Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Jauhi dosa zina

Posted by epondok di Februari 15, 2012


Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD  TERMIZI MOHAMED DIN

SETIAP kali menjelangnya Hari Valentine atau Hari Kekasih, kita akan dihidangkan dengan berita-berita tangkapan khalwat yang menghiasi dada akhbar dan kaca televisyen.

Serbuan pihak jabatan agama dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam terhadap hotel-hotel, rumah tumpangan dan pusat hiburan tidak pernah diinsafi oleh segelintir masyarakat termasuklah yang beragama Islam. Semuanya kerana mahu meneruskan aktiviti maksiat dengan alasan meraikan Hari Kekasih bersama insan tercinta.

Batasan agama dan pertimbangan dosa-pahala diketepikan demi menyemai cinta bersulam nafsu. Bukan sahaja sambutan Hari Kekasih ini boleh menjejaskan akidah umat Islam, ia turut mengundang kepada gejala yang tidak sihat seperti perzinaan.

Para ulama secara sepakat telah meletakkan zina sebagai dosa besar. Ia berlaku apabila seseorang itu melakukan persetubuhan tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Zina adalah sebuah dosa yang keji dan tercela sehingga disediakan hukuman berat kepada pelakunya di dunia dan akhirat.

Berkata Imam Ibnu Hajar Al-Haytami: “Zina mempunyai beberapa martabat. Berzina dengan wanita ajnabi yang tidak bersuami dikira sebagai dosa besar. Dosa tersebut dikira lebih besar lagi sekiranya dilakukan dengan wanita ajnabi yang telah mempunyai suami.

“Lebih besar daripada itu apabila seorang berzina dengan mahramnya sendiri. Perbuatan zina seorang yang pernah berkahwin lebih keji dari orang belum pernah berkahwin berdalilkan hukuman had yang berbeza antara keduanya.

“Zina yang dilakukan oleh orang tua lebih keji dari zina yang dilakukan oleh orang muda kerana akalnya lebih sempurna. Zina yang dilakukan oleh orang merdeka dan orang alim lebih keji daripada zina yang dilakukan oleh seorang hamba dan orang yang jahil.” (rujuk Az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair).

Hikmah di sebalik pengharaman zina adalah terlalu banyak. Antaranya ia boleh merosakkan hubungan kekeluargaan. Tidak ada orang yang mempunyai fikiran yang waras sanggup membiarkan ahli keluarganya berzina dengan orang lain.

Seorang yang melakukan hubungan zina juga akan hilang rasa bahagia berumahtangga kerana dia akan lebih berminat berpeleseran di luar berbanding dalam kediamannya sendiri.

Zina yang dilakukan bakal membiakkan pelbagai penyakit bahaya seperti sifilis dan Aids yang membawa kepada kematian. Zina juga membawa kepada lahirnya anak-anak yang tidak berbapa.

Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini mendedahkan jumlah anak tidak sah taraf kini mencecah 234,647 orang dalam tempoh empat tahun (2006-2010).

Jumlah itu membabitkan 80,979 atau 34.5 peratus ibu beragama Islam dan mewakili sembilan peratus daripada keseluruhan 2,481,276 kelahiran dalam tempoh berkenaan. Bahkan, anak-anak tidak berdosa ini menerima nasib malang apabila dibuang dengan hina. Semuanya ini untuk menutup aib akibat perbuatan terkutuk berzina.

Justeru, Allah SWT memberikan amaran supaya menjauhi zina melalui firman-Nya yang bermaksud: Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk. (al-Israk: 32)

Dalam ayat di atas, Allah SWT bukan sahaja mengharamkan perzinaan, bahkan Dia juga mengharamkan semua perkara yang boleh menyebabkan berlakunya perzinaan sama ada daripada segi perkataan, perbuatan dan sebagainya.

Justeru, kita hendaklah menjaga batasan aurat ketika berada bersama dengan rakan-taulan dan ahli keluarga. Percampuran lelaki dan perempuan dalam majlis-majlis perlu diberikan perhatian agar tidak menimbulkan gejala yang tidak sihat.

Pakaian yang dipakai tidak boleh menampakkan susuk tubuh yang mungkin boleh menarik perhatian dan mengganggu perasaan orang lain.

Majikan juga perlu berperanan memberi kesedaran dan bertindak dengan tegas kepada kakitangannya termasuklah dalam menangani gangguan seksual di tempat kerja.

Mereka yang terjerumus dalam lembah perzinaan perlu bertaubat dengan segera. Tinggalkan dosa yang lalu dan mulakan hidup baru yang bersih dan suci dari segala bentuk maksiat. Allah SWT tetap membuka pintu keampunan-Nya terhadap mereka yang benar-benar bertaubat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Furqan: 68-70)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: