Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Oktober 2012

Barat sebar fobia Islam dalam filem

Posted by epondok di Oktober 31, 2012

Oleh Faridah Mohd Tap

Taken 2 menggambarkan umat Islam dengan watak antagonis.Muslim digambarkan watak antagonis dalam Taken 2
Oleh

Selesai menonton filem baru penuh aksi Taken 2 lakonan Liam Neeson membawa penulis kepada suatu kesimpulan mudah iaitu ia adalah satu lagi anasir negatif berbaur jahat Barat terhadap masyarakat Islam. Filem itu adalah kesinambungan dari filem pertama Taken yang mengisahkan seorang bekas ejen kerajaan, Brian Mills yang menyelamatkan anak perempuannya, Kim, yang telah diculik sekumpulan penjahat beragama Islam.

Filem ini walaupun menarik kerana penuh aksi dan terdapat unsur kekeluargaan, tetapi pada masa sama ia juga berbahaya kerana menyebarkan semangat fobia Islam. Dalam filem itu, Islam digambarkan sebagai agama keganasan.

Filem ini juga telah menjuarai carta filem beberapa minggu selepas penayangannya di pawagam seluruh Malaysia.

Mills ditampilkan sebagai hero dalam filem Taken pertama, manakala Taken 2 pula, anaknya Kim memainkan peranan heroin yang cuba menyelamatkan ayah dan ibunya yang diculik sekumpulan pengganas Muslim kerana ingin membalas dendam ke atas kematian anak serta rakan mereka.

Sudah tentu watak antagonis dalam filem itu adalah orang Islam. Malah babak pertama dibuka dengan bacaan surah al-Fatihah ketika pengebumian penjenayah muslim yang dibunuh oleh Mills dalam misi menyelamatkan anak gadisnya dalam Taken pertama.
Filem ini walaupun menarik kerana penuh aksi dan terdapat unsur kekeluargaan, tetapi pada masa sama ia juga berbahaya kerana menyebarkan semangat fobia Islam. Dalam filem itu, Islam digambarkan sebagai agama keganasan.

Orang Islam terbabit sindiket pelacuran, pembunuhan dan jenayah lain. Malah penjenayah juga mengamalkan budaya Islamik seperti memberi salam (secara sempurna) kepada rakan penjenayah lain.

Laungan azan juga kerap kali kedengaran setiap kali adanya babak cemas penuh aksi dalam filem yang menjalani penggambaran di Istanbul, Turki, negara tinggalan Khilafah Uthmaniyyah terakhir selepas dihapuskan pada 1924 seakan-akan sengaja mengguris hati umat Islam di seluruh dunia.

Ini bukanlah filem pertama Barat terutama Amerika (AS) yang menyemai benih-benih fobia Islam melalui seni perfileman. Selain filem Taken (satu dan dua), terdapat filem lain yang mendapat sambutan hangat antaranya Beyond Borders, Special Forces dan terbaru Innocent of Muslims.

Sudah dijangka, Barat akan mempertahankan filem itu terutama Innocent of Muslims atas nama ‘kebebasan asasi’, tetapi malangnya mereka tidak menghormati sensitiviti agama masyarakat Muslim hari ini.

Barat kelihatan berat sebelah dan bersikap defensif apabila menampilkan watak utama dalam kebanyakan filem yang digambarkan sebagai polis dan hakim dunia walaupun hakikatnya banyak peristiwa besar kehancuran jiwa manusia bermula daripada tangan mereka sendiri.

Tuduhan jahat Barat mengaitkan Islam dengan keganasan sudah tentu jauh meleset. Sejarah mencatatkan Islam tersebar ke pelusuk dunia tanpa melalui mata pedang seperti mana dicanangkan mereka.

Lihat saja Mesir, walaupun diperintah Muslim untuk beberapa abad sehingga hari ini, tetapi statistik menunjukkan lebih 40 ribu penduduk Mesir beragama kristian secara keturunan. Di India, lebih 80 peratus beragama Hindu walaupun Islam pernah memerintah wilayah India.

Di Malaysia dan Indonesia, Islam menjadi agama persekutuan kedua-dua negara tanpa sebarang pertumpahan darah. Ini sudah cukup menafikan mitos dari Barat yang mengatakan Islam agama yang menganjurkan keganasan.

Suatu fenomena paling menarik ialah peningkatan penganut Islam di AS. Walaupun pelbagai cara dibuat untuk menyemarakkan api fobia Islam ke serata dunia, tetapi sebaliknya pula berlaku. Ini boleh dilihat dengan melihat gelombang peningkatan penduduk yang mula memahami, seterusnya menganut Islam.

Berita serong mengenai Islam telah membuka mata masyarakat Barat lain untuk mengetahui ajaran Islam sebenar. Mitos yang dicanang AS sebenarnya memakan diri kerana pada 1970, terdapat 100,000 Muslim di negara itu, tetapi pada 2008, terdapat 9 juta Muslim dan dijangka terus meningkat.

Peningkatan ini berterusan terutama selepas publisiti meluas mengenai Islam rentetan daripada peristiwa 9/11. Fenomena ini dibantu oleh pendakwah Muslim yang komited menjelaskan ajaran sebenar Islam yang sesuai dengan fitrah manusia.

Novelis dan ahli politik, George Bernard Shaw menegaskan: “Agama yang akan menjadi pilihan golongan terpelajar, bertamadun dan yang sedar pada masa hadapan hanyalah Islam.”

Justeru, elemen fobia Islam dalam filem terbitan Barat harus ditangani dengan kerja dakwah yang lebih sistematik dan menyeluruh seperti terbitan filem Islami yang menggambarkan ajaran Islam sebenar, menghidupkan al-Quran dan sunnah Rasulullah dalam kehidupan harian serta menganjurkan dialog peradaban untuk memperbetulkan persepsi masyarakat mengenai Islam sebenar

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ibadah haji pengembaraan rohani

Posted by epondok di Oktober 30, 2012

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

 

KINI, jutaan umat Islam berada di bumi suci Makkah al-Mukarramah bagi menyahut panggilan Ilahi menunaikan ibadah haji. Saban tahun, bumi Makkah menjadi bumi yang dirindui ummah bagi memperlengkapkan rukun Islam kelima.

 

Zulhijjah menjadi bulan kemuncak haji dan mengikut definisi, ‘Zul’ membawa erti ‘Yang empunya’ dan Hijjah bermaksud, ‘Haji’.

 

Tercatat dalam sirah, sejak zaman Nabi Adam lagi, bulan ini umat manusia melakukan ibadah haji. Ia adalah perhimpunan agung umat Islam yang berkunjung ke Baitullah dalam satu visi suci penuh luhur.

 

Mereka melupakan sengketa lalu, soal bangsa dan keturunan, warna kulit dan amalan budaya, semata-mata menunaikan perintah Allah.

 

 

Itulah manifestasi iman dan takwa yang menzahirkan Islam untuk semua, bersatu dalam keharmonian.

 

 

Dari segi bahasa, haji bermaksud menuju ke sesuatu tempat yang suci, namun lebih afdal bagi kita semua menelitinya dari sudut istilah syarak kerana ia membawa pengertian menziarahi Masjidilharam, iaitu Kaabah, melakukan wukuf di Padang Arafah, saie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dengan cara tertentu dalam masa dan niat yang tertentu.

 

Ibadah haji mengandungi rangkaian rukun dan wajib haji adalah lambang simbolik yang perlu kita renungi dan hayati. Ibadah haji bukan sekadar rukun Islam, tetapi tersingkap pelbagai hikmah di sebaliknya.

 

Pertama, berihram dengan memakai kain serba putih. Lihat dan telitilah senario jemaah haji semasa di Makkah ketika menunaikan haji ataupun umrah.

 

Ia seakan-akan kain kafan yang membaluti tubuh jenazah. Apakah makna semua itu? Ia simbolik untuk kita insafi di sisi Allah, manusia itu sama tarafnya.

 

Tiada diskriminasi dalam apa juga aspek. Yang menobatkan darjat tertinggi di sisi Allah hanya iman dan takwa. Itulah dua elemen yang diambil kira Allah untuk menganugerahkan darjat kebesaran kepada hamba-Nya.

 

Kita perlu meletakkan unsur takwa pada kemuncak agenda kehidupan. Ingatlah peringatan Allah itu semoga kita berjaya memujuk diri berada pada kedudukan terbaik di sisi Allah.

 

Firman Allah yang bermaksud, “Barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah serta bertakwa, mereka itulah orang yang menang.” (Maksud Surah An-Nur ayat 52).

 

Kemudian, apakah pula hikmah wukuf di Padang Arafah? Wukuf adalah perhimpunan ‘raksasa’ di bawah panas terik mentari. Tiada upaya melainkan pertolongan Allah.

 

Wukuf di Padang Arafah adalah ‘simulasi’ bagaimana untung nasib kita semasa berada di Padang Mahsyar nanti. Jemaah sepatutnya, mengalihkan seketika renungan mata hati bahawa di padang Mahsyar kelak ia lebih dahsyat lagi.

 

Namun, atas niat murni segala rintangan semasa di Padang Arafah dapat dilaksanakan. Berdoa dan bermunajatlah dengan penuh khusyuk bagi mengharapkan reda Allah semata-mata.

 

Setelah selesai berwukuf, jemaah akan bermalam pula di Muzdalifah, iaitu semasa dalam perjalanan menuju ke Mina. Muzdalifah adalah lokasi persinggahan Rasulullah SAW dari Arafah ke Mina dan dilaporkan Rasulullah mendirikan solat sunat dua rakaat lewat tengah malam semasa di sana.

 

Sebagai meraikan sunnah Rasulullah SAW, jemaah diwajibkan bermalam di situ.

Apakah yang mampu kita singkap hikmat bermalam di Muzdalifah itu?

 

Ia satu lokasi persinggahan sebelum meneruskan sesi pengembaraan rohani ke Mina. Di sana, jemaah perlu memperbaiki diri serta memanjatkan doa ke hadrat Ilahi kerana waktu tengah malam sebegini amat sesuai memujuk hati supaya khusyuk berhadapan dengan seruan Allah.

 

Lihatlah bagaimana Rasulullah sanggup dan bersemangat mendirikan solat sunat pada waktu malam. Ia memberi gambaran jelas saat tengah malamlah waktu paling sempurna untuk bersolat sunat dan berdoa.

 

Selain itu, ia ilustrasi watak seorang insan sentiasa rindukan Allah sehingga menggunakan waktu malam yang dingin di sekelilingnya hingga mencengkam kulit.

 

Demikianlah juga bermalam di Mina pada Hari Raya Haji dan Hari-hari Tasyrik tidak lain bertujuan mengajak kita menzahirkan rasa syukur atas setiap nikmat kurniaan Allah.

 

Jemaah juga disunatkan melakukan sembelihan korban. Amalan itu juga tersirat pengajaran untuk mengenangkan kembali betapa besar dan luhurnya pengorbanan dua anak beranak, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

 

Bagaimana pula dengan kita? Untuk bersedekah dan mengeluarkan zakat pun terasa liat! Kecil sangat jika dibandingkan dengan titah perintah Allah kepada dua insan mulia itu.

 

Inilah masanya kita menginsafkan diri sebelum hayat berakhir. Jadikanlah pengorbanan dua Rasul mulia itu sebagai contoh untuk melakukan pengorbanan sekadar termampu.

 

Kewajipan asas semasa berada di Mina ialah melontarkan batu ke tiga lokasi jamrah sebagai satu gerak laku simbolik supaya kita dapat membuang sifat mazmumah.

 

Kemudian, jemaah meneruskan amalan tawaf haji diakhiri dengan bertahalul.

Justeru, jadikan ibadah haji satu pengembaraan rohani berpaksikan visi suci mengharapkan haji mabrur di sisi Ilahi

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

2 hari raya besar dalam Islam

Posted by epondok di Oktober 29, 2012

Oleh Zawawi Yusoh

 

Jumaat Lepas kita sama-sama menyambut kedatangan Aidiladha. Semoga seluruh jemaah haji yang menyempurnakan rukun haji di Makkah diterima sebagai haji mabrur.

 

Semoga Aidiladha yang kita raikan hari ini sentiasa dalam suasana meriah.

Teruskan amalan bertakbir dan ziarah menziarahi.

 

 

Manakala upacara ibadat korban menjadi temasya utama kanak-kanak dan remaja untuk melihat dari dekat bagaimana binatang ditarik, diikat dan disembelih sehingga pengagihan daging korban.

 

Namun, dalam kemeriahan Aidiladha, ramai terpaksa menyambutnya dengan merasai pahit ujian peperangan seperti di Syria yang berperang sesama sendiri.

 

Kalau hari raya ini kita saling berbahagi daging korban, di sana nyawa orang Islam yang menjadi korban. Hairan juga kita bagaimana kerajaan boleh membunuh rakyatnya sendiri.

 

Penulis terpanggil untuk berkongsi idea mengenai kemeriahan Aidiladha dan Aidilfitri. Sebenarnya, dalam Islam, dua hari raya itu sangat besar maknanya.

 

Semuanya dirayakan beriringan sempena ibadat rukun Islam. Aidilfitri didahului ibadat puasa manakala ibadat haji mengiringi Hari Raya Aidiladha.

 

Dua-dua besar, cuma Aidiladha ada ‘lebih’ dari sudut falsafah dan tuntutan.

 

Tapi kedua-duanya sangat bertalian dan berkaitan. Aidiladha juga dipanggil ibadat korban manakala Aidilfitri hari raya ‘bersih’ iaitu kembali kepada fitrah.

 

Orang tidak boleh berkorban jika belum bersih hati dan nurani. Jadi, siapa yang berjaya dibersihkan dengan ibadat berpuasa pada bulan Ramadan dulu akan sanggup berkorban bukan saja ‘bahagian’ korban daging, tapi juga berkorban serba-serbi untuk ke Makkah menunaikan haji.

 

Berkorban binatang bukan hanya menyembelih binatang, tetapi sampai ke peringkat ‘menyembelih’ sama sifat-sifat kebinatangan yang bersarang di dalam jiwa.

 

Jika hari raya puasa jumlah rayanya cuma sehari iaitu satu Syawal, tetapi Aidiladha disebabkan besarnya pengorbanan yang dituntut, hari raya diwartakan Allah sebanyak empat hari iaitu 10 Zulhijjah hari raya diikuti dengan hari tasyrik 11,12 dan 13 Zulhijjah.

 

Begitu juga jumlah hari bertakbir untuk Aidilfitri hanya satu malam dan setengah pagi iaitu tidak sunat lagi bertakbir selepas imam selesai baca khutbah raya manakala Aidiladha bertakbir selama empat hari empat malam.

 

Aidilfitri diharamkan puasa hanya satu Syawal saja, tetapi Aidiladha empat hari diharamkan puasa.

 

Sebenarnya, kemeriahan sambutan hari raya bukan hanya diukur kepada pakaian baru, berapa ramai orang balik kampung dan bukan juga pada kemeriahan sambutannya, tetapi bergantung kepada jiwa, peribadi dan akhlak baru.

 

Selain itu, bersih diri dan sanggup berkorban demi agama

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Mencari keberkatan dalam kehidupan

Posted by epondok di Oktober 28, 2012

Oleh Zawawi Yusoh

CINTA adalah naluri manakala manusia adalah pencari cinta. Kadang-kadang, demi cinta manusia sanggup melakukan apa saja. Ungkapan ‘cinta itu buta’ menambah kebutaan sehingga lupa kepada yang Maha Pencipta iaitu Allah.

Bersungguh-sungguh mencari cinta sementara yang penuh risiko dan derita, lupa mencari cinta yang kekal abadi dan hakiki. Menurut cerdik pandai, kalau nak kenal sejauh mana Allah cinta kita, boleh tanya diri kita sendiri, sejauh mana kita dahulu mencintai Allah.

Kita yang menjalani kehidupan ini yang semuanya ‘meminjam’ daripada Allah. Kita lupa kepada yang memberi pinjam. Sudahlah meminjam, menumpang pula, tak tahulah pula kita ini disayangi atau dimurkai.

Betapa bahagianya kalau dicintai Sang Pencipta yang menguasai segala-galanya. Alangkah derita jika kita antara makhluk yang tidak disukai Allah, apatah lagi jika dimurkai.

Pada pertemuan kali ini, mari kita melihat tanda-tanda jika kita disayangi Allah iaitu:

Allah akan menjaganya di dunia

Apabila Allah mencintai seorang hamba, maka Allah akan menjaganya. Allah jaga mereka daripada dunia yang melalaikan dan dosa yang akan menghancurkan kehidupannya.

Maka dalam setiap perjalanan waktu, Allah perlu menjadi tujuan kita. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah akan menjaga hamba-Nya yang beriman dan Dia mencintai-Nya seperti kalian menjaga makanan dan minuman orang sakit (di antara) kalian, kerana kalian takut pada (kematiannya).” (Hadis riwayat Al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim dan Al Baihaqi).

Kesolehan

Ketika Allah mencintai seorang, Allah akan memberikan kekuatan kepadanya untuk menjadi hamba yang soleh. Allah mudahkan mereka untuk melakukan kebaikan.

Maka, perjuangan menjadi lebih soleh adalah langkah mendapatkan sepenuh cinta daripada Allah. Dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Allah memberikan dunia pada yang Dia cintai dan yang Dia benci. Tetapi Dia tidak memberikan (kesedaran) beragama, kecuali kepada yang Dia Cintai. Maka barang siapa diberikan (kesedaran) beragama oleh Allah, bererti ia dicintai oleh-Nya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Al-Hakim dan Al-Baihaqi).

Memahami agama

Ketika seorang hamba dicintai Allah, maka Allah akan memudahkannya memahami agama sehingga setiap ilmu yang dipelajari akan mudah difahami dan diamalkan.

Sulit melakukan maksiat

Di antara tanda Allah mencintai hamba-Nya ialah kesulitan melakukan maksiat.
Mereka tidak akan boleh melakukan maksiat dan jika terbiasa melakukan maksiat, mereka akan merasakan itu sangatlah sulit sehingga tidak boleh melakukannya.

Seperti kisah Rasulullah s.a.w, Allah yang memalingkan baginda supaya tidak datang ke pesta malam dengan cara menjadikannya mengantuk luar biasa dan tertidur ketika dalam perjalanan.

Husnul Khatimah

Di antara tanda Allah mencintai hamba-Nya ialah Dia menutup umurnya dengan amal soleh. Tidak semua manusia yang mendapatkan kenikmatan itu.

Sebahagian manusia menghabiskan umurnya dalam ketaatan, tetapi mati dalam keadaan maksiat kepada Allah. Abu Bakar berkata: “Jika satu kakiku di dalam syurga, dan kaki yang lain di luar syurga, maka aku belum aman.”

Jika kita melakukan maksiat, takutlah pada kematian dan hati-hatilah kalau kita mati dalam keadaan melakukan maksiat. Rasulullah Bersabda: “Jika Allah mencintai seorang hamba, Dia akan memaniskannya.” Sahabat bertanya: “Apa itu memaniskannya ya Rasulullah?”

Baginda berkata: “Dia akan memberi petunjuk untuk melakukan kebaikan saat menjelang ajalnya, sehingga tetangga akan meredainya atau ia berkata orang sekelilingnya.” (Hadis riwayat Al-Hakim).

Demikianlah ketika Allah mencintai kita, maka kita perlu menyedari kita hanyalah manusia biasa bukan malaikat yang tidak memiliki hawa nafsu.

Sebagai manusia, kita sentiasa tidak pernah puas. Maka perjuangan terbesar dan terberat kita ialah melawan hawa nafsu. Jika terlalu menurut nafsu, ia akan menghancurkan kita.

Selamat berjuang semoga Allah selalu bersama kita

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hikmah syurga, neraka

Posted by epondok di Oktober 27, 2012

Oleh Mohd Hassan Adli Yahaya

SEKALI sekala, bagaikan ada yang berbisik di telinga, otak saya tiba-tiba memikirkan pelbagai persoalan membabitkan ketauhidan Allah SWT bersama sifat-sifat-Nya.

Antara yang terlintas adalah mengapa Allah mencipta syurga dan neraka. Jika Allah itu mempunyai sifat Ar-Rahim (Maha Penyayang), mengapa Allah menciptakan neraka untuk dihuni makhluk-makhluk-Nya? Bukankah lebih mudah bagi Allah memasukkan semua makhluk-Nya ke dalam syurga? Tidak perlu manusia melalui hari kebangkitan semula dan seterusnya menempuh hari pembalasan. Persoalan-persoalan ini jika tidak dibimbing dengan jawapan yang betul pastinya boleh menggugat iman seseorang.

Apatah lagi jika yang berbisik mengenai soalan itu adalah syaitan. Pastinya juga dia yang mencadangkan jawapan yang membuatkan manusia berprasangka buruk terhadap Allah SWT.

Saya pernah mengikuti kuliah seorang ustaz yang berbicara mengenai perkara ini. Pernah suatu masa seorang gadis ditegur kerana tidak menutup aurat oleh seorang ustaz. Antara peringatan yang diberikan adalah orang yang tidak menutup aurat bakal menjadi penghuni neraka.

Selama diberikan ‘tazkirah’, gadis itu langsung tidak memandang wajah ustaz tersebut dan dengan sombong melihat ke tempat lain sambil membuat wajah bosan. Namun selepas selesai ustaz tersebut memberikan nasihat, gadis tersebut tiba-tiba bersuara dengan bertanyakan; “Jika benar Allah itu baik, kenapa cipta neraka?” Terkesima dengan soalan yang tidak diduga itu, namun tidak membuatkan ustaz itu melatah. Persoalan tersebut bersangkut paut dengan rukun Iman dan sifat-sifat Allah. Jika dibiarkan boleh rosak akidah gadis tersebut.

Maka dengan tenang dan bersahaja ustaz tersebut menjawab; “Dik, jika Allah tidak menciptakan neraka, tak perlulah saya melakukan perkara ‘amar maruf nahi munkar’ ini. Lebih baik saya jadi tauke judi, minum arak atau jadi bapa ayam. Hidup senang, lagipun lepas mati saya dijamin masuk syurga.

“Adik ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau lari saya bunuh saja, senang. Tak perlu risau sebab nanti masuk syurga juga.” Jawapan tersebut benar-benar membuatkan gadis itu terkejut kerana sama sekali tidak menyangka ustaz tersebut menjawab persoalannya tadi dengan jawapan sedemikian rupa. Sebelum gadis tersebut menjadi lebih keliru, ustaz tersebut menyambung; “Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga. Maka apa guna jadi orang baik? “Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan lulus ujian. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga. “Selepas itu boleh rogol lagi kalau dia mahu, tiada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu baik. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Adik rasa, adil ke?,” tanya ustaz berkenaan.

“Ah. Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu saja?,” rungut si gadis. Ustaz itu tersenyum dan menyoal lagi; “Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?” Gadis tu terdiam.

Lalu ustaz mengakhiri kata-katanya; “Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-Nya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.

“Saya rasa adik dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni. Ingatlah, jasad kita bahkan segala-galanya adalah milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah, semuanya yang dipinjamkan oleh-Nya adalah amanah dan ujian. Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintah-Nya, untuk kebaikan diri kita juga.” Begitulah jawapan serta contoh ringkas bagi menjawab persoalan yang saya rasakan begitu berat selama ini. Sesungguhnya akal manusia itu amatlah terbatas, tidak sampai setitis pun daripada ilmu yang ada pada Allah.

Kerana itu ada perkara yang kita digalakkan untuk berfikir. Antara persoalan yang boleh difikir adalah mengapa Allah menciptakan kita sebagai khalifah di muka Bumi ini, mengapa Allah mencipta dosa dan neraka dan juga berfikir betapa besarnya kuasa yang menjadikan langit serta Bumi ini.

Namun ada juga persoalan yang tidak digalakkan untuk kita berfikir kerana dibimbangi didorong oleh hawa nafsu dan tipu daya syaitan. Seperti contoh, mengapakah Allah menciptakan malaikat daripada cahaya, manusia daripada tanah dan syaitan daripada api? Antara soalan yang begitu mudah dipesongkan oleh syaitan adalah persoalan yang berkait rapat dengan ketentuan syariat. Seperti keizinan berpoligami dalam Islam. Jika difikirkan secara rasional sudah tentulah kita melihat Islam itu tidak adil dan menindas wanita. Bukankah poligami itu menyebabkan ketidakadilan? Kerana itu timbullah golongan elit yang kononnya memperjuang hak asasi wanita ini yang terdiri daripada orang Islam sendiri.

Ada juga yang terlalu memikirkan rasional di sebalik ketetapan syariat seperti pelaksanaan hukuman jenayah yang telah disabitkan dalam nas-nas al-Quran yang jelas. Pemikir-pemikir ini sebenarnya membawa aliran orientalis tanpa disedari di mana mana persoalan yang berlegar di minda mereka dijawab secara ‘bijaksana’ oleh syaitan yang sentiasa menunggu peluang memperdayakan manusia.

Maka Islam itu dilihat kejam dan Allah itu dilihat tidak adil. Tetapi mereka bijak bersembunyi dan tidak menyalahkan Allah secara terang-terangan dalam perkara ini. Yang menjadi sasaran adalah ulama terdahulu. Mereka dituduh kolot dan gagal menyesuaikan al-Quran dengan peredaran zaman.

Maka sentiasalah berpesan pada diri bahawa ciptaan Tuhan tidak pernah sia-sia kerana antara sifat-sifat-Nya adalah apa yang dicipta oleh-Nya tidak ada yang sia-sia, sama ada yang kecil mahupun yang besar semuanya berlaku dengan penuh hikmah.

Ada antaranya mengandungi ilmu, didikan mahupun pengajaran, sekalipun seekor hama halus di tengah belantara. Dijadikan oleh Allah dengan dengan manfaat serta hikmah yang tersembunyi sama seperti seekor kuman di atas gunung yang tinggi dan di dalam batu pepejal. Maka berimanlah. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 190-191 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal. “(Mereka adalah) orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk, atau dalam keadaan berdiri dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata); Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia; Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Membentuk khaira ummah

Posted by epondok di Oktober 26, 2012

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN
dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

pelbagai cara boleh dilakukan untuk mencapai khaira ummah dengan mengikut kemampuan individu. – Gambar Hiasan

KEDUDUKAN Islam sebagai agama yang mendatangkan rahmat kepada seluruh umat manusia sejagat memang tidak dapat disangkal lagi. Bertitik-tolak daripada kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W yang dikagumi oleh seluruh bangsa tanpa mengira warna kulit dan keturunan, sehinggalah kepada pelaksanaan Syariat Allah SWT yang terbukti berkesan dalam mendidik manusia tentang erti akhlak dan moral.

Syariat Islam dilihat mampu mengawal dan mendatangkan penyelesaian terbaik bukan sahaja untuk umat Islam, bahkan turut mendapat kebaikannya ialah bukan Islam.

Terdapat beberapa ciri umat Islam yang dipaparkan dalam kitab al-Quran. Antaranya ialah bagaimana Allah SWT telah menyifatkan umat Islam sebagai umat yang terbaik. (rujuk Ali Imran: 110)

Dalam ayat tersebut, kita dapat perhatikan bahawa gelaran ‘sebaik-baik umat’ (khaira ummah) disusuli dengan beberapa sifat ataupun ciri yang terdapat kepada umat tersebut. Sekiranya ciri-ciri tersebut tidak dipenuhi, maka sifat ‘khaira ummah’ tersebut tidak akan diperoleh oleh umat Islam.

Antara ciri-ciri itu ialah;

Pertama ialah Al-Amru bil Ma’ruf. Ia adalah satu tugas yang mulia kerana pernah digalas tugas yang sama oleh seluruh para Nabi dan para Rasul di setiap zaman dan generasi. Tuntasnya, ia bukanlah tugas yang remeh disebabkan Allah SWT mengutuskan utusan-Nya daripada kalangan insan-insan yang terpilih dalam memikul bebanan tugas ini.

Sebab itu, Allah SWT mengutuskan Nabi dan Rasul A.S bersilih-ganti bagi memastikan tugas Al-Amru bil Ma’ruf ini dapat dikemudi bersama dengan umatnya.

Nabi S.A.W bersabda: Kaum Bani Israel biasanya dipimpin oleh para Nabi. Setiap kali wafatnya seorang Nabi, akan diganti pula oleh seorang Nabi yang berikutnya… (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehinggalah apabila wafatnya Nabi Muhammad S.A.W, kerasulannya tidak diganti dengan Nabi yang lain. Maka tugas Al-Amru Bil Ma’ruf kemudiannya dipimpin para sahabat dan pendakwah yang ikhlas kepada Allah SWT.

Menyuruh perkara makruf bukan sekadar meliputi tugas berdakwah kepada manusia dengan cara lisan, perbuatan dan tulisan. Bahkan, ia juga melibatkan sebarang usaha untuk memartabatkan Syariat Allah SWT dalam segenap aspek kehidupan manusia. Ini termasuklah dalam bidang undang-undang, sosial, kebudayaan, ekonomi, politik dan sebagainya.

Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris dalam bukunya Amar Ma’ruf Nahi Mungkar menyatakan bahawa ma’ruf bermaksud setiap iktikad (keyakinan), perbuatan (amal), perkataan (qaul), atau isyarat yang terlah diperakui oleh asy-Syari’ (Allah) yang Maha Bijaksana dan diperintahkan sebagai bentuk kewajipan ataupun suatu dorongan.”

Kedua ialah Al-Nahyu ‘anil Mungkar. Ia bermaksud mencegah manusia daripada kemungkaran. Ciri atau tugas yang kedua ini sebenarnya lebih sukar daripada yang pertama.

Ramai manusia, kumpulan dan organisasi yang mampu untuk melaksanakan tugas yang pertama iaitu Al-Amru bil Ma’ruf. Namun, apabila memperkatakan tugas yang kedua, ramai yang menarik diri atau menggelengkan kepala kerana mengetahui akan bebanannya yang jauh lebih berat.

Al-Mungkar pula menurut Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris bermaksud setiap iktikad (keyakinan), perbuatan (amal), ucapan (qaul) yang diingkari oleh asy-Syari’ (Allah) yang Maha Bijaksana dan wajib dihindari).

Tugas inilah yang menjadikan para Nabi dan Rasul yang terdahulu terpaksa berhadapan dengan kesusahan dan pelbagai mehnah. Mereka dihalang untuk melakukan tugas yang kedua walaupun kadang-kadang musuh membenarkan melaksanakan yang pertama.

Namun begitu, Nabi Muhammad S.A.W memberikan kelonggaran untuk melaksanakan Al-Nahyu anil Mungkar ini mengikut kemampuan masing-masing.

Nabi S.A.W bersabda: Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya, maka sekiranya tidak mampu dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)

Hadis ini bukanlah bermaksud kita boleh memilih untuk berdiam diri sahaja dengan maksiat dan kemungkaran. Sebaliknya tugas mencegah kemungkaran ini mesti bermula dengan tangan (kuasa) dan lidah (ucapan dan nasihat) terlebih dahulu.

Sekiranya telah mencuba dan didapati tidak mampu untuk melaksanakannya, maka barulah kita boleh mencegahnya dengan hati, iaitu sekurang-kurangnya membenci kemungkaran berkenaan.

Ketiga iaitu khaira ummah yang bermakna beriman kepada Allah S.W.T. Yang dimaksudkan dengan iman ialah bukan sekadar tahu dan mengerti. Akan tetapi, ia mesti disusuli dengan keyakinan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah S.W.T.

Ia mesti bermula dengan membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lidah dan kemudiannya bertindak melakukannya dengan anggota.

Kesimpulannya, inilah ketiga-tiga ciri khaira ummah yang digambarkan oleh Allah S.W.T.

Maka, sekiranya kita ingin tergolong dalam golongan ini, tiada pilihan lain kecuali melengkapkan diri, kumpulan serta organisasi kita dengan peranan ini.

Insya-Allah, sekiranya semua umat Islam memainkan peranan masing-masing, mereka akan mendapat kejayaan dunia dan akhirat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Muhasabah, berdoa, tingkat ibadah pada hari Arafah

Posted by epondok di Oktober 24, 2012

Ibrahim Abdullah
Wukuf di Arafah adalah kemuncak ibadah haji. Ketika wukuf di Arafah jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT serta meraih keredaannya.

Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak lagi melakukan dosa, maka bayangan syurga akan dapat digapai.
Malaikat turun

Ada riwayat menyatakan, kehadiran malaikat dan Allah Taala turun ke langit serendah-rendahnya menyaksikan jemaah yang wukuf di Arafah.

Rasulullah SAW bersabda: “Mengerjakan haji adalah satu jihad. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam ibadah haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai haji mabrur. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke lembah kejahatan dan kemungkaran.”

Doa termakbul

Di Padang Arafah, doa kita. Kerana di situ Allah Taala turun ke langit serendahnya untuk bertemu dan menyaksikan hamba-hamba-Nya yang ingin berjumpa dengan-Nya, mendengar segala doa dan permohonan hamba-Nya, dan memakbulkan segala doa-doa mereka. Bahkan Allah memuji kepada hamba-Nya yang datang berwukuf di Arafah untuk menggapai rahmat dan keampunan-Nya.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penghuni langit dan berkata kepada mereka: Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku.” (Riwayat Imam Ahmad)

Hari wukuf

Amalan yang digalakkan kita yang tidak menunaikan ibadah haji lakukan pada hari wukuf ialah berdoalah kepada Allah segala yang dihajati bagi kehidupan.

Daripada Saidatina Aisyah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu hari di mana Allah Taala paling banyak membebaskan hamba-Nya dari neraka selain dari hari Arafah.” (Sahih Muslim)

Berpuasa pada hari Arafah, adalah digalakkan sebagai amalan terbaik dan dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia tidak kurang juga yang berpuasa pada hari Arafah untuk mendapat ganjarannya.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Qatadah, Rasulullah SAW bersabda: “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.”

Mohon keampunan

Bertaubat, meninggalkan maksiat dan dosa pada hari Arafah, mengharap keampunan dan rahmat-Nya. Kerana maksiat adalah punca seseorang terhalang daripada mendapat rahmat Allah.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak suka apabila seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya.” (Muttafa ‘Alaih)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pengiktirafan kepada peranan pondok dalam membina umat berjaya

Posted by epondok di Oktober 24, 2012

Pondok adalah institusi pengajian tertua di negara ini. Kedatangan Islam di Nusantara menyemarakkan penubuhan banyak pondok yang mengamalkan pengajaran dan pembelajaran pelbagai ilmu agama Islam.

Secara tradisionalnya, ia tempat belajar di mana tok mudir atau tok guru tinggal bersama pelajar dalam rumah kecil atau pondok di kawasan sama, biasanya berhampiran madrasah atau masjid. Dalam bahasa Arab, perkataan ‘funduq’ bererti rumah penginapan atau tumpangan pengembara.

Ada pengkaji berpendapat sistem pendidikan ini berasal dari Patani, ada pula yang kata ia dari Indonesia. Apa pun, sistem ini telah berkembang sejak ratusan tahun di negara ini, dipelopori oleh ulama dan tok guru yang gigih. Pertumbuhannya tidak dirancang, namun berkembang kerana sokongan dan sambutan masyarakat Melayu-Islam setempat.

Tetapi pada zaman British dan Jepun, banyak pondok ditutup. Di bawah penjajah, institusi pondok dianggap mundur terutama dengan kemunculan sekolah agama Arab dan Inggeris yang menawarkan pembelajaran moden. Selain persaingan sistem pendidikan moden, perubahan sosiobudaya masyarakat, kekurangan bantuan dana serta ketiadaan pelapis kepada pengasas atau tok mudir yang meninggal dunia  menyebabkan kemerosotannya dari segi bilangan pondok dan pelajar.

Namun selepas Merdeka, bilangan pondok dan pelajar bertambah, dan kini lebih 100 yang berdaftar dengan pihak jabatan agama negeri. Bagaimanapun, bilangan pondok yang tidak berdaftar juga banyak. Hanya di Perlis, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai pondok.

Kebanyakan pondok ditekan belajar hafalan dan luah kitab moden dan kitab kuning. Antaranya Matan Ujrumiyah, Ibn Aqil, Matlaul Badrain, Sairus Sadikin dan banyak lagi. Pelajar juga bergiat dalam nasyid dan diberi latihan kepimpinan.

Di kebanyakan pondok, pelajar diajar feqah, usul-al-fiqh, tauhid, tasauf, usuluddin, tafsir (al-Quran dan Hadis), akhlak, tajwid, sirah nahu bahasa Arab, kesusasteraan Arab dan tulisan jawi. Sistem pendidikan tidak formal ini dilakukan dalam bentuk halaqah, iaitu pelajar duduk dalam lingkungan separa bulat, mengelilingi tok guru mereka. Selain itu, kaedah pembelajaran ialah syarahan, perbincangan, perdebatan dan penceritaan. Pelajar juga didedahkan kepada marhaban, berzanji dan qasidah.

Sistem sanad yang diamalkan di pondok tidak mengehadkan umur atau jantina. Sesiapa saja boleh ikuti pelajaran dan menimba ilmu, asalkan berminat. Tempoh belajar dan tinggal di pondok mungkin dua tahun, atau lima tahun, ada sehingga 10 tahun. Biasanya tiada yuran dikenakan. Namun, soal akhlak dan disiplin sangat ditekankan.

Tok mudir dan tok guru selalu memantau, justeru hubungan rapat antara mereka dengan pelajar menerapkan tutorship by example. Maknanya pelajar belajar teori dan mempraktikkan amalan seharian tok mudir dan tok guru mereka.

Keupayaan institusi pondok melahirkan generasi celik al-Quran dan pelajar yang hebat, sehingga ada yang menyambung pelajaran ke Timur Tengah, atau berkhidmat sebagai guru agama atau pensyarah, imam, bilal, kadi atau penghulu. Ada yang membuka pondok sendiri. Malah, ada yang menjadi wakil rakyat, ahli parlimen, senator, menteri besar dan tidak kurang yang berkecimpung dalam perniagaan

Hari ini, institusi pengajian pondok sudah banyak berubah. Walaupun masih banyak pondok yang kekal dengan cara tradisi halaqah, sanad dan talaqqinya, sudah ada yang moden sehingga bertaraf universiti. Ada yang sudah bertukar status menjadi sekolah agama rakyat atau sekolah agama Arab. Yang jelas, sumbangan institusi pondok kepada pendidikan Islam di negara ini dan kelahiran modal insan berkualiti cukup besar dan perlu diberi pengiktirafan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Khutbah Aidil Adha 1433H

Posted by epondok di Oktober 23, 2012

Khutbah Aidil Adha1433H

خطبة عيد الأضحى 1433

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ibadah korban tanda taat, takwa

Posted by epondok di Oktober 23, 2012

Zabidi Hitam
Sembelihan terhadap binatang kena ikut kaedah syarak ditetapkan

Pada setiap 10 Zulhijjah, umat Islam akan menyambut kedatangan hari kebesaran Islam Aidiladha atau hari raya korban. Pada hari itu, umat Islam mengadakan solat sunat hari raya dan menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing untuk dikorbankan.
Penyembelihan korban dilakukan selepas selesai solat Aidiladha dan masih dapat dilakukan pada hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beramal seseorang anak Adam pada Aidiladha melainkan menyembelih binatang korban yang menjadi amalan disukai oleh Allah. Sesungguhnya pada hari kiamat nanti binatang korban itu akan datang bersama tanduknya, kukunya dan bulunya dan sesungguhnya darah yang tumpah di suatu tempat akan diterima oleh Allah sebelum tumpah di atas tanah, maka perelokanlah korban kamu.” (Riwayat al-Hakim, Ibn Majah dan al-Tarmizi)

Ibadah korban dibahagikan kepada dua iaitu korban khusus membabitkan penyembelihan binatang tertentu pada Aidiladha dan tiga hari selepasnya dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT, manakala korban umum ialah pengorbanan yang memberi manfaat serta kebaikan kepada orang lain.

Amalan nabi dan rasul

Korban disyariatkan oleh Allah SWT bukanlah amalan sia-sia melainkan mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Harta benda membabitkan wang ringgit dan binatang ternakan yang dikorbankan tetap dinilai oleh Allah dan diganti dengan ganjaran pahala.

Sesungguhnya, ibadat korban menjadi amalan sebahagian nabi dan rasul yang bermula pada zaman Nabi Allah Adam apabila kedua-dua puteranya Habil dan Qabil mempersembahkan korban masing-masing kepada Allah.
Kedua-duanya diperintah Nabi Allah Adam melakukan korban kepada Allah sebagai syarat memperisterikan saudara perempuan mereka bernama Iqlimiah yang juga saudara kembar Qabil yang cantik sedangkan saudara kembar Habil bernama Layuza tidaklah sejelita Iqlimiah.

Kedua-duanya akur dengan kehendak Nabi Allah Adam dan melakukan korban seperti yang diminta. Habil mengorbankan seekor kibas gemuk berbanding Qabil yang mempersembahkan hasil tanaman berupa gandum yang sedikit serta busuk.

Ternyata korban Habil diterima Allah SWT berikutan keikhlasan dan ketakwaannya sekali gus berhak mengahwini Iqlimiah manakala korban Qabil ditolak. Kisah pengorbanan dua bersaudara ini dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran.

Firman Allah SWT: “Ceritakanlah kepada mereka kisah yang berlaku sebenarnya terhadap kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil), iaitu ketika kedua-duanya mempersembahkan korban masing-masing. Lalu Allah menerima korban salah seorang daripadanya mereka berdua (Habil) dan tidak diterima yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)

Pengorbanan yang agung dan besar berlaku kepada Nabi Allah Ibrahim yang diperintah Allah menyembelih anak kesayangannya Nabi Allah Ismail. Ketaatan dan ketakwaan kepada Allah mendorong Nabi Ibrahim melaksanakan korban walaupun terpaksa menyembelih anak kesayangan.

Pengorbanan Nabi Ibrahim

Pengorbanan itu membuktikan Nabi Allah Ibrahim berjaya diuji Allah SWT yang diwahyukan melalui mimpi dan Nabi Allah Ismail diganti dengan seekor kibas gemuk yang disifatkan Allah sebagai sembelihan agung.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beramal seseorang anak Adam pada Aidiladha melainkan menyembelih binatang korban yang menjadi amalan disukai oleh Allah. Sesungguhnya pada hari kiamat nanti binatang korban itu akan datang bersama tanduknya, kukunya dan bulunya dan sesungguhnya darah yang tumpah di suatu tempat akan diterima oleh Allah sebelum tumpah di atas tanah, maka perelokanlah korban kamu.” (Riwayat al-Hakim, Ibn Majah dan al-Tarmizi)

Tanda kesyukuran

Melakukan sembilan korban adalah tanda kesyukuran kepada Allah terhadap segala nikmat yang dikurniakan selain berperanan mengkifaratkan dosa serta menunjukkan simpati dan belas kasihan kepada golongan fakir miskin sekali gus mengeratkan silaturahim sesama manusia.

Penulis yang berpeluang menyertai kursus penyembelihan dan berpengalaman menyembelih korban di sekitar Gombak sejak 1997 meminta penyembelih sama ada ketika ibadah korban atau penyembelihan industri melakukannya berdasarkan hukum syarak.

Haiwan yang disembelih tidak mengikut kaedah syarak adalah bangkai dan najis. Oleh itu, syarat ditetapkan seperti putus urat yang wajib iaitu urat halkum (salur pernafasan) dan marih (saluran pemakanan) perlu diperhatikan dengan betul.

Haiwan sembelihan yang diproses hendaklah mematuhi kehendak kebersihan dan piawaian pengendalian. Justeru, penting bagi individu Muslim dan syarikat pengurusan penyembelihan mematuhi kehendak ditetapkan Islam.

Bekas Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM), Allahyarham Prof Dr Yaakob Che Man, pernah menyatakan penyembelihan bukan sekadar memutuskan urat leher haiwan supaya daging haiwan halal dimakan tetapi merangkumi konsep pengurusan penyembelihan lebih luas dan menyeluruh membabitkan seluruh rantaian makanan bermula dari ladang hingga kepada pengguna

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »