Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Disember 2011

Kaedah menangani ilmu sihir

Posted by epondok di Disember 31, 2011

ADA hubungan kuat di antara jin dengan amalan sihir. Namun, ada menolak kewujudan jin sehingga tidak percaya adanya sihir.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ketika Kami menghalalkan satu rombongan jin datang kepadamu untuk mendengar al-Quran, setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah sebahagian mereka kepada yang lain: Diamlah kamu! Maka setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaum mereka memberi ingatan dan amaran.” (Surah al-Ahqaf ayat 29).
Antara jenis amalan sihir ialah menggunakan barang tertentu, jin, ilmu binatang dan kekuatan batin.

Terjadinya kesepakatan antara tukang sihir dengan syaitan apabila tukang sihir akan melakukan sebahagian perkara syirik atau sebahagian perbuatan kafir baik secara terselindung atau terang-terangan.

Syaitan akan melayani tukang sihir atau menundukkan orang yang melayani tukang sihir. Biasanya kesepakatan itu terjadi antara tukang sihir dengan pemimpin kabilah syaitan atau jin.

Kemudian, pemimpin syaitan itu akan mengeluarkan perintah kepada anak buahnya supaya melayani tukang sihir dan mentaatinya dalam setiap perintahnya seperti memberi maklumat mengenai peristiwa yang sudah terjadi dan menceraikan antara suami dan isterinya, menumbuhkan rasa cinta antara keduanya atau mengikat kaki seorang supaya tidak dapat menggauli isterinya.

Antara cara tukang sihir memanggil jin ialah dengan bersumpah atas nama jin atau syaitan (Thariqatul iqsam). Melalui cara itu, tukang sihir masuk ke dalam bilik gelap kemudian menyalakan api dan meletakkan sejenis dupa atau kemenyan
di atas api sesuai dengan tujuan yang diinginkan.

Jika ingin menceraikan, menimbulkan permusuhan dan kebencian, dia meletakkan kemenyan berbau busuk. Jika ingin menimbulkan perasaan cinta atau melepaskan ikatan seorang suami yang terikat oleh sihir sehingga tidak dapat menggauli isterinya maka akan dibaca dengan azimat kemusyrikannya iaitu jampi tertentu yang mengandungi sumpah kepada jin atas nama pemimpin mereka.

Selepas membaca azimat kekafiran itu, akan muncullah bayangan berbentuk anjing, ular atau bentuk lain. Kemudian cara tukang sihir mendatangkan jin ialah dengan cara menyembelih binatang. Cara ini, tukang sihir membawa seekor burung, ayam, dengan sifat tertentu sesuai dengan permintaan jin.

Biasanya warna hitam yang diminta kerana jin mengutamakan warna hitam, kemudian menyembelihnya tanpa menyebut nama Allah. Kemudian tukang sihir akan melemparkannya di tempat seperti runtuhan, perigi atau tempat kosong yang menjadi tempat tinggal jin.

Maka buku ini mendedahkan perbuatan tukang sihir, jenis sihir, kesan mangsa sihir, kedudukan hukum serta bagaimana menanganinya menurut kaedah yang ditetapkan Islam supaya umat Islam tidak terjerumus dalam kesesatan.

Tajuk: Dahsyatnya Sihir Rahsia Rawatan dan Penawarnya
Penulis: Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz
Penerbit: Inteam Publishing Sdn Bhd
Harga: RM 20.00 (Semenanjung) RM22.00 (Sabah dan Sarawak)
Muka surat: 150 muka surat

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Usah undang bala Allah bila sambut tahun baru

Posted by epondok di Disember 31, 2011

Oleh Lokman Ismail

ISLAM tidak menegah acara sambutan tahun baru asalkan aktiviti sambutan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ironinya, amat mendu-kacitakan sambutan tahun baru kebanyakannya bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Banyak acara hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, minum arak dan keriangan mengasyikkan.

Fenomena ini perlu dibendung, bukan saja masa sambutan, bahkan pada bila-bila masa. Islam mementingkan hidup berlandaskan syariat untuk mencegah perkara buruk.
Muda mudi kita terikut-ikut dengan budaya masyarakat lain yang berpunca daripada kelemahan pegangan akidah. Pengaruh asing yang masuk melalui media massa dan pengalaman hidup di luar negara, serta kegagalan menanam kefahaman agama menjadi punca keruntuhan moral anak muda yang semakin parah.
Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya. – Surah an-Nisa, Ayat 60)
Syaitan sentiasa mengambil kesempatan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara, termasuk aktiviti seperti sambutan tahunan itu. Tugas syaitan menjadi mudah kerana ‘budaya’ dan ‘kebiasaan’ diamalkan setiap tahun menjadi ikutan tanpa syaitan perlu berkerja keras memujuk manusia melakukan kejahatan dan dosa.

Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan berulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain. Manusia yang tunduk dengan hasutan syaitan merasa bangga melakukan kejahatan dengan alasan untuk rasa gembira.

Firman Allah bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” – (Surah an-Nisa, ayat 60)

Hanya orang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan itu berada. Hidup dalam era moden ini mendedahkan manusia dengan jerat syaitan yang sesuai dengan budaya hidup diamalkan masyarakat lain.
Kejatuhan sesebuah bangsa dan negara berpunca daripada musnahnya nilai murni dalam amalan hidup rakyatnya. Masalah ini akan menjadi parah jika pencegahan dan pemulihan awal tidak dilakukan segera.

Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh fasa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.

Orang Islam perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan sambutan yang dilakukan oleh penganut agama lain. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” (Hadis riwayat Abu Daud).

Harapnya kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula dirancang untuk diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Allah memberi peringatan agar mementingkan masa. Maksud firman Allah: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” – (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)

Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya.

Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.

Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera memperbaikinya.

Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatan baik.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambahlah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Syirik runtuhkan akidah, hancurkan ibadah

Posted by epondok di Disember 31, 2011

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Budaya punk pernah menjadi ancaman kepada agama Islam suatu masa dahulu kerana pengamalnya perlu melakukan perkara yang mensyirikkan Allah SWT sebagai tanda penerimaan sebagai ahli kumpulan itu. – Gambar hiasan

SEMUA orang yang beriman berkehendakkan amalan yang dikerjakannya bernilai dan diterima oleh Allah SWT. Amalan yang dilakukan akan dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak batal. Amalan yang terbatal tentunya tidak mempunyai nilai. Iia hanya sia-sia seumpama debu-debu yang berterbangan. Antara perkara yang boleh membatalkan aqidah kita ialah syirik kepada Allah SWT.

Syirik boleh terjadi dengan dua keadaan. Pertama adalah menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Ia dikenali sebagai syirik kecil. Ini termasuklah menyembah dan menyamakan Allah SWT dengan batu, pokok, matahari, bulan, Nabi, pemimpin, malaikat dan sebagainya.

Syirik merupakan dosa yang paling besar berbanding dosa-dosa besar yang lain. Ia boleh meruntuhkan akidah seseorang. Apabila akidah telah runtuh, maka ibadah yang dilakukan sia-sia dan tidak berguna sama sekali.

Lebih dahsyat dari itu ialah dosa syirik tidak diampunkan dosa oleh Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. (an-Nisa’: 48).

Jelas daripada ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT tidak mengampunkan dosa-dosa orang yang telah melakukan syirik kepada-Nya. Namun, sekiranya orang yang melakukan syirik itu sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum meninggal dunia, maka dengan rahmat dan kasih sayang Allah yang Maha Pengampun, dia akan diampunkan dosa walaupun telah melakukan syirik.

Manakala orang yang tidak sempat bertaubat setelah mengerjakan dosa syirik tidak akan diampunkan dosa.

Dengan kata lain, dia kekal dalam seksaan neraka selama-lamanya. Adapun mereka yang melakukan dosa-dosa yang lain walaupun tidak sempat bertaubat, akan diampunkan dosa-dosa mereka setelah melalui tempoh hukuman di akhirat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Inilah pandangan yang dikemukakan oleh para ulama termasuk Imam Az-Zahabi dalam kitab terkemukanya, Al-Kabair.

Antara amalan-amalan yang boleh membawa kepada berlakunya syirik ialah mempercayai dukun atau bomoh dan meminta pertolongan daripada mereka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menemui tukang tilik atau bomoh dan bertanya sesuatu kepada mereka, lalu dia mempercayai apa yang dikatakan oleh mereka itu, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW.” (Riwayat Ashabus Sunan).

Amalan bertemu dengan dukun, pawang dan bomoh banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Antaranya disebabkan sikap permusuhan yang membuahkan perasaan cemburu dan iri hati yang tidak berkesudahan. Lantas, jalan singkat untuk menjatuhkan dan menghancurkan kehidupan musuhnya ialah dengan meminta pertolongan bomoh yang sesat.

Di samping itu, kepercayaan bahawa pada tarikh dan bulan tertentu boleh membawa malang dan sial juga boleh membawa kepada syirik. Ini adalah kerana, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Berkuasa menentukan segalanya. Ia tiada kaitan dengan detik dan masa tertentu.

Perbuatan lain yang boleh menyebabkan berlakunya syirik menggunakan atau memakai barangan tertentu untuk mendapat tuah atau menghalang sial. Ini termasuklah memakai tangkal atau azimat yang dipercayainya boleh menyembuhkan penyakit, pelaris perniagaan, ilmu kebal dan sebagainya.

Begitu juga yang menggunakan alatan seperti keris, tengkorak dan barangan mistik yang lain untuk dipuja bagi meraih sesuatu untuk keuntungan duniawi. Semua perbuatan ini juga dianggap syirik berdasarkan hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya jampi mantera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik”. (riwayat Abu Daud).

Keadaan kedua yang boleh menyebabkan syirik ialah riak iaitu melakukan sesuatu ibadah bukan kerana Allah SWT, tetapi untuk mempamerkannya kepada manusia. Riak adalah sebuah penyakit hati yang berpunca dari perasaan ingin dilihat hebat melebihi orang lain. Lalu ditunjuk-tunjukkan amalannya supaya orang yang melihatnya menyanjungi dan memujinya.

Riak juga dikenali sebagai syirik kecil. Ini adalah kerana orang yang melakukan amalan dengan hati yang riak seolah-olah melakukan amalan untuk orang lain, bukan untuk Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka barang siapa yang mengharapkan untuk bertemu dengan Tuhannya hendaklah dia mengerjakan amalan yang soleh (baik), dan janganlah mempersekutukan sebarangpun dalam beribadah kepadanya. (al-Kahfi: 110)

Nabi SAW bersabda: “Jauhilah kamu dari syirik yang kecil.” Lalu para sahabat bertanya, “Apakah syirik kecil itu?” Nabi SAW menjawab: “Riya.'” (riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Ini bermakna, apabila seseorang itu melakukan sesuatu amalan dengan riak, maka amalannya sudah tidak bermakna lagi kerana ia tidak mendatangkan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: Dan kami hadapi segala amalan yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amalan itu seperti debu yang berterbangan. (al-Furqan: 23).

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Bapa abai nafkah anak pincangkan masyarakat

Posted by epondok di Disember 30, 2011

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Setiap zuriat berhak disara sehingga 18 tahun

NAFKAH kalimah Arab berasal daripada infaq dari sudut bahasa bermakna perbelanjaan dikeluarkan secukupnya terhadap anak merangkumi makanan, pakaian serta tempat tempat tinggal.

Nafkah terbahagi kepada dua iaitu terhadap diri sendiri dan kewajipan nafkah terhadap orang lain disebabkan perkahwinan iaitu isteri, kerabat contohnya anak dan pemilikan seperti hamba.

Nafkah anak adalah wajib sama ada anak berada dalam jagaannya atau orang lain. Dalam Islam, hak mendapat kehidupan adalah hak anak yang tidak boleh disekat. Justeru, ibu bapa atau penjaga wajib memenuhi hak itu.

Firman Allah bermaksud: “Dan ibu hendaklah menyusukan anak mereka dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan ke atas bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 233)

Ayat itu menjelaskan kewajipan bapa membayar upah menyusukan anaknya. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan bapa. Jumhur berpendapat, jika bapa tidak mempunyai harta tetapi mampu membuat kerja, wajib ke atasnya berusaha sendiri dengan pekerjaannya membiayai nafkah anak.

Berdasarkan peruntukan undang-undang di Malaysia, merujuk Seksyen 73 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 menanggung nafkah menjadi kewajipan bapa.

Seksyen itu memperuntukkan: “Kecuali jika sesuatu perjanjian atau perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana munasabah kepada kemampuan atau dengan membayar kos.”

Fuqaha bersepakat jika bapa masih hidup dan berkemampuan untuk bekerja, maka wajib ke atasnya saja membiayai nafkah anak tanpa berkongsi dengan sesiapa.

Dalam menentukan tempoh bapa menanggung nafkah anak diperuntukkan secara jelas mengikut Seksyen 80 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang meletakkan had umur bagi tempoh perintah nafkah tamat apabila anak mencapai umur 18 tahun.

Bagaimanapun, mahkamah boleh atas permohonan anak melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi tempoh tambahan yang difikirkan munasabah bagi membolehkan anak mengikuti pelajaran, latihan lanjut atau lebih tinggi.

Kita sedia maklum masuk saja hujung tahun, ibu bapa sibuk mengurus persediaan persekolahan anak. Bagi suami isteri yang membuat persediaan awal dengan menabung, tiada sebarang masalah.

Keadaan berbeza bagi ibu tunggal diabaikan pemberian nafkah oleh bekas suami. Sudah tentu perkara ini menyukarkan serta mendatangkan kemudaratan apatah lagi jika mempunyai anak ramai dan semuanya masih bersekolah.

Walaupun kerajaan menyalurkan peruntukan RM100 seorang bagi anak yang bersekolah, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk perbelanjaan persekolahan mereka. Ia mungkin dapat meringankan sedikit beban tetapi tidak mencukupi bagi menampung jumlah sebenar.

Jika bekas isteri mampu, bapa tetap perlu menunaikan tanggungjawab. Kita tidak mahu berlaku kepincangan dalam masyarakat apabila bapa mengambil sikap lepas tangan sehingga membebankan bekas isteri khususnya yang tiada kerja atau pendapatan tetap.

Bapa hendaklah mengambil tanggungjawab ini supaya pendidikan anak tidak terganggu. Kita tidak mahu mendengar kes anak tidak bersekolah atau lambat daftar ke sekolah disebabkan pengabaian perbelanjaan pendidikan.

Kepincangan perkahwinan tidak sepatutnya memberi kesan terhadap masa depan anak. Pertelingkahan antara suami isteri juga tidak harus memberi masalah kepada hak anak mendapat nafkah.

Islam sangat mengambil berat mengenai kewajipan memberi nafkah bagi memastikan kehidupan anak tidak terabai. Lebih-lebih lagi untuk menjadikan kehidupan anak sempurna dan tidak terkesan walau sedikitpun akibat daripada permasalahan keluarga mahupun perceraian ibu bapanya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kepelbagaian makna istilah imam

Posted by epondok di Disember 29, 2011

SECARA harfiah, “imam” bererti “pemimpin”. Pada mulanya, pengertian imam lazimnya dikaitkan dengan ibadat solat.

Berbeza halnya daripada khalifah yang mempunyai dimensi politik, imam pula mempunyai dimensi keagamaan.

Namun pada hakikatnya, di samping sebagai pemimpin Islam dalam pemerintahan, seseorang khalifah juga merupakan pemimpin agama, terutama pemimpin solat di masjid.

Oleh itu, khalifah juga ialah imam. Namun demikian, pengertian imam pada zaman Khulafa al-Rasyidin tetap bersandarkan keagamaan. Imam baru yang mengandungi makna politik wujud selepas zaman kepimpinan Khulafa al-Rasyidin berakhir, terutama setelah muncul golongan Khawarij.

Golongan itu terus-menerus melakukan bantahan terhadap pemerintah Islam yang berkuasa. Mereka menganggap pemerintah pada saat itu tidak berpegang teguh pada ajaran Islam.

Dari segi agama, pengertian imam dapat dilihat dalam solat berjemaah. Dalam solat itu, lazimnya ada seorang yang menjadi pemimpin dan berada di hadapan. Dialah yang disebut imam dan pengikut di belakangnya disebut makmum.

Gelaran kehormat

Dalam sejarah pemikiran Islam, istilah imam juga digunakan sebagai gelaran kehormat. Seseorang yang mempunyai kebolehan menguasai ilmu tertentu dinamakan imam, termasuklah Imam Bukhari, Imam Juwaini, Imam al- Tabari, dan Imam al- Ghazali.

Dalam al-Quran, imam mempunyai banyak pengertian. Dalam surah al-Isra’ ayat 71, imam bererticatatan amal yang telah dihitung. Di samping itu, imam juga boleh membawa maksud “jalan”.

Hal itu diungkapkan dalam surah al-Hijrah ayat 79.

Imam juga boleh bererti “Luh Mahfuz”, seperti terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catatkan satu persatu dalam Kitab yang jelas nyata. (Q.36: 12)

Imam juga boleh bererti “pedoman”. Hal itu termaktub dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi petunjuk dan rahmat (kepada umatnya). (Q.46: 12)

Pandangan golongan Sunnah

Golongan Sunnah menganggap bahawa masalah imamah (kepimpinan) merupakan masalah keduniaan. Proses menangani dan membentuk imamah terletak kepada umat. Pemilihan seseorang imam dilakukan oleh kumpulan Ahl-al-Imamah (mereka yang memenuhi syarat dan berhak menjadi imam).

Pandangan Syiah

Konsep imamah bagi golongan Syiah merupakan perkara penting dan merupakan sebahagian daripada rukun iman. Oleh itu, imamah merupakan sebahagian daripada rukun iman. Oleh itu, imamah merupakan tiang agama dan dasar ajaran Islam yang ditentukan oleh Allah SWT melalui nas.

Kepemimpinannya tidak ditetapkan berdasarkan pendapat umat. Jawatan ketua pemerintahan merupakan hak Ali bin Abu Talib dan keturunannya. Ajaran agama memberikan hak tersebut kepada Ali dan keturunannya melalui wasi, pelimpahan kekuasaan dengan penuh kepercayaan.

Golongan Syiah percaya bahawa yang berhak menjadi khalifah selepas Nabi Muhammad dan Ali Abu Talib ialah Hassan bin Ali bin Abu Talib (cucu kepada Rasulullah).

Pemimpin sesat

Dalam al-Quran, istilah “imam” tidak selama-lamanya merujuk kepada pemimpin yang soleh tetapi juga pemimpin yang sesat.

Oleh sebab itu, istilah imam bersifat neutral. Ertinya, istilah itu boleh juga merujuk kepada pemimpin yang baik, seperti dalam firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya ayat 73.

Namun, dari sudut lain, istilah itu merujuk kepada pemimpin yang sesat, seperti dalam firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 41

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Hormati kesucian masjid, Jaga adabnya

Posted by epondok di Disember 29, 2011

Oleh Hizbur Rahman

Ummah patut memakmurkan dengan majlis ilmu bukan dedah keaiban individu

TETAMU datang mengunjungi masjid adalah mereka yang sanggup mengabdikan diri kepada Allah Maha Berkuasa dengan berjanji akan menjadi hamba Allah sentiasa taat perintah-Nya. Masjid juga menjadi tempat pertemuan dan tanda perpaduan umat Islam yang bertakwa serta bersaudara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hanya yang memakmurkan masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta sembahyang, menunaikan zakat, tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah At-Taubah, ayat 18)

Salah satu tempat penyatuan dan perkumpulan strategik untuk umat Islam ialah masjid dan sesungguhnya Nabi Muhammad SAW mengasaskan Masjid Nabawi dengan menerapkan nilai takwa sebagai paksinya.

Sebagai memuliakan masjid, kita yang menjadi tetamunya perlu memelihara serta menjaga sopan santun, sentiasa tertib dan memelihara adab ketika berada di dalamnya.

Antara adab perlu dipelihara ialah mengikhlaskan niat kerana Allah SWT, bersuci daripada hadas dengan mandi sunat, mengambil wuduk, berpakaian menutup aurat dan disunatkan memakai pakaian berwarna putih serta berwangi-wangian.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang mengambil wuduk di rumahnya dan diperelokkan wuduknya, kemudian dia pergi ke masjid, maka dia adalah tetamu Allah dan menjadi kewajipan ke atas orang yang dilawati untuk memuliakan tetamunya.”

Sentiasa tenang, tidak tergopoh gapah, tawaduk, dan khusyuk ketika kaki melangkah ke masjid. Diriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kamu terdengar iqamat, maka berjalanlah kamu ke tempat solat dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh-gapah. Apa yang kamu sempat, maka solatlah dan apa yang kamu tertinggal maka sempurnakanlah.”
Dalam perjalanan ke masjid hendaklah memperbanyakkan zikir, takbir, tasbih, tahmid, tahlil dan selawat. Pada masa sama, bacalah doa yang diajarkan Rasulullah SAW ketika memasuki masjid dan ketika berada di dalamnya serta memberi salam kepada malaikat yang menjaga rumah Allah.

Diriwayatkan oleh Ka’ab bin A’jrah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kamu berada dalam masjid, janganlah kamu membunyikan jari-jari kamu kerana kamu seolah-olah berada dalam solat ketika kamu menunggu untuk menunaikannya.”

Rasulullah SAW menggesa umatnya cintakan masjid supaya dapat menyelamatkan diri dan perlindungan Allah SWT pada hari kiamat. Mereka yang sentiasa mengunjungi masjid untuk beribadat dan mendapat keredaan Allah SWT akan memperoleh ganjaran syurga.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang pergi ke masjid pada waktu pagi dan petang, Allah SWT menyediakan untuknya suatu hidangan yang biasa diberikan kepada tetamu di syurga bagi setiap kali ia pergi ke masjid sama ada pagi atau petang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Melihat suasana akhir-akhir ini, ada segelintir masyarakat yang kurang beradab ketika mengunjungi masjid. Mereka tanpa segan silu tidak menghormati kesucian masjid dengan melakukan perbuatan keji seperti mencaci, memfitnah, memburukkan peribadi serta mendedahkan keaiban saudaranya.

Allah SWT secara tegas menempelak sikap golongan munafik yang cuba menjadikan masjid sebagai alat perpecahan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan, dan menguatkan keingkaran, serta memecah-belahkan perpaduan orang yang beriman, dan untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sebelum itu. Dan mereka akan bersumpah dengan berkata: Tidaklah kami kehendaki melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.” (Surah at-Taubah, ayat 107)

Mereka hadir ke masjid atas tujuan memecah-belahkan umat Islam serta memburuk dan mencemarkan imej Islam boleh disamakan dengan golongan musyrik yang tidak layak memakmurkan masjid.

Said bin Musayyab berkata: “Sesiapa yang duduk dalam masjid, bererti dia bertemu dengan tuhannya dan semestinya dia hanya berkata-kata dengan perkataan baik.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Solat berjemaah tawar ganjaran pahala berlipat kali ganda

Posted by epondok di Disember 28, 2011

Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Solat berjemaah lebih afdal (utama) daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda.” – (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pemurahnya Allah SWT yang menawarkan ganjaran berlipat kali ganda menerusi solat berjemaah untuk direbut hamba-Nya. Mukmin yang menginsafi betapa ganjaran bernilai itu adalah antara anugerah Allah yang terbesar, akan sentiasa menghargai dan memburu kesempatan untuk solat fardu berjemaah khususnya di masjid, malah terlepasnya peluang solat berjemaah dirasakannya sebagai satu kerugian.

Diriwayatkan bahawa Ubaidullah bin Umar al-Qawariri iaitu guru kepada Imam Bukhari dan Imam Muslim berkata bahawa dia (Ubaidullah) tidak pernah ketinggalan solat Isyak berjemaah. Tetapi pada satu malam datang seorang tetamu ke rumahnya menyebabkan dia ketinggalan berjemaah Isyak disebabkan sibuk melayani tetamunya.

Sebaik tetamunya pulang, dia pun bergegas ke masjid di Basrah, didapati semua orang telah menunaikan solat Isyak dan masjid telah ditutup, lalu dia balik ke rumah dengan perasaan hampa.

Oleh kerana hadis Nabi SAW menjelaskan bahawa solat berjemaah itu ganjarannya 27 kali ganda, maka beliau pun sembahyang Isyak 27 kali.

Beliau lalu tidur dan bermimpi seolah-olah bersama satu kaum yang sedang mengembara dengan menunggang kuda tetapi dia tidak dapat mengekori orang lain. Salah seorang dari mereka menoleh ke belakang kepadanya, lalu memintanya tidak memenatkan kudanya kerana dia tidak akan mampu mengikuti kaum itu.

Ubaidullah bertanya kenapa. Lelaki itu menjawab kerana mereka solat Isyak berjemaah, sedangkan dia solat bersendirian (ternyata walaupun melakukan 27 kali solat Isyak bersendirian tidak sama nilainya dengan sekali solat Isyak berjemaah). Tidak lama kemudian Ubaidullah terjaga dalam keadaan sedih. Lalu dia memohon pertolongan dan taufik daripada Allah SWT.

Anugerah Allah SWT terhadap orang yang solat berjemaah bermula daripada terpautnya hati seseorang hamba Allah dengan masjid, disusuli dengan langkahnya menuju ke masjid kerana keinginan solat berjemaah hinggalah selesai solat dan kembali ke rumah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan bahawa ada tujuh golongan manusia yang Allah akan tempatkan mereka di bawah naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan melainkan naungan-Nya (pada hari kiamat). Salah satu dari tujuh golongan berkenaan ialah lelaki (termasuk wanita) yang hatinya (sentiasa) terikat dengan masjid.

Imam al-Nawawi ketika menafsirkan sabda Nabi SAW itu menyatakan: “Maksudnya ialah hatinya sentiasa mengingati/merindui masjid dan beristiqamah pergi ke masjid kerana solat berjemaah. Ia bukan bermaksud berterusan duduk di dalam masjid.

Kelebihan yang diperoleh oleh sesiapa yang beristiqamah ke masjid untuk solat berjemaah dikurniakan Allah kerana masjid adalah rumah Allah. Rumah bagi setiap yang bertakwa. Adalah satu kelaziman bagi orang yang diziarahi akan menghormati orang yang bertandang. Maka, cuba bayangkan bagaimana penghormatan yang akan kita peroleh daripada Pencipta alam semesta ini iaitu Allah SWT yang Maha Mulia lagi Maha Besar.

Dalam hadis lain dinyatakan bahawa Allah SWT berasa takjub dengan solat berjemaah seperti sabda Nabi SAW: “Daripada Abdullah bin Umar ra., katanya: Satu hari saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah takjub (kagum) dengan solat yang didirikan secara berjemaah”. – (Hadis riwayat Ahmad).

Beruntung dan berbahagia sungguh seorang mukmin yang melakukan amalan di mana Allah sendiri berasa kagum dan takjub terhadap amalan berkenaan.

Dengan solat berjemaah di masjid, mudah-mudahan pelbagai ganjaran dapat diraih Muslim, bukan cuma ganjaran 27 kali ganda, tetapi ditambah lagi dengan kurniaan Allah yang besar lantaran memakmurkan rumah-Nya seperti Nabi SAW bersabda: “Barang siapa pergi ke masjid pada waktu pagi atau petang (untuk beribadah/solat berjemaah), Allah akan menyediakan untuknya satu tempat tinggal di syurga setiap kali ia pergi pada waktu pagi atau petang (sentiasa tersedia hal yang sama).” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Maksiat secara terbuka undang murka Allah

Posted by epondok di Disember 28, 2011

Oleh Muhammad Asyraf

Sambutan tahun baru boleh diisi dengan aktiviti keluarga bukan perkara mungkar

SAMBUTAN tahun baru setiap tahun sudah menjadi upacara tradisi rakyat Malaysia dan seolah-olah satu kewajipan, bahkan pernah sambutan diadakan pada Ramadan. Terikatnya syaitan sepanjang Ramadan belum tentu mampu mengikat nafsu manusia untuk berfoya-foya.

Apa lagi sambutan tahun baru 2012 kali ini bukan pada bulan puasa, sudah tentu perkara saban tahun menjadi kebimbangan berulang berlaku. Hiburan sempena menyambut kedatangan tahun baru juga sudah mula dipromosikan.

Pemandangan biasa dilihat ketika sambutan tahun baru ialah pergaulan lelaki dan wanita tiada batasan, pasangan tanpa segan silu melakukan aksi mengghairahkan di khalayak ramai dan minuman keras juga menjadi hidangan. Apakah kita sedang menuju negara yang bebas segala-galanya.

Ingatlah kemungkaran boleh mengundang bala dan pastinya kita tidak mahu perkara itu berlaku. Malangnya, dosa dianggap perkara remeh hingga melakukan perbuatan menyalahi agama menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Seperti iman, maksiat juga mempunyai tingkatannya, ada dilakukan secara tersembunyi, terbuka dan ada maksiat dianggap biasa. Apa juga jenis maksiat, tidak kira yang ringan atau berat, ia akan mengundang kemurkaan Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, di mana ia terlalu khuatir akan tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga perlakuan maksiat dan dosa yang dilakukan secara terang-terangan. Ada kalanya Nabi SAW berusaha menutup sehabis mungkin perlakuan maksiat dilakukan secara tersembunyi supaya si pelaku berpeluang bertaubat kepada Allah SWT. Bagaimana pula mereka yang melakukan maksiat secara terbuka?

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah sudah menutupi dosa terbabit, kemudian dia berkata: Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu. Padahal Allah sudah menutupi dosa itu semalaman, tetapi pada pagi hari dia buka yang ditutup Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini peringatan penting untuk kita kerana apa yang amat ditakuti manusia adalah taubat yang tidak diterima. Betapa ruginya kita jika mengetahui taubat tidak diterima kerana maksiat terbuka yang dilakukan dulu.

Sejarah Islam melakarkan pelbagai peristiwa untuk dijadikan iktibar. Banyak kemurkaan Allah bermula apabila maksiat dilakukan secara terbuka. Malah kini banyak tempat dijadikan pusat maksiat secara terbuka.

Maksiat secara terbuka perlu dicegah kerana apabila maksiat itu dianggap biasa, kita sebenarnya sedang memanggil azab Allah. Maksiat secara terbuka adalah dosa purba dulu kala yang sudah dimodenkan.

Lihat saja kisah kehancuran kaum Nabi Luth yang dirakamkan al-Quran: “Adakah patut bagi kamu mendatangi lelaki (homoseksual) dan menyamun di jalan raya dan kamu membuat kemungkaran di tempat pertemuan kamu. Maka tidaklah ada jawapan kaumnya melainkan mereka berkata: Datanglah kepada kami azab Allah itu, jika sungguh engkau dari orang yang benar.” (Surah al-Ankabut, ayat 29)

Ketika menafsirkan ayat ini, Al-Isfahani dalam kitab al-Mufradat fi Gharib al-Quran menceritakan tempat masyarakat awam berkumpul iaitu tempat kaum Nabi Luth melakukan maksiat secara terbuka dan diketahui umum.

Rentetan peristiwa maksiat secara terbuka, akhirnya Allah menurunkan bala yang sangat pedih ke atas kaum Nabi Luth. Ini menggambarkan kepada kita, menzahirkan maksiat secara terbuka sama seperti kita mencabar Allah SWT untuk menurunkan azabnya.

Bagaimana pula orang yang menghadiri tempat maksiat tetapi tidak melakukan perbuatan maksiat. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sungguh, Allah sudah menurunkan kepada kamu dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan, maka jangan kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentu kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang munafik dan orang kafir di dalam Jahannam.” (Surah an-Nisa’, ayat 140)

Berdasarkan nas dan pandangan ulama yang sentiasa menyinari kalam mereka dengan nasihat dan tunjuk ajar, maka lebih baik kita mengubah gaya serta corak menyambut sesuatu perayaan. Jangan sambutan itu dicemari perlakuan yang boleh mengundang kemurkaan Allah.

Sambutlah tahun baru kali ini dengan menanamkan tekad melakukan transformasi menjadi insan lebih baik serta mencapai keredaan Allah. Marilah wujudkan suasana ceria melalui aktiviti keluarga pada malam tahun supaya anak remaja tidak terleka dengan sambutan di luar kawalan keluarga.

Allah sukakan suasana yang ceria tetapi hiasilah keceriaan itu dengan amalan serta program yang berpayung kepada matlamat mencari keredaan Allah

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Amalan di dunia penentu kehidupan akhirat

Posted by epondok di Disember 27, 2011

Oleh Anwar Patho Rohman

Umat Islam wajib percaya setiap perbuatan pasti dapat ganjaran sama ada dosa atau pahala

ALLAH SWT menyediakan dua penempatan kepada manusia iaitu penempatan sementara di dunia dan penempatan kekal di akhirat. Di penempatan pertama, Allah SWT mendatangkan kepada manusia pelbagai ujian kepada orang Islam dan bukan Islam, beriman atau sebaliknya.

Di penempatan akhirat, Allah SWT menjanjikan balasan kepada manusia sama ada syurga atau neraka, bergantung kepada nilai amalan manusia sepanjang hayat mereka di dunia yang dihitung menerusi timbangan antara pahala atau dosa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan cari pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan jangan kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baik (kepada orang lain) seperti Allah berbuat baik kepadamu dan jangan kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang berbuat kerosakan.” (Surah Al-Qasas, ayat 77).

Sesungguhnya keseimbangan Islam berkaitan dunia dan akhirat tidak boleh dilihat dengan nombor dan bilangan tetapi melihat keseimbangan ditetapkan Allah SWT. Dalam Islam tidak ada pemisahan antara dunia dan akhirat, bahkan kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain.

Ajaran Islam tidak pernah memisahkan antara urusan dunia dan akhirat kerana semuanya akan dinilai di akhirat nanti. Justeru, manusia mesti melakukan urusan keduniaan yang menepati ajaran Islam untuk mendapat nikmat atau azab di akhirat.

Bagaimanapun, fitrah hati dan diri manusia cenderung melihat bukti atau dalil yang dapat mengukuhkan kepercayaan mereka terhadap perkara dijanjikan Allah SWT seperti bukti kewujudan pahala, dosa, syurga dan neraka serta semua perkara yang tidak dapat dilihat pada mata kasar.

Sedangkan hakikatnya, persoalan dosa dan pahala serta syurga dan negara termasuk kiamat adalah termasuk dalam perkara ghaib, yang tidak wajar diperkatakan melainkan berpandukan nas dan dalil al-Quran dan Sunnah.

Walau bagaimanapun, sebagai Muslim yang beriman kepada Allah SWT, kita hendaklah melakukan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah dan menghindarkan setiap apa yang mendekatkan diri kepada neraka.

Orang beriman harus memahami konsep Islam ialah agama yang memperseimbangkan antara tuntutan hidup di dunia dan akhirat. Segala harta kurniaan Allah hendaklah diguna dan diuruskan kepada perkara kebaikan yang mendapat ganjaran di akhirat.

Kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di akhirat tidak mungkin dapat dikecapi tanpa melakukan amalan baik ketika di dunia seperti menafkahkan harta pada jalan Allah, mengeluarkan zakat, bersedekah selain melaksanakan perintah wajib seperti solat lima waktu.

Keseimbangan dunia dan akhirat akan mewujudkan umat Islam yang sentiasa memberi manfaat pula kepada sekalian manusia. Justeru, umat Islam perlu sentiasa berwaspada agar tidak berlaku pengabaian antara kedua-dua tuntutan berkenaan dalam kehidupan seharian.

Dalam apa juga aspek kehidupan, Islam mengingatkan kita mengenai dua kehidupan yang perlu diseimbangkan iaitu dunia dan akhirat. Malangnya, dalam keghairahan umat Islam mengejar impian hidup di dunia, ada masanya mereka tergelincir daripada landasan agama sehingga mengabaikan kepentingan akhirat.

Pada masa sama, wujud pula kumpulan yang berpendirian mahu mengutamakan akhirat semata-mata sehingga meninggalkan kehidupan dunia.

Menyentuh perkara ini, pensyarah bebas, Harryanto Rizal Rokman menegaskan, perkara itu berlaku disebabkan manusia hanya dapat melihat atau nampak kehidupan serta keseronokan dunia tetapi tidak dapat melihat kehidupan akhirat kerana ia perkara ghaib.

“Bagaimanapun, amalan kita di dunia itu yang akan menentukan nasib kita di akhirat sama ada menuju ke syurga atau neraka. Akan tetapi disebabkan manusia tidak nampak akhirat, mereka tersilap untuk membezakan mana yang lebih penting adakah dunia atau akhirat,” katanya pada majlis Forum Hal Ehwal Islam bertajuk Dunia Diuji, Syurga Dinikmati .

Dalam bentuk sindiran, beliau menjelaskan, manusia mungkin akan berlumba-lumba mengerjakan amalan jika Allah SWT memberi keizinan kepada mereka untuk melihat jumlah amalan mereka seperti kita dapat memeriksa jumlah simpanan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kalau pahala boleh diperiksa macam kita periksa duit KWSP, sudah tentu manusia akan gembira kerana dapat mengetahui jumlah amalan mereka. Walaupun simpanan itu belum boleh diambil, tetapi kita nampak. Dapat tengok berapa banyak jumlahnya pun akan menggembirakan walaupun tidak dapat lagi.

“Akan tetapi, pahala, dosa dan akhirat ini perkara yang tidak nampak kerana Allah hendak menguji manusia di dunia bagi menentukan kehidupan mereka di akhirat sama ada ke syurga atau neraka,” katanya.

Seorang lagi ahli panel forum, Abdul Halim Din menegaskan umat Islam perlu menyoal diri mereka dengan tiga soalan setiap hari selepas bangkit dari tidur iaitu siapa diri kita, untuk apa kita di dunia dan ke mana kita akan pergi selepas ini.

“Manusia perlu menjadikan Allah sebagai keutamaan dalam setiap aspek kehidupan, pengurusan dan pendapatan hartanya. Ia juga akan memastikan zakat dan sedekah dikeluarkan,” tegasnya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Al-Quran bongkar rahsia pembinaan piramid

Posted by epondok di Disember 27, 2011

Oleh IBRAHIM ABDULLAH
Pembongkaran misteri piramid adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah Firaun: Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa) orang-orang pendusta. (al-Qasas: 38).

Daripada penjelasan ayat al-Quran di atas jelaslah bahawa selama ini manusia menjadi hairan dan kagum bagaimanakah bangunan-bangunan yang dibinakan oleh Firaun iaitu piramid dapat berdiri megah dan perkasa di bumi Mesir pada zaman pemerintahannya hingga kini.

Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid itu?

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu-batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah daripada tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Profesor Gilles Hug dan Dr. Michael Barsoum, menegaskan bahawa piramid yang paling besar di Giza, dibuat daripada dua jenis batuan yang terdiri daripada batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil daripada olahan tanah liat.

Baru-baru ini majalah Journal of American Ceramic Society memaparkan artikel kajian mengenai bagaimanakah Firaun membina piramid di Mesir yang mengkagumkan itu sebagai peninggalan sejarah tamadun dunia.

Kajian itu menegaskan, bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Justeru itu tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu besar dan berat ribuan kilogram. Seterusnya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi atau batu alam.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki itu dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

Sehubungan itu, Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, beliau menegaskan bahawa batu itu diperbuat daripada lumpur. Selama ini tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam semula jadi dengan batu buatan manusia.

Penemuan oleh Davidovits adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira 20 tahun. Sebelum kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, Piramid Matahari dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat daripada tanah liat. Ini memperkuatkan lagi keyakinan bahawa kaedah ini tersebar luas di masa yang lalu.

Tanah liat

Sebelum ini, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan daripada pembuatan batu besar yang tersergam di puncak-puncak piramid. Beliau berkata:, “Setelah bertahun-tahun melakukan kajian dan penyelidikan, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat.”

Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman silam, juga dibina daripada ‘tanah liat’.

Pembongkaran misteri piramid tersebut adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu sebelum para saintis dan ilmuan dunia menemukan rahsia tersebut.

Hairan dan ajaib, sejak 1,400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad SAW dan beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun di Mesir, memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang megah dan tersohor itu yang dikenali sebagai piramid dengan menggunakan tanah liat.

Jika ditinjau daripada kejadian Nabi Adam sebagai bapa manusia dan menjadi khalifah di bumi, adalah juga berasal daripada penciptaan tanah liat yang ditiupkan roh oleh Allah SWT dan wujudlah sebagai manusia yang pertama di permukaan bumi.

Daripada pemaparan hakikat ayat al-Quran di atas, jelaslah membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT yang menciptakan Firaun dan menenggelamkan dia di Laut Merah bersama tenteranya.

Malah Allah juga menyelamatkan Nabi Musa as daripada kekejaman Firaun menuju tanah dan bumi Palestin yang didambakan sampai sekarang dan seterusnya hari kemudian.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »