Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 8 Februari 2012

Usah persenda sunnah nabi Muhammad s.a.w yang lengkap

Posted by epondok di Februari 8, 2012

Tulisan Mohd Hasan Adli Yahaya

SEDAR atau tidak, kita memasuki bulan Rabiulawal, iaitu bulan kelahiran baginda Rasulullah SAW. Bulan di mana bermulanya limpahan rahmat dan cahaya untuk seluruh alam.

Pada bulan ini ramai orang akan berbicara mengenai penghayatan sunnah dan sirah baginda. Pelbagai unjuran serta nasihat akan didengar penceramah jika kita menghadiri majlis ilmu.

Mungkin sebelum ini kita mengamalkan sunnah Rasulullah. Mungkin juga kita mengamalkan sebahagian daripada prinsip amalan dianjurkan Islam, tetapi pada masa sama kurang penghayatan mengenai sunnah itu sendiri.

Tidak syak lagi al-Quran dan sunnah adalah benar serta menjadi panduan bagi umat Islam akhir zaman.

Ketika menyampaikan khutbah terakhir di padang Arafah, baginda bersabda: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan sunnahku.” Begitu besar jaminan dijanjikan baginda kepada sesiapa yang mengikuti ajaran al-Quran dan sunnah. Mereka yang menghayati maksud hadis ini pasti meniti jalan keredaan Allah.

Namun bagi yang berpaling, mereka menempah jalan berduri membawa kepada kemurkaan Allah.

Click Here

Apa yang saya maksudkan mengenai kurang penghayatan sunnah atau prinsip Islam boleh dilihat menerusi amalan harian kita yang mungkin tidak disedari.

Contohnya, ada yang solat menepati sifat solat nabi daripada takbiratul ihram hingga ke salam, tetapi bekerja di pejabat menepati sifat orang malas dari jam lapan pagi hingga lima petang. Selalu saja mencari ruang untuk mencuri tulang dalam memikul amanah sebagai pekerja.

Ada juga yang tegas dengan hanya menerima hadis daripada perawi yang jujur lagi dipercayai, tetapi dia sendiri tidak jujur dan tidak boleh dipercayai apabila berinteraksi dengan orang lain.

Ada juga yang selalu sibuk menghadiri majlis ilmu untuk menghayati perintah agama menuntut ilmu, tetapi sayangnya tidak pandai menjaga hati dan hak jiran di sekitar kediamannya hingga sentiasa menjadi bahan umpatan komuniti setempat.

Tidak kurang juga kebanyakan umat Islam pada hari ini ‘memilih’ untuk mengamalkan sunnah serta ajaran Islam yang dirasakan sesuai untuk diamalkan.

Namun dalam masa sama, sengaja meninggalkan sebahagian sunnah serta prinsip Islam apabila terkena batang hidung sendiri.

Pengembaraan ke bumi Arab beberapa tahun lalu banyak memberi pengajaran kepada saya. Begitu juga hasil pengamatan saya sepanjang di Tanah Suci untuk mengerjakan haji, baru-baru ini.

Banyak tempat yang menyimpan sejarah peristiwa berlaku pada zaman Nabi SAW dihapuskan dengan alasan tidak mahu umat Islam yang datang ke Tanah Suci melakukan perkara bida’ah dan sesat.

Hal seperti ini sangat dititik beratkan kerana tidak mahu ada orang melakukan perkara yang menyalahi sunnah Rasulullah. Namun apabila tiba bab pernikahan, lain pula jadinya.

Jika anda lelaki tetapi tidak mempunyai harta, lupakan saja niat mendirikan rumah tangga pada usia muda. Saya pernah berbual dengan seorang Arab dan bertanyakan apakah yang perlu ada bagi seorang lelaki untuk mengahwini wanita? Dia menjawab, kebiasaannya keluarga wanita mahu lelaki menyediakan rumah, kereta, wang yang banyak serta lain-lain dan itu kebiasaan bagi masyarakat Arab.

Jadi tidak hairan lelaki Arab berkahwin pada usia lanjut setelah memenuhi syarat ini. Walhal, bukankah Islam itu mudah dan mahu perkara membabitkan perkahwinan dipermudahkan? Allah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 32, bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurniaan-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-nya).” Masalah ini bukan saja berlaku di negara Arab tetapi juga negara kita hingga ada yang berkata, “Berzina lebih mudah daripada berkahwin.” Ini yang terjadi apabila kita tidak mengambil serta menghayati ajaran Islam secara keseluruhannya.

Tidak kurang juga golongan yang mempersendakan sunnah serta Islam kerana bagi mereka, sebahagian daripada ajaran Islam adalah kolot untuk dilaksanakan pada zaman moden ini.

Lebih sedih lagi, ada yang terang-terangan mempertikaikan tafsir al-Quran serta kitab ulama terdahulu. Bagi yang lebih berani, mereka memperjuangkan perkara terlarang yang diwahyukan Allah.

Contohnya, mereka mengamalkan perintah Allah dalam bab solat dan puasa tetapi melakukan perkara ditegah Islam seperti memakan harta anak yatim.

Perkara itu berlaku kerana mereka meragui kebenaran yang dibawa oleh Islam. Mereka melihat setiap sesuatu itu menggunakan pandangan akal dan seterusnya membuat pertimbangan menggunakan akal yang terbatas.

Bukankah setiap apa yang diwahyukan Allah, baik melalui al-Quran atau as-sunnah, dijamin kebenarannya? Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 2, bermaksud: “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya (mengenai datangnya daripada Allah dan kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” Marilah kita bersama mengamalkan keseluruhan sunnah dan ajaran Islam dalam kehidupan dengan tidak hanya mengamalkan sebahagiannya sahaja.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hantaran tinggi punca pasangan muda mudah terjebak gejala sosial

Posted by epondok di Februari 8, 2012

Oleh Asri Md Saman

PERKAHWINAN suatu ibadat yang dianjurkan kepada semua umat Islam berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Maka kahwinilah perempuan yang kamu sukai dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu tidak dapat berlaku adil di antara isteri kamu, maka hendaklah kamu berkahwin seorang saja.” (Surah An-Nisa’, ayat 3)

Perkahwinan juga sunnah Baginda Rasulullah SAW. Sabda Baginda yang bermaksud: “Perkahwinan itu sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Allah menjadikan lelaki dan perempuan secara fitrahnya, kedua-duanya akan saling tertarik serta suka antara satu sama lain.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara tanda bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya dalam yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Selain itu, Islam sangat menggalakkan perkahwinan terutama kepada orang muda yang berkemampuan supaya mereka dapat memelihara agama dan kehormatan diri.

Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Wahai pemuda, sesiapa saja di antara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Satu persoalan sering kali berlegar dalam minda kita adalah soal kos hantaran perkahwinan. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat zaman moden kini, meletakkan kos hantaran tinggi bagi melangsungkan sesebuah perkahwinan.

Kos perkahwinan menelan belanja beribu-ribu ringgit malah ada mencecah angka belasan ribu ringgit bagi melaksanakan perkahwinan diidam-idamkan meliputi kos pakaian pengantin, makanan, set pelamin dan bilik tidur, cenderamata untuk tetamu dan khemah pengantin serta khemah tetamu.

Hal ini secara tidak langsung membantutkan niat murni orang muda khususnya yang baru melangkah ke alam pekerjaan untuk mendirikan bahtera rumah tangga disebabkan ketidakcukupan wang bagi menyediakan hantaran.

Perlu diingat, wanita paling banyak mendapat kurnia ialah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya. Fenomena melanda kebanyakan ibu bapa perempuan ialah mereka malu jika hantaran diterima kecil jumlahnya.

Isu menjaga air muka yang menjadi penyebab utama kos hantaran perkahwinan diletakkan kian tinggi seiring peredaran zaman. Tidak dinafikan, jiran tetangga lazimnya akan melontarkan soalan mengenai kos hantaran kepada tuan rumah.

Mahu tidak mahu, tuan rumah pasti meletakkan harga tinggi bagi mengelakkan umpatan masyarakat sekeliling. Walaupun ilmu mengenai ciri perkahwinan dituntut oleh syarak kian meluas dan sudah pun dipelajari, sayangnya ilmu tidak diamalkan oleh kebanyakan masyarakat Islam.

Ada beberapa kesan negatif apabila kos perkahwinan melambung tinggi dari sehari ke sehari antaranya, pasangan yang ingin berkahwin terpaksa membuat pinjaman peribadi bagi menampung perbelanjaan perkahwinan.

Tempoh membayar kembali pinjaman itu memakan masa bertahun-tahun. Malah, ada pasangan sudah pun beranak-pinak, masih membayar hutang perkahwinan.

Gejala sosial yang berleluasa di kalangan muda-mudi hari ini juga kesan kos hantaran perkahwinan tinggi. Niat berkahwin seolah-olah seperti impian yang sukar digapai lebih-lebih lagi bagi lelaki berpendapatan kecil.

Jumlah wanita berpendidikan tinggi semakin meningkat turut memberi kesan kepada nilai hantaran ditetapkan khususnya kumpulan bergelar profesional. Hipotesis sesuai untuk keadaan ini ialah makin tinggi tahap pendidikan seorang perempuan maka makin tinggi nilai hantarannya.

Akibatnya, kebanyakan lelaki lebih senang berkawan mesra dengan pasangan mereka sama ada dalam tempoh menunggu impian berumah tangga terlaksana yang mengambil masa bertahun lamanya mahupun sudah tidak menghiraukan lagi soal perkahwinan apatah lagi soal halal haram.

Kesannya, kes zina, pelacuran dan buang bayi kian kerap kita dengar. Kita cukup sensitif dengan kes terjadi, sedar atau tidak, kita mungkin menjadi atau sudah menjadi antara penyumbang kecil berlakunya kes melanda masyarakat khususnya muda mudi.

Mari kita sama-sama merenung kembali tujuan majlis perkahwinan sebagai suatu ibadat dan hebahan kepada masyarakat bagi mengelakkan timbul fitnah.

Justeru, marilah kita meletakkan agama di hadapan dalam semua urusan hidup supaya segala perlakuan dan tindak tanduk kita dikira ibadat yang akan diganjarkan pahala atau sebagai saham dibawa ke alam akhirat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »