Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 2 Februari 2012

Tekad azam contohi kehidupan Rasulullah

Posted by epondok di Februari 2, 2012

Oleh Lokman Ismail

NABI Muhammad SAW diutuskan Allah menyebarkan Islam kepada seluruh manusia dan menjadi pemimpin contoh untuk diikuti sepanjang zaman. Seluruh cendekiawan, ahli agama, pemikir dan pemimpin, sama ada beragama Islam atau kafir mengakui Nabi Muhammad sebagai “The Saviour of Humanity” atau Penyelamat Manusia Sejagat. Baginda juga digelar pemimpin agung sepanjang zaman dan paling sempurna akhlak.

Memang tepat jika Rasulullah dijadikan contoh dan idola untuk diikuti dalam segenap segi cara kehidupan baginda. Sesungguhnya tidak ada sifat buruk pada diri baginda untuk dijadikan bahan momokan atau cacian oleh musuh-musuh Islam.

Dalam kalangan orientalis, mereka cuba mengkaji dan mencari sunnah Rasulullah yang boleh dikaitkan sebagai sikap buruk dan bukti Rasulullah hanya manusia biasa sama seperti orang lain. Antara sunnah yang dilambangkan tidak baik ialah poligami dan perkahwinan Rasulullah dengan Siti Aisyah. Baginda dilambangkan sebagai kuat seks atau gila seks.

Jika kita mengkaji sirah, tentunya kita faham mengapa Rasulullah berkahwin lebih daripada seorang dan mengahwini Siti Aisyah ketika masih berusia kanak-kanak. Rasulullah bukan gila seks dan tidak sekali-kali menjadikan kedudukan dan kuasa untuk memiliki banyak isteri.

Tindakan Kelab Taat Suami menganjurkan forum Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam sempena Maulidur Rasul boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan bukan Islam dan penganut Islam sendiri yang tidak betul-betul mendalami sirah. Selama ini pun, suami yang ingin berpoligami sering mengatakan ia sunnah Rasulullah, sedangkan dalam hal lain tidak pula mengikut apa yang dilakukan baginda.

Perkara ini tentu sekali akan digunakan pula oleh orientalis untuk menyokong dakwaan mereka selama ini.

Sepatutnya, sempena Maulidur Rasul ini perkara lain yang dibincangkan atau ditonjolkan. Banyak sumbangan besar lain patut dijadikan topik perbincangan dan dicontohi yang mana baginda berjaya membentuk masyarakat sempurna dan syumul yang tidak ada batasan geografi dan zaman.
Tidak ada individu lain mampu mencapai status seperti mana dicapai Nabi Muhammad SAW. Lihatlah hasil dakwah Nabi Muhammad yang berjaya membawa perubahan besar peradaban manusia. Risalah yang dibawa Nabi Muhammad membawa pakej sempurna kepada kehidupan manusia dan tidak setakat berkaitan tauhid kepercayaan kepada Allah semata-mata.

Rasulullah sudah berjaya merubah kehidupan manusia secara rohani, fizikal dan intelektual yang mencetus revolusi perubahan membawa manusia dari dunia kegelapan kepada cahaya kebenaran.

Kesempurnaan akhlak, kepimpinan dan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad dijadikan ikutan bagi sesiapa mengharapkan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Baginda memiliki peribadi mulia sehingga digelar al-Amin oleh masyarakat Makkah, yakni lambang kebenaran dan kesempurnaan pekerti.

Nabi Muhammad mengajar manusia mengenai ketuhanan, kebenaran, keadilan dan kebahagiaan hidup. Baginda menunjukkan cara hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam.

Setiap ajaran dan amalan Nabi Muhammad adalah sunnah yang perlu diterapkan dalam kehidupan setiap insan untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Untuk memastikan iman sentiasa kuat dan sempurna, hendaklah sentiasa tertanam perasaan mencintai Nabi Muhammad sepenuh hati.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kasih sayang terhadap Nabi Muhammad tidak cukup sekadar ucapan di bibir atau mengadakan sesuatu secara ritual berkaitan baginda. Kasih sayang memerlukan pembuktian berupa amalan seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah.

Kita perlu penuh yakin bahawa apa yang dilakukan Nabi Muhammad ada yang contoh ikutan terbaik. Sesiapa mengikut sunnah Rasulullah mendapat jaminan beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Kita hari ini tidak hidup bersama-sama Nabi Muhammad. Apa yang ditinggalkan sebagai pedoman hidup adalah al-Quran dan sunnah. Sesiapa mencontohi kedua-duanya, samalah seperti hidup pada zaman Rasulullah.

Fahaman yang menolak sunnah dalam mentafsir kehendak agama membawa kepada kesesatan. Ditambah pula dengan keadaan umat Islam yang dirosakkan oleh fahaman bidaah, khurafat, syirik, rosak akhlak dan aliran liberal.

Nabi Muhammad mengingatkan agar umatnya terus berpegang kepada sunnah biarpun berdepan halangan. Mempertahankan sunnah satu tanggungjawab yang berat

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Biodata ringkas Wali Songo

Posted by epondok di Februari 2, 2012

SALAH seorang Wali Songo yang terkenal ialah Sheikh Maghribi. Beliau juga dikenali dengan nama Maulana Malik Ibrahim, Sunan Gresik juga dikenal dengan nama Maulana Maghribi (Syeikh Maghribi) kerana beliau dikatakan berasal dari wilayah Maghribi (Afrika Utara).

Namun hingga kini tidak diketahui secara pasti sejarah tentang tempat dan tahun kelahirannya.

Beliau dikatakan lahir sekitar pertengahan abad ke-14. Beliau berasal dari keluarga Islam yang taat beragama, dan beliau mempelajari agama Islam sejak kecil, namun tidak diketahui siapa gurunya, hingga beliau kemudiannya menjadi seorang ulama.

Sunan Gersik

Sunan Gersik diyakini sebagai pelopor penyebaran agama Islam di Jawa. Beliau berdakwah secara intensif dan bijaksana. Sunan Gresik bukan orang Jawa, namun beliau mampu memahami keadaan masyarakat yang dihadapinya dan menerapkan kaedah dakwah yang tepat untuk menarik perhatian masyarakat kepada Islam.

Usaha menghilangkan sistem kasta dalam masyarakat pada masa itu menjadi objek dakwah Sunan Gresik. Cita-cita dan perjuangannya menyebarkan Islam di Jawa kemudian diteruskan oleh anaknya, Sunan Ampel.

Sunan Giri

Sunan Giri ialah putera Maulana Ishak. Nama asalnya Radin Paku. Beliau ditugaskan oleh Sunan Ampel untuk menyebarkan agama Islam di Blambangan. Sunan Giri pernah belajar di Pesantren Ampel Denta.

Setelah dewasa, dalam perjalanan menunaikan haji bersama-sama Sunan Bonang, beliau singgah di Pasai untuk mendalami ilmu agama.

Sekembalinya ke Jawa, Sunan Giri membina pondok pengajian agama di daerah Giri. Beliau banyak menghantar pendakwah ke Bawean (Madura), bahkan juga ke Lombok, Ternate dan Tidore di Maluku. Makam Sunan Giri atau Raden Paku terletak di Bukit Giri, dekat Gresik, Jawa Timur.

Syarif Hidayatullah

Nama asal Sunan Gunung Jati ialah Syarif Hidayatullah. Beliau adalah cucu raja Pajajaran yang lahir di Mekah. Setelah dewasa, beliau memilih untuk berdakwah di Jawa. Di Jawa, beliau bertemu bapa saudaranya, Raden Walangsungsang (Pangeran Cakrabuana).

Setelah bapa saudaranya meninggal dunia, beliau menggantikan bapa saudaranya dan Berjaya menjadikan Cirebon sebagai kerajaan Islam pertama di Jawa Barat.

Beliau juga adalah pengasas Kesultanan Banten yang bermula dengan puteranya, Sultan Maulana Hasanuddin. Atas inisiatif Sunan Gunung Jati, Sunda Kelapa diserang diserang pada 1527 di bawah pimpinan Fatahillah, panglima perang Kesultanan Demak yang juga menantu Sunan Gunung Jati.

Sunan Muria

Sunan Muria ialah salah seorang Wali Songo yang sangat berjasa dalam penyebaran Islam di kawasan desa. Putera Sunan Kalijaga ini suka menyendiri dan tinggal di desa bersama-sama rakyat biasa.

Dalam menyebarkan Islam, Sunan Muria selalu menjadikan desa terpencil sebagai tempat dakwahnya.

Sinom dan Kinanti

Seperti para Wali Songo yang lain, Sunan Muria juga menggunakan kesenian sebagai cara berdakwah. Dua puisi yang diciptanya dan sangat terkenal ialah puisi Sinom dan Kinanti.

Puisi Sinom umumnya menggambarkan suasana ramah-tamah dan mengandungi nasihat. Puisi Kinanti pula bernada gembira dan digunakan untuk menyampaikan ajaran agama, nasihat dan falsafah hidup.

Sunan Drajat

Sunan Drajat dikenal sebagai seorang wali yang berjiwa sosial tinggi. Beliau banyak memberikan pertolongan kepada yatim piatu, fakir miskin, orang sakit dan orang susah.

Perhatiannya yang besar terhadap masalah sosial sangat tepat pada masa itu kerana beliau hidup pada masa keruntuhan Kerajaan Majapahit (sekitar 1478).

Rakyat pada ketika itu dalam keadaan kacau-bilau dan menyedihkan. Sunan Drajat juga menggunakan media kesenian semasa berdakwah. Untuk itu, beliau mencipta puisi Jawa yang hingga kini masih digemari, iaitu puisi Pangkur.

Sunan Kudus

Sunan Kudus atau Jaafar Sadiq digelar wali al-‘ilmi (orang berilmu luas) oleh para Wali Songo kerana mempunyai keahlian khusus dalam bidang agama.

Oleh sebab kepakarannya itu, beliau banyak dikunjungi oleh para penuntut dari pelbagai wilayah.

Beliau juga diamanahkan untuk mengendalikan pemerintahan di daerah Kudus. Beliau menjadi pemimpin agama dan juga pemerintah di wilayah itu.

Masjid Menara Kudus

Sebagai permulaan untuk menyebarkan Islam, Sunan Kudus membina sebuah masjid di daerah Loran pada 1549. Masjid itu diberi nama Masjid al- Aqsa atau al-Manar.

Wilayah sekitarnya disebut Kudus, nama yang diambil daripada nama kota al-Quds (Baitulmaqdis di Palestin) yang pernah dikunjunginya.

Masjid itu kemudian dikenal dengan nama Masjid Menara Kudus kerana di sebelahnya terdapat menara tempat beduk masjid. Masjid yang dibina oleh Sunan Kudus ini juga merupakan salah satu masjid tertua di Indonesia.

Sunan Kalijaga

Sunan Kalijaga berasal dari suku Jawa asli. Beliau berdakwah dengan cara berkelana. Dengan wawasan yang luas dan pemikiran yang tajam, Sunan Kalijaga tidak hanya disukai oleh rakyat, tetapi juga oleh cendekiawan dan pemerintah. Raden Fatah dari Kesultanan Demak sering kali meminta nasihatnya.

Dandanggula

Sunan Kalijaga juga dikenal sebagai budayawan dan seniman (seni suara, ukir dan busana). Beliau mencipta aneka cerita wayang yang berunsur Islam, Sunan Kalijaga memperkenalkan sejenis wayang yang diperbuat daripada kulit kambing (wayang kulit), kerana pada masa itu wayang selalunya dilukis pada seperti kertas lebar (wayang beber). Dalam seni suara, beliau ialah pencipta lagu Dandanggula. Sebahagian dari lirik lagu Dandanggula ciptaan Sunan Kalijaga adalah tentang rukun iman

Posted in Tokoh Ulama' | Leave a Comment »

Membudaya selawat dalam kehidupan harian

Posted by epondok di Februari 2, 2012

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

UMAT Nabi Muhammad SAW sewajibnya mencintai Baginda melebihi daripada segala-galanya hatta terhadap diri sendiri. Ini seperti mana kisah Baginda SAW dengan sahabatnya Umar al-Khattab yang begitu jelas memberi pengajaran berguna buat kita umat di akhir zaman ini.

Dikisahkan, suatu hari Umar al-Khattab mengatakan rasa cinta dan kasihnya terhadap Rasulullah SAW, namun selepas mendengar yang Umar mencintai dirinya terdahulu maka Rasulullah SAW membetulkannya semula.

Kata Nabi SAW: “Tidak, demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya. Sehingga kamu mencintai aku lebih daripada dirimu sendiri. Kemudian Umar pun mengatakan: Sesungguhnya sekarang engkaulah yang aku cintai lebih daripada diriku sendiri. Lalu Nabi SAW pun berkata lagi kepadanya: Sekarang wahai Umar.” (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan kisah antara Rasulullah SAW dan Umar itu menjelaskan kepada kita betapa pentingnya hati kita mencintai sebulat-bulatnya terhadap Baginda. Banyak cara yang membolehkan menzahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.

Antaranya melalui bacaan selawat, amalan ringan dan semua mampu buat namun mengandungi banyak pahala di sisi Allah kerana menerusi bacaan selawat melambangkan rasa cinta, kasih sayang dan hormat seseorang terhadap Baginda.

Allah dengan tegas ada mengatakan: “Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Rasulullah SAW sangat gembira apabila umatnya sering membaca selawat ke atas Baginda. Hal ini dijelaskan Abdul Rahman bin Auf, katanya, Rasulullah SAW keluar lalu aku mengikuti Baginda sehingga memasuki sebuah kebun kurma.

Lalu Baginda sujud dalam masa agak lama sehingga aku bimbang atau takut seandainya Allah mewafatkan Baginda. Abdul Rahman meneruskan riwayatnya: “Maka aku datang melihat Baginda, lalu Baginda mengangkat kepalanya seraya bertanya, kenapa dengan kamu wahai Abdul Rahman? Lalu akupun menyebutkan apa yang berlaku kepada Baginda.

Kata Nabi SAW: “Sesungguhnya Jibril berkata kepadaku, hendaklah aku gembirakan kamu bahawa sesungguhnya Allah telah berfirman kepada kamu: Sesiapa yang berselawat ke atas kamu maka Allah berselawat ke atasnya dan sesiapa yang memberi salam ke atas kamu, maka Aku memberi salam ke atasnya.”

Cerita ini ada hubung kait dengan pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)

Demikian hebatnya fadilat selawat yang akan diperoleh kita yang menjadikan amalan membacanya sebagai jadual harian dan pada setiap ketika. Justeru, kita perlu mendidik anak, isteri dan ahli keluarga membudayakan amalan berselawat sebagai amalan wajib buat setiap hari.

Seperkara lagi perlu diingatkan, jangan setakat rajin berselawat tetapi akhlak zahir dan akhlak batin jauh daripada apa yang diperintahkan Nabi SAW. Mulut berbudaya selawat, tetapi tangan dan kaki mencari hasil kerja yang haram?

Jika beginilah, maka tiada makna selawat yang kita baca, malah kita semakin jauh daripada Baginda kerana melakukan perkara yang dibenci. Jika kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW maka laksanakan apa disuruh dan menjauhi yang ditegah sebagai penzahiran rasa cinta itu.

Alangkah beruntungnya seseorang yang rajin berselawat dan memiliki akhlak terpuji seperti diperturunkan Rasulullah SAW. Kita mesti selarikan antara amalan membaca selawat dengan amalan zahir batin. Wujudnya kesepaduan jitu antara kedua-duanya akan menjadi pencetus kepada keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Selain selawat, amalan ibadah sunat lain juga tidak seharusnya dijadikan amalan bermusim atau bersifat berkala. Tiba Maulidur Rasul, maka teringatlah untuk menggiatkan bacaan selawat tetapi selepas habis Maulidur Rasul, sehari ke sehari amalan itu terhakis daripada sanubari.

Seandainya situasi begini yang berlaku bermakna kecintaan terhadap Rasulullah belum mampu kita buktikan secara jujur.

Bagi ibu bapa, didiklah anak mencintai Rasulullah SAW seawal usia dengan membiasakan alunan bacaan selawat sebagai halwa telinga mereka yang akan menjadi asas kepada pembangunan rohani anak.

Imam al-Ghazali melalui karya teragungnya, Ihya Ulumuddin berpesan: “Ketahuilah apa-apa yang kami sebut dalam menjelaskan akidah seharusnya diberikan kepada anak pada awal perkembangannya supaya mereka dapat benar-benar menghafaz sehingga dewasa nanti terungkap maknanya sedikit demi sedikit.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »