Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 1 Februari 2012

Mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w

Posted by epondok di Februari 1, 2012

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR
Membantu mereka yang memerlukan merupakan antara akhlak mulia Rasulullah yang perlu dijadikan amalan oleh umatnya. – Gambar hiasan

DALAM kehidupan, umat Islam diwajibkan mengikuti dan memiliki sifat dan akhlak Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan pedoman setiap insan dan perlu dijadikan amalan dalam kehidupan setiap Muslim.

Sehingga sesiapa yang berpegang teguh dengan keindahan budi baginda maka akan bahagia dan sempurnalah kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

Sejarah Islam telah membuktikan, apa yang menjadi tenaga pendorong atau obor semangat yang membangkitkan kegigihan umat Islam hingga lahirnya tokoh-tokoh agung dalam pelbagai bidang sebenarnya bersumberkan daripada al-Quran dan al-Sunah.

Iman, akhlak dan amal soleh merupakan tiga unsur yang tidak dapat dipisahkan daripada struktur pendidikan Islam yang mampu melahirkan manusia agung yang layak dijadikan pedoman dan ikutan umat Islam.

Keluhuran dan kemuliaan akhlak Rasulullah terbukti melalui sifat baginda yang berani, pemurah, adil, memelihara diri daripada yang haram, sifat benar, amanah, sabar, lapang hati dan sabar, pemaaf, pengasih dan penyayang.

Baginda juga mengutamakan perdamaian, zuhud, pemalu, tawaduk, setia, mengutamakan musyawarah, kebaikan dalam pergaulan, rajin bekerja dan selalu gembira serta bergurau senda dengan keluarga.

Semua itu seharusnya dicontohi umat Islam masa kini dan akan datang.

Ini terbukti melalui kisah dan sejarah yang dipaparkan semasa hayat baginda oleh sahabat-sahabat, isteri dan para pembantu yang rapat dengan baginda.

Rasulullah adalah insan pembawa cahaya penerang kehidupan ummah sejak dahulu hingga kini.

Hadis-hadis baginda secara keseluruhan melibatkan perkara asas yang penting dalam pembinaan dan pendidikan diri dan masyarakat ke arah kemajuan ummah.

Berkaitan dengan akhlak nabi, tokoh Islam, Dr. Ahmad Muhammad al Hufy menggambarkan, setiap orang dapat merasakan indahnya taman yang luas dengan pepohonan rendang. Segala sesuatu yang ada di dalamnya berbau harum semerbak, manis buah-buahannya dan sedap dipandang mata.

Itulah gambaran akhlak Nabi yang luhur, sehingga tidak seorang pun dapat memastikan manakah di antaranya budinya yang lebih tinggi martabatnya. Semuanya menarik dan mempesona ibarat mutiara yang sentiasa berkilau-kilauan.

Keistimewaan baginda terbukti melalui beberapa hadis antaranya daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda: Akulah penghulu manusia pada hari kiamat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain berkaitan dengan pendidikan insan berakhlak mulia pula daripada Abu Hurairah Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik.” (riwayat Ahmad).

Berkaitan dengan kesempurnaan syafaat Rasulullah daripada Anas bin Malik r.a. nabi bersabda: Bagi setiap nabi terdapat doa (yang telah dikabulkan di dunia) untuk umatnya. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari kiamat. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menurut Syarah Sahih Muslim, hadis ini menerangkan kesempurnaan syafaat nabi dan belas kasihan baginda terhadap umatnya.

Baginda mengambil perhatian terhadap kepentingan kemaslahatan umatnya. Baginda menangguhkan doa balasan azab terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan.

Dalam usaha memantapkan ukhuwah dan memperkasa ummah, umat Islam digalakkan sentiasa menghubungkan silaturahim, mengelakkan sifat bermusuh-musuhan, hasad dengki dalam kehidupan.

Usaha memperkasa ummah mestilah dilakukan setiap masa bagi mewujudkan kekuatan bangsa dan negara. Seorang mukmin itu adalah saudara kepada mukmin yang lain.

Hal ini juga berkaitan dengan pembinaan iman dan akhlak yang baik. Orang-orang mukmin diibaratkan sebagai satu binaan.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a. Rasulullah bersabda: Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Penyatuan ummah dapat mengelakkan segala anasir jahat yang cuba memecah-belahkan perpaduan.

Hanya melalui perpaduan, penyatuan ummah dapat diperkasakan bagi menghadapi apa juga cabaran yang mendatang.

Orang-orang mukmin diibaratkan sebagai satu jasad. Daripada Nu’man bin Basyir r.a., nabi bersabda: Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas kasihan antara orang Mukmin diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam dan merasa panas dan gusar. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).”

Lantaran itu, umat Islam sewajarnya mengamalkan akhlak yang baik seperti sifat mesra, kasih sayang, saling berbelas kasihan, menghormati jiran dan tetamu serta mengamalkan sifat tolong-menolong, bekerjasama, sopan santun, bersedekah, menolong orang miskin dan menghubungkan silaturahim akan dapat memperkasa ummah.

Sifat-sifat mulia lain yang selari dengan sifat Islam seperti pemurah, berani, adil, memelihara diri, benar, menepati janji, penyayang, pemaaf, sabar, jujur, amanah dan kuat kemahuan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan umat Islam bagi memperkasa ummah.

Sesungguhnya, taat kepada rasul itu bererti taat kepada Allah. Sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al-Ahzab ayat 21 dan surah an-Nisa ayat 80.

Oleh itu, wasiat dan pesanan Nabi berkaitan dengan sifat baik dan akhlak mulia serta pesanan yang lain sewajarnya menjadi pegangan hidup bagi menghadapi cabaran meneruskan kehidupan di dunia ini serta mendapat keredaan Allah di akhirat

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rasulullah s.a.w ketua keluarga mithali

Posted by epondok di Februari 1, 2012

Oleh Tuan Asmawi Tuan Umar

Seorang suami yang melayan keluarganya dengan baik adalah termasuk dalam kategori orang yang sempurna imannya sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW. – Gambar hiasan

Pembinaan sebuah keluarga yang dilimpahi kebahagiaan bukanlah menjadi satu fatamorgana atau ilusi yang tidak mampu dicapai seandainya semua umat Islam mempunyai iltizam yang tinggi untuk menggapainya.

Bak kata pepatah Melayu, “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Begitu juga pepatah bagi masyarakat Barat yang menyatakan when there is a will, there is a way.

Setiap manusia lelaki dan wanita diciptakan oleh Allah sememangnya memerlukan pasangan bagi saling melengkapi antara sama lain seperti Allah menciptakan Saidatina Hawa untuk menjadi teman dan pasangan kepada Abul Basyar Saidina Adam a.s.

Penciptaan insan yang bergelar lelaki dan wanita ini sudah menjadi fitrah dan tabie yang termaktub dalam setiap firman Allah menerusi al-Quran yang bermukjizat itu.

Bak kata sesetengah orang “perkahwinan dan pernikahan menurut kebiasaannya hanya dilihat dan dirasakan kemanisan dan kenikmatannya hanya sebulan atau paling lama tiga bulan sahaja”.

Andainya benar kenyataan ini, apakah pernikahan tersebut hanya menjadi satu perkara sia-sia. Malah ia akan menjadi beban besar yang terpikul ke atas kedua-dua pihak – suami dan isteri.

Apabila ditanya mengapa situasi seperti ini boleh terjadi, maka kita akan dapati kesimpulannya hanya kerana “melihat orang lain berkahwin, maka saya pun berkahwin”.

Justeru, keikhlasan dan ketulusan memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri kerana Allah itu sudah hilang. Sebabnya, sesetengah pasangan menganggap sebagai satu halangan yang besar dalam erti seorang lelaki dan wanita yang masih belum dan tidak merasa puas dengan kebebasan yang diperlukan dalam diri masing-masing.

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam barangkali ada kebenaran di sebalik kata-kata bahawa mengahwini orang yang dicintai suatu keharusan dan mencintai orang yang dinikahi adalah suatu kewajipan.

Bersempena kedatangan tarikh ulang tahun keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal 1433 Hijri bersamaan 5 Februari 2012 Masihi yang menjadi qudwah (contoh) dalam pelbagai aspek.

Maka umat Islam bukan sahaja memperingati baginda sebagai insan suci yang membawa obor Islam di atas muka bumi akan tetapi ia perlu dilihat – jika dalam aspek rumahtangga, maka kita sewajarnya mendalami bagaimana untuk kita mencontohi teladan Rasulullah SAW dalam menyantuni para isteri (Ummahaat Al-Mukminin) serta kaum keluarganya.

Barangkali ada yang berkata bahawa terlalu jauh impian kita untuk menyamai taraf dan kedudukan serta segala teladan yang baginda lakukan. Namun, sebagai umat baginda perlu sentiasa menanam impian dan hasrat melakukan yang terbaik untuk keluarga.

Pelbagai contoh yang mungkin menjadi sumber inspirasi kepada kita semua seperti baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya ; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi”. (riwayat Abu ‘Asakir)

Di dalam hadis yang lain juga ada baginda SAW berpesan: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya”. (riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Sekiranya kita mempunyai darjat dan kedudukan yang tinggi di mata masyarakat, maka tidaklah menjadi hina dan tercela darjat berkenaan dengan sebab kita menyantuni keluarga.

Bahkan dalam konteks ini, baginda SAW seorang yang Allah telah angkat dan iktirafnya sebagai kekasih-Nya tetap tidak melupakan tugas dan tanggungjawab baginda sebagai manusia biasa.

Maka, situasi ini agak kontradik dengan apa yang nabi SAW paparkan iaitu sesetengah suami yang percaya bahawa dengan ketegasan dan kemarahan sahaja ‘jawapan’ dalam mendidik seseorang isteri.

Baginda lemah-lembut dengan isteri

Sifat lemah lembut baginda SAW jelas terpapar dalam satu situasi pernah baginda pulang pada waktu pagi yang kebetulannya baginda teramat lapar pada ketika itu akan tetapi apabila dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk menjadi makanan sarapan. Lalu nabi bertanya: “Adakah masih belum ada sarapan wahai Humaira?” (Humaira adalah panggilan mesra untuk Saidatina Aisyah yang bererti pipi yang kemerah-merahan).

Maka Saidatina Aisyah menjawab dengan agak serba salah: “Belum ada apa-apa wahai Rasulullah”. Rasulullah SAW lantas berkata: “Jika begitu saya puasa saja hari ini” tanpa sedikit tergambar rasa sekelumit kemarahan dan kekesalan pada raut wajah baginda.

Oleh yang demikian, dewasa ini, dengan situasi yang sama walau pun sekilas dipandang kecil tetapi ia boleh menjadi isu dan perkara besar sehingga boleh membawa kepada pergaduhan dan perbalahan.

Apa yang jelas bahawa jika bertindak dengan terburu-buru tanpa usul periksa maka pastinya akan berkesudahan dengan keputusan yang menjadikan syaitan dan iblis bergembira kerana telah berjaya mengkucar-kacirkan sebuah rumahtangga Muslim.

Menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ketua dalam sesebuah keluarga bukan sahaja memerlukan ilmu pengetahuan agama yang cukup malah kesabaran menjadi paksi yang teras dalam melayari bahtera kehidupan.

Ini kerana andainya tersalah dalam membuat sebarang keputusan seperti contoh dalam sesebuah rumahtangga maka banyak pihak yang akan menanggung permasalahan seperti anak-anak, pembahagian harta benda dan sebagainya.

Betapa tulus dan bersih hati seorang insan berdarjat mulia yang tidak keberatan untuk menjahit serta menampalnya sendiri jika ada pakaian baginda yang terkoyak tanpa menyuruh isterinya.

Malah lebih daripada itu baginda juga seperti insan yang lain tidak segan silu memerah susu kambing sama ada untuk kegunaan keluarga atau pun untuk dijual.

Masya-Allah, di manakah kita sekarang? Hanya dengan kerana darjat dan kedudukan, tugas-tugas seperti tadi barangkali tidak menjadi kegemaran kita.

Bersama kita sematkan dalam diri dan keazaman kita bahawa seandainya seorang nabi dan rasul yang mulia itu sanggup menyantuni keluarganya dengan baik. Beratkah kita untuk menjejaki langkah dan teladan Baginda.

Semoga iltizam dan cita-cita kita untuk menjadi seorang ketua keluarga yang mengambil semangat dan model paparan Nabi Muhammad SAW menjadi realiti

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Sejarah dan hukum sambut Maulidurrasul s.a.w

Posted by epondok di Februari 1, 2012

MAKAM Rasulullah di Masjid Nabawi, Madinah yang menjadi tumpuan dan ziarah umat Islam dari seluruh dunia.

MAULID berasal dari perkataan Arab yang bermakna melahirkan terutamanya merujuk kepada kelahiran bayi.

Namun dalam konteks hari ini ia dirujuk khusus kepada hari keputeraan Nabi Muhammad iaitu pada 12 Rabiulawal setiap tahun.

Sejarah ringkas

Sambutan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir yang meraikannya secara besar-besaran.

Mereka bukan sahaja meraikan hari keputeraan Rasulullah, tetapi juga yang membabitkan ahli keluarga baginda Zainab, Hassan, Hussain.

Walau bagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 H atas perintah Perdana Menteri, al-Afdal Shahindah yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.

Ia berhenti diraikan sehingga Al-Ma’moon Al-Bataa’ni memegang kuasa kerajaan.

Apabila kerajaan al-Ayubbiyyah merampas kuasa, semua perayaan itu sekali lagi dihentikan.

Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya di kalangan keluarga mereka secara tertutup.

Pada Abad ke-7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa’d Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen ‘Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil.

Muzafar yang merupakan seorang sunni mengambil berat akan perayaan Maulidur Rasul hingga memerintahkan persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin.

Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan itu dalam khemah yang telah didirikan.

Hujah membolehkan Maulidur Rasul

Antara ulama yang menyokong Maulidur Rasul terutamanya Imam Jalaluddin Sayuti dan Sheikh Dr. Yusuf Al Qaradawi.

Imam Jalaluddin Sayuti:

“Ibadat macam itu adalah bidaah hasanah (bidaah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia”.

Sheikh Dr. Yusuf al Qaradawi: “Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah.

“Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan.

“Sa’d bin Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah kepada kanak-kanak sama seperti mana keghairahan mereka mendidik anak-anak itu mengenai al-Quran.

“Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah, maka tidak perlulah merayakan seperti mana dirayakan Maulid Rasul kini.

“Bagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya.

“Dengan itu, perayaan Maulid Rasul diadakan bertujuan mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah masih hidup. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam.

“Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bidaah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam”.

Antara dalil bagi yang membolehkan Maulid ini:

1) Allah berfirman yang bermaksud: Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran) mereka itulah yang beruntung. (al-A’raf: 157)

Keterangan: Tujuan maulud adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.

2) Firman Allah yang bermaksud: Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. (Ibrahim: 5)

Keterangan: Al-Baihaqi di dalam Syakbu al-Iman daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi SAW, sesungguhnya baginda menafsirkan ‘hari-hari Allah’ adalah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani menjelaskan lagi dengan katanya “kelahiran Nabi merupakan nikmat yang paling besar”.

3) Bahawasanya Nabi Muhammad datang ke Madinah maka beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharam, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: “Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?” Jawab mereka: “Ini adalah hari peringatan, pada hari itu dikaramkan Firaun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan”.

Maka Nabi berkata: “Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu”. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata, bahawa dari hadis itu dapat dipetik hukum: Umat Islam dibolehkan bahkan dianjur memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari Maulud, Israk dan Mikraj dan lain-lain.

– Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.

Posted in Amalan Pilihan, Klinik Agama | 2 Comments »