Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 17 Februari 2012

Hidupkan nilai kasih sayang, kikis buruk sangka

Posted by epondok di Februari 17, 2012

Oleh Nik Salida Suhaila

Permusuhan boleh dielak jika pandai jaga percakapan, saling perbetul kesilapan

KITA selalu menyangka bahawa kasih sayang sesama manusia hanya akan lahir apabila mereka saling mengenali dan mempunyai tautan hati. Kita lupa bahawa sebagai makhluk Allah SWT yang bergelar manusia, kita sebenarnya berkasih sayang apabila mempunyai sifat belas kasihan dan saling melindungi antara satu sama lain.
Sayang sekali sekiranya kita tidak mampu berkasih sayang dan saling mengingatkan antara satu sama lain, apatah lagi sekiranya berkongsi akidah yang sama. Tanpa kasih sayang, kita akan selalu berprasangka buruk terhadap orang lain, sedangkan sebagai umat Rasulullah SAW, kita sepatutnya saling melindungi dan memperbetulkan kesilapan masing-masing dengan penuh hemah dan adab.
wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki untuk menentukan kebenarannya. – Surah al-Hujuraat, Ayat6. Dalam dunia hari ini yang penuh tohmah dan buruk sangka, manusia sering bertelingkah kerana tidak mengetahui kebenaran. Kasih sayang bukan lagi sebahagian cara hidup yang memungkinkan keaiban dilindungi dan kesalahan diperbetulkan tanpa rasa benci.

Kewujudan segolongan kecil yang bijak melakukan fitnah kerana hasad dengki dan terlalu cintakan dunia menyebabkan umat Islam sering bermusuh-musuhan sekali gus merendahkan nilai dan maruah agama pada mata bukan Islam. Ia juga menjadi sebab umat Islam semakin jauh daripada ukhuwah dan silaturahim yang berasaskan takwa, malah merenggangkan persaudaraan.

Sebagai individu Muslim yang menganut agama menganjurkan umatnya hidup dalam keadaan rukun dan damai, kita dilarang melakukan perkara yang boleh menjejaskan serta merosakkan hubungan baik sesama manusia.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 12, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah sikap dari sangkaan supaya kamu tidak dipengaruhi prasangka yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Jika demikian keadaan mengumpat maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan yang disebut itu dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani”.
Allah mengingatkan kita bahawa sebahagian prasangka itu adalah perbuatan dosa kerana ia timbul daripada perasaan iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia juga menyebabkan timbul tuduhan lain yang tidak berasas kerana orang lain turut serta melakukan perbuatan yang serupa dan ia menambahkan lagi prasangka buruk.

Teknologi komunikasi yang tidak bersempadan juga turut meluaskan penyebaran maklumat yang boleh meracuni akal manusia yang tidak tahu membuat pertimbangan antara fitnah dan kebenaran.

Oleh itu, sebagai hamba yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, kita hendaklah menjaga adab pertuturan, berbicara mengenai perkara yang benar atau berdiam diri, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Iman Al-Bukhari yang mafhumnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau hendaklah ia diam.”

Buruk sangka dengan hasrat mempengaruhi minda orang lain supaya membenci saudara seagama adalah perbuatan jahiliah yang diwarisi kerana tamak dunia dan terlalu cintakan isinya yang menjadi bahan bakar neraka.

Banyak contoh boleh diteladani daripada kisah sahabat Rasulullah SAW dan juga sejarah yang pernah berlaku sehingga boleh menggadaikan negara dan agama akibat buruk sangka. Ia patut dijadikan iktibar kepada setiap umat Islam.

Jika tidak kerana buruk sangka menjadi padah kepada umat Islam, mustahil Allah SWT memperincikan betapa pentingnya kita menyelidiki sebarang maklumat yang disampaikan oleh seseorang, bimbang sekiranya kita turut mempercayai dan menjadi penyampai kepada fitnah terhadap umat Muhammad SAW.

Allah mengingatkan kita dalam al-Quran, surah al-Hujuraat ayat 6 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki untuk menentukan kebenarannya”.

Kerana buruk sangka menyebabkan terputusnya silaturahim, sebab itulah juga perpaduan umat Islam akan goyah, malah menjadi laba kepada pihak yang sentiasa menantikan saat kehancuran manusia yang dibimbing dengan perintah dan larangan Tuhan Yang Satu.

Satu demi satu keistimewaan umat Islam yang tiada bandingannya diselongkar dan dibinasakan dengan janji syurga di dunia mengakibatkan janji Allah mengenai hari pembalasan di pandang sebelah mata. Perkataan dusta yang dibawa oleh orang yang fasik pula diangkat menjadi rujukan utama.

Untuk menjauhkan diri daripada terus melakukan fitnah terhadap setiap umat Muhammad SAW, kita hendaklah membataskan prasangka buruk terhadap seseorang setakat di dalam hati saja, tanpa meluahkannya atau memberitahu kepada orang lain mengenai apa yang dirasa, apatah lagi meyakinkan orang lain supaya turut mempunyai perasaan yang serupa.

Justeru, prasangka yang boleh mendatangkan dosa wajib dijauhi jika kita sayangkan kehidupan sesudah mati. Sebaliknya, tukarkan buruk sangka dengan kasih sayang dan belas kasihan sesama umat yang bersaudara kerana itulah asas sebuah kehidupan berkeluarga. Kasih sayang bukan sekadar menyatukan hati dan jiwa tetapi juga mengukuhkan hubungan sesama manusia

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Alam barzakh menurut Ibnu Taimiyyah

Posted by epondok di Februari 17, 2012

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Kita menyambung kalam tentang hakikat alam barzakh yang menjadi punca salah faham sesetengah kelompok dalam beberapa isu. Sekali lagi kita memetik pandangan tokoh yang sering menjadi rujukan aliran yang kontroversi iaitu Ibnu Taimiyyah.

Ibnu Qayyim murid Ibnu Taimiyyah, memuatkan dalam kitab al-Ruh penjelasan-penjelasan yang lengkap. Juga dinaqalkan fatwa penting Ibnu Taimiyyah seperti yang disebut dalam al-Fatawa al-Kubra.

Ibnu Taimiyyah ditanya mengenai orang hidup yang pergi menziarahi orang yang telah mati. Adakah mereka mengetahui tentang ziarah orang yang hidup? Adakah si mati mengetahui sesiapa yang mati selepasnya di kalangan kaum kerabatnya atau orang yang lain?

Maka beliau menjawab: “Segala puji bagi Allah. Ya, sebenarnya banyak athar yang menerangkan mengenai pertemuan dan pertanyaan mereka serta penayangan amalan orang-orang yang hidup kepada mereka yang telah mati.”

Antaranya kata beliau, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu al Mubarak, daripada Abu Ayyub al-Ansori. Beliau berkata: “Apabila nyawa seseorang Mukmin itu dicabut, maka hamba-hamba Allah yang telah mendapat rahmat (yang telah mati dahulu) bertemu dengannya seperti mana bertemunya orang yang datang membawa berita gembira di dunia ini.

“Maka mereka bersegera datang kepadanya dan bertanyakan khabar, lalu berkata sebahagian daripada mereka kepada yang lain: “Tunggulah saudaramu itu berehat dahulu, kerana dia sebenarnya dalam kesusahan yang amat (kesan kesakitan Sakarat al Maut).”

Berkata Abu Ayyub lagi: “(Selepas dia berehat) mereka bersegera datang kepadanya semula dan bertanya kepadanya, Apakah yang telah dilakukan oleh si lelaki itu?” dan “Apakah yang telah dilakukan oleh si perempuan itu, adakah dia telah berkahwin?”

Adapun mengenai si mati mengetahui orang hidup, yang datang menziarahinya dan memberi salam ke atasnya, maka telah disebut dalam hadith Ibnu Abbas r.a, beliau berkata: “Telah bersabda Rasulullah SAW tidaklah seseorang itu melalui kubur saudaranya yang Mukmin yang pernah dikenalinya di dunia, kemudian dia memberi salam kepadanya, melainkan saudaranya itu (yang telah mati) mengenalinya dan menjawab salamnya.”

Ibnu Mubarak berkata: “Hadis ini telah thabit daripada Nabi SAW dan disahihkan oleh Abdul Haq, pengarang Kitab al-Ahkam“. (Majmu’ Fatawa Ibnu Taimiyyah, 24:331)

Dalam bahagian lain pula, Sheikh Ibnu Taimiyyah ditanya: “Adakah si mati mendengar pertuturan orang yang menziarahinya dan melihat orang itu? Adakah rohnya kembali ke dalam jasadnya pada ketika itu, ataupun berlegar-legar di atas kuburnya pada waktu itu dan waktu yang lain? Adakah rohnya berkumpul bersama roh-roh ahli keluarga dan kaum kerabatnya yang mati sebelumnya?”

Maka beliau menjawab: “Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Ya! Mayat itu mendengar semuanya, seperti yang telah thabit di dalam Sohihain (Bukhari dan Muslim), daripada Nabi SAW, baginda SAW bersabda: Mayat mendengar bunyi sepatu mereka yang hidup ketika mereka beredar dari kubur.

Kemudian beliau menyebut beberapa hadis lain yang sehubungan dengan makna itu. Setelah itu, beliau berkata: “Dalil-dalil ini dan yang sama dengannya, menerangkan kepada kita bahawa mayat mendengar seluruh pertuturan orang yang hidup.”

Tidaklah semestinya mayat itu sentiasa mendengar pertuturan yang diucap, tetapi mereka mendengarnya pada suatu ketika dan tidak pada masa yang lain.

Keadaannya sama seperti yang berlaku kepada orang yang hidup. Kadang kala mereka mendengar pertuturan orang yang hidup. Kadang-kadang mereka juga tidak mendengar apa yang dipertuturkan kepada mereka kerana suatu penghalang yang menghalangnya.

Pendengaran itu adalah pendengaran pengetahuan (hanya bertujuan memberikan maklumat) yang tidak menghasilkan sebarang balasan.

Ia juga bukannya pendengaran yang dinafikan melalui firman Allah SWT: Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaran-ajaranmu. (al-Naml: 80)

Makna pendengaran yang dikehendaki daripada ayat ini adalah penerimaan dan menjunjung perintah.

Sesungguhnya Allah SWT mengumpamakan orang kafir seperti mayat yang tidak dapat menjawab seruan orang yang menyerunya dan juga seperti binatang-binatang yang mendengar suara-suara akan tetapi tidak memahami maknanya.

Sekalipun mayat boleh mendengar pertuturan orang yang hidup dan memahami maknanya. Tetapi mereka tidak boleh menjawab seruan orang yang menyeru dan tidak boleh melaksanakan perkara yang disuruh dan yang dilarang.

Maka tidak ada manfaat perintah dan larangan bagi mereka. Begitu juga dengan keadaan orang kafir. Mereka tidak langsung memberikan reaksi (tidak langsung mendapat manfaat dengan suatu suruhan dan larangan) apabila disuruh mahupun dilarang daripada melakukan sesuatu, walaupun dia mendengar pertuturan itu dan memahami maknanya.

Ia sebagaimana maksud firman Allah SWT di dalam al-Quran: Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Dia menjadikan mereka dapat mendengar. (al-Anfaal: 23)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »