Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 26 Mac 2012

Tiada kesepakatan punca umat Islam ditindas musuh

Posted by epondok di Mac 26, 2012

Oleh Nor Aimi Mohd Tahir

RASULULLAH sudah buktikan hanya ketakwaan senjata paling berkesan pertahan agama dan tanah air. Perubahan peradaban manusia berlaku amat pantas. Islam yang satu ketika dulu begitu gemilang, kini jatuh tersungkur di tangan Barat yang mendominasi dunia terutama dari segi ekonomi.

Umat Islam dalam sejarah adalah kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi pada hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri selain dilabel dengan imej negatif atau pengganas.

Berita keganasan, pembunuhan dan pencerobohan dilakukan kuasa besar Barat terhadap umat Islam bukan perkara baru kerana berlaku sejak lama dulu sehingga hari ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. (Surah al-Anfaal, ayat 73)

Keganasan dan penindasan di Palestin, Lubnan, Kosovo, Chechnya, Bosnia dan paling hampir dengan negara kita seperti Thailand berlaku tanpa pembelaan sewajarnya. Sehingga kini entah berapa banyak nyawa terkorban, harta musnah dan air mata tumpah membasahi bumi. Peristiwa ini sungguh mengguris jiwa umat Islam.

Hari ini, ramai pemimpin negara Islam lantang menyeru umat Islam bersatu bagi menyelamatkan negara daripada penjajahan. Namun, usaha merealisasikannya bukan saja kabur, malah tidak bersungguh-sungguh serta tidak jelas dari segi matlamat dan kaedah yang mesti dilaksanakan.

Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika segala ideologi yang menyesatkan seperti sekularis, komunis, sosialis dan kapitalis masih digunakan pemimpin Islam sendiri.

Ideologi bertentangan Islam patut ditolak oleh umat Islam. Jika kita lihat ketika ini kesatuan Islam masih lemah dan keadaan menjadi lebih buruk apabila umat Islam mengalami masalah dalaman sesama sendiri di samping masalah luaran dengan negara Islam lain.

Negara Islam hari ini, secara umum lemah dari pelbagai segi merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Sehingga kini kesatuan dan kekuatan umat Islam secara keseluruhan masih belum pulih. Kelemahan ini juga menjadikan Barat semakin berani menekan dan melakukan pelbagai penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam.

Pemimpin negara Islam masih gagal mencapai kata sepakat menangani masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam seperti di Palestin semakin terancam. Mereka juga tidak memahami perkara awlawiyyat (keutamaan) sehingga menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam terabai. Kegagalan ini juga mengakibatkan negara Islam terpaksa tunduk pada kehendak Barat.

Kebanyakan kita mengaku sebagai umat Islam, namun setakat manakah peranan dan tanggungjawab sebagai saudara seagama dalam usaha membantu mereka yang ditindas dan apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Surah al-Anfaal, ayat 73)

Kini sudah sampai masanya umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah silapnya. Masyarakat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia.

Pemimpin negara Islam harus bersatu dan memandang ke depan di samping mengatur strategi efektif ke arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha yang mampu dilakukan ialah memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi, ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah, persaudaraan dan persenjataan supaya segala bentuk penjajahan, penindasan dan menghina umat Islam dapat dihindarkan.

Umat Islam juga perlu berperanan sebagai individu pengguna yang bijak dengan memboikot barang syarikat Barat yang mengaut keuntungan untuk menjatuhkan negara Islam.

Walaupun usaha ini kelihatan remeh, jika seluruh umat Islam bersatu hati natijahnya amat besar ke arah mengurangkan sumber ekonomi Barat yang nyata tujuannya untuk membeli senjata bagi meneruskan serangan terhadap umat Islam. Umat Islam perlu kembali kepada fitrah iaitu menghayati serta mengamalkan al-Quran dan hadis sepenuhnya.

Dalam dunia serba moden hari ini, walaupun ada umat Islam yang kuat imannya, tidak kurang juga yang jauh terpesong daripada landasan Islam. Ada juga hanya Islam pada nama sedangkan segala kewajipan agama tidak pernah ditunaikan, malah cara hidup mereka juga seperti bukan Islam.

Perkara ini perlu diambil perhatian supaya umat Islam dan generasi akan datang menjadi umat yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT serta mantap imannya seperti umat pada zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat Baginda. Firman Allah SWT bermaksud: “Kekuatan itu hanya bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang beriman.” (Surah al-Munafiqun, ayat 8)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jangan biarkan lidah ‘memandu’ kita ke neraka

Posted by epondok di Mac 26, 2012

Oleh Nik Salida Suhaila

 

Berbicara berdasarkan pengetahuan bukan buat tohmahan menyakitkan hati

 

KEMAJUAN teknologi dan kecanggihan medium komunikasi hari ini memungkinkan silaturahim manusia bertambah erat, malah sistem perantaraan yang serba pantas sedikit sebanyak turut memberi kesan yang positif dalam sistem penyampaian. Sungguh pun begitu, setiap sesuatu adalah baik sekiranya ia digunakan dengan baik dan begitulah sebaliknya. Begitu juga dalam hal yang berkaitan dengan komunikasi sesama insani.

Sebelum adanya medium komunikasi maya, kita hanya bermuamalah antara satu sama lain dengan cara bersemuka dan melalui alat perhubungan jarak jauh seperti surat, telefon, faks dan sebagainya. Walaupun komunikasi jarak jauh tidak sama dengan komunikasi bersemuka, tetapi kita tetap menjaga budi bahasa dalam berbicara. Memang itulah juga yang dituntut oleh agama kerana adab ketika berbicara antara sesama manusia bukan hanya sekadar apabila kita menghadap wajah, tetapi perlu disantuni setiap masa.

Begitu juga hubungan kita dengan makhluk Allah SWT yang lainnya. Lantaran Allah SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain, maka manusialah yang harus bersopan santun sewaktu bermuamalah dengan sesiapa saja, termasuklah kepada binatang dan alam. Keistimewaannya yang paling utama ialah Allah menciptakan akal supaya manusia berfikir, maka fikirlah setiap satu matlamat dan akibat atas setiap bicara kita.

 

Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia meskipun hanya dengan menggunakan dua tangan atau lirikan mata sebagai isyarat. Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4 bermaksud: “Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang telah mengajarkan al-Quran, Dialah yang telah menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.” Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk memanfaatkan lidah supaya sentiasa mengungkapkan kalimah yang mulia agar setiap butiran bicara itu mendapat keredaan Allah.

 

Berbicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik mempunyai tatacara dan adab yang tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta sikapnya. Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah adalah ibadat yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

 

Perkara yang paling utama apabila kita berbicara ialah jangan sekali-kali kita berbicara mengenai sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa. Malah mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan atau keterlanjuran berkata-kata mengenai sesuatu yang tidak pasti dan sia-sia. Di dalam Surah Al-Mukminun, ayat 1-3 Allah SWT merakamkan kalam yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan pula berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana, kerana orang yang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan mengaplikasikan pengetahuan dalam berbicara dan jangan pula berdebat dengan orang yang berperangai buruk atau terlalu banyak tohmah kerana mereka akan menyakitkan hati saja. Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan. Abu Darda’ menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

 

Tutur kata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan.

 

Walau bagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina, memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor, mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

 

Daripada Jundub bin Abdullah ra., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada seorang lelaki berkata: Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si polan itu.’ Allah Azzawajalla lalu bersabda: “Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si polan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.” (Riwayat Muslim).

 

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Kalau diperhatikan, perbualan hari ini banyak yang menyentuh perihal orang lain. Banyak kali ia mengakibatkan perasaan yang terluka jika diketahui si empunya diri mengenai tohmah yang dilempar, sering kali pula mangsa tohmah memutuskan silaturahim kerana tidak ingin memaafkan orang yang mengata. Hal ini amatlah memalukan umat Islam yang utuh dengan sikap saling menghormati sesama saudara seagama dan takutkan kekufuran kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain, melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat itu.” (Riwayat al-Bukhari).

 

Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai-sungai yang luhur dan tanah-tanah yang subur. Biar kita diuji dengan tohmah jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana dunia yang banyak onar.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »