Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 5 Februari 2012

Tiada keredaan Allah tanpa keredaan ibu bapa

Posted by epondok di Februari 5, 2012

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

UMAT Islam disuruh berbuat baik kepada ibu bapa terutama apabila mereka sudah lanjut usia. – Gambar hiasan

Dewasa ini, kita seringkali dipersembahkan dengan episod-episod sedih dan duka yang berlaku dalam masyarakat kita. Ada segelintir masyarakat yang sanggup mengabaikan ibu bapa mereka.

Bukan sahaja tidak pernah bertanya khabar, bahkan sanggup membiarkan kehidupan ibu bapa mereka melarat sehingga menagih simpati dari jiran-tetangga untuk meneruskan kehidupan.

Lebih malang, ada yang sanggup memukul, mencaci dan mengeji ibu bapa tanpa belas kasihan.

Ada pula yang tergamak menghantar ibu bapa mereka yang sudah tua dan uzur itu ke pusat-pusat penjagaan warga tua dan langsung tidak dipedulikan nasib mereka. Walhal ketika kecil, ibu bapa mereka tidak sampai hati menyerahkan mereka di bawah jagaan orang lain walau hidup dalam keadaan penuh kekurangan.

Islam meletakkan ibu bapa pada tempat yang tinggi dari segi kedudukannya. Seseorang itu wajib mentaati kedua ibu dan bapanya selagi ketaatan tersebut tidak bertentangan dengan Syariat Allah SWT. Bahkan, Allah SWT meletakkan keterikatan keredaannya bersama keredaan ibu bapa.

Dengan kata lain, seseorang itu tidak akan memperolehi keredaan Allah SWT, tanpa terlebih dahulu meraih keredaan kedua ibu bapanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Keredaan Allah bergantung pada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah bergantung pada kemurkaan kedua-dua ibu bapa”. (riwayat al-Hakim)

Kita diperintahkan oleh Allah SWT untuk berbuat baik kepada keduanya, bercakap dengan lemah-lembut dan sopan-santun. Kita dilarang mengucapkan perkataan yang dapat mengguris hati mereka walaupun sekadar mengucapkan “ah”.

Di samping itu, hendaklah kita sentiasa mendoakan kebaikan sama ada ketika kedua-duanya masih hidup atau telah meninggal dunia.

Perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa ini adalah kerana Allah SWT mahu kita menghargai pengorbanan mereka untuk memelihara dan membesarkan kita dengan penuh kasih-sayang.

Maka, kita perlu berterima kasih kepada mereka dengan cara membalas jasa mereka sebaik mungkin walaupun ia tidak akan sekali-kali menyamai pengorbanan dan sumbangan mereka selama ini.

Kewajipan berterima kasih kepada ibu bapa ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada ku dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepada Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan. (Luqman: 14)

Pengorbanan mereka adalah pengorbanan yang cukup besar. Maka atas dasar itulah Islam menggandingkan tanggungjawab mentaati ibu bapa mengiringi persoalan mentauhidkan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang yang bermusafir dalam kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan suka membangga diri. (al-Nisa’: 36)

Seksaan berat

Justeru, Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW telah memberi ancaman kepada mereka yang sanggup menderhaka kepada ibu bapa. Mereka bakal berhadapan dengan seksaan yang berat dalam api neraka beserta laknat yang tidak berkesudahan daripada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: “Semua dosa diakhirkan hukumannya sekehendak Allah SWT sehingga ke hari kiamat, kecuali dosa kerana derhaka kepada kedua orang tuanya, maka yang demikian diciptakan hukumannya bagi yang melakukannya”. (riwayat Al-Hakim)

Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair telah menyebutkan kata-kata Ka’ab bin Al-Ahbar tentang keburukan orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan kebaikan orang yang menjaga hubungan dengan ibu bapanya.

Beliau menyatakan: “Sesungguhnya Allah SWT akan mempercepatkan kebinasaan dan kecelakaan seseorang apabila dia menderhakai kedua ibu bapanya, iaitu akan dipercepatkan seksaannya. Dan sesungguhnya Allah akan menambah umur seseorang, jika dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, maka dia akan memberikan perbelanjaan kepada keduanya, jika mereka berdua memerlukannya”.

Justeru, marilah kita sama-sama menjaga ibu bapa kita sebaik mungkin. Jangan lokek menghubungi mereka selalu, bertanya khabar dan memberikan penjagaan penuh kepada mereka.

Ambillah peluang berbakti kepada mereka sementara mereka masih hidup. Bagi mereka yang telah kehilangan ibu dan bapa, teruskan mendoakan mereka supaya diampuni dosa dan dimasukkan dalam golongan orang yang soleh.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pertahankan agama bukti cintakan Nabi Muhammad s.a.w

Posted by epondok di Februari 5, 2012

Oleh Hizbur Rahman

Golongan beriman elak tafsir Islam ikut hawa nafsu

WALAUPUN Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita kira-kira 1,433 tahun lalu, tetapi dengan cinta kasih kita kepada Baginda serta sunnahnya, maka kita merasakan seolah-olah Baginda masih hidup.

Nabi Muhammad SAW adalah satu-satunya Rasul yang menyelesaikan tugas dan menyempurnakan amanah pekerjaan sewaktu hayat Baginda membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara.

Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qurani dan kedua, menghidupkan wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau yang dinamakan sunnah nabawiyah.

Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW seperti dicerminkan dalam al-Quran, wajib diambil teladan secara mutlak dan ditaati sepanjang kehidupan ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata.” (Surah at-Taghaabun, ayat 12)

Allah SWT menegaskan bahawa perintah mentaati Rasulullah SAW adalah bererti mentaati Allah SWT dan mengingkari Baginda bererti juga mengingkari Allah SWT.

Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ ini terdapat dalam kalimah syahadah, mensyaratkan bahawa seseorang tidak boleh menganut Islam jika hanya mengaku beriman kepada Allah SWT tanpa mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Ini menggambarkan satu istinbat mutlak bahawa makna mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mentaati keseluruhan ajaran Baginda. Pada masa sama ia membawa kita mencintai Allah SWT. Oleh itu, beriman kepada rasul Allah adalah wajib dan menjadi tunjang kekuatan akidah Islam.

Selari dengan ikrar yang kita lafazkan dalam syahadah, umat Islam perlu mematuhi dan mengamalkan semua ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Jika kita mengabaikan pelaksanaan perintah Allah dan suruhan Rasul-Nya, maka Allah akan jauh daripada kita. Ini bererti iman kita mulai lemah dan kelemahan iman ini memberi ruang kepada musuh Allah dan syaitan mendekati bahkan mempengaruhi kita dalam membuat keputusan.

Oleh itu, tidak menghairankan ada dalam kalangan umat Islam yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan itu kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai.

Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Bagaimana bentuk dan pengukuran bahawa kita tergolong orang Islam yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW? Ramai mengakui cinta kepada Rasulullah, tetapi tidak tahu bentuk dan hakikatnya. Cinta yang jujur akan menggerakkan seluruh perasaan dan kelakuan manusia membuat sesuatu sebagai cermin kehidupannya yang selari dengan ajaran Islam.

Sahabat dalam membuktikan kecintaan kepada Rasulullah dan sunnahnya sanggup berkorban nyawa, rela kehilangan harta kekayaan, anak, ibu bapa dan status diri, demi mempertahankan perjuangan suci bersama Rasulullah.

Nama besar seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Ali dan ramai lagi syuhada serta golongan solihin baik lelaki dan wanita telah membuktikan kasih sayang tidak berbelah bagi kepada Rasulullah SAW.

Setiap tahun umat Islam menyambut Maulidur Rasul dalam pelbagai bentuk. Kadangkala sambutan itu mendapat kritikan sejauh mana sambutan ia meningkatkan penghayatan serta ketaatan melaksanakan ajaran dibawa Rasulullah SAW.

Program Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah bertujuan mentarbiah, membimbing dan memperingatkan umat Islam menghargai apa dikurniakan Allah SWT.

Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah paling berjaya menegakkan ajaran Allah, rasul terakhir, tokoh teragung sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada landskap akidah manusia di dunia.

Malah, hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh Islam, seolah-olah Baginda masih hidup walaupun hampir satu setengah alaf sudah meninggalkan kita.

Sambutan Maulidur Rasul yang diberi liputan meluas media cetak dan elektronik memberi peluang rakyat pelbagai agama memperingati seorang insan terpilih, memahami gaya kepemimpinan, akhlaknya, dasar politik, ekonomi dan sosial untuk diteruskan serta dihayati.

Hakikatnya, sambutan Maulidur Rasul adalah suatu peringatan, tazkirah yang bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” (Surah adz-Dzaariyat, ayat 55).

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »