Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 6 Februari 2012

Iktibar daripada Maulidur Rasul s.a.w

Posted by epondok di Februari 6, 2012

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Golongan Muslim akan dimuliakan Allah sekiranya terus berpegang kepada Islam. – Gambar hiasan

SAMBUTAN Maulidur Rasul bukan setakat berarak sambil berselawat dan disertai jamuan makan. Ia tidak habis setakat itu sahaja.

Ia juga bukan sekadar suka-suka atau menunjuk-nunjuk, Tetapi ia bertujuan mengimbau kembali perjuangan dan pengorbanan nabi Muhammad SAW dalam menegakkan Islam di muka bumi ini.

Rasulullah merupakan contoh yang terbaik kepada setiap umat Islam dalam segala aspek kehidup. Sebab itu, saban tahun hari kelahiran baginda diraikan supaya setiap umat Islam dapat mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman.

Baginda adalah contoh terbaik yang bersifat universal. Keseluruhan hidup baginda dapat dijadikan ikutan dan contoh sepanjang zaman.

Ia merangkumi segala aspek daripada kehidupan harian individu kepada aktiviti sosial, ekonomi, politik dan pemerintahan negara.

Dalam hal ini, Allah SWT menyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu. (al-Ahzab: 21)

Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, baginda adalah pemimpin ummah yang perlu diikuti dan dicontohi dalam segenap kehidupan.

Sebagai individu, Rasulullah mempunyai peribadi luhur dan murni yang sentiasa mengajak manusia melakukan kebaikan dengan menyeru kepada jalan Allah.

Kata beliau, nabi juga seorang ketua negara yang menerajui bahtera pemerintahan dengan amanah dan cekap di samping seorang suami mithali, seorang bapa yang bijak menyempurnakan tanggungjawab terhadap anak, seorang sahabat yang setia, seorang jiran yang memahami jirannya dan lain-lain.

“Jelasnya, kepemimpinan Rasulullah terserlah dalam seluruh kehidupan baginda.

“Sejak kecil Rasulullah telah diuji di mana seorang demi seorang mereka yang menjadi tempat baginda bergantung dan mengharap kasih sayang sebagaimana anak-anak kecil yang sebaya dengan baginda telah pergi menemui Al-Khaliq.

“Ia dimulai dengan kematian ayahandanya Abdullah semasa baginda dalam kandungan ibundanya lagi,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Ia diikuti dengan kematian ibundanya Aminah ketika mana baginda baru mula mengerti erti belaian kasih sayang seorang ibu.

Selepas itu datuknya, Abdul Mutalib pula pergi menemui ilahi yang mana penjagaan baginda selepas itu diambil alih oleh bapa saudaranya Abu Talib.

Menurut Mohd. Sukki, semua ujian itu telah mematangkan baginda. Ia juga menunjukkan bahawa usaha dakwah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan di samping di uji dengan pelbagai cabaran.

Selain itu, jelasnya, ujian tersebut juga bertujuan menjauhkan Rasulullah daripada tuduhan liar bahawa ilmu yang baginda sebarkan adalah hasil warisan dan pengajian yang diperolehi daripada ibu bapa dan datuknya. Sebaliknya ia adalah wahyu ilahi.

“Begitu juga untuk menghindar daripada tuduhan yang mengatakan segala kematangan dan perilaku yang mulia pada diri Rasulullah SAW adalah kerana hasil penjagaan dan didikan ibu bapa dan datuk baginda,” jelasnya.

Kehidupan sebagai anak yatim piatu juga mengajar baginda yang bakal menjadi nabi dan rasul untuk berdikari.

Seterusnya melahirkan dalam diri baginda sifat kasih terhadap orang susah dan menderita terutama anak yatim piatu.

Perjuangan untuk meninggikan kalimah Allah bukannya dihamparkan dengan permaidani merah tetapi dibentangkan dengan onak dan duri di sepanjang perjalanan menuju matlamatnya yang suci.

Begitu juga ketika nabi SAW beruzlah di gua Hira’, ia merupakan satu proses tarbiah pada diri baginda dengan bertafakur dan merenung kebesaran serta keagungan Allah SWT jauh daripada kezaliman dan kebobrokan hidup masyarakat jahiliah yang dipenuhi dengan dosa dan noda.

“Ringkasnya, nabi SAW mendapat tarbiah secara langsung daripada Allah untuk menjadi pemimpin ikutan ummah dalam segenap kehidupan,” kata beliau.

Secara sedar atau tidak, di sebalik kehangatan sambutan maulidur rasul, ramai yang masih gagal menghayati dan mengamalkan sunah nabi yang merupakan suatu kemestian bagi setiap individu Muslim.

Apakah sambutan yang diraikan saban tahun itu hanya sekadar satu majlis ritual untuk keramaian semata-mata?

Mohd. Sukki berkata, ramai di kalangan umat Islam sehingga sekarang masih tidak mengetahui dan mendalami sunah nabi.

Kata beliau, amat merugikan apabila sambutan yang menelan belanja ribuan ringgit tidak mendatangkan hasil yang memberangsangkan dalam mengubah cara hidup umat Islam.

“Saban tahun Maulidur Rasul disambut, tetapi pegangan agama tetap longgar. Bahkan ada antara pemuda dan pemudi siangnya menyambut Maulud pada, malamnya pula disusuli dengan hiburan yang melampau dan melalaikan.

“Akhirnya selawat yang didendangkan pada siang harinya itu ditinggalkan sebagai suatu kenangan sahaja,” tegas beliau.

Menurut Mohd. Sukki, ini bukan bermakna sambutan Maulidur Rasul yang diadakan itu tidak mendatangkan sebarang kebaikan. Tetapi anjakan paradigma perlu wujud agar umat Islam tidak sekadar beretorik dengan memuji dan berselawat kepada Rasulullah.

Apa yang lebih penting daripada itu adalah i kehidupan nabi diamalkan dalam kehidupan harian umat Islam hari ini.

“Apatah lagi apabila kita melihat dunia Islam pada hari ini semakin gawat dengan pelbagai masalah. Justeru, usaha yang bersungguh-sungguh perlu digembleng agar dapat mengembalikan kecemerlangan dan kegemilangan Islam.

“Cara terbaik untuk merealisasikan perkara ini ialah dengan mencontohi Rasulullah dalam segenap segi kehidupan kita.

“Baginda merupakan contoh terbaik yang bersifat universal iaitu keseluruhan hidup Baginda dapat dijadikan ikutan dan contoh di sepanjang zaman,” tambahnya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Fenomena telur berdiri bukan mitos

Posted by epondok di Februari 6, 2012

DUA pelancong dari Taiwan Selina Kwong, 18, (kiri) dan Duyion Baot, 20, terpegun melihat telur ayam berdiri sempena Hari Telur Berdiri di Dataran Merdeka, semalam.

DUA pelancong dari Taiwan Selina Kwong, 18, (kiri) dan Duyion Baot, 20, terpegun melihat telur ayam berdiri sempena Hari Telur Berdiri di Dataran Merdeka, semalam.

Dibukti secara saintifik graviti bumi, manipulasi medan magnetik  membolehkan telur tak tumbang

KUALA LUMPUR: Fenomena telur berdiri tiada kaitan dengan kepercayaan atau mitos masyarakat tertentu kerana ia sudah dibuktikan secara saintifik bahawa graviti bumi atau manipulasi medan magnetik di makmal membolehkan telur tidak tumbang apabila didirikan.

Pakar fizik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Profesor Mohd Yusof Othman, berkata mengikut kajian, tarikan graviti antara bumi, bulan dan matahari membolehkan telur berdiri termasuk ketika fenomena gerhana.

“Kawasan  mempunyai medan magnetik yang tinggi juga boleh menyebabkan telur berdiri,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Beliau diminta mengulas fenomena itu yang dicatatkan sebagai Hari Lup Choon atau Hari Telur Berdiri dalam kalendar Cina. Fenomena itu dikatakan berlaku setahun sekali dan tahun ini, ia bermula jam 12 tengah hari hingga jam 1 petang semalam.

Jurugambar Berita Minggu, Nik Hariff Hassan, semalam mengambil inisiatif membeli 30 biji telur untuk menguji sejauh mana kebenaran fenomena selama sejam itu di Dataran Merdeka bersama-sama beberapa pelancong yang berada di situ.

Seorang lagi ahli sains UKM, Profesor Dr Jumaat Adam, sebelum ini berkata, fenomena itu memang mencetuskan rasa pelik masyarakat dunia tetapi menegaskan banyak lagi contoh tarikan graviti bumi yang tidak dipandang serius seperti pasang surut air laut dan peralihan siang malam.

“Ada waktu dan ketika tertentu, tarikan graviti bumi dan matahari lebih kuat daripada biasa, membolehkan kita mudah untuk meletakkan telur supaya ia berdiri.  Tetapi tarikan graviti ini juga menyebabkan berlakunya fenomena pasang besar iaitu apabila paras air laut meningkat tetapi tidak ramai yang mengendahkannya. Mungkin kerana ia kerap berlaku,” katanya.

Ahli sains juga menganggap ia berlaku dalam tempoh Equinox, iaitu kedudukan matahari, bulan dan matahari berada pada sudut paksi sejajar, selain ketika gerhana matahari atau gerhana bulan

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Bank susu bawa masalah kepada keturunan

Posted by epondok di Februari 6, 2012

Oleh Mohd Fadly Samsudin
BANK SUSU...boleh menyebabkan percampuran serta kecelaruan keturunan yang membawa mudarat kepada umat Islam.
BANK SUSU…boleh menyebabkan percampuran serta kecelaruan keturunan yang membawa mudarat kepada umat Islam.

PENYUSUAN susu ibu antara pendidikan awal dan utama bagi setiap bayi. Peranan itu hanya dianugerahkan kepada kaum wanita saja.

Bayi yang baru dilahirkan berasa selamat dan sungguh selesa apabila berada dalam dakapan ibunya ketika disusukan.

Ia dapat merapatkan lagi hubungan antara ibu dan anaknya. Allah s.w.t memilih wanita kerana sifat keibuan yang kuat dalam diri mereka.

Setiap bayi yang baru lahirkan dikurniakan naluri untuk menyusu daripada ibunya.
Menurut sejarah Islam, Rasulullah juga disusukan ibunya dan kemudian dihantar kepada ibu susuannya, Halimatus Saadiah. Di sebalik kisah itu, pasti kita dapat rasakan betapa besarnya peranan penyusuan susu ibu dalam kehidupan manusia.
Manusia yang hidup pada zaman dulu, hanya bergantung pada susu ibu untuk membesar sehingga umur mereka dua tahun. Jelaslah agama Islam amat menggalakkan penyusuan susu ibu.

Maka menjadi kewajipan kepada ibu untuk menyusukan bayinya serta menyempurnakan hak bayinya menikmati kebaikan susu ibu jika mereka mampu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ibu-ibu menyusukan anak-anaknya dua tahun genap, bagi orang yang hendak menyempurnakan susuan. Kewajipan ke atas bapa memberi belanja ibu, anaknya itu dan pakaiannya secara makruf, tidaklah diberati seseorang melainkan sekadar tenaganya. Tidak mudarat ibu kerana anaknya dan tidak pula (mudarat) bapa kerana anaknya; dan terhadap waris pun demikian juga. Jika kedua-dua ibu bapa hendak menceraikan anaknya daripada menyusu (sebelum dua tahun), dengan kesukaan dan mesyuarat antara keduanya, maka tidaklah berdosa keduanya. Jika kamu mengkehendaki perempuan lain menyusukan anakmu, maka tidak berdosa kamu apabila kamu berikan upahnya secara makruf. Dan takutlah kepada Allah dan ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah ayat 233)

Ibu berkerjaya memberi alasan kesibukan kerjanya menyebabkan mereka gagal memberi perhatian khusus menyusukan bayi mereka.

Selain itu, terdapat juga golongan ibu yang bermasalah kerana pengeluaran susu tidak sempurna sehingga memaksa mereka mencari alternatif lain seperti memberikan susu formula sebagai tambahan kepada bayi mereka.

Malah ada ibu yang begitu menjaga penampilan diri selepas bersalin merasakan jika menyusukan bayinya akan menjejaskan potongan badan mereka.

Apa saja alasannya, menyusukan bayi mampu merapatkan hubungan antara ibu dan anak sepanjang tempoh penyusuan itu. Jika ada ibu yang benar-benar tidak mampu menyusukan bayinya carilah alternatif terbaik seperti mengupah seorang yang dikenali dan rapat untuk dijadikan ibu susuannya.

Baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15 hingga 17 Disember 2011 mengeluarkan fatwa mengharamkan penubuhan bank susu kerana ia boleh mengakibatkan percampuran dan kecelaruan keturunan yang boleh membawa umat Islam terjebak dalam keraguan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apa yang diharamkan dengan sebab penyusuan adalah sama dengan apa yang diharamkan dengan sebab keturunan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menjaga keturunan termasuk dalam lima perkara wajib yang perlu dipelihara dalam syariat Islam. Tindakan yang boleh membawa kemudaratan kepada keturunan perlu dielakkan.

Selain itu, dalam keputusan itu, Muzakarah berpandangan hukum penubuhan bank susu berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan iaitu bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita menyebabkan anak kandungnya menjadi adik-beradik susuan kepada bayi itu tadi.

Sebab itu, perkahwinan di antara mereka menjadi haram apabila memenuhi syarat yang ditetapkan. Pandangan itu selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ iaitu seseorang bayi sah sebagai anak susuan sama ada melalui penyusuan secara langsung (payudara) atau penyusuan secara tidak langsung.

Daripada Ibnu Mas’ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging. (Riwayat Abu Daud).

Melihatkan kepada kesan percampuran keturunan di kalangan umat Islam pada masa akan datang, penubuhan bank susu itu tidak boleh diwujudkan.

Malah keperluannya juga tidak bertepatan kerana kita tidak berada dalam keadaan darurat sehingga boleh mengancam keperluan umat dalam masyarakat.

Muzakarah juga memutuskan harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela dengan syarat keluarga bayi serta penderma saling mengenali.

Ia bagi memenuhi keperluan bayi pramatang yang memerlukan rawatan, ibu yang kekurangan susu dan ibu yang mempunyai penyakit kronik dan berjangkit sehingga tidak dapat menyusukan bayinya.

Penceramah bebas, Ustaz Mohamad Rani Awang Besar berkata, bank susu yang dicadangkan itu memberi implikasi besar terhadap kecelaruan keturunan yang dinyatakan.

“Ia benar kerana apabila susu itu dikumpulkan (bank) dengan banyak dan bercampur pula dengan susu ibu dari pelbagai latar belakang pastinya tidak menjamin pembahagian sempurna kerana mereka tidak mengetahui siapa bayi yang akan memanfaatkan susunya itu.

“Sifat susu itu memang bersih dan suci namun ia menimbulkan keraguan kerana dibimbangi penerima susu (bayi) itu nanti kelak berkahwin dengan saudara susuannya,” katanya.

Beliau berkata, setiap ibu perlu menyusukan anak mereka selama dua tahun dan jika ada yang tidak mampu mereka boleh mengupah untuk menyusukan bayinya.

“Kita menyambut baik keputusan yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung perkara itu. Penjagaan keturunan begitu penting kerana Islam jelas mengharamkan adik-beradik susuan berkahwin sesama sendiri.

“Itulah sebabnya kita perlu mengelak dari awal sebelum berlakunya perkara sedemikian,” katanya.

Mohamad Rani berkata, bayi yang menyusu dengan ibu susuan sehingga lima kenyang mendapat taraf anak dengan ibunya.

“Bermakna bayi itu akan menjadi saudara susuan dengan anak kandungnya termasuk suaminya turut menjadi ayah susuan. Namun hukum mahram anak susuan hanya berkaitan dengan hubungan perkahwinan dan ia tidak membabitkan urusan pembahagian harta pusaka.

“Berdasarkan sejarah nabi dan zaman sebelumnya, masyarakat Arab akan menghantar bayi mereka ke kawasan perkampungan untuk disusukan.

“Halimatus Saadiah menjadi ibu susu bertuah kerana menyusukan Rasulullah s.a.w. Ibu susunya itu juga merekod bayi yang pernah menyusu dengannya.

“Malah nabi menjalin hubungan yang sangat baik dengan saudara susuannya dan sering menziarahi mereka,” katanya.

Beliau berkata, bagi ibu yang berkerjaya, mereka kini mempunyai pelbagai cara bagi memberikan penyusuan ekslusif kepada si kecil sehingga bayi mereka berumur dua tahun.

“Barangkali, di tempat kerja mereka ada menyediakan nurseri yang memudahkan mereka memantau serta menyusukan anak pada waktu rehat.

“Selain itu, jika tiada kesempatan, mereka boleh menyediakan stok susu hasil perahan yang diletakkan dalam peti dan diberikan kepada bayi yang tinggal bersama penjaga,” katanya

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »