Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Ogos 2012

Kelebihan solat 5 waktu terutama Subuh

Posted by epondok di Ogos 31, 2012

Daripada Jundub bin Abdullah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bersolat Subuh (pada waktunya secara berjemaah) maka dia berada dalam jaminan (keamanan dan perjanjian Allah dengan itu janganlah sampai Allah menuntut sesuatu kepada kamu daripada jaminan – perjanjian). (Jangan sampai kamu meninggalkan solat Subuh) kerana sesungguhnya sesiapa yang dituntut oleh Allah daripada suatu jaminannya (perjanjiannya) tentu akan tercapai (berlaku), kemudian Allah menyembahkan mukanya ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)

 

Orang Islam digalakkan solat lima waktu berjemaah kerana terdapat banyak fadilatnya. Orang yang menunaikan solat lima waktu khususnya solat Subuh maka dia tetap berada dalam jaminan (tanggungjawab) Allah sepanjang hari.

Sesiapa yang menganiayai atau menghalang seseorang daripada beribadah, nescaya dia akan diazab oleh Allah SWT. Meninggalkan solat Subuh maka terbatallah jaminan yang diberikan Allah kepada hamba berkenaan.

 

Sesiapa yang menganiayai atau menghalang seseorang daripada beribadah, nescaya dia akan diazab oleh Allah SWT. Meninggalkan solat Subuh maka terbatallah jaminan yang diberikan Allah kepada hamba berkenaan.

 

Dikhususkan (ditentukan) solat Subuh dengan kelebihan ini kerana solat Subuh lebih berat daripada solat lain disebabkan Subuh waktu sedang nyenyak tidur, pada musim sejuk pula sukar untuk berwuduk.

 

Rasulullah SAW bersabda: “Segerakanlah solat Subuh sebelum matahari terbit. Sebab ketika itulah para pengikut syaitan sedang keluar dari sarangnya. Ketika itu pula orang kafir tengah bersujud kepada matahari.” (Riwayat Muslim)

 

Kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengerjakan solat di awal waktu kerana di akhirat kelak, perkara pertama sekali disoal oleh Allah SWT adalah solat. Jika sempurna solat seseorang itu maka sempurnalah amalannya yang lain.

 

Seorang Muslim yang taat tidak akan melewat-lewatkan solatnya. Contohnya bersolat Zuhur apabila sudah hampir sampai waktu Asar, solat Maghrib menghampiri waktu Isyak, solat Subuh ketika matahari sudah terbit (subuh gajah).

Berusaha memperbaiki solat menjadi lebih sempurna bukan saja memastikan solat di awal waktu tetapi dilaksanakan secara berjemaah di masjid atau surau dengan menjaga kekhusyukan, bacaan, rukun dan kesempurnaan wuduk.

 

Rasulullah SAW bersabda: “Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Seandainya mereka tahu apa makna di dalamnya, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Muttafaqun Alaih)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sabar kecantikan rohani

Posted by epondok di Ogos 31, 2012

Oleh Nur Inani Ismail

 

Nikmat ketenangan hidup jika berjaya kawal nafsu amarah

 

Boleh dikatakan setiap manusia berkeinginan supaya kelihatan cantik dan tampan. Kebiasaannya untuk mencantikkan diri, mereka menggunakan alat kecantikan. Cukupkah kecantikan dan ketampanan luaran (jasmani) saja tanpa dihiasi kecantikan dalaman (rohani)?

Aspek penampilan luaran tidak memadai jika tidak dihiasi kecantikan dalaman. Malah, Allah SWT tidak mengambil kira aspek penampilan luaran dalam menilai sama ada seseorang itu baik atau sebaliknya.

 

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras (penampilan) dan harta benda kamu, tetapi (Dia) melihat kepada hati dan amalan kamu”

 

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras (penampilan) dan harta benda kamu, tetapi (Dia) melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim dan Ibn Majah)

 

Jelas di sini seseorang manusia itu lebih kelihatan cantik dan tampan jika penampilannya dihiasi kecantikan dalaman (akhlak). Terdapat pelbagai jenis kecantikan dalaman dan salah satu daripadanya adalah menghiasi diri dengan sifat bersabar.

 

Sabar adalah suatu mujahadah mendidik nafsu yang berada dalam diri seseorang. Apabila nafsu berjaya dididik dan sifat sabar berkembang dalam diri, maka dia akan mendapat nikmat ketenangan daripada Allah SWT. Apabila diri tenang, setiap perkara dilakukan kelihatan cantik dan tersusun.

 

Kesabaran diterima Allah SWT adalah sabar setelah mendapat sesuatu ujian. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Sesiapa yang reda di atas kematian tiga orang anaknya, baginya satu benteng yang kukuh daripada api neraka. Bertanya Abu Zar: Ya Rasulullah, aku telah reda di atas kematian dua orang anakku. Jawab Nabi SAW: Ya, walaupun dua orang. Selepas itu, bertanya pula seorang sahabat bernama Ubai bin Ka’ab: Ya Rasulullah, aku telah reda di atas kematian seorang anakku. Jawab Rasulullah SAW: Ya, walaupun seorang, tetapi dengan syarat ganjaran itu akan diperoleh mereka yang sabar ketika mula-mula ditimpa musibah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Selain itu, kisah sabar ini boleh dilihat daripada kisah Ummu Salamah yang diuji dengan kematian anaknya. Dia reda dan hanya mengharapkan ganjaran Allah SWT semata-mata dengan pemergian anaknya itu.

 

Kesabaran itu juga membolehkan Ummu Salamah tenang menyiapkan segala persiapan untuk persemadian anaknya. Dimandikan, dikafankan dan ditempatkan di pembaringan. Setelah suaminya pulang dan bertanya mengenai anaknya, dia hanya menjawab dengan tenang anaknya baik-baik saja dan melayan suaminya dengan baik.

 

Setelah itu, dengan penuh hikmah dia menceritakan kisah sebenar tentang kematian anaknya itu. Hasil daripada kesabaran yang ditanggung oleh Ummu Salamah dan suaminya itu, mereka dikurniakan anak-anak yang ramai. Semuanya menjadi orang yang alim.

 

Seseorang yang tidak sabar, sikap itu akan mudah terserlah terutama ketika menghadapi saat-saat sukar. Misalnya, ketika berada dalam kesesakan jalan raya, seseorang itu sering marah dan mencaci pemandu lain.

 

Tidak kurang juga yang mudah melenting apabila dirinya ditegur. Dia akan memarahi kembali orang yang menegurnya itu.

 

Seseorang itu akan kelihatan lebih cantik dan tampan jika sifat sabar ini tumbuh subur dalam diri. Ia bukan saja menyerlahkan kecantikan dan ketampanan, malah mendapat rahmat serta kasih sayang daripada Allah SWT. Oleh itu, bersabarlah apabila diri dikhianati, disakiti dan dimarahi

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Hubungan baik menantu, mentua perkukuh rumah tangga

Posted by epondok di Ogos 30, 2012

Mohd Rizal Azman Rifin
Kehidupan sejahtera yang dilimpahi berkat dan kebahagiaan sentiasa diimpikan setiap pasangan suami isteri. Banyak usaha yang digembleng dan diambil demi memperkukuh hubungan baik dalam kehidupan berumahtangga.

Dalam membina alam rumah tangga yang bahagia, bukan saja aspek hubungan suami isteri dan anak-anak perlu dititikberatkan, malah hubungan dengan mentua juga perlu dijaga.
Sebagai menantu, seseorang itu dikehendaki menghormati dan menyayangi mentuanya seperti mana dia mencintai orang tuanya sendiri.

Amru bin al-Asy sempat bertanya Baginda. Tanya Amru: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang tuan cintai?” Lalu Baginda menjawab: “Aisyah”. Amru bertanya lagi: “Sekiranya dalam kalangan lelaki?” Baginda pun berkata, “Ayahnya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hakikat ini jelas ditunjukkan Rasulullah SAW sendiri kepada kita bagaimana membina satu hubungan erat antara menantu dengan mentua. Misalnya kita mengambil contoh dalam kehidupan Baginda.

Diriwayatkan bahawa ketika Baginda berangkat memimpin pasukan tentera ke Dzatul Salasil, sahabat Baginda, Amru bin al-Asy sempat bertanya Baginda. Tanya Amru: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang tuan cintai?” Lalu Baginda menjawab: “Aisyah”. Amru bertanya lagi: “Sekiranya dalam kalangan lelaki?” Baginda pun berkata, “Ayahnya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apakah yang dapat kita fahami dengan petikan dialog antara Rasulullah SAW dan Amru itu tadi? Di sini jelas memberikan pengajaran kepada kita bahawa Rasulullah SAW bukan saja menyintai isterinya Aisyah tetapi juga ayahnya, Saidina Abu Bakar sebagai mentua Baginda.

Amal sifat hormat-menghormati
Demikian peribadi Rasulullah SAW terhadap mentua Baginda yang saling hormat-menghormati sehingga membuahkan kehidupan rumah tangga yang ceria dan bahagia.

Demikian juga pihak mentua, sikap membezakan antara menantu atas dasar kedudukan dan harta benda tidak sewajarnya diamalkan kerana situasi itu boleh memporak-perandakan alam rumah tangga anak.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada menunjukkan cara melayan semua menantu dengan sikap yang adil dan menerima seadanya kedudukan seseorang menantu kita.

Adil dan menerima seadanya

Baginda mempunyai tiga menantu yang keadaan hidup mereka berbeza-beza. Abu ‘Ash bin Rabi’, suami Zainab adalah peniaga yang jujur dan beramanah. Dikatakan menantu Baginda ini adalah seorang usahawan yang terkenal dengan kemahiran menguruskan modal orang lain sehingga masyarakat yakin dan sangat percaya kepadanya.

Uthman bin Affan pula suami kepada Ruqayyah dan Ummu Kalthum selepas kakaknya itu meninggal dunia, terkenal sebagai usahawan yang kaya-raya.

Saidina Ali bin Abi Talib iaitu suami kepada Fatimah pula seorang yang miskin kedudukannya, tetapi hebat dalam ilmu pengetahuan. Di sini kita dapat lihat bagaimana kedudukan ketiga-tiga menantu Rasulullah SAW itu dari segi status sosialnya.

Pun demikian, Rasulullah SAW sebagai mentua tidak sekali-kali membezakan layanan terhadap anak menantu, kerana Baginda mengikat mereka dengan ketebalan roh Islam.

Baginda tidak pernah menyuruh mereka itu bersaing dalam aspek keduniaan dengan mengejar kekayaan, sebaliknya Baginda mengajak anak menantunya berlumba-lumba mencari keredaan Allah dengan memperbanyakkan amal dan jihad.

Prihatin nasib anak, menantu

Malah, sikap Baginda sebagai mentua begitu prihatin terhadap nasib dan keadaan semasa yang dihadapi oleh anak menantunya. Contohnya, ketika pasukan tentera Islam ingin berangkat ke perang Badar, menantu Baginda, Uthman bin Affan tidak diajak pergi bersama pasukan kerana Baginda ingin beliau berada di samping isterinya, Ruqayyah yang sakit.

Kata Baginda kepada menantunya: “Tunggu saja isterimu. Kamu tetap mendapat pahala orang syahid yang menghunus tombak di medan perang.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Kisah berkenaan boleh menjadi contoh teladan dalam membina hubungan baik menantu dan mentua yang harmoni.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Syawal hidupkan amalan ziarah

Posted by epondok di Ogos 30, 2012

Hibur Rahman

 

Amalan erat silaturahim patut diteruskan tanpa mengira musim

 

Alhamdulillah, kita semua baru saja merayakan Aidilfitri dalam suasana meriah dan menggembirakan, mudah-mudahan segala amal ibadah di sepanjang Ramadan lalu diterima Allah SWT dan kita mengharapkan untuk berterusan dalam ketaatan serta keredaan Allah SWT.

Hari ini genap sepuluh hari kita berada dalam bulan Syawal yang mana masih lagi terasa kehangatan suasana hari raya dengan amalan ziarah menziarahi antara satu sama lain. Oleh itu, rugi jika kita tidak mengamalkan budaya menziarahi yang dekat mahupun jauh.

 

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah, bertakwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

 

Amalan ziarah amat dituntut dalam Islam dan seseorang Muslim itu tidak sempurna imannya jika ia tidak menghubungkan silaturahim. Amalan ziarah memberi manfaat yang amat besar dan faedah berguna dalam konteks perpaduan ummah.

 

Namun, yang mengecewakan serta amat mendukacitakan, masih ada yang mengabaikan amalan ziarah terutama menziarahi saudara terdekat, sahabat handai, jiran tetangga, di luar musim perayaan atau sambutan tertentu.

 

Ini disebabkan fahaman dan amalan ziarah hanya bersifat bermusim atau menjadi tradisi diamalkan sempena sambutan perayaan seperti Hari Raya Puasa yang sedang kita raikan ataupun Hari Raya Haji semata-mata.

 

Akibatnya amalan ziarah semakin hari semakin terhakis dan diabaikan masyarakat dengan alasan kesibukan tugas harian.

Islam telah menggariskan pelbagai panduan untuk menghubungkan silaturahim sesama manusia, lebih-lebih lagi saudara seagama, supaya umat Islam menjadi umat kuat, berjaya, tidak hidup bersendirian atau dengan istilah “aku aku”, “engkau engkau”.

 

Pengertian silaturahim dalam Islam amat luas serta mendalam. Contohnya, apabila seseorang telah mengucap dua kalimah syahadah, maka terjalinlah ikatan persaudaraan Islam atau silaturahim, tidak kira di mana mereka berada. Semua orang Islam adalah bersaudara dalam akidah yang satu.

 

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah, bertakwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

 

Bagi sesetengah manusia yang hidup mereka tidak mematuhi syariat Islam, umpamanya suka mencari kesalahan orang lain, mencaci, membuat fitnah, mencerca, bersifat hasad dengki, khianat, dan melakukan kezaliman, mereka adalah golongan yang memutuskan silaturahim.

 

Hampir kesemua ibadah dalam Islam dituntut dilakukan dalam bentuk berkumpulan atau berjemaah. Ia tidak lain bagi memberi galakan umat Islam bertegur sapa atau bertukar-tukar pandangan. Begitu juga ibadah haji yang mengajak menghubungkan silaturahim saudara Islam di seluruh pelosok dunia.

 

Ibadah zakat menghubungkan nilai persaudaraan dalam kalangan umat Islam dengan sifat tolong-menolong, bantu membantu, akhirnya lahirlah nilai kasih sayang antara yang kaya dengan yang miskin.

 

Justeru, marilah bersama menghidupkan amalan ziarah menziarahi, mempereratkan hubungan silaturahim dan kasih sayang sebagai umat Islam di dunia bahkan sampai ke akhirat, mudah-mudahan Allah memberkati hidup kita.

 

Firman Allah SWT: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepada-Nya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sempit-sesempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

5 Perkara bawa wanita ke Syurga

Posted by epondok di Ogos 29, 2012

Laksana kewajipan agama

Perkara yang membawa seseorang wanita kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Antaranya, hendaklah melaksanakan kewajipan agama.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bazaar, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Jika seseorang wanita solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.

Kedua, hendaklah mentaati suami. Hal ini disebut dalam banyak hadis, antaranya hadis riwayat at-Tabarani, daripada Abdullah bin Salam bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkanmu jika kamu melihatnya, mentaatimu jika kau menyuruhnya dan dapat menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tidak bersamanya.

Ketiga, selalu mengingati Allah. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Hendaklah kamu (para wanita) memperbanyak membaca tasbih, tahlil, taqdis dan hitunglah dengan ruas jari-jari kerana sesungguhnya mereka akan ditanya dan akan dijadikannya boleh berbicara. Janganlah kamu lalai sehingga melupakan rahmat Allah.

Keempat, solat malam. Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a dan Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang bangun tengah malam, kemudian membangunkan isterinya, lalu mereka melakukan solat berjemaah dua rakaat, maka mereka akan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang banyak mengingati Allah.

Kelima, berbuat baik dan banyak bersedekah. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Wahai semua wanita, bersedekahlah walaupun dari perhiasan kamu sekalian. Sesungguhnya kamu kelak paling banyak menjadi penghuni neraka. Demikianlah, wallahualam

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Teruskan ibadah selepas Ramadan

Posted by epondok di Ogos 29, 2012

Oleh Zawawi Yusoh

SELAMAT tinggal Ramadan dan selamat datang Syawal. Bergembiralah wahai orang-orang yang tabah menghadapi ujian sepanjang Ramadan ini.

Semoga kita sama-sama beroleh kerahmatan daripada-Nya. Beberapa hari lagi akan tiba hari kejayaan kita semua. Hari bersuka suka, hari ziarah menziarahi, hari memohon keampunan, menginsafi diri dan untuk berkumpul bersama.

Semoga silaturahim yang dijalinkan dengan kasih sayang itu kekal kukuh kerana Allah. Dalam kegembiraan menanti Syawal, sedikit hiba di hati, kerana tatkala Syawal memunculkan dirinya Ramadan melambai pergi.

Sudah cukupkah kita menghargai Ramadan kali ini? Sudah banyakkah amalan yang kita lakukan? Mungkinkah kita bertemu lagi de ngan bulan yang mulia ini pada tahun mendatang? Wallahualam, sesungguhnya Allah lebih mengetahui segala-galanya.

Dalam Islam, amalan dan hidup kita ditentukan bagaimana kita mengakhirinya.

Kita mengenal istilah khusnul khatimah dan juga su’ul khatimah.

Rasulullah pernah menegaskan, bahawa setiap amal itu sangat tergantung bagaimana kita mengakhirinya. Orang Mukmin bergembira dengan selesainya Ramadan kerana memanfaatkan bulan itu untuk ibadah, taat, mengharap pahala dan keutamaannya.

Manakala orang munafik bergembira apabila selesai bulan Ramadan kerana kembali untuk melakukan maksiat serta mengikuti dorongan syahwat.

Jadi, orang Mukmin akan meneruskan ibadah selepas Ramadan dengan beristighfar, bertakbir dan beribadah. Namun, orang munafik melanjutkan dengan maksiat, huru-hara, pesta muzik dan nyanyian.

Selepas berpuasa sebulan, kini ditutupi dengan solat hari raya Aidilfitri dan bayar zakat fitrah. Sebagaimana Allah mensyariatkan solat Adiladha sebagai tanda syukur kepada-Nya selepas melaksanakan kewajipan haji.

Diriwayatkan secara sahih, daripada Nabi SAW, bahawa baginda ketika datang di Madinah, penduduknya mempunyai dua hari mereka bermain-main pada hari itu, beliau bersabda: “Sungguh Allah menggantikan untuk kamu dua hari itu dengan yang lebih baik dari keduanya, (iaitu) hari (raya) Qurban dan hari (raya) Aidilfitri.”

Tidak boleh menambah dua hari raya ini dengan mengadakan hari raya baru yang lain. Hari raya dalam Islam itu disebut ‘ied, ertinya ‘kembali’.

Ia kembali dan berulang-ulang setiap tahun dengan membawa kegembiraan dan kesenangan. Bukan saja lelaki, bahkan Nabi SAW juga memerintahkan Muslimah supaya keluar untuk solat hari raya.

Kaum wanita disunatkan hadir tanpa pakai wangian, tidak berhias untuk menarik perhatian, dan tidak bercampur-aduk dengan lelaki. Apabila keluar menunaikan solat, ia perlu menampakkan syiar Islam dan diusahakan dengan khusyuk, ghaddhul bashar (menjaga pandangan daripada yang haram), menjaga lisan daripada bercakap bohong dan kosong.

Jangan dengar percakapan yang mengarut, nyanyian dan muzik melalaikan. Nabi mensyariatkan umatnya menyambung puasa Ramadan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal.

Sabda Nabi: “Barang siapa berpuasa Ramadan dan diikuti dengan (puasa sunnah) enam hari di bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim).

Pahala kebaikan dikira satu akan dibalas 10 kali ganda. Maka sebulan Ramadan akan dibalas dengan 10 bulan. Manakala, enam hari di kali dengan 10 di bulan Syawal akan dibalas dua bulan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Mencapai ketenangan dengan qana’ah

Posted by epondok di Ogos 28, 2012

Wan Aminurrahid

Keimanan berperanan kawal jiwa daripada menurut hawa nafsu

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bukanlah yang dinamakan kaya itu lantaran banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenarnya adalah kaya jiwa.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Apa yang disabdakan Nabi SAW itu memang benar. Kekayaan atau limpahan harta tidak semestinya dapat membeli kebahagiaan atau ketenangan jiwa.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, namun jika kamu mengingkari nikmat-Ku, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim : 7).

Buktinya ramai manusia yang berharta, menghuni di kediaman mewah dan tersergam indah, namun mereka tidak menemukan rasa bahagia. Sebaliknya, ramai yang tidak berharta, kehidupannya serba sederhana dan kurang tetapi jiwanya tenteram.

Kekayaan tak jamin kebahagiaan

Ternyata kebahagiaan sejati tidak terletak pada harta. Firman Allah bermaksud: “…ingatlah hanya dengan zikrullah (mengingati Allah), hati menjadi tenteram” (Surah ar-Ra’ad: 28).

Qana’ah, reda dan syukur adalah tiga gandingan sifat terpuji yang saling berhubungan. Individu Muslim perlu memilikinya kerana ia adalah kunci ketenangan jiwa yang menjadi unsur utama menggapai kebahagiaan hidup.
Menurut bahasa, qana’ah bererti berasa cukup. Dari segi istilah pula bermakna berasa cukup atau puas dengan apa yang dimiliki. Jelasnya, qana’ah bermaksud mencukupi dan reda atas segala rezeki dan kurniaan Allah SWT.

Allah SWT memandang mulia orang yang reda dengan kecukupan yang dikurniakan-Nya.

Walaupun ia memiliki sedikit harta, tidak menyebabkannya hidup mengemis. Kaya dan miskin adalah pemberian dan ketentuan Allah sekali gus sebagai ujian.
Mukmin sebenar apabila dikurniakan kekayaan dia bersyukur, jika ditakdirkan hidup miskin pula dia bersabar di samping berusaha memperbaiki taraf kehidupannya.

Kekayaan terkadang mengheret manusia menolak kebenaran seperti kemiskinan boleh menjerumuskan manusia ke dalam kehinaan.

Qana’ah beri ketenteraman jiwa

Allah SWT sebagai Pencipta alam semesta dan Pengurnia nikmat kepada seluruh makhluk ciptaan-Nya, tentulah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Mukmin yang bersifat qana’ah akan berasa tenteram kerana ia dapat mendidik jiwanya menerima segala pemberian dan ketentuan Allah di samping ia terus meningkatkan ketaatan dan keakraban hubungannya dengan Allah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sungguh beruntunglah orang yang telah memeluk Islam dan rezekinya memadai serta Allah memberi kepuasan kepadanya terhadap apa yang dikurniakan itu.” (Hadis riwayat Muslim).

Namun, makna qana’ah jangan pula disalah fahami. Bukanlah qana’ah itu berasa senang dengan segala kekurangan dan kehidupan yang susah, hilang semangat atau kemahuan untuk mencipta kejayaan dan membina masa depan, tiada keinginan untuk meraih kemajuan baik moral mahupun material atau kelesuan untuk membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan dan kelaparan.

Dengan kata lain, orang yang bersifat qana’ah bukan bererti menerima nasib begitu saja tanpa ikhtiar.

Ia boleh saja memiliki harta yang banyak, namun bukan bertujuan menimbun atau menunjuk kekayaan.

Reda pemberian Allah

Mukmin sebenar akan reda dengan apa jua pemberian Allah dan berasakan bahawa pilihan Allah untuknya lebih baik daripada pilihannya sendiri, kerana Allah saja yang mengetahui semua kebaikan dan kepentingan hamba-Nya di dunia dan akhirat.

Segala nikmat kurniaan Allah hendaklah diterima dengan penuh rasa syukur, baik syukur secara lisan mahupun perbuatan. Nikmat Allah tidak terhitung banyaknya.
Orang yang bersyukur bererti ia mengenang pemberian Allah yang tidak pernah putus-putus. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, namun jika kamu mengingkari nikmat-Ku, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim : 7).

Syaqiq bin Ibrahim berkata: “Saya telah menanyakan kepada 700 orang alim mengenai lima masalah. Semua mereka memberi jawapan yang sama.

“Satu, siapakah orang yang sempurna akal? Mereka menjawab: Orang yang tidak menyintai dunia (mengambil dunia sekadar yang diperlukan). Dua, siapakah orang yang cerdik? Mereka menjawab: Orang yang tidak tertipu oleh dunia. Ketiga, siapakah orang yang kaya? Mereka menjawab: Orang yang reda menerima bahagiannya daripada Allah. Keempat, siapakah orang yang mengerti agama? Mereka menjawab: Orang yang tidak meminta berlebih-lebihan dan kelima, siapakah orang yang bakhil? Mereka menjawab: Orang yang tidak mengeluarkan hak Allah dalam hartanya.”

Iman mampu kawal hawa nafsu

Keimanan sebenarnya yang berperanan besar dalam mengawal atau membatasi jiwa manusia daripada menuruti hawa nafsu seperti bersifat rakus atau tamak haloba yang tiada berkesudahan, tidak cukup dengan yang sedikit dan tidak puas dengan yang banyak.

Hanya kepada Allah SWT sepatutnya manusia mengadu dan memohon pertolongan, kerana hanya Allah yang dapat memenuhi segala hajatnya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Saling memaafkan amalan mulia

Posted by epondok di Ogos 28, 2012

Oleh Zawawi Yusoh

HARI raya patut menjadikan kita gembira kerana selama sebulan kita menjalani ujian untuk menjadikan diri kita insan bertakwa kepada Allah SWT.

Kini, tiba giliran Aidilfitri di mana kita pulang dalam keadaan fitrah iaitu bersih hati hasil didikan tarbiah Ramadan.

Ia membersihkan diri kita daripada sifat bakhil, individualistik kemudian menanamkan sifat pemurah, kasih sayang serta tolong menolong.

Amalan sunat yang dikerjakan di seperti solat tarawih, solat tahajud, membaca al-Quran, bersedekah dan berzakat adalah pembersih hati daripada sifat keji (mazmumah).

Sambutan hari raya tidak hanya dapat memakai baju baru, rumah baru, sofa baru, tetapi lebih penting menyambut raya dengan jiwa baru.

Tidak bermakna jika perangai masih tidak berubah, ego, malas, dan sering melanggar disiplin.

Sebab itu, ibadah puasa pada bulan Ramadan perlu berteraskan akidah, begitu juga dengan Aidilfitri. Perbuatan bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram mesti dielakkan.

Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain memang dituntut dalam Islam sehingga ia dijanjikan sebagai ganjaran yang begitu besar sekali. Malang sekali apabila perbuatan memohon dan memberi hanya menjadi budaya dan bukannya dihayati semangatnya.

Dalam surah Ali-Imran, ayat 134-136, maksudnya: “Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Dan, orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui.

Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”

Apakah makna memaafkan?

1. Melupakan hasrat membenci mereka.
2. Membatalkan niat membalas dendam.
3. Membatalkan hasrat menghukum mereka.
4. Membatalkan untuk menyimpan perasaan dendam.

Bagaimanakah cara sebenar memohon dan memberi maaf?

Bagi pemohon maaf, ungkapan memohon maaf itu hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas, rendah hati dan penuh kekesalan serta berazam tidak mengulanginya lagi.

Pemberi maaf pula, kemaafan yang diberi perlulah diberi dengan tulus ikhlas, penuh sedar bagi melupakan kesalahan dan tidak lagi mengungkit-ungkit.

Ada yang mengatakan ketika memohon maaf, kita perlu menyenaraikan segala kesalahan yang kita lakukan supaya pihak satu lagi maklum mengenainya.

Namun, dalam semangat Aidilfitri ini, apabila meraikan kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan, mengapa kita tidak terbuka hati untuk memaafkan silap dan salah seseorang?

Sudah tentu kita juga ada melakukan kesilapan. Ingatlah perintah Allah dalam surah al-A’raaf, ayat 199 yang menuntut kita memilih untuk memaafkan.

Memohon maaf dan memberi maaf bukanlah sukar untuk dilaksanakan dalam bulan Syawal ini selepas kita melengkapkan ibadat puasa selama sebulan.

Apabila saling bermaafan, tiada lagi rasa benci dan dendam di hati.

Yang lahir dari hati ialah perasaan kasih sayang serta persefahaman sekiranya dijana dengan baik, dapat menghasilkan permuafakatan yang menguntungkan ummah

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Program Halaqah Ilmu 2012 (sempena cuti sekolah/IPT) – Telah Tutup Pendaftaran

Posted by epondok di Ogos 27, 2012

Istimewa Cuti Sekolah/IPT

Tarikh : 24 November  – 8 Disember 2012

Tarikh tutup pendaftaran bila peserta telah mencukupi had iaitu 80 orang.

Tempah dan sahkan pendaftaran melalui telefon/ sms

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki berumur 11 – 24 tahun (terhad 80 orang sahaja)
  • RM 245 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

 

Tarikh & Masa Daftar Diri

24 November 2012 (Sabtu) jam 2.30  – 3.15 petang

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Kitab Pelita Penuntut
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
  • Latihan khutbah dan azan
  • Cungkil bakat nasyid, ceramah, marhaban

Pelajar yang lemah jawi dan al-Quran

  • Diletakkan dalam kelas khusus
  • Tekan Fardhu ‘Ain berdasarkan kertas kerja khusus
  • Tekan pembelajaran Iqra’
Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian  & pakaian solat (diwajibkan bawa jubah dan serban), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Sila hubungi :

Tel :09-7657786 (P) Fax:09-7659099

019- 9388902(Ust. Shairazi ) / 013-2756400 (Hafiz)

e-mail : bakriah1954@gmail.com

Blog : albakriah.wordpress.com

Web : www.al-bakriah.com.my

Posted in Program Terbaru | 1 Comment »

Aidilfitri untuk bermaafan, erat hubungan

Posted by epondok di Ogos 27, 2012

Oleh Mohd Fadly Samsudin

ZIARAH...Islam menggalakkan berziarah bagi memberi peluang bertanya khabar serta mengeratkan ikatan persaudaraan. gambar hiasan
ZIARAH…Islam menggalakkan berziarah bagi memberi peluang bertanya khabar serta mengeratkan ikatan persaudaraan. gambar hiasan
SEMPENA Aidilfitri ini, amalan ziarah perlu dijadikan ‘jadual’ wajib supaya ahli keluarga dapat berkumpul bagi mengenali saudara-mara mereka.

Generasi muda banyak berubah kerana di musim perayaan ini, mereka lebih suka duduk di rumah sambil ‘menghadap’ televisyen.

Bukan saja televisyen menjadi penghalang untuk berziarah, ‘ketagihan’ terhadap laman sosial facebook juga menyebabkan mereka leka sehingga ada tetamu yang datang berziarah ke rumah tidak diendahkan.

Apabila tiada semangat dan penghayatan berziarah, lambat laun hubungan persaudaraan antara saudara mara atau jiran tetangga pasti renggang.

Tidak pelik jika ada di kalangan masyarakat kita yang tidak mengenali saudara sepupu padahal zaman dulu, hubungan itu cukup rapat.

Begitu juga di kawasan kejiranan di bandar, ada yang tidak pernah bertegur sapa padahal sudah bertahun berjiran.

Sikap seumpama itu perlu dihindarkan kerana ia menggambarkan sikap pentingkan diri sendiri dan sombong.

Sabda Rasulullah diriwayatkan Imam Bukhari: Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia menghormati tetamunya dan barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia menyambung silaturahim.

Aidilfitri yang disambut seluruh umat Islam perlu dinikmati bersama, dihiasi dengan ziarah menziarahi dan bermaafan.

Hidup berpecah belah akan melemahkan umat Islam. Sebuah hadis daripada Abu Hurairah katanya: Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah dia menyakiti jirannya, dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis riwayat Bukhari).

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, Aidilfitri patut digunakan bagi menziarahi saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

“Amalan kunjung mengunjung dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama Islam dan membuka pintu rahmat dan keberkatan dalam hidup setiap Muslim.

“Itulah suasana kegembiraan yang dapat dirasai setiap Muslim yang menunaikan perintah Allah sepanjang Ramadan,” katanya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Beliau berkata, akhir-akhir ini ramai di kalangan anak muda lebih gemar menghabiskan masa di rumah pada hari raya.

“Di tambah pula dengan pelbagai rancangan menarik di televisyen, golongan ini beranggapan amalan berziarah adalah amalan lama.

“Ada yang mengambil peluang cuti hari raya untuk makan angin bersama rakan dan menganjurkan aktiviti hiburan yang tidak berfaedah dan melalaikan,” katanya.

Katanya, fenomena itu perlu dibanteras kerana remaja perlu faham kehidupan dunia ini tidak boleh dipisahkan dengan perancangan akhirat.

“Keseronokan melampau menyebabkan mereka tergolong di kalangan yang rugi di akhirat kelak.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 185).

“Hubungan atas dasar ukhuwah Islamiah ini mencerminkan betapa indahnya Islam mengatur hubungan sesama manusia (hablum minnas),” katanya.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal (ta’aruf).” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Menurutnya, dalam konteks di Malaysia, penganjuran rumah terbuka bagi golongan yang berkemampuan dapat menghidupkan suasana ziarah.

“Amalan mulia itu, bukanlah syariat yang diwajibkan namun jika dilakukan menurut panduan umum syarak, ia boleh menjadi ibadah yang menguntungkan.

Firman Allah yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!’’, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): “Mereka ini orang-orang yang tidak dikenali.” Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27).

“Namun, terdapat adab yang perlu dipatuhi antaranya tuan rumah perlu bijak menguruskan majlis supaya tidak berlaku pembaziran.

“Penganjur tidak boleh ‘pilih bulu’ dengan menjemput tetamu yang kaya dan ternama sahaja sebaliknya semua golongan,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »