Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Masyarakat perlu kesedaran rohani hargai kejadian Tuhan

Posted by epondok di Mac 27, 2012


Oleh Nik Salida Shuhaila

SETIAP kejadian yang Allah SWT cipta dan aturkan mempunyai sebab dan alasan. Walaupun sifat manusia yang amat terbatas sering kali menyebabkan hikmah kejadian sesuatu tidak difahami, yang pasti, tiada siapa yang berhak mempersoalkan setiap kejadian kerana manusia itu sendiri juga adalah salah satu makhluk yang Allah SWT jadikan.

Sudah tentulah pemilik setiap kejadian di dunia ini tahu apa yang direncanakan, walaupun ia seburuk-buruk atau selemah-lemah kejadian pada mata manusia, tidak bermakna bahawa ia tidak cantik pada mata Yang Maha Mencipta.

Wanita ialah kejadian Allah SWT yang pernah menjadi konflik penerimaan masyarakat zaman Arab jahiliah suatu ketika dulu, sehingga bayi perempuan yang dilahirkan tidak akan diterima oleh ibu bapa dan orang sekeliling.

Apa yang berlaku, bayi perempuan ditanam hidup-hidup kerana kepercayaan bahawa hadirnya ‘perempuan’ dalam sebuah keluarga akan membawa aib dan malapetaka, tanpa mengambil kira sebab dan musabab yang menjadikan perempuan bencana kepada keluarga.

Dengan kehadiran Rasulullah SAW yang menyampaikan wahyu Allah SWT, konflik adat itu sedikit demi sedikit berkurangan kerana pengikut Baginda mula memahami hakikat kejadian Allah SWT yang harus dihormati dan dihargai.

Bayi perempuan yang dilahirkan mula diterima tanpa rasa malu dan keluh kesah, bahkan mereka dibesarkan dengan penuh kasih sayang kerana ingin patuh kepada risalah dibawa Rasulullah SAW, sekalipun mereka melanggar adat diamalkan berkurun lama.

Sudah tentu perintah Allah SWT untuk tidak menzalimi bayi perempuan adalah termasuk dengan larangan menganiaya kanak-kanak perempuan dan wanita. Sebagai makhluk yang Allah SWT jadikan dengan kesempurnaan sifat sebagai manusia, wanita tiada bezanya dengan lelaki, melainkan keperluan biologi yang berbeza menjadikan lelaki dan wanita saling melengkapi antara satu sama lain.

Struktur sosial yang membina jantina, iaitu kecenderungan maskulin atau feminin dalam sesuatu tindakan tidak semestinya terbatas kepada seksual tertentu kerana sifat maskulin atau feminin adalah sangat subjektif dan ia diterjemahkan oleh masyarakat mengikut konteks setempat.

Contohnya, di Malaysia, lelaki tidak dilarang daripada mempunyai kerjaya feminin seperti tukang masak atau jururawat dan wanita pula tidak dihalang jika ingin menjadi juruterbang atau pemandu bas.

Bahkan, Allah SWT membezakan manusia di atas amal salih dilakukan di dunia, bukan melebihkan golongan tertentu kerana dilahirkan dengan jantina tertentu. Dilahirkan sebagai lelaki atau wanita tidak menjanjikan keistimewaan sekiranya kurang amalan baik di dunia.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl, ayat 97 bermaksud: “Sesiapa yang beramal salih antara lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka sudah kerjakan.”

Kepincangan sosial dalam masyarakat hari ini iaitu jenayah pembunuhan, rogol, sumbang mahram, penderaan fizikal dan seksual isteri, pemerdagangan manusia, keldai dadah dan sebagainya yang mangsanya adalah wanita tidak jauh bezanya dengan akhlak jahiliah menzalimi bayi perempuan.

Tetapi situasi hari ini lebih menakutkan kerana kezaliman dilakukan bukan kerana adat dan kepercayaan tetapi kerana pelakunya memang zalim. Jika pada zaman jahiliah perbuatan menanam bayi hidup-hidup tidak dirasakan zalim tetapi demi ‘kebaikan’ sesebuah keluarga, hari ini, perbuatan zalim ke atas wanita dilakukan yang pemangsa tahu perbuatannya zalim tetapi tetap dilakukan juga.

Hari ini, usaha agresif yang bersifat holistik dengan kesedaran dan kerjasama segenap lapisan masyarakat adalah keperluan yang semakin terdesak untuk mengembalikan inti pati perintah Allah SWT agar setiap makhluk yang dicipta oleh-Nya dihargai dan dihormati. Apa pun alasan, tiada siapa berhak ke atas tubuh badan dan nyawa makhluk Allah yang lain melainkan yang hak.

Undang-undang sivil dan syariah sedia ada adalah mekanisme paling kuat untuk melindungi wanita dan sekian lama menjadi pemangkin menjaga hak dan keselamatan mereka, sama ada dalam atmosfera awam mahupun domestik, tetapi ia tidak mencukupi sekiranya persekitaran dan budaya serta cara hidup tidak menjadi faktor penggalak yang menyokong usaha ini.

Rohani masyarakat perlu disedarkan supaya menghormati dan menghargai setiap kejadian Allah SWT. Usaha membina sosial yang sentiasa melindungi wanita perlu dipergiatkan, dilakukan dalam pelbagai bentuk dan dalam segenap peringkat.

Usaha memperkasa wanita dibantu dengan sistem sokongan yang kuat bukannya dengan usaha tunggal wanita semata-mata. Ancaman jenayah dan landskap sosial yang membantutkan usaha menjadikan wanita kabilah yang kuat seterusnya memperkasakan warga yang lainnya di negara ini harus dikenal pasti dan dijadikan tembok penghadang supaya wanita semakin selamat di dunia.

Apabila golongan Hawa dimomokkan sebagai punca kejahatan, ia tidak membantu menambah baik situasi sedia ada sebaliknya menjadi alasan untuk mengizinkan kezaliman ke atas mereka.

Momokan itu juga hampir menolak hakikat bahawa lelaki sebagai wali (penjaga) sama ada datuk, bapa, suami serta abang dan adik lelaki mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan golongan Hawa dalam sesebuah keluarga wajib dibimbing dan dilindungi keselamatan mereka sekiranya mereka tidak mampu menjaga diri sendiri. Justeru, sekiranya wanita merosakkan masyarakat, siapa pula yang merosakkan wanita?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: