Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 12 November 2011

Remaja dan krisis identiti

Posted by epondok di November 12, 2011

Oleh NURUL IZZAH SIDEK
Mendidik anak-anak tentang solat sejak kecil adalah antara usaha membentuk jati diri. – Gambar hiasan

ISU identiti sering berbangkit apabila kita menilai arah tuju sesuatu kelompok dalam kehidupan. Generasi muda sering dikaitkan dengan identiti kerana mereka sedang dalam proses belajar dan mencari makna hidup dan kehidupan.

Apabila pengaruh budaya dan pemikiran datang dari sumber lain dan telah mempengaruhi kehidupan remaja, remaja dikaitkan dengan masalah krisis identiti.

Identiti dikaitkan dengan asas-asas yang fitrah yang sedia ada bagi sesuatu bangsa itu. Ia merujuk tentang budaya gaya hidup, pemikiran dan sistem nilai.

Remaja Melayu lazimnya dikaitkan dengan budaya Melayu yang berasaskan Islam dan membawa cara gaya hidup Melayu dan Islam. Tetapi apabila amalan remaja Melayu terdedah dengan pengaruh budaya Barat yang merangsang remaja lepas bebas dan cenderung kepada berpoya-poya, maka remaja dikatakan menghadapai krisis identiti.

Identiti ini adalah asas pengenalan sesuatu bangsa atau umat yang mendukung sesuatu aliran, kepercayaan, budaya dan tamadun sehingga persepsi yang lahir amat terhubung antara satu dengan lain.

Persepsi terhadap orang Melayu terhubung dengan budaya Melayu yang bersendikan Islam dengan cara dan gaya hidup yang bersendikan syarak.

Identiti ini tidak sifatnya tertutup daripada faktor positif daripada budaya, tradisi tamadun lain. Dalam bidang ilmu pengetahuan, Barat banyak menyumbang terhadap sains dan teknologi di zaman moden ini seperti mana zaman kekuatan Islam dahulu yang amat menyumbang kepada kebangkitan Eropah.

Pemahaman terhadap silang budaya ini sekiranya berlaku dengan baik, ia akan mengukuhkan lagi budaya yang sedia ada.

Yang menjadi isu terhadap remaja hari ini adalah kecenderungan mereka mengutip perkara-perkara popular yang datang dari Barat yg bersifat nafsu nafsi dan itu dijadikan contoh gaya hidup.

Ini yang menimbulkan masalah identiti yang apabila mereka ini tidak lagi dikenali sebagai remaja Melayu yang mengamalkan kesopanan dan kesantunan Islam. Maka mereka ini dikatakan sedang berdepan krisis identiti.

Amat penting bagi krisis ini diatasi supaya jangka panjangnya remaja Islam tidak hilang keislamannya. Ia memerlukan binaan dari sudut kefahaman Islam itu sendiri, kefahaman terhadap budaya islam serta pendalaman terhadap ilmu-ilmu Islam.

Jika ini berlaku remaja akhirnya akan kekal dengan jati diri Islam walaupun berada dalam situasi yang tidak Islami. Seorang remaja yang mempunyai identiti diri yang teguh adalah ibarat seekor ikan yang berenang di lautan masin tetapi dagingnya tetap tawar.

Remaja yang memiliki identiti yang teguh dan jelas bukan bermakna tidak harus bersifat terbuka dalam mengambil manfaat berbanding dan tradisi positif daripada tamadun lain.

Proses meminjam sesuatu yang baik adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Al-Quran memberikan asas mengenai ilman nafia iaitu ilmu yang bermanfaat. Ini boleh ditemui dalam mana-mana tradisi kehidupan manusia.

Rasulullah SAW memanfaatkan kemahiran bermanfaat membaca dan menulis tawanan perang Badar untuk diajar kepada anak-anak Islam bagi faedah membaca dan menulis.

Al-Biruni menjelajah ke India dan mempelajari bahasa Hindi untuk menguasai ilmu-ilmu sains, matematik, fizik dan astronomi. Ilmu itu kemudian diolah dalam tasawwur Islam dan menjadikan ilmu itu bermanfaat dengan ajaran Islam.

Rasulullah SAW menganjurkan mempelajari ilmu walau ke negeri China. Kita lihat pada hari ini, bangsa China lebih maju daripada umat Islam. Oleh itu, mempelajari sesuatu yang baik dan bermanfaat bakal menyerlahkan kekuatan dan identiti orang Islam

Posted in Fokus Isu | 1 Comment »

Solat jemaah asas kekuatan

Posted by epondok di November 12, 2011

SOLAT adalah aspek penting dalam kehidupan seharian kita. Solat ditekankan dalam kehidupan setiap insan yang dilahirkan di dalam Islam mahupun kepada yang baru memeluk Islam.

Solat merupakan tiang kepada agama yang dapat mendisiplinkan umat dan dengan solat juga, ia dapat memelihara jiwa seorang Islam daripada kemaksiatan dan kemungkaran yang saban hari semakin mencabar dalam kehidupan arus kemodenan akhir-akhir ini.

Ia aspek penting dalam membentuk jati diri yang kuat untuk menempuh dugaan seharian yang menjadi permainan dalam kehidupan manusia.

Solat menjadi kekuatan jiwa yang hakiki dalam memainkan peranan yang penting untuk menjaga diri serta mendapat ketaqwaan yang tinggi dengan kekuatan-kekuatan tambahan yang harus difahami oleh setiap insan dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa.

Namun, adakah sekadar cukup dengan mendirikan solat sahaja tanpa mengambil kira perkara yang harus menjadi perhatian untuk solat itu diterima di sisi Allah SWT?

Apakah di antara perkara yang ditekankan di dalam Islam di dalam mendisiplinkan diri untuk bersolat dan kebaikan yang boleh didapati daripada bersolat itu?

Bagaimana pula manfaat yang diperolehi apabila bersembahyang secara berjemaah ataupun berseorangan?

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar.

Demikian itu, kerana apabila seseorang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian pergi ke masjid dengan tujuan khusus untuk solat, maka setiap kali ia melangkah kaki, diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosa.

Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat solat selagi ia tidak berhadas (doanya iaitu): Ya Allah, ampunilah ia, ya Allah, kasihanilah ia, Dan (para malaikat sentiasa mendoakannya) selama ia menanti solat. (riwayat Muslim no. 649)

Jelaslah dengan sabda Rasulullah SAW di atas akan kelebihan solat berjemaah berbanding solat bersendirian. Di dalam satu riwayat yang lain daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya solat berjemaah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (riwayat Muslim no. 1509)

Menyorot sirah Rasulullah SAW, selama 13 tahun baginda di Mekah, solat berjemaah tidak dapat dilaksanakan dengan aman akibat tekanan daripada pihak Quraisy.

Namun, apabila penghijrahan baginda ke Madinah, barulah baginda SAW mendirikan solat jemaah secara terang-terangan dan Baginda melakukannya sehingga ke akhir hayat.

Namun, kebelakangan ini, solat berjemaah seolah-olah terpinggir dan umat Islam kebanyakan yang tidak mengerti kelebihan solat berjemaah ini lebih selesa melakukan solat secara bersendirian.

Terdapat hukum yang menggariskan solat berjemaah itu fardu kifayah selain daripada solat Jumaat yang hukumnya fardu ain bagi setiap lelaki yang mukalaf.

Oleh itu, kefarduan tersebut tidak terlepas daripada penduduk sebuah kampung, kariah atau pekan, melainkan ada penduduk yang mendirikannya dengan jelas.

Sekiranya ia tidak didirikan atau didirikan dalam keadaan bersembunyi, makan seluruh penduduk kampung tersebut berdosa dan pemerintah wajib memerangi mereka. (rujuk kitab Fiqh Mazhab Syafi’i bertajuk Menghuraikan Bab Bersuci dan Solat).

Melihat kepada pentingnya solat berjemaah, banyak buku yang diterbitkan bertujuan memberi kesedaran dan pentingnya solat berjemaah dalam kehidupan seharian umat Islam.

Perbagai kategori telah diklasifikasikan dalam menentukan hukum-hakam solat berjemaah yang bertujuan memberi ilmu pengetahuan dan manfaat kepada umat Islam.

Salah sebuah buku yang menerangkan kepada pentingnya solat berjemaah itu adalah daripada Mohamad Subki Abdul Rahman al- Hafiz yang bertajuk Solat Berjemaah, Asas Kekuatan Peribadi, Masyarakat dan Ummah melalui kata pengantar daripada Tuan Guru Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.

Buku ini menerangkan solat-solat yang menjadi keutamaan dalam amalan seharian umat Islam.

Turut diterangkan di dalam bab-bab berkaitan antara punca mengapa solat berjemaah itu kurang diamalkan, kaitannya dengan isu semasa, sosial dan sejarah, kelebihan solat berjemaah, ganjaran mendirikan solat berjemaah, kisah kesungguhan Rasulullah SAW dalam mendirikan solat berjemaah, keperihatinan salafussoleh dengan solat berjemaah dan hukum hakam dalam solat berjemaah mengikut pandangan ulama.

Telaga Biru mengambil inisiatif menerbitkan buku ini melalui bimbingan ulama dan mengharapkan agar umat Islam prihatin dan mendapat ilmu secukupnya dalam menyedari pentingnya mendirikan solat berjemaah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pendaftaran Halaqah Ilmu hampir penuh

Posted by epondok di November 12, 2011

Melihat kepada pendaftaran melalui mesej dan email yang begitu
memberangsangkan pada hari ini maka pendaftaran bagi program Halaqah
Ilmu di Pondok Pasir Tumboh pada 26 November hingga 10 Disember iaitu
sempena cuti sekolah 2011 dijangka akan tutup dalam masa terdekat
apabila jumlah 80 orang peserta telah mencukupi.

Manakala pendaftaran program sama yang dinamakan Pondok Intensif di
Pondok Tunjung, Wakaf Che Yeh bagi sesi 1 mulai 19 November hingga 3
Disember 2011 masih terbuka untuk pelajar lelaki manakala peserta
perempuan telah tutup kerana bilangannya telah cukup 40 orang

Program Pondok Intensif sesi 2 bermula 10 hingga 24 Disember masih banyak kekosongan.

Sebarang pertanyaan atau pendaftaran sila hubungi Ustaz Shairazi 019-9388902

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »