aku berjalan tanpa sedar ke mana aku melangkah dan baru sedar saat berada di hujung bukit. Lalu aku mendongakkan kepalaku ke langit, tiba-tiba aku dinaungi awan di atasku. Akupun melihat ke arah awan, ternyata ada malaikat Jibril di sana. Dia memanggilku dan berkata: Wahai Muhammad. Sesungguhnya Allah mendengar apa yang dikatakan kaummu kepadamu dan apa yang mereka lakukan terhadap dirimu. Sesungguhnya Allah telah mengutus malaikat penjaga gunung kepadamu supaya engkau perintah dia apapun yang engkau mahu.”

Baginda SAW meneruskan kisahnya: “Kemudian malaikat penjaga gunung itu memanggilku sambil mengucapkan salam kepadaku. Dia berkata: Wahai Muhammad. Sesungguhnya Allah mendengar apa yang dikatakan kaummu kepadamu. Aku adalah malaikat penjaga gunung dan Tuhanku telah mengutusku kepadamu supaya engkau menyuruhku untuk berbuat apa saja yang engkau kehendaki. Kalau engkau mahu akan aku timpakan dua gunung ini pada mereka.”
Lalu Baginda menjawab pelawaan malaikat itu: “Jangan. Justeru aku berharap supaya Allah mengeluarkan daripada keturunan mereka orang yang menyembah Allah Yang Maha Esa dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.”

Lihatlah betapa agung sikap Baginda SAW yang masih bertahan untuk tidak bertindak balas terhadap kaumnya, meskipun Baginda SAW mampu merealisasikannya lantaran adanya pertolongan daripada malaikat. Ini sikap luar biasa yang seharusnya kita manusia biasa teladani.

Corak pemikiran dan tindakan berhemah Baginda SAW ternyata membawa kejayaan apabila berduyun-duyun kalangan kaum Baginda yang menerima Islam. Justeru, dapat dikatakan pendekatan yang Baginda SAW ambil tadi adalah langkah pandang ke hadapan, bukan melihat dari sudut jangka pendek semata-mata.

Sesungguhnya mencetuskan emosi kemarahan menggambarkan bahawa seseorang itu kurang matang bertindak dan tidak mampu mengawal daya fikir yang bijaksana.

Satu lagi kisah yang menunjukkan sikap marah Nabi SAW yang ada kaitan dengan urusan agama ialah cerita Abu Mas’ud Al-Anshari yang meriwayatkan: “Ada seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah SAW. Kata lelaki itu dalam aduannya: Sesungguhnya aku sering terlewat solat jemaah Subuh disebabkan si polan yang suka memanjangkan solatnya bersama kami.”

Menurut Abu Mas’ud, dia tidak pernah melihat Baginda SAW begitu marah seperti hari itu.
Seterusnya Abu Mas’ud memaparkan maklum balas Baginda Rasulullah SAW terhadap aduan lelaki itu.
Sabda Baginda SAW: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya di antara kamu ada yang suka membuat orang lari daripada agama. Oleh sebab itu, siapapun di antara kamu yang menjadi imam solat, maka hendaklah dia meringankan bacaan solatnya. Sebab di belakangnya ada orang tua, anak kecil dan orang yang mempunyai keperluan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Meskipun Baginda SAW marah selepas menerima aduan sahabatnya, tetapi Baginda SAW menjelaskan kemarahan Baginda SAW dengan menampilkan sebab musababnya. Segala amalan dan sikap yang ditunjukkan Baginda SAW seharusnya kita contohi.

Apatah lagi dalam masa mutakhir ini, kita sering kali dipaparkan dengan banyak insiden negatif akibat sikap luahan emosi marah tanpa kawalan. Kualiti iman dan indeks takwa semakin terhakis jika emosi marah dibiarkan bermaharajalela sehingga kita tenggelam dalam hasutan nafsu amarah.
Dalam aspek mempersendakan urusan agama janganlah pula mengambil sikap diam membisu seribu bahasa atas alasan tidak ingin menimbulkan kemarahan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

TUGAS DAN AKHLAK PENUNTUT ILMU

Posted by epondok di Februari 25, 2013

    Rasanya agak janggal jika kita membincangkan masalah ilmu tanpa di ketengahkan apakah tugas yang perlu kita tunaikan di dalam misi menuntut ilmu, dan apakah akhlak yang perlu ada dan tanggungjawab yang perlu kita pikul terhadap ilmu yang kita pelajari.


Tugas Penuntut Ilmu

Secara Umum, dapat digariskan empat tugas seorang penuntut ilmu:

1) Memperbetulkan niat
Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh penuntu ilmu, ialah mempunyai keikhlasan niat demi untuk mencapai keredhaan Allah. Bukan untuk berbangga apabila digelarkan sebagai orang allim, atau tujuan mengumpulkan harta, pangkat atau yang seumpamanya.

Sabda Rasulullah SAW
Sesiapa yang mempelajari ilmu kerana Allah, tidak mempelajari ilmu kerana inginkan harta dunia, tidak akan dia temui kecuali Syurga hari akhirat kelak..-Riwayat oleh Abd. Razak-

Cuma perlu di ingat bahawa, jika harta, pangkat dan yang seumpamanya datang kepada seorang alim, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerima dan memanafaatkannya.

2)Berterusan dalam menuntut ilmu
Ilmu adalah lautan yang tidak mempunyaipanti dan tepian. Maka usaha  menuntut dan menambahkan ilmu hendaklah berlaku secara berterusan, tidak didalangi oleh peringkat-peringkat ijazah tertentu.
Firman Allah SWT.
                    “Katakanlah (wahai muhammad) tambahkan aku ilmu”surah Toha ayat 114

3) Sabar
Penuntut ilmu hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran yang merintangi perjalanannya di dalam menuntut ilmu sama ada yang bersiafat fizikal  mahupun spritual.
Tidak perlulah diceritakan di sini sejarah para sahabat dan ulama yang menempuh segala cabaran demi untuk menuntut ilmu.

4) Memuliakan Guru
 Sabda Rasulullah SAW
Bukan dari umatku orang yang tidak memuliakan orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan tidak mempelajari daripada orang-orang alim-Riwayat Abu Daud-

        Saya tidak bertujuan untuk menghuraikan hak seorang alim/guru ytang perlu ditunaikan oleh muridnya di dalam artikel ini cuma dicadangkan agar kita mengambil sedikit dari masakita untuk melihat kembali perkara ini, semoga segala ilmu yang kita tuntut mendapat keredhaan Allah SWT


Akhlak Penuntut Ilmu

1) Merasakan Tanggungjawab ilmu
Diriwayatkan Daripada Muaz bin Jabal die berkata Rasulullah SAW bersabda. Tidak akan mara seseorang hamba di hari Akhirat melainkan telah ditanya mengenai 4 perkara: Berkenaan Umurnya ke mana yang telah dia habiskan. Berkenaan dengan Waktu mudanya apa yang telah dia lakukan. Berkenaan dengan hartanya dari mana diperolehinya dan ke mana dia belanjakan. Dan berkenaan dengan ilmu apa yang telah perbuat dengannya.-Riwayat oleh Attabarani dengan isnad yang sohih-


2) Menjaga amanah ilmiah

Sabda Rasulullah SAW :
Berilah nasihat pada ilmu, Sesungguhnya khianat seseorang daripada kamu terhadap ilmu adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya, Dan sesungguhnya Allah akan bertanya kepada kamu pada  hari kiamat – Riwayat Attabarani-

Di antara yang termasuk dalam daerah amanah ilmu adalah beberapa perkara berikut.
– Menasabkan atau menyandarkan pendapat dan fikrah (buah fikiran) kepada Tuannya.
– Menyampaikan ilmu yang diketahui, dan tidak malu untuk mengatakan”tidak tahu” jika dia tidak mengetahuinya.

3)Tawadduk
Para Ilmuan yang menyedari bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.

Firman Allah SWT: “Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja”Surah al-Isra’ ayat

4)Mulia diri (Al-Izzah)
Para ilmuan hendaklah merasa mulia diri tidak merendahkan diri apabila berhadapan dengan pemerintah, golongan bangsawan, golongan kaya-raya dan yang seumpamanya,
Firman Allah SWT: “kekuatan  itu hanyalah kepada Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi  orang-orang munafik itu tidak mengetahui”surah al-Munafikun ayat 8

“Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu semuanya”
surah Fathiir ayat 10

5)Beramal dengan apa yang dipelajari
Firman Allah taala ; “Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu sendiri melupakan diri (kewajiban)mu sendiri padahal kamu mambaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?”surah al-Baqarah ayat 44

6) Sentiasa berusaha untuk menyampaikan ilmu
Firman Allah taala: “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu):”Hendalah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan janganlah kamu menyembunyikannya”, lalu mereka melemparkan janji itu )ken belakang punggung mereka dan mereka menukarkannya dengan harga yang sedikit, Amatlah buruk tukaran mereka terima” surah Ali Imran ayat 187

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Belajarlah Untuk Bersyukur

Posted by epondok di Februari 24, 2013

Kita patut BERSYUKUR...

1. untuk suami/isteri yang tidur berdengkur diwaktu malam, kerana beliau tidur disisi kita bukan dengan orang lain.

2. untuk anak/adik perempuan kita yang mengomel apabila mencuci pinggan, kerana itu bermakna dia berada di rumah, bukan dijalanan berpeleseran.

3. untuk cukai pendapatan yang kita kena bayar, kerana itu bermakna kita masih mempunyai pekerjaan.

4. untuk pakaian kita yang dah tak muat, kerana itu bermakna kita cukup makan.

5. untuk lantai yang perlu dimop, tingkap yang perlu dilap, dan rumah yang perlu dikemas, kerana itu bermakna kita mempunyai tempat tinggal.

6. untuk bunyi bising jiran-jiran, kerana itu bermakna kita masih lagi boleh mendengar.

7. untuk timbunan pakaian yang perlu dicuci/digosok kerana itu bermakna kita ada pakaian untuk dipakai.

8. untuk keletihan/kesakitan otot selepas seharian bekerja, kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk kerja kuat.

9. untuk tempat letak kereta yang jauh daripada lif, kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk berjalan.

10.untuk jam loceng yang berdering pada waktu pagi, kerana itu bermakna kita masih hidup untuk meneruskan hari tersebut…

BELAJARLAH BERSYUKUR….

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Membina peribadi Muslim

Posted by epondok di Februari 23, 2013

Oleh Nik Salida Suhaila
Pembentukan dan pengembangan peribadi Muslim yang dikehendaki oleh Allah SWT dan disebut dalam al-Quran ialah sahsiah yang soleh dari segi sikap, ucapan serta tindakan. Walaupun peribadi soleh yang diterjemahkan setiap manusia berbeza, al-Quran tetap menggariskan prinsip yang sama.

Umat Islam perlu membina peribadi yang teguh dalam dunia tanpa sempadan ini kerana jika tidak, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan kepimpinan. Ada bimbingan yang kita perlukan dari orang yang arif, tetapi ia tidak terkejar oleh masa yang terlalu cemburu dengan kepintaran manusia meraih peluang.
Jika kita tidak mengejar masa, sudah tentulah kita ketinggalan dan lemah, sedangkan umat Islam kuat kerana ilmu. Paling utama untuk membina personaliti Muslim yang dihormati ialah mesti mempunyai akidah yang bersih.

Muslim perlu mempunyai ikatan yang kuat dengan Allah SWT supaya mereka percaya kepada qada dan qadar serta dunia selepas kiamat. Muslim juga akan yakin dan cekal dengan ujian daripada Allah jika mempunyai akidah yang bersih dan tidak berpatah menghadapi cabaran mendatang.

Setiap Muslim perlu menunaikan ibadah yang hakiki kepada Allah SWT seperti mana diajarkan Rasulullah SAW. Beza kehambaan kepada Pencipta bukan diukur dengan pakaian buruk dan jalan tunduk, tetapi keikhlasan dalam beribadah serta tidak berbangga dengan perbuatan baik dilakukan.

Peribadi Muslim juga diukur dengan akhlak yang mulia. Ia sikap yang harus dimiliki setiap umat Islam sama ada akhlaknya dalam berhubung sesama manusia, alam ataupun dengan Allah SWT.

Dunia tanpa sempadan membenarkan kita menembusi setiap ceruk kehidupan manusia tanpa dapat dikawal undang-undang. Oleh itu, peribadi soleh sajalah yang boleh menghalang perbuatan tidak amanah, tidak bertanggungjawab ataupun tidak menghormati hak orang lain.
Peribadi soleh termasuklah juga kekuatan fizikal yang memungkinkan umat Islam menjalankan ibadah dan perintah Allah dengan sempurna tanpa bergantung kepada pertolongan serta bantuan orang.

Jika mempunyai kesihatan yang baik, umat Islam tentu dapat menjalankan amanah dengan baik. Apatah lagi, Muslim sentiasa berdepan dengan cabaran dan tohmah sistem Barat yang tidak henti-henti mengacau keharmonian dan kemakmuran umat Islam di dunia.

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada Mukmin yang lemah.” (Riwayat Muslim)

Peribadi Muslim juga perlu kepada cara berfikir yang intelek kerana salah satu sifat Rasulullah SAW ialah cerdas dan tangkas dalam membuat keputusan. Jika direnungkan, setiap yang akan dilakukan, diperkatakan atau diam sekalipun, ia bermula dengan berfikir. Individu Muslim yang cemerlang ialah yang bijaksana dan bertimbang rasa.

Satu aspek lain yang tidak kurang pentingnya dalam membina peribadi seorang Islam ialah mesti berjuang memerangi hawa nafsu yang jahat. Sebagai manusia, sudah tentulah kita mempunyai kecenderungan kepada yang baik atau buruk.

Jika kita terdorong untuk melakukan maksiat, daya juang melawan hawa nafsu akan menyelamatkan kita tetapi jika sebaliknya, kita tidak akan mampu membina peribadi Muslim sepatutnya.

Dalam kesibukan melakukan tugas seharian, setiap Muslim perlu memastikan peribadi mereka terjaga dengan menepati masa dan tidak membazirkannya. Allah mengingatkan manusia supaya menjaga masa diberikan kepada setiap manusia dengan jumlah sama iaitu 24 jam sehari semalam.

Sepanjang waktu itu ada antara kita yang untung dan ada yang rugi, tetapi pastinya waktu yang telah pergi tidak akan kembali lagi sampai.

Muslim juga perlu berdisiplin dan profesional. Mereka mesti tekun, bijak berinteraksi dengan bahasa yang difahami, berintegriti dan amanah. Jangan orang Islam dijadikan contoh ikutan tidak baik dalam kalangan manusia pelbagai agama dan bangsa sedangkan Islam adalah sebaik-baik agama di dunia.

Kuasa pula perkataan yang impaknya luar biasa. Amar makruf dan nahi munkar juga boleh direalisasikan jika kita mempunyai kuasa. Muslim harus mempunyai kuasa supaya peribadi tidak terhalang oleh penafian atau doktrin kuasa lain yang membantutkan kegemilangan tamadun Islam.

Setiap Muslim mesti memastikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Kebajikan, kebaikan dan amalan baik yang dilakukan perlulah saling dirasai oleh umat Islam lain khasnya atau seluruh manusia amnya. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Semai sifat tawaduk dalam diri

Posted by epondok di Februari 22, 2013

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

SESEORANG individu yang beriman pastinya akan memahami tentang tugasnya sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi. Setiap rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya, akan dianggap sebagai amanah yang perlu digunakan untuk kepentingan menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Anugerah Allah SWT tersebut hanyalah sementara dan tidak akan kekal selama-lamanya.

Harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan rupa paras yang cantik hanyalah diberikan Allah sebagai ujian kepada manusia. Semua kenikmatan ini tidak akan dapat menjadi bekal untuk ‘membeli’ syurga melainkan sekiranya ia digunakan dengan mengikut landasan yang betul berdasarkan pertimbangan agama.

Orang yang beriman akan menyedari bahawa harta yang ada padanya adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan harta yang dimiliki oleh Allah SWT yang menguasai alam semesta ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (al-Israa’: 37)

Oleh itu, manusia yang beriman pastinya tidak akan merasa sombong dan bongkak di atas segala kurniaan tersebut. Dia tidak akan membangga diri, mendabik dada dengan menyatakan bahawa dia mempunyai kelebihan berbanding orang lain.

Dia tidak akan memandang rendah terhadap orang miskin dan tidak memandang sepi terhadap orang yang lemah. Bahkan, manusia yang beriman akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang pangkat dan harta yang diperoleh itu akan menjadi fitnah kepadanya dan akan menyusahkannya di akhirat kelak.

Masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah antara golongan yang terlalu ego dan sombong. Mereka sanggup menolak ajaran Rasulullah SAW walaupun mengetahui kebenaran yang dibawa oleh Baginda.

Sifat sombong dan ego ini diperangi oleh Nabi SAW sepanjang hayatnya. Namun, apabila Nabi telah wafat dan masa telah berlalu, manusia akhirnya kembali balik kepada perangai jahiliah tersebut.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Allah SWT berfirman: Kemuliaan adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan menyiksanya. (riwayat Muslim).

Segala kepujian dan sifat kebesaran hanya menjadi milik Allah. Oleh itu, Allah memberi peringatan bahawa tiada sesiapapun daripada kalangan makhluk-Nya yang layak memakai mana-mana sifat itu melainkan Dia.

Setiap Muslim hendaklah sentiasa tawaduk (merendah diri), dan bersikap sederhana. Tawaduk bukannya bermaksud berjalan dalam keadaan tunduk dan terbongkok-bongkok seperti yang dilakukan oleh orang yang mengaku soleh dan bertakwa.

Ini adalah kerana Nabi SAW tidak mendidik kita berbuat sedemikian. Bahkan diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA bahawa Nabi SAW berjalan seolah-olah seperti meniti jalan menurun. Ini adalah cara berjalan orang yang penuh dengan semangat dan keberanian.

Sombong pula maksudnya menolak kebenaran dan menganggap remeh segala yang lain. Orang yang sombong akan berasa dirinya lebih baik, pintar, kaya dan hebat. Sikap inilah yang wujud dalam diri Firaun, Qarun dan Abu Jahal yang bersikap angkuh sehingga tidak mahu menerima kebenaran.

Orang yang sombong sebenarnya adalah mereka yang terpedaya dengan nikmat sementara yang dikurniakan Allah sehingga lupa kepada nikmat hakiki di akhirat kelak.

Dalam surah Luqman, ayat 18, Allah melarang kita bersikap sombong sebagaimana firman-Nya: Dan janganlah engkau memalingkan muka dari manusia (kerana sombong) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.

Jaga perilaku

Nabi Muhammad SAW adalah orang yang sentiasa menjaga perilakunya agar tidak dianggap sombong dan bongkak oleh masyarakat. Baginda sering meminta pandangan sahabat-sahabat melalui konsep syura sebelum melaksanakan agenda negara dan umat Islam walaupun Baginda akan mendapat bimbingan wahyu.

Sebagai contoh, Baginda pernah meminta pandangan Abu Bakar RA dan Umar RA tentang tawanan perang Badar. Baginda juga menerima pandangan Salman al-Farisi RA dalam mengatur strategi untuk menghadapi tentera Ahzab iaitu dengan menggali parit di sekeliling kota Madinah bagi menyekat kemaraan tentera musuh.

Nabi SAW juga sering dilihat bergaul mesra dengan sahabat-sahabat sehingga sukar untuk membezakan Baginda dan sahabat-sahabat sewaktu mereka bersama. Nah, lihatlah betapa mulianya pekerti Nabi SAW sehingga sanggup berdamping dengan sahabat-sahabat walaupun Baginda adalah Rasul yang ulung.

Dengan adanya sifat tawaduk dalam diri masing-masing, maka akan terpancarlah sahsiah yang sejati dalam diri individu Muslim itu.

Kesimpulannya, untuk menjadi hamba yang dikasihi oleh Allah, individu Muslim itu perlulah menjaga hubungannya dengan individu yang lain. Salah satu (hablumminannas) di samping hubungannya dengan Allah SWT (hablumminallah).

Cara yang perlu dimainkan oleh setiap individu Muslim untuk mengutuhkan hubungannya dengan manusia lain adalah dengan menyemaikan sifat tawaduk dalam diri masing-masing.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ganjaran sabar atas musibah

Posted by epondok di Februari 21, 2013

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

UJIAN diumpamakan tetamu yang tidak di undang bagi semua manusia tidak kira Islam mahupun tidak. Majoriti manusia tidak suka dan tidak mahu diuji, mendapat bencana, kesusahan dan sebagainya. Mahu atau tidak, kita semua pasti di uji oleh-Nya. Ujian tersebut sama ada dalam bentuk kesenangan dan juga kesusahan.

Lantaran itu, setiap ujian, sama ada besar atau kecil meliputi, kesusahan, penderitaan dan juga kesenangan yang datang perlu disambut dengan sifat sabar. Barulah kita nampak hakikatnya, kedatangan ujian itu untuk mendidik dan mengajar bagaimana cara kita menempuh dan menangani kehidupan di dunia yang fana ini.

Sementara itu, ujian juga didatangkan dalam bentuk kesenangan, harta dan keindahan. Bagi kaum lelaki, ujiannya termasuk wanita, anak-anak dan harta. Allah SWT berfirman yang maksudnya: Dijadikan indah pada (pandangan) manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, benda pilihan, binatang-binatang (ternakan) dan sawah ladang. Itulah kesenangan di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang terbaik. (Ali-Imran: 14).

Selain itu, malapetaka seperti banjir, gempa bumi, kemarau, tsunami, tanah runtuh, ribut, puting beliung dan berbagai-bagai kesusahan, bencana, kecelakaan dan kesengsaraan juga ujian daripada Allah untuk menguji umatnya, sama ada beriman atau tidak. Orang yang beriman sentiasa sabar apabila di timpa ujian. Allah mencintai orang-orang yang sabar.

Allah menjanjikan barang siapa bersabar kerana taat, maka pada hari kiamat Allah akan memberinya 300 darjat di syurga. Tiap-tiap darjat itu berjarak antara langit dan bumi. Sementara itu, barang siapa sukar meninggalkan larangan Allah, maka pada hari kiamat Allah akan memberi 600 darjat. Tiap darjat antara langit ke tujuh dan bumi ke tujuh.

Bagi orang yang sabar atas bencana dan musibah, maka pada hari kiamat, Allah akan memberinya 700 darjat di syurga. Tiap-tiap darjat antara Arasy dan syurga.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis Qudsi: Barang siapa di timpa bencana, lalu dia memohon perlindungan daripada-Ku, pasti Aku memberikannya sebelum dia meminta. Dan barang siapa ditimpa bencana, lalu dia meminta perlindungan kepada makhluk, pasti Aku tutup semua pintu langit baginya.

Oleh itu, kita sebagai orang Islam yang berakhlak wajiblah bersabar atas bencana yang menimpa. Tidak ragu atau mengadu (kepada makhluk), seolah-olah manusia lain ada kuasa untuk menyelesaikan musibah itu. Jika demikian, dia akan selamat dan selesa di dunia dan akhirat.

Dalam hal ini, Junaid al-Baghdadi pernah berkata, “Bala merupakan pelita bagi orang-orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lengah (lupa). Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.”

Selain itu, Allah juga mendatangkan ujian kepada manusia seperti ketakutan, kebimbangan, kekurangan bahan makanan seperti nasi dan beras, kesempitan hidup dan kenaikan harga barangan. Semuanya ini bencana dan kesusahan bagi menguji kesabaran untuk menempuh kehidupan di dunia ini.

Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud, “Besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian dan cubaan. Sesungguhnya Allah SWT apabila menyenangi sesuatu kaum Allah menguji mereka. Berang siapa bersabar maka baginya manfaat kesabarannya dan barang siapa murka maka baginya murka Allah.” (riwayat at-Tarmizi)

Oleh itu, hanya kesabaran yang dapat mengatasi segala-galanya. Selain kita berusaha mengatasi segala bencana dan musibah selebihnya kita berserah kepada Allah.

Cerdik pandai pernah menyatakan tentang sabar iaitu, “Anda jangan terlalu menginginkan semua berlangsung seperti yang anda kehendaki, tetapi sabarlah dengan kejadian yang berlangsung sebagai apa yang sudah berlangsung sehingga anda tetap tenang dan tentukan.

Dapat difahami bahawa inti daripada segala kejernihan akal fikiran adalah adanya sifat penyantun, sedangkan landasan daripada semua perkara adalah kesabaran.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Bina rumah Mahligai anda di akhirat

Posted by epondok di Februari 20, 2013

SUATU hari, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa dengan seorang ulama besar di Madinah bernama Abu Hazim Salamah bin Dinar. Khalifah bertanya kepadanya: “Wahai Abu Hazim, apa sebab yang membuat kami takut mati?”

Abu Hazim menjawab, “Sebabnya adalah engkau telah memewahkan rumahmu di dunia, dan meruntuhkan rumahmu di akhirat. Maka kamu takut berpindah dari rumah yang mewah ke rumah yang runtuh.”

Benar ucapan Abu Hazim ini. Setiap manusia memiliki dua tempat tinggal. Tempat tinggal yang pertama sedang ia diami di dunia, dan sifatnya hanya sementara sahaja. Dan rumah satu lagi akan ia duduki kelak selepas mati dan sifatnya kekal abadi selamanya.

Rasulullah SAW selalu mengingatkan bahawa hidup kita di dunia ini hanya sementara. Kita ibarat seorang musafir yang tengah rehat di bawah pokok. Dan ia akan segera meninggalkan tempat itu untuk mencapai destinasi yang dituju.

Maka sungguh pelik jika ada musafir yang menghiasi tempat istirehatnya yang sementara itu dengan pelbagai sebab-sebab keselesaan dan lupa untuk menyimpan sesuatu untuk tempat tinggalnya yang kekal di destinasi nanti. Tidak terbayang penyesalan yang akan ia rasakan apabila tiba di destinasi itu namun tidak mendapatkan tempat selesa untuk didiami atau diduduki.

Amal soleh

Amal soleh adalah bekalan kita menuju Allah SWT. Tempat kita di akhirat ditentukan dengan berapa banyak amalan ibadah kita di dunia.

Sesiapa yang menginginkan rumah besar di syurga, dihiasi dengan taman-taman yang indah, dia boleh menempahnya dari sekarang. Iaitu dengan memperbanyak kerja-kerja yang diniatkan untuk manfaat agama dan umat Islam.

Kerja-kerja itu sangat beragam. Mulai daripada kerja seremeh menyingkirkan kotoran di jalan hingga kerja-kerja besar seperti pentadbiran negara.

Jadi, konsep amal soleh dalam Islam sangat luas dan tidak terhad pada ibadah-ibadah ritual semata. Ia meliputi perkara-perkara yang biasa kita lakukan sehari-hari.

Membuang sampah pada tempatnya yang disediakan adalah amal soleh.

Meletakkan kereta dalam posisi yang tidak mengganggu pengguna jalan yang lain adalah amal soleh.

Bahkan, tersenyum apabila berjumpa dengan jiran sebelah rumah juga amal soleh.

Sungguh banyak amal soleh yang boleh kita lakukan. Benar ucapan Abu Hazim: “Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang itu akan menjadi sangat mahal sehingga tidak mampu dibeli.”

Barang-barang akhirat menjadi mahal apabila nyawa telah berada di tenggorokan. Pada saat itu, pintu taubat dan pintu amalan telah ditutup. Andai seseorang hendak bersedekah semua hartanya sekalipun, Allah tidak akan menerimanya.

Rumah siap

Hidup di dunia adalah satu kesempatan untuk membina rumah selesa di akhirat. Dan orang yang berakal tidak akan melepaskan kesempatan besar ini. Sebelum meninggal dunia, ia berusaha untuk memastikan ada rumah yang akan ia diami di syurga.

Ibnu Rajab al-Hanbali bercerita, suatu hari seseorang yang soleh berjumpa malaikat dalam mimpinya. Malaikat itu berkata: “Kami diperintahkan untuk menyelesaikan rumahmu di syurga. Rumah itu diberi nama: “Vila Kebahagiaan” (Dar al-Surur). Kami telah membina dan menghiasinya dengan sangat indah.

“Khabar gembira untukmu,” lanjut malaikat, “setelah tujuh hari nanti, rumah itu akan rampung dibina.”

Ibnu Rajab berkata: “Tujuh hari kemudian, orang soleh itu meninggal dunia.”

Semoga Allah memberi kita taufik dan hidayah untuk kembali kepada Allah sebelum maut menjemput. Amin ya rabbal álamin.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pemurah Nabi SAW tiada tolok bandingan

Posted by epondok di Februari 18, 2013

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

MEMANDANGKAN kita masih berada di dalam bulan Rabiulawal di mana ia adalah bulan Baginda Rasulullah SAW diputerakan, maka penulis terpanggil untuk mentafsirkan ayat-ayat berkaitan dengan Baginda SAW agar kefahaman dan makrifah kita terhadap Baginda SAW akan lebih jelas dan difahami dengan sebaik mungkin.

Dalam siri tulisan kali ini, marilah kita bersama-sama menekuni sepotong ayat suci al-Quran yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (al-Ahzab: 21)

Abu al-Hasan al-Nadwi berkata: Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.

Jika anda telah mencapai umur tua, maka Baginda SAW adalah contoh anda.

Jika anda fakir dan miskin, maka Bagindalah teladan dan contoh bagi anda.

Jika anda kaya, maka Bagindalah imam anda.

Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.

Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.

Jika anda reda, maka Baginda SAW pun reda.

Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian juga halnya.

Sebagai contoh kepada ummahnya, maka Baginda SAW boleh dilihat untuk diambil pedoman dalam semua aspek kehidupan. Antaranya; sifat berani, pemurah, benar, beriltizam dan segala sifat-sifat yang baik.

Penulis sengaja mengemukakan salah satu sifat Rasulullah SAW iaitu pemurah. Antaranya:

Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma berkata: Adalah Rasulullah SAW paling pemurah di kalangan manusia dan ia menjadi lebih pemurah jika pada bulan Ramadan selepas bertemu Jibril dan Jibril bertemu dengannya pada setiap malam daripada Ramadan untuk tadarus al-Quran. Adalah Rasulullah SAW lebih murah dan dermawan daripada angin yang bertiup ketika bertemu Jibril. (riwayat al-Bukhari (1902) dan Muslim (6149)

Jelas terbukti bahawa daripada hadis di atas menunjukkan Rasulullah SAW adalah sepemurah manusia. Sifat pemurah Rasulullah SAW bertambah, apa lagi pada bulan Ramadan.

Sifat pemurah Nabi SAW bertambah selepas bertemu Jibril AS. Di sini difahami bahawa apabila kita berada bersama orang yang baik sudah pasti semangat melaksanakan kebaikan akan bertambah berbanding dalam keadaan biasa.

Terdapat banyak nas yang menunjukkan kelebihan berinfak fi sabilillah, di samping sebagai mengikut jejak langkah Nabi SAW dan salafussoleh, antaranya:

Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (al-Baqarah: 262)

Semoga kita sentiasa menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan suri teladan dalam kehidupan kita. Amin.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »