Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 30 Oktober 2011

Bahaya fitnah dalam hidup

Posted by epondok di Oktober 30, 2011

SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.

Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.

Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: “Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid.” (riwayat Ahmad)

Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.

Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.

Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:

l Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)

l Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).

Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.

Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)

Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.

Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.

Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.

Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.

Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, “Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas tentang perkara tersebut”.

Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.

Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan r.a.

Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a…”

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Syurga penuh nikmat

Posted by epondok di Oktober 30, 2011

ALLAH SWT telah menyebut keadaan duniawi para pemilik kebun dan azab yang menimpa mereka disebabkan kebun itu apabila mereka menderhaka dan menyalahi perintah-Nya.

Allah SWT menambahkan perkara ini dengan penjelasan bahawa orang yang bertakwa dan mentaati-Nya akan mendapat kebun-kebun yang penuh dengan kenikmatan dan tidak akan binasa serta tidak akan musnah di perkampungan akhirat nanti.

Seterusnya Allah SWT menjawab dakwaan orang kafir yang berkata: “Jika benar kami akan dibangkitkan sebagaimana yang disangkakan oleh Muhammad dan para sahabatnya, sudah pasti mereka tidak akan dapat menandingi kami.

“Bahkan kami lebih baik keadaannya jika dibandingkan dengan mereka kerana yang berbaik dengan kami di dunia akan berbaik dengan kami di akhirat.

“Bagaimana kamu menyamakan di antara orang yang taat dengan orang yang derhaka sehingga kamu lebih mengutamakan orang yang derhaka dari mereka yang taat kepada Allah SWT”.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya. (al-Qalam: 34)

Ibn Kathir berkata: “Tatkala Allah menceritakan keadaan ahli kebun di dunia dan apa yang ditimpa kepada mereka dengan pembalasan kerana derhaka dan melanggar perintah Tuhan lantas Allah menerangkan balasan bagi orang yang bertakwa dan taat kepada-Nya di negeri akhirat dengan syurga-syurga penuh kenikmatan yang tidak menerima kerosakan dan hilangnya nikmat.”

Al-Maraghi berkata: “Orang yang bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan-Nya, pasti mereka ini akan menerima syurga yang di dalamnya mereka akan menikmati pelbagai nikmat yang terbaik.

“Tidak ada sebarang kekeruhan yang boleh mengurangkannya, sebagaimana bercampurnya kebun-kebun di dunia.”

Muqatil berpendapat: “Ayat ini turun ketika orang kafir Mekah berkata kepada kaum muslimin: Sesungguhnya Allah telah melebihkan kami berbanding kamu di dunia ini, oleh itu tentu Allah SWT akan melebihkan kami berbanding dengan kamu di akhirat.”

Andainya Allah tidak melebihkan kami di akhirat tapi sekurang-kurangnya Dia akan memberikan kami persamaan. Allah SWT menjawab apa yang mereka katakan dan mengurniakan kejayaan kepada orang yang bertakwa menerusi firman-Nya.

Bagaimana Allah SWT akan menyamakan orang yang taat dengan orang yang derhaka.

Firman Allah SWT: Maka apakah patut kami menjadikan orang-orang Islam itu sama dengan orang-orang yang berdosa (orang kafir)? Atau Adakah kamu (berbuat demikian): bagaimanakah kamu mengambil keputusan? (al-Qalam: 35)

Syed Qutub berkata: “Pertanyaan ini dituju kepada mereka yang disebutkan dalam ayat yang terdahulu. Ia adalah satu pertanyaan yang hanya mempunyai satu jawapan iaitu tidak mungkin.

Orang Islam yang mengaku dan menyerah diri kepada Allah tidak sekali-kali sama dengan orang kafir yang melakukan dosa kekufuran dengan penuh kedegilan. Allah sifatkan mereka dengan sifat yang keji ini.

Oleh itu adalah tidak rasional dan tidak adil andainya orang Islam itu dijadikan sama dengan orang kafir yang berdosa ketika menerima balasan dan kesudahan. Mengapa kamu begitu? Dengan pertimbangan apakah kamu membuat keputusan itu?

Bagaimana cara kamu menimbangkan nilai-nilai dan darjat hingga darjat orang Islam sama dengan darjat orang kafir yang berdosa dalam pertimbangan kamu?

Firman Allah SWT: Atau Adakah kamu mempunyai sebuah Kitab (yang diturunkan Allah) yang kamu membacanya? Bahawa di dalamnya kamu benar-benar boleh memilih apa yang kamu sukai untukmu. (al-Qalam: 37-38)

Al-Maghari berkata: “Apakah di tanganmu ada kitab yang diturunkan dari langit yang kamu pelajari dan kamu edarkan lalu diterima oleh generasi khalaf dari generasi salaf yang mengandungi hukum yang benar sebagaimana yang kamu sangkakan.

“Justeru, kamu boleh memilih apa yang kamu senangi, adakah urusan itu diserahkan kepadamu dan tidak diserahkan kepada orang lain selain kamu.”

Kesimpulannya apakah akalmu telah rosak sehingga sanggup menghukum sedemikian rupa atau tidakkah telah datang kepadamu kitab yang memberi kebebasan kepada kamu memilih dan menyerahkan urusan itu kepadamu?

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »