Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 9 Februari 2012

Tutur kata baik menunjukkan akhlak mulia mukmin

Posted by epondok di Februari 9, 2012

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Mengumpat, fitnah boleh cetus permusuhan

SIFAT orang yang beriman sangat banyak disebut di dalam ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bahawa seseorang Islam perlu memiliki pakej yang lengkap untuk melayakkan mereka menjadi seorang mukmin yang sebenar.

Antara sifat orang yang beriman ialah bercakap benar dan menjauhi dusta, bohong dan kata-kata palsu. Ini menggambarkan bahawa Islam amat menekankan kepada pembinaan akhlak mulia melalui penjagaan tutur kata yang baik. Justeru, apabila ada orang yang sikapnya selalu bercakap bohong, adu domba, mengumpat, menyebarkan fitnah dan khabar angin yang semuanya berpunca dari lisan adalah tidak menggambarkan akan kebaikan dirinya sebagai orang mukmin.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata yang baik, atau hendaklah ia diam” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menjelaskan nilai peradaban yang cukup tinggi kerana mulut yang baik sebenarnya bukan hanya bermanfaat kepada individu itu sendiri malah akan dapat menjaga keharmonian berkeluarga, sahabat handai, teman sekerja, masyarakat setempat dan keseluruhan umat Islam itu sendiri.

Dalam hal ini Imam al-Syafie ada menyatakan bahawa hadis ini bermaksud, apabila seseorang itu mahu berkata-kata hendaklah ia berfikir terlebih dulu. Jika tiada apa-apa yang bahaya pada kata-katanya itu bolehlah ia meneruskan perbicaraannya, tetapi jika kata-katanya boleh mengundang bahaya dan masalah kepada orang lain, lebih elok ia berdiam diri saja.

Hadis ini amat sinonim dengan hadis lain yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Di antara keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan apa-apa yang tidak berguna kepada dirinya”. Termasuk menolak perkara yang tidak mendatangkan apa-apa faedah ialah meninggalkan kata-kata dusta yang menyakiti orang lain.

Memutar belit kata-kata digambarkan oleh al-Quran sebagai sifat dan perangai orang kafir, munafik, Yahudi dan Bani Israel. Kaum ini memang terkenal dengan pembohongannya kepada Allah dan sekalian Rasul yang diutuskan kepada mereka. Walaupun telah berjanji untuk taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya, namun akhirnya mereka berpaling dan bersifat talam dua muka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Di antara manusia ada yang mengatakan: kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu diri sendiri sedang mereka tidak menyedari” (Surah al-Baqarah : 8-9).

Keburukan sifat mereka ini dilanjutkan seterusnya dalam ayat 11-14 surah yang sama. Kisah orang Yahudi dan Bani Israel bersama Nabi Musa ada dinukilkan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 40-61. Putar belit mereka dalam isu penyembelihan sapi betina dirakamkan dalam ayat 67-74.

Apabila keburukan perilaku ini diulang-ulang pada ayat dan surah yang lain menjelaskan bahawa sifat berkata dusta adalah satu yang amat dilarang dan mesti dijauhi dari menghiasi setiap individu Muslim.

Mengumpat atau memperkatakan yang buruk di belakang orang adalah antara dosa mulut yang dilarang Allah SWT. Yang menjadi satu kehairanan ialah bukan sedikit manusia Muslim yang mengetahui akan dosa ini tetapi entah di mana silapnya, semakin dijelaskan kesan perbuatan mengumpat, semakin seronok pula mulut berbisik-bisik menceritakan keburukan orang lain.

Surah al-Hujurat mengandungi mesej yang sangat bermakna kepada kaum muslimin untuk mengawal lisan daripada berkata-kata yang tidak baik. Firman Allah SWT dalam ayat 2-3 dalam surah ini mendidik para sahabat agar tidak meninggikan suara melebihi suara Nabi SAW.

Dalam ayat 6, Allah SWT memberi amaran kepada kaum muslimin agar tidak mudah menerima perkhabaran yang datang dari orang fasik, yang pastinya khabar angin dan fitnah itu datang dalam bentuk berita yang dihimpunkan dalam bentuk lisan oleh orang yang membawa cerita.

Firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak tertimpa dengan satu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu akhirnya menyesal atas perbuatanmu itu” (Surah al-Hujurat : 6).

Ayat itu sebenarnya ada sabda nuzulnya (sebab penurunan). Seorang pemuda bernama al-Harith telah memeluk Islam dan berjanji kepada Rasulullah akan mengislamkan serta mengumpulkan zakat kaumnya yang memeluk Islam. Sampai waktu yang dijanjikan, Rasulullah menghantar al-Walid bin Uqbah untuk memungut zakat yang dijanjikan. Dalam perjalanan al-Walid ke perkampungan al-Harith, beliau tiba-tiba merasa takut dan bimbang lantas pulang semula ke Madinah dengan membawa khabar palsu bahawa al-Harith enggan membayar zakat malah mahu membunuhnya.

Imam Fakhurrazi menyebut bahawa al-Walid nampak penduduk kampung al-Harith berkumpul beramai-ramai yang sememangnya menunggu kedatangan wakil Rasulullah untuk membayar zakat, tetapi al-Walid menyangka bahawa kaum al-Harith mahu menyerangnya lalu pulang terus ke Madinah.

Mendengarkan cerita ini lantas Rasulullah SAW. menghantar sekumpulan tentera untuk memerangi al-Harith. Beliau kemudian memaklumkan kepada Rasulullah bahawa tiada sesiapa pun wakil yang datang memungut zakat yang dijanjikan. Ini bermakna al-Walid telah melakukan pembohongan dan turunlah ayat 6 surah al-Hujurat.

Akibat dosa lisan juga, keharmonian rumah tangga Nabi SAW berkocak lantaran buah mulut yang dibawa kononnya Saidatina Aisyah berlaku tidak baik dengan sahabat yang bernama Safwan bin Ma’tal. Peristiwa al-ifk ini memberi kesan yang sangat besar betapa bahaya lisan ini jika tidak dibendung boleh menyebabkan keruntuhan sebuah keluarga. Begitu hebat bahana fitnah yang tidak kenal sesiapa walaupun Nabi dan isteri Baginda sendiri.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Memahami bidaah secara ringkas

Posted by epondok di Februari 9, 2012

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Bacaan talkin mayat juga pernah menimbulkan kekeliruan umat Islam apabila dikatakan ia perkara bidaah. – Gambar hiasan

Persoalan yang sering timbul dalam masyarakat kita dewasa ini adalah adanya segelintir masyarakat yang tidak memahami dengan sebenar-benarnya persoalan bidaah.

Lalu mereka menganggap segala apa jua perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat semuanya bidaah.

Akhirnya wujud dalam kalangan masyarakat yang menyatakan bahawa amalan-amalan seumpama talkin mayat setelah dikebumikan, membaca tahlil, membaca Yasin pada malam Jumaat, berwirid secara berjemaah selepas solat fardu, membaca lafaz usalli atau melafazkan niat sebelum takbir, sambutan maulid nabi dan sebagainya adalah amalan bidaah yang tidak diterima di sisi Allah.

Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Sukki Othman menjelaskan, fahaman seumpama itu adalah fahaman yang tidak benar.

Katanya, yang dianggap bidaah itu sebenarnya adalah perkara khilafiah yang para ulama berselisih pandangan terhadapnya.

Menurut istilah syarak, jelas beliau, bidaah adalah sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan masalah agama (untuk mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ada contoh sebelumnya daripada Nabi SAW, tidak disuruh oleh nabi untuk melakukannya, juga tidak dipersetujui dan tidak diakui oleh nabi SAW dan tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda (Jum’at Amin Abdul Aziz. 1991. Fahmul Islam fi Zilal Usul al-‘Isyrin lil Imam Hasan al-Banna. Iskandariah: Dar al-Da’wah. Hlm. 195)

Bidaah juga ditakrifkan sebagai mewujudkan sesuatu perbuatan atau perkataan yang tidak datang keizinan daripada syarak di dalam al-Quran, sunnah, ijmak atau qias dan tidak termasuk dalam kaedah dan asas umum ajaran Islam (Al-Sa’di, Abdul Malik Abdul Rahman, 2008. Al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq. Jordan: Matba’ah al-Azhar, hlm. 8)

“Oleh itu, bidaah adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunnah kerana sunnah itu petunjuk. Sedangkan bidaah adalah perbuatan yang dilakukan tanpa landasan wahyu (al-Quran) atau sunnah Nabi SAW dan ijmak ulama,” katanya.

Oleh itu, apabila berlaku sesuatu perkara atau amalan, hendaklah dilihat sama ada amalan tersebut ada dalam al-Quran, sunnah, ijmak atau Qias.

Sekiranya tidak ada, maka hendaklah dilihat pula sama ada amalan tersebut menepati kaedah umum ajaran Islam atau tidak. Sekiranya amalan tersebut termasuk dalam kaedah umum Islam, maka ia tidak dinamakan bidaah.

Jika sebaliknya, iaitu amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, barulah dianggap bidaah.

Persoalannya, adakah setiap amalan atau ibadah yang tidak dilakukan oleh nabi terus dianggap bidaah?

Mohd. Sukki berkata, sesuatu yang perlu difahami juga dalam persoalan bidaah ini adalah ibadah yang dilakukan oleh nabi SAW boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1. Amalan nabi yang dikaitkan (dikhususkan) dengan masa, tempat, bilangan tertentu dan sebagainya seperti bilangan rakaat solat, waktu solat, hari yang diwajibkan berpuasa, cara ibadah haji dan sebagainya.

Amalan seumpama ini hendaklah dilaksanakan tanpa menambah atau mengurang kadar yang telah ditetapkan.

Sekiranya sengaja menambah bilangan rakaat solat Maghrib umpamanya daripada tiga rakaat kepada empat rakaat, maka inilah amalan yang dikatakan sebagai bidaah.

2. Adapun, amalan nabi atau apa yang datang daripada nabi dalam bentuk suruhan, galakan, wasiat dan sebagainya yang tidak dikaitkan (dikhususkan) dengan waktu-waktu tertentu untuk melakukannya dan tidak pula ada larangan nabi terhadap waktu-waktu tertentu untuk melakukannya, maka dengan itu umat Islam bebas memilih waktu yang disukai olehnya untuk melaksanakan amalan tersebut.

Syaratnya, kata Mohd. Sukki, tidak menyandarkan kepada nabi dengan mengatakan bahawa nabi menyuruh melakukan amalan tersebut pada waktu yang dilakukan itu.

“Bahkan amalan itu boleh dilakukan berasaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang termasuk dalam dasar ajaran Islam,” jelasnya.

Ilmu elak bidaah

Justeru, Mohd. Sukki berkata, Imam Hasan al-Banna mengkategorikan bidaah itu kepada dua iaitu:

Pertama : Bidaah hakiki yang wajib diperangi

Kedua : Bidaah yang termasuk dalam khilaf di kalangan ulama.

Contoh bidaah dalam kategori pertama iaitu yang wajib diperangi adalah tidak menggunakan hukum dan perundangan yang diturunkan oleh Allah, menyambut perayaan yang mempunyai kaitan dengan agama selain daripada Islam, adat-adat dan budaya-budaya haram yang dicedok dari Barat seperti pergaulan bebas, tidak menutup aurat dan sebagainya.

Adapun bidaah kategori yang kedua yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama adalah berselawat kepada nabi secara kuat selepas azan, membaca surah al-Kahfi dengan suara yang kuat oleh seorang qari di masjid sebelum didirikan solat Jumaat, membaca ayat al-Quran atau zikir-zikir tertentu dengan bilangan-bilangan yang ditetapkan seperti 100 dan 1,000, menyambut ulang tahun keputeraan nabi dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kata Mohd. Sukki, bidaah kategori pertama sahaja yang diharamkan manakala bidaah kategori kedua bukanlah bidaah hakiki yang diharamkan.

Katanya, kekeliruan timbul dalam kalangan masyarakat tentang bidaah ini ekoran kefahaman seolah-olah segala apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah menjadi suatu bidaah apabila dilakukan.

“Sedangkan sesuatu yang sedia dimaklumi secara darurah bahawa nabi tidak melakukan semua perkara yang diharuskan kerana perkara yang harus terlalu banyak.

“Oleh itu, sesiapa yang mendakwa pengharaman sesuatu atau mengaitkan dengan bidaah dengan alasan nabi tidak melakukannya, bererti dia telah membuat dakwaan yang salah,” katanya.

Mohd. Sukki memberitahu, terdapat kaedah usul fiqh yang menyebut: “Meninggalkan sesuatu bukan bererti mengharamkannya.”

Begitu juga sesuatu yang dimaklumi secara darurah bahawa nabi tidak mengerjakan semua amalan yang sunat.

Katanya, hal ini kerana kesibukan baginda melakukan perkara dan urusan lain yang lebih penting dan besar seperti menyampaikan dakwah, berdebat dengan golongan musyrikin dan ahli kitab, berjihad menentang musuh Islam demi memelihara kesucian agama Islam, mengasaskan sebuah kerajaan Islam dan sebagainya.

Namun, Rasulullah telah menggariskan nas-nas syarak yang umum meliputi segala hal yang disunatkan.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »