Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 9 November 2011

Perbanyak amal ibadat semata-mata kejar ganjaran akhirat

Posted by epondok di November 9, 2011

Oleh Dr Nik Muhammad Syukri Nik Wan

FITRAH manusia tetap percaya bahawa tidak ada gunanya sesuatu pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bagi dirinya. Oleh itu, apabila diminta mengerjakan kebaikan, maka pertanyaan muncul dalam pemikiran, apa untungnya dan apa rugi jika tidak dilaksanakan.

Dalam hal ini, al-Quran menjelaskan dua perkara menjadi tuntutan utama bagi sahabat Rasulullah SAW dalam mengerjakan amal soleh iaitu kurniaan Allah Taala dan juga keredaan-Nya.

Firman-Nya yang bermaksud: “Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya.” (Surah Al-Fath, ayat 29)

Al-Quran turut merakamkan peristiwa Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang menyalurkan sebahagian harta beliau hanya kerana Allah Taala. Harta itu digunakan untuk membebaskan beberapa orang sahabat yang masih lagi tertindas di Kota Makkah seperti Bilal dan ‘Aamir bin Fuhairah.

Selain itu, dalam surah Al-Baqarah, ayat 218, dikisahkan mengenai sahabat yang mengerjakan amal soleh dengan harapan rahmat daripada Allah Taala sebagai ganjaran amalan soleh mereka itu.

Dalam ibadat haji pula, Allah Taala mengizinkan jemaahnya menuntut kurniaan-Nya melalui sistem keuntungan perniagaan. Hal ini dapat dibuktikan dengan firman Allah Taala yang bermaksud: “Tidak ada dosa bagimu untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhanmu. Maka apabila kamu telah bertolak dari ‘Arafat, berzikirlah kepada Allah di Masy’arilharam.” (Surah Al-Baqarah, ayat 198)

Jadi, apa yang boleh disimpulkan ialah sahabat mengerjakan amal soleh bermatlamat menuntut kurniaan Allah Taala dan keredaan-Nya, ada juga mengerjakannya hanya semata-semata kerana Allah Taala dan ada juga mengharapkan rahmat daripada-Nya.
Di samping itu, Allah Taala juga mengizinkan mencari keuntungan keduniaan sebagai sampingan seperti berniaga sewaktu menunaikan ibadah haji di Kota Suci.

Walau bagaimanapun, diingatkan kepada setiap orang yang beriman kepada-Nya bahawa keredaan Allah Taala adalah lebih besar daripada segala-galanya. Reda Allah Taala adalah satu anugerah amat tinggi dan afdal nilainya.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Allah menjanjikan kepada orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat yang bagus di syurga ‘Adn. Dan keredaan Allah adalah lebih besar; itu adalah keberuntungan yang besar.” (Surah Al-Taubah, ayat 72)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah Taala bertanya ahli syurga: Adakah kamu sekalian sudah reda dengan pemberian ini? Mereka menjawab: Kenapa kami tidak reda sedangkan Engkau telah memberi kepada kami suatu yang tidak pernah diberikan kepada makhluk lain. Allah Taala berfirman: “Aku memberi kepada kamu suatu yang lebih unggul daripada itu. Mereka menjawab: Hai Tuhan! Apakah suatu yang lebih unggul itu? Maka Allah menjawab: Aku halalkan ke atas kamu keredaan-Ku maka selepas itu Aku tidak murka lagi ke atas kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kongsi kenikmatan korban

Posted by epondok di November 9, 2011

Tulisan Mohd Hassan Adli Yahaya

HARI ini umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha iaitu antara perayaan terbesar dan penting dalam kalendar Islam. Aidiladha adalah perayaan istimewa kerana ia hari memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Jadi, sempena nikmat umur yang dianugerahkan Allah SWT, mari kita mengambil iktibar dan semangat sirah pengorbanan Rasul.

 

Bagi saya, sambutan Aidiladha kali ini lebih bermakna kerana sudah dua minggu berada di Tanah Suci mengerjakan ibadat haji dengan perasaan bercampur baur.

Namun yang nyata, perasaan gembira bercampur teruja mengatasi segala-galanya kerana dapat mengerjakan haji pada usia muda.

 

Namun, usia bukan faktor yang dapat menyekat perasaan saya kerana terselit juga perasaan terharu dan hiba, apabila mengenangkan keinginan mengerjakan haji dimakbulkan Allah SWT.

 

Dalam masa sama, terselit persoalan sama ada saya mampu membalas segala nikmat dianugerahkan Allah.

Malah, sepanjang ‘menumpang’ di tanah suci, ada ketikanya saya kagum melihat betapa teguh dan kukuhnya keadaan Kaabah daripada ancaman manusia yang menyekutukan Allah sejak ribuan tahun lamanya.

 

Saya juga selalu bermuhasabah apabila melihat jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia, tidak kira muda mahupun tua, berkumpul dan bersesak di tanah suci hanya untuk memenuhi tuntutan Islam ini.

Ada yang berjalan, ada juga yang berlari, malah ada juga yang disorong dengan kerusi roda, sekali gus memberikan saya gambaran kecil suasana di Padang Mahsyar kelak. Entah bagaimana nasib kita di sana nanti.

 

Situasi ini mengingatkan saya kepada firman Allah SWT surah Al-Hajj, ayat 27 bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” Berbeza waktu dihidupkan di Padang Mahsyar, hanya darjat keimanan serta takwa akan menentukan keadaan seseorang itu sewaktu menemui Allah sama ada dalam keadaan berlari, berjalan, merangkak atau dengan keadaan mengaibkan di sana nanti. Nauzubillah! Saya ingin mengingatkan diri saya dan pembaca supaya sentiasa bermuhasabah terhadap sesuatu perkara yang kita lakukan di atas muka bumi Allah ini. Jangan asyik menongkat langit mengejar kehidupan dunia dan melupakan kehidupan akhirat.

 

Kerana sesungguhnya kehidupan akhirat adalah kehidupan sebenar dan tiada pengakhiran. Itu adalah pasti.

 

Walaupun sebelum ini banyak kali saya ke luar negara atas urusan tertentu, sebenarnya ini pengalaman pertama saya menyambut Aidiladha di luar tradisi rakyat negara kita.

 

Yang pasti, cara sambutannya memang berbeza tetapi kekal dengan semangat ibadah Qurban yang sama.

 

Maha suci Allah yang mencipta manusia dalam keadaan rupa paras dan taraf kehidupan yang berbeza-beza.

 

Allah juga mencipta haiwan dan tumbuh-tumbuhan sebagai rezeki untuk manusia. Jika kita buka minda, tidak ada satu pun kejadian ciptaan Allah itu diwujudkan dengan sia-sia tanpa manfaat.

 

Jika manusia mempunyai asas keimanan kukuh, mereka akan menjadikan ciptaan Allah ini sebagai wasilah untuk sampai kepada-Nya.

 

Ini sebagaimana dinyatakan dalam surah Ali-Imran, ayat 191 bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” Allah menentukan takdir sebahagian manusia yang mempunyai harta banyak, tetapi sebahagiannya lagi kurang berharta. Namun, Allah ciptakan ibadah korban ke atas haiwan ternakan seperti lembu dan unta sebagai ‘bonus’ bagi mereka yang mahu mencari jaminan kehidupan akhirat.

 

Ini kerana dengan melaksanakan ibadah korban, ia menjadi petunjuk Allah SWT mahu hamba-Nya berkongsi kenikmatan dunia supaya dapat dinikmati bersama-sama mereka yang kurang bernasib baik.

 

Ini disokong firman Allah SWT menerusi surah al-Hajj, ayat 36, bermaksud: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.” Begitu indah Islam memelihara hak setiap penganutnya. Diciptakan manusia daripada pelbagai jenis dan rupa, namun akhirnya keimanan dan ketakwaan yang menjamin kehidupan bahagia di akhirat. Apalah guna kaya di dunia sementara tetapi muflis di dunia abadi.

 

Namun begitu, tidak ramai menyedari betapa besarnya fadilat ibadah korban. Namun, saya yakin kita sekurang-kurangnya pernah mendengar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

 

Nabi Ibrahim mendapat wahyu daripada Allah untuk melakukan penyembelihan terhadap Nabi Ismail melalui beberapa siri mimpi ketika di Mina. Hinggalah terakam dialog di antara Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam surah As-Saffat ayat 102, bermaksud: “Maka ketika anaknya itu sampai (pada umur yang mencukupi) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka berikanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar.” Lantas dengan hati dan perasaan yang tidak berbelah bagi kerana keimanan dan ketakwaan tinggi pada Allah, Nabi Ibrahim melaksanakan perintah korban terhadap Nabi Ismail hinggalah pada saat akhir Allah menukarkan Nabi Ismail kepada kibas sebagai ganjaran ketaatan melaksanakan tuntutan Allah.

 

Alhamdulillah, pada kali ini saya diberi kesempatan untuk berada di tempat berlakunya kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Di Tanah Suci ini jugalah berlakunya kisah terjadinya telaga air zam zam.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »