Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tolak fahaman khurafat ketika gerhana bulan, matahari

Posted by epondok di Jun 9, 2012


Bersama Ustaz Zaman

FENOMENA dua gerhana yang yang berlaku hampir saban tahun menjadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat Islam khususnya dan masyarakat dunia amnya. Ada yang menganggap ia adalah perkara biasa dan tidak kurang pula menganggap ia tanda-tanda kemurkaan Allah SWT terhadap hambanya.

Bagi ilmuwan yang memiliki ilmu perjalanan bulan dan matahari serta cakerawala lain (ilmu falak), ia adalah perkara semula jadi yang mereka dapat meramalkan bila gerhana akan berlaku, di mana akan berlaku dan kadar masa ia berlaku. Ada juga yang membawa fahaman khurafat dengan menganggap bahawa solat sunat gerhana yang dilakukan adalah untuk menghindarkan kemurkaan daripada penghuni langit terhadap penduduk bumi.
Jika ditelusuri sirah Baginda SAW, kita melihat Baginda menyarankan kita solat dan berdoa ketika berlaku gerhana dan sekali gus tidak bercanggah dengan ahli falak yang dapat menjangka mengenai berlakunya gerhana itu. Baginda juga pernah menganjurkan umat nya berdoa pada waktu pagi dan petang serta solat sunat tertentu pada waktu yang tertentu.
Walaupun al-Quran tidak pernah menyebut mengenai solat kusuf dan khusuf untuk gerhana matahari dan bulan dalam lembaran ayat-ayatnya, Baginda SAW pernah melakukan solat sunat pada tahun ke-10 Hijrah ketika berlakunya gerhana matahari yang mana sahabat berjemaah bersama Baginda SAW dan berdoa sehingga hilangnya gerhana itu. Begitu juga jika diteliti lembaran hadis Baginda SAW, kita akan mendapati bahawa tiada riwayat daripada mana-mana sahabat baginda SAW mengenai gerhana yang disebabkan daripada kemurkaan Allah SWT.

Mana mungkin fenomena gerhana dapat dikaitkan dengan kemurkaan Allah SWT, sedangkan agama Islam berkembang pesat dalam kalangan masyarakat Arab pada ketika itu dan manusia berpusu-pusu menerima ajaran Islam yang dibawa Baginda SAW. Firman Allah SWT bermaksud: “Apabila datangnya pertolongan Allah dan pembukaan kota Makkah, kamu melihat manusia berduyun-duyun menerima agama Allah SWT.” (An-Nasr 1 & 2)

Jika benar dakwaan demikian, sudah pastilah gerhana akan berlaku ketika Baginda SAW dan sahabat menghadapi gangguan dan pelbagai kekerasan ketika menjadi penghuni kota Makkah sebelum itu. Malah mereka juga dihalau dengan sewenang-wenangnya dan dinafikan segala hak milik mereka. Firman Allah SWT bermaksud: “Mereka yang dihalau daripada kediaman mereka dan dirampas harta benda mereka dengan kejam kerana mengaku bahawa Allah adalah Tuhan mereka.” (Al-Haj 40)

Ketika itu, ramai yang menganggap bahawa gerhana adalah rangkuman antara alam semula jadi dengan peristiwa semasa besar yang berlaku umpama kematian dalam kalangan pembesar dan sebagainya. Tambahan pula gerhana berlaku bertepatan dengan kewafatan anak junjungan kita SAW yang bernama Ibrahim hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Mariah sehingga ada yang menganggap bahawa gerhana berlaku disebabkan kesedihan terhadap kewafatan Ibrahim. Perkara ini mengundang kemurkaan Baginda SAW sehingga beliau menyanggah dalam khutbah gerhana pada ketika itu dengan sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya ada dalam kalangan kita menganggap bahawa berlakunya gerhana bulan, matahari atau hilangnya mana-mana bintang di langit adalah disebabkan kematian seseorang yang penting. Sesungguhnya mereka adalah pendusta. Sebenarnya gerhana ini adalah salah satu tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT yang perlu diambil pengajaran oleh setiap hamba-Nya. (HR Hakim yang dipersetujui oleh Imam Zahabi dalam kitab Mustadrak).
Menurut riwayat yang lain, berkata Mughirah bin Syu’bah: “Telah berlaku gerhana matahari ketika wafatnya Ibrahim anak Baginda SAW. Ramai yang menganggap ia adalah kerana kewafatan Ibrahim. Lalu Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya gerhana bulan dan matahari adalah tanda kebesaran Allah SWT. Ia tiada kena mengena dengan kematian atau kelahiran seseorang. Jika kamu melihat gerhana berlaku, maka hendaklah kamu sembahyang dan berdoa sehingga hilang dan luput gerhana berkenaan.” (HR Bukhari).

Pada riwayat yang lain daripada Imam Bukhari menyebut: “Allah SWT ingin menakutkan hambanya dengan peristiwa gerhana agar mereka sentiasa mengingati akan kekuasaan-Nya.” (Daripada Hammad Bin Zaid dari Imam Bukhari). Namun demikian, masih ada yang mempersoalkan kenapa Allah cuba menakutkan hamba-Nya? Kenapa perlu kita bersolat dan berdoa sedangkan gerhana adalah perkara biasa yang yang berhubung kait dengan alam semula jadi? Dr Yusuf dalam fatwanya menyatakan bahawa memang benar ia adalah fenomena alam semula jadi, tetapi ia tidak menafikan akan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Bagi mereka yang mempunyai hati yang luhur dan khusyuk akan berasakan suatu anjakan dalam menilai serta mengakui akan kesyumulan kekuasaan Allah SWT sehingga terkesan di dalam jiwa lalu mereka tunduk dan patuh dengan sujud dan berdoa.

Jika dilihat kepada doa serta zikir harian yang dianjurkan Baginda SAW kepada sahabat RA, menunjukkan bahawa maksud amalan itu adalah untuk kesinambungan hubungan antara hamba dan Pencipta. Maka hati kita akan sentiasa terbuka untuk menerima kebenaran walaupun ia amat pahit sekali. Perasaan akan mula bangkit untuk menjana kekuatan baru bagi merealisasikan tugas seorang hamba untuk sentiasa beribadah kepada-Nya.

Orang mukmin yang terbaik akan melihat sesuatu kejadian dengan pandangan yang berbeza daripada pandangan manusia biasa. Mereka melihat dengan basirah yang dianugerahkan bersandarkan kekuasaan Allah dan keunikan ciptaan-Nya. Akhirnya mereka bertasbih, bertahlil, memuji dan membesarkan Allah SWT serta diiringi dengan doa dalam keadaan tawaduk dan merendahkan diri pada-Nya. (Al-Bukhari Fil Adabil Mufrad). Jika sekiranya zikir dan doa adalah amalan seharian seorang mukmin, apatah lagi apabila melihat suatu peristiwa besar seperti gerhana yang hanya berlaku beberapa tahun sekali. Sudah semestinya mereka akan melakukan sesuatu bagi meraikan ffenomena kekuasaan Allah ini

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: