Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for November 2012

Anak saham paling berharga

Posted by epondok di November 30, 2012

Ibu bapa untung berlipat ganda jika tidak abai pendidikan dunia, akhirat

Ibu bapa untung berlipat ganda jika tak abai beri pendidikan dunia, akhirat
Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ketika ini dianggarkan 9.8 juta (36 peratus) penduduk negara terdiri daripada golongan kanak-kanak berumur bawah 18 tahun. Golongan ini adalah anugerah dan nikmat terbesar daripada Allah SWT. Mereka adalah aset pembangunan negara pada masa depan. Bagi pasangan ibu bapa, ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan berlipat ganda jika mereka dididik dan dibentuk dengan baik serta menjadi anak yang soleh.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan.” (Riwayat Imam Muslim)

Sebaliknya, jika diabaikan dari segi didikan, tidak mustahil akan menjadi anak derhaka, terbiar dan pada masa akan datang menjadi sampah kepada masyarakat serta negara. Justeru memiliki anak soleh serta baik budi pekerti menjadi impian setiap ibu bapa dan keluarga.

Doa mohon anak soleh

Nabi Zakaria memohon dengan berdoa kepada Allah SWT dikurniakan anak yang soleh. Firman Allah SWT: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah Ali-Imran, ayat 38)
Anak-anak sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih daripada sebarang kekotoran sama ada zahir atau batin. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membentuk mereka menjadi insan berjaya.

Anak yang soleh akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua ibu bapa. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan.” (Riwayat Imam Muslim)

Bina potensi melalui pendidikan

Pendidikan dapat membina potensi anak. Oleh itu, ia hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia itu segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam sanubari mereka.

Ibnu Sina berpesan: “Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk.”

Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka dihantar ke sekolah. Tanggungjawab kita bukan hanya memastikan anak hidup selesa pada masa akan datang.

Tanggungjawab kita juga memastikan mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang kuat. Oleh itu, penting pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia kerana dengan pendidikan agama, prinsip iman mereka akan teguh.

Ini akan membantu mereka menghadapi masalah sosial serta membantu mendepani cabaran masa akan datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran hingga ada yang sanggup menggadai prinsip kehidupan.

Kegelojohan nafsu syahwat di peringkat remaja sangat kuat. Jika punca dan tempat menaikkan nafsu tidak ditutup dan kelemahan iman serta kedangkalan akal menjadi sifat mereka, maka selagi itulah anak-anak kita terdedah kepada gejala keruntuhan akhlak yang menghancurkan kehidupan.

Kehendak nafsu berunsur syahwat sentiasa mencabar setiap peringkat kehidupan, ia boleh menjejaskan kualiti akhlak manusia setaraf binatang.

Jauhi keluarga daripada neraka

Ibnu Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati.” (Riwayat al-Hakim dan Ibnu Majah)

Memelihara keluarga daripada ancaman neraka tidak bererti kita bersikap pasif dengan mencegah mereka daripada pelbagai perbuatan maksiat. Kita juga mesti aktif mendidik dan menerapkan nilai murni dalam diri mereka sebagai daya tahan yang dapat menepis pengaruh persekitaran.

Ingatlah pepatah orang Melayu, ‘ampuh bak ikan di laut walaupun sepanjang hayat badannya tetap tidak masin’. Peranan ibu bapa bukan saja menjadi ‘tuan’ di rumah, tetapi mereka adalah pengurus, pembimbing dan pengasuh.

Bersempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia bertemakan Karisma Kanak-kanak, Serlahkan Potensi Dirimu, marilah kita menjaga dan mendidik anak yang diamanahkan oleh Allah SWT. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama supaya dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Marah kunci kejahatan

Posted by epondok di November 30, 2012

Oleh AMINUDIN MANSOR

SIFAT marah yang datang daripada hati mempunyai kaitan dengan keimanan seseorang. Orang yang sabar dapat menahan kemarahan dalam saat-saat genting dan sudah tentu mendapat ganjaran di sisi-Nya. Seseorang yang dapat mengawal kemarahan adalah orang yang kuat di sisi Allah.

Daripada Abdullah bin Umar ra, Rasulullah SAW bersabda: “Tiada hamba yang meneguk air, lalu mendapat ganjaran yang lebih besar di sisi Allah daripada hamba yang meneguk air menahan kemarahan kerana Allah.” (riwayat Ibnu Majah)

Sementara itu, marah dapat didefinisikan sebagai berasa panas hati kerana ditipu (dihina dan lain-lain), perasaan panas hati, berang, gusar, murka yang datangnya daripada hati. Kemarahan akhirnya meresap dalam darah dan menguasai akal fikiran yang tidak terkawal.

Dalam hadis yang lain, daripada Abu Hurairah ra, Nabi SAW bersabda: Bukankah orang gagah itu, orang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hubungan kekeluargaan, marah juga boleh merenggangkan antara satu sama lain. Kita boleh marah jika sesuatu yang dilakukan oleh seseorang itu bertentangan dengan Islam.

Allah amat menyukai sifat lemah-lembut. Daripada Aisyah ra, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam setiap perkara. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitulah juga dalam hubungan persahabatan dan kejiranan. Sifat marah boleh merenggangkan seseorang dengan sahabat atau jirannya.

Mengambil wuduk dan beristighfar dapat mengawal sifat marah. Segala-galanya dapat meruntuhkan tipu daya iblis dan menghancurkan kesesatan yang disuruhnya. Selain itu, memberi penawar hati yang marah dan gundah, sesungguhnya hati tunduk kepada Allah SWT.

Sifat marah juga adalah cerminan kalbu keperibadian jiwa yang tidak tenteram. Oleh itu, kawal jiwa kerohanian supaya hidup sentiasa tenteram, aman dan damai sepanjang masa.

Para sahabat Nabi Muhammad SAW dan ulama dahulu memberikan berbagai-bagai ungkapan dan falsafah tentang bahaya dan buruknya sifat marah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jalinan ukhuwah berkembang di hujung jari

Posted by epondok di November 29, 2012

Nik Salida Suhaila

Perintah membina silaturahim bagi melancarkan urusan kehidupan manusia kerana manusia tidak boleh hidup sendirian, sebaliknya kena saling bergantungan bagi melengkapkan keperluan masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang mukmin terhadap orang mukmin yang lainnya, tidak ubah bagaikan sebuah bangunan yang bahagian-bahagian menguatkan satu sama lain. Tanpa gandingan yang saling menyempurnakan, mustahil setiap mukmin mampu meneguhkan agama dan meluaskan syiarnya.
Membina silaturahim bukan sekadar mengucap salam kepada sesiapa saja yang kita temui. Ia juga tidak semudah berkirim salam kepada teman yang sudah lama tidak bertemu. Ukhuwah di bawah bumbung agama adalah kurniaan Allah SWT kepada Muslim tanpa mengira pangkat dan darjat.

Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa seorang Muslim itu menjadi saudara seorang Muslim lainnya, kerana itu tidak diperbolehkan seorang Muslim itu menganiaya saudara Muslim yang lainnya. Juga tidak boleh seorang Muslim itu menghina saudara Muslim lainnya. Dan barang siapa memberikan pertolongan yakni memenuhi hajat keperluan saudaranya, maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya dan barang siapa yang memberikan kemudahan atau memberikan kelapangan bagi kesusahan seorang Muslim, nescaya Allah melapangkan kesusahannya di hari Kiamat.”

Kemanisannya hanya dapat dirasai orang yang ikhlas melengkapkan kehidupan sesama manusia setelah menyempurnakan tanggungjawab yang wajib ditunaikan terhadap Allah SWT.

Silaturahim yang kekal adalah yang tidak tercemar oleh noda, hasad dan irihati serta saling menjatuhkan antara satu sama lain.

Kita kena tanamkan dalam diri apa yang ingin dilakukan ke arah kebaikan dan sentiasa mengharapkan bantuan daripada Allah SWT. Jika ada yang jelik, kita saling mengingatkan dengan cara paling baik tanpa menyakiti antara satu sama lain.

Hari ini, jalinan ukhuwah semakin mudah dengan adanya pelbagai medium untuk meneguhkan ikatan silaturahim. Malah, hubungan yang jauh boleh didekatkan dengan perkembangan kemudahan teknologi kini.
Tanpa masa yang panjang dan modal yang banyak, kita boleh bertanya khabar dan tahu perkembangan hanya di hujung jari.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa medium yang sama juga boleh melonggarkan ikatan ukhuwah jika ia tidak dimanfaat dengan baik. Justeru, harus diingat ukhuwah mestilah berpaksikan ketauhidan kepada Allah SWT.

Lebih dari itu, ukhuwah adalah tunjang kepada kekuatan ummah jika berasaskan takwa dan syariat, malah silaturahim menjauhkan manusia dari hasad dengki dan fitnah. Ukhuwah juga boleh menguatkan hubungan dengan Allah SWT kerana ukhuwah menjadikan akhlak manusia lebih baik.

Tetapi jika ukhuwah menjadi taruhan demi melampiaskan nafsu jahat, ukhuwah bukan saja merenggangkan hubungan dengan Allah, juga memisahkan kasih sayang sesama manusia.

Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa seorang Muslim itu menjadi saudara seorang Muslim lainnya, kerana itu tidak diperbolehkan seorang Muslim itu menganiaya saudara Muslim yang lainnya. Juga tidak boleh seorang Muslim itu menghina saudara Muslim lainnya. Dan barang siapa memberikan pertolongan yakni memenuhi hajat keperluan saudaranya, maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya dan barang siapa yang memberikan kemudahan atau memberikan kelapangan bagi kesusahan seorang Muslim, nescaya Allah melapangkan kesusahannya di hari Kiamat.”

Ukhuwah melengkapkan keperluan manusia dan boleh menjadi asas pembinaan sebuah unit masyarakat yang harmoni. Alangkah indahnya sebuah keluarga yang sarat dengan rasa hormat dan kasih sayang, menjadi tunjang perpaduan dalam kerangka hubungan manusia yang lebih luas.

Sekali gus menjadikan umat Islam kuat dan teguh mempertahankan saudara di bawah bumbung agama.

Firman Allah SWT: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu.” (Surah Al-Hujurat, ayat 13)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pintu taubat sentiasa terbuka

Posted by epondok di November 28, 2012

Oleh Salman Sulaiman

Allah SWT sangat suka dan gembira jika ada hamba yang ingin bertaubat dan kembali kepada-Nya. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk sesiapa juga yang ingin kembali kepada-Nya kerana rahmat Allah itu sangat luas.

Sebanyak manapun dosa yang pernah dilakukan manusia, Allah tetap akan mengampuninya dengan syarat mereka mahu kembali kepada Allah bila-bila saja dan tidak kira di mana juga.
Allah SWT tetap menerima taubat hamba-Nya selagi masih bernafas dan nyawanya belum sampai ke kerongkong, selagi itu pintu taubat terus terbuka tidak kira sebanyak mana atau sebesar mana dosa dilakukan.

Nabi Muhammad SAW menceritakan dalam hadis Baginda kisah seorang lelaki yang membunuh 100 orang kembali kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya, akhirnya lelaki itu diampuni Allah dan masuk syurga. Maka jangan kita memberi alasan Allah tidak menerima taubat untuk melengah-lengahkan daripada segera bertaubat kepada Allah.

Allah sangat gembira jika ada hamba-Nya yang bertaubat. Jadi tidak layak bagi seseorang untuk berburuk sangka bahawa Allah tidak akan menerima taubat dan menyeksanya.

Kemudian bagi menjuruskan pesanan kepada anak muda hari ini yang terlanjur dengan dosa dan maksiat kemudian terus menerus melakukan maksiat kerana menganggap Allah sudah tidak lagi menerima taubatnya.

Ini satu kesilapan besar serta tanggapan yang salah. Ramai yang lupa atau sama sekali tidak mengetahui Allah menerima taubat orang yang bertaubat. Allah menerima taubat seorang lelaki Yahudi yang membunuh 100 orang.
Pasti ramai tertanya bagaimana caranya untuk bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Nabi SAW menyebut dalam hadis yang sahih dalam Misykat yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad.

Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba melakukan suatu dosa kemudian ia berwuduk dan solat dua rakaat lalu beristighfar kepada Allah dari dosa itu, kecuali Allah mengampuninya.

Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat: Dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. (Surah Ali-Imran, ayat 135)

Solat dua rakaat yang Nabi sebut dalam hadis di atas ialah solat sunat taubat, amal yang pasti dan sahih bentuknya. Maka sedarlah kita semua pintu taubat masih terus terbuka selagi mana kita mahu kembali kepada-Nya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Amalan ziarah tidak kira musim

Posted by epondok di November 28, 2012

Asri Md Saman
Islam agama yang mementingkan persaudaraan dan persahabatan menuntut umatnya menjaga hubungan silaturahim. Salah satu cara memantapkan persaudaraan dan persahabatan ialah melalui amalan ziarah dan kunjung mengunjung.

Amalan ini tidak terhad pada masa tertentu seperti Aidilfitri atau Aidiladha kerana hubungan persaudaraan perlu dipelihara.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman maksudnya: “Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku (Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku (Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah).” (Riwayat Ahmad)

Amalan ziarah dan kunjung mengunjungi amat disukai Nabi lebih-lebih lagi ketika dalam kesibukan rutin harian. Orang yang memutuskan hubungan silaturahim sesama Islam adalah berdosa besar dan dimurkai Allah SWT.

Kelebihan amalan ziarah

Kelebihan amalan ziarah bagi tujuan menghubungkan silaturahim telah dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sabdanya: “Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggu oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya: Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya: Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu peroleh darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya.” (Riwayat Muslim)

Betapa hebatnya kelebihan bagi seorang Muslim yang mengunjungi saudaranya dengan niat untuk menghubungkan silaturahim. Seterusnya galakan ini turut disampaikan Saidina Ali, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang telah menziarahi saudara seIslamya, sebenarnya dia telah berjalan-jalan memetik buahan syurga sehinggalah dia duduk. Apabila dia duduk maka rahmat menaunginya. Jika di waktu pagi maka 70,000 malaikat berselawat (berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu petang. Jika di waktu petang, maka 70,000 berselawat (berdoa memohon ampun) untuknya sehingga waktu pagi.” (Riwayat Ibnu Majah dan Abu Dawud)
Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman maksudnya: “Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku (Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku (Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah).” (Riwayat Ahmad)

Mendapat kasih sayang Allah

Mereka yang berkasih sayang dan saling menziarahi kerana Allah akan mendapat kasih sayang Allah. Marilah bersama merebut peluang yang ditawarkan dengan ziarah menziarahi.

Berdasarkan al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan serta adab perlu diberi perhatian ketika berziarah ialah berniat baik di atas kunjungannya, jangan dibezakan orang kaya atau miskin, terimalah undangan pihak yang mengundang serta mengelak daripada terbabit aktiviti syubhat.

Ketika berkunjung, hendaklah memilih waktu yang sesuai dan cuba elak berkunjung pada awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan waktu itu tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.

Selaku tetamu, sangat digalakkan supaya berjabat tangan dengan tuan rumah seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.” (Riwayat Abu Daud)

Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW: “Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan sahabat.” (Riwayat Muslim)

Enggan ziarah sanak saudara

Bagaimanapun, ada antara kita yang kurang gemar melakukan amalan ziarah menziarahi dan lebih malang apabila enggan menziarahi sanak saudara. Sebahagiannya lebih gemar menghabiskan masa hujung minggu melayari internet, bersosial melalui facebook dan ketagihan permainan elektronik.

Persaudaraan yang dibina di dunia berasaskan ketakwaan akan berterusan hingga ke akhirat. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati hidup kita, melapangkan segala kesulitan dan membuka rahmatNya dengan seluas-luasnya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tanda rezeki itu berkat

Posted by epondok di November 27, 2012

KEBERKATAN rezeki adalah antara perkara utama yang mesti dititikberatkan dalam hidup. Rezeki bukan sekadar wang, harta, makanan dan minuman. Sebaliknya jodoh, anak, pangkat, nama baik, kedudukan dan sebagainya juga boleh disebut sebagai rezeki. Namun dalam artikel kali ini saya merujuk rezeki kepada pendapatan yang kita perolehi sama ada dengan bekerja sendiri, mengambil upah atau makan gaji. Rezeki yang dicari dan diusahakan itu pula dibawa pulang ke rumah untuk diberi makan anak isteri. Ada orang memandang ringan akan isu keberkatan rezeki ini. Pada mereka ia hanya isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mereka ini tidak sedar wujudnya kaitan langsung antara keberkatan rezeki dengan nasib, kualiti perhubungan, kejayaan anak-anak, dan segala aspek kehidupan..

Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan rezeki tidak berkat. Pertama, kerana ia jelas datang dari sumber pendapatan yang haram seperti berjudi, rasuah, mencuri, menipu, nombor ekor, pelaburan haram dan seumpamanya. Namun, ada yang tidak menyedari bahawa secara halus rezeki itu boleh hilang keberkatan apabila kita yang dibayar upah atau digajikan untuk melakukan sesuatu pekerjaan, atau memikul sesuatu tugasan tetapi tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Sebaliknya apa yang berlaku ialah pelbagai masalah di tempat kerja seperti curi tulang, datang lewat, malas, kerja tidak mencapai kualiti, melakukan kerja lain sewaktu dalam masa bekerja, main-main, dengki, irihati dan seumpamanya.

Oleh itu eloklah dalam artikel kali ini kita lihat apakah antara tanda-tanda keberkatan rezeki bagi membolehkan kita sama-sama melakukan audit diri atau muhasabah.

* Hati semakin dekat dengan Allah dan Jiwa Tenang

Tanda-tanda yang pertama bahawa rezeki itu berkat ialah hati semakin dekat dengan Allah. Kita bukan sahaja menjaga solat lima waktu sebaliknya ditambah dengan amalan-amalan sunat. Mulut juga sentiasa berzikir dan suka pula membaca dan menelaah al-Quran.

* Pemurah

Kita mudah untuk memberi sedekah dan menunaikan zakat.

* Jauh daripada kejahatan manusia dan bala

Kalau kita datang lambat, malas, kerja tidak bersungguh-sungguh, hasil kerja tidak berkualiti dan sebagainya, majikan akan menegur, menasihati dan mungkin mengambil tindakan. Namun, gaji penuh tetap diberikan. Majikan tidak pernah mengaudit gaji kita. Misalnya, katalah gaji kita ialah RM1500 sebulan. Disebabkan kita malas maka majikan bayar RM1200 sahaja. Sebabnya, RM300 ringgit itu dipotong atas sikap malas kita itu. Sebaliknya, apabila kita malas, majikan tidak pernah memotong gaji bulanan kita. Namun, kita lupa bahawa Allah menjalankan auditnya. Maka Allah tarik sebahagian rezeki itu dengan pelbagai ujian dan masalah dalam hidup yang datang bertimpa-timpa seolah-olah kita memang bernasib malang. Bulan ini telefon bimbit hilang, bulan depan kereta pula dipecah orang. Kalau begitulah keadaannya maka eloklah kita audit gaji yang diterima setiap bulan sebab bimbang kalau-kalau itulah punca kepada segala masalah tersebut.

* Keluarga harmoni dan anak-anak cemerlang

* Sentiasa merasa cukup dan syukur

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Dakwah menerusi Facebook sesuai ikut zaman

Posted by epondok di November 27, 2012

Ahmad Kamaludin Taib
Peranan dakwah Islam melalui alam maya adalah antara cabang dakwah moden atau alternatif terkini yang memainkan peranan penting menggerakkan kempen dakwah Islam di seluruh dunia.

Di sisi agama, cara terbaik untuk mengajak manusia mendekati syariat Islam adalah saranan menegur manusia dengan lemah-lembut, berhemah serta nasihat yang berhikmah dan bijaksana.
Hal ini bertepatan firman Allah Taala: “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan dengan tutur kata yang baik.” (Surah An-Nahl, ayat 125)

Pendekatan dakwah yang terbaik ialah menegur dan nasihat dengan berhikmah serta bijaksana. Pendekatan sama sesuai diguna pakai untuk berdakwah di alam maya seperti laman Facebook yang popular dalam masyarakat hari ini.

Tegur secara berhikmah

Oleh itu, pendekatan dakwah yang terbaik ialah menegur dan nasihat dengan berhikmah serta bijaksana. Pendekatan sama sesuai diguna pakai untuk berdakwah di alam maya seperti laman Facebook yang popular dalam masyarakat hari ini.

Antara perkara yang boleh diterapkan dalam dakwah melalui laman Facebook ialah mengingatkan rakan muslimah menjaga aurat mereka supaya tidak menjadi tontonan bukan muhrim yang akhirnya menimbulkan fitnah kepada dirinya nanti.

Tuntutan menutup aurat dengan sempurna dijelaskan dalam firman Allah Taala: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Ahzab, ayat 59).
Menggunakan kemudahan yang dapat mencapai lebih ramai kumpulan sasaran adalah pendekatan dakwah yang baik, lagipun mereka yang melayari laman Facebook terdiri daripada semua lapisan masyarakat.

Bina komuniti

Saranan kempen menutup aurat ini dijalankan dengan membina komuniti dalam talian melalui Facebook Groups dan Facebook Pages. Kedua-dua interaktif ini mempunyai kelebihannya tersendiri dalam berkongsi isi maklumat mengenai saranan menutup aurat.

Contohnya, kumpulan ‘Aku Benci Dedah Aurat di Facebook’ akan berjaya dalam kempen mengajak orang ramai menutup aurat apabila menerima banyak penyertaan atau sokongan mereka yang sukakan kempen itu.

Kempen ini penting kerana adanya pihak tidak bertanggungjawab mempergunakan atau cuba mengeksploitasi kemudahan laman sosial bertujuan menyebarluaskan gambar atau video lucah bagi pelbagai tujuan negatif atau kepentingan tertentu.

Kempen menutup aurat di laman sosial dapat mencegah pendedahan aurat daripada terus berleluasa di samping mengubah pemikiran anak muda pada masa kini yang menyalahgunakan Facebook untuk melayari gambar dan video tidak bermoral.

Kempen menutup aurat di Facebook adalah satu tuntutan dakwah moden yang dapat mengajak manusia untuk mendekati keindahan syariat agama Islam yang hakiki.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ayat Al-Quran sebagai penawar penyakit kanser

Posted by epondok di November 26, 2012

SOALAN

Nama saya Hasnah berusia 40 tahun. Saya disahkan menghidap kanser payudara pada awal Februari 2010. Pada Mac 2010, saya telah menjalani mastectomy iaitu pembedahan membuang keseluruhan payudara sebelah kiri.

Semasa pembedahan, sebanyak 15 kelenjar telah dikeluarkan dan tujuh dikenalpasti mengandungi sel-sel kanser.

Saya telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali dan radioterapi sebanyak 15 kali. Kedua-dua rawatan tamat pada September 2010.

Namun pada bulan Oktober 2012, selepas lebih dua tahun saya tamat rawatan, saya mendapat cancer relapse iaitu kanser kembali menyerang malah telah merebak ke bahagian tulang spinal (C3 & C4) dan menyerang tulang pelvik dan tulang rusuk di dada saya.

Bolehkah, Tuan Haji Lokman terangkan mengapa kanser menyerang saya kembali walaupun saya sudah tamat rawatan kemoterapi dan radioterapi?

Apakah ayat-ayat al-Quran untuk diamalkan untuk menangani penyakit kanser dan bagaimana cara mengubatinya melalui perubatan Al-Quran?

JAWAPAN

Kanser begitu sukar dipulihkan terutamanya jika sudah berada di tahap tiga dan empat. Sebaik sahaja sel kanser merebak masuk ke saluran darah dan sistem peredaran kelenjar atau ‘lymph’, amat sukar untuk memastikan bahagian organ mana yang mengalami proses metastasis dan menyebabkan sel kanser.

Jalan paling mudah dalam kaedah perubatan moden adalah kemoterapi, iaitu memasukkan ubat anti kanser keseluruhan sel organ dalam badan.

Tetapi proses kemoterapi hanyalah berfungsi untuk surpressed atau melemahkan sel kanser atau melambatkan proses kanser dari merebak dengan cepat.

Adalah sukar bagi pakar perubatan moden untuk memberi lima tahun jaminan pesakit akan sembuh atau selamat dari kanser.

Ini kerana mereka sedar, kebarangkalian sel-sel kanser merebak ke bahagian tubuh yang lain amat tinggi.

Biarpun seseorang pesakit kanser telah bebas dari kanser berdekad lamanya, itu bukan jaminan kanser tidak akan kembali menyerang mereka.

Dalam kes Puan Hasnah, mengapa kanser kembali menyerang biarpun selepas beliau menjalani rawatan kemoterapi enam kali dan radioterapi 15 kali.

Ini adalah kerana sel-sel kanser yang dilemahkan semasa rawatan kemoterapi atau radioterapi akan kembali aktif selepas beberapa jangka masa atas beberapa faktor seperti tekanan emosi (stres), pemakanan tidak seimbang dan pelbagai faktor lain.

Apabila kanser kembali menyerang, pesakit perlu mengulangi semula rawatan seperti rawatan pertama.

Ini yang membuatkan pesakit berasa putus asa, tekanan emosi dan tabiat ini tidak membantu menyembuhkan sebaliknya membantu menggalakkan lagi pertumbuhan kanser.

Dalam erti kata lain, perjuangan melawan kanser melalui rawatan moden, tidak akan selesai dan menemui kesudahannya jika diri tidak berserah kepada Allah dan meminta pertolongan dari-Nya. Firman Allah di dalam Al-Quran

“Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman….” (Al Israa’ 82)

“….Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku..” (Al Baqarah, 186)

Konsep perubatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran adalah ibadah. Justeru tiap amalan perubatan ini adalah bersandarkan amalan ibadah serta doa dan munajat.

Konsep inilah yang akan menghasilkan keputusan ‘2 dalam 1′, iaitu di samping mendapat kesembuhan, diri juga akan lebih dekat dengan Allah.

Sesungguhnya kesakitan bukanlah alasan untuk kita menjauhi diri daripada Allah. Dan kesakitan bukanlah alasan untuk kita meninggalkan ibadah sama ada wajib atau sunat.

Falsafah kesakitan menurut islam adalah sebagai wahana untuk Allah menghapuskan dosa-dosa kita yang terdahulu, dan meningkatkan darjat kita disisi Nya.

Justeru, berdoa ketika sakit lebih dipandang Allah berbanding ketika sihat. Hal ini kerana ketika sihat, ia akan berdoa dan beramal dengan sambil lewa, kerana belum merasakan peritnya sebuah musibah kesakitan.

Namun, apabila seseorang itu sakit misalnya, ia akan berdoa kepada Allah dengan penuh khusyuk, tawaduk serta penuh pengharapan supaya Allah memakbulkan doanya dan menyembuhkan penyakitnya.

Kerana itu, saya sentiasa mengingatkan para perawat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bahawa kita berpegang kepada prinsip berdakwah di dalam berubat.

Dan buat para pesakit pula, kita membantu mereka agar yakin bahawa mereka beribadah sambil dirawat.

Hasil kedua prinsip ini, insya-Allah akan membawa kepada kesembuhan dengan syarat, para pesakit mengamalkan apa yang diarahkan serta meningkatkan amalan sunat dan menjauhi perkara-perkara dosa dan mungkar.

Saya akan berikan beberapa garis panduan secara umum mengenai rawatan kanser menurut kaedah ayat-ayat suci Al-Quran kepada pembaca dengan harapan kita meletakkan keyakinan yang penuh kepada mukjizat yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w serta rahmat sekalian alam.

Al-Quran, bukan sekadar bacaan, ia sumber panduan juga medium penyembuhan.

Insya-Allah, semoga dengan keyakinan yang terbina, Allah akan hadiahkan pesakit/ pembaca dengan kesembuhan.

Antara kaedah yang digunakan untuk merawat kanser menurut perspektif perubatan Al-Hidayah adalah ;

* Membaca beberapa rangkaian ayat suci Al-Quran.

Ini adalah amalan utama atau amalan pokok dalam perubatan ini. Pesakit akan diberikan beberapa ayat suci Al-Quran, yang saya beri selepas memeriksa pesakit, jenis kanser, sejauh mana tahap sakit dan kesan penyakit terhadap pesakit.

Ayat suci Al-Quran yang diberikan adalah berbeza-beza mengikut individu disebabkan beberapa faktor yang disebutkan tadi.

Namun, secara umumnya, ayat-ayat Al-Quran yang berfungsi sebagai agen penyembuh kanser bermula dengan surah Al Mukminun, ayat 91 hingga 100 dan surah Al Hajj, bermula ayat 31 hingga 55.

Ayat surah Mukminun untuk dibaca pada waktu malam sebanyak tiga kali sama ada selepas maghrib atau isyak atau mana-mana masa yang sesuai pada waktu malam atau dibacakan di dalam sembahyang sama ada fardu, atau Qiyammulail.

Ayat surah Al Hajj tadi pula adalah untuk bacaan siang sebanyak tiga kali selepas subuh, zohor atau asar.

Jika tidak sempat, maka boleh dibaca pada bila-bila masa di waktu siang. Kesimpulannya, tiada alasan sibuk atau tidak sempat untuk seseorang pesakit melakukan amalan ini.

Selepas kali membaca ayat ini, pesakit boleh berdoa kepada Allah agar sakit mereka sembuh.

Ingat, berdoa dengan penuh keyakinan bahawa Allah berkuasa menyembuhkan setiap penyakit di dunia ini.

Kita telah pun berikhtiar dengan membaca ayat ini, lalu berdoa dan bertawakal kepada Allah, insya-Allah, pesakit akan merasakan perbezaannya setelah beberapa hari.

Dua rangkaian ayat yang saya berikan tadi, (Al Mukminun, Al Hajj), hendaklah diamalkan selama empat hingga lima minggu.

Baca dengan seikhlas hati dan penuh keyakinan. Setelah empat hingga lima minggu membaca ayat tadi, pesakit perlu pula membaca dua dari rangkaian surah-surah di bawah.

Surah Rangkaian Ayat

Al Anbiya’ 38 hingga 50

Huud 60 hingga 80

An Nahl 90 hingga 110

Yunus 55 hingga 70

Qasas 66 hingga 88

Ibrahim 9 hingga 22

Al Kahfi 38 hingga 60

Yunus 71 hingga 89

Setakat hari ini, saya telah mengenal pasti sebanyak 60 rangkaian ayat suci Al-Quran yang merupakan ayat spesifik penyembuh penyakit kanser.

Malah, ayat ini bersifat khusus untuk setiap tahap kanser dan spesifik untuk setiap jenis kanser yang dialami.

Setiap rangkaian ayat ini sama jika dibandingkan dengan setiap satu jenis ubat dalam kaedah rawatan kanser secara moden

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Manis ukhuwah berasaskan iman

Posted by epondok di November 26, 2012

Nik Salida Suhaila
Persahabatan dibina atas semangat tulus ikhlas, cintakan Tuhan

Ikatan persahabatan tulus dan ikhlas berbeza dengan cara sama dilakukan bukan Muslim kerana silaturahim dibina kerana Allah SWT lebih kuat dan teguh. Ia disebabkan iman setiap mukmin kepada Allah SWT disambungkan kepada saudara seagama menjadikan tautan hati dan jiwa, akal dan rohani yang tiada taranya.

Sebab itulah ada persahabatan yang erat dan berpanjangan melebihi hubungan persaudaraan. Setiap mukmin memiliki ikatan hati yang sangat kuat kerana ukhuwah disebabkan cinta kepada Allah SWT.
Mereka saling mengingatkan antara satu sama lain, berkongsi rasa, duka, apatah lagi gembira dan suka. Daripada hubungan persahabatan, manisnya iman dapat dirasa sehingga ada yang berubah pendirian dan sikap untuk lebih menghampiri Penciptanya. Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga hal yang apabila ada pada seseorang, nescaya dia akan merasakan manisnya iman; menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain. Dan apabila menyintai seseorang, dia tidak menyintainya melainkan kerana Allah SWT. Dan dia enggan kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya seperti dia enggan dilemparkan ke neraka.”

Orang yang merasai manisnya iman sukar untuk berkongsi apa yang dirasai dengan orang lain melainkan perasaan sama turut dialami. Nabi Muhammad SAW yang digelar kekasih Allah adalah manusia paling dekat hatinya dengan Allah kerana baginda menyintai Allah melebihi dari yang lainnya.

Baginda sanggup menghadapi apa juga bahaya dan bencana semata-mata untuk mempertahankan agama serta mesej yang dibawa dari Yang Maha Esa.

Umat Islam pula akan merasai manisnya iman dengan menyintai Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya. Bayangkan jika seseorang wanita menyintai suaminya tanpa berbelah bahagi sehingga sanggup meninggalkan agama, keluarga dan tanah air untuk sentiasa berada di sisi suami.
Itulah tanda cinta yang tiada bandingannya. Situasi serupa juga perlu dirasai jika kita menyintai Allah dan Rasul, sehingga cinta itu tidak terungkap oleh kata-kata, sebaliknya kita akan sentiasa gembira dan tenang apabila mendampingi Allah dan Rasul.

Setiap mukmin yang menjalin persahabatan sesama saudara seagama perlu mengambil kesempatan untuk merasai manisnya iman dengan membina ukhuwah dan menyintai sahabat kerana Allah SWT.

Walaupun tiada di depan mata, silaturahim tetap terbina dengan ikatan hati yang kukuh jika kita sentiasa menghampiri-Nya. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara.” (Surah Al-Hujurat, ayat 10)

Kesibukan urusan harian dan komitmen pada keluarga sepatutnya tidak membataskan kita menjalin hubungan persahabatan, tambahan pula kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini memudahkan lagi perhubungan tanpa memerlukan masa serta tenaga yang banyak.

Ada sahabat yang memerlukan kita untuk berkongsi masalah dihadapi dan meminta pertolongan mengatasi kesusahan yang membelenggu. Hubungan erat dan ikhlas tentunya dapat membantu sahabat dalam kesusahan dan memanfaatkan diri kita kepada orang lain.

Jangan pula kita mengambil kesempatan untuk membina hubungan melampaui batasan sepatutnya kerana ada segelintir yang mendakwa menyintai sahabat sehingga sanggup menjalin hubungan songsang yang bertentangan dengan agama dan norma.

Bahkan ada yang meminta cerai dari suami atau menceraikan isteri untuk ‘hidup bersama’ dengan teman dicintai. Mereka mengambil kesempatan atas jantina yang serupa untuk tinggal bersama tanpa menimbulkan syak wasangka tetapi hidup dengan nilai buruk seolah-olah tidak mengetahui akibat dari apa yang dilakukan di akhirat kelak.

Tidak salah menyintai sahabat yang baik, mengasihi dan menyayanginya seperti mana kita dicintai, dikasihi dan disayangi tetapi biarlah kerana Allah SWT, tidak melencong dari landasan agama dan sentiasa saling mengingatkan tentang azab yang pedih.

Bahkan orang yang mengasihi kerana Allah mendapat kemuliaan, kebanggaan dan kehormatan di saat Allah mengumpulkan mereka di hari akhirat dan Allah akan menaungi mereka pada hari itu.

Persahabatan jujur lahir dari hati yang ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa melainkan keredaan Allah SWT. Sahabat sebegini mempunyai hati yang bersih dan rohani yang suci. Mereka tidak terganggu dengan adu domba, umpat keji, hasad dengki dan caci maki.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ganjaran jihad taat suami

Posted by epondok di November 25, 2012

Asri bin Md Saman @ Osman
Isteri kena bersabar melayan kerenah pasangan selagi tidak melakukan kemungkaran

Wasiat Baginda Rasulullah SAW kepada puterinya Saidatina Fatimah az-Zahra’ berkaitan peranan dan ganjaran bagi seorang isteri yang solehah. Wasiat Baginda bukan khusus kepada puterinya saja bahkan ditujukan kepada semua wanita yang bergelar isteri.

Kata Baginda: “Ya Fatimah, tidaklah wanita yang melayani suami selama sehari semalam dengan rasa senang serta ikhlas, melainkan Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya serta memakaikan pakaian padanya di hari kiamat berupa pakaian yang serba hijau dan menetapkan baginya setiap rambut pada tubuhnya seribu kebaikan. Allah memberikan kepadanya pahala 100 kali beribadah haji dan umrah.”
Alangkah besarnya pahala yang disediakan oleh Allah SWT kepada isteri yang mengamalkan apa yang disarankan Rasulullah SAW sehingga Allah SWT mengurniakan pahala 100 kali menunaikan haji dan umrah.

Justeru, semua Muslimah sepatutnya berlumba-lumba mengejar tawaran pahala yang disediakan ini. Natijahnya akan terbentuklah sebuah rumah tangga yang aman sejahtera serta dilimpahi mawaddah dan rahmat daripada Allah SWT.

Seorang sahabat wanita bernama Zainab telah menemui Baginda Nabi SAW lalu berkata: “Aku telah diutuskan oleh kaum wanita kepada Engkau Ya Rasulullah. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka mati pula, mereka akan hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Bagi kami kaum perempuan yang sering membantu mereka, apakah pula balasan kepada kami? Sabda Rasulullah SAW: Sampaikan kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit daripada golongan kamu yang dapat melakukannya.” (Riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani)

Kewajipan isteri melayani suaminya yang sah meliputi semua keperluan selagi tidak menyalahi hukum syarak. Baginda Rasulullah SAW mengajar isteri tindakan yang perlu dilakukan apabila si suami mahukan layanan termasuk dalam hubungan kelamin.

Panduan diberikan Baginda membuktikan Islam berusaha menutup pintu kejahatan dan mengutamakan naluri fitrah manusia, pada masa sama mengutamakan kebahagiaan rumah tangga. Apabila rumah tangga yang dibina bahagia, akan menangislah syaitan.
Sabda Baginda SAW: “Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk melakukan hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan melaknatnya hingga waktu pagi.” (Riwayat Bukhari)

Sabda baginda SAW lagi: “Jika seorang suami memanggil isterinya kerana berhajat kepadanya, maka pergilah kepadanya walaupun ketika itu dia sedang membakar roti.” (Riwayat ath-Thabrani)

Isteri perlu bersabar dengan kerenah suami, patuhilah dan taatilah segala permintaan suami selagi dia tidak menyuruh kepada kemungkaran. Suami perlu mempertimbangkan aspek kemanusiaan dalam mengeluarkan arahan kepada isteri.

Dikisahkan seorang sahabat wanita yang memiliki nilai kesabaran tinggi iaitu Ummu Sulaim. Menurut hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik, hasil perkahwinan Ummu Sulaim dengan Abu Talhah, beliau di kurniakan seorang anak bernama Abu Umair.

Suatu hari, ketika suaminya keluar bermusafir, anaknya telah ditimpa sakit yang akhirnya membawa kepada ajalnya. Ummu Sulaim telah memandikan dan mengkafankannya. Selepas itu beliau berkata kepada ahli keluarganya, “Biarlah aku yang mengkhabarkan berita kematian anakku ini kepada suamiku.”

Sekembalinya Abu Talhah dari bermusafir, beliau bertanyakan khabar anaknya itu. Ummu Sulaim dengan tenang menjawab: Anak kita berada dalam keadaan aman. Apabila menjelang malam, berkata Ummu Sulaim: Wahai suamiku, andai kata seseorang itu diberi pinjam sesuatu barang, kemudian tuan empunya barang itu minta dikembalikan barangnya, patutkah dia tidak mengembalikannya? Jawab suaminya: Tidak. Kemudian Ummu Sulaim berkata: Sesungguhnnya Allah telah mengambil semula apa yang dikurniakan kepada kita, anak kita telah pun diambilnya kembali.”

Pilu hati Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, namun dia reda dengan takdir Allah. Subuh keesokannya, Abu Talhah pergi menemui Rasulullah SAW dan menceritakan peristiwa yang berlaku itu.

Kemudian Rasulullah SAW berdoa semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik. Tidak lama selepas itu, Ummu Sulaim telah dikurniakan 10 orang anak yang mana kesemuanya di kalangan ulama yang terpilih.

Lihatlah betapa tabahnya hati seorang ibu menghadapi detik kematian anaknya yang dicintai dan betapa bijaknya Ummu Sulaim menyampaikan berita duka itu kepada suami tercinta. Hebatnya nilai kesabaran isteri berdepan dengan situasi yang sedih dan getir.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mencontohi watak Abu Talhah dan meneladani watak Ummu Sulaim dalam melayari kehidupan rumah tangga pada zaman yang penuh pancaroba ini.

Firman Allah SWT: “…perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…” (Surah an-Nisa’, ayat 34)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »