Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Januari 2013

Misi nabi akhir zaman

Posted by epondok di Januari 31, 2013

Ketibaan Rabiul awwal menggamit kita untuk meraikan satu peristiwa penting dalam sejarah dunia dan umat Islam. Peristiwa itu adalah kelahiran Muhammad bin Abdullah yang terpilih menjadi nabi dan rasul Allah terakhir kepada seluruh manusia.

Di tengah-tengah kegembiraan kita dengan kelahiran baginda, tersimpan hakikat besar yang patut kita renungi bersama. Pengutusan Rasulullah SAW adalah salah satu daripada tanda-tanda kiamat. Kehadiran baginda di muka bumi menandakan dunia telah hampir kepada kehancuran.

Allah SWT berfirman: Maka tidaklah yang mereka nanti-nantikan melainkan kiamat yang akan datang dengan tiba-tiba. Sungguh telah terjadi tanda-tandanya. (Muhammad: 18)

Apabila menafsirkan ayat ini, Al-Hafiz Ibnu Kathir menulis: “Pengutusan Nabi SAW adalah antara tanda-tanda kiamat. Sebab baginda adalah penutup para rasul. Allah menyempurnakan agama ini dan menegakkan hujah kepada seluruh alam dengannya.”

Usia umat manusia

Pelbagai hadis Nabi SAW menyebutkan dekatnya pengutusan Baginda dengan kiamat. Perselisihan masa yang memisahkan antara keduanya ibarat jari telunjuk dengan jari tengah.

Baginda SAW bersabda: Aku diutus dan hari kiamat seperti jari ini dan ini. Baginda mendekatkan jari telunjuk dengan jari tengahnya. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa baki umur umat manusia setelah kedatangan beliau hanya seperti antara solat Asar dan Maghrib sahaja. Baginda bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya perumpamaan umur kamu bersama umur bangsa-bangsa sebelum kamu adalah seperti antara solat Asar dan terbenam matahari. (riwayat al-Bukhari)

Berkata Ibnu Kathir dalam Al-Nihayah: “Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa usia dunia yang terbaki hanya sedikit sahaja. Akan tetapi tiada yang mengetahui masanya yang terbaki selain Allah.”

Hakikat ini bukan ditujukan agar melahirkan kepanikan. Akan tetapi, ia sebagai satu peringatan agar kita bermuhasabah dan segera mempersiapkan diri untuk akhirat. Apa-apa yang hendak dibawa ke akhirat, maka persiapkanlah dari sekarang. Dan apa-apa yang tidak ingin dibawa ke akhirat, maka tinggalkanlah dari sekarang.

Misi penting

Salah satu ajaran terpenting Rasulullah SAW adalah seruan untuk meninggalkan berhala yang menajisi kesucian minda manusia. Baginda mengajak umat akhir zaman untuk memerdekakan fikiran daripada belenggu berhala, dan hanya menyembah satu-satunya tuhan yang hakiki: Allah SWT.

Berhala adalah simbol tuhan palsu yang diciptakan Iblis untuk menyesatkan manusia. Tuhan palsu ini mengambil bentuk yang bermacam-macam sesuai dengan tingkat intelektual manusia.

Berhala pernah berbentuk batu seperti Lata dan Uzza. Ia juga pernah berbentuk penguasa yang kuat seperti Firaun dan Namruz. Namun pada zaman ini, berhala seringkali mengambil bentuk wang ringgit.

Kuasa duit

Kebanyakan manusia menyembah duit dalam sedar mahupun tidak sedar. Ia menjadi motivasi dan penggerak semua aktiviti. Mereka belajar untuk duit. Mereka bekerja untuk duit. Mereka makan dan minum agar kuat bekerja mendapatkan lebih banyak duit.

Kuasa duit mampu membuat seseorang tertawa ataupun menangis. Ia mampu memutuskan atau menjalin ikatan kekeluargaan dan persahabatan. Kerana duit, sebahagian orang bahkan rela melepaskan iman dan maruah dirinya. Sungguh itu sesuatu yang merugikan bagi orang yang menjadi hamba duit.

Nabi SAW pernah bersabda: Celakalah hamba Dinar, hamba Dirham, hamba pakaian. Jika diberi, bergembira. Jika tidak diberi, mereka kecewa. (riwayat al-Bukhari)

Umat Muhammad

Sebagai umat Muhammad SAW, kita mesti menjauhkan gaya hidup yang meletakkan duit sebagai penentu segalanya. Kita bukan hamba duit, kita hamba Allah SWT. Kita perlu duit hanya kerana ia satu jalan untuk lebih mendekatkan kita kepada Allah SWT dan menyumbang kepada agama-Nya.

Itu sebabnya Rasulullah SAW memuji harta yang banyak apabila berada di tangan yang tepat. Baginda Nabi SAW bersabda kepada ‘Amr bin Al-‘As: Wahai ‘Amr, betapa bagusnya harta yang baik bagi laki-laki yang soleh. (Diriwayatkan Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad)

Semoga musim maulid Nabi tahun ini memberikan keinsafan kepada kita tentang hakikat diri dan tugasan besar yang mesti dilakukan di dunia. Selamat meraikan maulid Nabi.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Bunuh cicak bermotif balas dendam?

Posted by epondok di Januari 30, 2013

RAMAI yang bertanya soalan kenapa Islam memberi kelebihan tertentu untuk membunuh cicak? Apakah itu kerana ia pernah meniupkan api yang membakar Nabi Ibrahim? Jika benar, mengapa kerana kesalahan seekor cicak ratusan tahun lalu, semua cicak mesti dibunuh hingga ke hari ini?

Jawapan

Sebelum menjawab soalan ini, saya hendak menegaskan satu prinsip. Setiap perintah Rasulullah SAW mestilah mengandungi hikmah tertentu, sama ada kita dapat mengetahui hikmah itu ataupun tidak.

Namun begitu, setiap kali berbincang tentang perintah ataupun larangan Nabi SAW, kita mesti pastikan terlebih dahulu status kesahihan hadis yang mengandungi perintah atau larangan tersebut.

Ini kerana, menisbahkan suatu ucapan palsu kepada Nabi SAW sebuah dosa besar menurut para ulama.

Hadis yang mengandungi perintah membunuh cicak adalah sahih berasal daripada Nabi SAW. Antaranya hadis riwayat Muslim daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Nabi memerintahkan untuk membunuh cicak dan menyebutnya sebagai haiwan perosak (fuwaisiq).

Sunat

Berdasarkan hadis di atas, para ulama sepakat menyatakan sunat membunuh cicak. Sebabnya kerana cicak termasuk haiwan perosak, pengotor dan boleh membawa penyakit. Atau dalam hadis Saad bin Abi Waqqas di atas, ia termasuk fuwaisiq.

Dalam istilah moden, kita boleh mengatakan bahawa cicak termasuk dalam kategori pest (perosak) seperti; nyamuk, kutu, tikus, pijat, lipas dan lain-lain. Semua haiwan ini digalakkan untuk dibasmi demi menjaga kesihatan manusia.

Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim: “Nabi memerintahkan dan menggalakkan untuk membunuh cicak kerana ia termasuk mu’ziyat (haiwan-haiwan yang dapat mengganggu kesihatan manusia).”

Jadi, sama sekali tidak benar sangkaan bahawa kerana kesalahan cicak seekor, semua cicak mesti dibunuh hingga ke hari ini.

Meniup api Ibrahim

Kisah cicak meniup api yang membakar Nabi Ibrahim memang sahih. Al-Bukhari meriwayatkan, Nabi memerintahkan Ummu Syarik untuk membunuh cicak. Baginda bersabda: “Ia pernah meniup api pembakaran Nabi Ibrahim (untuk menyalakannya).”

Namun hadis ini sama sekali tidak menunjukkan bahawa perkara itu tidak menjadi ‘illat (penyebab) suruhan tersebut. Menurut al-Baidawi, ini menunjukkan betapa kotor dan buruknya cicak sehinggakan syaitan boleh memperalatkan (cicak) untuk meniup dan menambah besar api yang membakar Nabi Ibrahim.

Jadi, lagi-lagi perbincangan kembali kepada sifat perosak dan kotor haiwan kecil ini. Sifat inilah yang menjadi sebab utama mengapa Islam memerintahkan untuk membunuhnya. Bukan kerana motif balas dendam atau perkara lainnya.

Adapun hadis al-Nasa’i dan Ibnu Majah yang menceritakan bahawa Siti Aisyah menyiapkan sebuah tombak untuk membunuh cicak, itu adalah hadis lemah.

Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW menceritakan bahawa semasa Nabi Ibrahim dilempar ke dalam api, semua haiwan berusaha memadamkannya kecuali cicak. Haiwan ini malah meniup untuk menyalakan api. Maka sebab itulah Rasulullah memerintahkan untuk membunuhnya.

Dalam sanad hadis ini terdapat kecacatan yang melemahkannya

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Nabi Muhammad s.a.w Pendidik unggul

Posted by epondok di Januari 29, 2013

Asri Md Saman @ Osman

Guru patut contohi cara Baginda tangani masalah secara berhemah

Rasulullah SAW seorang pendidik yang cemerlang. Hasil didikan Baginda SAW, lahir tokoh ternama dan tersohor seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Othman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Tholib serta sahabat yang lain.
Dicontohi sepanjang zaman

Guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya,” Imam al-Ghazali

Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi dan diteladani sepanjang zaman. Allah SWT telah merakamkan beberapa ayat dalam al-Quran mengenai peranan Rasulullah SAW sebagai guru atau pendidik.

Firman Allah SWT: “Dialah Tuhan yang telah mengutuskan kepada kaum ummi (buta huruf) seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, (berjuang) menyucikan mereka serta mengajarkan mereka kitab dan hikmah. Sesungguhnya mereka (sebelum diutus Muhammad) benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Jum’ah, ayat 2)

Selain nas al-Quran, Nabi SAW juga bersabda: “Sesungguhnya aku telah diutuskan (oleh Allah) sebagai seorang guru (pendidik manusia).” (Riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti! Namun Rasulullah SAW berkata: Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri. Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran. Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.”
Berpandangan jauh

Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu ialah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan, terutama guru. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.

Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci mengenai kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh seharusnya diikuti guru.

Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar perlunya bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.

Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru akan menyedari bahawa sabar memberkati usaha gigihnya mendidik. Selain itu, guru perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Pada hal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Proses pengajaran

Ini menjelaskan kepada kita proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi yang perlu melihat kepada pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya membuat pertimbangan seseorang pelajar.

Gabungan ilmu pengetahuan itu membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat pelajar mengikuti pengajaran.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Majlis Sambutan Maulidurrasul s.a.w Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan

Posted by epondok di Januari 28, 2013

Tarikh : 21 Rabiul Awwal 1434H / 2 Februari 2013M (Sabtu)

Masa  : 12.00 tengahari hingga 10.00 malam

Aturcara program

10.00 pagi – 12.45 tgh                     Persembahan pelajar Pondok dan Tahfiz

Lepas Zohor                                       Ceramah Maulidurrasul s.a.w

Oleh : Habib Mahdi Abu Bakar Al-Hamid (Darul Mustofa,Yaman)

Lepas Asar                                          – Bacaan berzanji dan selawat

–          Perjumpaan Alumni Pondok

Lepas Maghrib                                  Daurah Kitab as-Syamail al-Muhammadiah

Oleh : Syeikh Nuruddin al-Bajari al-Makki

Semua dijemput hadir

Posted in Program Terbaru | 3 Comments »

Kasih Nabi kepada umat hingga hujung nyawa

Posted by epondok di Januari 28, 2013

Sunnah Rasulullah patut jadi amalan sebagai bukti kecintaan ummah

Setiap kali menyambut perayaan Maulidur Rasul, bibir kita sering dan tidak pernah kering membaca selawat ke atas Rasul Junjungan SAW sebagai wadah mempamerkan kecintaan terhadap Baginda. Begitu juga dalam kehidupan seharian, kita sedaya termampu cuba menerapkan sunnah Baginda.

Baginda SAW terlalu cintakan umatnya dan hal ini ada Allah rakamkan buat renungan serta penghayatan kita dalam al-Quran.
Firman Allah SWT: “Sungguh sudah datang kepadamu seorang rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya melihat penderitaanmu, dia sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu dan kepada kaum mukmin dia amat berbelas kasih lagi penyayang.” (Surah At-Taubah, ayat 128)

Ini pernyataan Allah SWT terhadap cinta kasih Baginda SAW kepada seluruh umatnya. Dalam kesibukan Baginda SAW mengepalai urusan dakwah, menjadi ketua keluarga, ketua negara dan pelbagai urusan lain, tidak pernah sekalipun Baginda SAW melupakan nasib umatnya.

Khususnya yang berkaitan aspek iman, ketakwaan dan pembinaan akhlak. Ini yang selalu Baginda SAW terapkan kepada umatnya. Baginda SAW terlalu ingin melihat kita beriman dan bertakwa serta menjalani kehidupan di dunia dalam kaca mata beragama yang benar.

Ketika berurusan dengan manusia yang diajak beriman kepada Allah, Baginda SAW tidak pernah rasa kecewa walaupun pelbagai rintangan berada di hadapan. Siang malam Baginda SAW asyik memikirkan nasib manusia yang masih lagi tidak mahu menyahut seruannya.

Sehinggakan Allah SWT menyatakan kepada Baginda SAW: “Maka (apakah) kamu akan membinasakan dirimu kerana bersedih hati selepas mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini.” (Surah al-Kahfi, ayat 6)

Bersedih hati

Allah juga memberitahu Baginda SAW supaya jangan bersedih hati kerana adanya manusia yang tidak mahu beriman dan menerima baik dakwah Baginda.

Allah SWT berfirman: “Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjukkan siapa yang dikehendaki-Nya, maka jangan dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka lakukan.” (Surah Fathir, ayat 8)

Jiwa dan hati Rasulullah SAW sangat mencintai kaumnya yang dikenali mahupun yang belum dijumpai. Semuanya setara di hati Baginda SAW. Tidak seperti kita yang mencintai dan sayang hanya pada orang terdekat dengan kita dan orang yang pernah bersua muka.

Pada suatu hari, ketika sahabat duduk bersama Baginda SAW, tiba-tiba Baginda berkata sambil mengusap janggutnya: “Alangkah rindunya aku mahu berjumpa dengan saudaraku.” Kata-kata Baginda SAW itu mengejutkan sahabat lalu bertanya: “Bukankah kami ini saudaramu, Ya Rasulullah?” Dengan lembut Baginda menjawab: “Kalian adalah sahabatku dan aku mencintai kalian. Tetapi aku merindukan saudaraku.”

Jawapan Baginda SAW itu masih belum memberikan pengertian jelas kepada sahabat lalu sekali lagi mereka bertanya. Sebelum menjawab pertanyaan sahabatnya, kelihatan air mata Baginda mulai bergenang lalu menitis perlahan hingga membasahi janggutnya.

Kemudian, Baginda memberitahu: “Saudara adalah orang tidak hidup sezaman denganku, mereka tidak pernah berjumpa denganku, tetapi mereka mencintaiku, membenarkan kata-kataku dan beriman kepadaku. Aku rindu kepada mereka, aku mencintai mereka.”

Perwatakan luhur

Demikian kata-kata luahan hati suci Baginda SAW dan sahabat menunduk kepala masing-masing, terdiam kerana sayu dengan perwatakan Baginda SAW yang cukup luhur itu. Mereka semua menangis.

Rasa cinta dan rindunya Baginda SAW terhadap umatnya terbawa-bawa sehingga ke saat akhir hayat Baginda SAW. Puncak cinta Baginda terhadap umatnya semakin ketara menjelang hari-hari terakhir hayatnya dengan selalu menyebut: “Umatku, Umatku, Umatku.”

Ketika Malaikat Izrail sudah berada di samping Baginda bagi mencabut nyawa, Rasulullah SAW masih sempat bertanya kepada malaikat Jibril yang turut bersama pada waktu itu: “Wahai Jibril, katakan kepadaku mengenai hakku di depan Allah.”

Lalu dijawab oleh Jibril: “Semua pintu langit sudah terbuka, malaikat sudah berbaris menyambut rohmu di langit dan pintu syurga sudah bersedia menanti engkau memasukinya, ya Rasulullah.”

Jawapan Jibril itu tidak memberikan keceriaan kepada raut wajah Baginda. Mata Baginda masih diselubungi kecemasan dan situasi itu membuatkan Jibril bertanya: “Tidakkah engkau gembira mendengarnya, wahai Rasulullah?”

Lalu diberitahu Baginda: “Segala puji bagi Allah, wahai Jibril, nyatakan kepadaku khabar gembira mengenai umatku kelak di Hari Kiamat.” Maka Jibril berkata: “Kunyatakan kepadamu, sesungguhnya Allah menjelaskan, Allah sudah melarang semua nabi masuk ke dalam syurga sebelum engkau memasuki terlebih dulu, dan Allah melarang semua umat masuk ke dalam syurga sebelum umatmu masuk terlebih dulu.”

Mendengar jawapan Jibril itu baru Baginda tersenyum puas dan gembira kerana umatnya diberikan keutamaan di sisi Allah. Lihat betapa cintanya Rasulullah SAW kepada kita hingga pada saat terakhir hayat Baginda pun, urusan dan untung nasib umatnya masih diambil berat.

Kita seharusnya sentiasa bersyukur menjadi umat Baginda dan tanda kesyukuran itu tidak cukup jika sekadar bacaan selawat saja. Apa yang Baginda minta kita laksanakan perlulah kita ikuti dan apa saja yang dilarang Baginda sewajibnya kita jauhi.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pengajian Intensif Kitab Muslimin 2013

Posted by epondok di Januari 28, 2013

Terbuka untuk 40 orang muslimin sahaja terutama lepasan SPM/STPM/STAM/IPT dan umum.

Tarikh : Mulai 12 Februari 2013 dalam jangkamasa 2 minggu hingga sebulan mengikut minat

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan iaitu 40 orang sahaja

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Musliminberumur 16 tahun ke atas (terhad 40 orang sahaja)
  • RM 10 pendaftaran dan RM 50 per bulan (meliputi penginapan, elektrik dan air)
  • Makan minum sebanyak RM 10.00 sehari (RM 300 sebulan) atau boleh juga diurus sendiri oleh pelajar samada masak secara kumpulan atau beli di kedai berhampiran
  • Harga kitab  RM 20.00

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan Wishah Afrah / Sullam Mubtadi
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Kitab Penawar Bagi Hati
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Tadarrus al-Quran

Pakaian harian, bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / 016-9381870 (Ust. Azmi)-Pondok Tunjung

e-mail : pppb1995@gmail.com

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Abai sunnah punca umat dihina

Posted by epondok di Januari 27, 2013

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
Gambar SYEFRY MONIZ DAN AZLIZA HAILANI

Pembudayaan al-Quran wajar bermula sejak kecil dalam usaha menerapkan akhlak Rasulullah SAW terhadap golongan muda.

TANGGAL 12 Rabiulawal setiap tahun, seluruh umat Islam pasti meraikan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW. Matlamatnya bukan sahaja mengajak masyarakat mengingati pergorbanan baginda, tetapi juga mencontohi kejayaan Rasulullah dalam mewujudkan satu ketamadunan manusia yang membawa misi keamanan kepada seluruh alam.

Jika dilihat pada zaman sebelum Rasulullah dilahirkan, masyarakat Arab ketika itu mengamalkan perbuatan yang bertentangan norma kehidupan manusia seperti membunuh anak perempuan hidup-hidup, berzina dan berperang sesama sendiri.

Tetapi apabila Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi rasul, baginda telah mentransformasikan amalan jahiliah berkenaan dengan mengikut acuan al-Quran.

Jika sebelum itu, wanita dianggap golongan kelas kedua, tetapi pada waktu Islam menguasai tamadun, kaum hawa dimuliakan, bahkan maruah mereka dipelihara.

Ini dijelaskan seperti mana ucapan Rasulullah dalam khutbah terakhirnya yang dikenali Wida’ apabila baginda menyebut: “Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya hak ke atas kamu sempurna, mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layan wanita dengan baik dan berlemah-lembut kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu setia. Selain itu, hak kamu ke atas wanita ialah mereka sama sekali tidak membenarkan orang yang kamu tidak suka memasuki ke dalam rumah serta dilarang melakukan zina.”

Bukan sahaja maruah wanita diangkat dan dimartabatkan oleh Rasulullah, tetapi banyak lagi perubahan yang dilakukan baginda termasuk memberi kebebasan kepada bukan Islam mengamalkan cara hidup mereka.

Rasulullah SAW juga tidak sekadar membaca al-Quran, tetapi kitab suci itu dihafal, difahami dan diterangkan kepada para sahabat serta isi kandungannya dijadikan amalan.

Bukan sekadar amalan berkaitan fardu ain dan fardu kifayah tetapi juga yang membawa kepada kebangkitan umat Islam dalam semua aspek.

Tindakan tersebut menyebabkan Islam disanjung tinggi oleh masyarakat bukan Islam sehinggalah mereka terpesona dan akhirnya menganut agama Islam.

Bagaimanapun timbul persoalan mengapa pada hari ini syariat Islam dihina, dipermainkan malah diperlekehkan oleh bukan Islam. Sedangkan Islam merupakan agama syumul dan sesuai mengikut peredaran zaman.

Malangnya, kecaman itu turut didalangi oleh umat Islam sendiri sehingga terdapat dalam kalangan mereka mengarang karya menghina Rasulullah.

Berbanding zaman Rasulullah, masyarakat pada ketika itu yakin terhadap agama Islam kerana mereka melihat mukjizat dan kemuliaan daripada akhlak yang ditonjolkan oleh Rasulullah. Namun setelah kewafatan Rasulullah hampir 1,400 lalu, terdapat generasi hari ini mula goyah dengan Islam kerana gagal menghayati hikmah dan rahsia di sebalik syariat yang diturunkan oleh Allah SWT itu.

Maka timbul slogan anti-Rasulullah yang mendakwa bahawa ajaran yang dibawa oleh baginda adalah zalim dan melanggar hak asasi manusia. Mengapa wujud stigma seumpama itu?

Pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Arip Kasmo, berkata, itu disebabkan golongan tersebut tidak yakin kerana tidak melihat bukti mukjizat dan hikmah sunah Rasulullah.

Beliau yang memperkenalkan kajian dikenali sebagai Penghayatan Sunah Nabi (Pesona) berkata, jika mengetahui rahsia kandungan isi al-Quran yang diterjemahkan melalui perilaku nabi dengan mendalam, nescaya golongan anti-Rasulullah itu akan mengakui kebenaran ajaran baginda.

Mohd. Arip mengambil contoh kes pendakwaan di mahkamah, seseorang hakim tidak mensabitkan atau melepaskan tertuduh daripada sesuatu dakwaan jika tidak mempunyai bukti.

Demikian juga dalam situasi yang dihadapi oleh manusia kini yang tidak mempercayai sunnah Nabi Muhammad kerana tidak melihat bukti kebenaran berkenaan.

Mengkaji sunnah

Ujar beliau, masalah itu dapat diselesaikan jika umat Islam kini melangkah ke hadapan mengkaji sunah dan mengetengahkan hikmah di sebalik syariat tersebut serta menghebahkan kepada masyarakat.

Sebab itu beliau memperkenalkan Pesona dalam usaha menerapkan penghayatan sunnah kepada masyarakat.

Menurut Mohd. Arip, masyarakat barat pada masa kini merupakan golongan yang banyak mengkaji sunnah Rasulullah. Malah mereka mengamalkan amalan baginda dalam kehidupan seharian.

Malangnya, umat Islam pula mengabaikan amalan mulia itu sebaliknya bangga mengamalkan gaya hidup sulaman barat.

Mohd. Arip mengakui, daripada kajian yang dilakukan 100 peratus menunjukkan Islam bukan sekadar sebuah agama ritual semata-mata, tetapi merupakan cara hidup.

“Jika sebelum kedatangan Islam rakyat Sepanyol tidak mandi, apabila Islam menguasai negara itu, diwujudkan bilik mandi awam yang bertujuan mendidik rakyat menjaga kebersihan. Demikian indahnya Islam.

“Allah menurunkan al-Quran melalui perantaraan Nabi Muhammad sebagai mukjizat untuk menyakinkan keimanan manusia, tetapi masyarakat hari ini tidak yakin kerana mereka tidak melihat bukti kebenaran kitab suci itu. Kadang-kadang kita yang dilahirkan sebagai Islam turut musykil.

“Oleh demikian, para pendakwah digesa menggunakan pendekatan ilmu berbanding falsafah seperti mana digunakan oleh generasi terdahulu, apatah lagi masa kini semua menggunakan hujah ilmu untuk berhujah,” jelas Mohd. Arip.

Kebenaran al-Quran

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di merata-rata tempat dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belum lagi ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belum cukup bagi mereka bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?

Intipati ayat 53 surah al-Fusilat di atas jelas menunjukkan bahawa isi kandungan kitab suci al-Quran adalah benar jika diyakinkan kepada manusia tentang tanda-tanda kekuasaan Allah.

Sehubungan itu, Mohd. Arip memberitahu sudah tiba masanya para sarjana Islam mengorak langkah menyakinkan masyarakat dengan mengupas sunnah, seterusnya dihebahkan kepada umum

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

4 aspek ibadat dekatkan diri dengan Tuhan

Posted by epondok di Januari 26, 2013

Rasulullah SAW bersabda: “Bertafakur sesaat adalah lebih baik daripada beribadat setahun.” (Riwayat ad-Dailani)

Islam menyediakan suatu jalan yang sempurna untuk manusia beribadat di mana setiap aspek ibadat bersesuaian dengan kekuatan dan keupayaan yang ada pada seseorang.
Ibadat bukan hanya himpunan amal seperti solat, puasa, haji, doa dan seumpamanya tetapi apa juga perkara yang dilakukan dengan niat atau tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Ibadat terbahagi kepada empat aspek iaitu:

Ibadat akal – ia dicapai dengan cara berfikir, merenung, mengkaji sesuatu makhluk Allah serta memerhatikan keindahan dan keagungan ciptaan Allah SWT.

Ibadat jiwa – ia dilakukan dengan adanya sifat khusyuk, tawakal, reda terhadap qada dan qadar, bersyukur, ikhlas, cinta, belas kasihan, al-khauf (takut) dan raja’ (mengharap). Tanpa sifat ini maka sesuatu ibadat itu dikatakan ibadat yang mati dan tidak diterima Allah SWT.

Ibadat badan – iaitu segala amalan anggota tubuh termasuk segala gerak-geri seperti mata, telinga, mulut, hidung, kaki, tangan dan sebagainya. Termasuk juga segala perkataan dan perbuatan.
Ibadat harta – iaitu dengan cara mengeluarkan zakat, mengerjakan haji, memberi nafkah dan mengorbankan harta fi sabilillah, bersedekah dan menyediakan kemudahan untuk orang ramai (wakaf).

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Teladani akhlak Rasulullah s.a.w bentuk integriti diri

Posted by epondok di Januari 25, 2013

Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
Amalan, budaya kerja mesti beretika

Rabiulawal, bulan kelahiran Rasulullah SAW, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi atas kurniaan rezeki tidak terhingga nilainya kerana menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang diutuskan membawa petunjuk kebenaran dan berita gembira kepada yang beriman.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) mengenai ahli neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 119)

Sabda Rasulullah: “Hendaklah kamu bersikap benar, kerana sesungguhnya bersikap benar membawa kepada kebajikan, dan kebajikan akan membawa kepada syurga, dan seseorang itu akan sentiasa bercakap benar hinggalah dia dicatat sebagai yang amat benar di sisi Allah.” (Riwayat al-Bukhari)

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud: “Sesungguhnya percakapan yang paling baik adalah kitab Allah SWT. Dan petunjuk yang paling benar adalah petunjuk Muhammad SAW.” (Riwayat Al-Bukhari)

Pengorbanan besar

Kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya dilihat melalui keseluruhan pengorbanan Baginda menyampaikan risalah dan hakikat kebenaran itu sehingga sanggup mengharungi apa juga cabaran dengan penuh kesabaran, ketabahan serta kebijaksanaan sangat tinggi.

Baginda SAW apabila dijanjikan pelbagai ganjaran oleh pembesar kafir Quraisy supaya meninggalkan usaha dakwah bersabda: “Walaupun diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku sekalipun untuk aku meninggalkannya, nescaya tidak juga akan aku lakukan.”
Begitulah kuatnya pegangan Rasulullah dalam menyampaikan risalah kebenaran kepada umatnya. Pada masa sama, kebenaran ajaran Islam yang dibawa tidak akan terserlah jika tidak ditunjukkan dengan kemuliaan sifat siddiq iaitu jujur dan benar.

Sifat benar yang ditunjukkan Baginda meliputi segala aspek pegangan kepercayaan, pertuturan dan perbuatan. Sifat benar ini telah menimbulkan rasa percaya dan senang dalam hati orang yang mengenali dan berurusan sehingga mendorong untuk beriman dengan ajaran yang dibawa.

Tak pernah menipu

Dr Mahmud Muhammad dalam penulisannya, Babeli ‘al-syabab al-Muslim fi Muwajihat al-Tahdiyyat menukilkan bahawa Saidina Abu Bakar pernah berkata mengenai Rasulullah SAW: “Dia tidak pernah berdusta kepada manusia, maka bagaimana pula dia boleh berdusta kepada Allah SWT?”

Justeru, di kala ramai yang tidak mempercayai termasuklah daripada kalangan mereka yang beriman mengenai perkhabaran Israk Mikraj Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar sebaliknya tanpa ragu mempercayai sesuai dengan jolokan gelarannya al-Siddiq.

Jujur dalam perniagaan

Sifat mahmudah ini ditiru sahabat antaranya Abdul Rahman bin Auf dalam perniagaan yang diusahakan dengan jujur tanpa tipu helah, benar dan bijaksana sehingga berjaya mengaut keuntungan memecahkan monopoli perniagaan kaum Yahudi di Madinah.

Rasulullah memuji mereka yang jujur dengan sabdanya: “Peniaga yang jujur akan ditempatkan bersama nabi, golongan yang benar, syuhada dan solihin.”
Baginda juga mengingatkan dengan tegas bahawa amalan dusta bukan daripada kalangan umat Baginda. Baginda menegur peniaga yang tidak jujur kepada pelanggannya apabila didapati mencampurkan antara buah kering dan basah dalam satu longgokan.

Sifat siddiq bentuk integriti

Justeru, dalam bekerja dan memberikan perkhidmatan, sifat siddiq Rasulullah perlu kita contohi khasnya untuk membentuk integriti. Terdapat pelbagai cara diambil majikan untuk memelihara dan membangunkan kualiti sifat ini termasuklah menyediakan kod etika perkhidmatan.

Beberapa contoh tatacara kerja yang tidak bertanggungjawab dan tidak berteraskan kejujuran ialah pemalsuan dokumen, pemindaan data dan fakta, pemalsuan tuntutan, tidak menjaga kerahsiaan daripada ketirisan, tiada ketelusan dalam tindakan dan membuat keputusan, penyalahgunaan kuasa serta suapan.

Firman-Nya: “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar.” (Surah al-Taubah, ayat 119)
Menurut Imam al-Qurtubi, Allah SWT menyifatkan orang yang benar dan beriman dalam urusan mereka sebagai orang yang bersungguh-sungguh dalam agama.

Sabda Rasulullah: “Hendaklah kamu bersikap benar, kerana sesungguhnya bersikap benar membawa kepada kebajikan, dan kebajikan akan membawa kepada syurga, dan seseorang itu akan sentiasa bercakap benar hinggalah dia dicatat sebagai yang amat benar di sisi Allah.” (Riwayat al-Bukhari)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Cinta ALLAH dan cinta Rasulullah SAW

Posted by epondok di Januari 24, 2013

CIKGU SIDEK BABA

Hari ini sering kita saksikan majlis, ceramah, festival yang menggunakan tema cinta ALLAH dan cinta Rasulullah SAW. Apakah maksud tema ini dalam makna yang dangkal dan kenafsian terhadap maksud cinta ALLAH dan cinta Rasulullah SAW.

Manifestasi dari tema ini memberi impak yang besar tidak saja terhadap isu aqidah, ibadah, syariah-feqah dan juga akhlak. Menyebut dengan kalimah aku cinta ALLAH dan Rasulullah SAW tidak memadai. Ruh dari kalimah cinta ALLAH dan cinta
Rasulullah secara rohaniahnya harus diaplikasikan dalam amal.

Cintakan ALLAH membawa maksud cinta akan kebesaranNya. Kebesaran ALLAH membawa kepada ALLAH itu Pencipta, menghasilkan sumber roh untuk manusia hidup, pemberi rahmah dan nikmah untuk kesenangan manusia.

Ia tidak boleh disamakan ibarat cinta sesama manusia dengan segala macam faktor kenafsiannya. Ia tidak sekadar lafaz dan sebutan. Ia harus tercermin pada watak dan peribadi yang mendukung jiwa hamba yang tinggi dan peranan kekhalifahan yang menyumbang.

Jiwa hamba membawa watak rukuk dan sujud sebagai ibadullah dan ibadur rahman yang mendukung resam taat, akur, tunduk dan patuh. Kesombongan yang terjadi, keingkaran yang terdapat, keegoan yang disaksikan bukanlah gambaran orang cintakan ALLAH dan rasul-Nya.

Cintakan ALLAH harus terlihat dalam amal soleh. Amal soleh memperlihatkan bagaimana manusia ini sentiasa memiliki sifat kasih sayang dan belas kasihan terhadap orang lain. Belas kasihannya ALLAH kepada kita, diberinya kita dengan limpahan rezeki yang banyak.

Cintakan Rasulullah SAW terlihat dengan akhlak karimah. Tujuan Rasulullah dihantar kepada kita ialah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Tanpa akhlak kita akan hilang diri dan cenderung kepada amalan haiwani yang bercanggah dengan fitrah.

Cintakan Rasulullah SAW ialah mematuhi sunnahnya dalam semua perkara. Barulah dapat dirasakan kehebatan peribadi Rasulullah SAW dalam diri dan kehidupan kita.

Manusia yang sombong umpamanya selalu merasakan dirinya saja benar dan orang lain semuanya salah. Diri yang angkuh merasakan dirinya hebat dan orang lain kerdil belaka. Diri yang ego sentiasa memandang rendah orang lain, baik dari segi pemikiran dan amalan.

Jiwa besar seorang dai’ (pendakwah) dan murabbi (pendidik) umpamanya sentiasa memiliki sifat belas kasihan terhadap orang lain. Dia menginsafi bahawa tidak semua orang mempunyai peluang dalam biah atau suasana Islami, baik dari sudut kualiti ilmu ayah-ibu mahupun persekitaran yang ada.

Seorang dai’ dan murabbi akan terus mendatangi supaya asbab dari kehadirannya menyebabkan hidayah turun dan petunjuk diberi. Inilah bayangan sebenar cinta ALLAH dan cinta Rasulullah SAW yang terjemahkan dengan amal.

Bayangkan hari ini sesama Islam lahir rasa kebencian yang tinggi  Kalimah-kalimah ini adalah cetusan nafsul amarah yang tidak membawa kejernihan hati, malah jauh sekali menjadi asas landasan ukhuwah sesama Islam yang dituntut agama.

Itu tandanya kita tidak cinta ALLAH dan Rasulullah SAW kerana ALLAH Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sedangkan sesama Islam kita memiliki rasa benci dan dendam yang luar biasa dan tidak bersedia menjadi pemaaf atas kesilapan orang dan bersedia untuk melakukan muzakarah demi maslahah ummah.

Sebab itu lafaz cinta ALLAH dan cinta Rasulullah SAW disebut menerima takbir dan tahmidnya, selawat dan puji-puji terhadapnya harus diterjemahkan dengan sabar dan bijaksana dalam amalan dan perbuatan. Kalau tidak, bagaimana kita ingin mencapai status iman dan takwa sedangkan sesama Islam kita berseteru. Kita tidak memiliki jiwa besar untuk berdamai dan bijak memahami maslahah yang terdapat untuk kepentingan umat dan generasi hari depan.

Oleh itu Cinta ALLAH dan Cinta Rasulullah SAW harus difahami dan dihayati melalui amalan dan contoh teladan. Ia tidak hanya bersifat ritual semata tetapi terlihat pada amal dan perbuatan.

Bila kita berselisih, kembali kepada ALLAH dan Rasulullah SAW iaitu pedoman al-Quran dan hadis. Sebagai dai’ dan murabbi tidak harus ada sifat putus asa untuk melihat perubahan berlaku dan hijrah terjadi.

Melakukan dakwah terbaik mungkin adalah kerja dai’ dan murabbi. Memberi hidayah dan petunjuk adalah kerja ALLAH. Jangan kita mengambil tempat ALLAH seolah-olah hidayah itu datang daripada kita. Rasulullah SAW mendekati bapa saudaranya Abu
Talib dan melakukan dakwah terbaik, memberi hidayah akhirnya adalah kerja ALLAH.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »