Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mac 2012

Tiada kesepakatan punca umat Islam ditindas musuh

Posted by epondok di Mac 26, 2012

Oleh Nor Aimi Mohd Tahir

RASULULLAH sudah buktikan hanya ketakwaan senjata paling berkesan pertahan agama dan tanah air. Perubahan peradaban manusia berlaku amat pantas. Islam yang satu ketika dulu begitu gemilang, kini jatuh tersungkur di tangan Barat yang mendominasi dunia terutama dari segi ekonomi.

Umat Islam dalam sejarah adalah kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi pada hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri selain dilabel dengan imej negatif atau pengganas.

Berita keganasan, pembunuhan dan pencerobohan dilakukan kuasa besar Barat terhadap umat Islam bukan perkara baru kerana berlaku sejak lama dulu sehingga hari ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. (Surah al-Anfaal, ayat 73)

Keganasan dan penindasan di Palestin, Lubnan, Kosovo, Chechnya, Bosnia dan paling hampir dengan negara kita seperti Thailand berlaku tanpa pembelaan sewajarnya. Sehingga kini entah berapa banyak nyawa terkorban, harta musnah dan air mata tumpah membasahi bumi. Peristiwa ini sungguh mengguris jiwa umat Islam.

Hari ini, ramai pemimpin negara Islam lantang menyeru umat Islam bersatu bagi menyelamatkan negara daripada penjajahan. Namun, usaha merealisasikannya bukan saja kabur, malah tidak bersungguh-sungguh serta tidak jelas dari segi matlamat dan kaedah yang mesti dilaksanakan.

Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika segala ideologi yang menyesatkan seperti sekularis, komunis, sosialis dan kapitalis masih digunakan pemimpin Islam sendiri.

Ideologi bertentangan Islam patut ditolak oleh umat Islam. Jika kita lihat ketika ini kesatuan Islam masih lemah dan keadaan menjadi lebih buruk apabila umat Islam mengalami masalah dalaman sesama sendiri di samping masalah luaran dengan negara Islam lain.

Negara Islam hari ini, secara umum lemah dari pelbagai segi merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Sehingga kini kesatuan dan kekuatan umat Islam secara keseluruhan masih belum pulih. Kelemahan ini juga menjadikan Barat semakin berani menekan dan melakukan pelbagai penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam.

Pemimpin negara Islam masih gagal mencapai kata sepakat menangani masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam seperti di Palestin semakin terancam. Mereka juga tidak memahami perkara awlawiyyat (keutamaan) sehingga menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam terabai. Kegagalan ini juga mengakibatkan negara Islam terpaksa tunduk pada kehendak Barat.

Kebanyakan kita mengaku sebagai umat Islam, namun setakat manakah peranan dan tanggungjawab sebagai saudara seagama dalam usaha membantu mereka yang ditindas dan apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Surah al-Anfaal, ayat 73)

Kini sudah sampai masanya umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah silapnya. Masyarakat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia.

Pemimpin negara Islam harus bersatu dan memandang ke depan di samping mengatur strategi efektif ke arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha yang mampu dilakukan ialah memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi, ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah, persaudaraan dan persenjataan supaya segala bentuk penjajahan, penindasan dan menghina umat Islam dapat dihindarkan.

Umat Islam juga perlu berperanan sebagai individu pengguna yang bijak dengan memboikot barang syarikat Barat yang mengaut keuntungan untuk menjatuhkan negara Islam.

Walaupun usaha ini kelihatan remeh, jika seluruh umat Islam bersatu hati natijahnya amat besar ke arah mengurangkan sumber ekonomi Barat yang nyata tujuannya untuk membeli senjata bagi meneruskan serangan terhadap umat Islam. Umat Islam perlu kembali kepada fitrah iaitu menghayati serta mengamalkan al-Quran dan hadis sepenuhnya.

Dalam dunia serba moden hari ini, walaupun ada umat Islam yang kuat imannya, tidak kurang juga yang jauh terpesong daripada landasan Islam. Ada juga hanya Islam pada nama sedangkan segala kewajipan agama tidak pernah ditunaikan, malah cara hidup mereka juga seperti bukan Islam.

Perkara ini perlu diambil perhatian supaya umat Islam dan generasi akan datang menjadi umat yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT serta mantap imannya seperti umat pada zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat Baginda. Firman Allah SWT bermaksud: “Kekuatan itu hanya bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang beriman.” (Surah al-Munafiqun, ayat 8)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jangan biarkan lidah ‘memandu’ kita ke neraka

Posted by epondok di Mac 26, 2012

Oleh Nik Salida Suhaila

 

Berbicara berdasarkan pengetahuan bukan buat tohmahan menyakitkan hati

 

KEMAJUAN teknologi dan kecanggihan medium komunikasi hari ini memungkinkan silaturahim manusia bertambah erat, malah sistem perantaraan yang serba pantas sedikit sebanyak turut memberi kesan yang positif dalam sistem penyampaian. Sungguh pun begitu, setiap sesuatu adalah baik sekiranya ia digunakan dengan baik dan begitulah sebaliknya. Begitu juga dalam hal yang berkaitan dengan komunikasi sesama insani.

Sebelum adanya medium komunikasi maya, kita hanya bermuamalah antara satu sama lain dengan cara bersemuka dan melalui alat perhubungan jarak jauh seperti surat, telefon, faks dan sebagainya. Walaupun komunikasi jarak jauh tidak sama dengan komunikasi bersemuka, tetapi kita tetap menjaga budi bahasa dalam berbicara. Memang itulah juga yang dituntut oleh agama kerana adab ketika berbicara antara sesama manusia bukan hanya sekadar apabila kita menghadap wajah, tetapi perlu disantuni setiap masa.

Begitu juga hubungan kita dengan makhluk Allah SWT yang lainnya. Lantaran Allah SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain, maka manusialah yang harus bersopan santun sewaktu bermuamalah dengan sesiapa saja, termasuklah kepada binatang dan alam. Keistimewaannya yang paling utama ialah Allah menciptakan akal supaya manusia berfikir, maka fikirlah setiap satu matlamat dan akibat atas setiap bicara kita.

 

Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia meskipun hanya dengan menggunakan dua tangan atau lirikan mata sebagai isyarat. Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4 bermaksud: “Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang telah mengajarkan al-Quran, Dialah yang telah menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.” Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk memanfaatkan lidah supaya sentiasa mengungkapkan kalimah yang mulia agar setiap butiran bicara itu mendapat keredaan Allah.

 

Berbicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik mempunyai tatacara dan adab yang tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta sikapnya. Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah adalah ibadat yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

 

Perkara yang paling utama apabila kita berbicara ialah jangan sekali-kali kita berbicara mengenai sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa. Malah mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan atau keterlanjuran berkata-kata mengenai sesuatu yang tidak pasti dan sia-sia. Di dalam Surah Al-Mukminun, ayat 1-3 Allah SWT merakamkan kalam yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan pula berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana, kerana orang yang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan mengaplikasikan pengetahuan dalam berbicara dan jangan pula berdebat dengan orang yang berperangai buruk atau terlalu banyak tohmah kerana mereka akan menyakitkan hati saja. Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan. Abu Darda’ menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

 

Tutur kata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan.

 

Walau bagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina, memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor, mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

 

Daripada Jundub bin Abdullah ra., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada seorang lelaki berkata: Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si polan itu.’ Allah Azzawajalla lalu bersabda: “Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si polan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.” (Riwayat Muslim).

 

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Kalau diperhatikan, perbualan hari ini banyak yang menyentuh perihal orang lain. Banyak kali ia mengakibatkan perasaan yang terluka jika diketahui si empunya diri mengenai tohmah yang dilempar, sering kali pula mangsa tohmah memutuskan silaturahim kerana tidak ingin memaafkan orang yang mengata. Hal ini amatlah memalukan umat Islam yang utuh dengan sikap saling menghormati sesama saudara seagama dan takutkan kekufuran kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain, melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat itu.” (Riwayat al-Bukhari).

 

Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai-sungai yang luhur dan tanah-tanah yang subur. Biar kita diuji dengan tohmah jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana dunia yang banyak onar.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Alasan pinggir ibu bapa lebih didorong bisikan syaitan

Posted by epondok di Mac 25, 2012

Oleh Amran Zakaria


ADA tiga kes ibu bapa menjadi tajuk berita dalam akhbar iaitu ‘Buang bapa, kebas wang’, ‘Tinggalkan ibu lumpuh di hotel’ dan ‘Buang ayah sebab ayah pengacau’. Ketiga-tiga tajuk berkenaan benar-benar menyentap perasaan. Lebih terhiris hati apabila membaca pengakuan anak yang menyebut “Saya mengaku dia bapa kandung saya tetapi kami tidak serasi hidup bersama kerana kehadirannya membawa masalah kepada rumah tangga saya”.

Cerita Alqamah dengan ibunya banyak memberi pengajaran kalau kita benar-benar menghayatinya. Peranan yang dimainkan Rasulullah SAW mendorong ibu Alqamah segera memaafkannya, berbeza dengan pendiriannya sebelum itu. Sifat pemaaf ibu memudahkan Alqamah menghembuskan nafas akhirnya.

Sebaik saja Alqamah dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di kuburnya lalu bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis Riwayat Abu al-Laith)

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).” (Hadis Riwayat Muslim) Justeru, isteri perlu memahami hak ibu ke atas anaknya yang diberi keutamaan dalam Islam. Lantaran, anak-anak akan bertindak dengan apa yang terbiasa dilakukan pada ibu bapa kerana kesaksamaan Allah itu maha adil.

Perbuatan anak di dunia sebenarnya menjadi ukuran dalam melayani kedua-dua ibu bapanya. Perbuatan anak dikatakan menjadi bayangan kepada penerimaan dirinya sebagai ayah pada hari tua nanti. Setiap perbuatan kita terhadap orang tua akan diterima pembalasannya pada usia yang sama. Sebenarnya, alasan untuk meminggirkan kedua-dua ibu bapa kita lebih terdorong oleh bisikan nafsu. Membiarkan nafsu menguasai diri akan merosakkan nilai sahsiah manusia. Banyak kerosakan yang berlaku hari ini berpunca daripada kehendak nafsu, sama ada nafsu ingin membalas dendam atau amarah yang tidak terkawal terhadap kedua-dua ibu bapa kita. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu amarah sangat mengheret kepada kejahatan.” (Ayat 53: Surah Yusuf).

Sebagai seorang anak yang baik, kita hendaklah memperbanyakkan perkataan yang lembut dengan rangkuman kasih sayang kepada ibu bapa. Rendahkan suara di hadapan keduanya dan usah bersikap menyombong diri seperti yang diperintahkan Allah dalam firman-Nya: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang…” (Surah Al-Isra, ayat 24)

Orang yang beriman akan memberi keutamaan kepada kedua-dua ibu bapanya sebagai tanggungjawab yang besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan untuk berbakti kepada ibu bapa ketika hidupnya mengakibatkan kita menempuh laluan sukar di akhirat nanti.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).” (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua apabila menyalahi perintah kedua-duanya, seperti bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang daripada mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun, bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan kepada Aku tempat kembali mu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Anak yang derhaka kepada ibu bapa tidak akan mendapat keberkatan hidupnya di dunia. Sesiapa yang derhaka kepada ibu bapa akan disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat. Selama mana kita tidak diredai ibu bapa selagi itulah kita hidup dalam kemurkaan Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua-dua ibu bapa” (Hadis riwayat Tirmizi)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Mukmin sedia bantu saudara hidup susah

Posted by epondok di Mac 25, 2012

Oleh Amran Zakaria

SIFAT orang mukmin itu dikenal melalui pancaran jiwanya yang sentiasa membantu saudaranya yang memerlukan. Hatinya akan resah apabila adanya kes terlepas pandang akan bantuan yang sepatutnya dihulurkan.

Sekurang-kurangnya bantuan berkenaan dapat meringankan bebanan dan cabaran kehidupan. Prinsip ini menjadi tunjang pentadbiran Khalifah Islam yang sedaya upaya menghilangkan kesusahan rakyat dengan menyumbangkan keperluan hidupnya.

Rasulullah SAW bersabda, “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai Allah ialah menggembirakan hati orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar.”

Barangsiapa yang mengusahakan keperluan saudaranya, pasti Allah akan mengusahakan keperluannya. (Riwayat Imam Ahmad)

Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredaannya di dalam hatinya pada hari kiamat.

“Sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari kiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu,” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Rasulullah SAW bukan saja mempamerkan peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin, bahkan baginda amat memahami keperluan orang miskin secara praktikal. Sifat Baginda yang sentiasa menggembirakan hati umat Islam, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan ketika itu.

Pekanya Baginda terhadap penderitaan orang miskin ini ialah antara lain kerana Rasulullah SAW sendiri hidup di dalam keadaan miskin. Begitu juga dengan sahabat Baginda yang terbukti mencontohi Nabi dalam apa jua tindakan dan amalannya.

Setiap bantuan dan pertolongan yang diberikan ikhlas kerana Allah, tidak menjadi sia-sia kerana jaminan daripada Allah SWT bahawa Dia akan membalas dengan balasan lebih baik sama ada di dunia atau pun di hari akhirat.

Allah berfirman bermaksud, “Hai orang beriman, sukakah kamu (bila) aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada api neraka? (Yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu.

“Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya; Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai dan memasukkan (kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam Syurga ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar. (Surah Ash-shaff, ayat 10-12)

Kehadiran sahabat banyak memberi manfaat kepada saudara yang lain, menggembirakan hati orang Islam, membantu menghilangkan kesusahan, menunaikan keperluan hidupnya dan memberi makan orang yang lapar, menunaikan hajatnya dan sentiasa bersabar mendepani cabaran kehidupan.

Saidina Uthman bin Affan diceritakan banyak bersedekah hartanya untuk masyarakat Islam, khususnya untuk orang miskin ketika berlaku kegawatan pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar As Siddiq.

Ketika itu Madinah mengalami kesusahan akibat kemarau berpanjangan. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan banyak yang mati. Masyarakat Madinah berdepan masalah kelaparan kerana kekurangan bekalan makanan.

Pada masa berlakunya kegawatan itu, datang rombongan kafilah dari negeri Syam membawa barang dagangan yang sebahagian besar berupa makanan. Antara barangan yang dibawa untuk disedekahkan ialah gandum, minyak dan kismis yang dibawa oleh 1,000 unta dan diagihkan kepada orang Islam yang miskin ketika krisis ekonomi melanda Madinah.

Rupanya barang dagangan itu kepunyaan tokoh perniagaan yang terkemuka, Usman bin Affan. Peniaga Madinah berebut membelinya dengan maksud akan dijual kembali kepada masyarakat yang memang sangat memerlukannya. Mereka menawar barang dagangan itu dengan harga tiga kali ganda daripada harga pembeliannya.

Tawaran yang sangat menguntungkan itu ditolak oleh Usman bin Affan sebaliknya beliau bersedia menginfakkan hartanya pada jalan Allah kerana yakin akan keuntungan yang bakal diperolehnya nanti.

Usman Affan dengan penuh yakin menyatakan, “Allah menjanjikan kepadaku keuntungan tidak kurang daripada 700 kali ganda, tidakkah kalian ingat janji Allah itu dalam al-Quran?” lalu beliau membacakan firman Allah bermaksud: “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya pada jalan Allah, tidak ubahnya sebutir biji yang tumbuh menjadi tujuh tangkai. Pada masing-masing tangkai terdapat 100 butir biji.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Begitulah mulianya sifat yang ditunjukkan oleh sahabat Rasulullah SAW yang mengutamakan kepentingan saudaranya melebihi kepentingan diri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang mengusahakan keperluan saudaranya, pasti Allah akan mengusahakan keperluannya’. (Riwayat Imam Ahmad).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Allah sahaja mengetahui segala yang ghaib

Posted by epondok di Mac 24, 2012

ALLAH SWT memerintahkan kepada Rasul-Nya supaya mengatakan kepada manusia bahawa baginda tidak mengetahui bila akan berlakunya hari Kiamat sama ada waktunya sudah hampir atau masih jauh.

Baginda juga tidak mengetahui sedikit pun daripada yang ghaib, kecuali jika baginda diberitahu oleh Allah SWT. Dia sangat mengetahui para Rasul telah menyampaikan risalah Tuhan mereka sama ada secara umum mahupun yang terperinci.

Firman Allah SWT: (Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: Aku tidak mengetahui, apakah azab yang diancamkan kepadamu itu dekat ataukah Tuhanku menjadikan bagi (kedatangan) azab itu masa yang panjang? (Dia adalah Tuhan) yang mengetahui yang ghaib, maka dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredai-Nya, maka sesungguhnya dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya. (al-Jin: 25-27)

Al-Mawardi berkata: Perkataan yang mengetahui yang ghaib ada empat pendapat;

* Mengetahui yang rahsia seperti pendapat Ibn Abbas.

* Apa yang kamu tidak nampak yang menjadi ghaib bagimu seperti pendapat al-Hasan.

* Iaitu yang ghaib adalah al-Quran seperti pendapat Ibn Zaid

* Yang ghaib adalah hari Kiamat dan peristiwa yang akan berlaku seperti pendapat Ibn Abi Hatim.

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya supaya mengatakan kepada mereka dia tidak mengetahui tentang hari Kiamat, begitu juga waktu ketika mana ia berlaku.

Al-Maraghi berkata: Dia mengetahui apa yang ghaib daripada penglihatan makhluk-Nya sehingga mereka tidak melihatnya. Dan yang demikian ini tidak diketahui oleh seorang pun kecuali para rasul AS yang diredai-Nya. Dia memberitahu kepada mereka apa yang dikehendaki-Nya daripada yang ghaib itu.

Ayat ini menunjukkan perbuatan melakukan ramalan, nujum dan sihir adalah sesuatu yang batil.

Ar-Razi berkata: Ayat yang mulia ini bermaksud, Dia tidak memberitahu kesediaan peristiwa ghaib yang diketahui-Nya tentang kedatangan hari Kiamat. Terdapat beberapa alasan yang menunjukkan perkara itu;

* Para penganut agama dan kepercayaan telah membuktikan kebenaran ilmu takwil dan tafsir mimpi. Orang yang mentafsirkan mimpi itu kadang-kadang memberitakan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang dan pentafsirannya itupun kadang-kadang benar.

* Tukang tilik dari negara Baghdad ini telah dipindahkan oleh Sultan Sinjar Ibnu Malik Shah dari Baghdad ke Khurasan dan telah ditanya tentang sesuatu perkara yang akan datang, lalu dia telah menyebut beberapa perkara yang kemudiannya berlaku bersesuaian dengan pembicaraannya.

* Kita menyaksikan di antara ahli mimpi (perkara itu tidak dikhususkan kepada para wali, tetapi kadang-kadang didapatkan juga oleh tukang-tukang sihir), dan orang yang benar dalam perkhabarannya. Termasuk juga ilmu yang berdasarkan bintang, seringkali sesuai dengan apa yang berlaku. Apabila perkara itu dapat disaksikan dan dialami, maka pendapat yang mendakwa al-Quran menunjukkan yang sebaliknya dapat menimbulkan celaan terhadap al-Quran al-Karim.

Ad-Dahak berkata: Tidak diutus seorang Nabi pun kecuali dia disertai oleh para malaikat yang menjaganya daripada syaitan-syaitan yang menyamar dalam bentuk malaikat. Apabila datang seorang syaitan dalam bentuk malaikat, maka para malaikat mengatakan kepada Nabi, berwaspadalah, ini adalah syaitan dan apabila datang kepada Nabi itu seorang malaikat, maka para malaikat penjaga mengatakan: “Ini adalah utusan Tuhanmu!”

Hamka berkata: Rasul-rasul yang diredai oleh-Nya akan dijagai dan dipelihara daripada sebarang ancaman musuh.

Al-Qasyani berkata: Penjagaan itu di sisi Allah SWT yang selalu menghadap wajah kepadanya sesudah itu ialah Ruhul Qudus dan berbagai Nur (cahaya) Malakut, iaitu alam Malaikat dan Rabbani. Ataupun penjagaan pada anggota tubuh dengan kesungguhan mengerjakan ibadah dan zikrullah, maka ia menjadi perisai dalam menghadapi apa sahaja cabaran dan rintangan dalam menyampaikan dakwah.

Firman Allah SWT: Supaya dia mengetahui, bahawa sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya, sedang (sebenarnya) ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan dia menghitung segala sesuatu satu persatu. (al-Jin: 28)

Ahli tafsir berbeza pendapat mengenai dhamir (kata ganti) yang terdapat dalam firman-Nya, kepada siapa kembalinya? Ada yang berpendapat kata itu kembali kepada Nabi SAW.

Al-Mawardi menyebut lima pendapat;

* Supaya Muhammad mengetahui yang Jibril menyampaikan risalah Allah dan memeliharanya. Inilah pendapat Ibn Jubair.

* Supaya Muhammad mengetahui rasul-rasul sebelumnya telah menyampaikan risalah Allah. Inilah pendapat Qatadah.

* Supaya Muhammad mengetahui siapa yang mendustakan rasul-rasul yang telah menyampaikan perintah Tuhan-Nya. Inilah pendapat Mujahid.

* Supaya jin mengetahui bahawa rasul-rasul telah menyampaikan wahyu Allah dan mereka bukanlah mencuri maklumat seperti pendapat Ibnu Qutaibah.

* Supaya Allah mengetahui yang rasul-rasul-Nya telah menyampaikan risalah daripada-Nya seperti pendapat al-Zajjaj.

Abdul Razaq mengatakan dari Ma’mar daripada Qatadah: Nabi mengetahui para Rasul menyampaikan tugas daripada Allah dan para Malaikat menjaganya.

Ibnu Jauzi dalam kitab Zadul Masir berkata: Allah SWT sentiasa menjaga rasul-rasul-Nya melalui para malaikat agar mereka boleh menyebarkan risalah-Nya serta menjaga wahyu yang diturunkan agar Dia mengetahui mereka telah menyampaikan risalah Tuhan.

Sayid Qutub berkata: Rasul-rasul yang dipilih dan diredai Allah SWT akan dibuka pengetahuan ghaib-Nya iaitu mengenai semua yang berkaitan dengan wahyu yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Serentak itu juga Allah menjaga para rasul-Nya daripada godaan dan bisikan syaitan. Gambaran kawalan dan pengawasan yang sempurna terhadap Rasullullah SAW sangat jelas dalam ayat tersebut. Allah SWT mengetahui semuanya untuk menjelaskan bahawa penyampaian dakwah sudah terlaksana kepada manusia di muka bumi.

Surah ini membincangkan dua perkara utama;

n Menceritakan ungkapan-ungkapan yang keluar daripada kalangan bangsa jin ketika mendengar bacaan al-Quran. Di kalangan jin itu ada yang berkata al-Quran dianggap sebuah kitab yang menunjukkan kepada jalan yang lurus.

Maha Suci Allah SWT daripada mempunyai isteri dan anak, mereka menyangka bahawa tidak ada seorang pun yang mendustakan Allah SWT. Terdapat juga di kalangan manusia yang meminta pertolongan daripada golongan jin untuk menghilangkan kesempitan hidup mereka, para jin mencari berita dari alam atas tetapi mereka dihalang.

Dalam pada itu, para jin tidak mengetahui apa yang berlaku di bumi kerana halangan ini. Di kalangan jin pula ada yang baik dan ada yang jahat. Ada yang Islam dan ada yang kafir menyimpang daripada kebenaran.

n Perintah yang disampaikan kepada Nabi SAW agar disebarkan kepada makhluk. Antara dilarang menyekutukan sesuatu dengan Tuhannya. Baginda juga tidak mampu mendatangkan manfaat atau bahaya.

Baginda juga tidak mampu menghalang seseorang daripada menderhaka kepada Allah SWT, andainya orang tersebut ingin menderhakai-Nya. Baginda juga tidak mengetahui bilakah saat mereka akan diseksa kerana hanya Allah SWT sahaja Yang Mengetahui.

Semoga Allah menempatkan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh, sekali gus melayakkan kita untuk menghuni syurga-Nya. Amin

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kekalnya jasad para Nabi

Posted by epondok di Mac 23, 2012

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

DI antara salah faham yang berlegar di kalangan umat adalah tanggapan bahawa mereka yang sudah berpindah ke alam barzakh sudah terputus langsung hubungan dengan yang masih hidup.

Sedangkan nas-nas dan huraian ulama seperti yang sedang kita bentangkan menunjukkan sebaliknya, terutamanya bagi mereka yang istimewa kedudukannya di sisi Allah seperti para Anbia dan Syuhada.

Antara bukti keistimewaan mereka ini di alam barzakh adalah kekalnya jasad mereka dan tidak reput seperti mayat manusia biasa. Kekalnya jasad mereka ini adalah tanda bahawa kehidupan roh mereka juga berbeza berbanding dengan roh manusia biasa.

Telah diriwayatkan hadis daripada Aus ibnu Aus RA, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya, di antara hari yang paling mulia bagi kalian adalah hari Jumaat; pada hari itu diciptakan Adam RA, pada hari itu juga nyawa Adam AS dicabut, hari itu jugalah ditiup sangkakala dan pada hari itu jugalah semua makhluk dimatikan. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian dibentangkan kepadaku.”

Mereka bertanya: “Bagaimanakah selawat kami itu boleh dibentangkan kepadamu, sedangkan kamu telah pun binasa.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad-jasad para nabi.”

Maka ketahuilah bahawa hadis, “Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad-jasad para nabi”, diriwayatkan daripada banyak jalan; sepertimana yang telah dikumpulkan oleh al Hafiz al Munziri di dalam bahagian yang khusus.

Beliau berkata di dalam kitab al-Targhib wa al-Tarhib: Bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad yang baik. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban di dalam kitab Sohihnya. Manakala al-Hakim mensohihkannya.

Ibnu Qayyim berkata di dalam Kitabnya al-Ruh yang dinaqalkannya daripada Abi Abdullah al-Qurtubi: “Adalah sohih riwayat daripada Nabi SAW, bahawa bumi tidak memamah jasad-jasad para nabi. Sesungguhnya Nabi SAW telah berhimpun bersama mereka pada malam Israk di Baitulmaqdis dan juga di langit, teristimewanya bersama Nabi Allah Musa AS.

Baginda SAW juga mengkhabarkan dengan sabdanya: “Setiap Muslim (yang telah mati) apabila diucapkan salam kepadanya, maka Allah SWT akan mengembalikan rohnya sehinggalah dia dapat menjawab salam tersebut.”

Begitu juga dengan hadis-hadis lain; yang kesimpulannya memutuskan bahawa kewafatan para nabi sebenarnya bermaksud hilangnya mereka daripada pandangan kita, iaitu kita tidak dapat melihat mereka, sekalipun mereka sentiasa wujud dan hidup.

Hal ini adalah sama seperti malaikat; mereka itu hidup dan sentiasa wujud, akan tetapi kita tidak dapat melihat mereka.

Di sini, dinaqalkan perkataan Imam al-Qurtubi yang juga telah diakui oleh Syeikh Muhammad al-Safarini al-Hanbali di dalam syarah Kitab Aqidah Ahli Sunnah sebagaimana nasnya yang berbunyi: Telah berkata Abu Abdullah al-Qurtubi: Telah berkata guru kami Ahmad ibnu Umar al Qurtubi, pengarang Kitab al-Mufhim fi Syarh Muslim: Apa yang dapat menghilangkan kerumitan ini ialah kematian itu bukanlah bermaksud betul-betul tiada, akan tetapi ia bermaksud perpindahan dari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain. Hal ini dibuktikan berdasarkan keadaan para syuhada selepas mati dan dibunuh, mereka itu hidup dengan gembira dan diberikan rezeki di sisi Tuhan mereka.

Ini adalah sifat-sifat orang-orang yang hidup di dunia. Sekiranya hal ini berlaku kepada syuhada, maka para nabi adalah lebih berhak dan lebih utama untuk mendapat keistimewaan ini. Imam al-Qurtubi ada menyebut, bahawa jasad-jasad para nabi tidak akan hancur ditelan zaman.

Al-Imam al Hujjah Abu Bakar ibnu al Husin al-Baihaqi telah mengarang sebuah risalah khusus mengenai tajuk ini. Di dalamnya, beliau telah menghimpunkan sejumlah daripada hadis-hadis yang menunjukkan hidupnya para nabi di alam barzakh dan kekalnya jasad-jasad mereka.

Begitu juga al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti. Beliau telah mengarang sebuah risalah khusus berkenaan tajuk ini.

‘Hidupnya’ para Nabi di alam barzakh dengan cara yang tersendiri baik dari segi roh dan jasad seperti yang kita bahaskan menunjukkan bahawa wajarlah kita melayan mereka dengan cara yang tersendiri juga.

Wajarlah menziarahi kubur mereka dikira sebagai suatu yang digalakkan seperti menziarahi mereka ketika masih hidup. Adalah salah jika perbuatan menziarahi kubur dan menghormati orang-orang soleh yang telah meninggal dunia dianggap serong dan sesat

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ketahui hikmah di sebalik pensyariatan

Posted by epondok di Mac 22, 2012

Oleh ZUARIDA MOHYIN

SESUNGGUHNYA Allah SWT mensyariatkan agama Islam untuk memberi kebaikan kepada manusia di dunia dan di akhirat. Malah Allah telah berfirman tentang martabat nabi-Nya SAW dalam surah al-A’raf ayat 157.

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi (tidak menulis dan tidak membaca), yang (namanya) dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka daripada mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Mereka orang-orang yang beriman kepadanya (nabi), memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang (al-Quran) yang diturunkan kepadanya. Mereka itulah orang yang beruntung.

Allah SWT telah menjadikan nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang terakhir. Demikian juga Allah menjadikan risalah terakhir yang diturunkan kepada manusia ialah agama Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.

Keistimewaan risalah (agama) yang diutus oleh Allah SWT ini adalah semuanya menyeru manusia kepada melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Telah Kami wahyukan kepada mereka agar mengerjakan kebaikan, mendirikan solat, menunaikan zakat dan hanya kepada Kami-lah (Allah) mereka selalu menyembah. (al-Anbiya: 73)

Semua ajaran tersebut diturunkan untuk memberi kebahagiaan kepada orang Islam semasa hidup di dunia agar dapat menikmati suatu kehidupan yang baik, kemudian berpindah daripadanya kepada kebahagiaan yang sempurna, kemenangan yang lengkap serta kemuliaan yang besar, iaitu mendapat keredaan Allah dan nikmat syurga-Nya di akhirat.

Setiap orang yang mengkaji dengan mendalam agama yang agung ini, akan mendapati bahawa ia dibina atas ajaran yang suci dan tujuan yang sangat murni.

Maka telah sempurnalah satu anugerah kepada umat Islam serta limpahan rahmat yang datang daripada segenap sudut kepada mereka. Dari satu sudut, umat Islam diperintahkan supaya melakukan ketaatan dan kebaikan serta dilarang daripada melakukan maksiat dan perkara-perkara buruk.

Pada masa yang sama, kita diperintahkan oleh Allah SWT agar mengikuti dan mencontohi serta meneladani sifat-sifat sempurna dan ciri-ciri istimewa penghulu segala manusia iaitu Rasulullah SAW.

Oleh itu, jadilah agama Islam ini suatu agama yang lengkap dari segenap perintah, larangan, syariah perundangan, kelebihan amalan dan galakan untuk melakukannya.

Yang pastinya, mengetahui keindahan Islam itu menjadikan seseorang Muslim itu bertambah kuat pegangan agamanya, bertambah cinta kepada-Nya serta bertambah kuat iltizamnya.

Malah keindahan ini juga dapat menjadikan orang yang terpesong daripada landasan kembali kepadanya, boleh membuka pintu yang besar daripada pintu-pintu iqtina’ (penerimaan secara terbuka) agar mereka mendapat petunjuk dan menerima Islam, lalu selamat dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

Suatu perkara yang tidak diragukan lagi, sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulama: “Umat Islam hari ini, bahkan penduduk alam ini seluruhnya sangat berhajat kepada penjelasan tentang agama Allah, menyedari keindahannya serta mengenali hakikat kebenarannya. Demi Allah, kalau sekiranya manusia hari ini mengetahui tentang hakikat sebenar agama ini, nescaya mereka akan berduyun-duyun memeluk Islam.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Tugas kepemimpinan berat, tidak patut dikejar

Posted by epondok di Mac 21, 2012

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Wajib bersikap adil pikul tanggungjawab dan amanah, elak berhukum ikut hawa nafsu

KEPEMIMPINAN adalah peranan sosial seseorang pemimpin dalam pergaulannya dengan orang ramai dalam masyarakat atau kelompok pim-pinannya. Peranan ini menjadikan seseorang pemimpin itu mampu mempengaruhi orang lain dan membimbing mereka ke arah mencapai cita-cita kelompok atau masyarakat berkenaan.

Sebenarnya kepemimpinan itu adalah peranan semua orang. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW dijelaskan bahawa setiap orang adalah pemimpin yang berfungsi dalam lingkungan kepemimpinan masing-masing.

Dalam skop lebih luas, kita boleh lihat hakikat seseorang individu dalam ayat al-Quran yang membicarakan soal kesanggupan manusia memikul amanah kepemimpinan di muka bumi (khilafat Allah fi al-Ard).

Allah SWT berfirman bermaksud “Sesungguhnya kami menawarkan amanah itu kepada langit, bumi dan bukit-bukau tetapi semuanya enggan memikulnya dan merasa khuatir akan mengkhianatinya. Lalu ia dipikul oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Surah al-Ahzab ayat 72)

Ayat ini menggambarkan tugas kepemimpinan sebagai khilafah Allah SWT di bumi ini adalah satu amanah amat besar yang tidak sanggup dipikul oleh bumi sendiri. Begitu juga dengan langit dan gunung-ganang.

Meskipun dalam beberapa ayat lain Allah SWT menyifatkan manusia itu sebagai makhluk istimewa tetapi dalam ayat ini Allah menyifatkan mereka sebagai menzalimi diri dan jahil. Ini menyebab-kan mereka sanggup memikul amanah sangat berat dan paling mencabar itu.

Atas dasar inilah, barangkali apabila Allah SWT memaklumkan bahawa Dia akan menjadikan manusia sebagai pemimpin atau khalifah Allah di bumi, maka malaikat terus bertindak mempersoalkan kemampuan manusia itu.

Allah SWT berfirman bermaksud “Apabila Tuhanmu berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi itu khalifah. Mereka berkata Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di situ orang yang akan membuat kerosakan padanya dan akan menumpahkan darah, padahal kamilah yang sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah Ali Imran ayat 30)

Maksudnya, malaikat sangat meragui kemampuan manusia untuk menjadi pemimpin atau khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Sebabnya ialah mereka mempunyai kecenderungan buruk yang berasaskan hawa nafsu. Malah Allah SWT juga tidak menafikan kebenaran keraguan malaikat itu. Cuma Allah SWT menjelaskan ada tujuan lain lebih besar di sebalik penugasan itu. Dalam ayat lain, Allah SWT menjelaskan tujuan besar yang dimaksudkan itu ialah memakmurkan dunia ini.

Jelasnya, dalam konteks yang luas ini, kepemimpinan adalah amanah amat sukar untuk dilaksanakan dengan penuh jujur. Bagaimanapun ia satu kewajipan yang terpaksa dipikul oleh manusia memandangkan ada tujuan lebih besar di sebaliknya, iaitu memakmurkan bumi.

Dalam pengertiannya ringkas, amanah boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Satu istilah lain yang memberi erti yang bertentangan penuh dengannya ialah khianat.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis mengenai orang munafik. Apabila diamanahkan, dia berkhianat. Dalam bahasa Melayu khianat ini biasa juga disebut sebagai pecah amanah.

Konsep amanah sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan ini, boleh juga difahami daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibn Umar ra, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Ketua adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Kaum lelaki pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Perempuan adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan akan ditanya kepemimpinannya.

(Orang suruhan) adalah pemimpin (penjaga) hartanya dan dia juga akan ditanya mengenai penjagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin yang akan ditanya kepemimpinannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Layaknya kepemimpinan itu ialah satu beban yang dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin dalam segala hal yang berhubung dengannya.

Mengikut pandangan Islam, kepemimpinan itu bukan satu kedudukan yang perlu dikejar. Sebaliknya, kalau boleh perlu dielakkan. Nabi sendiri pernah menolak permintaan bapa saudaranya al-Abbas ra supaya dilantik menjadi gabenor di sebuah wilayah.

Malah Baginda pernah berkata kepada sahabat rapat baginda, Abu Zar mengenai kepemimpinan dengan berkata ia adalah satu amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan.

Perkara yang paling membimbangkan dalam memikul amanah dan tanggungjawab ini ialah wujudnya sikap tidak adil dan membuat keputusan berasakan hawa nafsu. Nabi Daud sendiri pernah diperingatkan oleh Allah SWT mengenai penyelewengan besar ketika melantik beliau menjadi Nabi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai Daud! Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil. Janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Surah Sad ayat 26)

Dalam satu ayat lain, Allah SWT juga menghubungkan soal amanah ini dengan menghukum dan membuat keputusan secara adil. Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya; dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkan dengan adil.” (Surah al-Nisa’ ayat 58)

Bagaimanapun, kepemimpinan itu sendiri amat penting sekali pada pandangan Islam. Kerana itulah Islam mewajibkan supaya institusi kepemimpinan itu ditegakkan baik dalam skop yang besar seperti khalifah yang bererti kepemimpinan negara atau dalam skop lebih kecil, yang semuanya boleh digolongkan dalam konsep ulu al-Amr.

Malah, Rasulullah SAW berpesan kalau dalam sesuatu perjalanan atau perkumpulan itu adalah lebih daripada seorang, maka salah seorang mesti dilantik sebagai pemimpin.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Solat sunat selepas majlis akad nikah

Posted by epondok di Mac 21, 2012

Melaksanakan solat sunat nikah boleh dilakukan selepas majlis akad nikah berakhir atau pada masa yang sesuai. Waktu yang terbaik boleh dilakukan bersama isteri iaitu ketika isteri datang menemui suami.

 

Kedua-duanya hendaklah bersolat terlebih dulu dan seterusnya berdoa kepada Allah supaya mendapat kebaikan daripada perkahwinan serta memohon perlindungan Allah daripada sebarang keburukan.

Terdapat riwayat daripada Abu Said yang menyebutkan bahawa sahabat lain mengajarnya mengenai solat sunat nikah ini, katanya: “Jika isterimu nanti datang menemuimu, hendaklah kalian berdua solat dua rakaat. Lalu mintalah kepada Allah kebaikan isterimu itu dan mintalah perlindungan kepada-Nya daripada keburukannya. Selanjutnya terserah kamu berdua” (Riwayat Ibnu Abi Shaybah)

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Penguatkuasa syariah kena bendung gejala sosial

Posted by epondok di Mac 20, 2012

Oleh Mahfudzah Mohamad

Mencegah khalwat boleh elak zina, kes buang bayi

GEJALA sosial yang tidak pernah menunjukkan tanda pengurangan kini berubah kepada keadaan amat membimbangkan khususnya kes pembuangan bayi. Trend pembuangan bayi di Malaysia seperti menjadi sumpahan apabila tabiat kejam dan tidak berperikemanusiaan ini semakin popular dalam kalangan remaja.

Malah bagi tempoh empat bulan pertama 2010, sejumlah 24 kes pembuangan bayi dilaporkan. Ini menyamai trend membunuh tiga nyawa tidak berdosa bagi setiap dua minggu atau dengan kata lain, wujud tiga pembunuh atau pembuang senyap dalam setiap minggu.

Peranan penguatkuasaan syariah ‘menjaga tepi kain orang’ tidak menjadi kesalahan bagi membendung gejala sosial daripada terus berleluasa

Persoalannya, apakah punca utama masalah ini dan adakah tidak ada jalan penyelesaian bagi mengatasinya? Adakah peruntukan undang-undang berkaitan masih tidak mencukupi dan penguatkuasaannya masih longgar sehingga menyebabkan ‘pembuang senyap’ ini amat berani beraksi tanpa mengambil kira keadaan sekeliling?

Atau adakah institusi kekeluargaan kini sudah sampai kepada tahap kritikal sehingga keadaan anak perempuan mereka yang hamil ini langsung tidak disedari oleh ibu bapa dan penjaga?

Selain usaha menerapkan nilai agama dalam masyarakat khususnya di dalam institusi keluarga, tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah buang bayi juga amat perlu ditingkatkan memandangkan gejala ini dilihat semakin menjadi-jadi. Bagi tindakan penguatkuasaan syariah pula, ia lebih kepada pencegahan kerana peruntukan kesalahan buang bayi atau menyembunyikan kelahiran tidak diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah.

Namun tindakan pencegahan inilah menjadi perkara amat penting kerana ia membabitkan penguatkuasaan terhadap kesalahan khalwat, perbuatan tidak sopan di tempat awam, hamil luar nikah, persetubuhan luar nikah dan lain-lain kesalahan berkaitan.

Namun masyarakat sering kali mempersoal tindakan penguatkuasaan syariah yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama (PPA) ini. Segala macam tohmahan dilempar kepada PPA yang kononnya hanya ingin ‘menjaga tepi kain orang’.

Apabila kes berjaya disabitkan dan hukuman dijatuhkan, timbul pula tohmahan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah bersifat menghina, kolot, menghalang kebebasan individu dan menjatuhkan maruah wanita khasnya bagi hukuman sebat syariah.

Falsafah hukuman jenayah dalam Islam dan matlamat hukuman dalam Enakmen Jenayah Syariah ialah untuk pencegahan, pembalasan terhadap perbuatan salah, ganti rugi dan pemulihan. Aspek pencegahan adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kejahatan.

Pencegahan akan berhasil apabila timbul rasa takut dalam kalangan masyarakat terhadap hukuman yang dikenakan. Pencegahan seperti ini terdapat pada semua hukuman yang ditetapkan oleh Undang-Undang Islam. Ini kerana keseluruhan hukuman ini mengandungi unsur-unsur yang membuatkan masyarakat takut untuk menghadapinya.

Aspek pembalasan pula dinyatakan dengan tegas oleh Allah di dalam Surah al-Maidah ayat 38 yang bermaksud – “Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka potonglah tangan kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka telah lakukan.”

Hukuman yang berbentuk ganti rugi pula adalah hukuman yang yang dikenali sebagai hukuman diyat. Secara jelasnya ia terdapat dalam kes pencerobohan yang dilakukan terhadap kepentingan orang lain.

Ada juga hukuman yang diperuntukkan bertujuan pemulihan bagi pesalah jenayah syariah. Pelaksanaan hukuman terhadap pesalah diharap dapat mengembalikan pesalah berkenaan ke jalan kebenaran dan menjauhkannya dari kemaksiatan. Firman Allah dalam Surah az-Zukhruf ayat 48 yang bermaksud – “Dan kami timpakan ke atas mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.”

Dalam Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah negeri terdapat peruntukan yang bertujuan untuk membanteras kegiatan jenayah ini pada peringkat awal lagi. Contohnya peruntukan bagi kesalahan khalwat. Jika diteliti secara mendalam, khalwat adalah faktor utama yang membawa kepada perzinaan yang akhirnya membawa kepada gejala hamil luar nikah dan buang bayi.

Maka di sinilah peranan penguatkuasaan syariah yang harus ‘menjaga tepi kain orang’ bagi membendung gejala sosial daripada terus berleluasa. Ini kerana tindakan ‘menjaga tepi kain orang’ ini tidak menjadi satu kesalahan dalam usaha membasmi gejala sosial, bahkan sikap seperti ini adalah sangat dituntut oleh Islam.

Ibu bapa atau penjaga juga perlu memainkan peranan mereka dalam mendidik anak dengan didikan agama bermula dari peringkat awal lagi kerana fitrah manusia khususnya remaja yang cepat terpengaruh oleh anasir luar yang merosakkan.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »