Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2012

Kematian pedoman kehidupan

Posted by epondok di Jun 30, 2012

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

SETINGGI mana sekalipun pangkat disandang, sekuat mana fizikal atau harta banyak bertimbun, apabila sudah sampai masa nya malaikat Izrail pasti datang menghampiri bagi mengakhiri episod kehidupan kita di dunia ini.

Jenazah dimandikan, dikafankan dengan kain serba putih, kemudian disembahyangkan, diusung ke tanah perkuburan dan akhirnya dimasukkan ke liang lahad.

Demikian babak terakhir perjalanan kehidupan manusia. Pernahkah kita menginsafi hakikat itu dan pernahkah kita membayang kan diri kita sendiri diusung sebagai jenazah itu?

Ingatlah peringatan Allah, “Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai dugaan yang sebenar-benarnya. Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Maksud Surah al-Anbiya ayat 35).

Pesanan Allah itu perlu kita wartakan sekemas-kemasnya dalam minda supaya sentiasa mengingati kematian. Menerusi kaedah itu saja kita dipandu arah yang luhur.

Alam kubur atau alam barzakh adalah taman dari taman-taman syurga atau boleh menjadi jurang dari jurang neraka. Seandainya amalan yang meraih pahala kita bawa bersama bermakna kita berada dalam taman syurga meski pun masih di tahap alam barzakh.

Itulah anugerah Allah kepada orang beriman, bertakwa dan aktif dalam amal soleh. Sebaliknya jika sejarah hitam yang penuh dosa dan mungkar kita berhadapan dengan jurang neraka.

Bagaimana sikap yang perlu kita miliki terhadap kematian? Dalam hal itu, kita teliti apa yang pernah dikemukakan ilmuwan nusantara tersohor yang juga seorang ulama terbilang Profesor Hamka, katanya terdapat tiga sikap manusia dalam menghadapi persoalan kematian.

Pertama, golongan yang tidak langsung mengingati kematian. Kata Hamka, golongan itu tidak terbayang dalam kotak pemikiran dan tidak menzahirkan dalam amalan yang menunjukkan mereka berhadapan dengan ajal suatu ketika nanti.

Mereka dalam kategori itu lebih sibuk dengan hal ehwal keduniaan sama ada membabit kan urusan harta benda mahu pun anak isteri. Mereka hanyut buai keasyikan nikmat dunia lalu tiada lagi istilah kematian yang berlegar dalam minda fikir.

Kata Hamka, golongan seperti itu adalah mereka yang rugi tatkala nyawa berakhir hayatnya. Senario semasa yang dunia masa kini masih tebal dihantui dengan aneka ragam gejala sosial melambangkan kategori insan yang lupa hakikat kematian.

Mungkin mereka berasakan yang diri mereka masih muda atau berasa masih bertenaga kuat. Jika begini gaya pemikirannya, ternyata mereka silap perhitungan.

Ajal maut itu boleh datang secara tiba-tiba dan tiada sesiapa mampu ‘mengintip’ rahsia Allah bilakah saatnya tarikh dan waktu sebenar kematian kita.

Terdapat insan yang diulit keghairahan mengaut untung dunia dengan memperbanyakkan koleksi harta, namun begitu liat berzakat atau bersedekah.

Sikap rakus dan tamak menakluki diri dan jiwa hingga tidak nampak kedaifan
golongan miskin yang perlukan bantuan. Paradigma serong dan terpesong itu terus dianuti hingga akhirnya ajal mengundang. Di saat itu penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Golongan kedua adalah mereka yang takut menghadapi kematian iaitu sentiasa mengingatinya khususnya ketika bersendirian di samping itu proaktif memikirkan impak kematian terhadap diri sendiri, hartanya, ahli keluarganya dan segala-galanya yang disayangi selama ini.

Disebabkan asyik diburu rasa takut kepada kematian, lantas mereka sentiasa dihantui rasa cemas, takut yang tidak bersebab. Kemudian muncul rasa berputus asa terhadap rahmat Allah dalam menerus kehidupan.

Golongan berkenaan mengalami trauma emosi yang mendorong kepada terbinanya sikap negatif terhadap alur kehidupan. Hamka berkata, walaupun golongan seumpama itu takut munculnya kematian, perubahan sikap untuk berubah kepada kebaikan tidak juga muncul dalam diri.

Sementara kategori ketiga adalah mereka yang mengingati mati dengan akal budi dan hikmah yang tinggi. Mereka menjadikan peristiwa kematian sebagai dorongan untuk berubah.

Segala perintah Allah dilaksanakan dan segala larangan dijauhi. Ingatlah satu peringa tan Rasulullah berkenaan kematian.

Kisah dialog antara Abu Zar dengan Rasulullah, dikatakan Abu Zar bertanya kepada Baginda berkenaan isi kandungan Suhuf yang diturunkan kepada Nabi Musa lalu kata Baginda, “Sesungguhnya itu mempunyai pengajaran. Aku hairan manusia yang meyakini kematian, tetapi tetap riang gembira terhadap manusia yang meyakini mereka, tetapi tetap tertawa terhadap manusia yang meyakini takdir, tetapi bersusah payah melakukan sesuatu (tanpa tawakal) terhadap manusia yang yakin akan kehancuran dunia dan penghuninya, tetapi tetap tenang di atasnya dan terhadap manusia yang meyakini adanya hisab, tetapi tetap terus tidak beramal (kebaikan).” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Kita seharusnya memfokuskan jalan kehidupan atas landasan agama yang benar dan jangan sesekali membiarkan diri ditakluki hasutan syaitan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Uniknya penciptaan manusia

Posted by epondok di Jun 30, 2012

Oleh DR. ZULKIFLI
MOHAMAD AL-BAKRI

SURAH ini diturunkan selepas surah ar-Rahman. Keseluruhan ayatnya berjumlah 31 ayat. Ia termasuk di dalam kategori surah Madaniah. Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya ialah terdapat di dalam surah terdahulu disebutkan tentang peristiwa ngeri yang akan dihadapi oleh orang yang mengingkari kedatangan hari kiamat.

Manakala dalam surah ini pula disebutkan nikmat abadi yang diperoleh oleh orang yang berbakti di akhirat kelak. Berkenaan dengan surah ini sama ada Makki atau Madani ada tiga pendapat:

* Ia adalah Madaniyah semuanya, inilah pendapat jumhur termasuk Mujahid dan Qatadah.

* Ia adalah Makkiyah, inilah pendapat Ibn Yasar dan Muqatil.

* Sebahagiannya Makkiyah dan sebahagiannya Madaniyah.

Firman Allah SWT: Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? (al-Insan: 1)

Perkataan insan di sini ada dua pendapat:

* Ia adalah Adam dan satu waktu pula bermaksud selama 40 tahun di mana dibentuk dengan lembaga seperti itu tanpa ditiupkan roh, inilah pendapat jumhur ulama.

* Ia adalah semua manusia seperti riwayat Ibnu Abbas dan Ibnu Juraij.

Al-Maraghi berkata: Telah datang kepada jenis manusia ini satu batas waktu yang dia belum ada, sehingga dapat diketahui dan patut disebutkan.

Al-Farra’ dan Tha’lab berkata: Maksudnya ialah jasad yang dibentuk daripada debu dan tanah, tidak disebutkan, tidak dikenal, tidak diketahui apa namanya dan tidak diketahui pula apa maksudnya. Kemudian ditiupkan kepadanya roh sehingga menjadilah ia sesuatu yang patut disebutkan.

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT berfirman mengkhabarkan tentang manusia bahawa Dia telah menciptakannya setelah sebelumnya tidak pernah menjadi sesuatu yang disebut kerana kerendahan dan kelemahannya.

Sayid Qutub berkata: Pertanyaan di permulaan surah ini merupakan pertanyaan untuk penjelasan. Pertanyaan itu dibuat sedemikian rupa seolah-olah supaya manusia bertanya kepada dirinya sendiri: Tidakkah dia tahu bahawa dia telah dilalui suatu ketika di dalam zaman yang di mana dia belum lagi menjadi sesuatu yang dapat disebut?

Tidakkah dia memikirkan hakikat ini dengan sebaik-baiknya? Kemudian tidakkah pemikirannya itu melahirkan di dalam hatinya kesedaran adanya tangan qudrat Ilahi yang menolaknya ke pentas kehidupan dan menyuluhkan cahaya lampu kepadanya dan menjadikannya satu makhluk yang dapat disebut setelah selama ini tidak pernah disebut-sebut.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat. (al-Insan: 2)

Ibnu Jauzi berkata: Kami ciptakan manusia yakni semua anak Adam dan perkataan setitis mani yang bercampur iaitu mani lelaki dan wanita yang akhirnya terbentuk menjadi manusia.

Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada nuftah yang di dalamnya ada air lelaki bercampur dengan air perempuan. Kami hendak menguji dan mencubanya dengan tanggungjawab apabila dia telah besar dan dewasa. Dan Kami menjadikannya pula dapat mendengar ayat-ayat dan menyaksikan dalil-dalil, memahami dan berfikir.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya Kami berikan kepadanya pendengaran dan penglihatan sehingga dengan keduanya dia mampu melakukan ketaatan dan juga kemaksiatan.

Ibnu Abbas berkata: Maksud al-Amsyaj di dalam ayat ini ialah sperma lelaki dan ovum perempuan, sekiranya telah bersatu dan bercampur lalu beralih dari satu fasa ke fasa berikutnya, dari satu keadaan ke satu keadaan berikutnya dan dari satu warna ke warna berikutnya.

Qatadah berkata: Al-Amsyaj adalah peringkat-peringkat penciptaan, pada satu tahap ia sebagai nuftah, pada tahap yang lain ia sebagai ‘alaqah (seketul darah), pada tahap seterusnya sebagai mudghah (seketul daging) dan pada tahap kemudian ia sebagai ‘izam (tulang-temulang). Kemudian tulang-temulang itu dibungkus daging.

Al-Hasan berkata: Kami hendak menguji kesyukurannya di waktu dia berada dalam kesenangan dan hendak menguji kesabarannya di waktu dia berada dalam kesusahan.

Sayid Qutub antara lainnya berkata: Demikianlah manusia diciptakan oleh tangan qudrat Allah SWT daripada air mani yang bercampur. Manusia bukan diciptakan sia-sia atau main-main sahaja, malahan ia diciptakan untuk diuji dan dicuba.

Allah SWT memang mengetahui siapakah dia manusia? Apakah ujian yang akan dilaluinya? Dan apakah akibat ujian itu? Tetapi iradat Allah mahu menzahirkan insan di atas pentas alam al-Wujud dan melahirkan kesan-kesannya dia alam al-Wujud dan memberi balasan kepadanya mengikut natijah ujian yang dilaluinya.

Dan Allah SWT menjadikannya dengan daya kebolehan mendengar dan melihat yakni membekalkannya dengan daya-daya kefahaman supaya dia dapat menerima dan menyambut dakwah dan supaya dia dapat memahami benda-benda dan nilai-nilai serta dapat membuat keputusan dan pilihan, juga dapat melalui ujian itu mengikut pilihannya

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Puasa Syaaban amalan sunnah

Posted by epondok di Jun 29, 2012

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
KINI, kita berada di bulan Syaaban dan bermakna semakin menghampiri Ramadan. Dalam budaya hidup masyarakat Islam, kehadiran Syaaban tidaklah semeriah menyambut Ramadan.

Ramadan dianggap bulan penuh rahmat lagi berkat. Tetapi jangan kita lupa, Syaaban yang bersempadan Ramadan juga mempunyai kedudukan istimewa.

Jangan biarkan Syaaban berlalu begitu saja tanpa diisi dengan amalan sunat seperti berpuasa yang menjadi salah satu amalan yang dianjurkan Rasulullah s.a.w.

Amalan itu adalah lambang kita mencontohi Rasulullah s.a.w dalam beramal ibadah. Berpuasa pada bulan Syaaban boleh diibaratkan seperti ‘menghidupkan enjin’ kereta sebelum memandu.

Selain mengikuti jejak sunnah Rasulullah s.a.w, kita juga dapat membiasakan diri dengan amalan berpuasa. Rasulullah menunjukkan kepada kita bagaimana menghidupkan serta meraikan kehadiran Syaaban.

Aisyah melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka puasa.

Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban. (Hadis direkodkan oleh Bukhari).

Dari kenyataan Aisyah itu, jelaslah amalan sunnah yang seharusnya kita tegakkan semasa berada dalam bulan Syaaban ini ialah berpuasa sunat.

Diceritakan Usamah bin Zaid, katanya, “Aku bertanya kepada Rasulullah, “Ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam sebulan berbanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian bulan Syaaban.
Lalu Baginda menjawab, “Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Allah Tuhan Semesta Alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.’ (Hadis riwayat An-Nasai’).

Kenyataan Rasulullah s.a.w itu menjadi dorongan kepada kita serta ahli keluarga supaya menggerakkan semangat berpuasa. Jangan membiarkan diri kita termasuk dalam kategori golongan mukmin yang melupakan kelebihan bulan Syaaban.

Ulama merumuskan, berpuasa pada bulan Syaaban adalah ibadah puasa terbaik selepas puasa wajib di bulan Ramadan.

Abdullah bin Amru bin Al-As menceritakan, Rasulullah memberitahu, “Allah memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Manakala, Muaz bin Jabal mempunyai maklumat berkenaan fadilat Syaaban. Katanya, Rasulullah pernah mengatakan, “Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hamba-Nya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang berzina.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Berasakan dua riwayat hadis itu, Syaaban adalah bulan yang sangat perlu kita manfaatkan kerana ganjaran pahala besar menanti setiap mukmin.

Selain berpuasa, kita juga dianjurkan aktif melakukan gerak kerja amalan hasanah lain. Antaranya membanyakkan bertaubat, berdoa, dan selawat.

Begitu juga amalan bersedekah; jangan hanya tunggu tibanya Ramadan, baru tangan ‘ringan’ untuk bersedekah kerana ingin merebut fadilat Ramadan.

Antara peristiwa yang berlaku dalam bulan Syaaban pada zaman Rasulullah antaranya pertukaran kiblat dari Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah.

Kisah perubahan kiblat itu berlaku pada tahun ke-2 Hijrah. Sebelum itu, Rasulullah menunaikan solat menghadap ke Baitul Maqdis selama 17 tahun.

Solat pertama yang didirikan Baginda apabila perintah menukarkan arah kiblat Allah ke arah Kaabah ialah solat Asar sambil diikuti sahabat Baginda.

Sejarah itu menjadi titik penting dalam perkembangan syiar Islam dan wajar sebagai umat masa kini mengingatinya. Baginda berkata, “Kaabah itu kiblat bagi orang di dalam masjid dan masjid itu bagi orang di Tanah Haram (Makkah) dan Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat hingga ke timur daripada umatku.” (Hadis riwayat Al-Qurthubi).

Kerana banyaknya ganjaran pahala pada bulan Syaaban ini, maka hati mesti dididik supaya sentiasa cintakan amalan sunnah yang dianjurkan Rasulullah s.a.w.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Tatatertib perlu diamal dalam masjid

Posted by epondok di Jun 29, 2012

Oleh Hizbur Rahman

Jemaah dilarang ganggu jemaah solat dengan kelakuan tidak sopan

IMAM masjid perlu menegur atau memberi pengajaran kepada jemaah yang berkelakuan tidak sopan di masjid seperti berbisik, mengganggu orang solat, melintas orang yang sedang solat, saf tidak lurus, berzikir dengan suara keras hingga mengganggu orang sedang solat serta belajar.

Daripada Abu Qatadah, katanya: “Tatkala kami sedang solat bersama Nabi SAW, tiba-­tiba Baginda mendengar suara berbisik orang (yang datang). Maka ketika Nabi sudah selesai solat,ia bertanya: Ada apa urusan kamu tadi (berbisik)? Mereka menjawab: Kami terburu­-buru untuk turut (jemaah). Nabi SAW berkata: Janganlah kamu berbuat begitu. Apabila kamu mendatangi solat, hendaklah kamu berlaku tenang. Apa yang kamu dapatkan (dari solatnya imam), maka solatlah kamu (seperti itu) dan apa yang kamu ketinggalan, sempurnakanlah.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Bukhari)
Diriwayatkan Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Apabila kamu mendengar iqamat, maka pergilah kamu ke tempat solat itu, dan kamu haruslah berlaku tenang dan bersikap sopan dan terhormat, dan janganlah kamu tergesa­-gesa, apa yang kamu dapatkan (dari solatnya imam), maka solatlah kamu (seperti itu) dan apa yang kamu ketinggalan sempurnakanlah.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)
Hadis ini mengandungi beberapa hukum iaitu kita diperintah berlaku tenang dan bersikap sopan apabila mendatangi tempat solat atau masjid. Kita dilarang tergesa­-gesa apabila mendatangi tempat solat seperti berlari­-lari, meskipun iqamat telah dikumandangkan.

Kita dilarang berbisik apabila sampai di tempat solat, sedang solat jemaah sedang didirikan. Ini akan mengganggu orang yang sedang solat berjemaah.

Bagi mereka yang lambat berjemaah setelah imam selesai memberi salam ke kanan dan ke kiri, barulah disempurnakan apa-­apa yang ketinggalan.

Hikmah diperintahkan tenang dan sopan serta tidak boleh tergesa-­gesa, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kerana sesungguhnya salah seorang di antara kamu, apabila menuju solat, maka bererti dia sudah dianggap dalam solat.” (Hadis riwayat Muslim)
Kita digalakkan membaca doa seperti dibacakan Nabi SAW yang bermaksud: “Ya Allah, jadikanlah dalam hatiku cahaya, dan dalam ucapanku cahaya, dan jadikanlah pada pendengaranku cahaya, dan jadikanlah pada penglihatanku cahaya, dan jadikanlah dari belakangku cahaya dan dari depanku cahaya, dan jadikanlah dari atasku cahaya, dan dari bawahku cahaya, ya Allah berikanlah kepadaku cahaya.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Dawud)

Diriwayatkan dari jalan Ibnu Abbas yang menerangkan solat Nabi SAW di waktu malam. Hadis ini menyatakan: “Kita akan disukai apabila mengucapkan doa di atas di waktu pergi ke Masjid.”

Daripada Abi Humaid atau Abi Usaid, ia berkata: “Bersabda Rasulullah SAW: Apabila salah seorang kamu masuk masjid, maka ucapkanlah: Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu­pintu rahmat­Mu). Dan apabila keluar (dari masjid), maka ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya aku minta kepada­Mu dari kurnia­Mu.” (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Nasa’i)

Abdullah bin Amr bin Ash, Nabi SAW, apabila masuk masjid beliau mengucapkan: “Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung dan dengan wajah­Nya yang mulia serta kekuasaan­Nya yang tidak mendahuluinya, dari (gangguan) syaitan yang terkutuk. Nabi SAW berkata: Apabila ia mengucapkan demikian (doa di atas), syaitan pun berkata: Dipeliharalah ia daripadaku sisa harinya.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hadis ini menyatakan kita disunatkan membaca doa mohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan apabila memasuki masjid.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Iri hati punca sebar fitnah

Posted by epondok di Jun 28, 2012

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Individu wajar tapis, usah hebah perkara tidak sahih

FENOMENA fitnah dan khabar angin sering digunakan dalam menyebarkan maklumat yang tidak benar. Mereka menggunakan kemudahan canggih ini untuk melaga-lagakan sesama manusia sehingga yang bersahabat menjadi musuh, suami isteri bercerai gara-gara e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), surat layang, internet dan seumpamanya.
Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah dengan balasan azab yang amat pedih.
Firman Allah SWT dalam Surah an-Nur, ayat 19, bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.”

Rasulullah SAW pula telah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu adalah satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu semua bersaudara-mara. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah telah mengingatkan kita agar sentiasa menjauhi diri daripada terjerumus ke dalam perbuatan keji yang dinyatakan dalam hadis itu. Sesungguhnya impak daripada perbuatan keji itulah yang membawa kepada berlakunya budaya penyebaran surat layang dan fitnah memfitnah dalam masyarakat.

Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada perasaan tidak berpuas hati dan dengki khianat atas sebab tertentu. Perbuatan sebegini melambangkan betapa rendahnya moral si pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan dan rasional akal yang dianugerahkan Allah kerana diri telah dikuasai nafsu marah dan dengki khianat yang berpanjangan.
Kalau pun sesuatu tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang telah mengambil kesempatan untuk berbuat demikian perlulah mengadakan bukti yang kukuh dan munasabah bagi membuktikan kebenarannya, bukannya dengan mencantumkan cerita yang dibawa dari mulut ke mulut untuk dan dijadikan modal untuk menyebarkan wasangka buruk dan tuduhan palsu dan negatif kepada seseorang individu.

Akibat daripada perbuatan sebegitu, sudah pasti perasaan dendam akan terus berpanjangan di antara yang menuduh dan yang kena tuduh, masing-masing ingin membuktikan tuduhan yang dibuat adalah benar dan menghijab diri dengan penafian bagi menolak segala tuduhan yang dilemparkan.

Allah Taala telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita maka periksalah dengan teliti kebenarannya agar kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesali perbuatan kamu itu.”(surah al-Hujurat, ayat 6)

Islam juga amat melarang umatnya daripada perasaan suka mengorek rahsia orang lain. Peribahasa Melayu ada menyebut, ‘jangan jaga tepi kain orang’. Tetapi dalam beberapa hal yang membabitkan berlakunya kebatilan dan perkara sumbang dalam masyarakat yang mengundang kemudaratan kepada ajaran agama, maka dibolehkan untuk berbuat demikian dengan tujuan untuk menegahnya agar tidak terus menular dalam hidup bermasyarakat.

Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat hari, perbuatan mencari rahsia orang lain bukan bertujuan untuk menegahnya daripada berlaku perkara sumbang, tetapi bertujuan untuk mendapatkan mesej tertentu mengenai peribadi seseorang dan kemudian dijadikan umpan sebagai alat untuk membalas dendam kepada orang berkenaan.

Islam sendiri menuntut umatnya agar menyembunyikan keaiban orang lain walaupun kita mengetahuinya kerana Allah akan menyembunyikan keaiban kita daripada terhebah kepada orang lain.

Telinga adalah salah satu pancaindera anugerah Allah yang tiada bandingannya.
Justeru, Muslimin hendaklah menjaga telinga mereka daripada mendengar khabar angin yang masih belum tentu kebenarannya, tetapi jika terpaksa mendengarnya atas faktor keadaan, maka dituntut agar tidak pula menjadi penyebar kepada apa yang didengar kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah lagi hadis Baginda yang bermaksud: “Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban sendiri.” (Riwayat Muslim)

Hasad dengki dalam definisi yang lengkap membawa maksud mencari jalan atau ikhtiar untuk menghilangkan nikmat yang ada pada orang lain. Impaknya amat besar, bukan saja kepada orang yang didengki tetapi juga akan terpalit kepada seluruh masyarakat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pendidikan agama, kerohanian bendung gejala luar tabii

Posted by epondok di Jun 27, 2012

Oleh Mohammad Hanif Mat Ail

ISLAM menghormati hak dan undang-undang masyarakat bukan Islam walaupun tingkah laku dan corak hidup mereka bertentangan syariah Islam. Ini asas kepada pembentukan masyarakat majmuk dalam negara Islam.

Gay dan lesbian adalah salah satu corak kehidupan Barat. Banyak gereja di Barat merestui perkahwinan sejenis dan melantik gay dan lesbian menjadi bishop serta paderi antaranya; Gereja Evangelical Lutheran di Kanada dan Denmark, Gereja Norway, Gereja Finland dan Gereja Sweden.
Gay , lesbian dan homoseksual diterima gereja tertentu berdasarkan kepada kefahaman doktrin agama dianuti mereka. Umat Islam tidak mempunyai hak untuk mencampuri urusan doktrin dan reformasi yang wujud dalam gereja dan agama Kristian.
Ulama sepatutnya lebih tekun menyebarkan agama dan memantapkan kerohanian supaya tingkah laku orang Islam serta keperibadian mereka tidak bertentangan dengan ajaran Islam
Perkara utama perlu dilakukan umat Islam masa kini ialah menumpukan perhatian kepada pendidikan kerohanian dan agama kepada masyarakat Islam supaya gay, lesbian serta homoseksual tidak menjadi budaya umat Islam.

Masyarakat sekular di Barat mudah terdedah kepada corak kehidupan gay, lesbian dan homoseksual akibat kehausan kerohanian yang tidak disulami nilai agama.

Corak kehidupan individualistik dan materialistik yang melanda barat menghasilkan sosiobudaya serta masyarakat yang lebih mengutamakan bisikan hati, hawa nafsu daripada akal atau intelek dalam mengendalikan urusan peribadi.

Ciri begini telah menular dalam negara. Terdapat umat Islam mempunyai kecenderungan membentuk budaya gay, lesbian dan homoseksual. Perkara begini sepatutnya menjadi perhatian ulama dan pemimpin Islam.
Tindakan undang-undang tanpa disulami kegiatan yang boleh menyemarakkan kerohanian keagamaan tidak mungkin mampu menyekat penularan budaya di luar tabii manusia daripada melanda umat Islam negara ini.

Apabila umat Islam mempunyai kecenderungan memilih corak hidup bertentangan fitrah manusia, maka pemimpin dan ulama Islam perlu bermuhasabah serta melihat kepada akar permasalahan mendorong umat Islam memilih corak kehidupan sedemikian.

Ulama sepatutnya lebih tekun menyebarkan agama dan memantapkan kerohanian supaya tingkah laku orang Islam serta keperibadian mereka tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Program agama sepatutnya lebih tertumpu kepada aspek pendidikan kerohanian secara praktikal bukan dalam bentuk celoteh dan perbahasan. Isi kandungan pula dapat memberi kesan kepada jiwa pendengar dan menyedarkan mereka hakikat kehidupan berteraskan syariah Islam.

Kurang berdamping dengan remaja juga antara faktor utama menyebabkan remaja Islam ketandusan kerohanian. Remaja Islam masa kini didedahkan pelbagai unsur negatif melalui media massa. Teknologi komunikasi memudahkan kumpulan gay, lesbian dan homoseksual menyebarkan ideologi dan budaya mereka kepada masyarakat seluruh dunia.

Remaja yang terpinggir daripada didikan dan latihan kerohanian mudah dipengaruhi budaya gay, lesbian dan sebagainya.

Sikap dan mentaliti gemar menghukum serta menghina sepatutnya dihapuskan dalam pemikiran pendakwah kerana sikap begini menyukarkan mereka bergaul dengan golongan ketandusan kerohanian yang memerlukan didikan.

Latihan kerohanian seperti melatih remaja mengamalkan ibadah boleh memperkukuhkan kerohanian dan penjelasan mengenai manfaat melaksanakan ibadah diwahyukan Allah perlu disampaikan secara jelas supaya mereka mengetahui bagaimana mengimbangi tuntutan dunia serta akhirat.

Berdasarkan suasana masyarakat Islam mudah terdedah kepada gejala homoseksual dan lesbian, maka umat Islam terutama ibu bapa perlu mendidik anak dengan sifat fitrah ciptaan mereka. Anak lelaki diasuh dan dilatih menghargai diri sebagai lelaki, begitu juga didikan terhadap anak perempuan.

Struktur masyarakat Islam perlu diperkukuhkan dengan kegiatan amar makruf nahi mungkar, iaitu bekerjasama memelihara masyarakat Islam seperti memelihara saudara sendiri. Inilah kunci utama kekuatan umat Islam dalam menghadapi pelbagai rintangan dan pengaruh negatif.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Budi dan bahasa pengaruhi kehidupan

Posted by epondok di Jun 27, 2012

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

Fikrah Remaja

PEPATAH Melayu pernah berkata, ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.’ Bahasa merupakan suatu elemen penting dalam kehidupan. Manusia menggunakan bahasa sebagai medium untuk berkomunikasi, sama ada secara lisan atau tulisan.

Percakapan atau tulisan yang menggunakan bahasa yang baik dan teratur akan memberi makna yang mendalam dan juga mampu menyentuh perasaan. Bahasa yang tinggi dengan nilai dan santun lebih mudah menarik orang memahami serta menghayati isi kandungannya.

Seringkali apabila dikatakan orang yang tidak menggunakan bahasa yang baik, ia sering dikatakan tidak beradab atau ‘kurang ajar.’ Walaupun pada sesetengah orang bahasa hanyalah medium untuk menyampaikan pendapat dan perasaan, tetapi bahasa juga merupakan lambang keperibadian dan olahan didikan yang diterima oleh seseorang.

Kerana itu, keindahan budi pekerti atau akhlak yang mulia seringkali juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa yang indah dan elok kerana pentingnya hubungan antara kedua-dua faktor ini dalam aspek kehidupan.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur. Rasulullah SAW sendiri berdakwah menggunakan bahasa yang paling baik dan halus, serta tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat dan kasar dalam pengucapan baginda walaupun kepada kaum Quraisy yang menentangnya.

Pentingnya penekanan Allah terhadap penggunaan bahasa yang baik boleh dilihat dalam banyaknya ayat Allah, selain banyak menggunakan perumpamaan yang indah dan baik untuk menggambarkan pentingnya bahasa dalam membentuk mahupun merubah minda dan keperibadian seseorang.

Antaranya, Allah SWT berfirman kepada Nabi Musa a.s supaya menggunakan bahasa dan perkataan yang paling lembut dan baik apabila berdakwah kepada raja Firaun yang zalim (rujuk surah Taaha: 20).

Allah juga memerintahkan supaya menggunakan percakapan yang paling lembut dengan ibu bapa dan menegah sekalipun berkata ‘Ah!’ kepada ibu bapa. Luqman Al-Hakim juga berpesan dengan anaknya, menggunakan istilah ‘Wahai anakku’ yang menggambarkan kelembutan seorang ayah dalam menasihati anaknya. (rujuk surah Luqman: 12-19).

Menarik sekali apabila seorang penulis buku motivasi terkenal,  juga ada berkata dalam suatu temuramah, “Islamlah yang mengajak orang untuk memiliki kebebasan berekspresi. Tapi ada dua syarat dalam hal ini. Jangan sampai menghina suatu agama dan kedua, jangan sampai merosak dan memfitnah orang lain.” Ini menunjukkan bahawa bersuara tidak mengehadkan batas pemikiran manusia, tetapi ia harus dilakukan dengan batas lingkungan yang benar dan beretika.

Remaja hari ini sering dikaitkan dengan golongan yang tidak pandai ‘berbudi bahasa’ dengan golongan yang lebih tua. Remaja atau golongan belia juga dijadikan sasaran dalam mengetengahkan isu-isu kerana suara mereka lebih ramai dan lebih bertenaga.

Cabaran sosial, globalisasi dan taraf hidup yang mencabar menjadikan remaja terdedah dengan contoh dan teladan yang tidak menepati kehendak Islam dan budaya Timur.

Kebebasan berekspresi dalam lingkungan yang terlalu bebas serta tanpa tujuan adalah sesuatu yang harus dibendung supaya luahan minda dan pendapat dapat dilontarkan dalam suasana yang kondusif, baik dan teratur.

Di tahap remaja, idealisme atau berfikir secara ideal selalunya menjadi pegangan. Pada tahap remaja, pemikiran yang membentuk remaja masih lagi belum di tahap matang dan sempurna. Pengalaman hidup masih belum banyak dan kerenah cabaran realiti masih belum banyak ditempuh.

Oleh itu, idealisme yang dikutip hasil pembacaan dan juga pengajian sering menjadi landasan persepsi dan perjuangan remaja. Idealisme kadang-kadang memimpin remaja berfikir secara sempurna mengambil pendekatan hitam putih dan lebih cenderung mengkritik status quo.

Inilah yang terpancar pada pemikiran sebahagian para remaja terhadap sesuatu isu yang terserlah dalam blog-blog mereka, rangkaian sosial mahupun dalam forum-forum Internet. Lalu kadangkala keluarlah pendapat dan komen-komen yang diungkapkan dalam bahasa yang kurang enak dibaca atau didengar.

Adab dalam berbudi bahasa menyentuh tentang peri pentingnya disiplin hati bagi seorang manusia. Ada orang berkata mulut celupar tetapi hati baik. Jika dihalusi, ia adalah gambaran hati yang bercelaru, walaupun asalnya mungkin berniat baik. Kadang-kadang ia adalah perlambangan ego yang tinggi dalam diri.

Apabila merasakan diri lebih baik daripada orang lain, senang sahaja kata-kata sinis dan pedih keluar dan ini akan menyerlahkan sifat egois dalam diri. Apabila hati telah terguris, maka mudah berlaku perpecahan, umpat mengumpat serta keji mengeji.

Maka inilah hikmah Allah menyuruh manusia berkata-kata dengan baik, kerana fitrahnya manusia memang suka mendengar sesuatu yang baik dan indah. (rujuk surah Ali Imran: 159).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Usah tertipu, jadi hamba kepada dunia

Posted by epondok di Jun 26, 2012

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Umat Islam tak wajar lalai, abai tuntutan alam akhirat

NILAI kehidupan dunia tidak diukur pada melimpah ruahnya harta, tingginya pangkat kedudukan, ataupun kesenangan duniawi belaka. Perlu diinsafi semua itu hanyalah bersifat sementara. Oleh itu, seorang Muslim janganlah menjadikan semua itu tujuan akhir atau matlamat kehidupan dunia.
Jika diamati secara mendalam, al-Quran memberikan gambaran bahawa kehidupan dunia berada di bawah naungan keredaan Ilahi sebenarnya tidaklah membuatkan Muslim terlena dalam urusan dunia, dan melupakan kehidupan akhirat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)
Pertama, dunia digambarkan sebagai satu permainan sia-sia dan senda gurau melalaikan. Kesenangan dunia dinikmati insan tidak bersifat kekal. Untuk itu, setiap Muslim jangan mudah terpedaya silauan dunia dan jangan juga mudah lalai memberi perhatian urusan akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah al-An’am, ayat 32)

Kedua, dunia itu perhiasan yang mempesonakan. Kehidupan dunia berupa wanita, keturunan, harta dari jenis emas dan perak, kuda pilihan, binatang ternak, sawah ladang, dan sebagainya hanyalah sebuah perhiasan, bukannya sesuatu yang bernilai di sisi Allah SWT.

Ketiga, dunia juga disifatkan sebagai kehidupan penuh helah dan tipu daya kerana dunia dapat menundukkan manusia, berupaya membuatkan mereka cenderung dan cinta kepadanya, di samping mengakibatkan mereka lalai melaksanakan kewajipan untuk menghadap Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)

Keempat, dunia ini adalah himpunan harta benda yang dicari manusia. Namun, ingatlah bahawa harta benda ini tidak akan kekal untuk selamanya. Sebaliknya, kehidupan dunia ini sebenarnya datang hanya untuk memberi peringatan kepada setiap insan sifat dunia yang bersifat sementara.

Selain itu, Rasulullah SAW menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud: “Kekayaan yang sebenarnya bukanlah terletak pada banyaknya harta benda, akan tetapi terletak pada kelapangan hati.” (Hadis riwayat Muslim)

Mencintai dunia seperti wanita, anak, harta dan sebagainya adalah fitrah setiap manusia. Justeru, Islam tidak melarang umatnya mencari dan mengumpulkan kesenangan dunia, bahkan Islam menganggap harta sebahagian keperluan asasi manusia.

Allah SWT menegaskan dunia dengan segala isinya telah disediakan untuk dimanfaatkan dan dimakmurkan manusia seperti firman Allah SWT yang bermaksud: Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

Walau bagaimanapun, Islam membimbing kecintaan manusia terhadap dunia supaya sesuai dengan tuntutan Allah SWT. Sehubungan itu, Islam membezakan kecintaan terhadap dunia kepada dua perkara penting.

Pertama, tertipu dan terpedaya oleh dunia sehingga manusia menjadi hamba dunia, abdi kepada harta dan kekuasaan dimilikinya. Harta dan pangkat kedudukan menyebabkannya jauh dari Allah SWT.

Watak seumpama Qarun, seorang yang mencintai harta dan Firaun, seorang mencintai pangkat dan kekuasaannya adalah sebahagian daripada contoh manusia yang tertipu dengan pesona dunia. Ini adalah contoh dan persepsi salah terhadap dunia.

Kedua, menjadikan dunia alat dan saranan untuk dimanfaatkan bagi tujuan beribadah kepada Allah SWT, bukan sebaliknya, iaitu meletakkan dunia sebagai tujuan atau matlamat yang akan memperhambakan pemiliknya. Inilah contoh dan persepsi yang benar terhadap dunia.

Pendek kata, Islam menjelaskan bahawa Muslim sepatutnya meletakkan dunia di tangan, bukannya di hati. Justeru, setiap Muslim hendaklah selalu berniat dengan harta dimilikinya akan melahirkan anak yang soleh.

Dengan pangkat kedudukan dimilikinya, Muslim mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat. Sebenarnya bukan dunia yang menjadi masalah, tetapi niat, persepsi dan cara mendapatkan dunia.

Dengan niat betul, persepsi yang benar dan cara halal, dunia menjadi hamba kepada manusia, bukannya manusia menjadi hamba kepada dunia:

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Perpisahan dengan dunia

Posted by epondok di Jun 26, 2012

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Tafsir al-Quran & Asbabun Nuzul

SAYID Qutub berkata: “Jika kekuatan pemandangan kiamat dan kesannya di dalam hati di ambil daripada kekuatan hakikat yang tersembunyi di dalam pemandangan itu sendiri, di samping di ambil daripada kekuatan penyampaian al-Quran yang membuat pemandangan itu seolah-olah hidup. Maka surah ini (selepas menayangkan pemandangan itu), menayangkan pula satu pemandangan yang lain daripada jarak yang amat dekat seolah-olah terjelma di hadapan mata, iaitu pemandangan yang sentiasa wujud dan berlaku berulang-ulang kali.”

Pemandangan ini dihadapi oleh manusia pada setiap detik yang dilalui mereka di bumi ini, pemandangan ini menerjah mereka dengan kuat, jelas dan berat.

Firman Allah SWT: Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai ke kerongkongan. (al-Qiyamah: 26)

Ibnu Kathir berkata: “Dengan kata lain jika nyawamu telah terlepas dari badanmu dan sampai ke halkummu.”

Al-Maraghi berkata: “Digunakan untuk mencela dan melarang. Ingat dan perhatikan kematian yang berada di depanmu. Jangan utamakan dunia melebihi daripada kecintaan akhirat, ini kerana hubunganmu dengan dunia ini akan terputus, kemudian kamu pula akan berpindah ke perkampungan akhirat yang bersifat kekal abadi.”

Firman Allah SWT: Dan dikatakan (kepadanya): Siapakah yang dapat menyembuhkan? (al-Qiyamah: 27)

Ibnu al-Jauzi menyebut dua pendapat:

* Ia merupakan ucapan malaikat sebahagian mereka terhadap yang lain iaitu siapa yang mengangkat rohnya, sama ada Malaikat Rahmat atau Malaikat Azab? Ini yang diriwayatkan oleh Abu al-Jauza’ daripada Ibnu Abbas dan ini juga pendapat Abu al-‘Aliah dan Muqatil.

* Ucapan keluarganya iaitu siapakah yang dapat menjampi dan menyembuhkannya? Ini juga diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan ia adalah pendapat Ikrimah, ad-Dahak,Abu Qilabah, Qatadah, Ibnu Zaid, Abu Ubaidah, Ibnu Qutaibah dan al-Zajjaj.

Al-Maraghi berkata: “Siapakah yang dapat mengubatnya agar dia sembuh daripada bala yang menimpanya? Qatadah berkata: Carilah berapa ramai perawat untuknya tetapi mereka sedikitpun tidak mampu memberi manfaat dan penyembuhan kepadanya untuk menghalang ketentuan Allah.”

Firman Allah SWT: Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan (dengan dunia) (al-Qiyamah: 28)

Al-Maraghi berkata: “Orang yang hendak mati itu berkeyakinan bahawa apa yang berlaku baginya adalah sebagai peringatan saat perpisahannya dengan dunia, harta, keluarga dan anak-anak.”

Keyakinan seperti ini dinamakan zan iaitu prasangka, sebab selama roh masih melekat di badan, orang tetap menginginkan kehidupan kerana cintanya yang amat mendalam terhadap dunia ini.

Firman Allah SWT: Dan bertaut betis (kiri) dan betis (kanan), (al-Qiyamah: 29)

Ibnu Jauzi menyebut lima pendapat:

* Urusan dunia dengan urusan akhirat seperti pendapat Ibnu Abbas dan juga Muqatil.

* Berhimpun padanya kehidupan dan kematian seperti pendapat al-Hasan.

* Bertaut dua betisnya ketika dikafankan seperti pendapat Said bin Musayyib.

* Bertaut dua betisnya ketika kematian seperti pendapat al-Sya’bi.

* Bencana dengan bencana seperti pendapat Qatadah.

Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu dihalau. (al-Qiyamah: 30)

Sayid Qutub berkata: “Gambaran maut itu begitu hidup seolah-olah bergerak dan bercakap. Setiap ayat melukiskan gerak-geri dan pemandangan yang membuat keadaan hampir mati itu terlukis begitu jelas dengan suasana-suasana cemas, bingung, terharu menghadapi hakikat yang kejam dan pahit yang tidak dapat ditolak dan dielakkan itu. Kemudian berlakulah penghabisan yang tidak dapat dihindari.”

Firman Allah SWT: Dan ia tidak mahu membenarkan (rasul dan al-Quran) dan tidak mahu mengerjakan solat. Tetapi ia mendustakan (rasul) dan berpaling (dari kebenaran). Kemudian ia pergi kepada ahlinya dengan berlagak (sombong). (al-Qiyamah: 31-33)

Ibnu Kathir berkata: “Ini adalah pemberitahuan tentang orang kafir, di mana ketika di dunia, mereka mendustakan kebenaran dengan hati mereka dan enggan untuk beramal dengan anggota tubuhnya sehingga tidak ada kebaikan di dalam dirinya, sama ada lahir mahupun batin.”

Semoga daripada surah ini kita benar-benar menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada-Nya.

Perbincangan ini ditutup dengan menyebut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan lain-lain daripada Abi Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Barang siapa antara kamu membaca surah at-Tin hingga akhir hayatnya hendaklah dia mengucapkan doa yang bermaksud “memang benar dan aku termasuk dari kalangan orang yang menjadi saksi yang demikian itu.”

Seterusnya siapa yang membaca akhir surah al-Qiyamah hendaklah dia mengucapkan dengan mafhumnya: Memang benar

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tabiat suka membazir saudara syaitan

Posted by epondok di Jun 25, 2012

Oleh Zawawi Yusoh

APA perasaan kita apabila ditipu? Mesti marah dan malu punya. Kadang-kadang kita kutuk dan kita menceritakan pula kepada semua orang mengenai kejahatan penipu itu.

Kita mesti tidak berpuas hati dan mahu rasanya membalas semula apa yang dilakukan si penipu itu. Itulah fitrah manusia, tidak suka ditipu. Namun sedar atau tidak, kita memang ditipu dan banyak kali tertipu oleh musuh kita iaitu syaitan.

Syaitan sentiasa mencari jalan untuk memerangkap kita. Salah satu cara syaitan menipu kita ialah dengan cara mendorong serta menggoda kita supaya membazir.

Membazir adalah saudara syaitan menerusi firman-Nya dalam surah al-Isra’ ayat 26-27 yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga terdekat haknya kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu membelanjakan hartamu secara boros. Sesungguhnya membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu kepada Tuhan sangatlah ingkar.”

Membelanjakan harta kepada sesuatu yang tidak memberi manfaat walaupun sedikit dikira membazir apatah lagi jika berbelanja besar.

Walaupun 10 sen beli barang yang tidak berguna adalah saudara syaitan.

Setiap sesuatu akan dipertanggungjawabkan di depan Allah, sebab tidak ada yang kecil di depan Allah. Berjimat bukan ketika harta sedikit saja, tetapi dalam apa juga keadaan.

Manakala berjimat jangan pula sampai jadi kedekut. Membeli sesuatu yang tidak perlu atau tidak bermanfaat, berlebihan hingga terpaksa membuang perlu dielakkan.

Cuba lihat kereta, motosikal, baju, kasut, pakaian serta segala perhiasan kita itu berpatutan atau dibeli untuk memenuhi koleksi atau bertanding hendak menunjuk-nunjuk saja?

Imej dan prestij memang penting, tapi biarlah dalam kemampuan kita serta tidak melampau apatah lagi membazir. Hendak beli kereta adakah ia perlu? Jika perlu beli saja.

Tanya lagi, yang sudah ada masih boleh dipakai? Perlukah membeli kereta?
Kemudian, tanya lagi, mampukah kita? Sudah ada banyak, beli lagi sedangkan tidak pakai pun, sedekah jauh sekali.

Orang dewasa dengan caranya manakala remaja pula dengan cita rasanya tersendiri. Hendak tunjuk kaya satu penyakit juga. Kadangkala pada satu sudut, kita berhabisan berbelanja sampai jadi papa pun tidak mengapa, tetapi apabila hendak beli buku agama, amat berkira.

Mulai sekarang, bersihkan rumah kita daripada barang tidak berguna.

Lebih baik rosak digunakan orang lain daripada rosak terbiar di rumah kita,
mungkin ia sangat berguna bagi orang lain.

Sesuatu yang amat malang apabila kita berasa sangat selesa dan aman dengan kekayaan yang kita miliki sehingga lupa Allah yang memberi, lalu kita guna sesuka hati, tidak ikut peraturan dan garis panduan yang digariskan Allah.

Allah boleh ambil apa saja yang Dia berikan kepada kita sebagai hamba yang lemah pada bila-bila masa dan di mana saja dengan cara apa sekalipun.

Harta yang diuruskan secara membazir adalah harta yang tidak berkat, apatah lagi beli dan guna untuk perkara yang terlarang.

Tiga tanda harta yang berkat iaitu apabila dimiliki pemiliknya menjadi qanaah (berasa mencukupi), pemiliknya menjadi tenang serta berasa itu adalah amanah dan pemilik harta itu lebih mulia daripada harta yang dimilikinya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »