Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 28 Oktober 2011

Malas selawat, abai ibu bapa termasuk dalam golongan rugi

Posted by epondok di Oktober 28, 2011

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir


ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam menambah kekayaan dan anak keturunan. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu.” (Surah Al-Hadid, ayat 20)

Walaupun manusia tahu dunia yang sementara ini penuh dengan tipu daya syaitan, namun sudah menjadi kelaziman mereka cenderung kepada hal keduniaan dan berlumba memilikinya. Sebilangan kecil saja berjaya melawan godaan nafsu dan mengetepikan pujukan syaitan.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad, dinyatakan ada tiga golongan manusia yang kecewa dan rugi ketika hidup di dunia, pertama, mereka yang apabila nama Baginda disebut tidak mengucap selawat.

Golongan kedua yang kecewa dan rugi apabila berkesempatan hidup bersama kedua-dua orang tuanya, tapi tidak sampai mampu masuk syurga dan ketiga, mereka yang berkesempatan hidup pada Ramadan tapi dosanya tidak terampunkan.

Begitu jadinya apabila kesempatan yang diberikan Allah kepada manusia semasa hidupnya tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Contohnya, golongan pertama, alangkah mudahnya untuk mendapat pahala tetapi kerana tidak tahu atau sengaja mengingkarinya, maka hidup kecewa dan rugi. Sukar sangatkah untuk berselawat kepada Rasulullah SAW.

Dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW, barang siapa yang membaca selawat saat disebut nama Nabi Muhammad, maka pahala dan syafaat daripadanya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang berilmu pasti tahu bahawa kelak nanti di akhirat ada suatu masa di mana semua manusia akan mencari syafaat Nabi Muhammad. Orang yang terbiasa membaca dan memperbanyak selawat kepada Rasulullah pada masa hidupnya tentu akan mendapat keutamaan atas syafaatnya. Orang yang tidak berilmu tidak memahami hal itu sehingga mereka lalai dan tidak melakukannya.”

Berbakti kepada kedua-dua orang tua dengan menjaga makan minumnya, tidak menyakiti hatinya serta mengambil berat kebajikannya adalah peluang tidak harus dipersiakan anak kerana ganjaran yang dijanjikan Allah adalah syurga.

Akan tetapi masih ada anak yang tidak mengambil kesempatan berharga ini ketika kedua-dua orang tuanya masih ada. Banyak laporan mengenai ibu bapa yang disisih, ditinggal serta dihantar anak mereka ke rumah orang tua.

Bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa, ambillah peluang keemasan yang ada ini untuk berbakti kepada mereka. Lakukanlah seikhlas hati.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam peliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah Al-Isra’, ayat 23)

Dicatatkan dalam sejarah bahawa Allah berwasiat kepada Saad bin Abi Waqqash supaya berbuat baik kepada ibunya, meskipun ibunya kafir kepada-Nya. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan kepada manusia (berbuat) kebaikan kepada kedua orang tuanya.” (Surah Al-Ankabut, ayat 8)

Golongan ketiga yang kecewa dan rugi ialah mereka yang tidak merebut peluang memohon keampunan Allah pada Ramadan yang Allah buka seluas-luasnya rahmat, keampunan serta terlepas dari api neraka.

Diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa berpuasa Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan pahala (keredaan) Allah, maka diampuni dosanya yang terdahulu.”

Terserahlah kepada kita sama ada ingin memanfaatkan peluang yang dibuka oleh Allah ini ataupun mensia-siakannya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kajian saintifik buktikan sembelihan cara Islam terbaik

Posted by epondok di Oktober 28, 2011

Oleh Zuridan Mohd Daud

UMAT Islam seluruh dunia sudah merayakan Aidiladha. Ia menjadi satu manifestasi kepada semangat pengorbanan tinggi dimiliki oleh umat Islam. AidilAdha pastinya akan menyaksikan pelaksanaan ibadat korban yang menjadi satu amalan sunat sebagai memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Lazimnya musuh Islam menggunakan isu sembelihan korban sebagai lambang keganasan umat Islam. Kononnya disebabkan kebiasaan menyembelih binatang, ada umat Islam yang berani menyembelih manusia. Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan dan keganasan kerana banyak darah tumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha.

Malah, ketika kempen antikeganasan dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.

Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh. Selain itu, mereka mendakwa bahawa tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum mati.

Tetapi, persoalannya apakah dakwaan dan pandangan Barat ini benar? Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa diharamkan adalah jelas membabitkan daging.

Di dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, binatang disembelih kerana yang lain daripada Allah, mati tercekik, mati dipukul, mati jatuh, mati ditanduk, mati dimakan binatang buas, kecuali sempat kamu sembelih).

Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan. Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Sabda Rasulullah bermaksud: (Dan apabila kamu menyembelih maka lakukan dengan baik dan hendaklah kamu menajamkan alat sembelihan supaya sembelihan rasa rehat – tidak terlalu sakit). Riwayat Imam Muslim.

Kaedah penyembelihan secara Islam dikatakan menyeksa haiwan dikaji oleh pakar dari Jerman iaitu Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman,. Matlamatnya ialah untuk mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging bersih dan segar.

Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing’, menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan.

Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan pada haiwan.

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu.

Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah Barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP).

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalogra ph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan secara Islam dan kaedah CBP dilaksanakan di Barat.

Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit. Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar. Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak sakit. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu.

Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.

Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.

Laporan ini amat mengejutkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging.

Malah, lebih mengejutkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat. Kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam yang disembelih dan tidak disembelih.

Kajian itu jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia.

Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik. Dalam aspek ini, Nabi Muhammad pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit. Islam juga menjelaskan bahawa proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak.

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang. Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada tahun 2003. Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang.

“Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih”. Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,” kata Dr Aisha dalam kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Posted in Artikel Pilihan | 1 Comment »

Ketakwaan dinilai berdasarkan iman

Posted by epondok di Oktober 28, 2011

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh


Darjat berbeza ikut kepatuhan

TAKWA dari segi bahasa bermaksud kawalan, benteng, penjagaan dan berusaha untuk menjauhkan kemudaratan supaya manusia mencapai kejayaan dan keselamatan.

Dari segi istilah ia memberi maksud yang pelbagai antaranya menurut Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, takwa bermaksud ‘takut kepada azab Allah dengan melaksanakan segala ketaatan dan menjauhkan segala larangan-Nya’. Terdapat banyak ayat al-Quran menyebut berkaitan takwa, antaranya ialah firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan kepada Aku sahaja hendaklah kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah : 41).
Dalam ayat yang lain, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Dan peliharalah diri kamu dari huru hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah.” (Surah al-Baqarah : 281).

Perkataan ‘peliharalah’ adalah terjemahan kepada perkataan takwa. Kedua-dua ayat di atas membawa perkataan takwa kepada maksud takut dan gentar.

Dalam Surah Ali Imran ayat 102, Allah S.W.T berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam”.
Ayat ini sering diperingatkan kepada kaum Muslimin dalam khutbah Jumaat. Ibn Abbas menghuraikan takwa dalam ayat ini dengan maksud melakukan ketaatan dan ibadah kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Takwa mengandungi dua unsur utama iaitu:

i. Unsur kejiwaan, roh dan hati nurani, iaitu ketulusan hati, keikhlasan beramal hanya kerana Allah selepas tertanamnya iman, melafazkan dua kalimah syahadah dan pengiktirafan bahawa pengabdian diri dan ketuanan hanya bagi Allah Pemilik Sekalian Alam.

ii. Unsur amali, perlakuan dan segala yang zahir iaitu iltizam dengan syarak, melaksanakan semua hukum syarak, khususnya menunaikan perkara wajib, mempraktikkan segala suruhan, meninggalkan yang haram dan menjauhi yang dilarang.

Gambaran takwa semuanya menghindari daripada sifat keji iaitu kepura-puraan, bohong, tipu, khianat, penyelewengan, adu domba, umpat keji dan segala perlakuan mazmumah. Hanya syarak yang menjadi pengukur setiap amalan dan penerimaannya. Ia juga neraca kepada tingkah laku dan kejayaan.

Iman mempunyai pelbagai darjat dan kedudukan. Begitu juga amal seseorang, berbeza-beza tingkatannya antara satu sama lain. Oleh itu, nilai ketakwaan juga turut berbeza mengikut keadaan dan kedudukan seseorang. Natijah daripada kelainan ini turut membezakan penilaian hukum syarak terhadap tiap darjat takwa yang dimiliki oleh seseorang itu.

Takwa terbahagi kepada empat tingkatan iaitu :

i. Takwa daripada perbuatan syirik;

ii. Takwa daripada perbuatan bid’ah;

iii. Takwa daripada perbuatan maksiat;

iv. Takwa daripada berlebih-lebihan dalam perkara halal.

Tiga peringkat takwa paling atas dinyatakan serentak dalam satu ayat al-Quran yang bermaksud: “Tidak ada dosa bagi orang yang beriman serta mengerjakan amal yang salih pada apa yang mereka telah makan dahulu apabila mereka bertakwa dan beriman, serta mengerjakan amalan yang salih, kemudian mereka tetap bertakwa dan berbuat kebajikan kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. (Surah al-Maidah : 93).

Takwa yang berserta dengan iman akan mencegah daripada berlakunya perbuatan syirik. Sedangkan iman yang berserta tauhid akan membina ibadah yang menjadi tunjang utama dalam kehidupan. Takwa yang berserta iman akan mencegah berlakunya perkara bid’ah. Keimanan yang sedemikian adalah yang berpegang teguh dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Takwa yang berserta iman juga akan mencegah daripada berlakunya dosa-dosa kecil. Berpegang dengan takwa, iman dan tauhid akan mencetuskan ihsan, iaitu akan tertegaknya segala ketaatan dan istiqamah atas asas takwa.

Takwa dengan maksud menjauhi perbuatan berlebih-lebihan dalam perkara halal ada diterangkan oleh Imam al-Ghazali ‘dinamakan sesuatu golongan itu sebagai orang yang bertakwa adalah kerana mereka meninggalkan perkara yang harus, bimbang akan mendatangkan sesuatu yang tidak baik atas diri mereka.’

Dalam satu riwayat, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ‘seseorang itu tidak akan mencapai darjah takwa yang sebenar, sehingga mereka boleh meninggalkan perkara yang harus kerana bimbang akan mendatangkan sesuatu yang tidak baik kepada mereka’.

Takwa yang bermaksud meninggalkan sesuatu perkara kerana bimbang ia akan memudaratkan agama terbahagi kepada dua iaitu:

i. Haram semata-mata;

ii. Berlebih-lebihan di dalam perkara halal.

Ini adalah kerana apabila seseorang melakukan perbuatan berlebih-lebihan dalam perkara halal, ia akan menjerumuskan si pelakunya kepada perbuatan haram. Larangan melakukan perbuatan haram itu kerana ia lahir daripada runtunan hawa nafsu yang keji.

Oleh itu sesiapa yang ingin melihat agamanya terpelihara, maka hendaklah ia menjauhi yang haram dan meninggalkan perbuatan berlebih-lebihan dalam perkara halal kerana dikhuatiri akan terjatuh dalam perbuatan yang haram”.

Hukum takwa ada dua saja iaitu wajib dan sunat. Wajib dalam konteks memelihara diri daripada syirik, bid’ah dan perkara yang diharamkan Allah. Begitu juga wajib hukumnya memelihara dan membersihkan hati daripada kejahatan dan dosa yang belum pernah dilakukan. Hal ini memerlukan azam dan tekad untuk meninggalkannya. Akhirnya kekuatan yang menolak perbuatan dosa itu akan menjadi benteng dan perisai yang memelihara setiap individu daripada segala mungkar.

Takwa dalam konteks hukumnya sunat bermaksud meninggalkan larangan Allah yang bertujuan untuk membentuk adab dan pekerti mulia seperti menjauhi daripada berlebih-lebihan dalam perkara halal dan yang harus. Apabila jelas kelihatan setiap perkara yang harus itu boleh membawa kepada syubhat, maka adalah lebih utama untuk ditinggalkan. Perbuatan itu dianggap baik dan berpekerti mulia.

Takwa yang letaknya dalam hati berperanan besar dalam memastikan individu Muslim sentiasa dalam kepatuhan dan ketaatan kepada Allah SWT. Segala aktiviti hariannya tertumpu hanya kepada Allah. Penumpuan terarah ini pasti menjadikannya lebih berdisiplin kerana meyakini tiada suatu pun perbuatan yang cuba disembunyikan namun dalam pengetahuan-Nya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »