Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 25 Februari 2012

Al-Quran sebagai panduan hidup, sumber rujukan utama

Posted by epondok di Februari 25, 2012

Oleh Hizbur Rahman

Pembaca, penghafaz patut selami maksud ayat suci

Al-QURAN ialah Kitabullah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan adalah ‘senjata’ paling mujarab, ubat yang paling mustajab dalam menyelesaikan segala permasalahan kehidupan. Di dalamnya penuh dengan nur hidayah, rahmat dan zikir-zikir serta panduan.

Sebagai kitab wahyu yang dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab yang lain, maka bagi mengekalkannya dalam kehidupan kita, ia perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9 bermaksud, “Sesungguhnya Kamilah (Allah SWT) yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan, Rasulullah SAW bersabda:

“Semaikan perasaan takwa kepada Allah SWT kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik. Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat.”

Kita dapati sahabat Rasulullah seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Kaab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dulu juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak.

Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu Maghrib secara beramai-ramai. Ini membuktikan mereka sangat mengambil berat mengenai pembacaan dan pendidikan al-Quran.

Banyak hadis yang menjelaskan keistimewaan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadis qudsi yang mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepada-ku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makhluk-Nya.”

Dalam satu hadis lain yang bermaksud:

“Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala.”

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tetapi `alif’ satu huruf dan `lam’ satu huruf dan `mim’ satu huruf. ” (Riwayat Tirmizi)

Mereka membaca al-Quran juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT seperti yang dikatakan oleh Amr bin Ash:

“Barang siapa membaca al-Quran maka mereka akan dinaikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka saja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti.

Hadith Rasulullah SAW:

“Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya”. (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih daripada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin.

Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran.

Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan tanpa memahami erti dan pengajaran darinya. Lebih-lebih lagi amalan menggantung ayat al-Quran tertentu, kononnya sebagai pelaris perniagaan.

Justeru, marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini.

Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa tertentu saja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu saja.

Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat Maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran.

Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran sama ada di surau dan masjid atau di kelas yang disediakan secara berguru. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya.

Mengakhiri artikel pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 45 bermaksud: “Dan apabila kamu membaca al-Quran, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Petugas kebajikan tergolong umat terbaik di kalangan manusia

Posted by epondok di Februari 25, 2012

Oleh Ustaz Zaman

DALAM usaha menuju keredaan Allah SWT, kita perlukan resipi takwa yang sempurna bagi memastikan kejayaan di dunia dan akhirat. Inilah satu-satunya jalan yang ditelusuri para auliya’ dan salafus salih yang sentiasa mendapat petunjuk dari Allah SWT. Firman Allah SWt bermaksud: “Dan mereka yang sentiasa mencari petunjuk akan bertambah hidayah mereka dan mendapat kurniaan takwa yang sebenar.” – (Surah Muhammad ayat 17)

Mereka sampai di kemuncak keimanan kepada Allah SWT selepas menunaikan hak Allah SWT dan Rasulnya dengan menunaikan perintah dan larangan Allah SWT. Mereka sentiasa beristiqamah dengan amalan kebajikan dan teguh memelihara prinsip keimanan yang sebenar. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan mereka yang berpegang teguh dengan al-Kitab, menunaikan solat. Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali akan mensia-siakan mereka yang melakukan kebaikan.” – (Surah al-A’raf ayat 170)

Kesan petunjuk ini juga akan dapat dilihat melalui sifat kasihan belas sesama makhluk tanpa batasan. Mereka meluangkan masa, tenaga dan rela mengorbankan harta pada jalan kebajikan sepanjang perjalanan hidup mereka.

Mereka konsisten dalam amalan ini dalam apa juga keadaan kerana menyedari bahawa semuanya yang dinafkahkan sama ada masa atau tenaga akan diganti oleh Allah SWT dengan pelbagai cara kerana janji Allah itu adalah satu kepastian yang mutlak.

Penulis berasa terpanggil untuk merakamkan sesuatu apabila melihat doktor di kawasan pedalaman tanah air tidak pernah jemu menghulurkan bantuan dengan meredah hutan dan paya bagi menawarkan perkhidmatan kepada golongan yang daif.

Prinsip dalam kerjaya mereka sebagai pembantu kepada golongan lemah sentiasa dijaga tanpa mengutamakan soal pembayaran dan ganjaran duniawi. Sabda Baginda SAW kepada salah seorang isterinya Asma’: “Wahai Asma’ bantulah mereka yang memerlukan dan jangan berkira-kira, kelak nanti Allah juga akan berkira-kira denganmu.” (Muttafaqun A’laih)

Kita percaya bahawa semua doktor dan pengamal perubatan yang berada di luar sana mempunyai prinsip yang sama dan sentiasa mendapat apa yang dijanjikan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Apa yang kamu nafkahkan akan digantikan oleh Allah SWT dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki.” – (Surah as-Saba’ ayat 39)

Segala kekurangan akan ditampung oleh Allah SWT sebagai galang ganti kepada setiap kebajikan yang dilakukan. Firman Allah SWT: “Apa yang dikorbankan untuk kebaikan akan dicukupkan Allah untuk kamu sebagai ganjaran dan Allah tidak sekali-kali akan menzalimi kamu.” – (Surah al-Baqarah ayat 272)

Kerjaya mereka ini, dianggap mulia di sisi Allah SWT kerana berusaha menghilangkan kedukaan ahli keluarga pesakit secara tidak langsung dan sentiasa menunggu sebarang keputusan dari seorang insan yang bernama doktor.

Perkhidmatan yang diberikan doktor ini mendapat khabar gembira daripada Baginda SAW dalam sabdanya bermaksud:

“Mereka yang menghilangkan kedukaan orang lain akan mendapat mandat dan kelebihan dari Allah SWT pada hari kiamat yang mana mereka bebas untuk memilih mana-mana teman di syurga nanti.” – (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Segala kebajikan itu adalah hasil naluri suci yang tercetus daripada perasaan kasihan belas sesama makhluk. Maka lahirlah insan yang sentiasa memikirkan bagaimana untuk berbakti sesama manusia. Merekalah orang yang dijanjikan rahmat oleh Allah SWT seperti sabda Baginda SAW bermaksud: “Mereka yang kasih sesama makhluk, akan mendapat kasih sayang dari Allah SWT.” (Riwayat Abu Daud)

Sebenarnya kerjaya bidang perubatan adalah satu daripada seribu contoh kebajikan supaya kita memahami bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan demi menuntut keredaan Khaliq (Pencipta). Mereka sentiasa mendapat pujian dari Allah dan sentiasa mendapat keampunan dari Allah SWT. Firman Allah SWT: “Dan mereka yang beriman dan melakukan kebaikan, bagi mereka keampunan dari Tuhan serta ganjaran yang besar.” – (Surah al-Fatir ayat 7).

Allah SWT menggandakan lagi ganjaran sebagai tanda rahmat dan janji yang termaktub di dalam Al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi hambanya yang mana satu kebajikan akan digandakan dengan ganjaran yang besar di sisi-Nya.” – (Surah an-Nisa’ ayat 40).

Demikianlah di antara sifat orang muttaqin yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT dalam semua kerjaya yang dilakukan. Semua kebajikan akan dituai hasilnya oleh empunya diri pada hari kiamat nanti berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kebajikan akan dimanfaatkan oleh dirinya sendiri dan mereka yang melakukan keburukan juga akan dirasai oleh dirinya sendiri dan Allah tidak pernah menzalimi hambanya.” – (Surah Fussilat ayat 46)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »