Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for April 2012

Kelas khas muslimat mula daftar 1 Mei

Posted by epondok di April 30, 2012

Terbuka untuk 30 orang muslimat sahaja terutama lepasan SPM/STPM/STAM/IPT dan umum

Tarikh : Mulai Mei 2012 dalam jangkamasa 1-3 bulan

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan iaitu 30 orang sahaja

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

 

 

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Muslimat berumur 16 tahun ke atas (terhad 30 orang sahaja)
  • RM 10 pendaftaran dan RM 40 per bulan (meliputi penginapan, elektrik dan air)
  • RM 6 – RM9 sehari bagi minggu pertama untuk makan minum manakala urusan makan minum selepas itu akan diurus sendiri oleh pelajar samada masak secara kumpulan atau beli di kedai berhampiran

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Bab Haidh dan Nifas
  • Kitab Penawar Bagi Hati
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Tadarrus al-Quran

Pakaian harian, bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / 016-9381870 (Ust. Azmi)-Pondok Tunjung

e-mail : bakriah1954@gmail.com

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Al-Quran, solat, ingat mati pancar cahaya menyinari hati

Posted by epondok di April 30, 2012

CAHAYA yang menyinari hati bersumber pada tiga pancaran, iaitu cahaya al-Quran, sembahyang dan mengingati mati.

 

Al-Imam Al-Ghazali berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama ketika membaca al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka pohonkanlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati.”

Kejayaan seseorang bergantung pada usahanya mengenal Allah, dan tiada jalan yang paling dekat untuk mengenal Allah selain mempelajari al-Quran. Dunia hanya boleh direbut dengan kekuatan dari Allah, tanpa bergantung kepada-Nya manusia tidak akan mendapat apa yang diimpikan.

Kejayaan ialah sejauh mana seseorang mengikat dirinya dengan Allah Taala dengan ikatan yang kuat. Maka al-Quran yang menjadi ikatan antara hamba dengan Allah Taala. Melaluinya seseorang pandai memilih yang hak dari yang batil, dia mengetahui jalan terang dan mengikuti petunjuk al-Quran.

 

Meneroka dunia dan mengurus diri dan masyarakatnya melalui bimbingan wahyu. Dia lahir menjadi manusia yang jujur, kuat bekerja dan memiliki misi jelas dalam hidupnya kerana diniatkan segala pekerjaan itu sebagai ibadah kepada Allah.

 

Siapa yang bergantung kepada selain Allah dia tidak akan mendapat faedah dari pergantungannya itu. Ibnu al-Qayyim berkata: “Ketika manusia bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana Allah. Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih-kekasih mereka, carilah bahagia dengan mencintai Allah dan ketika manusia pergi menghadap raja-raja dan pembesar mereka pergilah menuntut hajatmu hanya kepada Allah.”

 

Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia dekat kepada Allah adalah sujud, permintaan yang tidak akan ditolak adalah doa yang ikhlas dan proses pembersihan dosa yang dilakukan terus-menerus adalah sembahyang.

Sembahyang adalah sumber tenaga yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan hidup yang mencabar. Sembahyang yang berkualiti boleh melahirkan jiwa yang reda sekali gus kuat berikhtiar semata-mata mahu berlumba melakukan amal saleh dan membina kehidupan di dunia.

 

Antara tanda kebijaksanaan orang mukmin ialah pandai merancang masa depan. Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat.

 

Pernahkah anda merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan melewati masa tua dengan ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya merancang untuk mati dengan tenang? Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik dari kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati sentiasa bertaubat.

 

Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta keriangan, memenuhi pasar dan mengunjungi tempat peranginan indah, tidak salah jika kita menjadikan ziarah kubur sebagai aktiviti rutin yang boleh mengingatkan diri kepada kematian seperti Rasulullah SAW yang melazimi ziarah kubur dan mendoakan kaum muslimin tidak kira siang ataupun malam hari.

 

Dengan membaca Al-Quran, solat dan mengingati mati seorang mukmin telah melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya. Bagaimanakah pula keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini? Mesti hidupnya hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula terseksa, jika jahil tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jadilah kita insan pemaaf

Posted by epondok di April 30, 2012

Tulisan Zawawi Yusoh

SATU hari raut wajah Rasulullah s.a.w tampak berseri-seri dengan menampakkan senyumannya sehingga kelihatan kilauan gigi putihnya. Maka Umar bertanya ada apa gerangan.

 

Sabda Rasulullah s.a.w: “Aku lihat ada dua orang daripada umatku yang mendatangi Allah ‘Azza wa Jalla. Yang satu berkata, ‘Ya Rabbi, hukumlah orang ini yang mengambil hak dan menganiayaku di dunia.” Lalu Allah memerintahkan kepada si zalim itu supaya mengembalikan haknya.

 

‘Ya Rabbi’, kata si zalim, “Aku tidak lagi memiliki simpanan perbuatan baik yang bisa menggantikan haknya.” Dia sudah tidak memiliki sisa-sisa perbuatan baik untuk meng gantimu, lalu apa yang kau harapkan darinya?” kata Allah kepada satunya.

 

‘Ya Rabbi’, pindahkan kepadanya dosa-dosaku. Biar dia yang memikulnya,” katanya. “Tiba-tiba air mata Rasulullah mengalir membasahi pipinya kerana mengenang hari-hari yang maha dahsyat itu.

 

 

Baginda berkata, “Hari itu adalah hari-hari yang maha dahsyat, hari di mana setiap orang berusaha untuk melepaskan setiap beban dosa yang dipikulnya.”

 

 

Kemudian, Allah berkata kepada si teraniaya, “Wahai Fulan, angkat pandanganmu dan lihatlah syurga-syurga yang tersedia.’ ‘Ya Rabbi, saya lihat negeri yang terbuat dari perak dan istana dari emas yang terhias indah dengan mutiara yang berkilauan.

 

Apakah semua itu Engkau persiapkan untuk Nabi dan Rasul-Mu, para siddiqin dan orang-orang yang syahid? Tidak, kata Allah. Semua itu Aku siapkan bagi siapa saja yang sanggup membelinya.

 

Siapakah mereka Ya Rabbi? ‘Engkau juga mampu memilikinya.’ Bagaimana caranya? “Dengan memaafkan saudaramu itu.” Kalau begitu, aku maafkan dia ya Rabbi.’’ Ambillah tangan saudaramu itu dan masuklah kalian ke dalam syurga yang Aku janjikan.’”

Kemudian Nabi mengakhiri kisah itu dengan sabdanya, “Bertakwalah kamu kepada Allah dan berbuat baiklah dalam hubungan antara sesama. Sungguh Allah akan mendamaikan antara orang-orang yang beriman kelak pada hari kiamat.”

 

Apa yang kita fikirkan selepas membaca kisah yang dibawakan Rasulullah di atas? Adakah kita langsung teringat kepada orang-orang yang pernah berbuat salah kepada kita?

 

Adakah keinginan kita untuk segera memaafkannya? Jika begitu, berbahagialah, kerana sesungguhnya tulisan ini dimaksudkan supaya kita menjadi orang yang sentiasa berlapang dada, mudah meminta maaf dan memberi maaf kepada orang yang melakukan kesalahan.

 

Jangan anggap meminta maaf itu perkara yang mudah dilakukan. Beratnya meminta maaf itu sama dengan susahnya memberi maaf. Seseorang yang diliputi perasaan sombong, baik kerana pangkat dan kekuasaannya, atau kerana status sosialnya, tidak mudah meminta maaf jika melakukan kesalahan.

 

Pemimpin yang nyata melakukan kesalahan kepada rakyatnya tidak serta-merta meminta maaf. Mereka meminta maaf selepas mendapat protes keras termasuk tekanan daripada golongan atasannya.

 

Sesungguhnya meminta maaf itu bukan pekerjaan ri ngan. Orang-orang yang hati nya masih diliputi perasaan-perasaan sombong, merasa lebih baik, kadang-kadang akan berasa bersalah jika meminta maaf.

 

Apalagi meminta maaf kepada orang yang selama ini dianggap lebih rendah darinya. Jika meminta maaf, terutama kepada orang yang lebih rendah darjat sosialnya itu bukan perbuatan mudah, apalagi memberi maaf kepada orang yang melukai hatinya.

 

Pekerjaan itu jauh lebih berat lagi, apalagi untuk sebuah kesalahan yang menggores hati. Kadang-kadang dendam itu dibawa hingga ke mati. Hanya orang-orang tertentu saja yang sanggup melakukannya.

 

Rasulullah adalah orang yang paling lapang dadanya. Baginda memaafkan tidak saja orang yang pernah melukai hatinya tetapi juga orang yang hampir-hampir menghilangkan nyawanya.

 

Jabir ra berkata, “Kami bersama Rasulullah dalam perang Ghazwadz-Dzatirriqaa’ dan ketika istirahat kami masing-masing mencari tempat perlindungan.

 

Jika ada pohon yang besar maka kami berikan kepada Nabi untuk berteduh di bawahnya. Ketika Rasulullah sedang terlelap tidur, datanglah seorang musyrik mengambil pedang Rasulullah yang tergantung di pohon.

 

Lalu dihunusnya dan dia bertanya kepada Nabi, “Apakah anda takut kepadaku? Jawab Nabi, “Tidak.” Lalu dia bertanya, “Siapakah yang dapat mempertahankan engkau dari seranganku? jawab nabi, “Allah.’”

 

Dalam riwayat Abu Bakar al-Isma’ily, ketika jatuhlah pedang itu, dan Nabi bertanya, “Siapakah yang dapat mempertahankanmu dari padaku?” Jawab orang musyrik itu, “Jadilah yang sebaik-baik menuntut balas.”

 

Maka, Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya, “Mahukah engkau mengucap syahadah?” jawab orang itu, “Tidak, tetapi saya berjanji kepadamu tidak akan memerangi engkau, dan tidak akan membantu orang yang memerangi kamu.”

 

Maka, dilepaskan si musyrik itu dan sekembalinya kepada kaumnya dia berkata, “Aku datang daripada orang yang sebaik-baik manusia.” Dalam Islam, ketika seseorang dizalimi, ada dua hak baginya.

 

Pertama, membalas dengan setimpal perbuatannya. Manakala yang kedua memaafkannya. Jika dipilih alternatif pertama, maka balasan itu tidak boleh lebih berat, walaupun kepada musuh Islam.

 

Umat Islam dilarang membalas secara melampaui batas. Jika pilihan kedua dipilih, maka orang itu sudah membeli syurga. Harga maaf itu mahal, setimpal dengan harga syurga.

 

Manusia tidak akan pernah terlepas daripada melakukan dosa. Orang baik menurut ajaran Islam bukanlah mereka yang tidak pernah bersalah, melainkan orang yang apabila berbuat kesalahan dia segera menyedari kesalahannya itu kemudian meminta ampun kepada Allah.

 

Allah Yang Maha Bijaksana membuka pintu maaf selebar-lebarnya. Kesalahan, tidak saja dilakukan kepada Allah tetapi lebih banyak lagi kepada sesama manusia.

Pergaulan dalam masyarakat perlu berjalan secara sihat, harmonis dan penuh kasih sayang. Jadilah orang yang suka meminta maaf dan memaafkan orang lain

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Remaja dan proses belajar

Posted by epondok di April 30, 2012

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

PROSES belajar adalah sesuatu yang amat penting bagi remaja. Remaja bermula daripada keadaan yang tidak tahu. Untuk menjadi tahu mereka mesti belajar.

Belajar bukan sahaja hanya tahu membaca dan menulis. Membaca dalam erti kata yang luas ialah menjadi tahu dan ketahuan itu menjadi pedoman dalam memahami diri sendiri dan orang lain.

Baik haiwan mahupun manusia semuanya mempelajari sesuatu untuk tahu sama ada ia didorong oleh naluri atau akal fikirnya.

Remaja yang tidak pergi ke sekolah, pengetahuan dan pengalaman hanya terbatas dalam lingkungan persekitarannya.

Remaja yang bersekolah tidak saja tahu menulis, membaca, berfikir dan mengira tetapi ada pengetahuan dan ilmu yang dijadikan sumber hidup mengenal dunia dengan segala kerenahnya.

Ia suatu fitrah kerana remaja perlu berfikir untuk mengetahui sesuatu. Tanpa kemahiran menulis dan membaca remaja akan menjadi buta huruf dan tanpa memahami ilmu remaja akan hilang suluh dalam berfikir.

Belajar adalah cara terbaik bagaimana pengetahuan diperoleh. Di awal umur anak-anak belajar daripada ibubapanya. Di sekolah remaja belajar dengan guru-gurunya .

Menerusi proses belajar remaja dipimpin dan dibimbing supaya menerima ilmu, kemahiran dan pengalaman dengan baik. Dari situ menjadikan remaja mampu berfikir dan dapat membezakan yang baik dengan yang buruk.

Al-Quran menceritakan banyak kisah perjuangan nabi-nabi dan kaum terdahulu yang patut dijadikan ibrah atau sumber teladan kepada remaja. Sifat kisah manusia itu berulang.

Al-Quran menjadikan manusia termasuk remaja sebagai asas pembangunan. Antara faktor pembangunan manusia ialah ilmu dan sumber contoh.

Ilmu yang baik dan bermanfaat yang dipelajari remaja memberi kebaikan kepada hidup remaja. Sumber contoh yang terdapat pada manusia menjadi pedoman ikutan supaya kebaikan dalam amalan itu berkekalan.

Kisah Nabi Lut a.s dalam al-Quran menggambarkan manusia menolak kehidupan yang fitrah. Dijadikan kehidupan berpasang-pasang sebaliknya mereka mengamalkan hubungan sejenis yang dikutuk oleh Allah.

Belajar daripada kisah

Akhirnya kaum itu hancur menerima musibah Allah. Ia melahirkan Laut Mati yang penuh dengan sejarah untuk direnung manusia. Sebuah buku, The Dead Sea Scroll amat baik untuk dibaca oleh remaja supaya ada pelajaran diperoleh daripada peristiwa itu.

Hari ini isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transseksual (LGBT) sedang diperkatakan masyarakat dan remaja. Para remaja Islam tidak boleh belajar daripada budaya Barat yang sedang menghalalkan LGBT. Ia adalah amalan yang paling hina dan

boleh merosakkan kehidupan

remaja.

Berumahtangga adalah asas yang paling baik bagi membina keluarga dan masyarakat. Tanpa keluarga dan masyarakat bermakna tanpa ummah. Masyarakat yang rosak akhlaknya akan merosakkan nilai kemanusiaan itu sendiri.

Ini tidak bermakna semua dari Barat tidak boleh dipelajari. Ada yang baik dari barat seperti ilmu sains dan teknologi boleh kita pelajari. Tetapi kebebasan hidup remaja Barat harus dihindari.

Islam tidak mengambil sikap menentang Barat kerana Barat itu Barat. Remaja Islam diminta berhati-hati dan cermat memilih yang mana satu baik atau yang mana satu, sebaliknya

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Solat khusyuk cegah kemungkaran

Posted by epondok di April 29, 2012

Tulisan Zawawi Yusoh

ALLAH mengurniakan hamba-Nya al-Quran dan sunnah iaitu dua pusaka penting yang ditinggalkan Nabi kepada umat Islam.

 

Al-Quran dan hadis melahirkan peraturan hidup yang dinamakan syariat.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh padanya kamu tidak sesat selamanya iaitu kitab Allah dan sunnahku.”

 

 

Untuk berada di landasan hidup yang betul, kita perlu ilmu dan menjadi individu celik syariat iaitu tahu apa bentuk suruhan serta larangan Allah, kenal ibadat, prihatin apa yang terbaik baginya sebagai seorang Muslim.

 

Allah berfirman bermaksud: “Jika datang kepadamu petunjuk dari-Ku (Allah), sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku, dia tidak sesat dan tidak celaka. Sesiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Thoha ayat 123).

 

Bagi mencapai kejayaan cemerlang, umat Islam perlu beribadat malah dalam perancangan hidup, ibadat wajib diberikan keutamaan.

 

Ibadat adalah latihan merangkumi minda, hati dan jasad manusia. Disiplin yang ada dalam ibadat menjadikan seseorang itu cemerlang dalam hidupnya.

 

Antara ibadat penting dalam kehidupan seharian umat Islam adalah solat. Untuk berjaya dalam hidup, solat tidak boleh diabaikan sama sekali.

 

Ibadat solat adalah ibarat ‘tiang’ dalam Islam. Malah ketika dalam peperangan sekalipun solat tidak boleh ditinggalkan.

 

Solat perlu ditunaikan dengan berdiri dan jika tidak mampu berdiri, boleh duduk dan jika tidak mampu duduk, boleh dengan cara baring.

 

Jika tidak mampu lagi, terlentang dan tidak mampu lagi, boleh mengiring.

Sekiranya masih tiada daya juga dengan isyarat mata dan masih tidak boleh juga, lakukan dengan isyarat hati.

 

Hari ini ramai orang memperkecilkan solat. Tidak hairanlah terjadinya pelbagai masalah sosial. Gejala seperti terbabit dengan penyalahgunaan dadah, meminum arak, seks bebas, derhaka kepada ibu bapa, menculik, ponteng sekolah, pembunuhan, ragut, pecah rumah dan sebagainya.

 

Semua itu berpunca daripada tidak solat. Jika solat pun tidak tahu sah atau batal. Itu belum lagi masuk perkara khusyuk dalam solat atau mengenai bacaan dan tajwid.

 

Apabila solat tidak sempurna, tidak sempurnalah akhlak dan perangai. Firman Allah dalam surah Maryam, ayat 59, maksudnya: “Maka datanglah selepas mereka yang mensia-siakan solat dan mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka menjadi sesat.”

 

Abdullah bin Abbas menyatakan, maksud mencuaikan solat bukannya meninggalkan solat tetapi juga melewatkan dari waktunya.

 

Solat bukan saja menghapuskan dosa sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Solat menghapuskan dosa antara satu solat dengan satu solat yang lain kecuali dosa besar.”

 

Imam Abu Aaliayah berkata: “Solat mempunyai tiga keistimewaan dan jika tidak ada ketiga-tiga ini maka solat itu tidak sempurna dan tidak boleh mencegah dosa. Keistimewaan itu adalah ikhlas, khusyuk serta zikrullah.

 

Keikhlasan membuatkan seseorang melakukan perkara baik, khusyuk mencegah perbuatan jahat, sementara zikrullah (ingat Allah) pula mencegah mungkar (kejahatan) dan menanam makruf (kebaikan).

 

Ada sesetengah ulama dulu apabila tiba saat hendak menghembuskan nafas terakhir, masih sempat meminta pertolongan orang mengambilkan wuduk untuknya supaya dapat mengerjakan solat.

 

Malah, ada yang minta diusung ke masjid kerana hendak mati di tempat solat.

Justeru, janganlah kita mengabaikan perintah dan kewajipan solat yang menjadi rutin hidup kita.

Setiap kali solat, anggaplah itu mungkin solat yang terakhir buat kita

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Buruk kesudahan penentang Islam

Posted by epondok di April 28, 2012

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

IBNU Kathir berkata: Allah SWT berfirman sambil mengancam orang jahat yang telah dikurniakan dengan berbagai nikmat dunia, lalu dia mengingkari nikmat-nikmat tersebut dan menggantikannya dengan kekufuran serta membalasnya dengan keingkaran terhadap ayat-ayat Allah SWT. Dia juga mengada-adakan terhadapnya dan menganggap ayat-ayat tersebut hanya ungkapan manusia. Dan Allah telah menghitung berbagai-bagai nikmat yang telah Dia berikan kepadanya.

Firman Allah SWT: Biarkanlah Aku bertindak terhadap orang yang Aku telah menciptakannya sendirian. (al-Mudassir: 11)

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya dia lahir daripada perut ibunya seorang diri tanpa membawa harta dan juga anak. Kemudian setelah itu Allah SWT memberi kepadanya rezeki.

Muqatil berkata: Biarlah Aku menghadapi dia kerana Aku akan membinasakannya dengan kebinasaan yang khusus.

Di sini terdapat ancaman keras terhadap kederhakaan al-Walid, keingkaran dan kesombongannya, kerana memperoleh harta dan kemuliaan. Lalu al-Walid berkata: “Aku adalah orang yang terhormat dan anak daripada golongan yang terhormat. Tidak ada seorang Arab pun yang setanding dengan aku dan tidak ada seorang Arab pun yang setanding dengan ibu bapaku.”

Allah SWT telah menghinanya dan menghinakan pula jolokannya, sehingga jolokan itu tidak membawa makna kerana ia bertukar menjadi celaan kepadanya. Justeru, Allah SWT menjadikannya sebagai satu-satunya orang yang berada di dalam kejahatan dan kekejian.

Firman Allah SWT: Dan anak-anak yang selalu bersama dia, (al-Mudassir: 13)

Mujahid berkata: Maksudnya anak-anak mereka itu selalu hadir bersamanya dan tidak keluar untuk berdagang. Urusan dagangan tersebut diuruskan oleh hamba-hamba dan juga orang-orang yang dibayar oleh mereka, sedangkan mereka sendiri hanyalah duduk-duduk mendampingi ayah mereka untuk bersenang-senang bersamanya.

Terdapat khilaf ulama tentang bilangan mereka (anak-anak):

l Al-Suddi, Abu Malik, Ashim bin Umar bin Qatadah menyebutkan: Mereka ini berjumlah 13 orang.

l Mereka berjumlah 10 orang seperti yang disebutkan oleh Ibnu Abbas dan Mujahid.

Al-Maraghi berkata: Termasuk anak-anak yang selalu hadir bersamanya di Mekah. Mereka tidak pernah berpisah dengan bapanya, kerana mereka bergantung rezeki kepada bapa mereka. Ini disebabkan mereka tidak perlu bekerja mencari rezeki kerana mereka telah memiliki harta yang banyak. Al-Walid pun sukakan mereka dan senang dengan kehadiran mereka.

Firman Allah SWT: Dan Ku lapangkan baginya (rezeki dan kekuasaan) dengan selapang-lapangnya, (al-Mudassir: 14)

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, Aku telah berikan kepadanya pelbagai macam harta, perkakas rumah tangga dan sebagainya.

Al-Maraghi berkata: Menurut orang Arab, Tahmid bermakna melapangkan. Contohnya Mahadash shabiyya (Dia melapangkan rezeki kepada si anak). Aku lapangkan rezeki kepadanya, dan aku luaskan kehormatan. Sepatutnya dia bersyukur kepada Allah SWT terhadap nikmat yang diberikan kepadanya tetapi dia ingkar kepada Tuhannya, sehingga dia berpaling daripada seruan dakwah dan menyombongkan diri. Dia telah membalas nikmat dengan kekafiran dan membalas kurnia dengan keingkaran serta kederhakaan.

Firman Allah SWT: Kemudian dia ingin sekali supaya Aku menambahnya. Sekali-kali tidak (akan Aku tambah), Kerana Sesungguhnya dia menentang ayat-ayat kami. (al-Quran). (al-Mudassir: 15-16)

Ibnu Kathir berkata: Iaitu orang yang ingkar (kufur) akan nikmat-nikmat Allah SWT setelah dia mengetahuinya.

Al-Maraghi berkata: Walaupun dia bersikap tidak mahu mentaati Allah SWT tetapi dia masih lagi mengharapkan harta dan anaknya bertambah.

Ayat ini juga mengandungi petunjuk bahawa kekafiran al-Walid adalah kekafiran yang berbentuk ‘inad. Ini disebabkan dia telah mengetahui kebenaran itu dengan hatinya tetapi dia masih mengingkari dengan lidahnya. Inilah kekafiran yang paling nyata.

Penutup

Penulis menutup perbincangan ini dengan menyebut pendapat Sayid Qutub antara lain menyatakan, al-Quran menerangkan dengan panjang keadaan hidup makhluk yang kerdil itu dan nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya sebelum menerangkan kisah kedegilan dan keengganannya untuk beriman.

Allah SWT telah menjadikannya dahulu seorang diri tidak memiliki sesuatupun walaupun kain bajunya. Kemudian selepas itu, Allah SWT telah mengurniakan kepadanya harta kekayaan yang melimpah-ruah, anak-anak yang ramai yang sentiasa berada di sekelilingnya serta kemudahan hidup yang sempurna.

Walaupun begitu yakin dan percayalah kesudahan penentang Islam seperti golongan musyrikin biasanya berkesudahan dengan banyak masalah yang menimpanya, di samping adanya pelbagai halangan dan kemudaratan dalam kehidupan mereka.

Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang sentiasa mendapat dan mencapai mardhatillah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Menangani tekanan

Posted by epondok di April 27, 2012

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Penawar kepada masalah tekanan ialah dengan banyak bersabar. – Gambar hiasan

FENOMENA stres atau tekanan bukanlah perkara baru yang terjadi dalam masyarakat. Stres amat berkait rapat dengan gaya hidup, perwatakan seseorang, faktor keluarga, tekanan pekerjaan dan kejutan budaya.

Sekiranya tekanan gagal dikawal, ia akan memberikan kesan yang negatif kepada kesihatan emosi, mental dan fizikal. Orang yang tidak mampu mengawal tekanan, ditambah pula dengan iman yang kurang akan cenderung untuk berputus asa dan kecewa.

Akhirnya terjadilah kes kemurungan yang berpanjangan, sakit mental, bunuh diri dan sebagainya.

Dalam Islam, tekanan adalah ujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah menguji seseorang itu dengan perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, nyawa dan hasil-mahsul yang tidak menjadi dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. (al-Baqarah:155)

Apabila kita berada dalam keadaan tertekan, terdapat tanda-tanda yang mungkin akan berlaku seperti sakit kepala, letih, mudah marah, cepat terlupa dan sebagainya.

Antara kesemua faktor-faktor berlakunya tekanan, faktor yang paling banyak berlaku ialah tekanan di tempat kerja.

Ini kerana, pada kebiasaannya masyarakat lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di rumah. Sehinggakan sewaktu berada di rumah sekalipun masih memikirkan tentang kerja di pejabat.

Akhirnya, kita perlu sedar dan faham bahawa setiap kali kita berdepan dengan masalah, maka setiap kali itulah dosa kita diampunkan. Rasulullah SAW bersabda: “Kesedihan atau malapetaka yang menimpa seseorang Muslim merupakan kafarah kepada dosa yang dilakukan.”

Oleh itu, apabila kita menghadapi tekanan, perbanyakkanlah bersolat dan bersabar. Firman Allah SWT yang bermaksud: Mintalah pertolongan dengan Allah dengan sabar dan mengerjakan sembahyang. (al-Baqarah: 153)

Tekanan yang dialami oleh setiap individu adalah berbeza, oleh itu sebagai seorang Muslim haruslah menerima ujian tersebut dengan hati yang tabah dan reda. Mudah-mudahan, berkat kesabaran kita, Allah SWT akan menggantikan dengan keberkatan hidup dan kebaikan yang lain

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Keistimewaan melaksanakan amalan soleh pada Jumaat

Posted by epondok di April 27, 2012

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

HARI Jumaat mempunyai banyak keistimewaan yang seharusnya dimanfaatkan dengan melaksanakan amalan hasanah. Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Ibnu Katsir mengatakan Jumaat bermaksud berhimpun.

Pada hari Jumaat kaum muslimin dihimpunkan di masjid untuk mendengar khutbah dan mendirikan solat Jumaat dua rakaat.

Hari Jumaat cukup istimewa kerana Allah telah mengatakan tawaran hebat iaitu ganjaran pahala besar terhadap amal ibadah dan amalan hasanah yang dilakukan. Disebabkan besarnya pahala dijanjikan Allah, maka rugilah sesiapa yang mengabaikan kehadiran hari Jumaat tanpa amalan salih dan kebajikan.

Kita sering membaca laporan media yang cukup mengguris hati apabila adanya segelintir anak muda tanpa rasa malu dan segan merempit pada waktu khutbah Jumaat dibacakan dan semasa jemaah menunaikan solat Jumaat.

Malah ada yang mengambil peluang berlumba motosikal selepas saja selesai menunaikan solat. Ini suatu gambaran negatif dan mempamerkan kurang hormat kepada hari Jumaat yang mulia itu. Ada juga yang sengaja mengambil peluang pada hari Jumaat melaksanakan aktiviti luar seperti berkelah hingga mengabaikan solat Jumaat.

Jumaat sebagai penghulu segala hari adalah hari pengampunan yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak meninggalkan seorangpun dalam kalangan orang Islam pada hari Jumaat, melainkan ia pasti diberi-Nya pengampunan.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Jadi, kita sewajarnya memanfaatkan hari Jumaat untuk memperbanyakkan bacaan istighfar memohon keampunan. Rasulullah SAW juga ada memberitahu bahawa pada hari Jumaat ada satu waktu yang begitu eksklusif untuk berdoa kerana amat mustajab.

Abu Hurairah mengatakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pada hari Jumaat itu ada satu saat yang mana sekiranya berkebetulan dalam solat seseorang hamba, lalu dia bermohon kepada Allah, pasti akan diberikan apa yang dimintanya sambil Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan tangan Baginda bagi menggambarkan betapa sekejapnya saat itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita seharusnya berusaha mencari waktu yang dikatakan mustajab berdoa pada hari Jumaat. Meskipun tidak dinyatakan waktu yang tepat, kita tidak wajar memandang remeh ruang dan peluang untuk berdoa.

Seperkara lagi pesanan Rasulullah SAW berkaitan keistimewaan hari Jumaat ialah tawaran Allah menggandakan pahala terhadap sesiapa saja yang melakukan amalan soleh, begitu juga perbuatan mungkar dan dosa, turut digandakan kiraan dosanya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya pada hari Jumaat seluruh makhluk termasuklah jin dan manusia akan berasa gementar, dan pada hari itu juga dilipat gandakan kebajikan dan kejahatan, dan hari yang mana akan berlakunya kiamat.” (Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan dilipatgandakan pahala yang dilakukan pada hari Jumaat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Antara amal ibadah yang sangat dianjurkan pada hari Jumaat ialah membanyakkan bacaan selawat dan menggandakan kerja kebajikan untuk manfaat masyarakat.

Biasanya pada hari Jumaat ada kalangan masyarakat kita mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan. Ini satu kegiatan yang sangat bernilai tinggi dalam Islam kerana selain memelihara kebersihan tanah perkuburan, aktiviti itu mampu mengeratkan ukhuwah.

Sebagai menghormati hari Jumaat yang mulia, sewajarlah kita beramal sebaik yang terdaya untuk memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah selain menjadikannya landasan membina masyarakat bersatu padu menerusi kerja kebajikan serta amalan hasanah

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

3 Peringkat manusia ingati MATI

Posted by epondok di April 26, 2012

Oleh Mohd Fadly Samsudin

BERDOA...panjatkan doa kepada Allah s.w.t supaya kita sentiasa beroleh rahmat dan keampunan serta dimatikan dalam keadaan khusnul khatimah.
BERDOA…panjatkan doa kepada Allah s.w.t supaya kita sentiasa beroleh rahmat dan keampunan serta dimatikan dalam keadaan khusnul khatimah

SETIAP makhluk bernyawa akan merasai kematian namun bila saat kematian itu akan tiba tiada seorang pun tahu. Yang pasti, giliran kita menjadi jemputan Allah akan tiba bila-bila masa.

 

Adakah kita bersedia menghadapinya atau masih lagi lalai hingga terlupa sedetik masa berlalu kematian semakin hampiri kita?

 

Sering kali juga kita mendengar kematian, tetapi sejauh manakah kita mengambil iktibar daripada kematian yang berlaku sama ada dalam kalangan keluarga, sahabat atau jiran tetangga.

 

Bayangkan ruang di liang lahad yang sempit serta gelap gelita hanya seorang diri. Tidak ada lagi masa dan peluang untuk memperbaiki kesalahan lalu.

 

Ketika itu, kita tidak mampu lagi keluar dan kembali ke dunia nyata untuk bertemu orang yang kita sayangi.

 

Bagi orang beriman, mereka hendaklah sentiasa berdoa supaya dapat mengakhiri ‘pengembaraan’ di dunia ini dalam keadaan khusnul khatimah (pengakhiran yang baik).

 

Lakukanlah persediaan pada setiap masa untuk bertemu dengan Allah supaya amalan yang dilakukan di muka bumi ini dikira sebagai amalan soleh.

 

Barangkali ada di antara kita pernah menyembahyangkan atau mengusung jenazah ke tanah perkuburan namun satu hari akan tiba giliran kita yang akan disembahyangkan serta diusung untuk disemadikan.

 

Itulah hakikat kematian yang waktunya tidak boleh ditangguhkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Dalam sebuah hadis menceritakan bagaimana hendak mengubati hati yang berkarat.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya hati manusia itu akan berkarat seperti mana karatnya besi. Sahabat bertanya kepada Rasulullah bagaimana hendak mengubatinya Ya Rasulullah? Maka Rasulullah menjawab: Tilawah al-Quran dan sentiasa mengingati mati” .

 

Mengingati mati adalah pencuci hati yang cukup berkesan. Apabila melihat kematian ‘menjemput’ orang terdekat menjadikan kita terdorong mengetahui hakikatnya.

 

Dalam mengingati kematian, Al-Ghazali membahagikan manusia kepada tiga tingkatan iaitu Al-Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia.

 

Mereka tidak ingat kematian dan enggan diingatkan mengenai kematian. Golongan seperti itu tidak mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat.

 

Kedua At-Taib, iaitu golongan yang bertaubat memohon keampunan daripada Allah dan mereka banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan menuju akhirat.

 

Ketiga, Al ‘Arif, iaitu golongan yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah. Mereka sentiasa mengingati kematian bahkan selalu menanti saat kematian kerana kematian baginya adalah pertemuan dengan Allah.

 

Maka, mengingati mati sebenarnya mendorong seseorang bertindak positif. Kematian yang baik yang disebutkan Allah di dalam kitab-Nya: “Hai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kalian mati melainkan kalian mati dalam keadaan Islam”. (Surah Ali Imran ayat 102).

 

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata kematian adalah hakikat yang akan dilalui setiap yang bernyawa.

 

“Mati bukan sesuatu yang perlu ditakuti tetapi yang perlu dibimbangkan bagaimana keadaan kita semasa menghadapi saat kematian itu.

 

“Ia berkait rapat dengan persediaan menghadapi alam akhirat yang menjadi kehidupan abadi kita,” katanya.

 

Beliau berkata sebab itu, zikrul maut atau mengingati mati menjadi tuntutan kepada setiap manusia supaya mereka menyedari kehidupan dunia ini pasti ada penamatnya.

 

“Peluang menyediakan bekalan ke akhirat akan terhenti di saat kematian kita. Kematian juga mengingatkan kepada alam akhirat yang memberi ganjaran sama ada ke syurga yang penuh kenikmatan atau menghadapi seksaan api neraka.

 

“Setiap manusia mengharapkan syurga Allah namun tiada siapa yang dapat meyakini mereka layak menerimanya. Keadaan ini pastinya akan mendorong ke arah peningkatan amalan dan perubahan diri yang lebih baik,” katanya.

 

Menurutnya majoriti ulama berpendapat doa meminta kematian sama ada untuk diri sendiri atau orang lain amat ditegah oleh syarak kerana ia adalah urusan Allah.

“Penentuan takdir untuk setiap hamba adalah hak Allah s.w.t sepenuhnya. Sebagai hamba kita hanya perlu akur dengan apa yang ditakdirkan oleh Allah.

 

“Manusia perlu sedar nyawa pemberian Allah adalah satu peluang untuk membuat persiapan akhirat yang tidak sepatutnya diabaikan.

 

“Apa saja ujian yang dilalui dalam hidup adalah untuk menentukan sama ada kita layak menjadi hamba yang diredhai Allah,” katanya.

 

Beliau berkata, hakikat yang sering manusia terlepas pandang ialah kesabaran dalam mengharungi situasi sukar.

 

“Ia lebih mendekatkan diri kita kepada Allah. Tidak wajar sama sekali seseorang hamba berputus asa dengan rahmat Allah dan berdoa supaya Allah segera mencabut nyawanya.

 

“Sebahagian ulama mengharuskan tindakan sedemikian dengan syarat doa itu dikaitkan dengan kehendak Allah seperti mendoakan, “Ya Allah matikanlah aku andai kematian itu lebih baik untukku di sisi-Mu”, dan seumpamanya namun ia pandangan sebahagian kecil ulama saja,” katanya.

 

Katanya, persiapan menghadapi kematian bukan bererti perlu beriktikaf di masjid tanpa melakukan sebarang pekerjaan lain.

 

“Persediaan yang perlu dilakukan ialah memastikan tingkah laku dan perbuatan kita tidak melanggar perintah Allah s.w.t. Andai kita tidak mampu memperbanyakkan amalan kebaikan cukuplah sekadar mengawal diri daripada melakukan dosa dan menunaikan segala perintah Allah.

 

“Allah inginkan kita menjadi hamba yang taat dengan menunaikan yang wajib dan meninggalkan perkara dilarang.

 

“Amalan sunat pula adalah penyempurnaan kepada kewajipan itu. Jika mampu, ia satu bonus bagi mengecapi kebahagiaan akhirat namun bukan halangan mendapat syurga Allah,” katanya.

 

 

Menurutnya, Nabi mengajar umatnya doa untuk dijadikan amalan berterusan bagi memohon kematian berlaku secara baik iaitu doa yang bermaksud: “Ya Allah, tamatkanlah kehidupan kami dengan penamat yang baik (husnul khatimah), dan janganlah Engkau tamatkan kehidupan kami penamat yang buruk (su’ul khatimah)”.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kejujuran itu indah

Posted by epondok di April 26, 2012

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

Bimbingan

DALAM kehidupan seharian sifat jujur adalah sesuatu yang lahir daripada hati yang ikhlas. Kejujuran membawa nilai yang baik dan besar serta sangat penting dalam hubungan setiap insan.

Apabila melaksanakan amalan ibadah dan amal jariah mestilah disusuli dengan sifat jujur tanpa ada niat lain di sebalik apa yang dilakukan.

Oleh itu, jangan sesekali sifat jujur itu dicemari dengan menggandingkannya pada nama Ilahi, seperti menyatakan jujur dan ikhlas kerana Allah, namun lain yang dihajati dan dilaksanakan.

Sifat jujur dapat difahami juga sebagai sifat ikhlas, suci hati dan tulus ikhlas dalam perbuatan dan percakapan.

Selain itu, jujur juga adalah sifat lurus dan keikhlasan hati dalam semua percakapan, perbuatan dan aktiviti yang dilakukan. Pendek kata, sifat jujur datangnya daripada hati.

Sukar sekali untuk mencari orang yang bersifat jujur pada masa kini. Walaupun ada, tetapi pengaruh wang dan kebendaan menjadikan manusia sudah mulai melupakan kejujuran.

Justeru, Umar bin Khattab pernah berkata: “Jujurlah, walaupun kejujuran itu boleh membunuhmu. Pada setiap orang yang tidak jujur, akan mempunyai dua penjaga iaitu air dan lumpur.”

Jujur mempunyai pengertian yang besar dalam Islam. Ia adalah sebahagian daripada iman. Sebab itu, seorang yang tidak mempunyai sifat jujur adalah orang yang nipis imannya. Ini disebabkan iman dan sifat jujur berjalan seiring. Jika salah satu diabaikan, maka kedua-duanya akan hilang.

Sifat jujur adalah hiasan diri daripada hati. Ia merangkumi pelbagai sifat yang mulia seperti amanah, malu, memelihara keaiban diri dan orang lain, bersopan santun serta menjaga dan memelihara maruah diri kerana Allah.

Sifat jujur dan tidak mengkhianati sangat penting. Daripada Abu Hurairah Nabi SAW bersabda: “Tunaikan amanat kepada orang yang memberi amanah kepada engkau dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati orang.” (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).

Lantaran itu, sifat jujur perlu ada pada diri setiap Muslim, melalui sifat ini ia akan menjadi perisai kepada orang beriman.

Sifat jujur perlu dididik dalam hati sejak seseorang itu masih kecil lagi. Didikan dan bimbingan yang berterusan akan menjadikan seseorang itu sentiasa jujur dan menuju kepada kesolehan.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang soleh maka Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang paling bertakwa.” (riwayat Ath-Thabrani dan Muslim).

Oleh itu, hati yang jujur sangat dipandang mulia oleh manusia dan juga mendapat balasan di sisi Allah. Hati yang jujur akan menjurus kepada sifat soleh dan ketakwaan dalam melaksanakan sesuatu.

Orang yang paling disukai Allah adalah orang yang jujur apabila menjual dan jujur apabila membeli dan jujur apabila membayar hutang, serta lemah lembut apabila menagih hutang.

Jika ditinjau sifat kejujuran sangat indah. Rasulullah SAW menjalankan perniagaan dengan penuh jujur, amanah dan ikhlas sehingga mampu memperdagangkan barangan jualan Khadijah dengan keuntungan yang banyak.

Dalam hal ini, baginda mengutamakan keredaan Allah dan mendapat keberkatan dalam mencari rezeki yang halal. Malah sentiasa mengikut syariat jauh daripada segala penipuan, riba, pengurangan dalam timbangan. (rujuk an-Nisaa’: 29)

Oleh itu, penipuan dalam perniagaan adalah salah satu sifat yang tidak jujur yang selalu dilakukan oleh mereka yang tidak beriman. Ibadah yang ikhlas dan jujur adalah ibadah yang bersih daripada sifat riak, ujub dan bersih daripada takbur.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »