Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 7 Februari 2012

Maulidur Rasul tanda cinta Nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Februari 7, 2012

Oleh Ibrahim Abdullah

Sambutan selagi bertujuan rai hari kebesaran Islam bukan bidaah

SESETENGAH pihak dalam kalangan umat Islam menyatakan amalan mengadakan majlis Maulidur Rasul SAW suatu bidaah. Bagaimanapun, ada dalil sunat yang membolehkan umat Islam merayakan hari kebesaran Islam ini.

Merayakan atau menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul) termasuk dalam perkara yang membesar dan memuliakan Baginda. Firman Allah bermaksud: “Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya serta mengikuti cahaya (al-Quran) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.” (Surah al-‘Araf, ayat 157).

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu adalah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.” (Surah al-Hajj, ayat 32).

Apa yang dimaksudkan dengan ‘tanda-tanda Allah’ pada umum ayat ini, ialah setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Jadi sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad SAW dan menyambut Maulidur Rasul itu adalah membesarkan tanda atau syiar agama Allah, termasuk dalam menjunjung perintah Allah.

Imam Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya, begitu juga Ismail dan Abdul Razak, bahawa diringankan azab ke atas Abu Lahab pada Isnin kerana memerdekakan Suwaibah, iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira mengenai kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menzahirkan kegembiraan dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah SAW diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kuffar, seteru kepada Nabi diringankan azabnya, apa lagi bagi orang yang Muslim. Seperti yang dikatakan oleh al-Hafiz Nasiruddin Ibnu Syamsuddin ad-Dimsyaqi dan Imam al-Qurra al-Hafiz Syamsuddin Muhammad al-Jazri, dianjurkan untuk memulia dan membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan mengambil sempena hari kelahiran Baginda. Hari kelahiran Baginda adalah ‘Hari Kebesaran Islam’ dan hari yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan.

Diriwayatkan daripada Qatadah an-Ansari: “Bahawasanya Nabi ditanya mengenai berpuasa pada Isnin, berkata Nabi Muhammad SAW: “Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian ke atasku.” (Hadis riwayat Muslim).

Membuat perkara kebaikan dan kebajikan seperti memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa Isnin dan berpuasa Hari Asyura sempena memuliakan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW seperti berhimpun dengan membaca al-Quran, berselawat, membaca sirah Nabi, memuji, berzanji, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir miskin dan lain-lain adalah perbuatan sunat yang dianjurkan dalam Islam, apa lagi mengadakan sambutan Maulidur Rasul.

Dalam sahih Bukhari dan Muslim dinyatakan, bahawa Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa pada Hari Asyura, lalu Baginda bertanya, mereka menjawab: “Ia hari yang Allah menenggelamkan Firaun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah Taala.”

Lalu Nabi Muhammad SAW berkata: “Kami terlebih utama dengan Musa.”

Dalam pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah.

Menyambut Maulidur Rasul ialah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam semesta ini. Sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah kepada kaum kamu, dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka dengan demikian itu (kurniaan dan rahmat), hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” (Surah Yunus, ayat 58).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Tidaklah Kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan kerana memberi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiyaa’ ayat 107).

Jelaslah memperingati dan memuliakan Maulidur Rasul dengan berselawat, membaca kisahnya, perjuangan suka dukanya menunjukkan kita menyintai Nabi Muhammad SAW dan sekali gus menyintai Allah. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah kepada kaummu (Muhammad), jika sekiranya kamu menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah menyintai kamu.” (Surah Ali-Imran, ayat 31).

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Anak soleh penyeri hidup

Posted by epondok di Februari 7, 2012

Oleh Hashim bin Ahmad

ANAK adalah harapan pada masa hadapan. Sebab itu menjadi tugas besar kepada ibu bapa bagi memberikan perhatian khusus dalam mendidik anak-anak.

Ibu bapa adalah orang yang paling berpengaruh dalam membangunkan keperibadian anak dan menanamkan tekad yang kuat dalam hati mereka sejak kecil lagi.

Jika anak dibiasakan dengan kebaikan ketika hatinya masih putih bersih, maka mereka akan membesar menjadi seorang anak yang baik dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sebaliknya jika dibiasakan dengan hal kejahatan serta diasuh bagaikan binatang, maka mereka pasti menjadi seorang yang berperibadi rosak dan hancur.
Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa diperintah�kan” (Surah At Tahrim ayat 6).
Rasulullah s.a.w menganjurkan kita bersikap adil dan memberi kasih sayang terhadap anak dengan mengajar mereka kebaikan. Al-Zubair bin Al-Awwam, seorang sahabat Rasulullah, misalnya adalah seorang pemuda yang kukuh akidah dan terpuji akhlaknya.

Beliau membesar di bawah jagaan ibunya, Shofiyah binti Abdul Mutalib, ibu saudara nabi dan saudara perempuan Saidina Hamzah.

Ali bin Abi Talib sejak kecil menemani Rasulullah s.a.w bahkan dipilih menjadi menantunya.

Beliau menjadi contoh bagi pemuda seusianya.

Abdullah bin Jaafar, seorang bangsawan Arab yang terkenal kebaikannya, di bawah bimbi�ngan ibunya Asma binti Umais. Ibu bapa mana yang tidak gembira jika anak mereka seperti Umar ibnu Abdul Aziz.

Pada usianya yang masih kecil dia menangis. Kemudian ibunya bertanya: “Apa yang membuatmu menangis?” Beliau menjawab: “Aku ingat mati.” Waktu itu beliau menghafal al-Quran. Ibunya pun menangis mendengar perkataannya.

Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang rasul yang menjadi imam dunia. Kecintaannya terhadap anak sangat tinggi. Lihatlah saat baginda mengajar Ibnu Abbas pada usianya yang muda belia sehingga Ibnu Abbas menjadi seorang pemuda yang berilmu, bertakwa dan memiliki keberanian luar biasa.

Di antara langkah dasar dalam mendidik anak yang dinyatakan dari al-Quran dan Sunnah adalah mengajarkan tauhid kepada anak, mengesakan Allah dalam hal beribadah kepada-Nya, menjadikannya lebih mencintai Allah dan tidak ada yang ditakutinya kecuali Allah.

Kemudian mengajar anak solat dan membiasakan mereka bersolat secara berjemaah, mengajar mereka agar pandai bersyukur kepada Allah, kepada kedua orang tua dan kepada orang lain.

Mendidik anak agar taat kepada kedua-dua orang tua dalam hal yang bukan maksiat, setelah ketaatan kepada Allah dan rasul yang mutlak.

Tidak sesekali meremehkan kemaksiatan sekecil manapun selain tidak merendahkan kebaikan walau sedikit pun. Ibu bapa perlu memberitahu anak mereka kewajipan untuk menjadi generasi terbaik.

Beri penghormatan kepada mereka, arahkan mereka kepentingan al-Quran dan Sunnah dan tanamkan pada jiwa mereka sikap tawaduk, rendah hati, pupuk keberanian (syaja’ah) kepada mereka.

Justeru, pendidikan anak menjadi kewajipan utama bagi ibu bapa. Jangan membiarkan mereka hidup dalam kehancuran kerana cahaya masa depan umat yang cerah akan mengangkat darjat anak dan darjat ibu bapanya di syurga kelak.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »