Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 24 Februari 2012

Kehebatan Rasulullah diperakui orientalis Barat

Posted by epondok di Februari 24, 2012

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Pokok dan binatang cintai Nabi Muhammad seperti digambarkan dalam sirah

ANTARA tanda penghormatan dan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW ialah melalui membaca selawat. Semakin banyak selawat dilafaz semakin besar fadilat dan ganjaran pahalanya di sisi Allah SWT. Kita seharusnya selalu membaca selawat dan jangan menunggu ketika tibanya musim Maulidur Rasul barulah hendak mempergiatkan bacaan itu.

Sebenarnya, bukan manusia mukmin saja yang rindu dan cintakan Rasulullah SAW, kerana jika rajin menyusuri sirah Baginda akan terpahat satu kisah yang sebenarnya patut kita semat di dalam hati sebagai penghayatan.

Diceritakan oleh Jabir bin Abdullah, katanya, “Dulu, masjid menggunakan atap dari pelepah kurma. Apabila berkhutbah, Baginda Rasulullah SAW berdiri berdekatan salah satu pelepah itu. Apabila dibina sebuah mimbar untuknya, Baginda selalu berdiri di atasnya. Kami mendengar tangisan dari pelepah itu seperti unta bunting, sehingga Rasulullah SAW datang mendekatinya lalu mengelus pelepah itu, kemudian pelepah itu terdiam.” (Riwayat Bukhari)

Baginda Rasulullah SAW berpindah ke mimbar yang baru dibina itu adalah hasil pandangan sahabat, memandang semakin ramainya jemaah. Jadi, berdasarkan kisah itu, dapat kita tafsirkan betapa Rasulullah SAW menjadi manusia yang sentiasa dirindu seluruh makhluk Allah kerana Baginda pembawa rahmat.

Kejadian yang dapat disaksikan oleh sahabat Baginda membuktikan kenabian Rasulullah SAW dan hal itu memperkukuhkan iman dan takwa dalam kalangan mereka. Aisyah pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah berada di tengah-tengah sekelompok kaum Muhajirin dan Ansar. Lalu datang seekor unta dan bersujud kepada Baginda, maka berkatalah sahabat, ‘Wahai Rasulullah SAW, binatang dan pohon bersujud kepadamu, maka kami adalah lebih sepatutnya bersujud kepadamu.’

Lantas Rasulullah SAW segera menjawab, “Sembahlah Tuhanmu dan muliakanlah saudaramu. Sekiranya saya menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain, nescaya saya menyuruh wanita bersujud kepada suaminya. Dan sekiranya saya menyuruhnya (wanita) berpindah dari gunung kuning ke gunung hitam dan dari gunung hitam ke gunung putih, maka tidaklah patut baginya untuk melaksanakannya.” (Riwayat Ahmad).

Di sini, ada beberapa aspek yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita semua. Satu, kita tidak boleh menyembah atau sujud selain daripada Allah SWT. Keduanya ialah Rasulullah SAW ada juga menyelitkan unsur pengajaran kepada kaum wanita supaya taat dan patuh kepada suami. Dua aspek itu digabung dan inilah kelebihan Rasulullah SAW apabila mendidik sahabat.

Selain itu, Baginda Rasulullah SAW melalui dialognya dengan sahabat ada menekankan perkara habbluminnas (hubungan semasa insan). Baginda meminta kita agar bersikap memuliakan saudara seagama kita. Tetapi seandainya kita secara jujur meneropong situasi semasa yang terjadi dalam kalangan mukmin, maka bertanyalah kita, apakah suruhan Baginda itu kita patuhi ?

Yang banyak berlaku ialah saling menghina, dengki-mendengki, fitnah-memfitnah dan seribu satu macam perangai mazmumah (keji) yang dilakukan. Sepatutnya kita sentiasa ingat akan apa yang Allah pesan, “Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” (Surah al-Hasyr ayat 7)

Sebenarnya, keunggulan Rasulullah SAW terus menerus mencatat reputasi terhebat dalam sejarah peradaban manusia. Jika sebelum ini, kita hayati sendiri bagaimana haiwan dan pokok pun hormat dan cintakan Baginda dan hal seperti itu adalah mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Baginda sebagai bukti kerasulannya. Malah dalam kalangan bukan Islam di dunia Barat pun turut memperakui kehebatan Baginda.

Misalnya, tokoh legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonaparte. Dia walaupun bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata, “Saya tabik kepada manusia agung ini. Saya tabik hormat kerana keagungan akal dan hatinya.”

Tentu sekali pandangan peribadi Napoleon itu jarang kita temui, kerana laporan benar dan jujur mengenai Rasulullah SAW sentiasa saja ‘terlipat dan tersembunyi’. Malah jika boleh, luahan jujur orang-rang Barat yang bukan Islam mengenai kehebatan Nabi kita akan cuba disorok sedalam-dalam agar tidak kelihatan.

Baiklah, kita ambil satu lagi pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam. Katanya, “Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, Muhammad tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia membaca ‘Buku Alam’ dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia yakin ada kewujudan Illahi.”

Begitulah panjang lebarnya cetusan tokoh Barat itu dalam memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah SAW. Tetapi mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama yang sempit dan tidak bertamadun.

Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi SAW di puncak tinta kajian mereka.

Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi terkemuka di Barat meletakkan nama Nabi kita pada kedudukan teratas dalam kalangan 100 orang tokoh dikagumi.

Inilah semua menjadi bahan bukti yang mempamerkan kepada kita Rasulullah SAW sejak zaman hayat Baginda begitu dimuliakan, dihormati, dirindu dan dicintai sahabat, kaum muslim malah segala makhluk di muka bumi ini turut merasainya.

Oleh demikian, marilah kita mempertajamkan rasa cinta terhadap Baginda bukan hanya sekadar berselawat saja, tetapi mengikuti setiap apa sunnah Baginda agar kehidupan dunia menjadi sejahtera dan akhirat dilimpahi bahagia

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Bekerja dengan suka hati bukan kerja ikut suka

Posted by epondok di Februari 24, 2012

Oleh Sharifah Hayaati

Kerja bersistem jamin kelancaran urusan, elak salah guna kuasa dan penyelewengan

SETIAP majikan dan pekerja pasti inginkan yang terbaik daripada apa yang diusahakan sepanjang kerja seharian. Semakin baik usaha dilakukan, secara fitrahnya semakin baiklah penghasilannya. Usaha yang dianggap baik itu pula hendaklah selaras dengan sistem kerja yang digariskan.

Tidak dapat dinafikan, setiap individu, mempunyai cara, pemikiran, pendekatan dan kehendak masing-masing yang kadangkala berbeza dalam melakukan tugasan, mendepani isu serta membuat keputusan.

Justeru, untuk mencapai hasil kerja yang baik, bukan sekadar faktor persekitaran kerja yang kondusif dan menyeronokkan tetapi juga ditentukan faktor pematuhan dan pemantauan sistem kerja berasaskan prosedur serta peraturan bersesuaian dan mesra pekerja-pelanggan.

Walaupun biasanya sifat semula jadi manusia lebih cenderung kepada yang mudah dan tanpa kongkongan peraturan, undang-undang, dasar dan proses kerja, namun sistem kerja ini yang akan memelihara hak pekerja agar tidak diabai, dieksploitasi atau dicerobohi.

Ia juga menjamin kelancaran proses kerja, mengelakkan birokrasi serta menghasilkan kerja berintegiti dan berkualiti serta mengelakkan salah guna kuasa dan penyelewengan.

Ajaran Islam amat menekankan aspek amalan berteraskan hukum sama ada wajib, sunat, haram, harus atau makruh. Semua ini melambangkan sistem, kaedah, peraturan dan panduan sama ada yang umum mahupun khusus dalam segenap aspek kehidupan.

Contohnya dalam mengerjakan solat, umat Islam ditentukan kaedah dan peraturannya melalui rukun dan syarat sah solat. Seperti kaedah berwuduk, jenis airnya, jumlah rakaat, bacaan dalam solat, niat, arah kiblat, waktu serta perkara yang boleh membatalkan solat itu.

Semua ini jika diteliti dan dihayati adalah satu bentuk sistem beramal yang sangat istimewa daripada Allah SWT. Walaupun jika diikutkan rasa hati manusia itu lebih suka untuk mengikut cara sendiri, namun sebagai bukti ketaatan, kesyukuran dan matlamat untuk mencapai kesempurnaan iman dan amal serta membentuk kecemerlangan peribadi, maka setiap ibadat yang utama itu, Allah memerintahkan hukumnya wajib dilaksanakan.

Tujuan disyariatkan itu termasuklah untuk melahirkan insan ikhlas, bersih hati dan fizikal, sihat, memiliki daya tumpuan tinggi dan berdisiplin.

Begitulah halnya dalam memahami pelaksanaan sistem kerja berpandukan prosedur, panduan dan peraturan. Ia diwujudkan untuk mencapai kejayaan (al-falah) dan kebaikan (al-khair) serta gesaan ke arah penguatkuasakan kebaikan dan menghindari segala bentuk keburukan untuk mewujudkan kualiti kerja dan integriti pekerja.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu kelompok yang menyeru manusia kepada kebajikan dan yang menyuruh manusia berbuat segala perkara baik serta melarang manusia daripada segala perkara buruk. Dan manusia yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” – (al-Imran: 104)

Untuk tujuan itulah, maka Nabi serta sahabat sentiasa memantau urusan umatnya supaya menjadi peniaga atau pekerja jujur dan amanah termasuk dalam hal sukatan dan timbangan.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pada satu ketika berjalan melalui satu longgokan makanan (di pasar), lalu Baginda Rasulullah SAW memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu, jari Baginda SAW tersentuh sesuatu yang basah lantas Rasulullah SAW bertanya kepada penjual berkenaan: “Apakah semua ini?” Jawab penjual itu: “Makanan ini terkena hujan.” Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kenapa engkau tidak meletakkannya di atas supaya dapat dilihat oleh orang ramai, Baginda SAW menyambung lagi: Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalangan kami.” – (Riwayat al-Tirmizi)

Selain itu, Rasulullah SAW dalam hadis Baginda diriwayatkan Muslim memberi tiga panduan asas kaedah bagi menguatkuasakan sistem pemantauan kerja iaitu kaedah mengubah dengan tangan. Kaedah ini boleh melambangkan maksud penggunaan kuasa terutama pihak berkuasa.

Kedua, jika tidak berkemampuan maka hendaklah mengubah dengan lisan. Ia boleh membawa maksud menggunakan kaedah seperti berdakwah, nasihat, memberikan pandangan, teguran, amaran dan pujukan.

Ketiga, jika tidak berkemampuan hendaklah menolak sesuatu keburukan dengan hati. Ia boleh membawa maksud kebencian, kemarahan dalam hati terhadap sesuatu yang dibenci oleh Allah dan Rasul. Maka kaedah itu adalah selemah-lemah iman.

Justeru, bagi merealisasikan kerja yang mengikut sistem, maka jika ada peraturan dan prosedur kerja yang rumit dan panjang, perlu dipermudahkan, yang kurang jelas perlu diperjelaskan, yang sudah tidak sesuai, diperbaiki; yang tidak diperlukan, dihapuskan atau dinilai semula untuk menjamin kerja yang berkualiti.

Pendek kata, bekerja mengikut sistem adalah bekerja dengan suka hati dan bukan bekerja ikut suka kerana bekerja ikut suka boleh membawa kepada mengikut kemahuan dan kepentingan diri semata-mata, kejayaan jangka pendek serta bahaya terjerumus dalam penipuan, penyelewengan, rasuah dan bekerja tanpa kualiti seperti kecuaian dan kelewatan.

Justeru, peraturan dan prosedur jelas, mudah difahami dan mampu diamalkan boleh membuat pekerja bekerja dengan senang hati, memudahkan serta memelihara akhlak diri. Sistem juga dapat merealisasikan hasrat majikan dan menterjemahkan aspirasi organisasi. Justeru, marilah kita jadikan kerja bersistem sebagai budaya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »