Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 29 November 2011

Pengorbanan saksi diberi ganjaran dunia, akhirat

Posted by epondok di November 29, 2011

PENGORBANAN dan liabiliti seorang saksi di negara kita sememangnya berat. Atas faktor itulah, ada yang tidak mahu menjadi saksi dalam pelbagai kes dan kejadian biarpun menjadi orang pertama atau paling berhak menyatakan kebenaran dengan kesaksian.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah SWT, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah SWT lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah SWT sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Nisa, ayat 135)

Tanggapan menjadi saksi akan berdepan pelbagai masalah wajar dikikis kerana jika tanggapan ini menguasai minda masyarakat maka sukar pihak terbabit menyelesaikan kes selain banyak individu tidak mendapat pembelaan sementara penjenayah bebas.

Di sebalik kesukaran dan kepayahan dihadapi seseorang yang bergelar saksi, sebenarnya dia sudah menunaikan tuntutan agama Allah SWT serta memenuhi hak manusia lain. Kesanggupan mengambil tanggungjawab sebagai saksi pasti dibalas ganjaran pahala.

Malah, saksi akan dipermudahkan Allah SWT segala urusannya kerana sikap sanggup berkorban masa dan khidmat sebagai saksi sehingga dapat menyenangkan pihak lain seumpama bersedekah.

Bersesuaian maksud hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah: “Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan dunia, Allah SWT akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada dalam kesempitan, melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah SWT akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah SWT pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim)

Kehadiran saksi yang jujur memberikan keterangan akan dapat menegakkan keadilan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang beriman hendaklah kamu jadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah SWT, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 8)

Pihak bertanggungjawab sentiasa menjaga keselamatan saksi dan kerahsiaan mereka. Bagaimanapun, itu belum cukup memberi kefahaman untuk menggalakkan masyarakat tampil menjadi saksi.

Justeru, usaha perlu dilakukan supaya masyarakat faham tanggungjawab untuk tampil memberikan maklumat supaya siasatan dapat dilakukan lebih terperinci dan pada masa sama, masyarakat diyakinkan dengan aspek keselamatan diberikan kepada saksi.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai sesuatu perkara perlu diberi galakan untuk ke depan kerana ada mengambil ringan perkara itu disebabkan tidak mahu menyusahkan diri terutama apabila membabitkan kes mahkamah.

Selain itu, saksi perlu mengutamakan kebenaran ketika memberikan kesaksian lantaran amaran dan azab Allah SWT bagi sesiapa yang tidak jujur dan benar dalam keterangan sehingga menjadi fitnah atau menzalimi kepada pihak lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah an-Nur, ayat 19)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hanya khunsa musykil diharuskan tukar jantina

Posted by epondok di November 29, 2011

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
Gambar SYAHRIL MUHAMMAD

Usaha para penyokong LGBT untuk mendapat pengiktirafan seperti di Hong Kong perlu dikekang kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan Islam tetapi juga fitrah manusia.

Cadangan penganjuran program Seksualiti Malaysia 2011 pada 1 hingga 13 November lalu adalah satu lagi percubaan memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Alhamdulillah, penganjurnya setuju menghentikan program itu berikutan kecaman dan bantahan meluas pelbagai pihak termasuk wakil-wakil agama.

Bagaimanapun penganjur yang terdiri daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tetap mempertahankan tindakan mereka untuk memperjuangkan hak golongan LGBT di negara ini yang dianggap hak manusia sejagat.

Ini menjadi satu lagi cabaran yang perlu ditangani oleh umat Islam khususnya dan orang yang bernaluri fitrah atau normal. Sebab utama, ia bertentang dengan agama dan moral kemanusiaan.

Allah SWT yang Maha Kuasa dan Bijaksana menciptakan alam ini berpasang-pasangan. Siang pasangannya malam, tanah subur lawannya tandus dan lelaki pasangannya wanita.

Antara tujuan perkahwinan adalah memberi ketenangan kepada pasangan suami isteri dan seterusnya berkembang biaknya umat manusia di muka bumi ini.

Ini dijelaskan menerusi al-Quran yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah. (al-Rum: 21)

Kita maklum tentang kewujudan segelintir kecil golongan manusia yang diciptakan Allah SWT yang mempunyai permasalahan kecelaruan identiti gender kerana faktor biologikal, penderaan-penderaan fizikal, seksual, psikologi, emosi dan mental atau faktor-faktor persekitaran yang lain.

Namun, Islam telah menyediakan garis panduan yang seimbang dan sejahtera untuk mengurus dan mengatasi kecelaruan ini.

Justeru, mana-mana gerakan yang memperjuangkan LGBT terutama untuk diterima sebagai hak manusia sejagat adalah bertentangan dengan Islam.

Ahli Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, Islam hanya mengharuskan pembedahan jantina bagi mereka yang dilahirkan khunsa musykil.

Ini selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Kali ke-25 pada 13 Disember 1989.

Khunsa musykil adalah manusia yang dilahirkan dengan dua alat kelamin lelaki dan perempuan. Diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi mengikut keadaan yang sesuai.

Khunsa wadhih pula adalah mereka yang nyata mempunyai tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan jantinanya semasa bayi.

Jantina dikenal pasti dengan jelas berdasarkan alat mana yang lebih dominan berbanding yang kurang berfungsi. (al-Mughni oleh Ibn qudamah 7/114-115)

Kata Dr. Zulkifli, pertukaran jantina mereka yang bukan khunsa musykil sama ada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram di sisi syarak.

“Perlu kita ingat, orang yang dilahirkan lelaki hukumnya tetap lelaki walaupun dia berjaya menukar jantina melalui pembedahan. Begitulah sebaliknya bagi perempuan yang menukar jantina,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja ‘Memahami Isu-isu Kekeliruan Jantina daripada sudut syariah’ pada sesi kedua seminar Memahami Isu-isu Kekeliruan Jantina di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Seminar sehari itu dihadiri oleh lebih 100 peserta terdiri daripada wakil-wakil Jabatan Agama Islam Negeri, doktor dan orang perseorangan.

Seminar dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pertama adalah forum Memahami Isu-isu kekeliruan jantina daripada sudut perubatan, pendidikan dan psikologi.

Dua ahli panel yang diundang adalah Pensyarah dan Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Harlina Harlizah Siraj dan Ketua Kaunselor, Pusat Kaunselor Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Norazaman Amat.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Insan Jakim, Ramlah Yong dan Pengarah ILIM, Che Ibrahim Che Man.

Dr. Zulkifli berkata, Jakim dan pihak berkuasa agama perlu memberi penjelasan dan kaunseling kepada mereka yang termasuk dalam kategori LGBT.

Katanya, punca utama masalah adalah kejahilan yang amat sangat dalam agama.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh marah kepada mereka sebab ini boleh menjauhkan lagi mereka kepada agama.

“Kepada yang sudah terlibat, hendaklah bertaubat kepada Allah kerana dosa sebesar mana pun diampun oleh Allah kecuali dosa syirik,” jelas beliau.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »