Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 13 November 2011

Sukan sebahagian cara dakwah

Posted by epondok di November 13, 2011

Oleh Nazri Hussein

ISLAM agama syumul yang mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa meminggirkan persoalan duniawi. Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang perlu diberi perhatian bagi melahirkan masyarakat cerdas pemikiran dan kuat fizikal.

 

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan.

Baginda menegaskan dalam hadis yang bermaksud: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Umat Islam tanpa mengira usia dan kedudukan wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan riadah dan bersukan untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk.

 

Ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman serta provokasi terhadap umat Islam.

 

Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan contoh terbaik kepada sahabat dalam soal ibadah mahupun perkara membabitkan kehidupan seharian. Contohnya, Baginda pernah menyertai sahabat yang bermain anak panah sebagai aktiviti riadah.

 

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan: “Nabi SAW melalui satu kawasan di mana sahabat sedang memanah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah). Lalu kumpulan satu lagi berhenti memanah. Rasulullah SAW bertanya: Kenapa kamu berhenti memanah? Jawab sahabat: Bagaimana kami hendak memanah kamu berada bersama kami. Nabi SAW menjawab: Memanahlah, aku bersama kamu semua.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam satu kisah lain, Rasulullah SAW pernah bertanding berlumba lari dengan isterinya, Saidatina Aisyah ketika bermusafir. Ada ketikanya Baginda menang dan ada ketikanya Rasulullah SAW kalah dalam perlumbaan itu.

 

Banyak hadis menyebut mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang.

 

Malah, ada riwayat menyatakan Rasulullah SAW pernah bergusti dengan ahli gusti Quraisy bernama Rukanah Bin Abu Yazid bagi membuktikan mukjizat Baginda selain meletakkan syarat supaya Rukanah memeluk Islam andai Baginda berjaya dalam pertandingan itu. Akhirnya, Rasulullah SAW dapat mengalahkan Rukanah sehinggalah ahli sukan Quraisy itu memeluk Islam.

 

Menolak daripada sebarang aktiviti riadah dan sukan kerana ingin menumpukan kepada ibadah semata-mata bukanlah cara terbaik yang dididik oleh ajaran Islam. Umat Islam wajar mengambil peluang menyertai sukan di peringkat negara mahupun dunia.

 

Tidak salah kita menyertai kejohanan sukan terbesar seperti Sukan Asia hinggalah kejohanan Olimpik demi membuktikan umat Islam juga mampu bersaing pada peringkat tertinggi selain menjadi dakwah menyebarkan ajaran Islam kepada golongan bukan Islam.

 

Namun, dalam keghairahan bersukan, janganlah kita mengabaikan perkara yang dilarang syariat seperti mendedahkan aurat, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan selain lalai menunaikan kewajipan solat. Hindari acara sukan yang membabitkan perjudian.

 

Kejayaan atlit bertudung dari Bahrain, Ruqaya al Ghasara dalam kejohanan Sukan Asia di Doha, Qatar beberapa tahun lalu membuktikan bahawa pakaian menutup aurat ketika bersukan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan cemerlang.

 

Satu perkara yang perlu diambil berat ialah sikap dan mentaliti penonton tatkala memberi sokongan kepada pasukan pilihan mereka. Jangan kerana terlalu taksub dengan pasukan kesayangan sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata kesat dan biadap terhadap pemain lawan.

 

Perkara yang paling sukar bagi mereka terbabit dalam sukan adalah menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Islam mengajar kita supaya tenang, berjiwa besar, reda, wasatiah dan bersikap rasional tatkala menerima keputusan di akhir pertandingan.

 

Paling menyedihkan, ada segelintir peminat sukan yang bergaduh sesama sendiri kerana bersikap emosional serta mudah mengikut telunjuk hawa nafsu.

 

Sukan bukan sekadar menguji kekuatan dan kehebatan fizikal tetapi lebih jauh lagi ia membina hubungan ukhuwah serta silaturahim demi perpaduan ummah.

Janganlah kita mudah dihasut oleh syaitan yang ingin melaga-lagakan umatnya supaya sentiasa bertelingkah dan bermusuhan.

Nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah wajar dimanfaatkan secara betul menurut landasan syariat supaya kita menjadi mukmin atau mukminah bertakwa kepada Allah serta bersedia menabur khidmat dalam masyarakat

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Larangan aibkan jenazah

Posted by epondok di November 13, 2011

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

BANYAK kali kita didedahkan berita dan paparan foto bagaimana mayat atau jenazah diaibkan dengan kejam dan memalukan. Sesungguhnya perilaku itu menyeleweng daripada ajaran agama.

Apabila ada kalangan orang Islam bertindak di luar batas ketamadunan manusia, maka terlucutlah nilai kemanusiaan dan keadaan begini memberikan gambaran serong terhadap imej Islam itu sendiri.

Jenazah walau apa anutan agama mereka sekalipun seharusnya dihormati sebagai makhluk ciptaan Allah. Kita tidak dibenarkan mencerca, apatah lagi mengaibkan jenazah di khalayak umum.

Dikisahkan, terjadi peristiwa bagaimana Rasulullah secara psikologi mendidik umatnya menghormati jenazah. Meskipun kisah ini membabitkan insiden Rasulullah SAW berdiri menghormati jenazah orang bukan Islam, ia menjadi hujah kukuh jenazah orang Islam lebih wajib dihormati.

Sahl bin Hunaif dan Qais bin Sa’ad menceritakan. Suatu hari ada jenazah lalu di hadapan Rasulullah SAW, lalu Baginda berdiri. Melihat tindakan Rasulullah SAW itu, sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, jenazah itu adalah jenazah Yahudi.” Baginda Rasulullah SAW menjawab: Bukankah dia juga manusia.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Itu jenazah bukan Islam, bagaimana pula jenazah orang Islam? Sudah tentu menjadi kewajipan orang yang hidup menguruskannya dengan penuh penghormatan. Jangan kerana keperibadiannya negatif ketika hidup kita memalukannya.

Bertindak kejam dengan melakukan tindakan mengaibkan jenazah bukan saja tidak berperikemanusiaan, tetapi juga melakarkan ciri peribadi pendendam dan sombong.

Kita harus insaf akan tiba giliran kita. Jika kita prihatin terhadap ketibaan maut, sudah pasti tidak tergamak berbuat kasar dan memalukan waris si mati.

Islam amat menekankan peribadi umatnya. Akhlak dalam Islam juga luas, akhlak terhadap sesama manusia, akhlak terhadap haiwan, berakhlak baik terhadap alam, malah terangkum juga berakhlak murni terhadap orang yang mati.

Jenazah seharusnya dimandikan mengikut aturan ditetapkan agama, dikafankan dengan baik kemudian diusung ke tanah perkuburan dengan segera untuk pengebumian. Inilah dianjurkan Rasulullah SAW kepada umatnya dan seharusnya kita turuti.

Bahkan Islam bukan saja mengajar umatnya menghormati dan mengebumikan jenazah dengan tertib, malah ketika seseorang terlantar sakit kita dianjurkan menziarahinya. Begitulah indahnya Islam.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa mendatangi saudaranya (yang sedang sakit) untuk menjenguknya, maka dia seperti berjalan di taman syurga sampai dia duduk. Jika ia duduk maka dia akan diliputi rahmat. Apabila seseorang menjenguknya pada pagi hari, maka 70,000 malaikat berselawat kepadanya sehingga petang. Apabila dia menjenguknya pada petang hari, maka 70,000 malaikat berselawat kepadanya sehingga pagi.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sabda Rasulullah SAW lagi: “Ada lima hak seorang Islam ke atas orang Islam lain. Menjawab salam, menziarahinya ketika sakit, melawat jenazah, menerima jemputannya dan mendoakannya apabila dia bersin.” (Hadis Bukhari, Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

Jelas jalur bersosial dalam Islam begitu harmoni dan indah dengan menyenaraikan tata tertib sungguh murni.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah berfirman pada hari kiamat: Wahai manusia, aku sakit tetapi kamu tidak menziarahi-Ku. Manusia menjawab: Wahai Tuhan, bagaimana aku hendak menziarahi-Mu, sedangkan Engkau Tuhan sekalian alam? Allah berfirman: Tidakkah kamu ketahui bahawa hambaku si polan itu sakit tetapi kamu tidak menziarahinya? Adakah kamu tahu, bahawa jika kamu menziarahinya, maka kamu akan mendapati Aku di sisinya.” (Hadis riwayat Muslim)

Kerukunan hubungan sosial itu dikukuhkan dalam persoalan pengurusan jenazah sekalipun. Jangan aibkan jenazahnya meskipun dia sangat kita benci, usah kita malukan keluarganya walaupun dia pernah bersalah kepada kita

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »