Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Februari 2012

Pendekatan terbaik tangani krisis rumah tangga

Posted by epondok di Februari 29, 2012

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Suami isteri kena utamakan sikap sabar, perbetul kesilapan secara berhemah

ISLAM sangat menekankan kerukunan dan keharmonian hidup berkeluarga. Namun, statistik jabatan agama negeri mengenai kes perceraian di seluruh negara sangat mengecewakan kita. Ini kerana berlakunya peningkatan mendadak dan begitu ketara sekali.

Sebenarnya, Islam lengkap memerihalkan kaedah tepat dan efektif dalam membina budaya hidup bersuami isteri yang bahagia, aman dan sejahtera. Memang lumrah manusia, pasti dalam menyusuri gelombang hidup bersama di bawah satu bumbung akan wujud juga kesilapan dan rasa kurang senang antara satu sama lain.

Dalam bahtera rumah tangga, si suami berfungsi seperti yang digariskan oleh agama iaitu tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya terhadap isteri dan anak.

Dalam hal membetulkan kesalahan yang mungkin isteri pernah lakukan, perkara ini seharusnya ditangani mengikut panduan sebenar. Malah Allah sendiri memperturunkan kepada kita pendekatan terbaik dalam menyelesaikannya.

Allah menerangkan kepada kita, “Dan bergaullah dengan mereka (isteri) secara patut. Kemudian, apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisa’ ayat 19).

Di sini Allah menyarankan supaya kita mengamalkan sikap sabar. Melalui pengamalan bersabar itulah bahtera rumahtangga yang sedang ditimpa gelombang pertelingkahan atau konflik akibat sesuatu perkara, akan mampu ditenangkan dan dijernihkan keadaannya.

Yang menjadi punca sehingga tercetusnya talak atau perceraian adalah diakibatkan oleh sikap terburu-buru dalam berfikir dan bertindak. Sabar sudah tidak ada lagi dalam kotak fikiran lantaran rasa amarah yang meluap-luap. Justeru, kita kena menghayati dan banyak mengaplikasikan nilai sabar dalam rumah tangga.

Pesan Rasulullah SAW: “Janganlah seorang mukmin (suami) membenci seorang mukminah (isteri). Jika dia tidak menyukai salah satu akhlaknya, dia akan mendapati akhlak-akhlaknya lain yang disukainya.” (Riwayat Muslim).

Lihatlah bagaimana bijaksananya Rasulullah SAW menuangkan petua berguna buat kita. Memang tepat kata Rasulullah SAW itu kerana semasa kita sedang dirasuk rasa marah, kita sudah tidak nampak apa-apa yang elok pada isteri.

Yang menguasai mata zahir dan menyelubungi kotak hati ketika itu ialah keburukan saja. Maka, pesanan Baginda tadi seharusnya kita ingati dan pegang sekuatnya bagi membendung gelombang rasa marah terhadap isteri.

Tepatlah juga seperti yang pernah dikatakan Imam Syafie: “Jika seseorang itu pernah melakukan kebaikan 99 kali, namun tatkala hanya sekali saja dia berbuat keburukan, maka hal keburukan itulah yang diperkatakan dan diperbesar-besarkan.”

Sehubungan itu, seorang suami mesti adil dan bertimbang rasa serta mengambil jalan berhemah menangani sesuatu isu yang berkaitan salah laku isteri.

Lebih lengkap lagi, Allah pernah mengutarakan panduan berkesan dalam membina rangka mekanisme penyelesaian masalah yang timbul dalam kehidupan alam perkahwinan. Cubalah kita teliti kembali pesanan Allah ini, “Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya (derhaka), maka nasihatlah mereka, pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka dan pukul mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya.” (Surah an-Nisa’, ayat 34)

Di sini Allah menetapkan tiga fasa dalam menegur atau membetulkan kesalahan isteri. Fasa pertama jelas Allah fokuskan kepada unsur memberi nasihat. Inilah kaedah pertama dan yang mesti diutamakan kita seseorang itu bertembung dengan sesuatu masalah dengan kerenah tingkah laku isteri.

Dalam ilmu psikologi-sosial moden juga meletakkan nilai nasihat sebagai pembimbing cara terbaik dalam menghadapi situasi kurang menyenangkan.

Pun begitu kita juga harus menyedari bahawa karakter manusia bukannya semua mampu dinasihati dan dalam hal seperti ini, strategi kedua terpaksa diambil, iaitu meninggalkan isteri di tempat tidurnya dan tidak menggaulinya (bersetubuh).

Ini peringkat kedua saja apabila pendekatan secara nasihat tidak membuahkan kesan. Dalam mengambil kaedah kedua ini, ada prasyaratnya. Seorang suami masih berkewajipan menyediakan makan minum, berkomunikasi secara berhemah dan hal ehwal rumah tangga yang lain.

Hanya tidak berada di tempat tidur dan tidak menggaulinya saja yang dimaktubkan berdasarkan saranan Allah tadi. Ini harus difahami dan diteliti secara cermat agar tidak bertindak melampaui batas yang digariskan.

Dalam fasa ketiga, dan yang ini adalah pilihan terakhir setelah peringkat pertama dan kedua masih buntu untuk menjernihkan keadaan. Kaedah ini pun masih tertakluk kepada piawai standard pukulan yang dibenarkan saja, iaitu bentuk pukulan yang tidak akan mendatangkan mudarat kepada fizikal isteri. Ia bermaksud, memukul dengan tujuan untuk mengingatkan, bukan sebagai hukuman.

Dan pesanan akhir daripada Allah tadi ialah supaya hindari perbuatan mengungkit kesalahan isteri apabila isteri sudah kembali berada dalam landasan betul. Ini kerana apabila diungkit kembali, pastinya akan mencetuskan kembali krisis dalaman dan akan menghancurkan usaha membaikpulih yang dilaksanakan.

Sebenarnya alam rumah tangga atau perkahwinan pasti kekal dalam situasi aman dan membahagiakan seandainya langkah menangani isu permasalahan dilakukan dengan wajar dan sudah tentu garis panduan yang dititipkan oleh Rasulullah SAW dan Allah diikuti dengan seutuhnya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Waspada dengan ‘buah tangan’ supaya jauhi rasuah

Posted by epondok di Februari 28, 2012

BERSEDEKAH memang mendapat pahala tetapi lebih utama bersedekah kepada golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim. – Gambar hiasan

SAYA dan kawan-kawan bekerja di bahagian kemasukan data (data entry) dan sentiasa berurusan dengan orang ramai. Setiap kali mereka datang ada yang membawa buah tangan seperti keropok, buah-buahan, kerepek malah ada yang memberi kami duit.

Selalunya kami akan mengambil semua pemberian ini dan dibahagi-bahagikan sama rata. Adakah ini dikira rasuah dan berdosa kami semua memakannya? Saya lebih menganggap pemberian ini ikhlas ibarat kalau kita bertandang ke rumah saudara mara, maka kita akan membawa sedikit buah tangan. Kalau betul itu dikira rasuah bagaimana cara untuk menolak semua pemberian tersebut tanpa mengecilkan hati orang yang memberi?

JAWAPAN

Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada saudari yang bertanya soalan ini. Biarpun pada asasnya nampak macam remeh, mungkin juga ada yang berkata soalan macam ini pun hendak tanya.

Saya ingin mulakan begini. Apa yang menyebabkan saudari bertanya soalan ini? Bukankah dengan mendapat sedikit habuan atau buah tangan daripada pengunjung ke premis itu suatu yang seronok, malahan dapat jimat duit poket.

Manakan tidak kalau sehari ada lima hingga 10 pengunjung pasti buah tangan pun lumayan. Tidakkah saudari fikir bahawa kalau jawapan yang bakal diberi bertentangan dengan syariah atau undang-undang itu sendiri?

Ada di kalangan masyarakat kita yang sengaja tidak mahu tanya soalan, walaupun dia merasakan perbuatannya salah. Buat apa tanya, kalau dia jawab tidak boleh nanti susah.

Sebab ada yang fikir buat salah sedangkan dia tidak tahu itu salah adalah tiket untuk lepaskan diri, dengan menjawab: “Saya tidak tahu itu salah.”

Perlu ingat di sini, kejahilan bukan alasan melepaskan diri daripada undang-undang mahupun syariat. Saya puji sifat saudari kerana berani bertanya demi mencari kebenaran yang berlandaskan syariah.

Sifat ini pastinya terbit daripada keimanan saudari yang inginkan setiap suapan yang masuk ke dalam mulut yang kelak menjadi darah daging seharusnya hala.

Teringat saya kepada sifat seorang wanita yang meminta anak perempuannya agar mencampurkan air ke dalam susu supaya jumlah susu menjadi banyak, dengan demikian dapat keuntungan dalam menjual susu.

Tetapi anak perempuan wanita tersebut membantah suruhan ibunya dengan berkata: “Wahai ibu, kalau Amirul Mukmin (Umar bin al-Khattab) tahu pasti kita akan dihukum.

Iibu srikandi itu menjawab: “Sesungguhnya Amirul Mukminin tidak melihat apa yang kita buat.” Anak perempuan itu menjawab: “Walaupun Amirul Mukminin tidak melihat akan tetapi Tuhan Amirul Mukminin sentiasa melihat.”

Rupa-rupanya perbualan mereka didengar oleh Umar yang lalu di situ dalam misi meninjau keadaan rakyat pimpinannya. Sehingga Umar meminta anak lelakinya agar meminang dan menikahi gadis tersebut.

Ini kisah keimanan, bukan sekadar cerita tetapi sifat inilah yang seharusnya ada dalam jiwa kaum hawa. Indahnya alam ini sekiranya ia dihiasi dengan wanita-wanita yang solehah seperti dalam kisah di atas. Ini kerana mukmin yang sebenar pasti akan berusaha membezakan yang halal dan haram.

Hal ini jelas dalam sabda Rasulullah SAW yang daripada Abu Abdillah Nu’man bin Basyir RA dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang menjauhkan diri daripada syubhat bererti dia telah menyelamatkan (memelihara) agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.

Sebagaimana penggembala yang menggembala ternakannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan (ada batasan) dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan-Nya.

Ketahuilah bahawa dalam diri manusia terdapat segumpal daging, jika segumpal daging itu baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa ia adalah hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).”

Boleh difahami daripada hadis ini beberapa perkara berikut;

Pertama:; Menjauhkan diri daripada perkara syubhat termasuk sikap warak seseorang.

Kedua: Banyak melakukan syubhat akan mendorong seseorang kepada perbuatan haram.

Ketiga: Menjauhkan perbuatan dosa kecil kerana hal tersebut dapat mengheret seseorang kepada perbuatan dosa yang lebih besar.

Keempat: Memberikan perhatian terhadap masalah hati, kerana padanya terdapat kebaikan fizikal tubuh badan manusia.

Kelima:, Hati yang sejahtera dapat menghasilkan perbuatan yang baik.

Keenam: Petanda ketakwaan seseorang jika dia meninggalkan perkara-perkara yang dibolehkan kerana khuatir akan terjerumus kepada hal-hal yang diharamkan.

Menerima dan memberi sesuatu habuan, sama ada buah tangan, hadiah, wang dan sebagainya boleh dikategori sebagai rasuah. Kalau hendak beri buah tangan kepada yang bekerja lagi bergaji adalah tidak patut dan niatnya boleh dipertikaikan.

Justeru, apa-apa sahaja pemberian yang saudari dan rakan-rakan saudari terima adalah salah di sisi undang-undang dan syarak. Sebab itu takrif rasuah harus difahami dengan tepat dan betul.

Ia ditakrifkan sebagai memberi sesuatu kepada orang tertentu dengan niat mendapatkan sesuatu yang bukan menjadi haknya. Memberi sesuatu itu sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta benda, jawatan, perkhidmatan, janji manis dan sebagainya.

Ia diberi kepada orang tertentu yang tidak layak menerimanya. Mungkin orang yang diberi rasuah itu mempunyai gaji dan upah yang tertentu, lebih kaya dan berjawatan dan bukan pula kaum keluarga si pemberi.

Pemberian dengan niat agar suatu masa mendapat balasan dan imbalan yang lebih besar daripada orang tertentu tadi. Sedangkan pada hakikat orang lain yang sepatutnya memiliki hak itu.

Walaupun pada bahasa yang saudari dan kawan-kawan saudari fahami adalah buah tangan yang dibawa oleh seseorang yang bertandang ke rumah kita. Bunyinya macam baik tetapi matlamatnya tidak begitu.

Islam sama sekali tidak akan menghalal cara untuk sampai kepada matlamat. Pemberian yang diterima jangan diukur dengan jumlah atau apa yang diterima tetapi ukurlah dengan neraca keadilan.

Masalahnya bila sudah menerima secara tidak langsung termakan budi, dan timbul pula perasaan: “Dia dah bagi kalau tak tolong lain kali mesti dia tak bagi apa-apa.”

Sebab itu kerjalah dengan jujur, katakan kepada pelanggan lain kali jangan beri apa-apa kalau nak perkhidmatan.

Kalau hendak memberi, berilah kepada yang lebih memerlukan seperti anak-anak yatim, rumah orang tua dan sekolah-sekolah persendirian yang perlukan bantuan dan sumbangan.

Nescaya Allah SWT akan memurahkan lagi rezeki anda.

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Beri label negatif mempersenda boleh cetus permusuhan

Posted by epondok di Februari 28, 2012

Oleh Muhammad bin Abdullah @ Ab Shatar

KEWUJUDAN segelintir manusia bersifat mazmumah seperti cepat berhasad, kuat berdengki, menimbulkan khianat, menyembunyikan kenyataan sebenar, suka melihat individu dicela, dipulau, diperkatakan peribadinya dan dinafikan hak seterusnya tersisih adalah sukar dibendung.

Kehadiran golongan ini sukar dielakkan di dalam komuniti perjawatan, masyarakat, persekitaran tempat kerja dan penempatan manusia. Menangani golongan ini terlalu sukar kerana sifat sedemikian hanya dapat diatasi dengan memiliki kesedaran beragama dan rasa tanggungjawab sebagai mukmin sejati yang mengetahui natijah timbul akibat sesuatu tindakan, perbuatan dan amalan negatif dilakukan seperti maksud hadis Rasulullah SAW.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Janganlah kamu dengki-mendengki, janganlah tipu-menipu, janganlah benci-membenci, janganlah berpaling muka, dan janganlah berjual beli di atas jualan orang lain. Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam dengan orang Islam adalah bersaudara. Mereka tidak boleh menzalimi, tidak boleh membiarkan dalam kehinaan, tidak boleh berbohong dan menghina sesama Islam. Takwa itu ada di sini. Kata Nabi Muhammad SAW menepuk sebanyak tiga kali ke dadanya. Memadai seseorang itu dianggap jahat apabila dia menghina saudaranya. Setiap orang Islam ke atas orang Islam lain haram darah, harta dan kehormatan. (Riwayat Muslim)

Janganlah kamu dengki-mendengki, janganlah tipu-menipu, janganlah benci-membenci, janganlah berpaling muka, dan janganlah berjual beli di atas jualan orang lain. Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. – Riwayat Muslim

Dalam menjalani kehidupan seharian di rumah, pejabat, masjid, kampus dan taman perumahan biasanya wujud pengasingan aktiviti disebabkan beberapa alasan seperti perbezaan fahaman parti, minat, kecenderungan serta tingkat kedudukan dan pangkat seseorang. Jelas, perpecahan umat Islam kerana pergeseran politik, menimbulkan keretakan, perselisihan dan prasangka sejak dulu lagi sudah cukup menjadi barah terhadap perkembangan kemasyarakatan di negara kita.

Selain itu, ada manusia memiliki kedudukan, atau lebih berkuasa dalam masyarakat sering mengeluarkan kenyataan, pendapat dan tanggapan label yang boleh memecahbelahkan perpaduan tanpa memikirkan kesannya. Paling keji, apabila ada sesetengah pihak sanggup mencipta istilah dan memberi label lebih menjurus kepada maksud negatif yang boleh melahirkan pelbagai fahaman, persepsi dan tafsiran bersifat liar dan tidak tepat kepada seseorang yang ditujukan.

Individu yang diberikan label tertentu, atau ungkapan buruk sudah pasti akan menerima hukuman selamanya dan istilah itu akan merantai kehidupannya. Sikap gemar melabel dengan ungkapan tidak baik ini sudah cukup berkesan dalam memecahbelahkan keharmonian masyarakat dan memberikan tekanan kuat kepada golongan yang ditujukan. Justeru, orang berkedudukan atau berpengaruh perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan, pendapat dan tafsiran tertentu kerana apa diperkatakan olehnya akan menjadi pegangan yang diikuti orang ramai.

Larangan amalan, perbuatan, dan perkataan yang mengandungi unsur penghinaan, celaan dan bahan cemuhan dijelaskan dalam ayat al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11).

Dalam persekitaran tempat kerja juga wujud budaya melabel bertujuan menghalang saingan dalam mengharapkan imbuhan, jawatan, anugerah dan pembahagian tugas. Dalam hal ini, jika seseorang pekerja diberikan label tertentu oleh pihak berpengaruh, individu itu biasanya akan tersisih atau dipinggirkan pekerja lain, malah tidak mendapat perhatian dari pihak pengurusan.

Justeru, pembinaan falsafah kemuliaan diri boleh dibina dengan sentiasa memahami maksud ayat al-Quran yang boleh menjadikan seseorang berfungsi dengan baik walau di mana dia berada, bekerja dan bergaul. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa juga. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawatan, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri”. (Surah an-Nisa, ayat 36)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Golongan jin yang beriman

Posted by epondok di Februari 27, 2012

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Menurut al-Biqaie surah yang lalu menerangkan tentang Nabi Nuh a.s. yang merupakan Rasul Allah yang pertama diutus kepada para penentang dan penyembah berhala.

Mereka menolak ajakan dan seruan sedangkan beliau salah seorang anggota masyarakat. Surah yang lalu diakhiri dengan doa Nabi Nuh a.s. ke atas mereka.

Nabi Muhammad SAW rasul yang terakhir dan kaum baginda mempunyai banyak persamaan dengan kaum Nabi Nuh. Ini disebabkan keagungan al-Quran dan ayat ini mengingatkan hal tersebut sambil mengisyaratkan kecaman kepada masyarakat Arab yang tidak menyambut ajakan beliau dan nabi yang menyampaikannya dari suku bangsa bahkan yang terdekat dengan mereka.

Sheikh Muhammad al-Hindi dalam kitabnya pada majlis yang ketujuh berkata: “Aku telah mengumpulkan ajaran yang dibawa oleh agama Islam dengan ajaran yang dibawa oleh penemuan moden, seperti ucapan mereka. Sesungguhnya setiap ilmu, kebaikan dan keburukan yang berlaku dalam hati itu ditimbulkan oleh roh yang mulia dan roh yang hina. Dalam hadis diungkapkan yang bermaksud di dalam hati itu ada dua kemahuan (kehendak). Kemahuan (kehendak) dari malaikat dan kemahuan (kehendak) dari syaitan.

Firman Allah SWT: Katakanlah (hai Muhammad): Telah diwahyukan kepadamu bahawasanya: Telah mendengarkan sekumpulan jin (akan al-Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Quran yang menakjubkan.

Ibnu Kathir berkata: “Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW memberitahu kepada umatnya, bahawa jin mendengar al-Quran, lalu mereka beriman, membenarkannya serta tunduk kepada Allah SWT.”

Menurut Al-Maraghi, Allah SWT mengeluarkan perintah kepada rasul-Nya agar memberitahu kepada para sahabatnya tentang kisah-kisah jin yang diwahyukan kepadanya kerana ia mempunyai banyak faedah dan manfaat kepada manusia, antaranya:

* Sebagai makluman bahawa Nabi SAW itu diutus kepada bangsa manusia juga kepada bangsa jin.

* Sebagai makluman bahawa jin itu mendengar pembicaraan dan memahami bahasa kita.

* Sebagai makluman bahawa jin itu dibebankan dengan tanggungjawab (mukalaf) sama seperti manusia.

* Sebagai makluman bahawa jin yang beriman telah berdakwah kepada jin lain dari kabilahnya agar mengaku beriman.

* Supaya kaum Quraisy mengetahui bahawa jin itu asalnya bersikap derhaka ketika mendengar al-Quran dan apabila mengetahui kemukjizatannya jin itu beriman kepadanya.

Secara zahirnya, ayat ini menunjukkan betapa nabi mengetahui para jin yang mendengar wahyu yang diturunkan kepadanya, tetapi bukan melalui kesaksian mata.

Dalam Ensiklopedia Abad XX karya Muhammad Farid Wajdi dinyatakanmakhluk yang bersifat hawa (udara) atau api, berakal dapat dibentuk dan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan yang berat.

Sayyid Sabiq seorang ulama Mesir mendefinisi jin sebagai roh berakal, berkehendak, mukalaf (dibebani tugas keagamaan oleh Allah seperti manusia) tetapi tidak berbentuk materi, kasar dan mereka mempunyai kemampuan untuk tampil dalam pelbagai bentuk.

Firman Allah SWT: (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seseorangpun dengan Tuhan kami.

Menurut Al-Mawardi, ayat itu ada dua pendapat:

* Segala perkara yang mendapat petunjuk.

* Ke arah makrifatullah.

Ibnu Kathir berkata: “Iaitu jalan yang lurus.”

Hamka berkata: “Inilah kesan pertama yang tinggal dalam diri mereka setelah mendengar al-Quran dibaca Nabi. Mula-mula mereka takjub, merasa hairan tercengang mendengar ayat itu dibaca”.

Ini kerana isi kandungannya tidak ada jalan membantah dan menolak jika hatinya benar-benar bersih.

Firman Allah SWT: Dan bahawasanya Maha Tinggi kebesaran Tuhan kami, dia tidak beristeri dan tidak (pula) beranak.

Sebenarnya perkataan jaddu dalam ayat ini ada sepuluh tafsiran:

* Urusan tuhan kami seperti pendapat al-Suddi.

* Perbuatan tuhan kami seeperti pendapat Ibn Abbas.

* Peringatan tuhan kami seperti pendapat Mujahid.

* Kekayaan tuhan kami seperti pendapat Ikrimah.

* Ujian tuhan kami seperti pendapat al-Hasan.

* Kerajaan tuhan kami seperti pendapat Abu Ubaidah.

* Kemuliaan dan keagungan tuhan kami seperti pendapat Qatadah.

* Kenikmatan tuhan kami atas makhluk-Nya seperti pendapat al-Dahhak.

* Ketinggian tuhan kami seperti pendapat Sa’id bin Jubair.

* Mereka yang prihatin dengan datuk, iaitu bapa kepada ayah. Ini pendapat daripada ucapan jin kerana kejahilan.

Syed Qutub berkata: “Kata-kata al-jad bererti bahagian, habuan, kedudukan dan martabat iaitu kebesaran dan kekuasaan semuanya merupakan makna-makna yang terpancar dari kata-kata itu dan sesuai dengan tempatnya.”

Maksud umum dari makna tersebut adalah mengungkapkan perasaan hati bahawa Allah SWT Yang Maha Tinggi dan Maha Agung yang suci dari mempunyai isteri dan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pemimpin kena berlaku adil tunai tanggungjawab

Posted by epondok di Februari 27, 2012

Oleh Syed Abi Ghufran Syed Ahmad al-Idrus

Corak kepemimpinan Rasulullah, khalifah Ar-Rasyidin patut dijadikan garis panduan

KEPEMIMPINAN dalam Islam mempunyai pengertian amat luas, mencakupi pemimpin dalam institusi keluarga, masyarakat dan juga negara. Semakin luas bidang kepemimpinan, maka semakin beratlah tanggungjawab perlu dilaksanakan.

Hadis daripada Abdullah bin Umar ra bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin dan bertanggungjawab kepada rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap isterinya, seorang isteri adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas harta suaminya, seorang hamba adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas harta milik tuannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam sejarah kepemimpinan Islam, Rasulullah SAW adalah pemimpin umat Islam pertama berjaya membentuk sebuah negara Islam di Madinah. Walaupun penduduk Madinah mempunyai pelbagai suku kaum dan bangsa, namun dengan kebijaksanaan dan keadilan Rasulullah, mereka dapat hidup aman dan damai.

Keadilan Rasulullah SAW sebagai pemimpin terserlah dalam banyak perkara. Ini berdasarkan beberapa riwayat sahih antaranya hadis daripada Sayyidatina Aisyah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Demi diriku yang berada di bawah kekuasaan-Nya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya akan aku potong tangannya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam melaksanakan syariat Islam, Rasulullah SAW tidak pernah membezakan antara sesama manusia, sama ada ahli keluarganya, kaum kerabatnya, sahabatnya termasuk golongan berpengaruh atau sebaliknya.

Baginda sentiasa berlaku adil dalam semua perkara. Corak kepemimpinan Rasulullah SAW ini diikuti khalifah selepasnya seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab dan lain-lain lagi sehinggakan kemakmuran di kota Madinah dapat terus dikekalkan.

Inilah antara bukti nyata yang mana apabila seseorang pemimpin itu bersifat adil, maka rumah tangga, masyarakat dan rakyat seluruhnya akan hidup aman sejahtera manakala negara akan terus makmur dengan mendapat perlindungan daripada Allah SWT.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Abu Sa’id ra, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling dicintai Allah pada hari kiamat dan paling hampir tempat duduknya ialah ketua (pemimpin) yang adil, dan orang yang paling dibenci oleh Allah pada hari kiamat dan baginya azab yang paling pedih ialah ketua (pemimpin) yang zalim.” (Riwayat Imam Ahmad)

Seseorang pemimpin itu hanya akan dianggap sebagai pemimpin yang adil apabila ia dapat melaksanakan amanah dipertanggungjawabkan kepadanya dengan sempurna. Dua amanah utama yang harus dipikul seorang pemimpin ialah melaksanakan syariat Allah SWT dan menggerakkan serta memimpin ke arah kehidupan yang diredai Allah SWT.

Pemimpin yang adil hendaklah sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam menjalankan amanah yang diberikan kepadanya. Ini kerana al-Quran mengandungi peraturan Allah SWT paling lengkap berbanding peraturan dicipta makhluk.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 49: “Dan hendaklah menjalankan hukum antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu daripada sesuatu hukum yang diturunkan oleh Allah kepadamu.”

Sememangnya amanah ini ada adalah sesuatu yang amat berat untuk dilaksanakan. Cabaran yang akan dihadapi juga amat besar. Ini kerana tidak semua manusia memahami hikmah dan kebaikan di sebalik pelaksanaan syariat Allah SWT.

Islam meletakkan asas bahawa jawatan sebagai pemimpin tidak diberikan kepada orang yang tidak mempunyai kelayakan sebagai pemimpin. Apatah lagi sekiranya ia meminta atau berusaha mendapatkan jawatan tersebut dengan tipu helah.

Sikap seperti ini hanya akan menjadikan jawatan pemimpin itu sebagai bahan rebutan yang akhirnya akan menimbulkan aktiviti tidak sihat seperti rasuah, fitnah, penyelewengan dan sebagainya. Negara pula akan menjadi kacau bilau sekiranya orang seperti ini dilantik menjadi pemimpin kerana keinginannya hanyalah untuk kepentingan dirinya sendiri.

Justeru, kemakmuran atau kemunduran sesebuah negara atau organisasi adalah bergantung kepada baik atau buruknya pentadbiran pemimpin itu. Apabila pemimpin itu melaksanakan amanah kepemimpinan dengan adil maka akan makmurlah negara dan organisasi, tetapi jika gagal melaksanakan amanah diberikan maka akan roboh dan hancurlah negara dan organisasi itu.

Apa yang berlaku dalam dunia hari ini, ada kalangan pemimpin yang tidak berlaku adil menunaikan amanah yang diberikan kepadanya, bahkan mengkhianati dengan mencipta peraturan tidak berlandaskan kepada syariat-Nya.

Akibatnya pelbagai kejahatan dan jenayah yang berlaku tidak dapat diselesaikan. Justeru, kemakmuran yang diharapkan juga tidak dapat dicapai.

Keadaan sebegini akan mengakibatkan kemusnahan lebih besar di kalangan umat manusia keseluruhannya. Justeru, marilah kita berdoa supaya Allah SWT mengurniakan pemimpin yang benar-benar melaksanakan tuntutan Islam, amanah dan bertanggungjawab.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jiwa tenang masih mampu tersenyum berdepan ujian

Posted by epondok di Februari 26, 2012

Oleh Amran Zakaria

Golongan tewas kuat memberontak, patah semangat

ALLAH mencipta jiwa manusia dengan segenap tabiat dan perangainya dan mengilhamkan kepada manusia potensi untuk bertakwa serta potensi berbuat dosa. Sesiapa yang memilih ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, maka dia menyucikan jiwanya dan membersihkannya daripada akhlak yang rendah dan tercela.

Seorang yang sedar bahawa dirinya hamba pasti akan pasrah dan bersedia menerima apa saja ujian yang diberikan Tuhan. Menerima hakikat itu, jiwa kita menjadi lebih tenang berbanding dengan hamba yang ‘memberontak’ atas apa yang Allah takdirkan.

Allah berfirman bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum datang kepadamu (ujian) seperti halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al-Baqarah, ayat 214).

Pepatah Melayu sering menyebut ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’ sebagai panduan dan peringatan buat mereka yang dilanda tekanan perasaan. Maksudnya, usah diikutkan hati dan perasaan kerana kesannya amat buruk.

Peringatan ini ada hikmahnya ketika hamba Allah berdepan dengan pelbagai cabaran yang menghimpit jiwa agar tidak mudah patah semangat dan berserah kepada situasi semasa. Mereka ini adalah golongan yang tewas dalam kehidupannya.

Sebenarnya tidak salah untuk kita berusaha menyelesaikan masalah yang menimpa, bahkan kita dituntut berbuat demikian. Namun, jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan juga, hendaklah kita berprasangka baik kepada Allah dan meredainya.
Allah berfirman yang bermaksud: “Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah , ayat 216).

Seorang ulama sufi terkenal, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi kata-katanya: “Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Pemikir Islam terkemuka, Imam Ghazali menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah ‘memberontak’ kepada Tuhan apabila dia menukar kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.

Keadaan ini berbeza dengan muqarrabin, yakni orang yang hampir dengan Allah yang mana mereka sedia menerima apa saja ujian yang Allah ke atas mereka. Penerimaan ini atas asas ketaatan dan menganggap ujian itu didatangkan untuk meningkatkan darjat keimanan mereka.

Hikmah ialah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai paling besar dengan satu ujian. Rasulullah SAW memberi perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilangkan karatnya dan tinggallah yang baik saja.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah tanpa dia membawa dosa sedikit pun.” (Riwayat Imam Tirmizi)

Sering muqarrabin mengulas mengenai hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau daripada kedua-duanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Dalam soal berdepan dengan cabaran hidup, hendaklah kita membersihkan jiwa bertujuan mengelakkan kekotoran yang akan mencemarkannya. Dunia ialah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.

Ibnu Taimiyah dalam kitabnya Amradhul Qulub wa Syifaa’uha mengatakan: “Penyakit hati ialah jenis kerosakan yang menimpanya dan menjadi penyebab kepada kerosakan pemikiran dan kehendak. Kerosakan pemikiran ini terjadi kerana adanya kesamaran sehingga tidak berupaya seseorang itu untuk melihat kebenaran atau dapat melihat kebenaran tetapi berlainan dengan apa yang seharusnya ada, sedangkan kehendaknya (penyakit hati) itu membenci kebenaran dan menyukai kebatilan.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Sungguh berbahagia orang yang menyucikan jiwanya dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” (Surah Asy Syams, ayat 9).

Ketika berdepan dengan masalah keresahan jiwa barulah kita sedar betapa nikmatnya manusia yang memiliki jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang akan sentiasa bahagia dalam mengharungi pelbagai cabaran, termasuk yang tidak berjangka. Malah, jiwa yang tenang mampu tersenyum ketika menghadapi pelbagai ujian. Mereka tidak mudah berputus asa, mengeluh dan gelisah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan nikmat apapun yang ada pada kalian maka semuanya berasal daripada Allah. Kemudian apabila kalian tertimpa musibah, maka kepada-Nyah kalian memulangkan urusan.” (Surah An-Nahl, 53)

Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan dan hilang arah. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu. Jiwa yang tidak tenteram sebenarnya mempunyai sebab-musabab yang tersendiri. Antara sebab utamanya ialah kerana dosa silam yang pernah dilakukan dan menjelma kembali dalam kehidupan sekarang. Dosa itu meracuni hati dan perasaan yang kian menampakkan kegelisahan

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sumber air patut dijaga elak tercemar

Posted by epondok di Februari 26, 2012

Oleh Lokman Ismail

BANYAK ayat al-Quran memperkatakan mengenai air sebagai anugerah Allah SWT yang besar manfaatnya kepada kehidupan manusia dan seluruh alam. Tanpa air tidak akan wujud kehidupan di bumi ini.

Firman Allah bermaksud: “Dan Dia yang menurunkan air hujan dari langit (awan), untukmu, sebahagiannya untuk minuman dan sebahagian untuk (menyuburkan) pokok-pokok yang kamu gunakan untuk makanan ternakanmu.” (Surah an-Nahl, ayat 10).

Saintis angkasa lepas apabila menemui kewujudan planet di cakerawala, antara perkara penting akan dikaji ialah sama ada planet itu memiliki sumber air atau tidak sebagai ‘rumusan’ awal menentukan peluang untuk manusia tinggal di planet itu pada masa depan.

Bumi sesuai untuk kehidupan manusia kerana ‘kaya’ sumber air. Kira-kira dua pertiga daripada permukaan bumi diliputi air.

Firman Allah yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi ini terhampar, langit sebagai atap untukmu, dan Dia menurunkan air hujan dari langit, lalu mengeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untukmu.” (Surah al-Baqarah, ayat 22).

Malah, jasad manusia itu sendiri adalah air yang mana air terdiri kira-kira 70 peratus jisim manusia. Ini bertepatan dengan kejadian manusia pun berasal daripada air mani.

Dengan kata lain, amat penting manusia mensyukuri sumber air. Pengurusan atau penglestarian sumber air amat penting dilakukan secara bijaksana untuk mengelak berdepan dengan masalah berkaitan dengan air.

Sikap manusia menyebabkan berlaku bencana berkaitan air. Pada masa lain pula berlaku bencana banjir, khususnya masalah banjir kilat. Kejadian itu memang aturan alam yang berlaku mengikut musim, tetapi sebenarnya sedikit sebanyak berpunca sikap manusia sendiri.

Perbuatan itu dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat 41 bermaksud: “Kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia, kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali.”

Anugerah alam yang dikurniakan oleh Allah SWT perlu dijaga dan dihargai. Jika dirosakkan, kesannya ditanggung oleh manusia sendiri. Sesungguhnya Allah SWT tidak mengalami kerugian apa-apa. Manusia sendiri akan mengalami kesan buruknya.

Sungai yang bersih dan mengalir lancar mewujudkan pemandangan yang cantik.

Keadaan ini disebut oleh Allah SWT sebagai tempat yang damai disediakan di syurga.

“Dan kepada orang-orang beriman dan berbuat kebaikan, sampaikan khabar gembira, bahawa mereka akan mendapat syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai.” (Surah al-Baqarah, ayat 25).

Kebanyakan sungai yang tercemar mengalir melalui bandar dan kawasan perindustrian bertukar sebagai longkang mengalirkan segala sisa buangan dan sampah sarap. Ia bukan saja hilang daya tarikan, tetapi juga menjadi punca tempat pembiakan nyamuk, bau tidak menyenangkan dan penyakit bawaan air.

Pencemaran sungai mengurangkan bekalan air bersih untuk kegunaan seharian. Ia tidak selamat untuk digunakan sebagai air minum, membasuh, mandi dan sebagainya. Proses pembersihan air di loji juga sukar dan membabitkan perbelanjaan yang lebih tinggi.

Tanda-tanda balasan Allah terhadap sikap pengabaian penjagaan sungai sering berlaku. Masalah banjir kilat, banjir lumpur, kurang bekalan air dan sebagainya mendatangkan kesusahan serta kerugian harta benda.

Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjaga anugerah Allah SWT. Bencana lebih besar akan berlaku jika manusia masih tidak mengendahkan amaran kecil. Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan dosa-dosa jika manusia sedar, bertaubat dan kembali mengamalkan perkara yang baik.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Al-Quran sebagai panduan hidup, sumber rujukan utama

Posted by epondok di Februari 25, 2012

Oleh Hizbur Rahman

Pembaca, penghafaz patut selami maksud ayat suci

Al-QURAN ialah Kitabullah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan adalah ‘senjata’ paling mujarab, ubat yang paling mustajab dalam menyelesaikan segala permasalahan kehidupan. Di dalamnya penuh dengan nur hidayah, rahmat dan zikir-zikir serta panduan.

Sebagai kitab wahyu yang dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab yang lain, maka bagi mengekalkannya dalam kehidupan kita, ia perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9 bermaksud, “Sesungguhnya Kamilah (Allah SWT) yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan, Rasulullah SAW bersabda:

“Semaikan perasaan takwa kepada Allah SWT kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik. Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat.”

Kita dapati sahabat Rasulullah seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Kaab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dulu juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak.

Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu Maghrib secara beramai-ramai. Ini membuktikan mereka sangat mengambil berat mengenai pembacaan dan pendidikan al-Quran.

Banyak hadis yang menjelaskan keistimewaan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadis qudsi yang mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepada-ku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makhluk-Nya.”

Dalam satu hadis lain yang bermaksud:

“Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala.”

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tetapi `alif’ satu huruf dan `lam’ satu huruf dan `mim’ satu huruf. ” (Riwayat Tirmizi)

Mereka membaca al-Quran juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT seperti yang dikatakan oleh Amr bin Ash:

“Barang siapa membaca al-Quran maka mereka akan dinaikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka saja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti.

Hadith Rasulullah SAW:

“Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya”. (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih daripada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin.

Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.

Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran.

Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan tanpa memahami erti dan pengajaran darinya. Lebih-lebih lagi amalan menggantung ayat al-Quran tertentu, kononnya sebagai pelaris perniagaan.

Justeru, marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini.

Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa tertentu saja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu saja.

Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat Maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran.

Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran sama ada di surau dan masjid atau di kelas yang disediakan secara berguru. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya.

Mengakhiri artikel pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 45 bermaksud: “Dan apabila kamu membaca al-Quran, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Petugas kebajikan tergolong umat terbaik di kalangan manusia

Posted by epondok di Februari 25, 2012

Oleh Ustaz Zaman

DALAM usaha menuju keredaan Allah SWT, kita perlukan resipi takwa yang sempurna bagi memastikan kejayaan di dunia dan akhirat. Inilah satu-satunya jalan yang ditelusuri para auliya’ dan salafus salih yang sentiasa mendapat petunjuk dari Allah SWT. Firman Allah SWt bermaksud: “Dan mereka yang sentiasa mencari petunjuk akan bertambah hidayah mereka dan mendapat kurniaan takwa yang sebenar.” – (Surah Muhammad ayat 17)

Mereka sampai di kemuncak keimanan kepada Allah SWT selepas menunaikan hak Allah SWT dan Rasulnya dengan menunaikan perintah dan larangan Allah SWT. Mereka sentiasa beristiqamah dengan amalan kebajikan dan teguh memelihara prinsip keimanan yang sebenar. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan mereka yang berpegang teguh dengan al-Kitab, menunaikan solat. Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali akan mensia-siakan mereka yang melakukan kebaikan.” – (Surah al-A’raf ayat 170)

Kesan petunjuk ini juga akan dapat dilihat melalui sifat kasihan belas sesama makhluk tanpa batasan. Mereka meluangkan masa, tenaga dan rela mengorbankan harta pada jalan kebajikan sepanjang perjalanan hidup mereka.

Mereka konsisten dalam amalan ini dalam apa juga keadaan kerana menyedari bahawa semuanya yang dinafkahkan sama ada masa atau tenaga akan diganti oleh Allah SWT dengan pelbagai cara kerana janji Allah itu adalah satu kepastian yang mutlak.

Penulis berasa terpanggil untuk merakamkan sesuatu apabila melihat doktor di kawasan pedalaman tanah air tidak pernah jemu menghulurkan bantuan dengan meredah hutan dan paya bagi menawarkan perkhidmatan kepada golongan yang daif.

Prinsip dalam kerjaya mereka sebagai pembantu kepada golongan lemah sentiasa dijaga tanpa mengutamakan soal pembayaran dan ganjaran duniawi. Sabda Baginda SAW kepada salah seorang isterinya Asma’: “Wahai Asma’ bantulah mereka yang memerlukan dan jangan berkira-kira, kelak nanti Allah juga akan berkira-kira denganmu.” (Muttafaqun A’laih)

Kita percaya bahawa semua doktor dan pengamal perubatan yang berada di luar sana mempunyai prinsip yang sama dan sentiasa mendapat apa yang dijanjikan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Apa yang kamu nafkahkan akan digantikan oleh Allah SWT dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki.” – (Surah as-Saba’ ayat 39)

Segala kekurangan akan ditampung oleh Allah SWT sebagai galang ganti kepada setiap kebajikan yang dilakukan. Firman Allah SWT: “Apa yang dikorbankan untuk kebaikan akan dicukupkan Allah untuk kamu sebagai ganjaran dan Allah tidak sekali-kali akan menzalimi kamu.” – (Surah al-Baqarah ayat 272)

Kerjaya mereka ini, dianggap mulia di sisi Allah SWT kerana berusaha menghilangkan kedukaan ahli keluarga pesakit secara tidak langsung dan sentiasa menunggu sebarang keputusan dari seorang insan yang bernama doktor.

Perkhidmatan yang diberikan doktor ini mendapat khabar gembira daripada Baginda SAW dalam sabdanya bermaksud:

“Mereka yang menghilangkan kedukaan orang lain akan mendapat mandat dan kelebihan dari Allah SWT pada hari kiamat yang mana mereka bebas untuk memilih mana-mana teman di syurga nanti.” – (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Segala kebajikan itu adalah hasil naluri suci yang tercetus daripada perasaan kasihan belas sesama makhluk. Maka lahirlah insan yang sentiasa memikirkan bagaimana untuk berbakti sesama manusia. Merekalah orang yang dijanjikan rahmat oleh Allah SWT seperti sabda Baginda SAW bermaksud: “Mereka yang kasih sesama makhluk, akan mendapat kasih sayang dari Allah SWT.” (Riwayat Abu Daud)

Sebenarnya kerjaya bidang perubatan adalah satu daripada seribu contoh kebajikan supaya kita memahami bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan demi menuntut keredaan Khaliq (Pencipta). Mereka sentiasa mendapat pujian dari Allah dan sentiasa mendapat keampunan dari Allah SWT. Firman Allah SWT: “Dan mereka yang beriman dan melakukan kebaikan, bagi mereka keampunan dari Tuhan serta ganjaran yang besar.” – (Surah al-Fatir ayat 7).

Allah SWT menggandakan lagi ganjaran sebagai tanda rahmat dan janji yang termaktub di dalam Al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi hambanya yang mana satu kebajikan akan digandakan dengan ganjaran yang besar di sisi-Nya.” – (Surah an-Nisa’ ayat 40).

Demikianlah di antara sifat orang muttaqin yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT dalam semua kerjaya yang dilakukan. Semua kebajikan akan dituai hasilnya oleh empunya diri pada hari kiamat nanti berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kebajikan akan dimanfaatkan oleh dirinya sendiri dan mereka yang melakukan keburukan juga akan dirasai oleh dirinya sendiri dan Allah tidak pernah menzalimi hambanya.” – (Surah Fussilat ayat 46)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kehebatan Rasulullah diperakui orientalis Barat

Posted by epondok di Februari 24, 2012

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Pokok dan binatang cintai Nabi Muhammad seperti digambarkan dalam sirah

ANTARA tanda penghormatan dan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW ialah melalui membaca selawat. Semakin banyak selawat dilafaz semakin besar fadilat dan ganjaran pahalanya di sisi Allah SWT. Kita seharusnya selalu membaca selawat dan jangan menunggu ketika tibanya musim Maulidur Rasul barulah hendak mempergiatkan bacaan itu.

Sebenarnya, bukan manusia mukmin saja yang rindu dan cintakan Rasulullah SAW, kerana jika rajin menyusuri sirah Baginda akan terpahat satu kisah yang sebenarnya patut kita semat di dalam hati sebagai penghayatan.

Diceritakan oleh Jabir bin Abdullah, katanya, “Dulu, masjid menggunakan atap dari pelepah kurma. Apabila berkhutbah, Baginda Rasulullah SAW berdiri berdekatan salah satu pelepah itu. Apabila dibina sebuah mimbar untuknya, Baginda selalu berdiri di atasnya. Kami mendengar tangisan dari pelepah itu seperti unta bunting, sehingga Rasulullah SAW datang mendekatinya lalu mengelus pelepah itu, kemudian pelepah itu terdiam.” (Riwayat Bukhari)

Baginda Rasulullah SAW berpindah ke mimbar yang baru dibina itu adalah hasil pandangan sahabat, memandang semakin ramainya jemaah. Jadi, berdasarkan kisah itu, dapat kita tafsirkan betapa Rasulullah SAW menjadi manusia yang sentiasa dirindu seluruh makhluk Allah kerana Baginda pembawa rahmat.

Kejadian yang dapat disaksikan oleh sahabat Baginda membuktikan kenabian Rasulullah SAW dan hal itu memperkukuhkan iman dan takwa dalam kalangan mereka. Aisyah pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah berada di tengah-tengah sekelompok kaum Muhajirin dan Ansar. Lalu datang seekor unta dan bersujud kepada Baginda, maka berkatalah sahabat, ‘Wahai Rasulullah SAW, binatang dan pohon bersujud kepadamu, maka kami adalah lebih sepatutnya bersujud kepadamu.’

Lantas Rasulullah SAW segera menjawab, “Sembahlah Tuhanmu dan muliakanlah saudaramu. Sekiranya saya menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain, nescaya saya menyuruh wanita bersujud kepada suaminya. Dan sekiranya saya menyuruhnya (wanita) berpindah dari gunung kuning ke gunung hitam dan dari gunung hitam ke gunung putih, maka tidaklah patut baginya untuk melaksanakannya.” (Riwayat Ahmad).

Di sini, ada beberapa aspek yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita semua. Satu, kita tidak boleh menyembah atau sujud selain daripada Allah SWT. Keduanya ialah Rasulullah SAW ada juga menyelitkan unsur pengajaran kepada kaum wanita supaya taat dan patuh kepada suami. Dua aspek itu digabung dan inilah kelebihan Rasulullah SAW apabila mendidik sahabat.

Selain itu, Baginda Rasulullah SAW melalui dialognya dengan sahabat ada menekankan perkara habbluminnas (hubungan semasa insan). Baginda meminta kita agar bersikap memuliakan saudara seagama kita. Tetapi seandainya kita secara jujur meneropong situasi semasa yang terjadi dalam kalangan mukmin, maka bertanyalah kita, apakah suruhan Baginda itu kita patuhi ?

Yang banyak berlaku ialah saling menghina, dengki-mendengki, fitnah-memfitnah dan seribu satu macam perangai mazmumah (keji) yang dilakukan. Sepatutnya kita sentiasa ingat akan apa yang Allah pesan, “Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” (Surah al-Hasyr ayat 7)

Sebenarnya, keunggulan Rasulullah SAW terus menerus mencatat reputasi terhebat dalam sejarah peradaban manusia. Jika sebelum ini, kita hayati sendiri bagaimana haiwan dan pokok pun hormat dan cintakan Baginda dan hal seperti itu adalah mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Baginda sebagai bukti kerasulannya. Malah dalam kalangan bukan Islam di dunia Barat pun turut memperakui kehebatan Baginda.

Misalnya, tokoh legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonaparte. Dia walaupun bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata, “Saya tabik kepada manusia agung ini. Saya tabik hormat kerana keagungan akal dan hatinya.”

Tentu sekali pandangan peribadi Napoleon itu jarang kita temui, kerana laporan benar dan jujur mengenai Rasulullah SAW sentiasa saja ‘terlipat dan tersembunyi’. Malah jika boleh, luahan jujur orang-rang Barat yang bukan Islam mengenai kehebatan Nabi kita akan cuba disorok sedalam-dalam agar tidak kelihatan.

Baiklah, kita ambil satu lagi pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam. Katanya, “Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, Muhammad tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia membaca ‘Buku Alam’ dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia yakin ada kewujudan Illahi.”

Begitulah panjang lebarnya cetusan tokoh Barat itu dalam memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah SAW. Tetapi mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama yang sempit dan tidak bertamadun.

Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi SAW di puncak tinta kajian mereka.

Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi terkemuka di Barat meletakkan nama Nabi kita pada kedudukan teratas dalam kalangan 100 orang tokoh dikagumi.

Inilah semua menjadi bahan bukti yang mempamerkan kepada kita Rasulullah SAW sejak zaman hayat Baginda begitu dimuliakan, dihormati, dirindu dan dicintai sahabat, kaum muslim malah segala makhluk di muka bumi ini turut merasainya.

Oleh demikian, marilah kita mempertajamkan rasa cinta terhadap Baginda bukan hanya sekadar berselawat saja, tetapi mengikuti setiap apa sunnah Baginda agar kehidupan dunia menjadi sejahtera dan akhirat dilimpahi bahagia

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »