Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 16 Februari 2012

Panduan bahtera kasih nabi s.a.w

Posted by epondok di Februari 16, 2012

Oleh Tuan Asmawi Tuan Umar

HIDUP berpasangan sebagai suami isteri mudah untuk tercipta dan terbina namun pengendalian dan penyelenggaraannya yang berteraskan paksi keagamaan akan menjadi satu faktor penentu kepada kejayaan dan kebahagiaan.

Pepatah Melayu juga pernah menukilkan “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”.

Sesuatu yang tidak dapat kita sangkal bahawa pada era kini walau pun tidak semua masalah dan konflik yang timbul dalam pelayaran bahtera rumahtangga dianggap sebagai masalah dan konflik kekal yang rata-ratanya berkesudahan dengan perpisahan dan perceraian.

Sepatutnya, setiap permasalahan yang terjadi bukannya dengan cara melarikan diri atau mengelak. Sebaliknya, ia wajar dihadapi dengan penuh hikmah yang akhirnya menatijahkan penyelesaian kukuh (constructive solution) dan bukan sebaliknya iaitu penyelesaian yang meruntuhkan (destructive solution).

Kehidupan berumahtangga sudah pastinya menuntut setiap pasangan sama ada suami atau isteri mempunyai ilmu pengetahuan dalam hal ehwal kehidupan suami isteri.

Ini kerana dengan ilmu pengetahuan yang ditambah saduran pengalaman hidup akan menjadi pedoman dalam melayari bahtera perkahwinan yang saban waktu tidak terlepas daripada ujian dan dugaan.

Ternyata apa yang berlaku kepada kebanyakan pasangan-pasangan yang berkahwin terutama golongan muda meletakkan ‘ilmu kamar di tidur’ sebagai keutamaan.

Ini secara tidak langsung memaparkan bahawa pernikahan yang terjalin tidak lebih berkisar kepada elemen-elemen tersebut.

Perjalanan hidup dalam menempuhi alam berumahtangga akan menjadi lebih indah sekiranya setiap pasangan tidak ‘menjarakkan’ diri dengan panduan agama Islam yang meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai ikon atau petunjuk prestasi tinggi dalam segenap aspek.

Mengambil kira keadaan sedemikian , kehidupan berumahtangga pasti akan membuahkan keserasian sekiranya metod pembinaan dan pembangunannya juga bersandarkan kepada teladan yang telah digariskan oleh baginda.

Sebagai contohnya, dalam soal pemilihan pasangan, baginda jelas menyarankan kepada umatnya menerusi hadis yang bermaksud: Seseorang perempuan dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana harta, keturunan, kecantikan atau agamanya. Maka, pilihlah perempuan yang beragama kerana kamu memerlukannya. (riwayat al-Bukhari no. 4802 dan Muslim no. 1466)

Oleh yang demikian, baginda telah menggariskan faktor agama sahaja yang menjadi benteng kukuh dalam pemilihan pasangan berbanding faktor yang lain.

Oleh yang demikian, tidak menjadi masalah jika pihak wanita menjadikan faktor utama iaitu agama – walau pun dalam hadis ini tidak dinyatakan – untuk ia terpakai bagi asas pemilihan bakal suami kepada seseorang wanita.

Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang yang kamu redai agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak mengahwinkannya, nescaya akan berlaku fitnah dan berleluasanya kerosakan di muka bumi.” (riwayat al-Tirmizi no. 1084).

Konflik dan pergolakan

Apabila adanya benteng agama dalam diri setiap pasangan suami isteri maka ia akan menjadi satu pasport besar bagi menjamin kelangsungan dan kebahagiaan dalam berumahtangga.

Pada kebiasaannya, Allah SWT Maha Adil dalam ‘meregukan’ pasangan suami isteri iaitu lelaki yang soleh dengan wanita solehah dan sebaliknya.

Ini kerana isteri yang solehah adalah isteri yang tunduk dan patuh kepada Allah dan kepada suaminya.

Bahkan dalam sebuah hadis ada disebutkan begitu besar tanggungjawab isteri terhadap suami, Rasulullah SAW pernah bersabda jika Allah mengizinkan seseorang menyembah orang lain, maka akan saya suruh seorang isteri menyembah suaminya.

Dalam hadis yang lain juga disebutkan seorang isteri tidak akan dapat mencium bau syurga jika dia meminta cerai kepada suaminya tanpa alasan yang jelas mengikut syarak.

Sememangnya sudah menjadi lumrah kehidupan tetapi ia juga sering terjadi timbulnya konflik dan pergolakan disebabkan oleh onar sebelah pihak iaitu mungkin suami atau isteri atau kedua-duanya iaitu suami dan isteri dengan istilah paling popular main kayu tiga.

Merujuk kepada isu ini sebagai contoh, seringkali cinta pertama setiap pasangan mungkin bukan dengan suami yang diijabkabulkan.

Namun apabila bisikan cinta pertama dengan ‘buah hati’ lama telah menusuk ke hati sama ada suami atau isteri ia bakal mencetuskan satu ‘tsunami cinta’ dalam mana-mana rumah tangga sekali pun.

Keadaan sedemikian sering juga membawa kepada tuntutan jelas pihak sebagai contohnya isteri agar diceraikan oleh suaminya dek memburu cinta ‘kekasih lama.’

Sesungguhnya hal sedemikian bergegarnya tiang ‘arasy bahkan mendapat kutukan Allah SWT dan menjadi lebih sengsara di akhirat nanti jika suaminya tidak memaafkan atas kesalahan yang dilakukannya itu.

Dalam hal ini, kita semua barangkali terlepas pandang betapa banyak harta Saidatina Khadijah isteri Rasulullah SAW digunakan baginda untuk perjuangan dalam Islam, namun walaupun harta tokoh korporat wanita Mekah ini habis digunakan, beliau tetap reda dengan usaha suaminya itu.

Mengapa hanya perkara kecil yang memang pasti dihadapi oleh setiap keluarga, tidak mampu dihadapi malah dipertikaikan? Mengapa terlalu rapuh institusi rumahtangga umat Islam ketika ini?

Jika persoalan atau krisis rumahtangga yang sedikit dan sederhana tidak berupaya diselesaikan dengan hati yang terbuka, maka perkara yang sama akan mudah terjadi dan menimpa anda walaupun setelah mendirikan dan membina perkahwinan yang baru.

Melainkan seseorang itu benar-benar bertaubat, insya-Allah akan diberi jalan kemudahan terhadapnya oleh Allah SWT.

Permohonan cerai seorang isteri terhadap suaminya tanpa alasan yang benar menurut syarak maka ia tergolong dalam kategori isteri yang berdosa.

Bahkan dijelaskan oleh Rasulullah SAW sebagai seorang isteri yang tidak dapat mencium bau syurga (tidak dapat masuk syurga).

Kesimpulannya, pembinaan bahtera kasih berpaksikan panduan nabi SAW adalah sesuatu yang mampu dan berupaya diikuti walau ia tidak setaraf dengan apa yang dilakukan oleh insan pilihan Allah Muhammad ibni Abdullah, sekurang-kurangnya kita sentiasa komited untuk menuju reda Allah SWT

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »