Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 2 Mac 2012

Kelebihan syuhada’ dan anbia’ di barzakh

Posted by epondok di Mac 2, 2012

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Sesungguhnya kehidupan di alam barzakh yang hakiki adalah perasaan yang sempurna, pengenalan yang lengkap dan pengetahuan yang benar. – Gambar hiasan

KELEBIHAN hidup alam kubur (barzakh) bagi para nabi akan mudah difahami jika kita merenung tentang kelebihan mereka yang mati syahid. Sudah jelas dalam pelbagai nas yang mereka menerima pelbagai kelebihan di alam tersebut dan bukan hanya sekadar roh yang tidak binasa.

Sekiranya ‘hidup di alam kubur’ bermaksud roh yang kekal, tidak fana dan tidak binasa, maka tiadalah sebarang keistimewaan bagi para syuhada untuk layak disebut dengan kemuliaan tersebut, kerana ruh semua anak Adam juga adalah baqa’ (kekal) iaitu tidak fana dan tidak binasa.

Inilah yang sebenarnya diakui oleh para pentahqiq seperti yang ditegaskan oleh Sheikh Ibnu Qayyim dalam kitabnya al-Ruh.

Maka semestinya, para syuhada itu memiliki keistimewaan yang melebihi manusia biasa. Sekiranya tiada keistimewaan itu, maka sia-sialah kehidupan mereka.

Lebih-lebih lagi, Allah SWT melarang kita mengatakan mereka itu ‘orang mati’. Maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)

Justeru, apa yang ingin diperkatakan, semestinya kehidupan mereka itu lebih sempurna dan mulia daripada kehidupan manusia biasa.

Inilah yang ditegaskan oleh nas-nas di atas. Hakikatnya, roh-roh golongan itu dikurniakan rezeki. Mereka mendatangi sungai-sungai di dalam syurga dan menikmati buah-buahan yang terdapat di dalamnya.

Ia sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: Di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (ali-‘Imran: 169)

Seterusnya, segala yang mereka rasai seperti makanan, minuman dan segala bentuk nikmat dapat rasakan dengan rasa yang amat sempurna.

Ada perasaan yang amat puas, kelazatan yang begitu menggiurkan dan keseronokan yang hakiki.

Ia seperti yang dinyatakan di dalam hadis: “Ketika mereka merasai kenikmatan makanan, minuman dan tempat tidur, mereka pun berkata, Alangkah baiknya, kalau saudara-saudara kita tahu apa yang telah Allah kurniakan kepada kita ini.” (Ibnu Kathir meriwayatkan daripada Ahmad)

Malahan, roh para syuhada itu memiliki keistimewaan tasarruf (pengurusan dan pentadbiran) yang lebih besar dan luas daripada manusia lain.

Mereka dapat mengembara dan bergerak bebas dalam syurga Allah SWT mengikut kehendaknya. Kemudian mereka menuju ke arah pelita-pelita yang terletak di bawah arasy Allah. Begitulah seperti yang disebut dalam hadis sahih.

Para syuhada dapat mendengar setiap pertuturan dan memahami apa yang diperkatakan kepadanya. Disebut dalam hadis sahih: Sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada mereka, apakah yang kalian inginkan?” Maka mereka menjawab: “Ini dan ini. Berterusan soalan dengan disertai jawapannya. Kemudian mereka meminta supaya mereka dikembalikan ke dunia untuk berjihad. Kemudian, mereka memohon lagi supaya Allah menyampaikan daripada mereka suatu risalah (berita) kepada saudara-saudara mereka di dunia yang menceritakan tentang segala kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Maka Allah berfirman: Aku akan menyampaikannya daripada kalian.

Sekiranya perkara itu thabit pada hak syuhada, maka para nabi adalah jauh lebih berhak daripada mereka dalam dua aspek.

Yang pertama ialah kedudukan yang mulia itu dianugerahkan kepada para syuhada sebagai kemuliaan dan penghormatan untuk mereka.

Kita ketahui, tidak ada kedudukan yang lebih tinggi dan mulia daripada kedudukan yang dianugerahi kepada para nabi.

Kita juga tidak meragui, bahawa keadaan para nabi adalah jauh lebih tinggi dan sempurna berbanding keadaan kesemua para syuhada. Maka adalah mustahil sekiranya kesempurnaan nikmat itu hanya dirasai oleh para syuhada dan tidak dikurniakan kepada para nabi.

Lebih-lebih lagi kesempurnaan ini berupa kesempurnaan yang sudah pasti menambahkan taqarrub, pendekatan, nikmat dan kemesraan (al- Uns) mereka dengan Allah Yang Maha Tinggi.

Aspek kedua pula kedudukan yang mulia untuk para syuhada itu adalah sebagai ganjaran terhadap jihad dan pengorbanan mereka semata-mata kerana Allah.

Tetapi, nabi adalah insan yang telah mempelopori sunnah tersebut kepada kita. Bahkan, baginda mengajak dan menunjuki kita kepada jalan tersebut dengan izin Allah SWT dan taufik-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengajak kepada kebenaran, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa berkurangan walau sedikit pun dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan maka baginya dosa seperti dosa-dosa orang yang mengikutnya tanpa berkurangan walau sedikit pun.”

Banyak lagi hadis sahih yang masyhur mengenai hal ini. Justeru, setiap pahala yang dikurniakan kepada para syuhada, dikurniakan juga kepada nabi kerana kebaikan yang dilakukan sama seperti yang pernah dilakukan oleh nabi.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kelebihan bagi golongan ikhlas amal ajaran Islam

Posted by epondok di Mac 2, 2012

FIRMAN Allah Taala dalam surah al-Maidah, ayat ketiga bermaksud: “…dan Aku reda Islam menjadi agama untuk kamu…”.

Daripada ayat itu, jelas di sini yang Islam adalah hanya satusatunya agama di dunia ini diterima, diiktiraf dan diangkat sebagai agama untuk manusia. Ayat itu menegaskan yang agama selain Islam tidak diterima atau diiktiraf apa lagi mendapat keredaan Allah SWT.

Justeru, manusia yang memilih Islam sebagai agamanya, akan mendapat keredaan Allah SWT dan dikurniakan pelbagai ganjaran yang dapat mengampunkan segala dosanya yang lalu ketika sebelum Islam.

Dalil ini diperkuatkan dengan hadis Nabi Muhammad SAW.

Daripada Abi Sa’id AlKhudri ra, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila seseorang itu memeluk Islam, lalu ia mengerjakan amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaikbaiknya (serta dengan ikhlas), Allah akan mengampunkan setiap kejahatan yang dilakukannya dulu (sebelum Islam) dan sesudah itu bermulalah proses balasan (bagi segala amalnya) setiap satu kebaikan (akan dibalas) dengan sepuluh kali ganda sehingga kepada 700 kali ganda dan setiap satu kejahatan (akan dibalas) dengan satu kejahatan yang menyamainya, kecuali jika Allah mengampunkan dirinya.” (Riwayat Bukhari)

Hadis ini mengandungi maksud jelas iaitu setiap orang yang masuk Islam dengan sebenarbenarnya akan diampunkan segala dosanya yang lalu, akan diberi balasan menurut ketetapan tertentu dan balasan orang yang berdosa, bergantung kepada sifat pemurah Allah SWT kepada hambanya.

Bagi menghuraikan tajuk ini, yang pertama ia menyentuh perkara persoalan orang kafir masuk Islam, setiap perbuatan yang dikerjakan dan kepercayaan yang diyakini seseorang tetap dikira baik dan buruknya, atau pahala dan dosanya.

Tetapi orang kafir memeluk Islam, maka segala amalnya meliputi perbuatan dan kepercayaan yang dilakukannya sebelum itu diampunkan dan dia bersih ia daripada sebarang dosa.

Kedua, ia menyentuh soal balasan amalnya yang dilakukan selepas memeluk Islam. Apabila orang kafir memeluk Islam, maka bermulalah proses mengira dan menghitung kepercayaan dan amal yang dilakukannya, termasuk hal berkaitan dosa dan pahala.

Ia bermaksud setiap satu amal kebajikan yang dikerjakannya apabila ia sempurna, dia akan diberi balasan sepuluh kali ganda hingga 700 kali ganda, menurut kesempurnaan amal itu dan keikhlasan orang yang mengerjakannya.

Sebaliknya bagi setiap satu amal kejahatannya, dengan kehendak Allah SWT, akan dibalas dengan hanya satu kejahatan yang sama dengannya.

Ketiga, bagi menjelaskan balasan orang yang berdosa, hadis ini, menerangkan satu hakikat bahawa orang yang melakukan dosa tidak boleh ditentukan balasan buruknya, kerana hal itu terserah kepada Allah Azza wa jalla.

Oleh yang demikian, tidak harus bagi seseorang menentukan balasan buruk kepada orang yang mati dalam maksiat.

Dengan ini, tertolaklah pegangan pihak yang menetapkan balasan neraka kepada orang yang melakukan dosa besar dan ada yang mengatakan orang yang berdosa besar, terkeluar daripada Islam; juga tertolaknya kepercayaan pihak yang menetapkan bahawa orang yang berdosa besar itu kekal dalam neraka.

Sementara itu, daripada Abu Hurairah ra, katanya: Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu mengerjakan amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaikbaiknya (serta dengan ikhlas), maka setiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya 10 kebaikan yang menyamainya hingga kepada 700 kali ganda dan tiaptiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya.” (Riwayat Bukhari)

Hadis ini mengandungi penerangan mengenai nilaian Islam terhadap kebajikan dan kejahatan.

Di sini, Islam memang ada kelebihannya dengan sifatnya agama yang sah di sisi Allah. Di antara kelebihan Islam ialah setiap satu amal baik diberi balasan sekurang-kurangnya 10 kali ganda.

Kelebihan ini tidak dapat dicapai dengan pengakuan mulut sematamata, atau dengan sebab keturunan Islam saja, tetapi dicapai menerusi amal yang baik, yang sempurna lagi ikhlas untuk beroleh keredaan Allah.

Bagi orang yang baru masuk Islam, selain daripada tetap mematuhi Islam, ia masuk Islam dengan tujuan mencari keredaan Allah sematamata, bukan kerana tujuan yang lain.

Bagi orang berketurunan Islam pula, hendaklah mereka tetap mematuhi Islam, dan mengerjakan ajaran Islam dengan sempurna dan ikhlas, barulah Islamnya itu dinilai Allah SWT dan diberi balasan yang bergandaganda

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »