Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 13 Februari 2012

Menyingkap kisah perjuangan Rasulullah s.a.w

Posted by epondok di Februari 13, 2012

Oleh Ustaz Zaman

SETIAP tahun kita menyambut perayaan bagi meraikan kelahiran Baginda SAW dengan program yang berfaedah, seterusnya mendidik jiwa agar merasai hasil perjuangan Baginda dan pengorbanan yang besar sehingga kita menjadi penganut agama yang suci ini.

Kesabaran yang tinggi menghadapi tribulasi perjuangan ketika menyampai dan menyebarkan Islam membawa kepada pengiktirafan oleh Allah SWT sebagai ulul azmi yang mana diabadikan di dalam surah Al-Ahqaf ayat 35 bermaksud: “Bersabarlah kamu seperti sabarnya nabi-nabi ulul azmi”.

Kita mengetahui segala mukjizat yang dianugerahkan Allah SWT kepada Baginda SAW bermula dari awal kelahiran sehinggalah tibanya saat kewafatan SAW. Terkadang kita lupa kepada salah satu mukjizat besar iaitu pembaharuan yang dibawa oleh Baginda SAW sehingga utusan Baginda SAW menyebut: “Kami telah mendapat kelapangan dunia daripada kesempitan jahiliah, dari sistem perhambaan sesama manusia kepada penyembahan kepada Allah yang satu.”

Sistem perhambaan sesama manusia semakin lenyap daripada terus subur dengan sistem dan ketetapan yang dibawa oleh Allah SWT melalui Baginda SAW. Seterusnya sistem ini terus berkubur dengan penebusan kepada beberapa kesalahan yang telah dilakukan oleh umat Islam terhadap agamanya seperti membunuh dengan tidak sengaja, pelanggaran sumpah serta mereka yang menziharkan isteri mereka.

Antaranya firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang membunuh secara tidak sengaja, hendaklah membebaskan seorang hamba.” (An-Nisa’ 92).

“Sumpahan yang diucapkan secara tidak sengaja hendaklah ditebus dengan memberi makan 10 orang miskin, pakaian atau memerdekakan seorang hamba sahaya.” (Al-Maidah 89).

“Mereka yang menyamakan isteri dengan ibu sendiri (zihar), kemudian menarik balik kata-kata mereka maka hendaklah menebus dengan memerdekakan seorang hamba.” (Al-Mujadalah 3).

Begitu juga penghormatan yang diberikan Allah SWT terhadap wanita dan anak perempuan yang telah dinafikan hak mereka pada era jahiliah dengan dibunuh dan dijadikan bahan dagangan untuk memuaskan nafsu serakah kaum Adam. Allah SWT mengharamkan perkara sedemikian dengan mengharamkan pembunuhan mana-mana jiwa manusia serta diperintahkan wanita agar menjaga tata tertib dan kehormatan mereka.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah kepada kaum wanita yang beriman agar mereka menjaga kehormatan, pandangan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan mereka kecuali dengan bertudung dan kepada suami serta saudara terdekat”. (An-Nur 31).

“Hendaklah mereka (isteri) tetap di rumah mereka dan janganlah berhias seperti perhiasan jahiliah yang terdahulu”. (Al-Ahzab 33).

Daripada Abu Hurairah RA bahawa sabda Nabi SAW: “Amat malang kepada mereka yang mendengar namaku disebut dan dia tidak berselawat kepadaku”.(Al-Hadith).

Allah SWT menetapkan kepada umat Baginda SAW dengan menyebut nama Baginda pada ketika tasyahhud di setiap solat yang dilakukan sebagai penghormatan kepada Baginda dan dianjurkan umatnya berselawat pada setiap masa bagi merealisasikan peruntukkan Allah SWT kepada insan teragung ini. (SAW).

Seorang sahabat bernama Abdul Rahman bin Auf, berkata bahawa Baginda SAW didatangi malaikat Jibril dan berkata: “Wahai Muhammad, sesiapa yang berselawat kepadamu, maka 70,000 malaikat akan berselawat kepadanya”. (Hadith Fadail A’mal)

Dipetik daripada kitab “Syifa’ As-Syarif bahawa baginda SAW bersabda: “Mereka yang terselamat daripada kejutan hari kiamat ialah mereka yang banyak berselawat kepadaku.”

Malah doa yang tidak didahului dengan selawat kepada Baginda SAW dikatakan tertolak berdasarkan sebuah hadis daripada Anas bin Malik ra di mana Baginda SAW bersabda bermaksud: “Semua doa akan tergantung antara langit dan bumi sehingga empunya doa berselawat kepada Nabi SAW.” (al-hadis).

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Manfaat Usia muda untuk kebahagiaan dunia akhirat

Posted by epondok di Februari 13, 2012

Tulisan Zawawi Yusoh

ADA satu surah khusus di dalam al-Quran iaitu surah al-Asr yang menegaskan manusia berada dalam kerugian jika tidak memanfaatkan masa untuk beriman dan beramal soleh serta tidak berpesan-pesan sesama manusia dengan kebenaran dan kesabaran.

Rasulullah s.a.w berpesan kepada umatnya supaya memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati.

Masa muda jangan disia-siakan, nikmat kesihatan perlu digunakan bagi menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin. Sesungguhnya apa yang terjadi pada hari tua bergantung apa yang kita lakukan ketika usia muda.

Masa muda tidak akan bertahan lama kerana apabila tiba hari tua, zaman muda hanya tinggal kenangan.
Kehidupan pada hari tua kadang-kadang tidak indah lagi kerana tenaga sudah lemah, selera makan mulai menurun malah menghadapi pelbagai macam penyakit.
Remaja yang cemerlang akan menjadi warga emas yang gemilang. Manakala yang kecundang menguruskan masanya akan menjadi warga emas yang malang.

Bukan rugi di dunia saja, malah di akhirat kelak akan dipersoalkan ke manakah usia remaja kita dilaburkan? Nikmat kesihatan cukup berharga bagi setiap manusia.

Seluruh tubuh badan manusia sebenarnya adalah hak milik Allah, maka wajib kita jaga amanah ini sebaik mungkin. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan kita disifatkan oleh al-Quran sebagai mencampakkan diri ke lembah kebinasaan.

Namun, ramai tidak menghargai nikmat sihat ini sehingga membinasakan diri dengan mengambil dadah, ketagihan alkohol mahupun rokok, atau menjadi individu yang sengaja mendedahkan diri kepada kecelakaan dan kemungkaran.

Dengan itu, gunakan masa sihat untuk menuntut ilmu dan pengalaman serta membantu yang lain di samping melaksanakan ibadat. Masa kaya juga adalah nikmat ujian bagi kita.

Ramai yang hanyut dan terpesona dengan kekayaan yang dimilikinya. Kita perlu sentiasa menyedari kekayaan itu tidak kekal, ia boleh bertambah atau hilang dalam sekelip masa.

Kekayaan adalah amanah, maka carilah kekayaan dan gunakan mengikut peraturan Allah. Harta boleh dicari sebanyak mungkin, tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan lalu dilanda laknat dan diazab.

Bukan juga seperti orang yang kaya harta tetapi bakhil. Kekayaan adalah alat mencapai kebaikan dan keburukan. Dengan harta kita boleh menjadi dermawan, dengan harta juga kita boleh menjadi tamak haloba.

Sama juga halnya; dengan harta membolehkan seseorang masuk ke syurga dan dengan harta juga kita boleh ke neraka. Masa dan peluang terakhir yang disebut Rasulullah ialah masa hidup sebelum mati.

Saidina Ali berkata: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedialah dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal tiada lagi kehidupan (nikmat) selepas mati.” Maka fikir-fikir dan renungkanlah.

Justeru, panjatkanlah rasa kesyukuran kerana sehingga ke saat ini kita masih lagi dapat bernafas di atas bumi Allah, diberi kesihatan, kecergasan dan kesenangan masa untuk menjadi manusia cemerlang di dunia dan akhirat.

Ternyata benar, masa itu ibarat senjata tajam yang amat berguna jika digunakan dengan cara betul dan baik. Namun jika tidak betul cara mengguna masa ketajaman masa itu pasti akan memakan diri sendiri.

Bagi golongan yang tidak memanfaatkan masa sebaik mungkin akan ketinggalan dan kemunduran termasuk dalam pekerjaan, rumah tangga, pelajaran, pergaulan dan teknologi.

Kita juga tidak boleh hanya menanti kejayaan dan kecemerlangan datang bergolek. Sedarilah, masa berlalu begitu pantas tanpa kita sedari.

Ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya kita tidak tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »