Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 31 Oktober 2011

Awasi pihak promosi gaya hidup gay

Posted by epondok di Oktober 31, 2011

   

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Pahang menuntut kerajaan negeri memberikan perhatian yang serius terhadap bantahan orang ramai tanpa mengira parti atau pertubuhan terhadap konsert artis antarabangsa, Elton John yang dijadualkan berlangsung pada 22 November ini di Genting Highlands.

Yang Dipertuanya, Ustaz Rushdan Abdul Halim berkata, ini kerana ianya akan memberi kesan kepada sosio budaya masyarakat setempat terutama remaja melayu Muslim.

Katanya, seseorang yang telah menjadi ikon kepada golongan gay atau homoseksual yang sememangnya bertentangan dengan Islam dan nilai murni masyarakat bertamadun tidak harus dibenarkan untuk membuat pertunjukan konsert di negara ini kerana ianya akan menjadi ikutan atau idola kepada remaja yang kini dilaporkan menghadapi krisis kecelaruan identiti yang membimbangkan.

Tambahnya, gesaan tersebut dibuat kepada kerajaan negeri kerana konsert tersebut akan diadakan di Genting Highlands yang berada dalam negeri Pahang yang sudah pasti pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa wewenang untuk menghalanginya daripada berlaku.

“Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita tidak seharusnya bimbang kepada kebebasan bukan Muslim kerana majoriti bukan Muslim yang  berpegang kepada agama dan nilai murni manusia bertamadun juga tidak akan suka muda mudi mereka terpengaruh dengan cara hidup gay dan mereka hidup dalam sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama negara, perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kebebasan beragama kepada yang bukan Islam dalam perlembagaan adalah berkaitan dengan upacara atau amalan agama bukan Islam tetapi bukan cara hidup songsang yang mengenepikan semua nilai agama.

Beliau berkata, Isma Pahang menuntut supaya konsert tersebut dinilai semula dan diambil tindakan sewajarnya kerana ia telah berulang sebanyak dua kali yang mana kali pertama diadakan oleh artis antarabangsa Adam Lambert pada tahun lepas.

“Konsert yang dirancang daripada kumpulan artis gay ini menunjukkan seolah-olah ada pihak tertentu ingin membuat promosi gaya hidup songsang (gay) mereka ke negara Malaysia,” ujarnya

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Guna kesempatan tunai haji pertingkat keimanan

Posted by epondok di Oktober 31, 2011

Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid

Jemaah ke Tanah Suci perlu laksana ibadah dengan ikhlas agar bahagia dunia, akhirat

BERBAHAGIA sungguh seorang mukmin apabila terpilih menjadi tetamu Allah di tanah suci Makkah bagi melaksanakan ibadah haji.

Mukmin yang dijemput Allah SWT sebagai tetamu-Nya pada tahun ini sewajarnya melahirkan perasaan syukur yang setulus dan sedalam-dalamnya kepada Allah SWT kerana pemilihan itu adalah penghormatan dan anugerah Allah yang sangat besar.

Perkara paling penting yang perlu sentiasa tertanam di jiwa sanubari setiap bakal haji sejak awal-awal lagi ialah membersih atau meluruskan niat ketika berhaji. Membersihkan niat maksudnya, pemergian ke tanah suci Makkah adalah hanya dengan niat mengerjakan rukun Islam kelima iaitu berhaji dan ibadah yang dilaksanakan itu semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT, bukannya terselit niat sampingan seperti untuk berniaga, melancong, kerana riak, mencari kemasyhuran atau sebarang kepentingan duniawi lainnya.

Niat sangat berpengaruh dalam pelaksanaan sesuatu ibadah. Seseorang itu akan memperoleh sama ada perkara dunia atau akhirat berdasarkan niatnya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Hanya amalan itu adalah (bergantung) dengan niat, dan hanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya.” – (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sekiranya dalam kalangan jemaah haji ada menyimpan niat kerana kepentingan lain selain Allah, maka niat itu perlu segera dihilangkan atau diperbaharui kerana dibimbangi mencacatkan harapannya meraih nilai haji yang diterima Allah SWT dan perjalanan hajinya menjadi sia-sia.

Bagi mewujudkan keikhlasan niat, setiap Muslim itu harus mengetahui rahsia haji. Tanpa pengetahuan terhadap rahsia haji, keikhlasan yang dimiliki akan sangat dangkal dan terbatas.

Pencapaian haji mabrur sangat bergantung kepada kebersihan niat, kesempurnaan pelaksanaan semua rukun haji dan aspek lain yang berkaitan. Menggapai haji mabrur memang menjadi dambaan setiap bakal haji kerana Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Haji mabrur itu tidak ada balasan lain kecuali syurga.” (HR. An-Nasa’iy)
Namun, hanya Allah SWT saja yang berhak mengurniakan haji mabrur kepada hamba-Nya yang terpilih, kerana Allah penilai Agung Yang Maha Mengetahui mengenai kebersihan niat, ketinggian tahap pengorbanan dan pengabdian setiap hamba-Nya.

Sesuatu yang nilainya sangat tinggi seperti haji mabrur tentulah tidak mudah untuk meraihnya. Saidina Umar Al-Khattab pernah mengungkapkan bahawa ramai yang (pergi ke Makkah) hanya makan angin (melancong) sedang yang melakukan haji (hanya) sedikit. Maknanya, ramai yang mengerjakan haji (ini dapat dilihat daripada ramainya yang membanjiri tanah suci Makkah saban tahun), tetapi sedikit saja yang benar-benar melakukan ibadah haji, memahami rahsia dan amal ibadah haji sehingga dapat mencapai haji mabrur.

Abdullah bin Umar r.a. pula pada suatu ketika melihat rombongan haji sedang melalui satu jalan, lalu beliau berkata: “Pada hari ini, jemaah haji menjadi semakin berkurangan dan pengembara semakin bertambah ramai.” Ungkapan beliau itu bermaksud, bahawa kekasih Allah yang sebenar semakin berkurangan, sementara mereka yang tidak ikhlas sudah bertambah dengan hebatnya.

Lantaran niat itu boleh berubah-ubah, maka setiap mukmin perlulah bersungguh-sungguh menjaga kebersihan niatnya. Sufyan ats-Tsauri berkata: “Tidak ada sesuatu yang paling berat yang aku hadapi daripada niat, kerana niat selalu berubah-ubah”. Memang syaitan sentiasa mencari cara menggelincirkan manusia daripada jalan Allah SWT. Abdullah Al-Mubarak pula berkata: “Boleh jadi amal salih yang kecil dibesarkan nilainya oleh niat, dan boleh jadi amal salih yang besar dikecilkan nilainya kerana niat pula.” Sementara Mutharif bin Abdullah pula berkata: “Baiknya hati kerana baiknya amal, dan baiknya amal kerana baiknya niat.”

Sesungguhnya menunaikan haji satu perjalanan suci. Oleh itu, tetamu Allah hendaklah menjadikan kesempatan berhaji ini sebagai peluang keemasan bagi meningkatkan kualiti peribadi di hadapan Allah SWT dan mendampingi Allah SWT dengan segala ketaatan agar pekerjaan hajinya nanti akan menjadi satu ibadah yang boleh memberi pegangan dan pedoman untuk peningkatan iman dan amal, seterusnya menjadi penunjuk kepada jalan yang diredai Allah demi meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hati mati tanpa al-Quran, sunah

Posted by epondok di Oktober 31, 2011

AL-QURAN dan sunah Rasulullah SAW adalah panduan yang perlu digunakan umat Islam dalam memandu kehidupan di dunia dan di akhirat.

Kedua-duanya adalah harta paling berharga bagi umat Islam kerana al-Quran merujuk kepada perintah secara langsung daripada Allah SWT kepada manusia yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW.

 

Sunah Rasulullah SAW pula merujuk kepada penjelasan Baginda mengenai sesuatu perkara secara lebih jelas. Kebanyakan sunah yang ada pada masa ini berpandukan kepada penjelasan baginda terhadap soalan yang ditanyakan sahabat pada zaman itu.

Adalah jelas bahawa kedua-duanya sangat penting kepada umat Islam sebagaimana sabda Baginda sendiri yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Sekiranya kamu berpegang pada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunahku.” (Riwayat Imam Malik) Jadi, tidak hairanlah al-Quran dan sunah ini ibarat udara serta air yang sememangnya diperlukan oleh manusia. Jika air dan udara diperlukan manusia untuk hidup di dunia, al-Quran dan sunah pula diperlukan manusia untuk menghidupkan hati agar penuh dengan keimanan.

 

Tanpa panduan dan pegangan daripada al-Quran dan sunah, maka matilah hati seseorang itu dan hiduplah dia dalam kekufuran serta dalam kegelapan baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

 

Namun, dalam kita berpegang pada al-Quran dan sunah ini, hendaklah kita berhati-hati kerana pada masa ini, wujud banyak cetakan atau petikan daripada ayat al-Quran yang disalah cetak serta dipalsukan.

Sebagai umat Islam, kita perlu peka bahawa tidak semua ayat yang ditulis dalam kaligrafi bertulisan jawi itu adalah ayat al-Quran, walaupun lazimnya ia kelihatan cantik untuk dipandang dan sebagai perhiasan di dalam rumah.

 

Janganlah kita butakan hati, akal dan fikiran dengan menganggap semua kaligrafi jawi itu adalah petikan ayat al-Quran dan janganlah pula sewenang-wenangnya membeli atau mempamerkan ayat berkenaan tanpa memeriksa kebenaran ayat berkenaan.

Ini kerana, jika ada satu baris yang diletakkan secara salah dalam ayat berkenaan, ia akan membawa maksud berbeza sekali gus akan mencemarkan kesucian kalam Allah.

 

Periksa dan telitilah ayat berkenaan dengan sebaik-baiknya. Jika kita tidak mengetahui atau fasih mengenainya, adalah lebih baik supaya tidak membeli atau mempamerkannya sebelum merujuk kesahihan ayat berkenaan kepada mereka yang pakar sebagaimana terkandung dalam al-Quran.

 

Janganlah kerana ingin menunjuk bahawa kita Islam, kita butakan hati dengan membeli perhiasan yang diperindahkan dengan kaligrafi sedangkan kita sendiri tidak fasih untuk membaca serta memahaminya.

 

Begitu juga halnya hadis yang dikatakan berdasarkan sunah Rasulullah SAW. Pada masa ini, wujud hadis yang dipalsukan serta diadakan- adakan oleh pihak tertentu.

 

Walaupun secara pandangan mata kasarnya hadis itu mungkin nampak elok serta baik, kesan hadis palsu ini sebenarnya akan mengelirukan umat Islam dalam menentukan kedudukan perkara paling telus dan benar.

 

Janganlah sewenang-wenangnya mencedok hadis serta petikan ayat al-Quran ini jika kita kurang ilmu mengenainya. Cara yang terbaik adalah dengan mempelajarinya daripada seorang guru yang dipastikan layak dan bukan berdasarkan pembacaan daripada buku atau carian di Internet semata-mata.

 

Ini kerana, adat untuk belajar hendaklah dengan berguru. Rasulullah SAW sendiri diajar oleh Malaikat Jibril untuk membaca menerusi wahyu pertama iaitu surah al-Alaq, ayat 1-5 yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang paling pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak tahu.” Selepas itu juga Jibril kerap kali datang membawa wahyu Allah, selain ada antara wahyu itu diterima sendiri Baginda secara langsung daripada Allah SWT selain pengalaman waktu Israk Mikraj.

 

Jadi, sebagai manusia yang lemah, janganlah kita mengambil sesuatu perkara itu tanpa pengesahan daripada mereka yang benar-benar layak untuk mengajar atau sekadar melalui pembacaan.

 

Ini kerana tanpa penunjuk yang betul, seseorang itu boleh diibaratkan sebagai mereka yang sesat dalam cahaya tanpa mengetahui di manakah sumber cahaya itu yang sebenarnya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »