Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 1 Mac 2012

Pemantauan, pengawasan jamin keberhasilan kualiti

Posted by epondok di Mac 1, 2012

Oleh Sharifah Haayati

Proses menguat kuasa elak kesilapan berterusan, pastikan amanah tidak terabai

SETIAP hari, kita melakukan pelbagai urusan termasuk urusan kerjaya dan rumah tangga. Namun, kadangkala urusan itu belum tentu berhasil jika tanpa pemantauan atau pengawasan berterusan selain menerusi izin Allah SWT.

Lihat saja kepada peranan ibu bapa di rumah. Mendidik, mengasuh, memberi segala bentuk kasih sayang belum tentu dapat melahirkan anak yang salih dan berjaya jika kita tidak mengikuti, memantau atau mengawasi perkembangan mereka secara dekat dan rapat.

Tugas memantau, mengawasi, mengawal, memeriksa dan menguatkuasa bukan untuk mencari salah tapi mengelak kesalahan atau kesilapan berterusan, memastikan prosedur dipatuhi

Sehinggalah kita mengenali perwatakan anak yang berbeza walaupun seibu dan sebapa. Ada anak rajin belajar tanpa perlu disuruh tetapi apabila dipantau, cara belajarnya kurang berkesan. Ada pula anak perlu sentiasa diingatkan atau disuruh untuk mengulang kaji pelajaran tetapi apabila melakukannya dia bersungguh-sungguh.

Ada yang sering lewat menghantar atau menyiapkan kerja sekolah dan ada pula asyik hilang saja alat tulis yang dibawanya. Macam-macam lagi keadaan yang semua boleh diketahui apabila ibu bapa memantau hal anak mereka.

Seringkali aspek pemantauan ini dilupakan sehinggalah berlaku keadaan tidak disangka oleh ibu bapa kerana mereka anggap sudah bermacam-macam usaha dilakukan. Justeru, memantau atau mengawasi perkembangan anak juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab serta bukti kasih sayang dan sifat ambil berat ibu bapa.

Samalah keadaan dalam urusan kerja seharian yang memerlukan pemantauan berterusan. Hampir setiap hari pelbagai isu akibat kegagalan pemantauan, pengawasan dan pemeriksaan pelbagai pihak dipaparkan dalam media.

Proses kerja tidak akan lengkap dan berhasil dengan kualiti walaupun selepas dirancang, disusun atur, dilaksana jika dibiarkan tanpa pemantauan berterusan.

Tugas memantau, mengawasi, mengawal, memeriksa dan menguat kuasa bukan untuk mencari salah tapi mengelakkan kesalahan atau kesilapan berterusan, memastikan prosedur dipatuhi, keutamaan didahulukan dalam pelaksanaan, meningkatkan kewibawaan, profesionalisme, menyelaras tugasan, mengelak pembaziran sumber, mengelakkan pertambahan kos disebabkan kelewatan serta menilai pencapaian projek semasa berbanding apa yang dirancangkan.

Justeru, Islam amat menekankan aspek pemantauan bagi menguatkuasakan amalan berteraskan ajarannya serta untuk mengelakkan berlakunya keburukan melalui konsep kerja yang dinamakan al-hisbah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Imran ayat 110 bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang buruk dan keji.”

Al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah menyatakan, ayat itu bermaksud menggesa kepada perbuatan baik dan mencegah keburukan daripada berlaku dan termasuk dalam tanggungjawab agama serta perlu diinstitusikan sebagai agensi atau badan penguatkuasaan bagi menjamin keberkesanannya.

Ibn Khaldun dalam Muqaddimah juga menegaskan kepentingannya terutama kepada mereka yang gagal dalam mematuhi peraturan undang-undang. Pelbagai unit, agensi, badan penguatkuasaan, pemantauan dan audit juga ditubuhkan secara khas dalam pelbagai kementerian dan institusi di negara ini bagi tujuan itu.

Pemantauan dilaksanakan sejak zaman Rasulullah yang sering meninjau peniaga di pasar supaya tidak menipu dalam perniagaan mereka dan gemar mencari golongan miskin untuk dibantu. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bantulah aku mencari orang miskin di antara kamu, kerana kamu dilimpahi rezeki dan diberi kemenangan semata-mata berkat orang miskin di antara kamu”. (Riwayat Abu Daud & al-Nasaie)

Bahkan Saidina Umar al-Khattab juga sering berjalan malam untuk meninjau keadaan masyarakatnya. Daripada amalan inilah Saidina Umar mengetahui perbualan antara seorang ibu yang menyuruh anak perempuannya mencampurkan susu dengan air bagi menambah pendapatan mereka seperti dikisahkan oleh al-Baihaqi dan pengembala haiwan yang enggan menjual haiwan yang dijaga kepada Saidina Umar kerana takut perbuatannya dilihat oleh Allah SWT.

Gambaran sifat ihsan mereka diketahui melalui pemantauan secara langsung oleh khalifah Saidina Umar. Malah, zakat juga dapat diagihkan dengan berkesan pada zaman ini kerana adanya pemantauan dan pengawasan teliti.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 18-19 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), Dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang disediakan (dari amalan-amalannya) untuk hati esok (hari akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat meliputi pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan”.

Dalam pengurusan kerja, pemantauan boleh dibuat dengan beberapa cara iaitu penyediaan penjadualan kerja termasuklah sumber tenaga, aliran kewangan dan tempoh, penentuan aliran proses kerja, penyediaan terma rujukan, penyediaan petunjuk pencapaian, pengauditan dan penyediaan laporan.

Hasil pemantauan, pengawasan diperoleh melalui mesyuarat. laporan status projek, minit mesyuarat, laporan berkala dan tahunan serta maklum balas pelanggan.

Justeru, bagi memastikan penghasilan kerja berkualiti, janganlah kita abaikan aspek pemantauan kerana ia juga adalah sebahagian daripada amanah dan proses dalam tanggungjawab kerja. Setiap proses tindakan untuk memastikan keberhasilan atau output yang berkualiti itu pula tidak akan sia-sia.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »