Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 29 Oktober 2011

Gagal hayati agama punca merebaknya zina

Posted by epondok di Oktober 29, 2011

Oleh Nik Salida Shuhaila

Keluarga, masyarakat sepatutnya mainkan peranan penting halang remaja lelaki, perempuan bersosial keterlaluan

REMAJA hamil, bersalin seorang diri dan membunuh anak kandungnya tidak begitu mengejutkan lagi. Tugas pihak berkuasa pula menahan ‘ibu’ itu dan memungut bahan bukti. Hasil siasatan pula selalunya memihak kepada apa yang disyaki. Malangnya, si ‘bapa’ selalunya terlepas daripada buruan hukuman dan umpat keji. Beberapa tahun dulu, situasi begini amat asing sekali di sini. Ia hanya menjadi berita dari luar negara, walaupun tetap mengundang marah dan belas, ia tidak seperti apabila jenayah ini dilakukan di negara ini.

Perbuatan ini boleh disamakan dengan pembunuhan, yang balasannya juga nyawa, mengikut hukum Tuhan. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra ayat 33 tafsirnya bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar.” Namun hari ini, bayi yang masih bertali pusat dipungut bagai mengutip sampah-sarap di tepi jalan. Ada yang dihurung semut dan serangga, tidak kurang pula yang menjadi makanan binatang liar.

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan. – Surah Al-Isra Ayat 32 Bukanlah tidak tahu hikmah larangan zina, malah akibat buruknya juga terzahir di mana-mana saja. Pembunuhan bayi bertitik tolak daripada perlanggaran perintah Allah yang satu ini juga. Walaupun Islam telah menggariskan cara hidup yang sempurna dan merangkumi semua aspek kehidupan, ada segelintir yang mahu melanggarnya, maka timbullah pelbagai kejadian yang tidak diingini dan tidak dapat diterima oleh fitrah manusia. Anak lahir tanpa bapa, tiada bimbingan yang sempurna daripada seorang yang bergelar pemimpin keluarga, malah hal ehwal ekonomi juga menjadi halangan dalam tarbiyyah mereka.

Zina ialah perbuatan keji yang boleh mengaibkan pemilik maruah diri, keluarga dan agama. Zina juga membawa kerosakan ke atas muka bumi dan ia boleh dilihat dalam perkembangan sosial hari ini, hubungan sulit berlainan jantina tidak lagi menjadi asing dalam budaya hidup moden, menyebabkan janin digugurkan dan anak yang tidak syarie lahir tetapi keliru keturunan.

Berzina sehingga melahirkan anak tidak syarie juga meninggalkan implikasi lain yang bersifat jangka panjang ke atas anak itu seperti rosaknya nasab. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra ayat 32 tafsirnya bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan.”Buruknya akibat zina dapat dinilai melalui amaran Allah SWT dalam ayat itu supaya hamba-Nya tidak menghampiri sebarang perbuatan yang mendorong kepada perbuatan zina.

Kebanyakan pengamal zina hari ini tahu dan faham akan larangan itu tetapi tidak berusaha menjauhinya di samping ruang sosial yang terbuka luas menyebabkan perbuatan terlarang ini tidak berusaha dielakkan. Tipisnya ilmu dan iman juga menyebabkan pengamalnya tidak berfikir dua kali, malah bisa dosa juga menjadi alah dengan kebiasaan.
Di negara yang taraf pendidikan rakyatnya tinggi, kedangkalan ilmu tidak menjadi sebab perbuatan jahiliah ini semakin berleluasa. Apatah lagi ilmu agama hari ini mudah diperoleh dan disampaikan kepada setiap golongan masyarakat, secara langsung atau tidak langsung. Mungkin juga tarbiah hati yang kurang mencukupi menyebabkan nafsu tidak terhalang dari terus membuat kerosakan di bumi dan akal pula tidak boleh menjadi pedoman meskipun mampu berfikir.

Walau apa pun alasannya, mencari ruang kesalahan tidak cukup untuk membetulkan keadaan, sebaliknya setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan yang sepatutnya untuk tidak membenarkan perbuatan zina berlaku di mana-mana, baik di rumah sendiri, di bilik hotel, di asrama, di dalam semak atau di rumah tumpangan. Mengharapkan sehingga setiap individu mempunyai kesedaran tentulah tidak merancakkan langkah pencegahan, walaupun itulah yang terbaik untuk mengatasinya. Sekurang-kurangnya, jika zina boleh dianggap sebagai najis, jijik dan hina, tentulah manusia yang normal tidak akan menghampirinya, apatah lagi melakukannya kerana fitrah manusia tidak sukakan kotoran dan najis.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 104 bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu puak yang menyeru berdakwah kepada kebajikan mengembangkan Islam dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah, buruk dan keji, dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” Sama ada lahir sebagai Muslim atau nekad menjadi Muslim, individu Islam tidak boleh menolak daripada berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan sunnah. Dengan berwiridkan kepada ajaran inilah setiap manusia tidak akan terpesong daripada kebenaran atau sesat akidahnya, sama ada melalui perkataan atau perbuatan.

Tanpa menolak bahawa perbuatan jijik ini adalah kerana perempuan hari ini terlalu bebas dalam pergaulan, yang paling penting ialah mentarbiah golongan lelaki agar memanfaatkan keperkasaan mental dan fizikal untuk melindungi perempuan daripada dizalimi sehingga mengakibatkan bertebarannya anak tanpa bapa, bukan menjadikan perempuan sebagai mangsa nafsu buas yang harus dilampias. Justeru, untuk membina masyarakat yang kalis zina, binalah peribadi lelaki agar mereka menjadi mulia dan terpelihara

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Selidik dulu berita yang diterima

Posted by epondok di Oktober 29, 2011

SEBENARNYA dalam tradisi Islam telah lama wujud kaedah yang mantap untuk membuat analisis terhadap sesuatu maklumat. Perkara ini kita dapat fahami menerusi betapa teliti dan terperinci para ulama hadis dalam meriwayatkan hadis yang sampai kepadanya.

Setiap hadis dinilai daripada segi sanad dan matannya. Apabila mengkaji sanad hadis, para ulama akan memastikan sanad hadis tersebut sampai kepada Nabi SAW di mana akan dipastikan para perawi pernah bertemu dengan perawi sebelumnya dalam periwayatan hadis.

Dalam mengkaji setiap jalur perawi yang meriwayatkan hadis, para ulama akan mengkaji sifat-sifat perawi dan kekuatan ingatannya. Inilah yang disebutkan sebagai ilmu al-jarhu wa ta’dil. Semuanya untuk memastikan hadis yang diriwayatkan itu memang datang daripada Rasulullah SAW.

Muhammad ibn Sirin (meninggal 110H) berkata: “Dahulu ahli hadis tidak bertanya tentang sanad, namun apabila berlaku fitnah (perbalahan dalam kalangan umat Islam) maka ahli hadis pun bertanya: “Sebutkan untuk kami para perawi kamu”.

Maka dilihat ahli sunnah (yang berpegang dengan sunnah) lalu diambil hadis mereka, dilihat pula ahli bidaah lalu tidak diambil hadis mereka. (riwayat Muslim).

Dalam organisasi, kerap kali berita yang tidak tepat tersebar dengan cepat dan meluas. Suasana ini wujud kerana sikap kita yang tidak mempunyai kesungguhan untuk menilai fakta secara adil. Akhirnya, kita turut terlibat dalam menjadi ‘perawi’ berita palsu.

Ingat, lebih baik menyesal kerana tidak berkata-kata, dari kita menyesal kerana telah berkata-kata.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian. (al-Nur: 19)

Islam mengharamkan fitnah kerana kesannya sagat buruk. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab di akhirat kelak.

Justeru, peliharalah diri, didiklah keluarga dan masyarakat tentang bahaya dan kesan buruk perbuatan fitnah agar dengan demikian, kita dapat menikmati kehidupan yang bahagia dan saling berkasih sayang.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »