Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 15 Februari 2012

Sambut Hari Kekasih yang sebenar

Posted by epondok di Februari 15, 2012

                                            HASAN AL-BANNA MOHAMED
                                Hari kekasih yang hakiki, sejati

Saban tahun tatkala menjelangnya Februari, maka berkumandanglah tema Hari Kekasih di serata dunia, termasuklah di Malaysia.

Lagu dan lirik memuja kekasih sering diungkapkan seumpama “Kau kekasih awal dan akhir”, “Sekuntum mawar merah di bulan Februari”, “C.I.N.T.A…” turut kedengaran di corong radio, di samping pelbagai acara dilaksanakan ketika ini.

Menjadi trend masa kini hanyalah Februari dianggap keramat dan penting dengan populariti hari memuja kekasih, sedangkan bulan lain diketepikan begitu sahaja. Pada tahun ini sekali lagi, Februari jatuh bersamaan dengan Rabiulawal dalam Hijriah iaitu bulan kelahiran junjungan besar kekasih ALLAH SWT, Nabi Muhammad SAW yang dilantik sejak 1440 tahun sebagai pesuruh akhir zaman dan penghulu segala nabi dan rasul.

Sesungguhnya Baginda SAW diutus buat seluruh alam sebagai pembawa rahmat dan nikmat bagi semua makhluk di dunia. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad) kecuali sebagai rahmat seluruh alam semesta”. (Surah Al-Anbiya’ : 107)

Rasulullah SAW sewajibnya dijadikan idola utama bagi setiap ummah manusia untuk ikutan sepanjang zaman. “Sesungguhnya aku (Nabi Muhammad) diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”. (Hadis riwayat oleh Imam Bukhari).

Baginda SAW selayaknya sebagai kekasih awal dan akhir dalam kehidupan ini selepas Pencipta sekalian alam. Kedatangan Rabiulawal 1433 Hijriah ataupun Februari ini, perlu dijadikan iktibar agar bermuhasabah diri untuk menjadi Muslim yang menepati sunnah Rasulullah SAW.

Muhasabah diri

Cuba renungkan sebentar dengan perkara peribadi seperti makan, kelakuan, percakapan sehinggalah pengurusan pentadbiran negara, adakah semuanya berlandaskan dengan apa yang diperintahkan ALLAH SWT dan bertepatan dengan amalan rasul-Nya? Sekiranya masih wujud aspek yang tidak mengikut perkara yang disuruh syariat atau sunnah, cepat-cepatlah bermuhasabah diri dalam menyambut Hari Kekasih ALLAH SWT, agar sempat kembali semula kepada fitrah (semula jadi).

Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Sa’id Al-Khudri yang menegaskan bahawa pada akhir zaman nanti lahir sekumpulan manusia yang mengikuti musuh mereka dalam setiap langkah dan tingkah lakunya, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun umat Islam akan turut mengikuti mereka.

Kegagalan dalam menghayati cara hidup yang pernah ditunjukkan junjungan Rasulullah SAW yang berasaskan al-Quran, menyaksikan pelbagai kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di sekeliling seperti pembuangan bayi, gejala zina, sumbang mahram, kahwin sesama jenis danpelbagai kebejatan sosial.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa cinta ALLAH SWT dan Rasulullah-Nya perlu mengatasi daripada segala-galanya. Firman ALLAH SWT dalam yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa kamu, dan anak kamu, dan isteri (atau suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada ALLAH dan Rasul-Nya (daripada) berjihad untuk agamanya, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana ALLAH tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik (derhaka)”. (Surah At-Taubah : 24)

Selawat dan syukur

Rasulullah SAW menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud: “Tidak dianggap sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada anaknya, bapanya dan sekalian manusia” (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim).

Marilah tunjukkan cinta sejati dan sebenar Muslim kepada ALLAH dan Rasulullah SAW dengan mensyukuri nikmat yang dianugerahkan kepada manusia pada setiap masa. Lihat bagaimana golongan sahabat Rasulullah SAW membuktikan nilai cinta mereka terhadap Baginda dengan sanggup, ‘berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa. Itulah kasih mesra. Sejati dan sejiwa…”

Sahabat Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a, Saidina Umar al-Khattab r.a, Saidina Usman Al-Affan r.a dan Saidina Ali KarramAllahu Wajhah r.a yang tidak berbelah bahagi cintanya kepada Baginda SAW.

Basahilah lidah dengan ucapan Alhamdulillah dan banyakkan lafaz Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Ini menandakan syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat yang diberikan ALLAH SWT. Jika mengingkari nikmat-Nya biarpun sekecil zarah, ketahuilah bahawa azab ALLAH amatlah pedih.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih”. (Surah Ibrahim : 7)

Lafaz selawat kepada junjungan rasul tersebut akan menjadi satu saham atau amalan bantuan (syafaat) pada hari pembalasan kelak. Sekali ucapan selawat kepada Nabi Muhammad SAW, lalu malaikat dan makhluk di langit turut mengungkapkan sebanyak 10 ucapan selamat sejahtera terhadap individu yang melafazkannya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-Nya berselawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya”. (Surah Al-Ahzaab : 56)

Mana mungkin dihinggapi dengan pelbagai mehnah (ujian), cabaran ataupun penyakit yang membimbangkan apabila Muslim itu sentiasa dirahmati sekalian makhluk ALLAH SWT.

Sempena dengan Rabiulawal yang penuh keberkatan ini, marilah sama-sama merenung sekali lagi tahap kecintaan Muslim kepada ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Adakah umat Islam kini sudah benar-benar mengasihi Baginda SAW?

Budaya cinta ALLAH dan cinta Rasul harus dijadikan sebagai santapan rindu dan ombak kasih bagi setiap insan Muslim yang beriman dan bertakwa.

Lagu dan lirik yang memuja ALLAH SWT dan memuji junjungan Nabi Muhammad SAW harus senantiasa disegarkan pada setiap masa. Semoga anda termasuk dalam golongan dalam kumpulan yang memperoleh syafaat pada hari Mahsyar nanti, insya-ALLAH. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutilah daku, nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah Ali-Imran : 31)

Janganlah asyik bercinta sesama insan, kenal-mengenali antara satu sama lain sehinggakan segala rahsia, tingkah laku, budi pekerti kekasih itu diketahui segalanya; namun perkara yang berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW satu pun tidak diketahuinya.

Bacalah buku Sirah an-Nabawiyyah yang banyak menceritakan hal-ehwal perjalanan Baginda SAW sejak kecil sehingga kewafatannya seumpama kitab As-Syamailul Muhammadiyyah karangan Imam At-Termizi yang boleh dijadikan novel ikutan seharian. Soroti dan hayatilah sejarah Rasulullah SAW dengan menjadikannya sebuah kisah cinta yang hakiki dan sejati. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutilah daku, nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah Ali-Imran, ayat 31).

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Jauhi dosa zina

Posted by epondok di Februari 15, 2012

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD  TERMIZI MOHAMED DIN

SETIAP kali menjelangnya Hari Valentine atau Hari Kekasih, kita akan dihidangkan dengan berita-berita tangkapan khalwat yang menghiasi dada akhbar dan kaca televisyen.

Serbuan pihak jabatan agama dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam terhadap hotel-hotel, rumah tumpangan dan pusat hiburan tidak pernah diinsafi oleh segelintir masyarakat termasuklah yang beragama Islam. Semuanya kerana mahu meneruskan aktiviti maksiat dengan alasan meraikan Hari Kekasih bersama insan tercinta.

Batasan agama dan pertimbangan dosa-pahala diketepikan demi menyemai cinta bersulam nafsu. Bukan sahaja sambutan Hari Kekasih ini boleh menjejaskan akidah umat Islam, ia turut mengundang kepada gejala yang tidak sihat seperti perzinaan.

Para ulama secara sepakat telah meletakkan zina sebagai dosa besar. Ia berlaku apabila seseorang itu melakukan persetubuhan tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Zina adalah sebuah dosa yang keji dan tercela sehingga disediakan hukuman berat kepada pelakunya di dunia dan akhirat.

Berkata Imam Ibnu Hajar Al-Haytami: “Zina mempunyai beberapa martabat. Berzina dengan wanita ajnabi yang tidak bersuami dikira sebagai dosa besar. Dosa tersebut dikira lebih besar lagi sekiranya dilakukan dengan wanita ajnabi yang telah mempunyai suami.

“Lebih besar daripada itu apabila seorang berzina dengan mahramnya sendiri. Perbuatan zina seorang yang pernah berkahwin lebih keji dari orang belum pernah berkahwin berdalilkan hukuman had yang berbeza antara keduanya.

“Zina yang dilakukan oleh orang tua lebih keji dari zina yang dilakukan oleh orang muda kerana akalnya lebih sempurna. Zina yang dilakukan oleh orang merdeka dan orang alim lebih keji daripada zina yang dilakukan oleh seorang hamba dan orang yang jahil.” (rujuk Az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair).

Hikmah di sebalik pengharaman zina adalah terlalu banyak. Antaranya ia boleh merosakkan hubungan kekeluargaan. Tidak ada orang yang mempunyai fikiran yang waras sanggup membiarkan ahli keluarganya berzina dengan orang lain.

Seorang yang melakukan hubungan zina juga akan hilang rasa bahagia berumahtangga kerana dia akan lebih berminat berpeleseran di luar berbanding dalam kediamannya sendiri.

Zina yang dilakukan bakal membiakkan pelbagai penyakit bahaya seperti sifilis dan Aids yang membawa kepada kematian. Zina juga membawa kepada lahirnya anak-anak yang tidak berbapa.

Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini mendedahkan jumlah anak tidak sah taraf kini mencecah 234,647 orang dalam tempoh empat tahun (2006-2010).

Jumlah itu membabitkan 80,979 atau 34.5 peratus ibu beragama Islam dan mewakili sembilan peratus daripada keseluruhan 2,481,276 kelahiran dalam tempoh berkenaan. Bahkan, anak-anak tidak berdosa ini menerima nasib malang apabila dibuang dengan hina. Semuanya ini untuk menutup aib akibat perbuatan terkutuk berzina.

Justeru, Allah SWT memberikan amaran supaya menjauhi zina melalui firman-Nya yang bermaksud: Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk. (al-Israk: 32)

Dalam ayat di atas, Allah SWT bukan sahaja mengharamkan perzinaan, bahkan Dia juga mengharamkan semua perkara yang boleh menyebabkan berlakunya perzinaan sama ada daripada segi perkataan, perbuatan dan sebagainya.

Justeru, kita hendaklah menjaga batasan aurat ketika berada bersama dengan rakan-taulan dan ahli keluarga. Percampuran lelaki dan perempuan dalam majlis-majlis perlu diberikan perhatian agar tidak menimbulkan gejala yang tidak sihat.

Pakaian yang dipakai tidak boleh menampakkan susuk tubuh yang mungkin boleh menarik perhatian dan mengganggu perasaan orang lain.

Majikan juga perlu berperanan memberi kesedaran dan bertindak dengan tegas kepada kakitangannya termasuklah dalam menangani gangguan seksual di tempat kerja.

Mereka yang terjerumus dalam lembah perzinaan perlu bertaubat dengan segera. Tinggalkan dosa yang lalu dan mulakan hidup baru yang bersih dan suci dari segala bentuk maksiat. Allah SWT tetap membuka pintu keampunan-Nya terhadap mereka yang benar-benar bertaubat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Furqan: 68-70)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »