Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 8 November 2011

Cara Acheh kuatkuasa pemakaian syariah

Posted by epondok di November 8, 2011

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Generasi muda penyambung kekuatan, keutuhan ummah

Posted by epondok di November 8, 2011

Oleh Hizbur Rahman

Pemuda perlu jadikan Rasulullah teladan, ikutan

ANAK muda adalah generasi pelapis kepada sesuatu bangsa kerana masa depan bangsa itu bergantung kepada mereka. Jika pemudanya baik maka baiklah bangsa, sebaliknya jika mereka rosak maka rosaklah bangsa itu.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan hidayah untuk mereka.” (Surah Al-Kahfi, ayat 13)

Allah mengakui dan mengiktiraf sekumpulan pemuda yang beriman kepada-Nya iaitu tujuh pemuda yang beriman (ashabul kahfi), mereka beribadah dan berjihad menyeru manusia beriman kepada Allah, sehingga melarikan diri dalam gua untuk menyelamatkan aqidah mereka.

Pada zaman ashabul kahfi, ada seorang raja yang zalim memerintahkan rakyatnya menyembah berhala dan mensyirikkan Allah. Disebabkan keimanan serta keyakinan, sekumpulan pemuda ini menjalankan aktiviti dakwah mengajak kaum mereka menyembah Allah.

Jika dibandingkan kesungguhan ashabul kahfi ini menjalankan kegiatan dakwah biarpun berdepan pelbagai rintangan, sebahagian besar pemuda kita hari ini kurang memahami agama yang dianuti kerana kurangnya didikan dalam diri menyebabkan berlakunya hubungan haram antara lelaki dan perempuan, pembuangan bayi, tidak hormati ibu bapa, mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan menghabiskan masa dengan perkara tidak berfaedah.

Sedangkan ramai sahabat Nabi Muhamad SAW yang boleh dijadikan contoh dan idola oleh pemuda kita seperti Usamah bin Zaid, Saidina Ali Abu Talib, dari segi keimanan, keilmuan, keterampilan dan keberanian mereka.
Malah, tokoh ini sanggup mengorbankan nyawa mempertahankan Rasulullah SAW di zaman muda mereka.

Apabila kita mempunyai ramai pemuda contoh daripada kalangan sahabat dan tabiin, alangkah malangnya pemuda kita hari kerana tidak menjadikan mereka sebagai idola. Sebaliknya generasi muda kita lebih menyanjung, suka meniru dan menjadikan artis barat yang bukan beragama Islam sebagai idola dan ikutan biarpun kadang-kala kelakuan dan akhlak bintang pujaan mereka bertentangan dengan ajaran Islam.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ada di antara manusia memilih membelanjakan hartanya kepada perkara hiburan yang melalaikan dirinya dan orang lain, dengan tidak berdasarkan pengetahuan, dan ada pula menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan, merekalah orang yang akan beroleh azab pedih.” (Surah Lukman, ayat 6)

Kesimpulannya, pemuda yang beriman kepada Allah sanggup mempertahankan akidah dalam apa juga keadaan sekali pun kerana mereka sedar keutuhan sesuatu bangsa bergantung pada kekuatan generasi muda.

Pemuda kita perlu jadikan generasi sahabat Nabi SAW sebagai idola dan ikutan dalam semua aspek dan cara hidup.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang orang beriman itu ialah apabila di sebut nama Allah, jadi gementar hati mereka dan apabila dibaca pada mereka ayat Allah menjadikan mereka bertambah percaya (iman), dan kepada Tuhan mereka jugalah mereka berserah.” (Surah Al-Anfal, ayat 2)

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ibadah korban tanda bersyukur

Posted by epondok di November 8, 2011

Oleh Muhammad Rashidi Wahab

UMAT Islam menyambut Aidiladha bagi meraikan kejayaan saudara seagama mengerjakan ibadat haji di Makkah. Di Malaysia, ramai mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung bagi mengeratkan tali silaturahim sesama Islam.

Aidiladha disambut dengan melaksanakan ibadat korban iaitu disembelih haiwan seperti unta, lembu atau kambing bertujuan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Ibadat korban bertepatan dengan dalil al-Quran dan hadis yang bermaksud: ‘Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah’. (Surah al-Kauthar ayat 2).

Nabi s.a.w berkorban dengan menyembelih dua ekor kibas berwarna putih dan bertanduk. Baginda turut menyembelih kedua-duanya dengan menyebut nama Allah dan bertakbir sambil meletak kakinya di atas tengkuk kibas itu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Hikmah ibadat korban ialah menghidupkan erti pengorbanan Nabi Ibrahim ketika Allah memerintahkan baginda menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

 

Nabi Ibrahim tidak teragak-agak melaksanakan perintah itu, tetapi Allah menggantikan sembelihan itu dengan seekor kibas.

Ibadat korban mengandu ngi pengertian untuk mendidik umat Islam jangan melupakan golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan selepas Allah memberikan rezeki kepada mereka.

Ia turut melahirkan kegembiraan dan perasaan kasih sayang sesama sanak-saudara dan jiran tetangga.

Kebanyakan ulama daripada Mazhab Shafie berpendapat, hukum korban adalah sunat muakad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang Islam yang berkemampuan.

Namun, ia boleh menjadi wajib dengan dua sebab: Pertama, apabila seseorang itu mengisyaratkan kepada binatang miliknya yang sesuai untuk dikorbankan seperti ‘Ini adalah korbanku’ atau ‘aku akan korbankan binatang ini.’

Kedua, apabila seseorang itu bernazar atau mewajibkan dirinya melaksanakan korban untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti menyatakan, ‘wajib bagi aku korban kerana Allah.’

Hanya unta, lembu atau kambing disyariatkan untuk korban.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bagi setiap umat kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternakan yang direzekikan Allah kepada mereka. (Surah al-Hajja, ayat 34).

Menurut ulama, perkataan haiwan ternakan dalam ayat berkenaan bermaksud unta, lembu dan kambing.

Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian. Anda perlu melaksanakan korban dengan mengambil satu bahagian daripada tujuh bahagian itu.

Kambing tidak boleh dibahagikan seperti unta dan lembu.

Pelaksanaan korban bermula selepas terbit matahari Aidiladha iaitu selepas solat sunat raya dan selesai mendengar khutbah.

Manakala tempoh mengadakan korban berakhir selepas terbenam matahari pada akhir hari tasyrik iaitu 13 Zulhijjah.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Setiap hari tasyrik adalah sembelihan (waktu korban). (Riwayat Ibn Hibban)

Jika korban wajib atau nazar, tidak harus bagi orang yang melakukan korban memakan daging korban itu.

Jika seorang daripada mereka memakan sedikit daging korban itu, ia perlu diganti semula dengan daging lain atau dibayar dengan nilaian daging yang dimakan.

Jika korban sunat, harus orang yang melakukan korban itu memakan mengikut kadar yang dikehendakinya dengan syarat mereka hendaklah bersedekah sedikit daging korban itu.

Paling afdal ialah makan sedikit sahaja daging korban itu untuk keberkatan dan bakinya disedekahkan. Adalah harus bagi orang yang melakukan korban memakan satu pertiga daripada bahagiannya, satu pertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga kepada sahabat handai atau jiran walaupun mereka orang kaya.

Daging korban yang dihadiahkan kepada orang kaya hanya boleh dimakan dan mereka tidak boleh menjualnya. Manakala daging korban yang diberikan kepada fakir miskin tidak terikat dengan syarat itu.

Bagi yang melakukan korban, mereka boleh sedekahkan kulit binatang korban itu atau di manfaatnya untuk dirinya.

Tidak boleh dijual atau diberikan kepada penyembelih binatang korban itu sebagai upah kepada sembelihannya. Ini kerana perbuatan memberi upah cara begitu boleh menyebabkan kekurangan pada binatang korban dan merosakkan ibadat korban.

Jika pemberian itu bukan atas dasar upah kerana orang yang melakukan korban memberikan wang sebagai upah kepada penyembelih, maka pemberian kulit dan sebagainya lagi tidak menjadi kesalahan, lebih-lebih lagi penyembelih orang fakir miskin.

Ini bertepatan dengan hadis yang bermaksud: ‘Rasulullah memerintahkan aku (Ali) menyembelih unta baginda (sembelihan korban ketika haji). Baginda memerintahkan aku sedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah daging) sedikitpun daripadanya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Antara perkara sunat korban ialah tidak menghilang kan bulu dan kuku, masuk 10 Zulhijah dan orang yang melakukan korban disunatkan menyembelih korbannya sendiri atau hadir menyaksikan sembelihan itu dan sunat bagi pemerintah melakukan korban menggunakan harta Baitulmal bagi pihak orang Islam.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »