Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 14 Februari 2012

Hari Kekasih antara sejarah dan hukum

Posted by epondok di Februari 14, 2012

Oleh Mohd Fadly Samsudin

ISLAM tidak pernah meng iktiraf Hari Kekasih atau Valentine’s Day malah sambutannya adalah perbuatan keji kerana menjurus kepada pelbagai perlakuan dosa termasuk zina.

Kasih sayang dalam Islam diwujudkan bagi mengerat kan hubungan silaturahim, melawat ketika ada di antara mereka yang sakit, membantu ketika ditimpa kesusahan serta menyatukan mereka yang bertelagah.

Jika ada umat Islam yang pernah atau bercadang untuk meraikan sambutan Hari Kekasih yang diadakan pada 14 Februari itu, mereka perlu segera bertaubat!

Amat menyedihkan kerana segala maklumat serta seruan Islam berkaitan pengharaman sambutan Hari Kekasih itu sudah diperjelaskan dan disebarkan tetapi mereka tetap ingkar.

Bukti dapat disaksikan apabila terdapat sejumlah daripada mereka dicekup pihak berkuasa kerana memadu asmara di hotel, rumah sewa atau rumah tumpangan.

Biasanya sambutan itu diraikan pasangan dengan penuh unsur maksiat seperti keluar berdua-duaan, berpeleseran sehingga membawa pasangan melakukan hubu ngan seks.

Perbuatan yang mereka lakukan itu diibaratkan sebagai ‘persembahan’ membuktikan kesetiaan cinta mereka. Tarikh itu dianggap hari ‘meraikan’ kisah cinta mereka dan sudah tentu apa saja kemahuan serta pujuk rayu akan dipenuhi pasangan masing-masing.

Kenapakah anak muda di negara ini terlalu ghairah meraikan hari itu? Barangkali mereka merasakan itu hanya perbuatan bagi mendapatkan keseronokan tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari berkenaan.

Cukuplah kerana sambutan Hari Kekasih yang dibawa oleh orang Barat itu tanpa disedari boleh merosakkan akidah serta akhlak umat Islam terutamanya golongan remaja.

Meraikan hari tertentu tanpa memeriksa latar belakang perayaan itu pastinya menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran. Jelas budaya perayaan itu mempunyai unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

Di Malaysia, larangan me nyambut Hari Kekasih selaras dengan fatwa hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-71 yang bersidang pada 20-21 Syawal 1426H bersamaan 22-24 November 2005 di Kuching, Sarawak, yang menetapkan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan Islam dan umat Islam dilarang meraikannya.

Islam melarang umatnya terbabit secara langsung dengan sambutan itu atau duduk dalam majlis yang mempersendakan Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam al-Quran bahawa apabila kamu mende ngar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka ja nganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguh nya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam” (Surah An-Nisa ayat 140).

Memberikan hadiah bersempena Hari Kekasih  menjadi haram malah mengirim ucapan cinta atau kasih sempena Valentine juga dilarang oleh ulama.

Berdasarkan sejarah, Valentine ialah seorang paderi yang mempunyai pengaruh besar pada zaman pemerintahan Ratu Isabella di Sepanyol.

Dia antara individu yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol.

Sebab itu, ratu Isabella menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan Kristian terhadap Islam. Sesiapa yang merayakannya seolah-olah mereka gembira dan merestui kekalahan umat Islam di Sepanyol.

Justeru, tarikh 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum untuk meraikan kemenangan diterajui Valentine setiap tahun. Itu sebabnya umat Islam perlu sensitif dan mengambil berat isu ini supaya ia tidak dijadikan amalan atau jalan untuk cuba meraikannya walau dengan apa cara sekalipun.

Sepatutnya budaya negatif Barat seperti menikmati hiburan dan keseronokan secara berlebih-lebihan itu tidak wajar diikuti. Jangan dibiarkan budaya dan tatacara Islam dipinggirkan dengan mengagung-agungkan budaya ciptaan yang boleh meruntuhkan bangsa dan identiti negara.

Ibu bapa perlu memainkan peranan memantau aktiviti dan hubungan sosial anak-anak dalam memastikan mereka tidak menghadiri sebarang sambutan Hari Kekasih.

Pendapat lain mengaitkan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia, iaitu upacara pe nyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.

Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bernama Juno Februata. Pada hari itu, pemuda Rom memilih nama gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak, kemudian mereka mencabut nama daripada kotak itu secara rawak.

Nama gadis yang dicabut akan menjadi pasangan dan hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindu ngan Dewa Lupercalia daripada gangguan serigala dengan menyembelih anjing dan kambing.

Kemudian mereka memilih dua pemuda Rom paling gagah bagi menyapukan darah binatang itu ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu.

Selepas itu, perarakan besar-besaran diketuai dua pemuda itu akan memukul orang ramai di laluan dengan kulit binatang dan wanita berebut menerima pukulan kerana menganggapnya bagi menambah kesuburan mereka.

Justeru, remaja Islam negara ini diharap tidak mengagung-agungkan sambutan Hari Kekasih kerana ia mendorong mereka terjerumus ke lembah maksiat.

Masyarakat Barat mungkin beranggapan dengan cara itu umat Islam boleh dilalaikan dan mereka akan terdorong melakukan perbuatan tidak bermoral seperti melakukan maksiat dengan pasangan tanpa batasan.

Agenda itu memberi kejayaan besar kepada mereka kerana mampu mengatur umat Islam mengikut acuan mereka. Situasi itu akan mendorong kepada pembentukan akhlak dan peribadi yang buruk kepada generasi muda apabila terdedah de ngan perbuatan tidak sihat.

Selagi umat Islam berpegang teguh kepada akidah yang benar selagi itulah anasir luar cuba memesong kan hala tuju ummah agar kecundang.

Penceramah bebas, Ustaz Mohamad Rani Awang Besar berkata, paling dibimbang kan kini ialah kurangnya ketahanan ilmu dan rapuhnya akidah umat Islam sehingga begitu mudah mereka diperdayakan.

“Sambutan Hari Kekasih ini datangnya dari Barat yang mahu merosakkan akidah, fahaman serta budaya umat Islam. Pesan Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia turut termasuk bersama golongan itu.”

“Tidak kiralah sama ada golongan muda atau tua, lelaki atau wanita, mereka perlu sedar supaya tidak mudah terikut-ikut dengan budaya salah yang dibawa dari Barat,” katanya.

Beliau berkata, sebagai umat Islam mereka perlu meletakkan kasih kepada Allah dan Rasul sebagai yang paling utama di samping berhak mengasihi mereka yang hampir seperti ibu bapa.

“Semua pihak perlu bergandingan dalam memperluaskan jaringan dakwah supaya umat Islam lebih faham apa yang mereka lakukan itu perlu diteliti sedalam-dalamnya kerana dibimbangi akan meng gugat akidahnya.

“Di Malaysia, alhamdulil lah maklumat mengenai sambutan Hari Kekasih ini jelas dan tersebar dengan cukup meluas. Diharapkan umat Islam mengambil serius pengharaman sambutan itu dan ia tidak dijadikan sebahagian daripada budaya kita,” katanya.

Mohamad Rani berkata sebutan ‘Valentine’ cukup indah diungkap namun ia tersingkap misi dan matlamat tersembunyi daripada musuh Islam.

“Musuh Islam sentiasa berusaha untuk memesongkan akidah serta jati diri umat Islam supaya kita menjadi umat yang kacau-bilau. Kembalilah mengamal kan perintah Allah dan memantap kan keimanan kita kepada ajaran Allah s.w.t.

“Untuk memantapkan akidah Islamiah, setiap individu perlu menyalurkan usaha secara berterusan dalam menuntut ilmu dengan menghadiri kelas pengajian dan sentiasa belajar daripada kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Menurutnya, lekas menuding jari kepada golongan yang melakukan kesilapan juga satu kesalahan kerana kita dituntut untuk terus membimbing mereka dengan menggunakan pendekatan berbeza.

“Untuk menarik minat orang lain menerima apa yang kita sampaikan bukannya dengan cara kekerasan atau hanya tahu menyatakan kesalahan yang mereka lakukan.

“Tetapi semua itu hanya dapat dicapai melalui pendidikan secara berperingkat serta contoh teladan yang ditonjolkan daripada individu yang menyampaikan itu,” katanya

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Sambutan Hari Valentine haram, perlu dijauhi

Posted by epondok di Februari 14, 2012

Oleh Azrul Affandi Sobry

Suara memperlekeh hukum, anggap hak peribadi sengaja menggalakkan kemungkaran

HARI INI seluruh dunia sekali lagi dilanda fenomena berkasih sayang. Sana sini kedai bunga pasti sibuk menyediakan jambangan bunga sebagai hadiah paling istimewa sebagai menyambut ‘Hari Valentine’ atau hari kasih sayang. Sudah pasti, sejak lewat malam ini, kebanyakan kelab malam dan hotel bersedia dengan pesta kasih sayang dengan pelbagai konsep tersendiri.

Lewat malam ini juga, pasti kelihatan gelagat anak muda berpasangan berpelukan dengan penuh keasyikan, kononnya diulit rasa romantik sebagai tanda kasih sayang yang terbina selama ini ditambah erat pada hari penuh istimewa bagi mereka itu. Lena diulit intan, ramai pasangan bercinta menghabiskan sisa malam Valentine di ranjang, tanda kasih sayang termeterai walaupun tanpa ikatan pernikahan.

Memang negara kita negara demokrasi. Ada hak kebebasan itu kepada rakyat kita, tetapi perlu diingat betapa haiwan juga tidak bebas berbuat apa disukainya. Jika manusia bebas buat apa dia suka, dianggap ia tidak masuk dalam agama. Jika sedar diri itu Islam, ikut cara dan undang-undang dalam agama ini. Jangan hidup dalam masyarakat jika mahu semuanya bebas. Jangan hidup beragama jika tidak tahu menghormati dan mematuhi hukum beragama. Jangan sampai dikatakan lebih hina daripada haiwan. – Prof Datuk Dr Abd Shukor Hussin, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.

Bagi yang menganggap sambutan di kelab malam sehingga ke ranjang sesuatu yang keterlaluan, mereka mungkin sekadar memilih sambutan sederhana seperti makan malam ditemani lilin atau sekadar membeli hadiah sebagai tanda mereka mengingati hari yang kononnya begitu istimewa itu.

Jika tiada hadiah dibeli, khuatir nanti pasangan mencebik dan merajuk dengan tuduhan pasangannya tidak romantik dan lupa kepada hari istimewa itu. Mulalah pasangan lain dijadikan contoh betapa mereka sayang pasangan mereka dengan sekurang-kurangnya memberikan bunga dan mengucapkan: “Happy Valentine Day, sayang…”

Persoalannya, begitu pentingkah sambutan Valentine Day atau Hari Valentine ini dalam hidup kita dan sesuaikah umat Islam turut meraikannya, sedangkan sering kali setiap tahun orang agama menasihat dan memperingatkan bahawa sambutan hari kasih sayang itu tidak ada dalam Islam, malah sudah ada yang mengatakannya haram.

Hakikatnya, kita sering lupa konsep sambutan hari kasih sayang itu kebanyakannya bercanggah dengan ajaran Islam. Halalkah ciuman bagi bukan muhrim pada hari itu? Adakah Islam membenarkan pasangan kekasih berpimpin tangan, menari di kelab malam, berpelukan dan meneguk ‘air syaitan’ semata-mata untuk menunjukkan rasa sayang pada kekasihnya.

Larangan sudah jelas. Namun, pada kala ia ditegaskan betapa sambutan ini tidak dibenarkan dalam Islam, ada pula suara daripada bukan Islam yang memperlekehkan larangan ini dengan alasan sambutan sebegini adalah hak peribadi, tidak boleh diganggu dan terpulang pada individu itu sendiri. Kononnya, ini negara demokrasi.

“Haiwan itu ciptaan Allah dan haiwan juga hidup dalam peraturannya sendiri. Jelas dikatakan bahawa manusia adalah sebaik-baik ciptaan Allah, tetapi jika kita tidak mematuhi hukum Islam dan sewenang-wenangnya melanggar larangannya, manusia itu layak dianggap lebih hina daripada haiwan.

“Memang negara kita negara demokrasi. Ada hak kebebasan itu kepada rakyat kita, tetapi perlu diingat betapa haiwan juga tidak bebas berbuat apa disukainya. Jika manusia bebas buat apa dia suka, dianggap ia tidak masuk dalam agama. Jika sedar diri itu Islam, ikut cara dan undang-undang dalam agama ini.

“Jangan hidup dalam masyarakat jika mahu semuanya bebas. Jangan hidup beragama jika tidak tahu menghormati dan mematuhi hukum beragama. Jangan sampai dikatakan lebih hina daripada haiwan.”

Itu kenyataan tegas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abd Shukor Hussin, yang jelas menolak konsep sambutan Hari Valentine terutama oleh umat Islam di negara ini dan seluruh dunia amnya. Bagi beliau, sambutan sebegitu lebih kepada menggalakkan perlakuan maksiat, sekali gus menjadikan sambutannya sebagai haram meskipun secara kecil-kecilan.

Malah, katanya, sambutan Valentine lebih kepada mengagungkan perayaan bukan Islam, selain menggalakkan maksiat. Secara terang-terangan ia diharamkan dalam Islam kerana menggalakkan perlakuan sumbang, terutama remaja yang gemar melakukan perkara dilarang termasuk maksiat.

“Kasih sayang penting dalam Islam dan menunjukkan kasih sayang tidak semestinya perlu ada hari khusus. Kita perlu saling mengasihi sesama kita. Islam mengajak umatnya mengasihi haiwan, apa lagi sesama manusia. Sayangi ibu bapa dan manusia lain, tetapi tidak perlu hari khusus.

“Sejarah Valentine tidak langsung menunjukkan membantu umat Islam meningkatkan amalan dan imannya. Malah, sejarah sambutan itu lebih banyak membawa kepada kerosakan akhlak. Oleh kerana itulah, Islam melarang dan jelas ia haram. Kebebasan adalah sesuatu yang sangat subjektif.

“Ada orang yang beranggapan menari dan minum sedikit itu sambutan kecil dan biasa. Ada yang anggap pegang dan peluk itu biasa. Soalnya, apa saja yang mereka buat itu bercanggah daripada hukum Islam dan sewajarnya dicegah. Agama lain tidak wajar masuk campur dalam urusan agama kita, sama seperti apa yang kita praktikkan,” katanya.

Beliau ternyata kurang senang apabila ada orang bukan Islam secara terang-terangan menyalahkan umat Islam yang melarang sambutan Hari Valentine dengan alasan ia adalah hak individu. Baginya, campur tangan sebegitu tidak wajar berlaku kerana setiap agama ada hukumnya sendiri dan perlu dipatuhi penganutnya.

“Untuk kamu agama kamu dan untuk kami agama kami.” Jelas dinyatakan dalam ayat akhir surah Al-Kafirun yang menunjukkan betapa Islam tegas dalam hal ini. Jaga agama kamu sendiri dan jangan sibuk dengan urusan hukum agama lain. Begitu juga kami (orang Islam) tidak sibuk dengan urusan agama kamu.

“Dalam Islam, sambutan Valentine haram dan perlu dijauhkan. Siapa yang mungkar dan tetap menyambutnya walaupun secara kecil tetap menempah dosa kerana ia jelas bercanggah dengan Islam. Jadi, itu hukum dalam agama Islam dan tidak wajar agama lain masuk campur dalam hal ini,” katanya lagi.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »