Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Disember 2012

Halaqah Kitab Muslimin 2013 (Lepasan SPM/STAM/STPM dan umum)

Posted by epondok di Disember 31, 2012

Istimewa bagi lepasan SPM/STAM/STPM dan umum (60 orang peserta lelaki sahaja)

Tarikh : 5 – 19 Januari 2013 ( 2 minggu )

Tarikh tutup pendaftaran bila peserta telah mencukupi had iaitu 60 orang.

Tempah dan sahkan pendaftaran melalui telefon/ sms

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki berumur 16 tahun ke atas  (terhad 60 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

 

Tarikh & Masa Daftar Diri

5 Januari 2013  (Sabtu) jam 2.30  – 3.15 petang

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan Hidayah Sibyan (Tauhid, Feqah dan Tasawwuf)
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Kitab Pelita Penuntut
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (kain pelikat, baju Melayu atau kemaja lengan panjang)  & pakaian solat (diwajibkan bawa jubah dan serban), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Sila hubungi :

019- 9388902(Ust. Shairazi )

Blog : albakriah.wordpress.com

Web : www.al-bakriah.com.my

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Pengajian Intensif Muslimat 2013 (Lepasan SPM/STAM/STPM dan umum)

Posted by epondok di Disember 31, 2012

Istimewa bagi lepasan SPM/STAM/STPM dan umum ( 40 orang peserta muslimat sahaja)

Tarikh

12 – 26 Januari 2013 ( 2 minggu )

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan iaitu 40 orang sahaja

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar perempuan berumur 16 tahun ke atas (terhad 40 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

Tarikh & Masa Lapor Diri (setelah sah daftar melalui email atau sms)

12 Januari 2013  (Sabtu) jam 2.30 – 3.15 ptg

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan Hidayah Sibyan (Tauhid, Feqah dan Tasawwuf)
  • Bab haidh dan Nifas
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (sebaiknya jubah dan tudung labuh ) & pakaian solat , bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / 016-9381870 (Ust. Azmi)-Pondok Tunjung

e-mail : pppb1995@gmail.com

Blog : epondok.wordpress.com

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Solat sunat Dhuha meraih rezeki

Posted by epondok di Disember 31, 2012

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

Dhuha meraih rezeki
Amalkanlah bersolat Dhuha sebelum memulakan langkah mencari rezeki. – Foto

RUTIN hidup makhluk di bumi ini, apabila terbitnya matahari keluarlah mencari rezeki, namun ada juga sebahagian daripada mereka masih enak dibuai mimpi walaupun matahari tegak di kepala.  Kita berusaha mencari rezeki dengan kudrat empat kerat kurniaan ALLAH SWT bagi mengisi  perut yang kelaparan.

Tahukah anda bahawa kita juga mempunyai ‘pelaris’ yang sememangnya datang daripada ALLAH. Solat Dhuha, syabas kepada hamba yang menjadikan ia sebagai amalan harian kerana ianya mempunyai banyak hikmah yang diberkati ALLAH.

Daripada Abu Dzar, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badan mu.

Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

Solat lepas terbit matahari

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang merangkap Penyelaras Pusat Perkembangan Kemahiran Insaniah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nabilah Yusof berkata, dari segi bahasa Dhuha bermaksud waktu pagi manakala sudut istilah pula, solat sunat yang dilakukan pada waktu pagi selepas 20 minit terbitnya matahari sehingga sebelum waktu  Zuhur  sama ada mengerjakannya dalam dua, empat, enam, lapan, 10 dan 12 rakaat bergantung kepada kemampuan individu tersebut.

“Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fiqah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing iaitu kira-kira dua meter.

“Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Justeru, batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, waktu yang terbaik  dan afdal melakukannya ialah ketika sinar matahari kian panas. Kebiasaannya sesetengah individu melakukan solat Dhuha selepas waktu Syuruk.

Ulasan itu dikaitkan dengan sepotong hadis Nabi Muhammad SAW dari Zaid bin Arqam. Rasulullah menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.”

Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Nabi galak sunat Dhuha

Nabilah berkata, solat sunat Dhuha boleh dianggap sebagai ucapan terima kasih hamba kepada penciptanya atas segala limpah rahmat yang diberikanNya.

“Rasulullah tidak pernah meninggalkan solat ini sehinggalah Baginda ditimpa keuzuran. Baginda sendiri menggalakkan umat Islam supaya melakukan dan menjadikan ia sebagai amalan harian di pagi hari.

“Sepatutnya pagi kita perlulah dimulai dengan lafaz takbir, tasbih kepada ALLAH. Abu Hurairah pernah berkata: “Bahawa Rasulullah berwasiat kepadaku akan tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan witir sebelum tidur.” Hayatilah hadis ini kerana setiap perbuatan Rasulullah adalah sunnah,” katanya.

Menurutnya, paling banyak rakaat sunat Dhuha yang dikerjakan Rasulullah ialah lapan rakaat dan paling banyak disabdakan Baginda ialah 12 rakaat. Paling sedikit boleh dikerjakan adalah dua rakaat.

Bacaan surah yang dianjurkan Baginda

Bacaan dianjurkan Baginda semasa menunaikan sunat Dhuha, selepas surah al-Fatihah, menurut hadis disampaikan Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

Nabilah berkata, bacaan dalam solat ini sesuatu yang subjektif dan tidak rigid, tidak terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat itu diniatkan dengan betul, syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya.

“Boleh juga pada rakaat pertamanya, individu itu membaca ayatul Kursi kerana ayatul Kursi banyak keistimewaannya, semasa suruh itu diturunkan ribuan malaikat sebagai perantaranya. Dalamnya juga terkandung kursi (kerajaan) ALLAH yang besar meliputi tujuh lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadis menerangkan fadhilat ayatul Kursi.

“Di rakaat yang kedua bacalah surah al-Ikhlas kerana surah itu adalah 1/3 daripada al-Quran. Surah itu besar maknanya kerana mengandungi sifat ALLAH yang Esa dan siapa ALLAH sebenarnya iaitu tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNya.

Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan,” ulasnya yang juga pendakwah bebas.

Namun, tidak ramai umat Islam kini yang menjadikan solat sunat Dhuha sebagai rutin kerana kurangnya perhatian terhadap ibadah sunnah, sebaliknya hanya mengejar yang wajib sahaja. Kalau setiap Muslim tahu akan ganjaran yang diperoleh hasil daripada ibadah sunnah, nescaya ramai yang berebut-rebut mengerjakannya.

Sekiranya mereka tahu bahawa rezeki ALLAH  tidak hanya diperoleh melalui usaha semata-mata, sudah tentu mereka berlumba-lumba mengejar rezeki dengan cara solat dan doa melalui solat Dhuha.

KELEBIHANNYA

-Diampuni dosa walau seluas lautan

-Dimurahkan rezeki

-Dijanjikan ganjaran syurga

-Dari Abu Hurairah dari Nabi , Baginda bersabda : “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan, “Dhuha.” Maka jika kamu datang hari kiamat kelak, serulah (malaikat) penyeru: manakah orang-orang yang telah mengerjakan solat Dhuha? Inilah
pintu kamu, silakan masuk ke dalam dengan rahmat ALLAH.”(Riwayat Tabrani)

-Menjadikan seseorang sentiasa bersyukur dengan limpahan nikmat ALLAH

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Ganjaran imarah masjid

Posted by epondok di Disember 31, 2012

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

SEJARAH pembinaan masjid bermula ketika penghijrahan Rasulullah s.a.w bersama kaum Muslimin ke Madinah. Ketika sampai di perkampungan Quba, Baginda mendirikan masjid yang hingga kini kekal dan menjadi kunjungan umat Islam.

Kemudian, berdirinya Masjid Nabawi di Madinah. Rasulullah s.a.w mempergiatkan usaha menyalurkan pendidikan dan syiar Islam kepada penduduk sehingga roh beragama hidup dan kukuh.

Masjid ketika itu menjadi tiang kepada kejayaan membina ummah yang erat bersatu. Rasulullah s.a.w ketika hayatnya begitu memfokuskan kepada pembinaan masyarakat bersatu menerusi kegiatan spiritual dan sosial di masjid.

Abu Hurairah ada memberitahu: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w memberitahu:

“Tujuh orang yang dinaungi Allah dalam naungan-Nya pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya ialah pemimpin yang adil, hamba yang hatinya selalu teringatkan masjid…” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seharusnya pernyataan Rasulullah s.a.w itu menjadi daya motivasi dalam memujuk rasa di jiwa supaya sentiasa ingin mengimarahkan masjid.

Hati sentiasa memasang visi untuk tidak mahu tertinggal dalam mendirikan solat secara berjemaah di masjid. Itulah yang dimaksudkan sebagai hamba yang hatinya sentiasa teringatkan masjid.

Abu Hurairah berkata, ketika bersama dalam kumpulan sahabat, Rasulullah s.a.w menanyakan mereka: “Mahukah kamu aku tunjukkan amal ibadah yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan meninggikan darjat?” Lalu sahabat Baginda pun menjawab: “Ya Rasulullah.” Rasulullah memberitahu mereka: “Menyempurnakan wuduk pada waktu-waktu yang sukar dan memperbanyak langkah ke masjid.” (Hadis riwayat Imam Malik dan Muslim)

Jadi, berdasarkan kepada apa yang dikatakan Baginda, dapat kita analisis bahawa Mukmin yang rajin ke masjid mendirikan solat secara berjemaah diberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

Alangkah beruntungnya sesiapa yang jiwanya sentiasa terpaut, lalu terpanggil untuk sering ke masjid. Walau sibuk dengan urusan duniawi, budaya mendirikan solat berjemaah di masjid tidak wajar dipinggirkan.

Jangan sampai keasyikan dunia, kita mencari alasan meninggalkan sunnah Rasulullah itu. Jangan lepaskan peluang keemasan yang dijanjikan Rasulullah s.a.w itu demi mengutip seberapa banyak pahala buat bekalan ke alam barzakh nanti.

Abu Hurairah pernah juga menceritakan pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w berkata: “Sesungguhnya setiap masjid itu mempunyai tonggak-tonggak (orang-orang yang menghidupkan masjid), yang ditemani malaikat. Jika tonggak-tonggak itu tercabut, malaikat akan merasa kehilangan. Jika mereka menderita sakit, malaikat juga akan menjenguk. Dan jika mereka mempunyai keperluan tertentu, maka malaikat juga akan membantu mereka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Hakim)

Lihatlah betapa hebatnya orang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid sehingga ditemani malaikat dan mendapat pertolongan. Apakah itu masih tidak cukup bagi mencetuskan keinginan di hati kita supaya sentiasa merindui masjid?

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berwuduk daripada kalangan kamu, lalu dia mengelokkan dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia datang ke masjid semata-mata untuk solat berjemaah, maka Allah sangat-sangat bergembira menyambut kedatangannya seperti bergembiranya ahli keluarga orang yang lama tiada (kerana musafir atau lainnya) dengan kemunculannya.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)

Sememangnya, masih banyak lagi peringatan daripada Rasulullah supaya kita mengimarahkan masjid dan menjadi salah seorang ‘ahli masjid’ yang aktif mendirikan solat berjemaah.

Jangan kita menjadi ahli masjid tatkala bersolat Jumaat atau semasa solat sunat Aidilfitri, Aidiladha atau ketika sebulan di bulan Ramadan, tetapi hari lain, mata kita saja yang singgah menatap keindahan masjid.

Mengimarahkan masjid bererti kita menghidup serta menyuburkan syiar agama.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Banjir ujian terhadap ketabahan insan

Posted by epondok di Disember 30, 2012

Oleh Amran Zakaria Cetak Emel Kawan
Keadaan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung ketika ini hendaklah dilihat sebagai ujian Allah untuk menguji kesabaran makhluknya. Ujian ini sama seperti ujian seperti kemarau, ribut, salji, gempa bumi dan sebagainya.

Usah menjadi makhluk yang mengeluh atau tidak reda terhadap ujian yang berikan. Sebaik-baiknya hendaklah menginsafi bahawa kita sebenarnya lemah dan tidak berkuasa berbanding kekuasaan serta ketentuan Allah.
Sebenarnya, apa yang berlaku ini hanya menguji kesabaran dan sejauh mana tahap ketakwaan manusia terhadap penciptanya.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami (Allah) berikan cubaan (atau ujian) kepada kamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. Mereka itulah orang yang mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami (Allah) berikan cubaan (atau ujian) kepada kamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan khabarkanlah berita gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. Mereka itulah orang yang mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Kita mesti yakin Allah mencintai orang yang sabar. Allah sentiasa bersama dengan orang sabar dan menjauhkan diri daripada orang yang angkuh, sombong dan enggan menerima ujian-Nya.

Jiwai semangat persaudaraan

Sebaliknya, sebagai insan yang merasai sifat kemanusiaan dan menjiwai semangat persaudaraan, kita sewajarnya membantu mereka yang dilanda kesusahan mengikut kemampuan masing-masing.
Sumbangan dan bantuan atas semangat persaudaraan supaya tekanan dihadapi mangsa dikurangkan. Yakin dan percayalah tiada kehidupan yang tidak diuji Allah, yang beza kecil atau besar ujian itu.

Semua ujian perlu dihadapi dengan sabar. Kita diajar bersyukur di saat menerima ujian kekayaan, kesenangan dan kegembiraan. Kita hendaklah bersabar menerima sebarang bentuk bencana, ujian kemiskinan, kesakitan, kesusahan atau kelaparan.

Bukan mudah melalui saat diuji. Namun, orang Islam perlu melihat setiap ketentuan Allah secara dalaman iaitu dengan memperkasa kerohanian.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jugalah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Banjir yang melanda ini mudah-mudahan dapat mendidik dan melembutkan hati kita supaya simpati terhadap kesudahan dilalui mangsa yang kini berlindung di pusat perlindungan banjir. Menjadi tanggungjawab kita yang berkemampuan untuk menghulurkan bantuan.

Pastinya dalam keadaan sukar begini, mangsa banjir memerlukan keprihatinan masyarakat supaya dapat meringankan keresahan jiwa. Bantuan yang dihulur sedikit sebanyak memberi semangat berdepan ujian Allah.

Melihat kepada perkembangan di negara ini, tidak dinafikan semangat persaudaraan sesama ummah memang mengagumkan. Bagi yang bernasib baik sentiasa bersedia membantu yang ditimpa masalah dan begitulah seterusnya.

Peringatan untuk umat Islam

Pada masa sama, ujian Allah juga sebagai peringatan kepada umat Islam sentiasa berdoa serta meminta pertolongan hanya kepada Allah. Justeru, elakkan daripada melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan-Nya.

Mukmin yang diuji dengan pelbagai kesusahan hidup di dunia dan bersabar menghadapinya akan mendapat kedudukan mulia di sisi Allah. Ujian dan dugaan yang dihadapi menunjukkan dirinya termasuk dalam golongan yang diberi keistimewaan oleh Allah.

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Sentiasa syukur nikmat Allah

Posted by epondok di Disember 30, 2012

Oleh Mohd Fadly Samsudin

UMAT Islam kini berdepan pelbagai isu membabitkan akidah dan iman. Fahaman pluralisme dan liberalisme yang mula menapak dilihat antara ancaman besar kepada umat Islam.

Penerapan fahaman yang menganggap semua agama itu sama perlu ditolak. Iman adalah perkara terpenting kerana ia membezakan antara orang mukmin dan kafir.

Dengan memiliki keimanan, umat Islam mempercayai dan mempunyai rasa cinta terhadap Allah dan rasul-Nya melebihi segala-galanya.

Bertuah sesiapa yang berjaya mendapat nikmat cinta sejati itu. Mereka bukan saja merasai manisnya iman, tetapi tergolong di kalangan umat Muhammad s.a.w yang akan memperoleh syafaatnya di hari akhirat.

Kemanisan iman hanya boleh dicapai jika berusaha mendapatkannya. Namun, sukar memperolehnya jika jiwa masih dikotori perasaan cintakan dunia, pelaku maksiat tegar serta mereka yang hitam dan mati hatinya.

Akidah juga pastinya tercalar dan rosak akibat perbuatan, pertuturan dan kepercayaan yang bertentangan dengan prinsip keimanan dalam Islam.

Firman Allah SWT di dalam surah As-Syura ayat 52 bermaksud: “Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau suatu roh (al-Quran yang menghidupkan hati)
daripada perintah Kami. Engkau belum tahu, apakah kitab dan apakah iman? Tapi Kami jadikan ia (al-Quran) menjadi nur (cahaya penerangan), Kami tunjuki dengannya, siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Sesungguhnya engkau menunjuki ke jalan yang lurus.”

Tidak semua Muslim dapat merasainya. Tingkatan iman dan kemanisan iman yang dinikmati seseorang Muslim bergantung kepada beberapa prinsip iaitu kasih kepada Allah dan rasul-Nya mengatasi segala-galanya, kasih kepada manusia dengan tujuan menuntut keredaan Allah dan membenci kepada kekufuran.

Bagaimanapun, kunci utama menuju jalan Allah ialah apabila seorang hamba menjaga ibadah wajibnya. Golongan yang lalai dengan tanggungjawabnya termasuk dalam kalangan orang yang derhaka dan fasik.

Apabila berada pada tahap iman yang kukuh, seseorang akan merasai kemanisan iman. Ketika itu, imannya sukar digugat sesiapa.

Tiada seorang manusia pun di dunia ini memiliki segala-galanya. Apa saja nikmat sama ada kesenangan atau kesukaran jika tersemat iman di dada, seseorang akan meletak setiap perkara secara seimbang.

Mereka sentiasa menjadi golongan yang bersyukur, sabar, qanaah, reda, berlapang dada dan sentiasa bertawakal dalam setiap nikmat dan dugaan yang ditimpa kepadanya.

Bayangkan, golongan kaya yang sentiasa tidak merasa cukup, bersifat bakhil dan mementingkan diri sendiri apa sumbangan yang dapat mereka lakukan untuk mendapatkan keredaan Allah?

Begitu juga dengan golongan berilmu pula bersikap meninggi diri sehingga merendahkan pandangan orang lain.

Kemanisan iman yang dirasai membuatkan hidup seseorang sentiasa bahagia. Mereka yakin apa yang ditakdirkan Allah semuanya ada hikmah dan kebaikan di sebaliknya.

Keyakinan itu merubah segala yang buruk menjadi kebaikan, kekurangan sebagai kelebihan. Justeru, pemburuan untuk hidup, mati dan akhirnya memasuki syurga Allah dalam keadaan beriman pada hari akhirat kelak perlu diusahakan dan dicapai sepanjang hidup.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, setiap Muslim perlu memastikan diri mereka bukan saja bergelar Muslim malah memiliki keimanan teguh kepada Allah dan rasul-Nya.

“Terdapat rukun iman yang wajib kita percaya dengan kepercayaan qat’i (putus), tanpa sebarang syak dan ragu. Kebanyakan kandungan rukun iman adalah perkara ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Ia menjadi perkara asas dalam menguji tahap keimanan seseorang Muslim. Bagi mereka yang mempercayai dan mengimani semua rukun iman itu dengan yakin, iman mereka sentiasa utuh, meskipun cabaran terhadap akidah silih berganti,” katanya.

Dalam al-Quran dan hadis terdapat banyak ayat yang menjelaskan perihal orang beriman.

“Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan, mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta).” (Surah al-Mukminun, ayat 1-5).

“Dalam surah al-Mukminun, Allah SWT secara jelas menyatakan ciri-ciri orang yang beriman menurut kehendak-Nya. Manakala dalam hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah dia berkata perkara yang baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Dari ayat al-Quran dan hadis ini, jelas Allah SWT menjelaskan ciri yang perlu ada bagi melayakkan seseorang Muslim bergelar Mukmin. Iman seseorang manusia sentiasa dalam keadaan meningkat dan menurun.

“Justeru, perkara yang dijelaskan Allah berkaitan perbuatan atau amalan orang beriman perlu sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan bagi memastikan iman terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam wajib menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosak serta memusnahkan iman.

“Yang terbesar sekali ialah dosa syirik kepada Allah. Apabila terjebak dalam jenayah ini, hilanglah iman dan lenyaplah semua amalan yang diusahakan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan kalau mereka menyekutukan Allah (syirik) dengan sesuatu yang lain, nescaya gugurlah daripada mereka, apa yang mereka lakukan (daripada amalan yang baik).” (Surah al-An’am, ayat 88).

“Timbul persoalan bagaimana bagi mendapatkan kemanisan iman. Ia dapat dirasai sekiranya kita sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan ciri orang yang digelar Mukminun (orang yang beriman), menjauhi sifat Musyrikun (orang yang syirik kepada Allah).

“Terdapat hadis Rasulullah yang menjelaskan mengenai ‘halawatul iman’ ini.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang (maka dengan perkara itulah) dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain daripada keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya), sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Menerusi hadis ini, terdapat tiga perkara yang apabila ia diusahakan betul dan ikhlas, individu itu akan merasai kemanisan iman.

“Jika diperhatikan, semuanya berkaitan dengan keimanan kita kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Jelas, keimanan kepada keduanya menjadi tunjang utama bagi mendapatkan kemanisan iman,” katanya.

Sekiranya dalam diri seseorang Muslim masih ada yang lebih utama selain Allah SWT dan rasul tidak mungkin mereka dapat merasai kemanisan iman.

“Allah menjelaskan sekiranya kita cintakan Allah, ikutlah semua perkara yang dibawa Rasulullah. Ikutlah sunnah Baginda dalam setiap aspek kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 31).

“Apa saja yang kita lakukan mesti selari dengan tuntutan Allah dan rasul. Ia perkara asas yang perlu difahami,” katanya.

Menurutnya, Islam menerima dan mengiktiraf perbuatan baik yang dilakukan umatnya selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip yang digariskan.

“Amal kebaikan itu pula tidak akan jadi sia-sia sebaliknya diberi ganjaran.
Setiap keberkatan dan nikmat yang diterima daripada Allah SWT, menjadikan kita terus mengingati-Nya pada setiap masa.

“Itulah tanda kita sedang merasai nikmat kemanisan iman. Ketenangan dalam hidup yang kita rasai hasil daripada mengingati Allah juga antara tanda kita sedang merasai nikmat iman.

“Mana mungkin nikmat turut dirasai mereka yang kufur terhadap-Nya,” katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingat Allah). Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Mohon pertolongan hanya daripada Allah

Posted by epondok di Disember 29, 2012

Bersama Shukri Hanapi

Hamba yang mengabdikan diri kepada Allah SWT sentiasa mengakui bahawa Allah SWT sajalah yang layak disembah dan tempat memohon segala pertolongan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Engkaulah sahaja (ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. – (Surah al-Fatihah ayat 5).

Dalam ayat ini ada dua ungkapan penting. Ungkapan pertama: kepada Engkau kami sembah (iyyaka nabud), manakala ungkapan kedua pula: Kepada Engkau kami mohon pertolongan (iyyaka nastain).
Bebas syirik

Ungkapan pertama menekankan mengenai pembebasan seseorang hamba daripada segala perkara syirik, manakala ungkapan kedua pula menekankan mengenai pembebasan diri daripada pergantungan kepada sesuatu selain Allah SWT.

Menurut al-Raziy dalam al-Tafsir al-Kabir, penggunaan lafaz iyyaka (kepada Engkau sahaja) pada awal kata kerja nabud (kami sembah) dan nastain (kami memohon pertolongan) dalam ayat ini adalah bagi tujuan al-hasr (pembatasan), manakala al-Syawkaniy dalam Fath al-Qadir pula mengatakan ia bertujuan al-ikhtisas (pengkhususan).

Pengabdian kepada Allah

Sebenarnya kedua-dua perkara ini tidak bertentangan, malah ia sama saja iaitu dibatasi bagi tujuan pengkhususan. Oleh itu, jelaslah menyembah dan memohon pertolongan hanya khusus kepada Allah SWT saja. Inilah yang dikatakan pengabdian diri kepada Allah SWT dan setinggi-tinggi kepatuhan, tunduk dan kerendahan diri kepada Allah SWT.
Menurut tafsiran Ibn Abbas r.a, ayat ini bermaksud Allah SWT sajalah yang layak disembah dan ditakuti dan kepada-Nya dipohon segala pertolongan sama ada dalam beribadah, ketaatan mahupun dalam segala perkara yang berkaitan kehidupan.

Dengan pengakuan atau ikrar ini bermakna seseorang hamba Allah SWT itu membebaskan dirinya daripada mengabdikan diri kepada sesama manusia dan tunduk kepada segala perkara khurafat dan tahyul.

Hamba yang berikrar menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT saja, akan berikrar juga untuk mempertahankan apa yang diikrarkan itu, iaitu dengan tidak menyembah dan mengabdikan kepada sesuatu selain Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah (Surah al-Kafirun ayat 2).

Diriwayatkan oleh al-Tabraniy dan Ibn Abi Hatim daripada Ibn Abbas r.a. bahawa kaum Quraisy berusaha mempengaruhi Nabi Muhammad SAW dengan menawarkan harta kekayaan agar Baginda menjadi seorang yang paling kaya di Kota Makkah dan Baginda akan dikahwinkan dengan perempuan yang Baginda kehendaki. Mereka menyampaikan semua ini dengan berkata: Inilah yang kami sediakan untukmu wahai Muhammad, tetapi dengan syarat janganlah engkau memaki hamun tuhan kami dan memburukkannya atau sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun. Nabi Muhammad SAW menjawab: Aku akan menunggu wahyu daripada Tuhanku. Penurunan ayat 1-6 daripada Surah al-Kafirun adalah berhubung dengan peristiwa ini dan sebagai perintah untuk menolak kaum kafir tersebut. Kemudian turun pula ayat 64 daripada Surah al-Zumar sebagai perintah untuk menolak ajakan orang-orang bodoh yang menyembah berhala (al-Suyutiy, Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul).

Berdasarkan peristiwa ini, didapati Rasulullah SAW ditawarkan dengan kemewahan hidup dan perempuan cantik sebagai syarat supaya Baginda SAW meninggalkan dakwah Islam dan berkompromi dengan kaum kafir Quraisy.

Cubaan syirikkan Allah

Hal ini sebagai satu cubaan mengajak Rasulullah SAW yang kuat mengabdikan diri kepada Allah SWT supaya mensyirikkan Allah SWT.

Kegagalan ini disebabkan oleh Rasulullah SAW yang berikrar mengabdikan diri kepada Allah SWT itu telah bertindak mempertahankan apa yang diikrarkan. Sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW inilah ciri orang yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah SWT kerana tidak sedikit pun tunduk dan patuh kepada sesuatu selain Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Mencari keuntungan kekal abadi

Posted by epondok di Disember 29, 2012

Oleh Zawawi Yusoh

BUKAN mudah dalam kehidupan manusia yang penuh dengan cabaran ini untuk mempertahankan serta meningkatkan kualiti iman.

Pastinya akan ada sesuatu yang berat dan gangguan daripada kawan, buku, filem dan hiburan yang datang dengan pelbagai tawaran. Baik dan buruk perangai kita akan jadi turun dan naik.

Bermusim umpama musim buah saja, tetapi kepada mereka yang bersungguh-sungguh dan percaya kepada tawaran Allah dan janji-Nya dapat meningkatkan keyakinan untuk terus menjadi baik.

Bagaimana remaja bernama Ammar bin Yaaser sanggup diseksa, diuji dan diazab kerana mempertahankan iman. Begitu juga remaja Ashhabul Kahfi, mereka sanggup bersembunyi dalam gua demi memelihara keimanan.

Mereka menghadapi semua cabaran dan tekanan itu dengan bersungguh-sungguh. Allah memberi janji-Nya kepada orang beriman sebagaimana disebut dalam al-Quran.

Janji itu menjadi pendorong untuk meraih keuntungan yang lebih kekal abadi.
Antara janji itu ialah orang beriman dijanjikan Allah pembelaan dan pertolongan.

Maksudnya orang yang beriman dan komited dalam agama Allah akan menjadi pembela kepadanya. Pembela maknanya penjaga, memulihara, penghibur dan pemberi kekuatan.

Allah Maha Kaya, jadi orang Islam yang kuat imannya walaupun miskin, apabila mereka dekat dengan Allah Yang Maha Kaya, dia akan berasa kaya dan diberi kekayaan.

Allah Maha Kaya maknanya, Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya miskin. Sebab itulah orang yang dibela Allah walaupun mereka miskin harta, tetapi mereka sesekali tidak menggadai akhlak, peribadi dan maruah.

Mereka diberi kekayaan hati. Biarpun duit banyak, tapi kalau hati miskin mereka akan rosak seperti ‘matinya semut kerana gula’. Bila Allah tidak membela, nikmat bertukar menjadi bala.

Hari ini, umat Islam berdepan dengan pelbagai masalah kerana Allah sudah tidak dijadikan sebagai pembela. Kenapa hal itu berlaku? Semuanya disebabkan kita tidak ambil kisah segala suruhan Allah.

Allah hanya akan terus membela hambanya yang membela agama-Nya. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membela orang beriman dan Allah tidak menyukai orang yang khianat.” (Surah al-Hajj ayat 38).

Janji kedua yang diperoleh orang beriman adalah jaminan keselamatan iman.
Inilah jaminan yang paling mahal. Allah akan melindungi mereka daripada perangai buruk, akhlak rosak, godaan syaitan, kekufuran dan kemiskinan.

Tidak bermakna kita hanya perlu duduk saja tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya, mesti belajar merancang dengan beribadat serta menghayati agama dengan bersungguh-sungguh.

Janji ketiga yang diperoleh golongan beriman adalah mereka mendapat petunjuk kehidupan. Kita amat perlukan hidayah petunjuk di dunia yang penuh cabaran.

Kadangkala kita sudah tidak dapat membezakan lagi mana satu madu dan racun.
Lebih parah, jika madu itu bercampur racun. Amat sulit hidup untuk memilih kebenaran apabila kebaikan dikata kejahatan dan kejahatan pula dikatakan kebaikan.

Hanya jaminan Allah saja ang dapat menyelamatkan remaja kini daripada perangkap noda dan dosa. Namun yang penting kita perlu sentiasa berusaha untuk melakukan perubahan dalam hidup iaitu daripada jahat kepada baik atau lebih baik lagi, daripada jahil kepada berilmu.

Allah memberikan penegasan melalui firman-Nya bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum atau bangsa sehingga mereka sendiri berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka (Surah ar-Ra’d ayat 11).

Yang berubah sifatnya dalam diri manusia ialah hati dan akalnya. Fizikal hanya mengikut saja manakala hati adalah kunci utama membawa perubahan dalam hidup manusia.

Cara pertama untuk berubah ialah memperbaiki diri sendiri serta membersihkan hati daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah).

Kita perlu berusaha keras mendekatkan diri kepada Allah dengan penuh ketaatan. Seterusnya, perhatikan siapa kawan kita, adakah kawan kita mendorong ke arah kebaikan atau sebaliknya?

Adakah kawan kita berbangga dengan maksiat yang dilakukan hingga kita terdorong sama ke arah maksiat juga? Jadilah seorang yang pandai memilih dan menilai kawan, pilihlah kawan yang dapat memberikan kehidupan positif dalam hidup kita.

Apabila tersilap pilih kawan ia boleh menghancurkan keperibadian kita.
Kemaksiatan, kejahatan, dosa serta kemungkaran yang berpunca daripada sifat keji dalam diri akan mengundang kemurkaan Allah.

Untuk mendapatkan nilaian iman, ia bukan sekadar ‘percaya’ sebab jika hanya percaya, iblis lebih percaya dan berpengalaman.

Pengalaman itulah yang menyebabkan iblis berani ‘membangkang’ Allah.

Untuk tidak menjadikan kita sama dengan iblis, iman mesti diterjemah dengan lebih nyata iaitu melaksanakannya dengan perbuatan.

Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: “Iman itu bukannya angan-angan, tetapi ia tersemat di hati disebut di lidah dan diterjemahkan dengan perbuatan.

Iman laksana bekas manakala badan kita jasad seperti alat dan perbuatan adalah isinya. Sekiranya diletakkan susu maka dikatakan segelas susu.

Jika diletakkan racun, walaupun gelas itu berharga, tetapi ia sangat berbahaya. Begitulah iman jika tidak diisi dengan perangai dan akhlak, iman tidak berfungsi malah menyusahkan.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Kaya hati adalah kaya sebenar

Posted by epondok di Disember 28, 2012

BAGI kebanyakan manusia zaman ini, menjadi kaya adalah satu matlamat hidup yang mesti diraih. Mereka menginginkan rumah besar, kereta mewah dan pelbagai kemudahan hidup yang selesa. Untuk itu, pelbagai usaha dilakukan siang dan malam untuk mengumpulkan wang. Sering kali, keinginan itu membuatkan diri kita melupakan hak anak isteri yang memerlukan kasih sayang dan perhatian, bahkan ada juga yang mengabaikan pantang larang agama.

Apabila kita keliru dalam memahami konsep kekayaan, maka kita akan tersalah dalam mencarinya. Kekayaan hakiki sebenarnya bukan terletak pada benda-benda material, akan tetapi ia sesuatu yang berada di dalam hati manusia. Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah kaya itu dengan memiliki banyak harta. Akan tetapi kaya (sebenar) adalah kekayaan hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban, Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Zar: “Wahai Abu Zar, adakah engkau menyangka bahawa banyak harta itu bermakna kaya?” Abu Zar berkata: “Ya.”Baginda bersabda lagi: “Dan adakah engkau menyangka bahawa ketiadaan harta itulah kefakiran?” Abu Zar berkata: “Ya.”

Baginda lalu menjelaskan: “Kekayaan sebenar adalah kekayaan hati. Dan kefakiran sebenar adalah kefakiran hati.”

Kaya hati

Kaya hati adalah merasa cukup dengan yang ada. Sifat ini disebut juga dengan qana’ah. Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar: “Kekayaan hati terbit daripada sifat reda atas ketentuan Allah dan bersyukur atas segala pemberian-Nya.”

Bagi orang yang kaya hati, rezeki yang sedikit terasa banyak. Akibatnya, ia dapat menikmati pemberian Allah SWT itu dengan sepenuh hati. Hatinya tidak lagi tercari-cari sesuatu yang kurang, apa lagi runsing memikirkan cara untuk mendapatkannya. Sebaliknya, ia selalu merasa riang gembira kerana limpahan rahmat daripada Allah SWT yang tidak pernah terputus.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang bangun pagi dalam keadaan aman sentosa, sihat tubuh badan dan memiliki apa yang boleh dimakan, maka seolah ia telah memiliki seluruh isi dunia.” (riwayat al-Tirmizi)

Miskin hati

Siapa yang miskin hati tidak akan pernah merasa cukup meskipun seluruh kekayaan dunia berada di dalam tangannya. Rezeki yang begitu banyak terasa sedikit. Semakin banyak kekayaan yang diberikan, semakin banyak seksaan yang dirasakan.

Ia selalu hidup dalam ketakutan, cemas dan stres mengejar sesuatu yang tidak ada akhirnya. Belum lagi anak-isteri yang menyeksa dengan pelbagai permintaan dan perangai buruk mereka.

Allah SWT berfirman: Maka janganlah engkau mengagumi harta benda dan anak-anak mereka. Sesungguhnya Allah hendak menyeksa mereka dengan (harta dan anak-anak ini) di dunia dan kelak nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan kafir. (al-Tawbah: 55)

Orang yang miskin hati tidak dapat mengecapi kenikmatan hidup. Malahan, hatinya terus dihantui kefakiran hingga ajal membawanya ke liang kubur.

Rasulullah SAW bersabda: Andai seorang anak Adam memiliki dua ladang penuh berisi emas, maka ia akan berusaha mencari yang ketiga. Tiada apa yang dapat memenuhi perut manusia selain tanah. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Luangkan sedikit masa

Kaya hati hanya dapat diperoleh apabila kita kembali kepada Allah SWT. Allah SWT hanya meminta sedikit daripada kita, namun memberi sangat banyak. Luangkanlah sedikit masa untuk beribadat kepada-Nya, membelek al-Quran dan buku-buku agama. Nescaya pintu kekayaan akan terbuka luas di dalam hati kita.

Dalam sebuah hadis kudsi, Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam, luangkan masamu untuk menyembah-Ku, nescaya Aku akan memenuhi hatimu dengan kekayaan, dan Aku akan menutupi kefakiranmu. Namun jika engkau enggan melakukannya, nescaya Aku akan membebanimu dengan pelbagai kesibukan, tetapi aku tidak menutupi kefakiranmu.” (riwayat Al-Tirmizi)

Walalhu a’lam.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Banyak bertaubat dan mengingati Allah

Posted by epondok di Disember 28, 2012

Oleh Mohd Fadly Samsudin

JANGAN merasakan diri masih muda, kuat dan bertenaga mampu hidup hingga mencapai usia tua kerana barangkali esok, lusa atau lebih cepat dari itu, Allah boleh ‘menjemput’ kita.

Selagi masih diberi kesempatan hidup di dunia ini, bertaubatlah dan kembali taat kepada perintah Allah. Lakukan kewajipan dan jauhi maksiat.

Jangan sia-siakan masa dan lakukan amal kebaikan sebanyak mungkin. Sebahagian ulama mengatakan ada empat sebab suul khatimah (pengakhiran yang buruk) iaitu; mengabaikan solat, minum khamr (arak), derhaka kepada ibu bapa dan menyakiti kaum Muslim.

Bayangkan kita ‘dijemput’ Allah, ketika sedang berseronok dalam dunia yang melalaikan. Nauzubillah! Andai kata masa itu kita boleh merayu, menangis, merintih atau berteriak sekalipun untuk dihidupkan kembali, semuanya tiada guna lagi.

Sesudah mati, bercerailah roh dari badan. Namun, kematian sebenarnya bukan penamat kepada kehidupan kerana alam barzakh hanya tempat ‘persinggahan’ sebelum dibangkitkan ke mahsyar untuk menghadapi kehidupan kekal abadi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa akan merasai mati.
Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barang siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasuk ke syurga, menanglah dia. Tidaklah kehidupan dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali Imran ayat 185)
Perasaan takut kepada kematian pastinya akan menyelubungi mereka yang belum bersedia dengan bekalan akhirat.

Islam menganjur umatnya mengingati mati dengan cara melihat proses penyempurnaan jenazah seperti memandikan, mengkafankan serta menghantar jenazah ke kubur selain menziarahi orang sakit.

Mengingati mati pastinya menimbulkan keinsafan jika dilakukan secara bersungguh-sungguh. Dari situ, kita akan sentiasa berusaha melakukan lebih banyak amal kebajikan serta mengabdikan diri kepada Allah.

Berbeza dengan ‘bercita-cita’ hendak mati. Perkara itu boleh membawa kepada putus asa, tidak reda dan sabar menerima ujian malah membawa perkara yang ditegah syarak iaitu membunuh diri.

Kita perlu menjadi orang terbaik di dalam masyarakat dengan memanfaatkan segala harta, tenaga atau ilmu yang ada ke jalan Allah.

Amalan bertaubat perlu sentiasa ditekankan dalam kehidupan seharian.

Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia ialah orang yang diberi panjang umur dan digunakan untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya dan sejahat-jahat manusia ialah orang yang diberi Tuhan umur panjang, tetapi digunakan untuk melakukan kejahatan dan kerusuhan.” (Riwayat Ahmad)

Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Shukri Hanapi berkata, memang wujud sebahagian manusia yang merasakan kematian itu pengakhiran kepada kehidupan dan terhentinya perjalanan manusia.

“Tidak ada kehidupan dan juga kebangkitan lagi selepas itu dan bagi mereka kematian adalah kehancuran. Allah SWT menjelaskan kehidupan dunia ini adalah sebagai tempat untuk manusia (khususnya yang beragama Islam) mencari bekalan ke alam selepas kematian.

“Kehidupan dunia bukanlah kenikmatan kerana ia terlalu sedikit dan kecil, kehidupan selepas kematian itulah yang kekal. Allah mengingatkan manusia supaya tidak tenggelam dalam kehidupan yang tidak mengenal erti kematian,” katanya.

Allah berfirman yang bermaksud, “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah Hud ayat 15-16)

Kematian daripada perspektif Islam ialah proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh.

“Ia tempat penantian untuk ke alam akhirat. Kematian juga perpindahan dari alam taklif (tanggungjawab) dan amal kepada alam ganjaran dan balasan akhirat.

“Sesiapa yang melaksanakan walau sebesar zarah kebaikan akan mendapat balasannya, begitu juga jika mereka melakukan sebesar zarah kejahatan, akan menerima balasannya,” katanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (Surah al-Zalzalah ayat 7- 8).

Ulama’ berkata, “Allah menjadikan pusingan alam ini sebanyak tiga pusingan, iaitu alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat yang kekal abadi.
Pada setiap alam ini ada hukumnya yang tersendiri”.

Mohd Shukri berkata, seorang mukmin yang beriman akan bersungguh-sungguh mempelajari ayat al-Quran dan hadis yang memuatkan penjelasan supaya mereka bersedia menghadapi kematian.

“Islam mempunyai keistimewaan tersendiri berbeza dengan agama dan anutan lain.
Islam menceritakan setiap kematian dan alam selepasnya itu secara terperinci berbeza dengan agama lain.

“Setiap satu diperjelaskan dan hukum setiap alam yang bakal dilalui semua manusia. Seseorang Muslim akan jelas mengenai kehidupan akhirat jika matlamat hidupnya di dunia juga jelas.

“Kita sering memikirkan saat kesakitan menghadapi sakaratul maut, dosa dan pahala, kedahsyatan alam kubur, saat kebangkitan dan perhitungan amalan serta balasan syurga dan neraka.

“Ramai orang pada hari ini tidak menghiraukan urusan mengingati kematian.
Bahkan, ada yang takut membicarakannya,” katanya.

Beliau berkata, akibat persepsi itu timbul ketakutan dan salah faham terhadap kematian.

“Kesan itu membawa kepada kejahilan dan pandangan negatif mengenainya. Sebab itu, mereka bebas melaksanakan apa saja di muka bumi.

“Kita juga mendapati ramai yang melupakan kematian, seolah-olah kematian itu ditulis untuk orang lain. Akibatnya, ramai menghabiskan waktu, tenaga, pemikiran mereka untuk urusan dunia.

“Apabila manusia tidak mengingati kematian, Allah mencabut ketakutan dari jiwa musuh Islam terhadap orang Islam,” katanya.

Ia disebutkan di dalam hadis Rasulullah s.a.w bermaksud “Allah mencabut dari dalam hati musuh rasa kehebatan Islam, lalu Allah akan jadikan bagi kamu satu penyakit wahan”. Sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w, Apakah wahan itu Ya Rasulullah? Nabi bersabda: “Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian”.
(Riwayat Muslim)

Menurutnya, anjuran mengingati mati bukannya untuk minta manusia cepat mati atau meninggalkan segala urusan dunia.

“Islam tidak menyuruh umatnya bercita-cita cepat mati kerana perbuatan itu sangat dilarang. Sebaliknya, apabila mengingati kematian mendorong mereka menetapkan wawasan jelas dalam hidup di dunia dan akhirat.

“Manusia yang banyak mengingati mati sentiasa menginsafi dirinya dan menyedari Allah Maha Memerhati serta Mengawasi setiap gerak gerinya setiap masa.

“Maka, mereka memendekkan angan-angannya dan banyak melakukan kebajikan.
Hakikat ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu lakukan (serta membalasnya)”. (Surah al-Jumu’ah ayat 8)

Rasulullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud, “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

“Ingat mati juga menimbulkan rasa kasih sayang sesama manusia khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat. Bermula dari situ lahirlah perasaan tanggungjawab membimbing diri dan keluarga supaya bersungguh-sungguh beramal menuntut keredaan Allah.

“Sedarilah, jika tidak segera bertaubat dikhuatiri kita mati dalam keadaan sia-sia. Sebab itu, kita perlu sentiasa mengingati mati dengan diiringi istighfar dan taubat.

“Usaha itu bagi memastikan diri mencapai darjat takwa serta mati dalam keadaan Islam. Kematian seseorang Muslim juga bergantung kepada amalan yang dilakukan sepanjang kehidupan,” katanya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Dan, sesungguhnya amalan itu bergantung dengan penutupnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »