Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Januari 2012

‘Suara dari langit’ terjawab

Posted by epondok di Januari 31, 2012

Norjimii Latiff
Langit

SHAH ALAM – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menafikan dengkuran kuat diselang seli bunyi nyaring frekuensi radio di Kota Semarahan pada 11 an 12 Januari lalu berpunca daripada High Frequancy Active Auroral Research Programme(HAARP) yang dijalankan di Amerika Syarikat.

Sebaliknya bunyi berkenaan datang daripada sebuah kilang kelapa sawit di Kampung Endap.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Fadillah Yusof berkata, kilang berkenaan telah membuat pengujian terhadap tekanan dandang secara automatik pada 11 dan 12 Januari 2012 sehingga menyebabkan kewujudan bunyi seolah-olah orang sedang menjerit dan mengejutkan penduduk kampung di sekitarnya.

“Ekoran itu, Mosti telah menubuhkan satu jawatankuasa Siasatan Ngauman Langit (Sky Roar) dikendalikan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM). Siasatan mendapati aduan beberapa penduduk berkaitan bunyi yang tidak diketahui bukan seperti yang disangka.

“Ia juga tiada kaitan dengan gempa bumi di Sumatra dan High Frequancy Active Auroral Research Programme(HAARP) yang dijalankan di Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dalam laporan muka depan Sinar Harian 21 Januari lalu, mengatakan bunyi berkenaan berkait dengan HAARP, iaitu program penyelidikan ionosfera dan dinaungi sepenuhnya oleh US Air Force, US Navy, University of Alaska dan Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA).

DARPA adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk membina pelbagai senjata berteknologi tinggi untuk kegunaan ketenteraan Amerika Syarikat.

HAARP berselindung dengan aktiviti penyelidikan saintifik yang kononnya menyelidik lapisan ionosfera bagi meningkatkan lagi penggunaan sistem komunikasi dan pemantauan cuaca.

Tapak penyelidikan HAARP yang berada di Gakona, Alaska menempatkan peralatan berteknologi tinggi iaitu Ionospheric Research Instrument (IRI).

Fadillah berkata, pihaknya telah melakukan beberapa siasatan dengan menemu bual saksi-saksi kejadian, orang kampung dan membuat siasatan mengenainya serta mendapatkan khidmat pakar untuk menganalisis bunyi itu.

Bagi membuktikan kebenaran ini, katanya, Penolong Pengurus kilang, Yusmizan Desa mengakui kilangnya ada melakukan penentu kuran secara berkala yang melibatkan perlepasan wap secara besar-besaran dan menghasilkan tekanan sehingga muncul ‘Nyauman Langit’.

“Yusmizan memberitahu pihak kami tujuan perlepasan tekanan dandang dilakukan semasa aktiviti pemprosesan kelapa sawit. Kami diberi penjelasan melalui corong lepasan wap ke arah kampung itu dan mereka juga melakukan demonstrasi untuk membuktikan perkara ini.

“Pihak kami dan juga saksi-saksi, terutama penduduk kampung telah berpuas hati dengan demonstrasi itu. Begitu pun, kami masih menjalankan analisis secara saintifik untuk mengkaji frekuensi itu,” katanya

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

4 keadaan menyebabkan berlaku murtad

Posted by epondok di Januari 31, 2012

Oleh Ibrahim Abdullah

MURTAD atau juga disebut sebagai kekafiran kerana beberapa sebab. Boleh jadi kerana mengingkari sesuatu yang sudah diketahui secara pasti sebagai bahagian daripada hukum agama atau dengan melakukan perbuatan kekafiran, ucapan kekafiran atau kerana tidak peduli dan ingkar dengan agama Allah.

Ada orang menjadi batal imannya kerana keyakinan bahawa Allah mempunyai anak, isteri atau meyakini bahawa Allah memiliki sekutu dalam mentadbir dan mengurus alam semesta ini, meyakini ada makhluk yang memiliki nama, sifat atau perbuatan seperti Allah. Ini juga termasuk meyakini ada sesuatu makhluk yang berhak disembah atau meyakini bahawa Allah memiliki sekutu dalam rububiyyah. Dengan keyakinan begini, seseorang itu terjerumus dalam kancah kekafiran besar yang mengeluarkan dirinya dari Islam atau juga disebut murtad.
Seseorang itu juga boleh jadi murtad kerana perbuatan bersujud kepada berhala, mengamalkan ilmu sihir atau melakukan berbagai bentuk kesyirikan seperti berdoa kepada selain Allah, menyembelih haiwan untuk selain Allah, bernazar untuk selain Allah, atau bertawaf di selain Kaabah dalam mendekatkan diri kepada Allah. Jadi orang boleh menjadi murtad kerana perbuatan atau menerusi ucapan.
Seseorang juga boleh jadi murtad gara-gara ucapan mencaci Allah, mencaci Rasul-Nya, mencaci Islam, atau mengolok-olokkan Allah, kitab-Nya atau agama-Nya.

Allah berfirman mengenai kelompok orang dalam perang Tabuk yang mengejek Nabi dan sahabat yang bermaksud:
“Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok? Tidak usah kamu meminta maaf kerana kamu kafir sesudah beriman, jika Kami memaafkan segolongan kamu (kerana mereka bertaubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang yang selalu berbuat dosa.” (Surah at-Taubah, ayat 65-66).

Dalam ayat di atas Allah menetapkan bahawa mereka kafir setelah dulunya beriman. Ini menunjukkan bahawa kekafiran itu kerana perbuatan dan keyakinan seperti dalam ayat di atas. Orang berkenaan kafir gara-gara ucapan mereka.
Manusia juga boleh murtad kerana berpaling terhadap agama Allah dan meninggalkan atau menolak agama Allah, seperti tidak mahu mempelajari agama dan tidak mahu menyembah Allah. Orang ini murtad disebabkan sikap berpaling tadahnya.

Walhasil murtad itu boleh jadi kerana gara-gara pengingkaran, perbuatan, ucapan atau berpaling dan tidak peduli.

Orang yang dipaksakan untuk mengucapkan ucapan kekafiran atau perbuatan kekafiran itu dimaafkan jika paksaannya yang menyebabkan tidak ada pilihan lain.

Kekafiran itu terbahagi dalam empat keadaan iaitu;

Melakukan perbuatan kekafiran secara serius.
Melakukan perbuatan kekafiran secara main-main.
Melakukan perbuatan kekafiran dalam keadaan ketakutan.
Melakukan perbuatan kekafiran dalam keadaan dipaksa, namun hatinya berasa mantap dengan kekafiran

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Iri hati kerana ilmu dibenarkan Islam

Posted by epondok di Januari 30, 2012

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu seseorang yang telah dikurniakan Allah SWT harta lalu dibelanjakan hartanya itu ke jalan yang benar (yang diredai oleh Allah SWT) dan orang yang dikurniakan oleh Allah SWT ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan hadis) serta diajarkannya pula kepada orang lain.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki dan iri hati melainkan kepada perkara yang boleh mendatangkan kebaikan saja.
Islam tidak membenarkan orang mengeluarkan hukum tanpa terlebih dulu merujuk kepada al-Quran dan hadis, sebaliknya melayani tekanan hawa nafsu dan kepentingan diri sendiri semata-mata.
Islam melarang umatnya berperasaan cemburu buta dan iri hati terhadap sesama manusia, melainkan dalam dua perkara iaitu iri hati terhadap orang yang beramal dengan ilmu yang dipelajarinya serta mengajarkannya kepada orang lain serta mereka yang dikurniakan harta dan membelanjakan di jalan diredai Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Tidak berkumpul dalam hati seorang manusia antara iman dan dengki.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi)

Hasad dengki itu seumpama api yang akan memakan segala kebaikan dilakukan oleh seseorang seperti api membakar kayu.

Adanya perasaan dengki menunjukkan iman seseorang itu belum sempurna, malah dengki adalah sifat yang diwarisi daripada syaitan. Kerana dengkilah maka syaitan menggoda Adam hingga terkeluar dari syurga dan kerana dengki juga maka terjadinya pembunuhan di antara Qabil dan Habil.
Seorang pujangga Arab pernah berkata: “Orang hasad tidak akan senang hidupnya, orang bakhil tidak akan berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan, orang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang tidak berakhlak.”

Dengki yang diharuskan Islam hanyalah dengki yang menjadikan manusia berebut-rebut melakukan kebaikan seperti menuntut ilmu atau melakukan ibadat dan seumpamanya.

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu berhasad dengki antara satu dengan lain, dan janganlah kamu (sebagai pembeli) pura-pura menurunkan harga yang tinggi dengan tujuan untuk memperdaya orang lain supaya membelinya dengan harga lebih tinggi dan janganlah kamu membenci atau bermusuhan dan janganlah kamu putuskan hubungan mesra dan memulaukan sesama sendiri dan janganlah kamu (sebagai penjual) memotong jalan penjual yang lain; (janganlah kamu melakukan perkara keji itu) tetapi hendaklah kamu menjadi hamba Allah SWT yang bersaudara.” (Hadis riwayat Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ingat azab kubur buat persiapan hadapi kematian

Posted by epondok di Januari 29, 2012

Oleh Amru Alhaz Adnan

Rawat hati yang keras dengan menimba ilmu, baca al-Quran, berzikir dan utamakan sifat rendah diri

SETIAP detik pasti ada orang yang meninggal dunia dan pada setiap detik juga pasti ada bayi baru dilahirkan. Begitulah rutin kehidupan dunia ini. Yang hidup akan mati, yang pergi akan digantikan dengan yang baru.
Kita di dunia umpama seorang musafir yang singgah sebentar berteduh di bawah sebatang pokok. Kemudian kita akan meneruskan perjalanan ke alam kubur atau alam barzakh yang menurut kamus Mukhtar al-Shahhah oleh Abu Bakr al-Razi, barzakh bermaksud dinding pembatas antara dua benda.
Berdasarkan (iktikad) Ahli Sunnah wa al-Jama’ah, setiap manusia akan berada dalam satu alam dinamakan alam barzakh, terletak antara alam dunia dan alam akhirat.

Hal ini bersesuaian firman Allah SWT yang bermaksud: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – supaya aku mengerjakan amalan salih dalam perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan kau akan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata dia saja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka alam barzakh (dinding) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat).” (Surah Al-Mukminun, ayat 99-100)

Seseorang yang sudah mati dan berada di alam barzakh dapat menjangkakan sama ada dia akan mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak.

Perkara ini disebut dalam riwayat Imam al-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas daripada seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat).”
Seorang penyair Arab pernah mendendangkan syairnya: “Aku tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkap membisu. Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur adalah malam pertama. Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam itu .Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba.”

Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang manusia akan berakhir di dalam kubur. Al-Rifa’i berkata: “Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan: Dulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”

Umar bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa sahabatnya dalam satu majlis: “Wahai fulan! Engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir mengenai kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.”

Pada suatu ketika pula, Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya. Apabila jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang bersurai kecuali beliau dan beberapa sahabatnya yang masih tidak berganjak dari kubur itu.

Tidak lama kemudian sahabatnya bertanya: “Wahai Amirul Mukminin, kau adalah wali kepada jenazah ini, mengapa engkau perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu. Umar pun berkata: Ya, sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang. Mahukah kalian tahu apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Amirul Mukminin.

Kubur ini memanggilku dan berkata: Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan kepada jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya.

Kubur berkata: Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Sudah tentu jawabku. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.

Setelah mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan berkata: Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku, bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku. Dia terus menangis dan terus menangis, lalu pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau meninggal dunia.”

Antara syarat kemenangan dan kejayaan seorang hamba ialah mempersiapkan diri menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Tetapi ramai kalangan kita mengabaikan peringatan dan ancaman berbahaya ini.

Jika pun kita mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa. Tahukah saudaraku, mengapa ini berlaku. Hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap dari cahaya.

Jalan Allah tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki, tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan hati. Jika kita merasakan hati keras dan beku, rawatilah dengan penjelasan dahsyatnya kubur supaya ia hidup kembali.

Untuk merawat hati yang keras, memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir; sentiasa merendah diri dan menangis di hadapan Allah; menghadiri majlis ilmu; mengingati mati dan menziarahi kubur.

Jelaslah kepada kita bahawa kematian itu pasti, ia tidak tertangguh walaupun sedetik. Disebabkan kedatangannya adalah satu misteri maka manusia hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersedia

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Bina budaya keluarga cintakan al-Quran

Posted by epondok di Januari 28, 2012

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

ANTARA ciri mukmin yang beruntung di dunia dan di akhirat ialah orang mempelajari al-Quran dan aktif membacanya. Kadar keberuntungannya akan berlimpah kali ganda seandainya si penuntut dan pembaca al-Quran bergiat cergas menggali inti pati maknanya serta mengamalkannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis riwayat Bukhari, Abdu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Jadi, berdasarkan apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW itu, kita sewajarnya mentransformasikan hati supaya sentiasa rindu untuk mempelajari serta membacanya.
Jika selama ini kita sudah terbiasa dengan amalan wajib membaca akhbar setiap pagi, apa salahnya kita jadikan membaca al-Quran pula sebagai amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Bina satu slogan peribadi, ‘Tak Sempurna Hari Tanpa Membaca Al-Quran’. Tampal dalam rumah supaya kita dan seluruh ahli keluarga dapat menatapnya setiap masa.

Keuntungan seseorang pembaca al-Quran ketika di akhirat kerana dijamin akan diberikan syafaat ketika kita sangat-sangat memerlukan pertolongan ketika berhimpun di padang Mahsyar nanti.

Rasulullah SAW ada menyebut akan hal ini dalam sabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran. Kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada para pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Seperkara lagi yang harus kita sedari bahawa amalan membaca al-Quran adalah metodologi dalam penyembuhan penyakit jiwa atau hati. Dalam meniti arus kehidupan, fikiran dan jiwa sentiasa diselubungi pelbagai emosi.
Justeru, bagi mukmin yang menjadikan al-Quran sebagai teman rapatnya, perasaan berkecamuk itu pasti akan terungkai apabila membaca al-Quran.

Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran, kecuali mereka akan memperoleh ketenteraman, diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan nama mereka disebut Allah dalam kalangan malaikat.” (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Abu Daud)

Berdasarkan apa dikemukakan Rasulullah SAW itu, nyatalah seseorang mukmin yang selalu mempelajari dan membaca al-Quran tergolong dalam kalangan mukmin yang dicintai Allah.

Malah, Rasulullah SAW mengiktiraf amalan membaca al-Quran sebagai amalan ibadah terbaik untuk umatnya. Kata Rasulullah SAW: “Yang paling utama dari ibadah umatku adalah membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Membina keluarga budaya mempelajari dan membaca al-Quran perlu diutamakan kerana itulah acuan sebuah keluarga bahagia yang sentiasa dipayungi rahmat Allah. Anak membesar dalam ruang lingkup emosi berpaksikan cahaya al-Quran akan muncul sebagai anak salih dengan jiwa kebal.

Membentuk jiwa anak dengan budaya cintakan al-Quran akan menjadi tembok paling ampuh dan satu bekalan teragung apabila mereka meningkat dewasa. Jangan biarkan jiwa kita dan anak ketandusan keberkatan al-Quran kerana kesannya amat buruk.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubahnya seperti rumah yang rosak.” (Hadis at-Tirmidzi, Ahmad , Hakim dan al-Darimi)

Mempelajari dan membaca al-Quran umpama baja yang akan menyuburkan hati dan jiwa sekali gus mengukuhkan akar iman serta takwa seseorang.

Kesungguhan kita mendidik hati serta keluarga dalam aspek mempelajari dan membaca al-Quran akan menjadi suatu usaha jihad yang menjanjikan pahala di sisi Allah. Inilah rumah tangga yang berspektrumkan keharuman cahaya kerahmatan Allah.

Baca dan renunglah dengan bersungguh peringatan Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda, Abu Dzar, katanya: “Wahai Abu Dzar, kamu pergi untuk mempelajari satu ayat al-Quran itu lebih baik daripada kamu solat seratus rakaat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Justeru, dari sini dapatlah kita mengerti betapa hebatnya amalan mempelajari dan membaca al-Quran sehingga pesanan berbuat demikian sentiasa saja diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rumusan tentang tabarruk

Posted by epondok di Januari 27, 2012

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA sering mendengar orang berkata: “Kami berada dalam keberkatan Rasulullah SAW” atau “Bersama kami keberkatan Rasulullah SAW”. Ketika Ibnu Taimiyyah ditanya tentang perkara ini, beliau menjawab: “Adapun, orang yang berkata ‘kami berada di bawah keberkatan si fulan’ atau ‘semenjak dia bersama kami, ada berkatnya pada kami’ perkataan seperti ini daripada satu sudut adalah benar. Tetapi daripada satu sudut yang lain, ia adalah batil dan salah.”

“Ia dikatakan benar dan sahih jika orang yang mengungkapkannya bermaksud: “Si fulan telah membimbing dan mengajar kami serta menyuruh kami melakukan kebaikan dan melarang kami melakukan kemungkaran. Maka dengan berkat mengikut dan mentaatinya, terhasillah kepada kami kebaikan sebagaimana yang telah tercapai.”

Ungkapan seperti itu adalah betul sebagaimana yang berlaku kepada penduduk Madinah. Setelah Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah, penduduknya mendapat keberkatan baginda kerana mereka beriman dengannya dan mentaatinya. Dengan keberkatan ini, mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Bahkan, setiap Mukmin yang beriman dengan Rasulullah dan mentaatinya, menikmati daripada keberkatan Rasulullah disebabkan keimanan dan ketaatan mereka kepadanya kebahagiaan dunia dan akhirat yang tidak diketahui hakikatnya kecuali Allah.

Begitu juga, jika yang dimaksudkan dengan perkataan tersebut adalah dengan berkat doa dan kesolehannya, lalu Allah menolak bencana dan memberikan rezeki serta kemenangan; maka ia juga adalah benar.

Ia sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Nabi: “Tidaklah kamu ditolong dan diberikan rezeki, kecuali dengan (keberkatan) orang-orang yang lemah di antara kamu dengan doa, solat, dan keikhlasan mereka.”

Kadangkala, suatu azab atau bala itu tidak jadi diturunkan kepada orang kafir dan pelaku kejahatan, supaya bala atau azab tersebut tidak turut mengenai atau menimpa kaum mukminin yang ada bersama mereka, kerana kaum mukminin itu tidak berhak untuk turut menerimanya. Rujuk ayat 25 surah al-Fath.

Justeru, jika bukan kerana berkat kaum Mukminin yang lemah di sekitar Mekah, yang hidup bercampur dengan kaum kafir, sudah pasti Allah menurunkan azab kepada golongan kafir.

Demikian juga sabda Rasulullah SAW: “Jika bukan kerana di dalam rumah itu, adanya kaum wanita dan anak-anak, sudah pasti aku akan memerintahkan untuk melakukan solat, sehingga solat itu didirikan. Kemudian, akan pergi bersama-samaku kaum lelaki dengan membawa seberkas kayu kepada kaum yang tidak menyaksikan solat bersama kami (solat berjemaah), lalu aku akan membakar rumah-rumah mereka.”

Begitu juga, Nabi SAW pernah menangguhkan hukuman rejam terhadap seorang wanita yang berzina kerana dia sedang hamil sehinggalah dia melahirkan anaknya.

Keberkatan para wali Allah dan orang soleh yang dilihat dari sudut manfaat kepada makhluk diperolehi melalui seruan dan ajakan mereka kepada ketaatan kepada Allah, doa mereka untuk makhluk-Nya, rahmat yang diturunkan oleh Allah kepada mereka dan perkenan-Nya menolak bencana dengan sebab mereka. Itulah yang mesti diakui kebenarannya.

Dengan demikian, barang siapa memahami berkat dengan pengertian seperti ini, maka dia adalah benar dan perkataannya juga adalah benar.

Ungkapan seperti itu juga boleh dinilai sebagai batil atau salah. Misalnya ia bermaksud menyekutukan Allah dengan makhluk.

Contohnya, orang yang telah dikuburkan (mati) di suatu tempat disangka bahawa Allah memberikan pertolongan kepada mereka kerana keberkatan orang yang telah mati tersebut, meskipun mereka (yang diberi berkat itu) tidak melakukan ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya.

Ini merupakan suatu kejahilan. Rasulullah SAW penghulu anak Adam, disemadikan di Madinah pada tahun berlakunya pertelingkahan antara penduduk Madinah dengan tentera Yazid ibn Muawiyah.

Pada masa itu, penduduk Madinah ditimpa musibah. Ramai yang terbunuh, ditawan dan berada dalam ketakutan yang tidak diketahui puncanya melainkan Allah. Ini kerana, setelah berlalunya masa pemerintahan Khulafah al-Rasyidin, penduduk Madinah banyak melakukan perkara negatif yang mewajibkan mereka ditimpa musibah seperti itu.

Sedangkan, pada zaman Khulafah al-Rasyidin, Allah menahan bencana terhadap penduduk Madinah dengan keimanan dan ketakwaan mereka kerana para khalifah tersebut mengajak dan mendorong mereka ke arah tersebut.

Dengan berkat ketaatan mereka kepada para khalifah itu dan amalan para khalifah bersama mereka, maka Allah menolong dan menguatkan mereka.

Begitu juga al-Khalil, Nabi Ibrahim a.s disemadikan di Syam. Namun, kaum Nasrani telah menguasai negeri itu hampir 100 tahun dan penduduknya pula melakukan kejahatan.

Justeru, sesiapa yang meyakini bahawa mayat dapat menolak bencana daripada mengenai orang yang hidup, sedangkan orang yang hidup tersebut melakukan maksiat dan dosa maka ini juga kesalahan besar.

Begitu juga adalah batil apabila seseorang menyangka bahawa keberkatan seseorang akan diturunkan kepada orang yang menyekutukan Allah dan terkeluar daripada mentaati Allah dan rasul-Nya.

Misalnya, seseorang menyangka bahawa berkat sujud kepada selain Allah dan mengucup tanah yang berada dekat dengan kubur tersebut dan sebagainya menghasilkan kebahagiaan baginya sekalipun dia tidak melakukan ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya.

Demikian juga, apabila seseorang itu beriktikad bahawa orang seperti itu layak memberi syafaat baginya dan memasukkannya ke dalam syurga, hanya kerana mencintainya dan menisbahkan diri kepadanya.

Kesemuanya ini dan yang seumpama dengannya, termasuk di antara perkara-perkara yang bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

Ia merupakan keadaan atau ciri-ciri orang-orang yang mensyirikkan Allah dan ahli bidaah. Ia adalah batil, tidak boleh dipercayai dan tidak boleh dijadikan pegangan. (Ibnu Taimiyyah, Fatawa, 11:113)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Doa ‘senjata ghaib’ mohon pertolongan

Posted by epondok di Januari 26, 2012

Oleh Hizbur Rahman

Permohonan pemerintah adil, orang puasa dan dizalimi diterima Allah

DOA ialah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon akan didengar Allah. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.” (Surah al-A’raaf, ayat 55-56)
Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik. – Surah al-A’raaf, ayat 55-56
Ketika menjelaskan perkara sama, Salman al-Farisi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, pengaruh doa itu amat hebat sehingga mampu mengubah takdir Allah dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.

Pada saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan diperlukan, ketika itu manusia akan sedar sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.

Ada kala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT?. Seorang sahabat iaitu Saad Abi Waqas pernah meminta Rasulullah SAW memberinya panduan untuk mendapat doa yang makbul.
Menurut Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Sa’ad, makanlah makanan yang baik (lagi halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Sesungguhnya seorang yang pernah memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan dikabulkan doanya selama 40 hari. Sesiapa saja yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah layak untuknya.” (Hadis riwayat Thabrani)

Besarnya peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah. Permohonan doa hendaklah mematuhi adab tertentu antaranya suci daripada hadas, menghadap kiblat dan dimulai dengan bacaan al-Fatihah, pujian kepada Allah serta selawat

Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon pertolongan Allah. Ada tiga golongan yang doa mereka diterima Allah bersandarkan kepada hadis Qudsi disampaikan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang berpuasa; kedua, doa pemerintah adil; dan ketiga, doa orang dizalimi, di mana doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah mustajab. Apalagi jika mereka itu orang yang lemah, tiada kuasa dan orang tua. Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula pertolongan Allah datang membantu.

Mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan penganiayaan kepada manusia tidak akan terlepas begitu saja.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Nya.” (Surah Fussilat, ayat 46)

Posted in Amalan Pilihan | 12 Comments »

Utus nabi sebelum azab

Posted by epondok di Januari 26, 2012

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Bersegeralah taat kepada-Nya sebelum ditimpa azab dan penderitaan. – Gambar hiasan

ALLAH SWT memberitahu bahawa Dia pernah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya dan memerintahkan supaya baginda memberi peringatan kepada mereka tentang azab Allah SWT yang akan menimpa.

Nabi Nuh berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Aku ditugaskan memberi peringatan kepada kamu dan kamu perlu menyembah Allah SWT dan mentaati-Nya. Jika kamu lakukan yang demikian, pasti Allah SWT akan mengampunkan segala dosa, memanjangkan umur dan melepaskan dirimu daripada seksaan-Nya. Apabila datang seksaan Allah SWT itu, ia tidak dapat ditolak dan dihindarkan lagi kerana Dia Yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan Maha Mulia.”

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya (dengan memerintahkan): Berilah kaummu peringatan sebelum datang kepadanya azab yang pedih. (Nuh: 1)

Mengikut riwayat Qatadah daripada Anas, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Awal nabi yang diutuskan ialah Nuh. Dinamakan dengan Nuh seperti kata Ibrahim bin Yazid kerana beliau banyak menangisi terhadap dirinya di dunia.

Ulama khilaf bila dia dibangkitkan atau diutuskan kepada dua pendapat:

n Ibn Abbas berkata: Ketika berusia 40 tahun.

n Abdullah bin Syaddad berkata: Ketika berusia 350 tahun

Berkenaan dengan azab yang pedih ada dua pendapat:

n Azab neraka pada hari akhirat seperti pendapat Ibn Abbas.

n Azab dunia di mana diturunkan

taufan seperti kata al-Kalbi.

Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Keadaan kaumnya yang terus enggan, menentang, angkuh, degil dan sesat seperti yang ternyata dalam laporan akhir yang dikemukakan oleh Nabi Nuh kepada Tuhannya telah membuat matlamat memberi peringatan dan amaran yang paling sesuai untuk dijadikan risalah dan langkah pembukaan dakwah kepada kaumnya.”

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT berfirman dengan jelas kepada Nabi Nuh bahawa baginda diutus kepada kaumnya untuk memberi peringatan kepada mereka akan seksaan Allah SWT. Jika mereka mahu bertaubat, maka tiada seksaan ke atas mereka.”

Firman Allah SWT: Nuh berkata: Hai kaumku, sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan kepada kamu. (Nuh: 2)

Ibn Kathir berkata: “Iaitu yang menjelaskan peringatan.”

Berdasarkan kenyataan ini jelas menunjukkan antara tugas para nabi dan rasul ialah menyampaikan atau tabligh akan risalah Allah SWT kepada umatnya.

Mereka hanya memberi peringatan semata-mata agar umat masing-masing kembali mengabdikan kepada Allah dan menjauhi segala larangannya.

Hamka berkata: “Maka beliau sampaikanlah kepada kaumnya bahawa dia hendak menyampaikan peringatan dengan jelas, terus-terang tanpa berselindung dan sembunyi. Peringatan tersebut disampaikan dengan sejelasnya kerana penyakit lama harus diubati demi kebaikannya.”

Firman Allah SWT: (yaitu) sembahlah olehmu Allah, bertakwalah kepada-Nya dan taatlah kepadaku. (Nuh: 3)

Syed Qutub berkata: “Beribadatlah kepada Allah SWT tanpa sebarang sekutu dan jadikanlah perasaan takwa kepada Allah menguasai perasaan dan tindak tanduk kamu dan buktikanlah ketaatan kepada rasul dengan menjadikan segala pengajarannya sebagai sumber peraturan hidup dan dasar perilaku.”

Inilah garis-garis lebar yang menjadi rencah keseluruhan agama samawi yang diturunkan Allah SWT.

Kemudian, agama itu berbeza dari sudut perincian dan cabangnya, dari sudut persepsi dan kebesarannya, kesyumulannya serta sejauh mana ia merangkumi aspek-aspek keseluruhan kewujudan dan terangkum kewujudan insani

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Bumi berdepan ribut solar terkuat

Posted by epondok di Januari 25, 2012

GAMBAR yang dirakamkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan pada 22 Januari lalu menunjukkan nyalaan solar di Hemisfera Utara di matahari.

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) – Beberapa pegawai cuaca angkasa lepas menyatakan ribut solar paling kuat dalam tempoh lebih enam tahun akan mengenai Bumi dengan pancaran radiasi akan berlaku.

Sebelum ini, radiasi ribut solar cuma mengganggu satelit dan mendatangkan masalah kepada angkasawan di angkasa lepas.

Namun, ia juga boleh menyebabkan gangguan komunikasi pada pesawat yang berada di udara.

Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas di negeri Colorado dalam satu kenyataan mengesahkan ribut solar itu berlaku pada pukul 11 malam (waktu AS) Ahad lalu.

Ahli fizik AS, Doug Biesecker berkata, perkara paling membimbangkan mengenai ribut solar adalah radiasi yang dilepas.

Pancaran itu ,katanya, tiba di Bumi sejam kemudian.

Hentaman radiasi itu dijangka berlarutan sehingga hari ini.

Menurut Biesecker, tahap radiasi kali ini dianggap kuat tetapi radiasi lebih dahsyat pernah dikeluarkan beberapa ribut solar sebelum ini.

Radiasi kali ini adalah yang paling kuat sejak ribut solar pada Mei 2005.

Plasma yang keluar dari matahari ekoran ribut solar berkenaan pula tiba di Bumi semalam.

Ia dijangka menyebabkan gangguan pada grid elektrik di Bumi. – Agensi

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Mengenali Wali Songo

Posted by epondok di Januari 25, 2012

ADA sembilan ulama yang sangat berjasa dalam penyebaran Islam di Jawa. Mereka dikenal sebagai Wali Songo (Sembilan Wali/Wali Sembilan). Wali Songo mengembangkan agama Islam dari abad ke-14 hingga abad ke-16, menjelang dan setelah runtuhnya kerajaan Majapahit.

Dalam Babad Tanah Jawi dikatakan semasa berdakwah, para wali itu dianggap sebagai ketua kumpulan pendakwah untuk menyebarkan Islam di daerah tertentu. Selain dikenal sebagai ulama, mereka juga berpengaruh besar dalam hal ehwal pemerintahan.

Oleh sebab itu mereka digelar Sunan (susuhan atau junjungan) iaitu gelaran yang biasa digunakan untuk raja di Jawa. Bukti kebesaran Wali Songo dapat dilihat daripada peninggalan mereka.

Wali Songo menyampaikan dakwah Islam melalui cerita wayang atau kesenian lain sehingga penduduk setempat berasa akrab dan tidak asing dengan ajaran baru yang disampaikan.

Pendekatan budaya

Ketika menyebarkan Islam, Wali Songo menggunakan pelbagai bentuk kesenian tradisional masyarakat setempat dengan menyisipkan nilai Islam dalam kesenian tersebut.

Usaha itu membuahkan hasil, bukan sahaja mengembangkan agama Islam tetapi juga memperkayakan budaya Jawa.

Masyarakat Jawa sangat menggemari kesenian tradisional mereka seperti wayang kulit. Oleh sebab itu, Wali Songo menggunakan kesenian tersebut sebagai saluran dakwah.

Babad Tanah Jawi

Buku ini memuatkan cerita tentang kebudayaan Jawa yang merupakan campuran antara sejarah, mitos dan kepercayaan. Di dalamnya terdapat kisah Wali Songo.

Dalam babad itu diceritakan bahawa sekumpulan Wali seperti Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Kalijaga, Sunan Gunung Jati dan Sunan Kudus sering mengadakan pertemuan di Demak.

Juga dijelaskan peranan masing-masing dalam menyebarkan agama Islam di Jawa. Mereka berdakwah di daerah yang penduduknya belum memeluk Islam.

Raden Fatah

Dalam menyebarkan Islam, Wali Songo tidak hanya akrab dengan masyarakat umum tetapi juga dengan pemerintah. Sultan Ampel memainkan peranan semasa merancang kerajaan Islam pertama di Jawa, iaitu kesultanan Demak.

Para wali melantik Raden Fatah (putera Kertabumi Brawijaya ke-5, raja terakhir Majapahit sebagai sultan pertama Kesultanan Demak). Raden Fatah mendapat pendidikan Islam daripada Sunan Bonang. Sementara dalam menjalankan pemerintahannya, Raden Fatah meminta nasihat Sunan Kalijaga.

Di Daerah Cirebon, Sunan Gunung Jati sangat berjasa dalam mendirikan Kesultanan Cirebon dan Kesultanan Banten. Masjid Demak, masjid tertua di Jawa, dibina oleh Wali Songo dan Raden Fatah, pemerintah Kesultanan Demak pada masa itu.

Jawa

Wali Songo juga memainkan peranan utama untuk menyebarkan Islam di Jawa, terutama di sepanjang pesisir utara Jawa. Mulai dari Gersik di Jawa Timur hingga Cirebon dan Banten di Jawa Barat. Meskipun demikian, wilayah pergunungan juga turut dijelajahi oleh wali itu.

Hal ini terbukti daripada apa yang dilakukan oleh Sunan Muria. Beliau dikenal sebagai wali yang selalu berdakwah ke pelosok desa dan wilayah pergunungan di sekitar Gunung Muria, Jawa Tengah. Makamnya pun terletak di daerah pergunungan tersebut.

Sunan Ampel

Sunan Ampel dikenali sebagai wali yang tidak bersetuju dengan adat istiadat masyarakat Jawa pada masa itu seperti kebiasaan mengadakan jamuan dan kenduri doa selamat.

Namun wali lain berpendapat hal itu tidak dapat dihapuskan dengan segera. Bahkan mereka mengusulkan agar adat istiadat seperti itu diberikan warna Islam.

Akhirnya Sunan Ampel menyetujui usul itu, walaupun tetap bimbang bahawa ia akan berkembang menjadi bidaah.

Ampel Denta

Sunan Ampel memulakan dakwahnya dari sebuah pondok pengajian yang dibina di Ampel Denta (berdekatan Surabaya). Oleh sebab itu, beliau dikenal sebagai pembina pondok pengajian pertama di Jawa Timur. Sunan Giri, Raden Fatah, Sunan Bonang dan Sunan Drajat ialah murid Sunan Ampel.

Di pondok pengajiannya, Sunan Ampel menerima pemuda yang datang dari pelbagai tempat dari seluruh Nusantara untuk mempelajari agama Islam dan menjadi muridnya.

Sunan Bonang

Sunan Bonang menyebarkan agama Islam dengan menyesuaikan diri dengan corak kebudayaan masyarakat Jawa yang menggemari wayang dan muzik gamelan.

Untuk itu, beliau mencipta lagu gamelan yang mengandungi nilai keislaman. Setiap bait lagu diselangi dengan ucapan dua kalimah syahadat (syahadatain) sehingga muzik gamelan yang mengiringinya kini dikenal sebagai sekaten.

Tuban

Sunan Bonang pernah mempelajari Islam di Pasai, Aceh. Sekembalinya dari Pasai, beliau memusatkan kegiatan dakwahnya di Tuban dengan mendirikan pondok pengajian agama.

Para pelajarnya datang dari segenap penjuru Nusantara. Sunan Bonang yang dilahirkan di Ampel Denta, Surabaya, meninggal dunia di Tuban pada 1525

Posted in Tokoh Ulama' | 1 Comment »